Pages

Monday, April 6, 2015

Budak temu sarang tabuan terbesar


Jordan Waddingham mengabdikan kenangan bersama sarang tabuan Eropah
Jordan Waddingham mengabdikan kenangan bersama sarang tabuan Eropah terbesar, sekali gus menjadi sarang tabuan terbesar di dunia. AGENSI
SYDNEY 5 April – Seorang kanak-kanak lelaki Australia mencatat rekod dunia apabila menemukan sarang tabuan tanah jenis Eropah terbesar di dunia yang kini dipamerkan di sebuah muzium di Tasmania.
Kanak-kanak berusia 12 tahun itu, Jordan Waddingham menemukan sarang tabuan itu di kawasan semak di Karoola, timur laut Launceston selepas ibunya, Stephanie menawarkan AS$20 (RM73) untuk mengesan sarang serangga itu ekoran terganggu dengan kehadiran tabuan itu di rumah mereka.
Menurut portal Mail Online, Waddingham hanya mengambil masa beberapa minit untuk mengesan sarang berkenaan di tebing sungai apabila mengekori beberapa ekor tabuan itu pulang ke koloninya.
Pakar dari Muzium Queen di Launceston, Simon Fearn berkata, pihaknya mengambil masa dua hari untuk menggali keseluruhan sarang tabuan itu apabila dimaklumkan tentang penemuan koloni terbesar oleh kanak-kanak itu.
Malah, katanya, empat orang diperlukan untuk mengangkat sarang itu yang berukuran satu meter tinggi dan tiga meter ukuran lilit, sekali gus lebih besar berbanding saiz normal yang hanya sebesar bola sepak.
“Sarang seberat 90 kilogram itu dipercayai menampung koloni tabuan sebanyak kira-kira 100,000 ekor dan kini disimpan di muzium untuk tontonan umum,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/budak-temu-sarang-tabuan-terbesar-1.77634#sthash.hQIyrR7O.dpuf

Ayah jelajah seluruh China cari anak hilang


gantang
Gantang menunjukkan gambar anaknya Guo Zhen yang hilang 18 tahun lalu. – AGENSI
BEIJING 5 April - Berita tentang usaha seorang bapa di China mencari anak­nya yang hilang sejak 18 tahun lalu dilapor menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna media sosial di negara ini sejak kebelakangan ini.
Menurut portal Odditycentral, Guo Gantang, 45, dari Liaocheng di wilayah Shandong, menghabiskan masa selama 18 tahun di atas jalan raya dengan menunggang motosikal bagi mencari anaknya Guo Zhen di seluruh pelosok China.
Zhen hilang pada 21 September 1997 ketika baru berumur dua tahun, dan sejak itu, Gantang telah mengembara sejauh 400,000 kilometer di hampir seluruh wilayah China kecuali Xinjiang dan Tibet dengan menggunakan 10 motosikal bagi mencari anaknya.
Gantang memasang dua bendera tertera gambar lama anaknya yang diikat pada bahagian belakang motosikal yang ditunggangnya yang menurut saksi Zhen diculik di hadapan rumahnya oleh seorang wanita separuh umur.
Bagaimanapun agak malang, usaha Gantang sejak hampir dua dekad itu masih tidak berjaya, walaupun dia dianggap sebagai ‘utusan tuhan’ oleh ibu bapa lain yang turut kehilangan anak mereka.
Hal ini kerana dengan pertolongan Gantang, berpuluh-puluh kanak-kanak yang hilang di China berjaya ditemukan dan disatukan dengan keluarga mereka semula selepas BBC melaporkan lebih 20,000 kanak-kanak di China diculik, setiap tahun.
Namun, Gantang enggan menghadiri majlis pertemuan semula itu kerana dia tetap akan menunggu anaknya pulang dan tidak akan berputus asa.
“Saya sentiasa beritahu diri saya, mungkin esok Zhen akan pulang, namun hari esok itu masih belum tiba lagi,’’ katanya, sambil menambah kata, dia hanya bimbang rumahnya akan musnah semasa dia sedang mengembara mencari anaknya.
Sementara itu, kisah Gantang yang menyentuh hati itu menjadi inspirasi kepada filem Lost and Love yang dibintangi Andy Lau, dan disebabkan jalan cerita filem itu, sudah ramai orang mengetahui kisah Gantang dan menyokongnya di media sosial.
“Ini adalah kasih seorang ayah, cerita yang menyentuh hati! Saya rasa mahu menangis,’’ kata pengguna, @Xiaoyuanzi yang bersimpati dengan nasib Gantang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ayah-jelajah-seluruh-china-cari-anak-hilang-1.77691#sthash.OeBncq1N.dpuf

Lelaki pulangkan wang tunai dijumpai


Dan Kennedy memulangkan semula wang yang dijumpainya di tengah-tengah
Dan Kennedy memulangkan semula wang yang dijumpainya di tengah-tengah lebuh raya, baru-baru ini. AGENSI
SALT LAKE CITY 4 April– Seorang lelaki yang mengalihkan sebuah bungkusan ‘sampah’ besar yang terjatuh daripada sebuah kenderaan pengawal keselamatan ke tengah-tengah lebuh raya, terkejut selepas mendapati beg plastik tersebut dipenuhi wang kertas.
Akhbar The Deseret News melaporkan, ketika kejadian Selasa lalu, beg tersebut betul-betul jatuh di hadapan kenderaan dipandu Dan Kennedy sebelum dia bertindak mengalihnya kerana bimbang lalu lintas di lebuh raya berkenaan terganggu.
“Pada mulanya saya menyangka bungkusan itu mungkin ringan, namun saya tidak dapat mengalihkannya.
“Bungkusan itu berukuran 1.2 meter tinggi dan 0.6 meter lebar. Di dalamnya dipenuhi pek-pek kecil wang kertas AS$50 dolar dan AS$100 dolar. Saya jangkakan, satu pek mungkin mengandungi sejumlah AS$22,000 (RM80,599),” ujarnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar wang di dalamnya tidak pula didedahkan.
Kennedy berkata, dia kemudian bertindak memulangkan bungkusan duit tersebut kepada anggota polis dari unit Peronda Lebuh Raya Utah.
“Kes ini memang unik. Sepanjang hidup, saya tidak pernah lagi terdengar kisah bungkusan duit terjatuh daripada trak pengawal keselamatan,” kata anggota polis, Brady Zaugg yang menyifatkan Kennedy sebagai lelaki budiman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-pulangkan-wang-tunai-dijumpai-1.77220#sthash.vANbQDM6.dpuf

Al-Quran laris di Perancis


Penjualan melonjak tiga kali ganda

Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali
Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di Perancis selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan, Charlie Hebdo, Januari lalu. AGENSI
PARIS 4 April - Penjualan al-Quran dan buku tentang Islam, melonjak tiga kali ganda di negara ini selepas serangan ganas di pejabat majalah mingguan Charlie Hebdo Januari lalu, ekoran timbul tanda tanya dalam kalangan penduduk mengenai agama yang semakin pesat berkembang di Eropah itu.
Menurut pengarah majalah Philosophie, Fabrice Gerschel, fenomena itu berlaku kerana penduduk Perancis tertanya-tanya tentang agama Islam dan mereka tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh media.
Jelasnya, keadaan tersebut juga menyebabkan banyak edisi khas tentang al-Quran dihasilkan oleh syarikat penerbitan majalah bagi memenuhi kehendak pembaca.
Menurut Kesatuan Kedai-Kedai Buku Kebangsaan Perancis, jualan buku tentang Islam meningkat tiga kali ganda pada suku pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Penjual buku, Yvon Gilabert pula berkata, seorang wanita beragama Kristian datang ke kedainya untuk membeli al-Quran kerana mahu menilai sendiri dakwaan yang mengaitkan Islam dengan keganasan.
Penguasa kedai buku Al Bouraq, Mansour Mansour berkata, hasil jualan buku tentang Islam di kedainya meningkat 30 peratus sejak kebelakangan ini, sama seperti yang berlaku selepas serangan 11 September 2001.
“Saya rasa penjualan buku ini akan meningkat untuk jangka masa yang lama,” jelas Mansour.
Persoalan tentang Islam bukan sahaja menjadi topik perbualan dalam kalangan orang awam, tetapi turut mendapat perhatian cendekiawan Perancis apabila mereka bertindak menganjurkan program kajian tentang al-Quran di pusat pengajian berprestij, College de Perancis, di sini, kelmarin.
Serangan di pejabat Charlie Hebdo pada 7 Januari lalu mengakibatkan 17 orang terkorban.  AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/al-quran-laris-di-perancis-1.77216#sthash.VXlrRZec.dpuf