Pages

Friday, August 21, 2015

Harta Karun Sepanyol Abad Ke-18 Ditemui Di Florida Amerika Syarikat


Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 7:43 PM
Inilah rupa syiling emas Sepanyol abad ke-18 yang ditemui oleh pencari harta karun di perairan Florida, Amerika Syarikat hujung Julai lalu. Nilai semasa harta karun berkenaan melebih AS$4 juta.

MIAMI: Pencari harta karun telah menemui kepingan syiling emas Sepanyol era abad ke-18 yang kini dianggarkan bernilai AS$4.5 juta di pasaran semasa.
Menurut laporan BBC, sejumlah 350 kepingan syiling emas telah ditemui dan dikutip berhampiran pantai Florida.
Emas berkenaan tidak terusik selama lebih 300 tahun sehinggalah ia ditemui hujung bulan lalu.
Syiling emas berkenaan merupakan sebahagian daripada kargo milik 11 kapal Sepanyol yang tenggelam ketika ribut petir ketika dalam perjalanan pulang dari Cuba ke Sepanyol semula.
Ini adalah penemuan terbesar kedua tahun ini. Jun lalu, para pencari harta karun telah menemui 50 keping wang syiling emas yang dianggarkan bernilai AS$1 juta.
Menurut laporan BBC itu lagi, 350 kepingan wang syiling emas yang baru ditemui itu adalah di kawasan air cetek tidak jauh dari pantai dan ditembusi pasir.
Di bawah undang-undang negeri Florida, kerajaan negeri mempunyai hak sehingga 20% ke atas sebarang keuntungan daripada hasil jualan harta karun yang ditemui di perairannya.
Pencari harta karun yang menemui syiling emas itu, William Bartlett dipetik oleh akhbar-akhbar tempatan sebagai berkata, dia hanyalah seorang pencari harta karun yang sentiasa bermimpi akan satu hari menemui harta sebegini rupa. Dia enggan mendedahkan berapakah jumlah yang akan diperolehinya hasil daripada penemuan tersebut.
Sementara itu, Brent Brisben, yang diberi hak perlesenan untuk mencari harta karun dari kapal Sepanyol itu pula berkata, antara artifek lain yang ditemui oleh pasukannya ialah sembilan keping syiling emas Sepanyol yang jarang-jarang ditemui dan memiliki nilai yang tinggi di pasaran semasa.
Setakat ini hanya terdapat 20 keping syiling emas dari siri berkenaan yang masih wujud di dunia sehingga yang terbaru ditemui Julai lalu.
"Kepingan syiling emas ini adalah edisi terhad yang dibuat atas arahan Raja Sepanyol," kata Brisben.

Nenek lahirkan kembar empat


Annegret Raunigk diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan
Annegret Raunigk diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan bayi kembar empat di dunia iaitu ketika berusia 65 tahun. AGENSI
BERLIN 18 Ogos – Seorang nenek diiktiraf sebagai wanita paling tua melahirkan bayi kembar empat di dunia pada usia 65 tahun, lapor Mail Online.
Annegret Raunigk bersama bayinya yang dilahirkan pramatang semasa kandungannya berusia enam bulan setengah, telah pun dibenarkan pulang selepas lebih tiga bulan ditahan di hospital.
Menurut doktor dari Jabatan Neonology Hospital Berlin Charite, anak kembar Raunigk yang dilahirkan melalui proses pembedahan, pada mulanya mengalami masalah berat badan tidak normal berbanding bayi biasa.
“Satu-satunya bayi perempuan kembar berkenaan iaitu Neeta memiliki berat badan 700 gram sahaja ketika dilahirkan dan terpaksa diletakkan di dalam inkubator.
“Namun, semuanya berjalan dengan lancar selepas Neeta bersama tiga abangnya iaitu Bence, Fjonn, dan Dries membesar dengan baik dan sihat dalam masa yang amat singkat,” kata Profesor Christoph Buhrer.
Tambah Buhrer, walaupun dibenarkan pulang ke rumah, kembar tersebut perlu menjalani rawatan fisioterapi bagi memastikan mereka benar-benar sihat.
Pakar memberi amaran, jika kembar tersebut gagal membesar dengan baik mereka berkemungkinan besar bakal menghidap pelbagai jenis penyakit kronik seperti sakit jantung, usus serta komplikasi mata, dan otak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nenek-lahirkan-kembar-empat-1.125959#sthash.CPsEBzqV.dpuf

Kanak-kanak 5 tahun pukau binatang


20 Ogos 2015 1:34 AM
 

Seekor arnab tertidur selepas dipukau dan diusap Han Jiaying yang baru berusia lima tahun. AGENSI


Han Jiaying menunjukkan kemampuannya memukau haiwan sehingga tertidur dalam rancangan realiti Amazing Chinese, baru-baru ini. AGENSI

SHANGHAI 19 Ogos – Seorang kanak-kanak di China mempunyai ‘kuasa luar biasa’ apabila berkemampuan memukau haiwan sehingga tertidur yang membuatkan ramai terpegun dengan kebolehannya.
Daily Mail melaporkan, Han Jiaying yang baru berusia lima tahun bukan sahaja mempunyai keupayaan untuk menidurkan anjing, ayam, arnab, dan katak, malah reptilia seperti iguana dengan hanya mengusap dan menggunakan suaranya sahaja.
Ketika melakukan sebuah persembahan dalam satu program realiti Amazing Chinese di Shanghai baru-baru ini, Jiaying bukan sahaja membuatkan penonton kagum, malah rancangan itu turut dimuat naik dalam laman sosial sehingga mendapat beratus ribu ‘like’.
Lebih 250,000 orang telah menonton video tersebut di seluruh dunia dengan pelbagai reaksi yang rata-ratanya melahirkan rasa kagum dengan bakat dimiliki oleh si cilik tersebut.
Dalam rancangan itu, lima ekor haiwan tertidur sejurus Jiaying mengangkat tangan selepas kesemua binatang tersebut dilihat seolah-olah dipukau.
Kesemua haiwan itu tidur dengan nyenyak sebelum dikejutkan satu persatu selepas beberapa minit dengan satu jeritan oleh kanak-kanak tersebut.
Pada mulanya, anjing dan iguana bangun kemudian mula berjalan-jalan di atas pentas sebelum dikawal oleh Jiaying.
Menurut Jiaying, dia sedar mempunyai bakat itu apabila berjaya ‘memukau’ seekor katak di tadikanya setahun yang lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-5-tahun-pukau-binatang-1.126347#sthash.RkEE2rrT.dpuf

Kanak-kanak 
suka makan objek


Lily Mullins dari Britain mempunyai tabiat pemakanan yang pelik, gemar makan benda yang tidak sepatutnya dimakan. AGENSI
LONDON 20 Ogos - Seorang kanak-kanak perempuan Britain mempunyai tabiat pemakanan yang pelik apabila dia didapati gemar makan benda yang tidak sepatutnya dimakan seperti tuala mandi, sofa dan berus tandas, sebaliknya menolak makanan yang biasa dimakan individu normal.
Keadaan pelik yang dihadapi Lily Mullins, 2, dikenali sebagai Pica, keadaan yang disifatkan sebagai kecenderungan untuk makan objek bukan makanan dan tidak mempunyai sebarang nutrisi, lapor portal Mirror.co.uk.
Mullins tidak akan berhenti menggigit termasuk berus, tempat pancuran, pakaian dan banyak lagi benda lain, malah pernah cuba makan berus tandas.
Keadaan itu membuatkan ibu Mullins, Kate Ovington, 27, perlu sentiasa memantau pergerakan anaknya itu.
“Saya sentiasa bimbang akan apa yang akan cuba dilakukan dan dimakannya selepas ini. Saya cuba memberitahu Mullins bahawa objek yang cuba dimakannya akan membuatkannya rasa sakit, namun kanak-kanak itu tidak memahaminya.
“Dia suka mencabut rambut daripada anak patungnya dan akan memakannya, malah apabila saya melarang, Mullins akan menyorokkan rambut itu di bawah bantalnya sehingga ada kalanya saya sedar saya telah terlambat untuk menghalangnya,’’ kata ibu kepada dua anak tersebut.
Ovington berkata, anaknya mula mempunyai tabiat pemakanan pelik itu, sejak dia masih bayi lagi dan pada awalnya dia tidak mempedulikan perbuatan anaknya itu kerana menyangka ia hanya sifat ingin tahu anaknya seperti kanak-kanak lain.
Sementara itu, jurucakap bagi Challenging Behaviour Foundation berkata, Pica merujuk kepada makan objek yang tidak boleh dimakan, seperti batu, duit syiling, syampu, pakaian dan puntung rokok.
Tambahnya, punca yang mengakibatkan Pica masih tidak jelas dengan kajian bagi mengenal pasti punca tabiat itu agak terhad.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kanak-kanak-8232-suka-makan-objek-1.126750#sthash.oB30f5gZ.dpuf

Saintis bangunkan otak dalam makmal


WASHINGTON 19 ogos – Sekumpulan saintis di Universiti Ohio State mendakwa berjaya membangunkan otak manusia bersaiz kecil yang hampir sempurna di dalam sebuah makmal, dalam satu langkah yang boleh membawa kemajuan besar untuk merawat penyakit neurologi.
Imej dikeluarkan Universiti State Ohio memaparkan bahagian otak yang dibangunkan institusi itu. AFP
Menurut laporan universiti itu, seorang profesor bernama Rene Anand sedang membangunkan otak berkenaan yang bersamaan saiz janin lima bulan di dalam piring petri di makmal.
“Walaupun apa yang kami bangunkan bukanlah menyerupai otak sebenar, organ itu mempunyai hampir semua sel genetik seperti di dalam otak,” ujar universiti berkenaan.
Menurut universiti itu, otak yang bersaiz sebiji kacang pea tersebut meliputi pelbagai jenis sel termasuk dari semua bahagian utama otak, namun tidak mengandungi sel dari sistem vaskular.
Otak itu dibangunkan daripada sel kulit manusia dan didakwa merupakan otak yang paling sempurna dari jenisnya.
Anand membentangkan kajiannya itu di sebuah acara kesihatan ketenteraan di Florida semalam.
Universiti Ohio State memaklumkan, Anand dan rakan penyelidiknya telah mengasaskan sebuah syarikat sebagai permulaan bagi mengkomersialkan sistem pertumbuhan otak itu.
Menurut beliau, organ yang dibangunkannya membolehkan ujian dilakukan dengan lebih mudah dan beretika bagi mengetahui kesan dadah terhadap otak, ketika para saintis lain masih mencari penawar untuk penyakit otak dan gangguan sistem saraf. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/saintis-bangunkan-otak-dalam-makmal-1.126385#sthash.MpNJ31qJ.dpuf