Pages

Wednesday, August 10, 2011

Kes pembunuhan warga Perancis: Polis tunggu laporan DNA

ANTARA barang kes milik mangsa.
ANTARA barang kes milik mangsa.

KUANTAN: Polis percaya penemuan rangka manusia di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas adalah warga Perancis yang dilaporkan hilang sejak Mei lalu, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Saifuddin Ab Ghani.

Bagi mengesahkannya, beliau berkata, polis meminta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga Stefanie Foray di Perancis untuk dipadankan dengan penemuan mayat berkenaan.
"Pada 8 Ogos lepas sepasukan polis yang diketuai Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang bersama Dr Sri Marni Zainal Abidin daripada Jabatan Pathologist HTAA pergi ke lokasi mayat mangsa ditanam.
"Polis menjumpai satu rangka manusia "mummified" (dibungkus seperti mumia) dipercayai mayat Stefanie Foray berserta sebuah beg kanvas dipercayai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dijumpai ditanam kira-kira tiga meter di dalam gua di kawasan Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan seorang wanita warganegara Perancis Stefanie Foray, 30, yang berasal dari Bourg En Bresse sejak 8 Mei lalu.

Saifuddin berkata, maklumat yang diterima oleh polis Melaka, mangsa pernah menginap di Sayang Sayang Guest House, Melaka mulai 7 hingga 9 Mei.
Hasil pemeriksaan lanjut, katanya, mangsa dilaporkan pergi ke Pulau Tioman menaiki feri dari Mersing melalui Blue Water Express pada 10 Mei dan tiada pendaftaran keluar.

Saifuddin berkata, hasil siasatan lanjut, polis menangkap seorang lelaki, 36, yang bekerja sebagai sewa peralatan menyelam di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Katanya, suspek mendedahkan maklumat bahawa mangsa ditanam di dalam sebuah gua di Kampung Tekek.

Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah mata wang Sri Lanka daripada suspek manakala satu kad "Carte Dassurance Maladie" di atas nama mangsa, satu kad Visa, tiga rantai perak, dua gelang tangan warna kuning dan sebentuk cincin perak dalam rumah suspek.

Saifuddin berkata, polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 44 tahun bagi membantu siasatan dan kedua-duanya ditahan reman di Melaka.

Selain itu, polis turut menjumpai bantal, tilam, beg haversack jenama X-Zone di tempat mayat dijumpai.

Setakat ini, katanya, motif pembunuhan dan sebab kematian masih disiasat. - BERNAMA -bharian

No comments: