Pages

Sunday, October 14, 2012

Labi-labi gergasi ditangkap

Labi-labi gergasi ditangkap:


BEBERAPA penduduk kampung mengangkat labi-labi gergasi seberat 100 kilogram yang ditemui di Bojonegoro, Jawa Timur, baru-baru ini. - AGENSI
BOJONEGORO, Jawa Timur - Misteri kemunculan seekor labi-labi gergasi yang sering dilihat penduduk Kampung Pucangarum di sini akhirnya terjawab selepas haiwan itu ditangkap ketika cuba menyeberangi Sungai Bengawan Solo.
Malah beberapa penduduk tempatan terpaksa bekerja keras untuk menangkap labi-labi seberat kira-kira 100 kilogram tersebut dan membawanya ke darat sebelum dipamerkan kepada orang ramai.
Menurut seorang penduduk kampung, Darun, labi-labi gergasi berwarna perang itu mempunyai ukuran panjang 1.4 meter dan lebar 93 sentimeter.
Katanya, haiwan amfibia itu dipercayai berusia beratus-ratus tahun berdasarkan warna kulitnya.
"Pada mulanya, kami hanya melihat kepalanya dan penduduk kampung tidak berani untuk menangkapnya," katanya kepada beritatajim.com.
Darun bersama empat rakannya, Wito, Sarijan, Purdi dan Kusni terpaksa memanggil lebih ramai penduduk untuk membantu mereka menangkap labi-labi tersebut sebelum membawanya ke darat.
Malah semasa mengangkat labi-labi itu keluar dari air, seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Kasan mengalami kecederaan di bahagian tangan akibat digigit haiwan itu.
Beberapa penduduk kampung mendakwa, mereka sering melihat labi-labi gergasi itu sebelum ini, namun hanya untuk tempoh yang singkat. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_10/Labi-labi-gergasi-ditangkap#ixzz29LfJ3UhO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais

Penduduk Pontianak ditimpa hujan ais:


Sejumlah ketulan ais yang turun berserta hujan di Pontianak, baru-baru ini. - AGENSI
PONTIANAK, Kalimantan Barat - Bandar Pontianak dan daerah Kubu Raya di sini baru-baru ini, digemparkan dengan fenomena hujan ais berserta angin kencang.
Menurut seorang penduduk tempatan, Dewi, fenomena yang berlaku pada waktu petang itu merupakan kejadian pertama yang melanda bandar ini.
"Pada mulanya, saya menyangka ada orang membaling batu ke arah saya. Namun apabila diteliti, batu tersebut adalah ais dan jumlahnya semakin banyak.
"Ais yang turun berserta hujan lebat itu berukuran seperti batu kerikil," katanya kepada Metrovnews.com.
Seorang lagi penduduk, Erwin Harahap berkata, dia ditimpa hujan ais ketika sedang membaiki radio di belakang rumahnya.
"Rasanya sakit seperti terkena batu," ujarnya.
Pegawai Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Pontianak, Sutikno berkata, fenomena tersebut berlaku disebabkan proses kondensasi di atmosfera melalui lapisan sejuk di atas paras beku.
"Ais akan terbentuk dalam ukuran yang besar, namun saat turun bersama hujan, saiz ais akan berubah menjadi kecil disebabkan perubahan suhu.
"Hujan ais ini akan berlanjutan selama beberapa hari. Oleh itu, penduduk perlu berhati-hati agar tidak terkena ketulan ais," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_11/Penduduk-Pontianak-ditimpa-hujan-ais#ixzz29LfA32bC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap

Peti sejuk punyai ciri-ciri dapur lengkap:


Peti sejuk La Cambusa dibina dengan ciri-ciri moden menyerupai sebuah dapur lengkap. - Agensi
LONDON 12 Okt. - Pembuat peti sejuk dari Itali, Meneghini menghasilkan sebuah peti sejuk serbaguna moden yang mempunyai ciri-ciri sebuah dapur lengkap.
Peti sejuk tiga pintu itu dinamakan sebagai La Cambusa yang mampu menempatkan pembancuh kopi, tempat simpanan makanan yang mempunyai pengawal suhu dan pembuat ais.
Malah, sebuah televisyen juga boleh diletakkan dalam satu ruangan khas.
Peti sejuk yang kelihatan seperti perabot antik itu berukuran 2.5 meter lebar dengan berat 499 kilogram serta mempunyai ruang simpanan sehingga 754 liter.
La Cambusa dijual pada harga sehingga AS$41,500 (RM127,312) dan disasarkan untuk dijual kepada golongan mewah.
Bagaimanapun, peti sejuk itu masih boleh ditempah mengikut keperluan pembeli.
Mereka perlu membayar sejumlah AS$26,000 (RM79,761) untuk bingkai peti sejuk yang diperbuat daripada kayu dan ia boleh dicat mengikut lebih 500 warna.
Pembeli kemudiannya perlu membayar sama ada untuk peti sejuk, tempat penyimpanan gelas dan perkakas lain mengikut kemahuan mereka. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121013/lu_08/Peti-sejuk-punyai-ciri-ciri-dapur-lengkap#ixzz29LexZUS4
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kad kredit berkompas

Kad kredit berkompas:


Kad kredit MasterCard dikeluarkan Bank Al Hillal turut tidak mengenakan faedah terhadap penggunanya. - Agensi
ABU DHABI 13 Okt. - Sebuah bank di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bank Al Hillal memperkenalkan kad kredit dilengkapi kompas yang menunjukkan arah kiblat.
Pengenalan kad kredit MasterCard baru itu adalah sempena pelaksanaan undang-undang syariah mengharamkan faedah dikenakan terhadap pinjaman di negara-negara Arab.
Jurucakap Mastercard, Hames Issokson berkata, pihaknya melihat terdapat peningkatan terutama di Asia Barat untuk perbankan Islam dan dalam kes itu, pengeluaran kad kredit mengikut undang-undang syariah.
Selain kompas, katanya, pemilik kad kredit baru itu akan mendapat beberapa faedah lain iaitu baucer perjalanan untuk mengerjakan haji.
"Sejumlah wang daripada penggunaan kad kredit itu juga akan didermakan kepada badan kebajikan tempatan,'' katanya kepada agensi berita, NBCNEWS.com.
Operator kad kredit di negara-negara Arab akan melaksanakan yuran kad selepas mereka dilarang mengenakan faedah ke atas pinjaman dibuat oleh pelanggan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_07/Kad-kredit-berkompas#ixzz29Le7UkQj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Konflik Syria: 33,082 terkorban

Konflik Syria: 33,082 terkorban:
BEIRUT 14 Okt. - Pertumpahan darah di Syria telah mengorbankan sekurang-kurangnya 33,082 orang dengan kebanyakannya adalah orang awam, kata Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, semalam.
Kira-kira 1,000 orang telah terbunuh dalam tempoh lima hari lalu sahaja, kata badan yang berpangkalan di Britain itu.
“Ini adalah perang dan tidak ada cara lain untuk menggambarkan kekejaman di Syria," kata pengarah pertubuhan, Rami Abdel Rahman.
Sekurang-kurangnya 23,630 orang awam telah dibunuh, diikuti 8,211 tentera dan 1,241 adalah tentera yang berpaling tadah yang menyertai pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121014/lu_10/Konflik-Syria-33082-terkorban#ixzz29LaTbIFh 
© Utusan Melayu (M) Bhd '

Lelaki temui al-Quran tertua

Berita Harian | Lelaki temui al-Quran tertua:

Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Naskah al-Quran dikatakan ditemui seorang pemuda di Yaman.
Manama: Seorang lelaki Yaman mendakwa menemui sebuah manuskrip lama yang dipercayai paling tua iaitu naskhah Al-Quran.

Kitab suci umat Islam itu ditemui di dalam penutup kulit dalam sebuah gua di pergunungan selatan bandar Dhale, di bahagian selatan negara itu, lapor halaman web berita Yaman berbahasa Arab, Aden Gulf News. 
Perkataan “Manuskrip ini ditulis tangan pada 200 Hijrah (815 Masihi) tertulis pada halaman pertama dan ujian awal menunjukkan bahawa naskhah berkenaan adalah tulen, menjadikan ia kitab Al-Quran tertua masih wujud. 

Berdasarkan halaman web itu, huruf Arab tidak mempunyai titik yang hanya diperkenalkan pada peringkat akhir dalam abjad Arab untuk membezakan ia dengan huruf lain yang kelihatan sama.

“Pemuda yang enggan dikenali itu dilaporkan turut menerima tawaran sejumlah 
besar wang bagi menukar manuskrip berkenaan termasuk sejumlah YR12 juta (RM170,664) yang ditawarkan kepadanya, tetapi enggan berbuat demikian,” kata saudara terdekatnya.

Katanya beliau tiba di gua gunung berkenaan dengan mendaki menggunakan tali dan menegaskan itu hanya satu-satu cara untuk ke sana.
Halaman berita itu mendakwa lelaki berkenaan juga menemui sebilah pedang bersebelahan naskhah al-Quran tyang dipercayai milik Ali Bin Abu Talib, Khalifah keempat Islam yang juga menantu Nabi Muhammad.

Beberapa perakuan sejarah mengatakan bahawa ia adalah pedang Dhu Al Faqqar yang dihadiahkan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ali. - Agensi

Aktivis remaja ditembak Taliban stabil

Kosmo! Online - Dunia:



MURID-MURID perempuan sebuah sekolah rendah di Peshawar berdoa untuk kesejahteraan aktivis remaja, Malala Yousafzai yang cedera
ditembak di kepala.



ISLAMABAD - Seorang pelajar perempuan yang ditembak di kepala oleh anggota kumpulan Taliban berada dalam keadaan stabil ketika rakyat negara ini terus berdoa agar dia cepat sembuh.
Insiden Malala Yousafzai, 14, ditembak yang berkempen untuk menuntut hak pendidikan, mendapat kecaman daripada seluruh dunia, malah pihak berkuasa Pakistan menawarkan ganjaran lebih AS$100,000 (RM305,780) bagi menangkap penyerangnya.
"Kondisi kesihatan Malala semakin memuaskan. Organ-organ pentingnya baik dan dia masih menggunakan ventilator. Sepasukan doktor juga ditugaskan untuk memantau keadaannya," jelas satu kenyataan daripada tentera Pakistan. Dia kini dirawat di sebuah hospital tentera terkenal di Rawalpindi.
Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf melawat Yousafzai dan dua orang rakannya yang cedera pada Jumaat. Mereka cedera apabila seorang lelaki bersenjata tiba-tiba masuk ke dalam bas sekolah dan melepaskan tembakan pada Selasa lalu.
"Ini bukan jenayah ke atas individu. Tetapi jenayah terhadap kemanusiaan serta serangan ke atas nilai sosial," kata Ashraf.
Jurucakap tentera, Mejar Jeneral Asim Saleem Bajwa semalam menyatakan tempoh 36 hingga 48 jam adalah kritikal buat Yousafzai.
Semalam, para pelajar di sekolah-sekolah seluruh negara itu membaca doa buat Yousafzai. Masjid-masjid dan rumah ibadat lain turut mengadakan upacara khas untuk mendoakan Yousafzai. - AFP

'via Blog this'