Pages

Monday, April 9, 2012

Galas beg berisiko alami sakit belakang

NEW YORK 8 April - Remaja sekolah yang menggalas beg dengan berat melebihi antara 10 dan 15 peratus daripada berat badan mereka berisiko mengalami sakit belakang dan masalah berkaitan, menurut satu kajian terkini.
Penyelidik berkata, keadaan itu bertambah buruk seandainya remaja terbabit tidak melakukan senaman secukupnya.
Kajian tersebut dilakukan terhadap lebih 1,400 pelajar berusia antara 12 dan 17 tahun, di 11 buah sekolah, di sebuah wilayah barat laut Sepanyol.
Penyelidik turut mengumpul maklumat seperti ketinggian pelajar, kekerapan melakukan senaman, masalah kesihatan lain dan juga sejarah kesakitan di bahagian belakang badan.
“Kebanyakan beg belakang memiliki berat kira-kira tujuh kilogram dan hampir 62 peratus pelajar membawa beg belakang dengan berat melebihi 10 peratus daripada berat badan mereka, manakala 18 peratus lagi membawa beg belakang dengan berat melebihi 15 peratus daripada berat badan mereka,” kata penyelidik.
Satu daripada empat pelajar menyatakan bahawa mereka pernah mengalami sakit belakang lebih daripada 15 hari.
Masalah yang biasa dialami termasuk scoliosis atau tulang belakang melengkung, yang diagnosis di kalangan 70 peratus pelajar dengan mengalami kesakitan belakang.
Masalah sakit tulang belakang bahagian bawah serta kontraksi otot berterusan juga dilaporkan sering berlaku.
Daripada kajian, remaja perempuan didapati lebih mengalami sakit belakang berbanding remaja lelaki dan risiko mereka kelihatan meningkat sejajar dengan peningkatan usia.
Kajian itu turut mendapati remaja dengan beg belakang yang berat didapati 50 peratus lebih kerap mengalami kesakitan melebihi 15 hari, berbanding dengan mereka yang membawa beg lebih ringan. – AGENSI

OIC kutip derma bantu Syria




Penduduk Syria menghadiri pengebumian beramai-ramai mangsa yang didakwa penunjuk perasaan antikerajaan yang dibunuh oleh tentera Syria di bandar Al Qasseer, dekat Homs pada minggu lalu. - REUTERS


RIYADH 8 April - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menjalankan pungutan derma bagi mengumpul sebanyak AS$70 juta (RM217 juta) untuk bantuan kemanusiaan di Syria, di mana kira-kira sejuta penduduk negara itu dianggarkan memerlukan bantuan.
OIC yang berpangkalan di Jeddah berkata, bantuan tersebut akan termasuk bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu, semalam berkata, sebahagian daripada bantuan itu akan disalurkan kepada petani Syria dan penduduk yang terpaksa berpindah akibat keganasan.
Wakil-wakil OIC, pertubuhan yang dianggotai oleh 57 negara Islam termasuk Syria, melakukan tinjauan bersama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Syria pada bulan lepas.
Sementara itu di Damsyik, hampir 130 orang dilaporkan terbunuh di Syria semalam, termasuk 86 penduduk awam, apabila tentera Presiden Bashar al-Assad meneruskan kempen untuk menghancurkan pemberontakan, tiga hari sebelum gencatan senjata dan pengunduran askar dijadual berlaku.
Pemantau melaporkan peningkatan keganasan, meskipun Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon membidas Damsyik kerana memperhebatkan serangan ke atas kubu-kubu pemberontak menjelang gencatan senjata pada Selasa ini.
"Ki-moon kesal dengan serangan yang dilakukan oleh tentera rejim Syria ke atas penduduk awam termasuk ke atas wanita dan kanak-kanak, meskipun kerajaan Syria memberi komitmen untuk menghentikan penggunaan senjata berat di kawasan berpenduduk.
"Tarikh 10 April yang ditetapkan untuk kerajaan Syria melaksanakan komitmennya, seperti diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB, bukanlah alasan untuk meneruskan pembunuhan," kata Ki-moon dalam kenyataan yang dibacakan oleh jurucakapnya, Martin Nesirky. - AFP

Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki....



"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat".. :'(


Jalan di situ berlopak-lopak besar, terhinjut-hinjut Toyota Corolla Altis 1.8 ini dilambung graviti. Ery duduk di sebelah sudah berapa kali bangun tidur, dengkurnya makin menjadi. Siaran radio sekejap berbunyi, bercampur-campur. Sekejap radio perak, sekejap kedah mengikut lambungan kereta lagaknya.

Aku terpaksa memperlahankan kereta melalui satu perkampungan nelayan yang kotor, beberapa budak-budak kecil dengan muka yang comot dan hingus kering di muka berlari-lari. Seorang daripadanya tidak berseluar langsung, geli.

Ada orang tua berbasikal mengangkat tangan memberi salam. Aku menaikkan cermin kereta, melepaskan rengusan garang.

Ery sudah bangun, mengesat-ngesat mata, menggeliat kasar. Mengeluarkan bunyi seperti kerbau. Perempuan sial, sopannya cuma di depan jantan, tersipu-sipu dan bersimpuh malu. Hipokrit ini cuma tahu bersolek dan berdandan bila mahu keluar, di rumah dia seperti perempuan baru beranak, t-shirt goboh dengan kain pelekat senteng dan rambut usai seperti orang gila, mengeluarkan bau hapak dan masam.

Ada sebuah jeti buruk disitu. Beberapa nelayan baru sampai dari laut disambut peraih-peraih buncit. Memunggah ikan. Ery sudah separuh menggelepar di luar meliar mata mencari Shafik, tunangnya. Aku duduk sahaja di dalam kereta. Aku bencikan pantai hanyir seperti ini.

Beberapa gadis bertudunglabuh lalu dengan menaiki basikal dan memberi senyuman.

Aku menghempas pintu serta merta. Memang benar. Perempuan kolot seperti mereka itu, patut dijerukkan saja di tempat busuk ini.Tolol!

Kemudian, datang seorang tua menghampiri tingkap belakang. Aku sedikit marah, mengetap bibir.

"Nak apa?!"

Dia terketar terkejut, sedikit berundur.

"Assalammualaikum nak, pakcik ambil upah cuci kereta.."

Dia bercakap dengan pandangan yang tumpah ke kakinya, tertib dan seperti takut. Di tangannya ada satu baldi buruk air sabun dengan tuala koyak di bahu. Baju kemeja kusam koyak di poket, cuma dibutang dua menampakkan dadanya yang leper ditolak tulang selangka. Seluar hijau pudar senteng.

Tidak berkasut dengan kuku hitam dan kaki yang reput. Menjijikkan!

"Basuh sajalah, tapi, awas!! Kalau calar kereta aku, tahulah macamana aku nak ajar kau!!"

Berkata sambil meliarkan mata pada Ery yang tengah tersengih-sengih meramas-ramas tangan dengan tunangnya itu. Duduk pula bersimpuh, membelai-belai rambut. Boleh pula kaki yang asyik duduk terkangkang di rumah itu ditutup rapat.

Orang tua itu tertunduk-tunduk mengucap terima kasih. Ah, miskin seperti ini tunduk-tunduk meminta simpati, tiada maruah. Terus saja dia menggosok satu demi satu tayar kereta. Memberus sambil terbatuk-batuk, meludahkan kahak hijau. Pengotor, sial! Aku mengalihkan mata ke pantai.

Peraih berdekah ketawa menepuk-nepuk elakang nelayan kurus itu. Menyerahkan beberapa ringgit. Nelayan itu tersenyum pahit. Menyelitkannya di celah kopiah. Itulah, siapa suruh kecil-kecil tidak mahu belajar pandai-pandai, masuk universiti dan kerja besar. Tidaklah hidup susah seperti itu. Bodoh!!

"Sudah nak!!"

Pakcik itu datang setelah 20 minit. Aku sudah malas hendak memandangnya, dan kuhulurkan sahaja RM 5. Aku rasa itu sudah cukup lumayan untuk fakir seperti dia. Cepat-cepatlah dia pergi.

Tapi, sebaliknya dia memegang lama duit itu. Tunduk dan menangis tersedu-sedu. Menambahkan kerut dan mengelap mata dengan hujung kemejanya.

"Kenapa ni? Gila?!"

"Nak, seumur hidup pakcik hidup susah ini, pakcik kerja memetik kelapa, mencuci tandas di restoran, kemudian mencuci kereta, belum pernah pakcik terima upah sebanyak ini. Paling banyak pun hanya seringgit."

Dia bersungguh-sungguh melihat ke dalam mata aku.

Timbul pula sedikit simpati, sedikit sayu. Rasa yang tidak pernah bertakung dalam hati keras aku selama 25 tahun ini. Dia melipat kecil wang itu diikat simpul di dalam sapu tangan biru muda. Pergi dengan terhinggut menangis dengan baldi buruk ke arah sekumpulan nelayan.

Aku memandangnya dengan pandangan kosong. Ini warna kemiskinan, aku tidak pernah lihat. Aku membesar dalam hutan batu, di kota lumpur. Keras diselaput wang kemewahan, kemudian keluar dengan segulung ijazah. Bekerja seperti orang gila untuk duit. Biarlah, kalau aku mahu bantu, ramai lagi di luar sana. Lupakan saja..

Ery memanggil aku dari sebuah kedai makan di situ. Hampir 10 minit aku melayan meluat-melihat Ery yang tersipu-sipu menggagau mee dengan sudu dan garfu. Kemudian, kelibat orang tua itu melintasi kami, menjinjing dua beg besar hitam berisi barang. Hairan, takkanlah dengan wang RM 5 dia boleh membeli barang sebanyak itu. Mustahil. Atau dia memang ada duit tapi, berlagak seperti fakir. Mungkin..

Dengan rasa ragu, aku menghampirinya. Dia memberi senyum lembut dan aku dengan rasa curiga bertanya terus.

" Eh, pakcik. Tadi saya bagi lima ringgit, takkan dapat beli barang sebanyak ini?".

Bunyinya seperti meninggi. Pakcik itu seperti terkejut.

Dia diam dan tunduk seketika. Pahit menelan air liur. Meletakkan dua beg plastik di atas tanah, membukanya satu satu, perlahan-lahan dan terketar.

Aku terkedu. Terkejut dan malu. Pakcik itu mengeluarkan sapu tangan tadi dan membuka simpulannya. Wang aku tadi, masih terlipat kemas.

"Nak, pakcik tahu. Kami ini orang susah, nak. Hidup seperti najis, dibuang dan ditolak-tolak. Kalian pekup hidung melihat kami. Ambillah ini semula. Pakcik juga punya maruah. Kadang-kadang maruah kami lebih tinggi dari kamu orang kaya yang hidup berpura-pura, menipu orang. Harga diri kami masih kuat. Bila anak menyoal pakcik seperti tadi, anak telah memijak harga diri pakcik. Anak seperti menghukum pakcik sebagai orang tua sial yang berpura-pura susah. Ambillah semula, nak."

Pakcik itu meletakkannya di atas tangan aku, dan aku menolak, berkali-kali. Aku sudah menangis, meminta maaf, berkali-kali. Tidak mahu menyentuh langsung wang itu, hingga jatuh di hujung kaki.

"Lihat, itulah tempat duit. Di tapak kaki. Duit itu perlu, tapi jangan sampai ia lebih tinggi dari harga diri. Jangan sampai duit menjadikan kita angkuh dan bongkak. Pakcik ke sana tadi, tempat nelayan memunggah ikan. Pakcik kutip ikan-ikan kembung pecah perut ini yang sudah dibuang ke tepi. Dengan bangkai busuk ini pakcik sambung hidup anak-anak pakcik, jangan sampai kelaparan, jangan mati."

Mendatar sahaja suara orang tua itu berkisar-kisar dengan pukulan ombak. Dia terbatuk-batuk berjalan, meninggalkan aku dengan wang lima ringgit di hujung kaki, dua plastik berisi ikan busuk yang sudah mula dihurung lalat.

Aku terduduk menangis semahu-mahunya. Aku mempunyai wang yang boleh membeli segala kemewahan dunia. cuma aku belum mampu membeli sesuatu yang ada dalam diri orang tua itu.

Moral : Kekayaan itu hanya di dunia dan apabila kita mati nanti, hilanglah kekayaan itu dan yang kita bawa adalah amalan. Ingatlah Allah boleh memberi pada bila-bila masa kepada kita dan Allah juga boleh mengambil nikmat daripada kita bila-bila masa, di mana saja dan apa cara sekalipun.Kekayaan, kemiskinan, kebaikan, keburukan dan setiap musibah yang menimpa manusia merupakan ujian dari Allah swt. yang diberikan kepada hambanya. Itu bukan ukuran kemuliaan atau kehinaan seseorang. Janganlah bangga karena kekayaan dan janganlah putus asa karena kemiskinan.

Patriot diletak di Tokyo

TOKYO: Jepun menempatkan pelancar peluru berpandu di tengah Jepun dan menggerakkan kapal pemusnahnya ketika Korea Utara melakukan persediaan akhir melancarkan roket walaupun dikecam dunia.
Pyongyang berkata, roket itu membawa satelit untuk penyelidikan saintifik dan akan dilancarkan antara 12 dan 16 April ini sempena ulang tahun ke-100 kelahiran pemimpin agung mereka, Kim Il-Sung.

Namun, AS dan sekutunya mendakwa, roket berkenaan sebenarnya dilancarkan untuk menguji peluru berpandu.

Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda, memberi kebenaran kepada tentera menembak jatuh roket berkenaan jika ia mengancam wilayah negara itu.

Peluru berpandu Patriot ditempatkan di Kementerian Pertahanan di tengah Tokyo dan dua pangkalan lain di kawasan itu bagi melindungi ibu negara Jepun yang didiami kira-kira 35 juta orang.

Kementerian Pertahanan juga menghantar tiga kapal pemusnah Aegis membawa peluru berpandu pemintas ke Laut China Timur.

Sejumlah Patriot sebelum ini ditempatkan di selatan Pulau Okinawa yang berada di bawah laluan roket bakal dilancarkan Pyongyang. - AFP

Barat terpaksa akur-Alaeddin

DUBAI: Seorang ahli parlimen kanan Iran mengingatkan kuasa besar Barat bahawa mereka akan terpaksa menerima hakikat kemajuan nuklear negara itu tidak lama lagi.
Menurut agensi berita Irna, Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Dasar Luar Iran, Alaeddin Boroujerdi, berkata kumpulan negara P5+1 perlu mengubah dasar mereka kerana “bermusuh dengan Iran tidak membawa faedah kepada mereka.” Kumpulan negara P5+1 membabitkan AS, Perancis, Russia, Britain, China dan Jerman.

Kata Alaeddin, Iran akan terus berbahas mengenai tenaga nuklear untuk keamanan.

“Detik itu makin hampir apabila dunia akan melihat negara angkuh - diketuai AS dan Eropah - terpaksa menerima hakikat kemajuan dicapai dan Iran menjadi negara nuklear,” katanya di Mashhad, semalam. - Reuters

Lelaki potong kemaluan sendiri

ARAR: Seorang lelaki berusia 27 tahun memotong alat sulitnya dengan pemotong kotak minggu lalu, lapor akhbar harian al-Hayat semalam.
Doktor di Hospital Arar tempat mangsa dikejarkan untuk rawatan Rabu lalu gagal menyambung semula organ itu kerana mangsa mengambil masa begitu lama untuk tiba di hospital.

Menurut jurucakap polis wilayah utara, Kolonel Bandar Al-Ida, siasatan mendapati mangsa memotong kemaluannya sendiri. - SG

Grass diharam kunjungi Israel

BAITULMAQDIS: Israel semalam mengisytiharkan penulis pemenang anugerah Nobel rakyat Jerman, Guenter Grass sebagai orang yang tidak dikehendaki ekoran puisi tulisannya yang menyifatkan negara Yahudi berkenaan sebagai ancaman kepada keamanan dunia.
“Grass diharamkan menjejakkan kaki di Israel kerana tindakannya menyemarakkan kebencian terhadap Israel dan bangsa Yahudi,” kata Menteri Dalam Negeri, Eli Yishai, dalam satu kenyataan. Dalam puisi yang disiarkan dalam akhbar Jerman minggu lalu, Grass, 84, menyelar tindakan negaranya menjual senjata kepada Israel dan rejim Yahudi itu tidak patut dibenarkan melancarkan serangan ke atas Iran.

Israel yang dipercayai satu-satunya negara di Asia Barat memiliki senjata nuklear mengancam mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran sama ada dengan sokongan Amerika Syarikat atau tidak, dengan alasan untuk menyekat hasrat Iran untuk menghasilkan senjata atom. - Reuters

Damsyik mungkir janji: Annan

GENEVA: Perunding antarabangsa, Kofi Annan, semalam berkata peningkatan keganasan di Syria “tidak boleh diterima” dan Damsyik memungkiri janji diberikan kepadanya.
Sambil menggesa Damsyik berpegang kepada janji menghentikan pertumpahan darah, bekas Setiausaha Agung PBB itu berkata, kerajaan dan pemberontak perlu menamatkan semua bentuk keganasan menjelang jam 6 pagi (waktu tempatan) Khamis ini.

Katanya, ia selaras dengan pelan damai enam perkara dikemukakannya. “Ketika kita semakin hampir kepada tarikh akhir 10 April, saya mengingatkan kerajaan Syria kepada keperluan pelaksanaan menyeluruh komitmen diberinya,” katanya. - Reuters

Syria tuntut jaminan

DAMSYIK: Syria memberitahu, tentera negara itu tidak akan diundurkan dari kubu pembangkang tanpa mendapat jaminan bertulis, semalam.
Menjelang tarikh akhir pengunduran esok, Kementerian Luar Syria berkata, tiada jaminan diberi bahawa “kumpulan pengganas bersenjata” akan dikehendaki meletak senjata.

“Untuk menyatakan bahawa Syria akan menarik balik tentera dari bandar yang diserang pada 10 April adalah tidak tepat.

“Kofi Annan belum menyerahkan jaminan bertulis mengenai penerimaan kumpulan pengganas bersenjata untuk menghentikan keganasan,” katanya.

Khamis lalu, Majlis Keselamatan PBB secara rasmi meluluskan tarikh akhir untuk tentera Syria berundur dari kubu pembangkang, namun Damsyik berkata, jumlah “aksi keganasan” meningkat sejak perjanjian itu dipersetujui.

Menurut Kementerian Luar, Annan juga tidak menyerahkan jaminan bertulis daripada kerajaan Qatar, Arab Saudi dan Turki untuk menghentikan dana mereka kepada “kumpulan pengganas.” “Syria tidak akan mengulangi apa yang berlaku ketika pemantau Arab hadir dan tentera berundur dulu.

“Ketika itu, kumpulan pengganas berkumpul semula dan mengangkat senjata untuk mengawal seluruh kawasan kediaman, selain melakukan setiap tindakan ganas seperti membunuh dan menculik serta memusnahkan harta-benda awam,” katanya.

Ketika Annan bertemu Presiden Bashar al-Assad di Damsyik, bekas Setiausaha Agung PBB itu berjanji menghentikan keganasan, melucutkan senjata pemberontak dan mengusahakan dialog dengan pembangkang.
“Prinsip Annan ini yang diterima Syria dan Damsyik bersetuju atas pelan damai enam perkara dicadangkannya,” katanya.

Bagaimanapun, Kementerian Luar menekankan, kerajaan bersetuju bekerjasama dengan Annan.

“Kami akan terus memaklumkan langkah yang diambil bagi melaksanakan pelan berkenaan dengan harapan kerajaan boleh menerima dokumen jaminan itu,” katanya. - AFP

Kantung zakar koyak disambar, dipicit bekas teman wanita

INDIANA: Kerana marahkan tindakan kekasihnya memutuskan hubungan, seorang wanita bertindak ganas hingga menyebabkan kantung zakar bekas teman lelakinya koyak.
Christina Reber, 43, bergegas ke kediaman bekas teman lelakinya Jumaat lalu sebelum menyambar dan memicit organ sulit kekasihnya itu sekuat tenaga. Mangsa, 57, ditinggalkan dalam kesakitan apabila kantung zakar itu terkoyak akibat serangan yang berlaku di rumah mangsa di Muncie, Indiana. Lelaki itu mengakhiri hubungan lapan bulan mereka beberapa hari sebelum itu menyebabkan wanita terbabit menyerangnya. Christina ditahan kerana disyaki melakukan serangan itu dan dibebaskan dari penjara semalam selepas membayar ikat jamin AS$10,000 (RM30,000). - DM

Bilionair suka hidup secara nomad

LONDON: Seperti nomad lain Nicolas Berggruen juga sering berpindah-randah. Dia tidak mempunyai kediaman, kereta atau, malah jam tangan dan beberapa barangan yang dia miliki dibawa dalam beg kertas.
“Barang tidak bererti dalam penampilan anda. Tindakan kita yang mempunyai nilai sebenar,” katanya.

Namun, apa yang membuatkan lelaki berusia 50 tahun itu berbeza dengan golongan merempat ialah hartanya yang bernilai 1.5 bilion pound (RM7.5 bilion).

Berggruen meninggalkan pulau peribadi yang dilengkapi landasan helikopter di New York 12 tahun lalu. Rumah baginya kini hanya persinggahan.

Hidup baginya adalah pergi ke serata dunia, berseronok dengan wanita cantik dan tinggal di hotel mewah kadangkala di 14 bandar raya berbeza dalam masa sebulan sementara dia membina empayar perniagaannya. Harta terbarunya ialah saham Burger King bernilai 881 juta pound (RM4.4 bilion). Namun, di sebalik kekayaannya itu taikun berketurunan Perancis-Jerman itu menegaskan dia tidak perlu atau mahukan benda material.

“Memiliki sesuatu bukannya seronok. Tinggal di persekitaran hebat untuk menunjukkan diri sendiri dan orang lain yang saya ada banyak harta tidak bererti,” katanya kepada Daily Mirror.


Berggruen adalah seorang daripada lebih 50 bilionair yang bersetuju menyumbang sekurang-kurangnya separuh harta mereka. Dia berbelanja jutaan dolar membeli lukisan oleh Andy Warhol dan Damien Hirst hanya untuk diserahkan kepada muzium secara percuma. - DM

Saintis bapa 600 bayi

LONDON: Perintis saintis Britain mungkin menjadi bapa kepada 600 bayi dilahirkan di klinik kesuburan di bandar raya ini yang dibuka bersama isterinya pada 1940-an. Bertold Wiesner dipercayai seorang daripada penyumbang utama Klinik Barton yang membantu wanita melahirkan kira-kira 1,500 bayi antara awal 1940-an dan pertengahan 1960-an.
Dakwaan mengejutkan itu dibuat dua lelaki yang dilahirkan di klinik berkenaan yang mendapati Wiesner adalah bapa kandung mereka. Penerbit filem dokumentari dari Kanada, Barry Stevens dan peguam berpangkalan di London, David Gollancz menjejaki 18 lagi orang yang dilahirkan di klinik itu dan mendapati 12 daripadanya atau dua pertiga yang menjalani ujian berbapakan Wiesner. - DM

22 maut gereja runtuh di Nigeria





2012/04/09

LAGOS: Seramai 22 orang maut dan 31 lagi mengalami kecederaan selepas gereja runtuh ketika mereka meraikan Easter Vigil di wilayah Benue, Nigeria. 

Hujan lebat dan ribut pada malam Sabtu lalu, bangunan Gereja Robert’s Catholic di Adamgbe runtuh menyebabkan 22 orang maut manakala 31 lagi mengalami pelbagai kecederaan.
Seramai 14 daripada yang terkorban ialah wantia dan enam lagi kanak-kanak termasuk seorang berusia dua tahun. - AFP

Pekerja butik diperkosa teman lelaki di kandang lembu

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang pembantu butik pengantin menerima pelawaan teman lelakinya untuk membeli-belah di Nilai 3, Negeri Sembilan, mengundang padah apabila mangsa bukan saja dipaksa menghidu gam dan minum arak di kawasan kandang lembu, malah turut diperkosa dalam kejadian di Bangi, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan berada di tempat kerjanya di Kajang sebelum lelaki berkenaan datang dan mengajak untuk membeli-belah di Nilai 3. Mangsa yang menerima ajakan teman lelakinya sempat bertanyakan hala tuju mereka ketika dalam perjalanan selepas menyedari lelaki terbabit melalui kawasan mencurigakan.

Bagaimanapun, teman lelakinya hanya menyuruh mangsa diam dan sebaik tiba di kawasan kandang lembu dipercayai tidak jauh dari rumah suspek, lelaki itu menyuruh mangsa turun dan memaksa wanita terbabit menghidu gam serta minum arak yang sudah di sediakan terlebih dulu. 

Sumber berkata, mangsa yang bimbang keselamatan dirinya hanya mengikut arahan namun dirogol suspek di kandang lembu berkenaan. 

“Mangsa melarikan diri dan pulang ke rumahnya di Rinching Hilir, Kajang, namun tidak membuat laporan polis atau memaklumkan kejadian itu kepada ahli keluarganya disebabkan malu. 

“Sebaik menerima beberapa ugutan daripada lelaki terbabit akan memancung kepalanya jika kejadian itu didedahkan kepada orang lain, mangsa tampil membuat laporan polis di Bandar Baru Bangi petang semalam,” katanya. 
Difahamkan, mangsa mengenali lelaki terbabit sejak setahun lalu, namun tidak pernah menunjukkan kelakuan pelik sehinggalah ditimpa kejadian berkenaan.

KEJATUHAN EMPAYAR OTHMANIAH TURKI.....


Peristiwa Pemecatan Sultan Abd. Hamid (Khalifah Uthmaniah Terakhir) dan Bagaimana Bankers Yahudi menjatuhkan Khilafah Othmaniah.Peristiwa Pemecatan Khalifah Islam Terakhir Sultan Abdul Hamid ( 1876 - 1909 )
Malam itu, Sultan Abdul Hamid dan keluarganya dikunjungi oleh sekumpulan manusia yang tidak akan dilupakan oleh sejarah.Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan) melangkah masuk ke istana Yildiz. Turut bersama beliau adalah Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan.“Bukankah waktu seperti ini adalah waktu khalifah menunaikan kewajipannya terhadap keluarga. Tidak bolehkah kalian berbincang dengan aku pagi esok?”, Sultan Abdul Hamid tidak selesa menerima kedatangan mereka yang kelihatannya begitu tergesa-gesa. Tiada simpati di wajah mereka.“Ummah telah memecat kamu”, Esat Pasha memberitahu. Angkuh benar bunyinya.Satu persatu wajah ahli rombongan itu diperhati oleh Sultan Abdul Hamid.“Apakah mereka ini sedar dengan apa yang mereka lakukan?”, baginda berfikir.“Jika benar Ummah yang menurunkan aku, mengapa kamu datang dengan lelaki ini?”, Sultan Abdul Hamid menundingkan jarinya kepada Emmanuel Carasso. “Apa kena mengenanya Yahudi ini dengan Ummah?”, wajah baginda kemerah-merahan menahan marah.Sultan Abdul Hamid memang kenal benar siapa Emmanuel Carasso itu. Dia jugalah yang bersekongkol bersama Theodor Herzl ketika mahu mendapatkan izin menempatkan Yahudi di Palestin dengan penuh licik lebih sedekad yang lalu (1898). Mereka menawarkan pembelian ladang milik Sultan Abdul Hamid di Sancak Palestin sebagai tapak penempatan Yahudi di Tanah Suci itu. Sultan Abdul Hamid menolaknya dengan tegas, termasuk alternatif mereka yang mahu menyewa tanah itu selama 99 tahun.Pendirian tegas Sultan Abdul Hamid untuk tidak mengizinkan Yahudi bermastautin di Palestin, telah menyebabkan Yahudi sedunia mengamuk. Harganya terlalu mahal. Sultan Abdul Hamid kehilangan takhta, dan Khilafah disembelih agar tamat nyawanya.“Sesungguhnya aku sendiri tidak tahu, siapakah sebenarnya yang memilih mereka ini untuk menghantar berita penggulinganku malam itu”, Sultan Abdul Hamid meluahkan derita hatinya di dalam diari baginda.Perancangan untuk menggulingkan baginda sudah dimulakan lama sebelum malam itu. Beberapa Jumaat kebelakangan ini, nama baginda sudah tidak disebut di dalam khutbah. “Walaupun engkau dipecat, nyawamu berada di dalam jaminan kami”, Esat Pasha menyambung katanya.Sultan Abdul Hamid memandang wajah puteranya Abdul Rahim, serta puteri baginda yang seorang lagi. Malang sungguh anak-anak ini terpaksa menyaksikan kejadian malam itu. “Bawa adik-adik kamu ke dalam”, Sultan Abdul Hamid mengarahkan Amir Abdul Rahim membawa adik beradiknya ke dalam bilik.“Aku tidak membantah keputusanmu. Cuma seperkara yang kuharapkan. Izinkanlah aku bersama keluargaku tinggal di istana Caragan. Anak-anakku ramai. Mereka masih kecil dan aku sebagai bapa perlu menyekolahkan mereka”, Sultan Abdul Hamid meminta pertimbangan. Baginda sudah tahu yang tiada gunanya untuk keputusan yang dibawa oleh rombongan itu dibantah.Itulah kerisauan terakhir baginda. Mengenangkan masa depan anak-anaknya yang ramai. Sembilan lelaki dan tujuh perempuan adalah jumlah yang besar.Permintaan Sultan Abdul Hamid ditolak mentah-mentah oleh keempat-empat lelaki pengkhianat Ummah itu. Malam itu juga, baginda bersama ahli keluarganya hanya dibenarkan membawa sehelai dua pakaian, dan mereka diangkut di dalam gelap menuju ke Stesyen Keretapi Sirkeci. Khalifah terakhir umat Islam, dan ahli keluarganya dibuang negara ke Salonika, Greece.Gerombolan tentera kedengaran melangkah penuh derap ke istana. Meriam diletupkan sebagai petanda Sultan Mehmed V Resad ditabal menjadi raja boneka. Rasmilah malam itu Sultan Mehmed V Resad menjadi Khalifah ke 99 umat Islam semenjak Abu Bakr al-Siddiq r.a. Tetapi khalifah yang satu ini sudah tiada kuasa. Hanya boneka umpan menahan pemberontakan masyarakat terhadap pembubaran Khilafah Othmaniyyah.“Entahlah, di saat hidup dan matiku tidak menentu, aku terasa begitu tenang dan aman. Seperti sebuah gunung besar yang selama ini menghempap dadaku, diangkat penuh kelegaan” kata Sultan Abdul Hamid di dalam diarinya.Sultan Abdul Hamid mengusap kepala anaknya Abdul Rahim yang menangis ketakutan. Anak-anaknya yang lain turut menangis sama. Perjalanan dari Sirkeci Istanbul menuju ke Salonika di Greece penuh misteri.“Sabarlah anak-anakku. Jika Allah mengkehendaki kematian bagi kita, bukankah kematian itu kesudahan untuk semua”, kata Sultan Abdul Hamid kepada sekalian kaum kerabat baginda.Kereta api meluncur laju. Bumi khilafah ditinggalkan di belakang. Sejarah kegemilangan 600 tahun Bani Osman, berakhir malam itu. Palitan hitam yang mustahil untuk diputihkan kembali.Dalam suasana malam yang sejuk, Sultan Abdul Hamid II melunjurkan kakinya di atas kerusi kereta api sambil dipicit oleh anaknya Fatimah.“Sabarlah anakku, Ummah tidak tahu apa yang telah mereka lakukan kepada umat Muhammad ini”, baginda mengusap wajahnya dengan linangan air mata.Lama benar baginda dan ahli keluarganya dikurung di istana Yahudi yang buruk itu. Mereka dikurung di dalam bilik tanpa perabot. Pintu dan tingkap istana, dilarang daripada dibuka. Hari demi hari, adalah kematian sebelum mati bagi baginda sekeluarga. Akhirnya pada tahun1912, Sultan Abdul Hamid dibawa pulang ke Istanbul, dan anak-anaknya bercerai berai, dibuang ke Perancis sebagai pengemis dan pelarian yang merempat di jalanan.Sultan Abdul Hamid dikurung di Istana Beylerbeyi selama 6 tahun.“Maafkan patik, Tuanku. Mereka tidak mengizinkan saya untuk hadir lebih awal”, doktor yang merawat Sultan Abdul Hamid berbisik ke telinga baginda.Nafas Sultan Abdul Hamid turun naik. Penyakit asthma baginda semakin serius. Doktor sudah tidak dapat berbuat apa-apa.Renungan Sultan Abdul Hamid menghancurkan hati doktor tersebut. Bagaimana seorang khalifah umat ini harus menemui ajalnya di tangan beliau.“Ampunkan aku ya Allah. Tiada upaya bagi hamba-Mu yang lemah ini”, seorang doktor sudahhilang upaya.Baginda Sultan Abdul Hamid II telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam kurungan di Istana Beylerbeyi pada 10 Februari, 1918. Pemergiannya diratapi oleh seluruh penduduk Istanbul kerana mereka sudah sedar, apakah harga kebodohan mereka membiarkan Khilafah Othmaniyyah dilumpuhkan selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid, 10 tahun yang lalu. Menangislah... tiada sejarah yang mampu memadamkan penyesalan itu.Nukilan dari muzakirat/diari Sultan Abdul Hamid Kejatuhan Empayar Othmaniah sebenarnya bermula sejak dari pemerintahan Sultan Mahmud II (1808 -1839) lagi. Kita boleh melihat puncanya dari dua sudut :Pertama : Pemodenan mengikut arus barat.Kedua : Meninggalkan amalan Islam.Ada agenda tersembunyi yang perlu kita fahami. Sepanjang kurun ke 19 berlaku proses perindustrian dan elektonik di Eropah, ianya bukan satu proses semulajadi bahkan satu perancangan pihak tertentu untuk mengaut keuntungan. Apa yang terjadi ? Kemajuan teknoloji membawa saudara kembarnya yang menjadi protokol atau prosedur bersama – samanya iaitu bon – bon, sekuriti, wang kertas dan lain – lain instrument kewangan.Bermula dari projek pembinaan keretapi yang memerlukan modal yang besar, cara pembayaran Islam tidak boleh dipakai. Mereka menumpu di Turki sebagai pusat pemerintahan dan Mesir sebagai pusat intelektual Islam. Cara perniagaan atau muamalat islam mesti diketepikan, maknanya keputusan para Ulamak dalam hal – hal perniagaan tidak diperlukan lagi.Selama ini umat Islam menguasai bidang perniagaan dan perdagagan sementara masyarakat Yahudi dan Kristian membayar jizyah bagi keselamatan mereka dan membenarkan mereka tidak ikut serta dalam kewajipan ketenteraan. Malangnya selepas tugasan penyusunan semula masyarakat diserahkan kepada Bankers Yahudi atas nama untuk memodenkan Khilafah Othmaniah , pekara yang sebaliknya berlaku orang Yahudi dan Kristian menjadi TUAN/Masters kaya raya sedangkan rakyat Khilafah pulak menjadi miskin.Sultan Mahmud II membentuk tentera diraja bermodelkan tentera British. Tentera jihad diganti dengan tentera makan gaji. SIstem demokrasi diperkenalkan, jawatan wazir besar diganti dengan Perdana Menteri. Cukai dinaikkan.Tanzimat (reformasi) diperkenalkan pada tahun 1839 oleh Sultan Abdul Mecit . Sistem kerajaan tempatan digantikan dengan model Perancis. Ini menyebabkabkan sistem perniagaan Bazaar, khidmat masyarakat melalui waqaf yang dipanggil imaret dan millet (majlis perlindungan bagi golongan minoriti ) tidak lagi berfungsi . Pendidikan dua aliran diperkenalkan , tradisional dan sekular yang bertulang belakangkan stok, bon dan lain – lain institusi kewangan moden. Ini berlaku secara tidak sedar atas nama memodenkan empayar.Undang – undang Islam keatas status ahlu Zhimmah dihapuskan. Reformasi Tanzimat memfokuskan kepada pemusatan pentadbiran ( administrative centralization) menggantikan sistem autonomi amiriah tempatan. Tiga wazir yang menjayakan tanzimat ialah Rechid, Ali dan Fuad Pasha. Mereka bersahabat baik dengan banker Yahudi bernama Camondo. Mereka menghabiskan banyak masa mereka di Paris mempelajari teknik permodenan barat. Nasihat dari financial planner Yahudi diperlukan bagi memodenkan empayar.Kebanyakan orang Yahudi di Istanbul tinggal di Galata. Isaac Camondo menubuhkan Bank Camondo pada tahun 1802. Saudaranya Abraham-Salomon Camondo menggantikannya pada tahun 1832. Kerana sumbangannya yang besar kepada tanzimat beliau dianugerahkan Nishan-I Iftihar dan menjadi Komander Mejidiye pada tahun 1849.Pada tahun 1842 wang kertas KAIMA diperkenalkan menggantikan dinar dan dirham , ini membawa kepada penguasan banker YAHUDI keatas kedaulatan khilafah. Secara tidak sedar, banker - banker ini dijemput untuk mencipta system kewangan moden dengan system riba mereka melalui bon, kredit, saham dan pengeluaran wang kertas yang dikuasai banker Yahudi. Reformasi kewangan memberi mereka peluang untuk membuka bank – bank baru.Pada tahun 1845 Kerajaan Othmaniah bersama Mm. Alleon dan Theodore Baltazzi menubuhkan Bank of Constantinople bagi tujuan memberi pinjaman kepada kerajaan. Perang Krimea memberi peluang kepada banker Yahudi berkembang dalam empayar Othmaniah. Kerajaan memerlukan dana untuk peperangan. Bank memberi pinjaman dengan interest. Ottoman Bank ditubuhkan pada tahun 1856, ia menjadi satu langkah kepada penubuhan bank pusat dengan dana dari luar dengan jumlah 500,00 pound sterling. Transformasi modal persendirian kepada Bank Pusat akan membawa kepada system kuasa berada ditangan pemilknya banker – banker Yahudi Antarabangsa.Keluarga Rothschilds yang terlibat dalam penubuhan Federal Reserve USA juga turut terlibat atas nama pelaburan melalui Alphonse de Rothchilds dan bapaknya James Rothschilds membuka cawangan French Rothchilds Bank di Istanbul.Kerja – kerja untuk penubuhan bank pusat akhirnya berjaya dengan tertubuhnya La Bank Imperiale Ottomane pada tahun 1863 dengan bantuan Yahudi bernama Emil dan Isaac Pereire. Ini model yang menjadi superbank seterusnya dari Bank pusat kepada Bank Dunia dan International Monetary Fund. Bank ini menjadi bankers bank, dengan deposit dan pengumpul dan pengedaran kredit. Ia akan menentukan kadar antara Bank, memberi pinjaman, jual dan beli, membincangkan pembelian komoditi, memberi dana dan melibatkan diri dalam projek pelaburan dan mengeluarkan dan mencetak wang baru.Bank Camondo hanyalah bank biasa, Ottoman bank ialah bank dengan dana tempatan seterusnya bank baru Imperial Ottoman bank menjadi Bank Pusat dengan dana antarabangsa. Satu system penguasaan kewangan telah diletakkan batu asasnya. Bank ini akan menyerap masuk dalam setiap aktiviti masyarakat bermula dari kedai runcit. Tidak ada aktiviti masyarakat yang dapat lepas dari Bank. Dari aktiviti jual beli, simpanan seterusnya dana kewangan dan pelaburan , semuanya melibatkan bank.Mereka menjadi Tuan kepada dunia. Masters of the Worlds.Pada tahun 1858 bankers Yahudi telah meletakkan syarat pinjaman dengan jaminan tranformasi sosial kepada Kerajaan Othmaniah. Ini menunjukkan sistem ekonomi hutang berkait rapat dengan kejuruteraan sosial. Pada waktu itu jizyah sudah berkubur. Bank Yahudi bertapak, sistem politik Nasrani Kristian menjadi penggerak empayar Othmaniah ! Hak menandatangani kerajaan tergadai kepada peminjam wang. Tahun itu juga , undang - undang tanah baru menafikan hak Sultan. Seterusnya tahun 1867 , orang asing dibenarkan membeli tanah.Projek keretapi menghubungkan Istanbul ke Vienna , Austria dikatakan akan menghubungkan dunia Islam dan Eropah. Oleh kerana projek ini begitu besar, begitu jugalah peranan penipuan besar oleh bank - bank Yahud di London, Paris dan Brussel dalam membiayai projek ini dengan bon - bon kerajaan Othmaniah. Pada tahun 1873 , berlaku ' crash 1873 ' yang membawa kepada kejatuhan nilai bon - bon tersebut. Projek ini bukan sahaja pembanggunan fizikal dalam bentuk konkrit bangunan semata - mata. Bahkan suatu gerakan yang mengatasi ruang lingkup sempadan nasional dan bangsa tetapi didalangi dengan angka - angka pada dokumen kewangan yan dipanggil saham dan bon.Pada tahun 1875 Kerajaan Othmaniah diistiharkan muflis kerana tidak mampu membayar hutang. Suruhanjaya Asing dilantik mewakil pemegang saham asing. Kerajaan terpaksa mengenakan cukai terhadap rakyat. Serbia memberotak. Bosnia diserahkan kepada Austria dibawah bendera Othmani. Jalan keretapi tidak siap tetapi separuh dari perniagaan laut telah jatuh ke tangan British.Kesan mengurangkan perjalanan dari Vienna ke Istanbul dari seminggu ke 40 jam ialah kejatuhan Khilafah Othmaniah.Sultan Abdul Hamid menjadi Khalifah pada tahun 1876. Beliau mahu kembali kepada pemerintahan asal Othmaniah sebelum tanzimat. Beliau menolak sistem hiraki barat dan mahukan sistem topkapi dan imaret diperintah oleh keluarga diraja Othmaniah semula. Beliau tidak percaya kepada pegawai - pegawai yang berkhidmat sebelumnya. Secara beransur - ansur beliau mengurangkan peranan mereka dalam kerajaan. Beliau berjaya mengurangkan hutang kerajaan.Pada tahun 1896, perwakilan Zionis telah menemui beliau. Sebagai tawaran untuk mendapatkan Palestin mereka memberi tawaran untuk memperbaiki keadaan krisis kewangan yang dihadapi oleh kerajaan Othmaniah. Bagaimana seorang yang tidak mempuyai tanahairnya sendiri boleh membuat tawaran kepada pewaris salah satu empayar terbesar di dunia. Jawapannya ialah satu bentuk kuasa baru telah muncul, kuasa bank telah mengatasi kuasa kerajaan atau kuasa politik. Kuasa tidak lagi dalam bentuk ketenteraan tetapi dalam bentuk jumlah nombor wang dalam bank. Politik dijadikan alat untuk mengawal masyarakat. Kuasa politik pulak dijadikan alat bank ntuk menjalankan projeknya.Sultan Abdul Hamid telah mengungkapkan kata-kata bersejarah yang ditujukan kepada Herzl melalui utusan yang dihantar untuk perundingan tersebut :"Saya menganjurkan supaya dia(Hezrl) tidak meneruskan perkara ini (usaha mendapatkan tanah Palestin). Saya tidak dapat menjualkan walaupun satu kaki persegi daripada tanah ini kerana ianya bukan milik saya, tetapi milik rakyat saya. Rakyat saya telah membentuk serta mengekalkan Empayar ini dengan pengorbanan dan darah, dan kami akan mempertahankannya dengan darah kami sebelum menyerahkannya kepada sesiapapun. Biarlah yahudi-yahudi itu menyimpan sahaja wang mereka yang berbilion-bilion itu. Jika sekiranya Empayar ini berpecah, maka mereka boleh mengambil Palestin secara percuma. Tetapi mestilah dilangkah mayat kami dahulu, dan saya tidak akan membenarkan ianya berlaku atas sebab apapun.."Sultan Abdul Hamid digulingkan pada tahun 1908. Pada tahun itu juga , pejabat pertama zionis di buka di Palestin dibawah firma Rohschilds. Maka berakhirlah empayar Othmaniah walaupun ia masih belum secara rasmi sehingga tahun 1924

JANGAN TIDUR LEPAS SUBUH!!!

 
TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba periksa diri kita, mana satu menjadi amalan seharian :

1. Bangun subuh lewat

2. Tidur selepas subuh

3. Melewatkan waktu subuh

4. Ala kadar je bangun subuh

5. Tak bangun pun solat subuh

Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah?

Di waktu zaman berhingus dulu?

Ustaz yang mengajar subjek Pendidikan Islam selalu bertanya di dalam kelas,

"Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri"

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat.

Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun subuh.

Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini?

Diberi penekanan betapa pentingnya bangun subuh dan meraikan ke"subuh"an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

"Jangan tidur lepas subuh. Rezeki tak masuk nanti"

"Anak dara tak manis tidur banyak.

Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun"

JIKA MAHU BERMUHASABAH

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi,

"Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi."

Untuk itu, para fuqaha' meMAKRUHkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya tiada dalil dan hadis-hadis sohih mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar :

"Dimakruhkan tidurmu - wahai mukallaf - selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi orang yang BERAQAL".

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?

Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat?

Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak "kulit bercahaya".

Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah "ubat kuat" yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini?

Nak ke suami yang sebegini?

Masing-masing menggeleng tersengih sendirian.

Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah.

Bukan nanti, tetapi sekarang.

MASA UNTUK BERUBAH

Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.

Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas subuh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala subuh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar.

Gunakan masa sebaiknya.

Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.

"Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing)

dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
- Surah Al-Jumuah (Ayat 10)

Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya.

Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula sebelum terbit fajar.

Mak mertua pun tak bising lagi.

"Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut."

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini "kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi 'gila'."

Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.

Ibnul Qayyim pernah berkata,"Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya."

Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua.

Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU.

Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN.

Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul.

Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan.

Dan hanya syaitan yang suka pembaziran.

Masa itu ibadah.

Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintah-Nya.

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai,

sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari."
(Diriwayatkan al-Baihaqi)

Remaja kesal bercinta dengan bekas gurunya




GAMBAR fail Powers dan Hooker.


MODESTO, Amerika Syarikat (AS) - Seorang remaja, Jordan Powers menamatkan hubungannya dengan bekas guru lelakinya, Christopher Hooker.
Powers, 18, sebelum ini menjalin hubungan dengan Hooker, 41, semasa mereka masih menjadi pelajar dan guru di sebuah sekolah tinggi di sini.
Mereka tinggal bersama pada Februari lalu apabila Powers tidak meneruskan persekolahan manakala Hooker berhenti bertugas sebagai guru.
Hooker turut meninggalkan isteri dan tiga anaknya untuk tinggal bersama remaja itu.
Semasa mereka menjalin hubungan, kedua-duanya muncul dalam beberapa program bual bicara.
Dalam satu wawancara, mereka menyatakan tidak akan melakukan hubungan seks sehingga Powers berusia 18 tahun.
Namun, Powers memberitahu saluran ABC News dalam satu wawancara pada Sabtu lalu bahawa hubungan mereka sudah berakhir.
Hubungan itu berakhir setelah Hooker ditangkap polis pada Jumaat lalu kerana disyaki melakukan penderaan seks terhadap seorang wanita yang ketika itu merupakan seorang pelajar lebih sedekad lalu.
Dalam wawancara itu, Powers berkata: "Saya kehilangan semua perkara kerana lelaki itu. Saya kehilangan tahun senior (sekolah tinggi) saya. Saya meninggalkan semua rakan saya di sekolah tinggi kerana mereka tidak bersetuju dengan saya."
Ibu remaja tersebut, Tammie Powers menyatakan selepas Hooker ditangkap, dia membantu anak perempuannya keluar dari sebuah apartmen kecil yang menjadi tempat tinggalnya bersama bekas guru itu.
Hooker dibebaskan dari penjara selepas dia diikat jamin AS$50,000 (RM152,925). - Agensi

Pengacara dibaling dengan telur




VOURHAS (kiri) cuba mengelak balingan telur dan yogurt di studio televisyen Epiros TV1 di Ioannina, utara Greece pada Jumaat lalu.


ATHENS - Seorang pengacara stesen televisyen swasta, Epiros TV1, Panagiotis Vourhas dibaling dengan telur dan yogurt oleh sekumpulan penceroboh di bandar Ioannina, utara Greece pada Jumaat lalu.
Menurut pihak pengurusan televisyen itu, seramai 17 orang menceroboh masuk dengan sebahagian muka mereka ditutup dengan sapu tangan.
Ketika kejadian, Vourhas sedang mewawancara seorang ahli politik tempatan di studio televisyen itu.
Baju dan muka pengacara tersebut terkena balingan telur dan yogurt itu.
Para penceroboh itu merupakan sebuah kumpulan dari tenggara Greece yang marah kerana Vourhas mewawancara jurucakap parti Golden Dawn yang menyokong Nazi baru-baru ini.
Jurucakap itu diwawancara Vourhas dalam program bual bicaranya. - Agensi

Kapal mewah ikut laluan Titanic



GAMBAR fail menunjukkan kapal Titanic pada 4 April 1912.


LONDON - Hampir 100 tahun selepas kapal Titanic karam, sebuah kapal pesiaran mewah, MS Balmoral dengan jumlah penumpang yang sama memulakan pelayaran semalam.
Kapal itu belayar dengan mengikut laluan yang sama Titanic dari pelabuhan di Southampton.
Ia membawa 1,309 penumpang.
Kapal itu turut menuju ke lokasi Titanic yang tenggelam pada 15 April 1912 di Lautan Atlantik. Titanic karam semasa pelayaran sulung menuju ke New York, Amerika Syarikat.
Pelayaran selama 12 malam itu adalah sempena ulang tahun ke-100 tragedi kapal terbabit.
Pihak penganjur cuba menghidupkan semula pengalaman di atas kapal tersebut seperti sajian makanan yang sama sehingga kepada persembahan muzik secara langsung zaman itu.
Menurut pihak penganjur, penumpang dari 28 buah negara menempah pelayaran itu.
Sebahagian mereka merupakan saudara-mara penumpang kapal tersebut.
Tiket-tiket berharga AS$4,445 (RM13,595) sehingga AS$9,520 (RM29,117) ditawarkan kepada penumpang.
Antara penumpang lain turut serta ialah para penulis dan ahli sejarah termasuk seorang pakar sejarah Titanic, Philip Littlejohn, seorang cucu mangsa yang terselamat.
Sebahagian penumpang turut memakai pakaian pada zaman awal tahun 1900 semasa mereka menaiki kapal berkenaan.
Kapal itu tenggelam selepas ia melanggar bongkah ais.
Penganjur pelayaran itu, Miles Morgan menyatakan ia merupakan pelayaran yang istimewa terutamanya untuk para saudara penumpang yang telah meninggal dunia.
Kapal itu akan berlabuh di Cherbourg di Perancis dan Cobh, Ireland seperti yang dilakukan Titanic. - Agensi

Usaha menyelamat 135 orang ditimbus salji

Kosmo! Online - Dunia:




LOKASI runtuhan salji yang turut menyebabkan sebuah pangkalan tentera tertimbus di kawasan pergunungan Glasier Siachen, Pakistan. - AFP


ISLAMABAD - Askar-askar Pakistan semalam berusaha menggali salji, ketulan batu dan ais dalam misi mencari 135 orang yang tertimbus di bawah runtuhan salji.
Bagaimanapun, harapan menemui mereka yang terselamat tipis.
Seramai 124 orang yang tertimbus itu ialah askar Pakistan.
Hampir 36 jam selepas satu runtuhan salji mengenai sebuah pangkalan tentera Pakistan yang dibina di kawasan pergunungan Kashmir, para penyelamat belum lagi menemui mangsa yang terselamat atau mayat dari Glasier Siachen.
Salji runtuh itu mengenai pangkalan tentera itu antara pukul 5 dan 6 pagi kelmarin waktu Pakistan dan mungkin semasa sejumlah orang masih tidur.
Menurut satu kenyataan tentera, kawasan tersebut ditimbus salji, batu, lumpur dan salji yang cair.
Pihak tentera berkata, sekitar 180 askar dan 60 anggota penyelamat awam terlibat dalam misi menyelamat di sempadan India, sebuah kawasan yang dikenali sebagai medan perang tertinggi di dunia. - AFP