Pages

Saturday, November 5, 2011

Lambaian Kaabah: 28,000 jemaah menuju Arafah




2011/11/05

Tabung Haji sedia 700 bas bergerak secara berperingkat mulai jam 3 petang

MAKKAH: Seramai 28,000 jemaah haji Malaysia adalah antara kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia yang mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 kilometer dari sini, semalam, untuk berwukuf hari ini.
Pengurus Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Tabung Haji, Mohamad Naser Jaffar, berkata Tabung Haji menyediakan 700 bas bagi membawa jemaah haji Malaysia secara berperingkat mulai jam 3 petang (8 malam waktu Malaysia), selepas solat Jumaat.
“Perjalanan dari kota Makkah ke Arafah dijangka mengambil masa sejam setengah dan kumpulan terakhir dijangka tiba sebelum subuh hari ini,” katanya di sini, semalam.

Katanya, petugas Tabung Haji digerakkan seawal jam 7.30 pagi (12.30 tengah hari waktu Malaysia) bagi memastikan segala persediaan awal untuk menerima ketibaan jemaah haji Malaysia dapat disempurnakan.

Semua kemudahan dan keperluan asas jemaah seperti khemah, makan minum, peralatan lain serta kemudahan tandas, juga dalam keadaan yang baik.

Sementara itu, tinjauan mendapati suasana jalan-jalan di sekitar kota Makkah sudah mulai sesak dengan bas-bas besar bergerak menuju ke Arafah.
Selain itu, akhbar harian berbahasa Inggeris di sini, memetik beberapa tokoh ulama terkenal termasuk Mufti Besar Sheikh Abdul Aziz Al-Asheikh meminta semua umat Islam termasuk jemaah untuk mengelak daripada menunaikan kelima-lima solat fardu di Masjidil Haram di Makkah bagi mengurangkan kesesakan di dalam masjid.

“Keseluruhan Makkah dianggap sebagai kawasan Tanah Haram (tempat suci) dan pahala bersembahyang di mana-mana masjid di Makkah adalah sama dengan bersolat di Masjidil Haram,” kata Sheikh Abdul Aziz yang dipetik akhbar harian Okaz.

Beliau juga tidak menggalakkan jemaah melakukan umrah berulang kali yang disifatkannya boleh menimbulkan kesesakan teruk dan membahayakan jemaah.

Bagaimanapun, Sheikh Yousuf Al-Qaradawi, Presiden Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa menjelaskan bahawa al-Quran menyatakan Masjidil Haram merujuk kepada kawasan Kaabah. – BERNAMA
Berita Harian Online | Lambaian Kaabah: 28,000 jemaah menuju Arafah:

'via Blog this'

Sekolah kena kembalikan semua yuran


Oleh Syed Mohd Ridzuwan Syed Ismail
smohs@bharian.com.my
2011/11/05

Kerajaan tanggung segala kos ikut Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan sekolah yang mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan perlu mengembalikan yuran terbabit kepada ibu bapa kerana semua yuran itu sudah dimansuhkan dan ditanggung kerajaan melalui pengumuman Bajet 2012.
Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata semua pihak perlu bertanggungjawab dan patuh keputusan ditetapkan kerajaan dalam pengumuman Bajet 2012 serta tidak mengambil kesempatan atas keputusan itu.
Katanya, pihak sekolah tidak harus membebankan ibu bapa selepas kerajaan memansuhkan semua yuran itu dan jangan mengelirukan atau memberikan tafsiran yang salah atas keputusan yang dibuat.

“Perkara ini amat jelas bahawa semua yuran di sekolah rendah dan menengah adalah percuma seperti diumumkan dalam Bajet 2012 dan pihak sekolah tidak perlu lagi mengutip semua yuran itu.

“Jika ada sekolah yang tetap mengutip yuran itu bermakna mereka ingkar arahan yang dikeluarkan dan perlu dikenakan tindakan tatatertib kepada mereka yang cuai atas arahan yang dikeluarkan.

“Guru besar, pengetua perlu bertanggungjawab jika perkara ini berlaku dan kita meminta ibu bapa yang sudah membayar atau diarahkan membayar yuran itu membuat aduan kepada polis, jabatan pelajaran dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua sekolah tidak mengutip yuran peperiksaan, kokurikulum dan kos kertas peperiksaan kerana semua yuran berkenaan dianggarkan RM150 juta kini ditanggung sepenuhnya kerajaan seperti diumumkan dalam Bajet 2012.

Dr Mohamad Ali berkata, jika ada sekolah yang didapati meminta yuran itu dibayar, jabatan pelajaran perlu memberikan surat tunjuk sebab kepada sekolah terbabit.

“Kita minta ibu bapa yang sudah membayar tampil membuat laporan supaya tindakan yang wajar boleh diambil hingga ke akar umbi.

“Kita tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan atas keputusan yang memberikan kesenangan kepada pelajar dan ibu bapa ini disalah tafsir hingga menyebabkan persepsi buruk diterima kerajaan,” katanya.
Berita Harian Online | Sekolah kena kembalikan semua yuran:

'via Blog this'

Sanggul Beracun drama terbaik


Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my
2011/11/05

SABRI Yunus (kiri)  membolot empat trofi termasuk Pengarah Terbaik Drama  pada Anugerah Skrin 2011 di PWTC, malam tadi.
SABRI Yunus (kiri) membolot empat trofi termasuk Pengarah Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2011 di PWTC, malam tadi.
Anugerah Skrin 2011 turut nobat lakonan hebat Eman Manan, Umie Aida

KUALA LUMPUR: Drama Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus membolot empat trofi termasuk Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik Drama pada malam kemuncak Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.
Dua kategori lain dimenangi drama Sanggul Beracun ialah Lakon Televisyen (TV) Terbaik dan Videografi Terbaik.
Pelakon berkarakter, Eman Manan diumum Pelakon Lelaki Terbaik Drama melalui drama Janji Syurga, manakala Datin Umie Aida menepati ramalan ramai apabila membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama melalui Air Mata Nur Salina.

Suasana dewan bertukar sayu apabila Allahyarham Faizal Yusof yang kembali ke rahmatullah pada 1 Januari lalu, diumum Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama melalui drama, Jangan Hantar Aku Ke Neraka. Kategori wanita pula menjadi milik pelakon remaja, Elfira Loy menerusi drama Kum Kum.

Turut menyerlah dalam kategori drama ialah Fazli Daniel Ali yang diumumkan Artis Harapan Pantene melalui drama Yang Terpuji. Drama Rantaian Terbaik pula dimenangi Juvana siaran TV3, manakala Geng Surau terbitan Pena Creative Sdn Bhd dipilih sebagai Drama Komedi Terbaik.

Sementara itu, kategori filem pula menyaksikan produksi terbitan KRU Studios Sdn Bhd, Magika mengetepikan 28 filem lain untuk mengungguli kategori Filem Terbaik. Bagaimanapun, pengarahnya, Edry Abul Halim tewas kepada Osman Ali yang diumumkan Pengarah Terbaik melalui filem Cun.
Filem Cun turut membolot dua trofi lain iaitu Pelakon Lelaki Terbaik Filem yang dimenangi Remy Ishak manakala Nadiya Nissa diumumkan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem.

Eja pula memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem melalui filem Janin.

Aksi hebat pelakon veteran, Sidek Hussin dalam filem Karak arahan Yusry Abdul Halim memberi rezeki apabila Sidek diumumkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem. Pengarah filem Aku Tak Bodoh, Borris Boo pula memenangi kategori Lakon Layar Terbaik Filem.

ASK 2011 pula mengiktiraf pengarah muda, Shamsul Yusof yang juga anak karyawan filem, Datuk Yusof Haslam sebagai penerima Anugerah Yasmin Ahmad.

Trofi itu disampaikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang diiringi Pengerusi Media Prima, Datuk Johan Jaaffar.

INFO

Drama Terbaik - Sanggul Beracun
Pelakon Lelaki Terbaik Drama -Eman Manan (Janji Syurga)
Pelakon Wanita Terbaik Drama - Umie Aida (Air Mata Nur Salina)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama - Faizal Yusof (Jangan Hantar Aku Ke Neraka)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama - Elfira Loy (Kum Kum)
Pengarah Terbaik Drama - Sabri Yunus
Artis Harapan Pantene - Fazli Daniel Ali (Yang Terpuji)
Drama Rantaian Terbaik - Juvana
Drama Komedi Terbaik - Geng Surau
Lakon TV Terbaik - Sanggul Beracun
Videografi Terbaik - Sanggul Beracun
Filem Terbaik - Magika
Pelakon Lelaki Terbaik Filem - Remy Ishak (Cun)
Pelakon Wanita Terbaik Filem - Eja (Janin)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem - Sidek Hussin (Karak)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem - Nadiya Nissa (Cun)
Pengarah Terbaik Filem -Osman Ali (Cun)
Lakon Layar Terbaik Filem : Aku Tak Bodoh (Borris Boo)
Laporan Khas/Berita Terbaik : Buletin Utama (Pengemis Terhormat)
Rancangan Hiburan Terbaik : Maharaja Lawak Akhir
Rancangan Muzikal Terbaik : Shout Awards 2010
Rancangan Bual Bicara Terbaik : Selami Jiwa : Datuk Dr Fadzilah Kamsah
Berita Harian Online | Sanggul Beracun drama terbaik:

'via Blog this'

Orang minyak amuk di Ketari


Oleh Asrol Awang
bhnews@bharian.com.my
2011/11/05

Lembaga hitam didakwa pecah rumah, merogol bimbangkan penduduk

KUANTAN: Anak gadis di 20 kampung dan tamah perumahan Ketari, Bentong dinasihat tidak berjalan bersendirian terutama pada waktu malam bagi mengelak menjadi mangsa ‘lembaga hitam’ yang dibimbangi penduduk sejak dua minggu lalu kerana ia adalah seorang penjenayah pecah rumah dan perogol.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor, meminta penduduk meningkatkan rondaan malam di kawasan kejiranan masing-masing dan membersihkan semak-samun yang berpotensi menjadi tempat persembunyian penjenayah.
Mohamad Mansor berkata, pihaknya sedang mengenal pasti beberapa suspek selepas memperincikan siasatan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Jangan percaya khabar angin mengenai lembaga hitam, kita sedang menjuruskan siasatan untuk mendapatkan bukti untuk bertindak,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kebimbangan penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari mengenai lembaga hitam seakan orang minyak bertubuh kecil dipercayai mengamalkan ilmu hitam yang mengganggu gadis bawah umur selain memecah masuk rumah.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, juga meminta penduduk di situ mendapatkan laporan lebih tepat daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu bagi mengelak masyarakat terpengaruh dengan berita yang belum diketahui kesahihannya.
Beliau menasihatkan mereka supaya meningkatkan semangat kejiranan dan mengambil langkah keselamatan termasuk memasang lampu untuk menerangkan persekitaran rumah.

“Bagi masyarakat Islam pula, lebih baik adakan solat hajat dan perbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir bagi mengelak perkara tidak baik berlaku di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

ADUN Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye pula meminta penduduk kampung lebih berwaspada serta meningkatkan rondaan di sekitar kawasan masing-masing.

“Pihak polis juga turut membuat rondaan dan kita harap penduduk dapat bekerjasama dengan polis untuk memastikan keharmonian kawasan masing-masing,” katanya.
Berita Harian Online | Orang minyak amuk di Ketari:

'via Blog this'

Tendang buaya selamatkan diri


Oleh M Hifzuddin Ikhsan
hifzuddin@bharian.com.my
2011/11/05

MENTERI Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Rosey Yunus  (tengah) melawat Johari di Hospital Miri, semalam.
MENTERI Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Rosey Yunus (tengah) melawat Johari di Hospital Miri, semalam.
Petani mandi di jeti sungai hampir maut diserang reptilia sepanjang 1.8m

MIRI: Hidup atau mati! Hanya itu berada di fikiran seorang petani ketika dia bergelut mengelak daripada diseret buaya sepanjang 1.8 meter ke dalam Sungai Sibuti dalam kejadian di Kampung Bulau, Bekenu, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, Johari Simuto, 23, sedang mandi di jeti berdekatan rumahnya sebelum dilibas ekor reptilia ganas itu yang menyebabkan dia terjatuh ke kawasan berselut di tebing sungai.
Buaya dengan anggaran berat 200 kilogram itu menyambar paha kanan dan cuba mengheretnya ke tengah sungai dengan dia terpaksa menendang kepala haiwan itu beberapa kali sebelum dilepaskan.

Johari berkata, dia yang berseorangan ketika kejadian terpaksa bergelut hampir lima minit bagi menyelamatkan nyawanya sebelum berjaya mencapai tiang jeti dan memanjat ke bahagian pelantarnya.

“Saya langsung tidak menyedari ada buaya menghampiri jeti ketika saya sedang mandi, tahu-tahu saya sudah terpelanting jatuh ke tebing sungai akibat dilibas ekor buaya.

“Saya cuba menjerit meminta pertolongan namun tidak berupaya kerana paha kanan terlalu sakit akibat dicengkam gigi buaya dengan fikiran ketika itu hanya mahu naik ke atas jeti saja,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri.
Cuaca gelap ketika kejadian dipercayai menjadi punca mengapa kehadiran reptilia berkenaan tidak disedari mangsa dengan dia yang berada dalam keadaan cedera parah diselamatkan penduduk kampung yang turut menghantarnya ke hospital.
Berita Harian Online | Tendang buaya selamatkan diri:

'via Blog this'

Penternak 'kurung' buaya dalam rumah, bot elak terlepas




2011/11/05

HANOI: Penternak buaya di Lembangan Mekong menempatkan ratusan ternakan mereka di dalam rumah dan bot bagi mengelakkan haiwan itu terlepas semasa banjir besar, lapor media tempatan semalam.

Paras air yang tinggi menenggelamkan sangkar reptilia itu dan banyak keluarga di wilayah Dong Thap terpaksa menyimpan ternakan dalam khemah rapuh dalam bot dan di rumah mereka, lapor laman berita VNExpress yang memetik pegawai dari Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Wilayah.
Pegawai menafikan khabar angin yang banyak buaya terlepas sepanjang banjir besar yang meragut lebih 70 nyawa di seluruh negara, lapor Jakarta Globe.
Seorang penternak di daerah Binh Thanh, Nguyen Van Duc, berkata paras air yang terlalu tinggi menyebabkan beliau terpaksa menempatkan 300 ekor anak buaya di dalam khemah yang dimuatkan dalam bot.

Keluarganya mengawasi bot itu siang dan malam bagi mengelakkan haiwan itu daripada terlepas dan mengelakkan daripada dicuri, katanya.

“Setiap reptilia itu bernilai hampir 1 juta dong (RM156), jadi jika saya kehilangan haiwan itu, saya juga akan kerugian besar,” katanya.

Awal minggu ini, pegawai dari Jabatan Perlindungan Hutan di wilayah An Giang menemui tiga buaya dengan berat antara 12 hingga 30 kilogram dibiarkan tanpa kurungan di lantai sebuah rumah.
Pemilik buaya itu berkata beliau bimbang reptilia itu akan terlepas dalam banjir jika dibiarkan di luar rumah.

Ternakan buaya popular di Vietnam dengan puluhan ribu reptilia itu diternak untuk daging dan kulit.

Pada 2007, ratusan buaya berat sehingga 250 kilogram terlepas ketika banjir memusnahkan pagar di ladang ternakan di tengah Vietnam. – Agensi
Berita Harian Online | Penternak 'kurung' buaya dalam rumah, bot elak terlepas:

'via Blog this'

556 cawangan bank di Thailand tutup




2011/11/05

PENDUDUK berdiri di dalam air banjir ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di daerah Don Muang, kelmarin.
PENDUDUK berdiri di dalam air banjir ketika menunggu ketibaan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di daerah Don Muang, kelmarin.
BANGKOK: Sebanyak 13 bank komersial dan sebuah firma kewangan di Thailand melaporkan bahawa mereka kini menutup sementara sejumlah 556 cawangan berikutan banjir yang melanda beberapa beberapa wilayah di negara itu, kata Bank of Thailand semalam yang dipetik akhbar The Nation.

Sejumlah 267 cawangan di Bangkok, 152 di Pathum Thani, 69 di Nonthaburi, 28 di Ayutthaya, 26 di Nakhon Pathom, tujuh di Nakhon Sawan dan satu di Chai Nat manakala selebihnya adalah di merata-rata bandar lain yang dilanda banjir, kata bank pusat berkenaan.
Siam Commercial Bank paling banyak menutup cawangannya iaitu 118 diikuti dengan Krung Thai (84) dan Kasikornbank (77).
Perkhidmatan di 4,943 cawangan mesin ATM yang dikendalikan bank terbabit turut digantung.

Sejumlah 1,679 di Bangkok, 1,479 di Pathum Thani, 736 di Nonthaburi, 635 di Ayutthaya, 163 di Nakhon Pathom, 57 di Nakhon Sawan, 55 di Samut Sakhon, 47 di Samut Prakan dan selebihnya merata-rata bandar lain yang dilanda banjir.

Bank pusat berkenaan pada Khamis melaporkan bahawa sebanyak 482 cawangan bank ditutup.

Sementara itu akhbar yang sama melaporkan bahawa Sultan Brunei, Sultan Hassan al-Bolkiah turut memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di Thailand sebanyak AS$100,000 atau Bt 3 juta (RM311,599).
Duta Brunei ke Bangkok mewakili ketua negara berkenaan untuk memberikan sumbangan wang berkenaan kepada Menteri Luar Thailand, Surapong Towichukchaikul.

The Bangkok Post melaporkan banjir terburuk di Thailand dalam tempoh setengah abad itu, mengancam beberapa stesen keretapi bawah tanah dan memaksa penutupan sebuah pusat beli belah terbesar di negara itu semalam.

Kira-kira 20 peratus daripada ibu negara berkenaan kini ditenggelami banjir yang turut dicemari dengan sampah sarap, bangkai haiwan dan sisa buangan industri sekali gus menimbulkan kebimbangan penyebaran wabak penyakit berjangkit di kawasan metropolitan yang didiami 12 juta penduduk itu.

Air dilaporkan kini hanya beberapa kilometer dari kawasan perniagaan dan tarikan pelancongan walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa tengah Bangkok akan terselamat.

Banjir kini tiba di persimpangan Lat Phrao di utara bandaraya berkenaan awal semalam memaksa penutupan pusat beli belah Central Plaza.

Seorang jurucakap Bangkok metro berkata bahawa tiga stesen keretapi bawah tanah, Lat Phrao, Phahon Yothin dan Chatucak Park berisko dan mungkin ditutup jika air meningkat kepada 40 sentimeter di luar.

“Kami menghantar pegawai di semua stesen berisiko untuk menilai keadaan setiap jam,” katanya.

Di kawasan Pasar Minggu Chatuchak berhampiran, yang juga sebuah tarikan pelancong yang popular, ia bakal dibuka semula hujung minggu ini atas permintaan peniaga tetapi pihak berkuasa memberi amaran bahawa kawasan terbabit juga berkemungkinan dilanda banjir.

Banjir yang berpunca dari hujan lebat luar biasa dan kegagalan untuk melepaskan air dari empangan awal monsun lalu membunuh 442 penduduk dan memusnahkan kediaman serta kehidupan berjuta penduduk di seluruh negara.

Pihak berkuasa mengeluarkan perintah berpindah ke lapan daerah di Bangkok daripada sejumlah 50 di bandaraya terbabit dan kawasan tertentu di empat tempat lain.

Sebanyak 12 daerah yang secara keseluruhan mempunyai 1.7 juta penduduk jauh daripada memiliki penempatan secukupnya yang disediakan kerajaan.

Kebanyakan mereka memilih untuk tinggal di rumah sendiri walaupun berisiko dengan kejadian terkena kejutan elektrik, penyakit dan kekurangan makanan serta air minuman selain menyukarkan usaha bantuan.

Banjir turut menenggelamkan lapangan terbang kedua Bangkok, Don Mueang, yang biasanya membabitkan penerbangan domestik tetapi lapangan terbang utama Suvarnabhumi masih lagi beroperasi seperti biasa.

Lapangan terbang utama itu dikelilingi tambak banjir setinggi 3.5 meter yang dipantau sepanjang masa, kata pihak berkuasa kepada media.

Pengurus besar Suvarnabhumi, Somchai Sawasdeepon berkata bahawa lapangan terbang terbabit akan menggunakan pelan kecemasan jika air mencecah setinggi 2.5 meter.

“Saya percaya kami boleh pindahkan semua penumpang dan pesawat dalam masa 24 jam,” katanya. “Kini lapangan terbang itu beroperasi secara biasa. Tiada tanda yang membimbangkan kami. Paras air juga tidak membimbangkan kami.” – Agensi
Berita Harian Online | 556 cawangan bank di Thailand tutup:

'via Blog this'

Rakyat Iran laung slogan kutuk Amerika




2011/11/05

PELAJAR Iran membakar gambar Obama ketika mengadakan demonstrasi memperingati ulang tahun rampasan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat 1979 di depan Kedutaan Amerika di Tehran, semalam.
PELAJAR Iran membakar gambar Obama ketika mengadakan demonstrasi memperingati ulang tahun rampasan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat 1979 di depan Kedutaan Amerika di Tehran, semalam.
TEHRAN: Beribu-ribu rakyat Iran melaungkan slogan ‘Mati Amerika’ sempena memperingati ulang tahun rampasan Kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat 1979, dengan tindakan simbolik dan ucapan mengutuk tuduhan Washington berhubung Iran merancang plot pembunuhan.

Perayaan tahunan di depan apa yang digelar rakyat negara itu sebagai ‘sarang pengintip’ turut digunakan tahun ini sebagai landasan memuji kebangkitan penduduk negara Arab, dipanggil kebangkitan Islam dan mengutuk Israel.
Sebahagian penunjuk perasaan yang rata-ratanya masih muda mengambil bahagian membakar bendera Amerika dan Israel serta gambar Presiden Barack Obama.
Setiausaha Majlis Keselamatan Agung Kebangsaan, Saeed Jalili, memberitahu penunjuk perasaan kerajaan mempunyai bukti tidak dapat disangkal menunjukkan Washington menyokong dan melatih pengganas menentang Iran.

Beliau mengibarkan beberapa helai kertas dan berkata ia adalah dokumen yang menyokong dakwaannya.

Saeed tidak memberikan maklumat terperinci tetapi berkata Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menyerahkan laporan kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, dalam usaha mengambil tindakan diperlukan terhadap tindakan biadap itu.

Ketegangan antara Iran dan Amerika semakin memuncak bulan lalu apabila pegawai Amerika menuduh Teheran mendalangi plot membunuh duta Arab Saudi ke Washington.
Iran menafikan sekeras-kerasnya sebarang pembabitan dalam dakwaan itu dan menghantar surat menuntut Washington meminta maaf. Ia menyifatkan tuduhan itu sebagai usaha Amerika mengalihkan perhatian daripada masalah ekonomi domestik dan dasar yang gagal di Asia Barat.

Jalili melaungkan nama ketua unit elit Iran, pasukan Quds, Qasem Soleimani, yang didakwa Amerika sebagai perancang utama pembunuhan itu.

Dalam perkataan yang ditujukan kepada Amerika, Jalili berkata: “Dengan sokongan rakyat, salah seorang komander pasukan pertahanan, Qasem Soleiemani, sudah cukup meletakkan anda di tempat sepatutnya.” – AFP
Berita Harian Online | Rakyat Iran laung slogan kutuk Amerika:

'via Blog this'

Banjir ancam utara Bangkok


BANGKOK 4 Nov. - Banjir kini merebak ke bahagian utara pusat bandar Bangkok dan mengancam perkhidmatan kereta api bawah tanah di ibu negara Thailand ini.

Ini kerana air banjir dari utara Bangkok telah menenggelamkan persimpangan Lad Phrao, hari ini.

Lad Phrao merupakan lokasi di mana terletak bangunan pejabat, kondominium dan sebuah pasar raya utama dan terletak tidak jauh dari pasar minggu popular, Chatuchak.

Media tempatan melaporkan air meningkat sehingga 40 sentimeter.

Pegawai perkhidmatan kereta api bawah tanah berkata, pihaknya sedang memantau situasi di tiga stesen di kawasan berkenaan.

''Setakat ini, kesemua stesen berkenaan masih beroperasi,'' ujarnya.

Kerajaan sebelum ini meminta penduduk di lapan daripada 50 daerah di ibu negara Thai ini berpindah ekoran bencana alam tersebut.

Lebih 400 orang terbunuh di negara ini sejak banjir melanda Thailand pada Julai lalu. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Kualiti hidup Indonesia merosot


JAKARTA 4 Nov. - Kualiti hidup rakyat Indonesia yang diukur berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) tahun ini merosot dan sekali gus berada pada kedudukan tidak membanggakan di rantau Asia Pasifik.

Dalam Laporan Pembangunan Manusia 2011 yang dikeluarkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) mencatatkan, negara ini berada pada kedudukan ke-124 daripada 187 negara pada tahun ini.

Bagaimanapun, di kalangan 10 anggota ASEAN, republik ini mencatat kedudukan lebih baik berbanding Vietnam (128), Laos (138), Kemboja (139) dan Myanmar (149).

Di kalangan negara ASEAN, Singapura berada di kedudukan ke-26 diikuti Brunei (33), Malaysia (61), Thailand (103) dan Filipina (112).

HDI tertinggi di kalangan negara ASEAN dicapai oleh Singapura dengan rekod 0.866 peratus diikuti Brunei (0.838 peratus) dan Malaysia (0.761 peratus).

Indeks tersebut yang dinilai berdasarkan sektor pendidikan, kesihatan dan pendapatan merumuskan HDI Indonesia pada saat ini ialah pada kedudukan 0.617 peratus.

Singapura turut mencatat pertumbuhan ekonomi terpantas bagi tempoh 1989 dan 2009 iaitu sebanyak 6.73 peratus, diikuti Malaysia (6.15 peratus), Indonesia (5.16 peratus), Thailand (5.02 peratus) dan Filipina (3.79 peratus).

Pada tahun lepas Indonesia merupakan antara 10 negara yang mencatat pertumbuhan paling pesat dalam tempoh 20 tahun oleh survei HDI.

HDI Indonesia meningkat sebanyak 54 peratus antara 1980 dan 2010 hasil jangka hayat yang meningkat daripada 54 tahun kepada 71 tahun dan peningkatan 180 peratus dalam pendapatan per kapita kepada AS$3,957. - Utusan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Ribuan penunjuk perasaan laung slogan perkauman di Rusia


05/11/2011 2:10am

MOSCOW 5 Nov. – Beribu-ribu pejuang nasionalis Rusia, yang kebanyakannya menjerit slogan berbaur perkauman, mengadakan demonstrasi di sini, semalam, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap ketegangan antara kaum di negara ini.

Tunjuk perasaan yang digelar 'Perarakan Rusia' itu, yang diadakan pada hari cuti umum bagi memperingati Hari Perpaduan Negara, menghimpunkan beribu-ribu peserta di daerah Lublino, tenggara Rusia.

Kebanyakan penunjuk perasaan menjerit slogan 'Rusia untuk Rusia,’ 'Eropah untuk bangsa kulit putih,’ dan 'Kemenangan untuk kemerdekaan Rusia' serta mendakwa terlalu banyak pembiayaan diberikan kepada masyarakat Islam di wilayah Kaukasus dekat utara negara ini. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Iran ancaman No.1 AS


05/11/2011 2:10am

WASHINGTON 5 Nov. - Iran menjadi ancaman terbesar Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah, sekali gus mengetepikan kedudukan kumpulan militan al-Qaeda, kata seorang pegawai tentera AS semalam.

"Ancaman terbesar kepada AS dan kepentingan serta sekutu kami, Iran perlu diberi lebih perhatian," kata pegawai tersebut yang enggan dikenali.

Katanya, Iran mungkin tidak mencetuskan provokasi politik namun tidak pasti sama ada republik Islam itu merancang untuk membina senjata nuklear. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Perancis undi berkecuali terhadap permohonan Palestin


05/11/2011 2:10am

PARIS 5 Nov. - Perancis akan mengambil langkah berkecuali pada undian Majlis Keselamatan terhadap permohonan Palestin untuk mendapatkan keanggotaan penuh di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB.

Timbalan Menteri Luar, Romain Nadal berkata semalam, Perancis tetap dengan pendirian untuk memberi Palestin status negara pemerhati bukan anggota sebagai satu alternatif mendapatkan keanggotaan penuh.

"Permohonan Palestin untuk mewujudkan sebuah negara sah tidak boleh dipertikaikan, namun peluangnya tipis di Majlis Keselamatan kerana pendirian Amerika Syarikat yang tidak menyokong usaha tersebut," katanya. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Syria tawar pengampunan kepada individu serah senjata


05/11/2011 2:10am

DAMSYIK 5 Nov. - Kementerian Dalam Negeri Syria semalam menawarkan pengampunan kepada rakyatnya yang menyerahkan senjata masing-masing kepada pihak berkuasa sebelum 12 November ini.

Menurut satu laporan televisyen negeri, kementerian tersebut menyeru sesiapa saja yang memiliki, menjual, mengedar, membeli, meminjam senjata dan tidak pernah melakukan pembunuhan untuk menyerahkan peralatan tersebut kepada balai polis berhampiran di daerah masing-masing bermula hari ini (Sabtu) sehingga 12 November.

"Mereka yang berbuat demikian akan bebas dan diberikan pengampunan," jelas laporan tersebut. - AFP

Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

3 juta jemaah menuju Arafah


MEKAH 4 Nov. - Kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia mula bergerak menuju ke Arafah kira-kira 20 km dari sini hari ini, untuk mengerjakan wukuf esok.

Sebahagian daripada jemaah memulakan perjalanan ke Arafah dari Madinah.

Sekumpulan besar jemaah mula tiba di kawasan perkhemahan Mina dengan berjalan kaki dan menaiki bas serta kenderaan lain.

Selepas mengerjakan wukuf di Arafah dan bermalam di Muzdalifah, mereka akan kembali ke Mina bagi mengerjakan ibadat melontar jamrah pada Ahad ini.

Jemaah akan berada selama tiga hari di Mina bagi melontar jamrah.

Kira-kira 50,000 pegawai dikerahkan sekitar Mekah dan kawasan Tanah Suci bagi memastikan keselamatan jemaah dan kelancaran perjalanan jemaah.

Komander Pasukan Pertahanan Awam di Mina, Brigadier Saeed al-Qarni berkata, jabatan bomba dan penyelamat dan unit perlindungan sivil kini bersedia untuk menghadapi sebarang kejadian.

‘‘Sejumlah anggota bomba dan penyelamat bermotosikal juga bersedia menghadapi kejadian kebakaran secepat mungkin. Kami juga memberikan latihan khas kepada pegawai bagi menangani keadaan banjir dan rempuhan,’’ katanya.

Polis membuka berpuluh-puluh pos pemeriksaan di jalan-jalan raya dan lebuh raya menghala ke Mekah bagi menghalang mereka tanpa permit haji memasuki Mekah. – Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Budak 3 tahun terkurung, selamat



Shylah Silbery


WELLINGTON 4 Nov. - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang terkurung selama dua hari di dalam rumah berjaya mengharungi kehidupan dengan minum lebihan susu dan makanan selepas ibunya meninggal dunia secara tiba-tiba di rumah mereka di sini, baru-baru ini.

Keadaan tersebut hanya disedari jiran terdekat setelah keluarganya tidak dapat menghubungi ibu kanak-kanak itu, Lauren Silbery, 28 tahun yang meninggal dunia.

Menurut bapa saudaranya, Pete Silbery, kanak-kanak perempuan tersebut dapat membuka peti sejuk untuk mengambil makanan dan menenangkan dirinya dengan bermain anak patung beruang yang diberi nama 'Possum'.

"Kali terakhir kami menghubunginya (Lauren) ialah pada 19 Oktober lalu dan dua hari kemudian kami cuba menghubunginya lagi, namun tiada sebarang jawapan.

"Bimbang dengan keadaan tersebut, kami meminta jiran terdekatnya untuk pergi ke rumah Lauren bagi melihat apa yang berlaku," katanya.

Daripada pemerhatian jiran tersebut, dia mendapati Shylah berada di dalam rumah, namun ibunya tidak kelihatan, sekali gus menyebabkan keluarganya menghubungi polis.

Sejurus itu, polis datang ke rumah Lauren dan memujuk gadis kecil itu menarik meja kopi ke arah pintu untuk membukanya.

Selepas kejadian tersebut, Shylah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat kekurangan air dan ruam lampin.

Sementara itu, pihak berkuasa masih menunggu hasil bedah siasat ke atas mayat Lauren. - Agensi

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Kama mahu masuk sekolah biasa


KAMA MIREZZANIAL yang berusia tujuh tahun dipeluk mesra oleh adiknya, Kamarya Mysara, 4 tahun, di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Kanak-kanak terkecil di Malaysia, Kama Mirezzanial Kama Rezmie Kamaruddin, 7, melahirkan harapan untuk belajar di sekolah harian biasa seperti kanak-kanak lain seusianya.

Dia yang mempunyai ketinggian 56 sentimeter dan berat 4.5 kilogram pada masa ini tidak bersekolah kerana enggan mengikuti pembelajaran di sebuah sekolah pendidikan khas di Putrajaya.

Kama Mirezzanial yang dilahirkan pada 2 Mac 2004 telah disahkan oleh Malaysia Book of Records(MBR) baru-baru ini sebagai kanak-kanak terkecil di Malaysia.

Bapanya, Kama Rezmie berkata, anaknya itu lahir dalam keadaan pramatang di Hospital Putrajaya ketika usia kandungan lapan bulan dengan berat 550 gram dan bersaiz 25 sentimeter. Dia disyaki mempunyai syckel syndrom iaitu sindrom kekerdilan yang menyebabkan pertumbuhan badannya terencat berbanding kanak-kanak lain.

"Doktor ketika itu mengesahkan dia hanya boleh hidup tidak sampai 75 hari selepas dilahirkan dan berkemungkinan mengalami masalah perkembangan otak.

"Meskipun tumbesarannya mula berhenti pada usia lima bulan tetapi Kama Mirezzanial terus hidup sehingga kini malah dia begitu aktif, boleh bertutur dengan baik dan boleh membaca," katanya ketika ditemui di pejabat MBR di sini semalam.

Lebih mengagumkan, kata Kama Rezmie, anaknya itu kini gemar menghabiskan masa dengan bermain iPad dan iPhone pada waktu lapang dan amat meminati ikon Upin dan Ipin.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Lelaki tikam bapa aktres Glee serah diri



ANGEL CAPILI JR. (tengah) dikawal oleh dua anggota polis di ibu pejabat polis di Camp Crame, bandar Quezon, Manila kelmarin.


MANILA - Suspek dalam kes menikam mati bapa kepada penyanyi Charice Pempengco yang popular menerusi siri muzikal televisyen, Glee menyerah diri kelmarin.

Angel Capili Jr. turut mengaku bertanggungjawab melakukan jenayah terbabit.

Ketua polis wilayah Laguna, Gilbert Cruz berkata, Capili menyerah diri kepada ketua kampungnya di kawasan perbandaran General Trias, dekat wilayah Laguna di selatan ibu kota Filipina di sini.

Polis berkata, bapa Charice yang bekerja sebagai buruh binaan, Ricky Pempengco, 40, ditikam seorang lelaki mabuk bersenjatakan alat pemecah ais selepas dia membeli rokok di sebuah kedai pada Isnin lalu.

Cruz berkata, Capili juga seorang pekerja binaan tetapi tidak mengenali Pempengco.

"Saya merancang untuk menyerah diri kerana apa yang saya lakukan adalah silap," kata Capili kepada wartawan.

"Saya memohon kemaafan daripada keluarga Pempengco. Saya juga bersedia menerima apa jua hukuman kerana perbuatan saya ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Charice membatalkan konsertnya yang akan datang dan meminta keadilan buat bapanya.

Remaja berkenaan melakonkan watak pelajar pertukaran antarabangsa, Sunshine Corazon dalam siriGlee. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Mati ditikam kerana pertahan rakan wanita diganggu


MUMBAI - Bandar raya ini gempar selepas dua pemuda dibunuh sekumpulan samseng bersenjatakan pisau apabila mereka cuba membantu rakan wanita mereka daripada mengalami gangguan seksual kumpulan tersebut.

Mangsa, Keenan Santos, 25, meninggal dunia di tempat kejadian apabila dia ditikam di luar sebuah bar di sini pada 20 Oktober lalu manakala seorang lagi pemuda, Rueben Fernandes, 28, mati di hospital pada minggu ini.

Polis berkata, empat orang telah ditangkap kerana disyaki melakukan pembunuhan tersebut.

Namun, jenayah kejam itu mencetuskan kemarahan penduduk bandar ini. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'