Pages

Friday, July 13, 2012

Mursi akur perintah mahkamah


KAHERAH 12 Julai - Presiden Mesir, Mohammed Mursi, semalam menyatakan beliau akan menghormati perintah mahkamah yang membatalkan kuasa Presiden bagi mengisytiharkan Parlimen supaya bersidang semula, ditengah-tengah krisis terbaru perebutan kuasa antara Presiden dan majlis pemerintah tentera.
''Jika keputusan Mahkamah Perlembagaan semalam menghalang Parlimen melaksanakan tanggungjawabnya (bersidang), kami akan menghormatinya kerana kita adalah negara yang menghormati undang-undang.
''Rundingan akan diadakan dengan parti dan institusi politik dan majlis agung untuk pihak berkuasa perundangan bagi mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara ini,'' katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan yang dikeluarkan semalam dilihat cuba menenteramkan keadaan melibatkan badan kehakiman, yang kini berada di barisan hadapan dalam konflik pergelutan kuasa antara jeneral berpengaruh dan Presiden baru Mesir itu.
Mursi pada minggu lalu mengarahkan Parlimen supaya bersidang semula, tindakan yang menolak keputusan majlis pemerintah tentera membubarkan badan tertinggi negara tersebut ekoran perintah Mahkamah Perlembagaan sebelum itu yang mendapati pembentukan Parlimen tidak sah pada bulan lepas, sebelum kuasa pentadbiran negara diserahkan kepada Presiden.
Perisytiharan Mursi itu disambut baik oleh penyokong yang mempercayai keputusan Mahkamah Perlembagaan tersebut bermotifkan politik.
Bagaimanapun, tindakan Mursi tersebut dikritik oleh penentangnya yang menuduh beliau bertindak di luar bidang kuasanya.
Menurut Perlembagaan peralihan kuasa di Mesir yang digubal oleh majlis pemerintah tentera yang mengambil alih pentadbiran negara selepas Presiden, Hosni Mubarak digulingkan pada tahun lepas, majlis tentera akan memegang kuasa Parlimen selepas badan tertinggi negara tersebut dibubarkan.
Keputusan Mursi itu dilihat sebagai cubaan menunjukkan pengaruhnya dalam perebutan kuasa antara pemimpin awam pertama Mesir dan jeneral tentera yang dilantik Mubarak yang mahu mengekalkan kuasa mereka selepas pentadbiran negara dipindahkan kepada kerajaan awam pada 30 Jun lalu. - AFP

Rejim Bashar al-Assad hadapi tekanan


NEW YORK 12 Julai - Rejim Syria pimpinan Presiden, Bashar al-Assad semalam menghadapi tekanan selepas kuasa Barat merancang memberi kata dua untuk mengenakan sekatan ke atas rejim itu, selain tindakan seorang diplomat kanannya berpaling tadah.


Di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) mengemukakan draf resolusi yang memberi Assad tempoh 10 hari untuk melaksanakan pelan gencatan senjata ditaja utusan khas Liga Arab-PBB atau menghadapi sekatan keras.


Resolusi itu mengutuk peningkatan penggunaan senjata berat termasuk kereta kebal dan helikopter oleh tentera Syria.


Satu keputusan perlu dicapai sebelum 20 Julai ini apabila mandat misi pemantau PBB di Syria tamat.


Dalam pada itu, Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares (gambar) mdilaporkan berpaling tadah dan menyokong pemberontakan di negara itu.


Seorang diplomat Arab di Baghdad berkata, Nawaf telah menyerahkan surat kepada Kementerian Luar Iraq dan akan bertemu pegawai hari ini bagi membincangkan perjalanannya ke negara lain. - AFP

Myanmar tolak etnik Rohingya



Gambar fail bertarikh 13 Jun lalu merakamkan beberapa orang wanita dan kanak-kanak Rohingya menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Naf ke Bangladesh bagi melarikan diri dari keganasan etnik di Rakhine,, barat Myanmar. - AFP

YANGON 12 Julai - Presiden Myanmar, Thein Sein hari ini memberitahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa penyelesaian kepada konflik agama di negeri Rakhine adalah hanya dengan menghantar etnik Rohingya beragama Islam ke khemah-khemah pelarian atau mengusir mereka.


Laman web rasmi Presiden Myanmar melaporkan Thein Sein berkata, Myanmar akan bertanggungjawab terhadap kepada rakyatnya, tetapi tidak akan menerima etnik Rohingya yang memasuki negara ini secara haram.


Beliau berkata, krisis itu hanya boleh diselesaikan melalui satu pendekatan iaitu menghantar etnik Rohingya yang berjumlah kira-kira 800,000 di Myanmar dan dianggap golongan minoriti paling ditindas, ke khemah pelarian yang diselia Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).


"Kami akan menghantar etnik Rohingya ke mana-mana negara dunia ketiga yang mahu menerima mereka,'' katanya kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR, Antonio Guterres.


Beliau berkata, ia merupakan penyelesaian kepada konflik etnik dan agama di Rakhine yang difikirkan oleh pihaknya.


Keganasan etnik dan agama melanda Rakhine antara etnik Rakhine beragama Buddha dan etnik Rohingya pada Jun lalu, memaksa berpuluh ribu orang meninggal kediaman mereka bagi menyelamatkan diri.


PBB berkata, diskriminasi sejak berdekad-dekad lalu menyebabkan etnik Rohingya tidak dianggap sebagai rakyat Myanmar dengan kerajaan dilapor mengehadkan pergerakan serta tidak membenarkan kumpulan itu memiliki tanah, pendidikan dan menikmati perkhidmatan lain.


Menurut UNHCR, kira-kira satu juta etnik Rohingya dipercayai tinggal di luar Myanmar, namun mereka tidak diterima oleh mana-mana negara dunia ketiga.


Bangladesh telah mengusir bot-bot membawa etnik tersebut sejak keganasan tercetus di Rakhine.


Jurucakap UNHCR Asia, Kitty McKinsey berkata, pada asasnya, Myanmar tidak menganggap penduduk Islam di utara Rakhine sebagai warganegara mereka.


"Kami merasakan penyelesaiannya adalah memberikan mereka status kewarganegaraan Myanmar,'' ujarnya. - AFP

9 kadet polis maut diserang Taliban

LAHORE: Sekumpulan lelaki bertopeng dan bermotosikal menyerbu sebuah rumah dan membunuh sembilan kadet polis di Lahor, semalam.
Polis berkata, dalam serangan kira-kira jam 6 pagi itu, tiga anggota pasukan itu turut cedera.

Pegawai tempatan berkata, mangsa adalah pelatih Akademi Penjara Punjab. Sementara itu, Taliban mengaku bertanggungjawab dalam insiden berkenaan dan berikrar melakukan lebih banyak serangan di wilayah berkenaan. - Reuters

Rejim Zionis hantar pemintas roket ke sempadan Mesir

BAITULMAQDIS: Israel semalam berkata, mereka akan menghantar roket pemintas peluru berpandu Iron Dome ke selatan negara itu yang bersempadan dengan Mesir.
Media melaporkan, pelancar roket itu ditempatkan di Eilat dan ia adalah langkah pertama pernah diambil rejim Zionis di kawasan berkenaan.

Jurucakap tentera Israel berkata, Eilat dipilih sebagai sebahagian daripada program penempatan yang termasuk perubahan lokasi pelancar dari semasa ke semasa. Iron Dome adalah misil panduan laser yang mampu meletupkan roket dan mortar di udara.
Sistem pertahanan itu dibangunkan di Israel dengan bantuan dana dari Amerika Syarikat. Keadaan di sempadan Israel - Mesir semakin tegang sejak kebangkitan rakyat berjaya menyingkirkan Hosni Mubarak tahun lalu. - Reuters

Duta Syria di Iraq berpaling tadah

DAMSYIK: Tekanan terus memuncak ke atas Presiden Bashar al-Assad selepas seorang diplomat kanan Syria berpaling tadah, semalam.
Pada masa sama, Barat turut memberikan tempoh 10 hari kepada Bashar sebelum mengenakan sekatan ke atas negaranya. Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares, mengumumkan dia menyertai pegawai kerajaan yang menyokong pembangkang. “Saya mengumumkan membelot daripada jawatan sebagai wakil Syria di Iraq dan menarik diri daripada Parti Baath,” katanya.

Nawaf juga menggesa rakyat Syria, terutama dalam angkatan tentera negara itu supaya segera menyertai orang awam dalam revolusi. “Sasarkan semua meriam dan kereta kebal ke arah penjenayah dalam rejim yang membunuh rakyat,” katanya.
Menjadi antara pengkritik utama Bashar, Nawaf kini berlindung di Qatar. Sebelum ini, Nawaf dilantik sebagai gabenor bagi wilayah Syria dan memegang jawatan kanan dalam Parti Baath.

Dia dibesarkan dalam keluarga Sunnah di timur Syria dan menjadi duta ke Iraq sejak September 2008. Kementerian Luar Syria pula menyatakan, Nawaf “digugurkan” selepas membuat kenyataan media yang bercanggah daripada tugasnya.

“Dia akan didakwa dan tertakluk kepada tindakan disiplin,” kata kenyataan kementerian itu. - AFP

10 tahun rantai isteri

WASHINGTON: Seorang lelaki dari Virginia Barat ditangkap kerana menyeksa isterinya, menjadikannya hamba dan tebusan dengan merantainya selama hampir 10 tahun.
Menurut media tempatan, pegawai di Jackson County menuduh Peter Lizon bertindak jahat selepas isterinya muncul di sebuah pusat perlindungan dengan parut pada pergelangan tangan dan kaki akibat dirantai baru-baru ini. Lizon, 37, juga didakwa memukul kaki isterinya dengan peralatan pertanian.

Dia memanggil isterinya, Stephanie, 43, ‘hamba’ dan memaksa wanita itu melutut setiap kali dia memasuki bilik.
Stephanie mengalami kecederaan serius pada seluruh tubuhnya, dari melecur teruk pada payu dara dan belakang badan akibat ditekap dengan besi dan kuali panas sehingga patah jari dan berparut, menurut tuduhan jenayah yang difailkan oleh seorang wanita yang menemui mangsa di pusat perlindungan itu. Wanita itu juga mendakwa Lizon memukul isterinya di perut ketika dia mengandung, menyebabkan mangsa keguguran sebelum lelaki itu menanam mayat janin yang sudah membesar menjadi bayi di ladangnya.

Stephanie juga dipaksa melahirkan seorang lagi anak sambil dia dirantai. Dia dan dan anaknya tidak pernah menerima rawatan perubatan sejak itu.

Bagaimanapun, peguam Lizon, Shawn Bayliss menolak dakwaan itu dengan memberitahu stesen televisyen WSAZ, keguguran yang dialami Stephanie berpunca daripada kemalangan jalan raya. Menurutnya, wanita yang memfailkan tuduhan itu mengalami masalah mental dan berkata, Stephanie tetap mempertahankan suaminya. - AP

Gabungan Patogen punca penyakit misteri di Kemboja


Gabungan Patogen punca penyakit misteri di Kemboja
Hospital Kantha Bopha terus dikunjungi orang ramai.
PHNOM PENH - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Kemboja mengenal pasti punca penyakit misteri meragut 60 kanak-kanak di Kemboja adalah disebabkan kewujudan tiga virus di dalam tubuh kanak-kanak tersebut.

Gabungan virus itu dikenali sebagai Patogen terdiri daripada Enterovirus 71, Streptokokus dan denggi, manakala pengambilan steroid yang tidak bersesuaian berupaya mengaktifkan virus tersebut sekali gus melemahkan sistem imunisasi badan.

Sementara itu, Doktor Pediatrik Hospital Kantha Bopha, Dr Beat Richner berkata, setakat ini tiada kes kematian baru dicatatkan.

Pemain bola Palestin dibebaskan


Pemain bola Palestin dibebaskan
Sarsak (tengah) dikerumuni penyokongnya selepas tiba
 di Rafah, selatan Genting Gaza, kelmarin.
GENTING GAZA - Pemain bola sepak Palestin, Mahmoud Sarsak yang nekad mogok lapar tiga bulan di penjara Israel, dibebaskan kelmarin menerusi satu perjanjian yang dipersetujui pihak berkuasa Israel.

Sarsak, 25, berkata, dia tidak melupakan nasib saudaranya yang masih meringkuk di dalam penjara Israel.

“Ini adalah kemenangan untuk kami dan saya ucapkan terima kasih kepada Palestin dan badan antarabangsa yang menyokong saya,” katanya.

Sarsak melancarkan mogok lapar sebagai membantah tindakan rejim Zionis yang mengenakan hukuman tahanan pentadbiran ke atasnya selepas ditahan pada Julai 2009.

Tindakan beliau sehingga menjejaskan kesihatannya itu, menarik perhatian antarabangsa termasuk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sekatan haram Israel jejas ekonomi Gaza


Sekatan haram Israel jejas ekonomi Gaza
Seorang lelaki di kem pelarian Jabaliya, utara Genting Gaza kelihatan
 murung kerana mengenang nasibnya yang terpaksa melalui
pelbagai kesukaran akibat sekatan haram Israel.
GENTING GAZA - Sekatan haram Israel dikenakan ke atas Gaza sejak lima tahun lalu kononnya atas alasan keselamatan tetapi sebenarnya memberi kesan terhadap ekonomi di Gaza.

Sebanyak 30 peratus perniagaan terpaksa ditutup dan 80 peratus penduduk bergantung dengan bantuan kemanusiaan.

Badan kebajikan Oxfam dan Badan Pembangunan Eksport Palestin (Paltrade) melaporkan tiada sebab Gaza masih perlu bergantung kepada bantuan kemanusiaan
kerana sebelum sekatan haram itu, Gaza adalah sebuah bandar industri yang agak pesat membangun.

Secara purata, 1,034 lori membawa barangan termasuk tanaman kontan meninggalkan Gaza untuk dipasarkan.

Sekatan ke atas ekonomi di Gaza telah memberi kekecewaan besar kepada penduduk Palestin kerana ramai yang terpaksa menganggur dan bergantung kepada
bantuan kerajaan.

Oxfam dan PalTrade menggesa sekatan ke atas Gaza ditarik balik sebagai langkah pertama memulihkan ekonomi dan membina kehidupan lebih baik.

Piranha serang selatan China

Gambar (kiri) mangsa gigitan piranha manakala gambar (kanan), seorang penduduk menunjukkan ikan piranha bergigi tajam yang ditangkap di sungai Guangxi.Gambar (kiri) mangsa gigitan piranha manakala gambar (kanan), seorang penduduk menunjukkan ikan piranha bergigi tajam yang ditangkap di sungai Guangxi.
Beijing: Sebuah bandar di selatan China memberi amaran kepada penduduk supaya berhati-hati dengan ancaman piranha selepas ikan itu menyerang dua orang yang masuk ke dalam sungai.

Malah, pihak berkuasa bandar itu menawarkan hadiah wang tunai 1,000 yuan (RM500) setiap seekor ikan bagi sesiapa yang dapat menyerahkannya, hidup atau mati, lapor media di sini, semalam. Seorang penduduk, Zhang Kaibo, berkata tangannya terpaksa dijahit selepas tiga ikan itu menyerangnya ketika dia membasuh anjing peliharaannya di tepi sungai. 
Dia berjaya menangkap seekor ikan itu tetapi ia mati tidak lama kemudian.
“Ibu saya sudah memotongnya dan kami merancang untuk makan tetapi beberapa pegawai tempatan datang dan mengambilnya untuk tujuan kajian,” kata Zhang.

Penduduk diminta buru Piranha

Pihak berkuasa perbandaran Guangxi di Liuzhou meminta penduduk memburu dan menangkap ikan itu yang berasal dari Amerika Selatan.
Ikan itu menggigit dua penduduk awal minggu ini ketika mangsa berada di Sungai Liujiang, lapor China Daily.

“Pihak berkuasa melarang penduduk menggunakan pukat untuk menangkap ikan di kawasan sungai yang lalu di bandar itu tetapi tidak di tempat lain kerana ada langkah keselamatan diambil.

“Selain itu, lima bot membawa nelayan berpengalaman sudah ditempatkan di sungai itu sejak Isnin lalu,” kata pegawai Liuzhou, Wei Yongwen.

“Selain itu, lebih 40 nelayan lain daripada sebuah persatuan memancing tempatan turut menyertai usaha ini. Mereka menggunakan cebisan kecil khinzir untuk mengumpan ikan itu,” katanya lagi.

Ada juga penduduk berkumpul di tepi tebing sungai membawa joran sendiri untuk membantu, katanya.

“Agak menakutkan ikan seperti itu berada di sungai ini. Saya tidak dapat berenang lagi di situ. Saya harap mereka dapat tangkap semua piranha dalam masa terdekat,” kata seorang penduduk, Liu Junjie.

Kebimbangan tidak berpanjangan

Bagaimanapun, kebimbangan pihak berkuasa dan penduduk tidak dijangka berpanjangan kerana ikan itu mati apabila suhu air turun di bawah 15 darjah Celcius di Guangxi terutama apabila tiba musim sejuk, kata China Daily.

Media China melaporkan, ikan itu mungkin dilepaskan oleh penduduk yang membelinya sebagai haiwan perhiasan dan pihak berkuasa kini melakukan pemeriksaan bagi menyekat jualannya.
Agensi

Bulan kelima Pluto ditemui



GAMBAR menunjukkan bulan P5 (dalam bulatan) bersama
empat lagi bulan yang mengelilingi planet Pluto.

WASHINGTON - Sekumpulan ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui bulan kelima yang mengelilingi planet Pluto, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan kelmarin.
Bulan itu diberi nama jolokan P5 buat sementara waktu.
Ia mempunyai diameter kira-kira 10 hingga 24 kilometer.
Ahli-ahli astronomi itu menemui bulan tersebut dengan menggunakan Teleskop Angkasa Lepas Hubble.
Pada tahun lalu, sekumpulan ahli astronomi melaporkan penemuan bulan keempat planet tersebut yang dikenali sebagai P4.
Bulan terbesar Pluto ialah Charon ditemui pada tahun 1978.
Dua lagi bulan, Nix dan Hydra ditemui pada tahun 2005.
Pluto diklasifikasikan sebagai planet kerdil oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa.
Planet itu selebar 2,301 kilometer. - Agensi

Kereta Al Capone dilelong



KERETA Cadillac V-8 yang pernah menjadi milik Al Capone.

PLYMOUTH - Sebuah kereta Cadillac V-8 buatan tahun 1928 yang pernah menjadi milik ketua gengster terkenal di Amerika Syarikat, Al Capone akan dilelong di sini.
Agensi lelongan RM Auctions akan melelong kereta tersebut pada 28 Julai depan.
Kereta itu dijangka dilelong antara harga AS$300,000 (RM952,866) hingga AS$500,000 (RM1.58 juta).
Ia merupakan antara kereta kalis peluru yang terawal pernah dihasilkan.
Cermin kereta itu setebal hampir 25.4 milimeter. - Reuters

Duta Syria ke Iraq belot




GAMBAR yang disiarkan Agensi Berita Syria Arab kelmarin menunjukkan
 tentera Syria melancarkan dua peluru berpandu dalam satu latihan ketenteraan
 di sebuah lokasi rahsia.
DAMSYIK - Duta Syria ke Iraq, Nawaf Fares merupakan pegawai berprofil tinggi kedua yang belot kepada pihak pemberontak semalam.
Ia sekali gus memberikan sokongan moral kepada pemberontak yang kini berjuang untuk menjatuhkan Presiden Syria, Bashar Al-Assad.
Nawaf yang merupakan seorang pengikut Sunah dan anggota Parti Baath yang memerintah pernah memegang beberapa jawatan utama di bawah pemerintahan bapa Bashar, Hafez Al-Assad sebelum dilantik sebagai Duta ke Iraq pada tahun 2008.
Beliau berasal dari Deir Al-Zour, sebuah wilayah yang bersempadan dengan Iraq di timur Syria.
Wilayah berkenaan menjadi lokasi pertempuran sengit antara tentera pemerintah dan para pemberontak sejak rakyat Syria bangkit menjatuhkan rejim Bashar 16 bulan lalu.
Sebelum ini, seorang pegawai tinggi Pengawal Republikan, Brigedier Jeneral Manaf Tlass yang merupakan rakan peribadi Bashar belot dan melarikan diri melalui Turki pada minggu lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim Bashar membedil kampung Treimsa di wilayah Hama, tengah Syria semalam, kata beberapa pemerhati dan aktivis manakala lapan orang terbunuh di seluruh negara berkenaan.
"Tentera rejim membedil kampung Treimsa di Hama dengan menggunakan sejumlah kereta kebal dan helikopter," kata badan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia.
Menurutnya, sekurang-kurangnya seorang maut dan sejumlah lagi cedera dalam serangan tersebut dengan sebahagian daripada mereka parah.
"Sebuah sekolah di kampung itu musnah sama sekali akibat bedilan meriam," kata seorang aktivis di Hama yang menamakan dirinya sebagai Abu Ghazi kepada agensi berita AFP menerusi panggilan internet, Skype.
"Bedilan bermula pada pukul 6 pagi waktu Syria dengan kekuatan besar-besaran dihantar ke sekitar kampung ini. Kini, keseluruhan Treimsa dikepung," tambah aktivis berkenaan.
Badan pemerhati itu mengesahkan lapan kematian dengan lima orang awam dan tiga pemberontak berlaku di seluruh Syria termasuk seorang penduduk awam yang maut di Treimsa.
Kelmarin, seramai 85 orang terkorban termasuk 37 orang awam, 34 askar dan 14 pemberontak bersenjata.
"Antara anggota tentera yang maut termasuk enam askar yang dibunuh di wilayah Damsyik apabila mereka cuba belot," kata badan itu.
Menurut perangkaan badan pemerhati tersebut, lebih 17,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat Syria menentang Bashar bermula pada pertengahan Mac lalu.
Perkembangan itu berlaku selepas tentera pemerintah di Syria didakwa menjadikan wanita sebagai sasaran rogol dan serangan ketika pertempuran di negara itu terus memuncak.
Pertubuhan hak asasi manusia, Women Under Siege menyatakan pihaknya merekodkan 81 insiden serangan seks di Syria sejak demonstrasi antipemerintah bermula pada Mac 2011 dengan kebanyakan kes berlaku di bandar Homs.
Bandar berkenaan merupakan kubu kuat pemberontak dan berulang kali menjadi sasaran serangan tentera pemerintah.
Pengarah pertubuhan itu, Lauren Wolfe berkata, jelas berdasarkan sebilangan laporan oleh beberapa kumpulan hak asasi manusia, kenyataan saksi dan media bahawa perbuatan menyerang dan memperkosa wanita secara bergilir-gilir dilakukan sebagai taktik perang.
Dalam pada itu di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, wakil Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat sepakat menyerahkan satu teks draf yang memberikan masa 10 hari kepada Bashar untuk melaksanakan pelan gencatan senjata anjuran PBB/Liga Arab atau berdepan ancaman sekatan ketat yang baharu. - Agensi

Anak saudara dakwa Israel racun Arafat



GAMBAR fail menunjukkan Arafat dan isterinya, Suha.

RAMALLAH - Israel meracun bekas pemimpin Palestin, Yasser Arafat dengan bahan radioaktif polonium, kata anak saudaranya, Nasser al-Qidwa semalam.
"Kami menuduh Israel membunuh Arafat dengan meracunnya dengan bahan pembawa maut," katanya kepada agensi berita AFP.
Beliau merujuk bahan pembawa maut itu sebagai polonium.
Bahan itu ditemui pada pakaian yang dipakai Arafat semasa beliau sakit.
"Mereka yang bertanggungjawab dengan pembunuhan itu sepatutnya dihukum," katanya.
Beliau merupakan Presiden Yayasan Yaser Arafat.
Dakwaan Arafat diracun muncul pada minggu lalu selepas stesen penyiaran Al-Jazeera melaporkan pakar-pakar menyatakan terdapat kadar kandungan polonium yang tinggi pada barang peribadi milik pemimpin terkenal Palestin itu.
Bahan itu pernah digunakan untuk membunuh bekas perisik Rusia, Alexander Litvinenko yang mati pada tahun 2006 selepas beliau meminum teh yang mengandungi racun tersebut.
Namun, jurucakap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menafikan dakwaan Nasser.
Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004. - AFP