24 OGOS 2016
Athens benar bina masjid Masjid Tzistarakis di tengah Athens adalah satu daripada masjid rasmi terakhir yang digunakan ketika pemerintahan empayar Uthmaniyyah
ATHENS - GREECE. Masjid rasmi pertama akan didirikan di ibu negara Greece, sekali gus menamatkan larangan selama hampir 200 tahun yang menghalang sebarang tempat ibadah orang Islam dibina di negara itu.
Khabar gembira buat masyarakat Islam itu diumumkan selepas kerajaan meluluskan rang undang-undang untuk mempercepatkan rancangan pembinaan masjid di kawasan kejiranan Votanikos di Athens.
Datuk Bandar, Giorgos Kaminis menyifatkan rang undang-undang baharu itu sebagai satu langkah tegas berkaitan menghormati hak kebebasan agama.
Bagaimanapun, beberapa penduduk Islam mendakwa lokasi masjid tersebut yang terletak di zon perindustrian terpencil dan gudang terbiar adalah tidak sesuai.
"Masjid rasmi lebih sesuai didirikan berhampiran atau di pusat bandar," kata Presiden Persatuan Orang Islam Greece, Naim Elghandour.
Difahamkan, tiada masjid baharu dibangunkan sejak pemerintahan Empayar Uthmaniyyah berakhir di Greece pada 1829.
Di Athens, kira-kira 200,000 orang Islam menggunakan 100 masjid tidak rasmi seperti di dalam garaj atau bilik bawah tanah yang diubah suai untuk solat berjemaah dan menjalankan aktiviti keagamaan. - Press TV