Pages

Thursday, December 2, 2010

Cuaca amat sejuk dan salji tebal melanda Eropah




GENEVA: Salji tebal dan suhu di bawah sifar yang melanda Eropah menyebabkan lapan orang yang bergelandangan mati di Poland.
Ia memaksa lapangan terbang utama di Britain dan Switzerland ditu- tup, manakala penerbangan pesawat tergendala buat hari ketiga di Frankfurt, Geneva, Amsterdam, London dan Edinburgh.Perkhidmatan kereta api Eurostar yang menghubungkan Britain dengan benua Eropah turut dibatalkan.Lapangan terbang Gatwick, yang kedua tersibuk di Britain, terus ditutup kerana pembersihan salji.Para pegawai berkata lapangan terbang Gatwick akan ditutup sehingga pagi ini, menyebabkan 600 penerbangan dibatalkan.Lapangan terbang Geneva di Switzerland, Edinburgh di Scotland, dan Lyon-Bron di tenggara Perancis turut ditutup semalam.Perkhidmatan digantung di lapangan terbang Edinburgh disebabkan 'penurunan salji yang tebal', kata pengendali lapangan terbang, BAA Ltd.Sky News melaporkan bahawa lapangan terbang itu akan ditutup hingga pagi ini.Di Jerman, lapangan terbang Frankfurt terpaksa ditutup kerana angin kencang dan lebih banyak penerbangan dibatalkan, kata Encik Thomas Uber, seorang jurucakap syarikat pengendali Fraport AG.Sebanyak 60 penerbangan di Frankfurt sudah dibatalkan.Lapangan terbang Geneva juga ditutup malam kelmarin.'Kami menyaksikan litupan salji yang tebal dan salji masih turun,' kata jurucakap lapangan terbang Geneva, Encik Bertrand Staempfli.Di Zurich, lapangan terbesar Switzerland, banyak penerbangan tertangguh dan dibatalkan semalam.Ramai orang kenamaan terkandas, termasuk mantan presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton; dan Perdana Menteri Sepanyol, Encik Jose Luis Rodriguez Zapatero; yang hendak pergi ke ibu pejabat Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) kerana mahukan negara mereka menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia 2018 dan 2022.Salji lebih banyak turun di utara Jerman, dan suhu di Berlin turun ke paras 10 darjah di bawah sifar Celsius semalam.Eurostar Group Ltd yang mengendalikan tren laju antara London, Paris dengan Brussels, membatalkan enam perjalanan disebabkan cuaca buruk. Kelajuan tren lain turut dikurangkan menyebabkan kelewatan sehingga 30 minit, kata jurucakapnya, Encik Aude Criqui.Di Poland, polis berkata lapan orang mati malam kelmarin selepas suhu turun ke 20 darjah di bawah sifar.Jurucakap polis, Encik Mariusz Sokolowski, berkata kesemua lelaki itu mabuk. Mereka mati di beberapa tempat di Poland, tempat ramai orang gelandangan mati kesejukan pada musim sejuk setiap tahun.Suhu tersejuk - 26 darjah di bawah sifar - dicatat di bandar Bialystok, timur Poland, kelmarin. -- Agensi.

Amal Yang Membuka Pintu Syurga



http://imagecache.te3p.com/imgcache/de84d3be97ee712eb27aa9ae3bc351f1.jpg
Tidak seperti biasanya, hari itu Ali bin Abi Thalib pulang lebih awal menjelang asar. Fatimah binti Rasulullah menyambut kedatangan suaminya yang sehari suntuk mencari rezeki dengan sukacita. Siapa tahu Ali membawa wang lebih banyak kerana keperluan di rumah makin besar. Sesudah melepas lelah, Ali berkata kepada Fatimah. “Maaf sayangku, kali ini aku tidak membawa wang sesenpun.” Fatimah menyahut sambil tersenyum, “Memang yang mengatur rezeki tidak duduk di pasar, bukan? Yang memiliki kuasa itu adalah Allah Ta’ala.” “Terima kasih,” jawab Ali. Matanya memberat lantaran isterinya begitu tawakkal. Padahal keperluan dapur sudah habis sama sekali. Pun begitu Fatimah tidak menunjukan sikap kecewa atau sedih.
Ali lalu berangkat ke masjid untuk menjalankan sholat berjamaah. Sepulang dari sembahyang, di jalan ia dihentikan oleh seorang tua. “Maaf anak muda, betulkah engkau Ali anaknya Abu Thalib?” Ali menjawab dengan hairan. “Ya betul. Ada apa, Tuan?”. Orang tua itu mencari kedalam begnya sesuatu seraya berkata: “Dahulu ayahmu pernah kusuruh menyamak kulit. Aku belum sempat membayar upahnya, ayahmu sudah meninggal. Jadi, terimalah wang ini, sebab engkaulah ahli warisnya.” Dengan gembira Ali mengambil haknya dari orang itu sebanyak 30 dinar.
Tentu saja Fatimah sangat gembira memperoleh rezeki yang tidak di sangka-sangka ketika Ali menceritakan kejadian itu. Dan ia menyuruh membelanjakannya semua agar tidak pusing-pusing lagi merisaukan keperluan sehari-hari.
Ali pun bergegas berangkat ke pasar. Sebelum masuk ke dalam pasar, ia melihat seorang fakir menadahkan tangan, “Siapakah yang mahu menghutangkan hartanya kerana Allah, bersedekahlah kepada saya, seorang musafir yang kehabisan bekal di perjalanan.” Tanpa berfikir panjang, Ali memberikan seluruh wangnya kepada orang itu.
Pada waktu ia pulang dan Fatimah kehairanan melihat suaminya tidak membawa apa-apa, Ali menerangkan peristiwa yang baru saja dialaminya. Fatimah, masih dalam senyum, berkata, “Keputusan kanda adalah yang juga akan saya lakukan seandainya saya yang mengalaminya. Lebih baik kita menghutangkan harta kerana Allah daripada bersifat bakhil yang di murkai-Nya, dan yang menutup pintu syurga untuk kita.”

Waran tangkap global terhadap Assange



WASHINGTON 1 Dis. – Interpol hari ini mengeluarkan waran tangkap global ke atas pengasas Wikileaks, Julian Assange ketika kekecohan yang timbul daripada pendedahan besar rahsia kabel Amerika Syarikat (AS) merebak dari kerajaan hingga ke pasaran kewangan.
AS menggantung akses pihak tentera kepada beberapa koresponden diplomatik yang sensitif dalam usaha menghalang kebocoran maklumat baru, ketika Perancis dan Pakistan menjadi negara terbaru terlibat dalam pendedahan.
Assange, 39, merupakan seorang penggodam komputer Australia yang dikehendaki di Sweden untuk soal siasat berhubung kes rogol dan mencabul kehormatan dua wanita. Dia bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.
Interpol yang beribu pejabat di Lyon, Perancis awal hari ini menyatakan telah memaklumkan semua negara anggota untuk menahan Assange jika dia berjaya dikesan. Dia banyak menghabiskan masa di Britain dan Sweden.
Assange dikatakan mengamalkan kehidupan seperti seorang perisik kerana jarang menginap di tempat yang sama dua kali. Kerajaan Ecuador yang berhaluan kiri pada awalnya menawarkan perlindungan kepadanya tetapi Presiden Rafael Correa menarik balik tawaran itu semalam.
Dalam satu daripada siri wawancaranya, Assange dengan bangga menyatakan kesediaan melakukan ‘pendedahan raksasa’ yang mungkin menjatuhkan sebuah bank utama, menyebabkan nilai saham Bank of America merudum lebih tiga peratus akibat spekulasi semalam.
Dia memberitahu majalah Forbes bahawa kebocoran maklumat bank itu akan ‘memberikan keadaan sebenar bagaimana perilaku bank pada peringkat eksekutif yang mana ia akan mencetus siasatan dan pembaharuan’.
Dalam satu wawancara berasingan dari lokasi rahsia menggunakan telefon Skype Internet, Assange memberitahu majalah Time bahawa Setiausaha Negara, Hillary Clinton perlu meletak jawatan berikutan pendedahan yang AS mengarahkan diplomatnya merisik pegawai asing lain, terutama sekali di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – AFP

Nama penumpang ke AS disemak



WASHINGTON 1 Dis. - Semua penumpang dalam penerbangan antarabangsa ke Amerika Syarikat (AS) dan dari AS, serta dalam penerbangan domestik di negara ini disemak nama mereka berdasarkan senarai pemantauan keselamatan kerajaan AS.
Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) semalam mengumumkan, kesemua daripada hampir 130 syarikat penerbangan antarabangsa yang terbang ke AS dan dari AS sudah mula mengutip data baru daripada penumpang, termasuk nama penuh, tarikh lahir dan jantina mereka, dan data itu akan disemak berdasarkan senarai tersebut. Program itu dikenali sebagai Secure Flight (Penerbangan Selamat).
Semua syarikat penerbangan domestik mula memungut data itu pada Jun lalu.
"Secure Flight dengan lebih berkesan mencegah kesilapan mengenal pasti penumpang yang namanya sama seperti mereka yang termasuk dalam senarai pemantauan.
"Program ini tentunya meningkatkan kecekapan dalam mengenal pasti mereka yang diketahui atau disyaki menimbulkan ancaman terhadap penerbangan," kata Pentadbir TSA, John Pistole. - Reuters

Aktivis anti pemburuan paus lancar bot ‘Gojira’



GAMBAR kapal futuristik terbaru milik Sea Shepherd Conservation Society diberi nama Gojira dilancarkan di Fremantle, Perth, Australia, kelmarin. – AFP


SYDNEY 1 Dis. – Aktivis militan yang menjalankan kempen menentang pemburuan paus melancarkan bot laju baru Gojira bagi mengejar kapal Jepun yang memburu mamalia gergasi itu di perairan Antartika.
Sea Shepherd Conservation Society minggu ini mempamerkan bot terbarunya, Gojira iaitu nama raksasa komik Godzilla dalam bahasa Jepun, kira-kira 11 bulan selepas bot futuristiknya, Ady Gil karam dalam pertempuran di laut lepas dengan kapal pemburu paus.
Bot sepanjang 33 meter yang didaftarkan di Australia itu memiliki saiz yang besar tanpa menjadi terlalu berat di samping cukup pantas untuk mengejar kapal pemburu paus Jepun, kata pengarah Sea Shepherd di Australia, Jeff Hansen.
“Kami tidak akan mendedahkan kelajuan maksimumnya, memadai untuk kami mengatakan kepantasannya mengatasi kapal pemburu paus.
“Bot ini akan digunakan semata-mata kerana kelajuannya,” katanya.
Bot Gojira yang telah melakukan pelayaran mengelilingi dunia dalam masa kurang daripada 80 hari dengan nama Cable & Wireless Adventure, akan menyertai kapal Sea Shepherd yang lain, Bob Barker dan Steve Irwin dalam misi tahunan mereka mengejar dan mengganggu kapal pemburu paus Jepun di hemisfera selatan pada musim panas depan.
Hansen berkata, dua bot lebih besar itu akan meninggalkan Tasmania esok manakala Gojira akan menyusul beberapa hari kemudian.
Sea Shepherd percaya aktivisnya buat kali pertama akan berlepas lebih dahulu daripada kapal-kapal paus Jepun untuk menjalankan misi tahunan yang selalunya dijalankan sehingga Mac.
“Kami berada dalam kedudukan sangat baik dan persiapan kami adalah yang terbaik pernah kami lakukan,” kata Hansen. – AFP

Britain jual kapal induk pengangkut



KAPAL induk pengangkut pesawat HMS Invincible milik British semasa berlabuh di dermaga New York . - AP


LONDON 1 Dis. - Britain mahu menjual sebuah kapal induk pengangkut pesawat udara lama menerusi laman web kerajaan dalam usaha untuk mendapatkan wang bagi mengurangkan defisit bajet tertinggi pada masa aman.
Kementerian Pertahanan semalam berkata, tawaran dipelawa untuk membeli kapal induk Invincible yang pernah menyertai perang Falklands pada 1982, di laman web 'khidmat pelupusan' yang didirikan bagi menjual peralatan lebihan tentera,www.edisposals.com.
Kapal yang disiapkan pada 1980 itu menganggotai pasukan petugas tentera Britain yang dihantar untuk menawan semula Falklands pada 1982 selepas kepulauan tersebut yang dikenali sebagai Malvinas di Argentina, diduduki oleh tentera Argentina.
Anak lelaki Ratu Elizabeth, Putera Andrew berkhidmat sebagai juruterbang helikopter di atas kapal itu semasa konflik tersebut.
Kapal induk Invincible ditamatkan perkhidmatan dan ditempatkan dalam simpanan pada 2005.
Pihak yang ingin mengemukakan tawaran diberi tempoh sehingga 5 Januari ini, menurut Kementerian Pertahanan.
"Kami akan menimbangkan tawaran yang memberikan pulangan terbaik," kata seorang jurucakap kementerian.
Semua pilihan diambil kira tetapi kapal itu kemungkinan besar akan dijual sebagai besi sekerap, katanya.
Jurucakap itu tidak dapat menganggarkan nilai kapal tersebut. - Reuters

Halizan - anak bakal pulang dari Lombok



02/12/2010 4:52pm

KUALA TERENGGANU - Keluarga Halizan Ibrahim, wanita dari Terengganu yang lari mengikut kekasihnya ke Lombok, Indonesia gembira apabila mendapat khabar yang dia akan pulang ke Malaysia bersama anaknya tidak lama lagi.
Kakak kepada Halizan, Hartini Ibrahim, 39, yang tinggal di Kampung Nibong di sini berkata, beliau baru sahaja berhubung dengan adiknya melalui telefon petang semalam dan Halizan, 38, menyatakan dia akan pulang tidak lama lagi bersama anaknya yang hanya dikenali sebagai Zulfakar yang baru dilahirkan.
"Perkhabaran terbaru ini melegakan keluarga kami. Sebelum ini kami tidak tahu kesudahan apakah dia akan pulang atau sebaliknya," katanya di sini hari ini.
Hartini berkata, semasa perbualan semalam, adiknya menyatakan dia kini sudah tidak ada halangan lagi untuk pulang bersama anaknya.
Ini kerana Halizan sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan Indonesia untuk membawa anaknya pulang bersamanya ke Terengganu, katanya.
Beliau berkata, sebelum ini adiknya bukan tidak mahu pulang ke kampung mereka tetapi disebabkan kesukaran untuk membawa pulang anaknya bersama.
"Halizan tidak akan pulang sekira anaknya tidak boleh dibawa bersama ke Terengganu," katanya.
Hartini berkata, keluarganya terutama ibunya sungguh gembira apabila mendengar perkhabaran terbaru itu.
"Jika sudah tinggal di kampung, susah senang kita sama-sama dapat membantunya," katanya.
Halizan bersama anaknya kini berlindung di Rumah Kebajikan Bude Rini setelah ditinggalkan kekasihnya yang dikenali sebagai Asitah yang kini kembali bekerja di Malaysia. - Bernama

10 petanda si dia adalah JODOH kita


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.


Share

Mengapa Saya Masuk Islam? - Yusuf Islam

alt
Saya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian. Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara langsung dengan tuhan.
Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau membahaskannya.
Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.
Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.
Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.
Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan dadah.
Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.
Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.
Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.
Titik Permulaan
Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang dirasakan kosong), aman dan tenang.
Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan menjumpai sesuatu juga.
Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat, bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.
Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.
Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu, barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu membawa ajaran yang sama.
Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman? Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.
Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.
Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang telah menciptakan segala-galanya.
Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.
Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain pula.
Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."
Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.
Melawat Jerusalem
Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab, "Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.
Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan syahadah di tangannya.
Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan. Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.
Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua halangan ini.
Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.
Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.
Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin!

Korea Utara mungkin serang lagi: Ketua perisik





2010/12/02

SEOUL: Ketua agensi perisikan Korea Selatan, Won Sei-hoon berkata Korea Utara kemungkinan besar melancarkan serangan lagi, seminggu selepas Pyongyang melepaskan bedilan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, lapor agensi berita Yonhap. 

“Kemungkinan bagi Korea Utara melancarkan satu lagi serangan adalah amat besar,” kata beliau pada mesyuarat parlimen semalam.
Yonhap melaporkan, serangan dilakukan ketika perasaan tidak puas hati dalam negara semakin memuncak membabitkan pengganti pemimpin Korea Utara dan keadaan ekonominya yang semakin buruk.
Di BEIJING, Menteri Luar China, Yang Jiechi semalam menggesa semua pihak yang terbabit dengan krisis di semenanjung Korea agar mengelak sebarang tindakan yang akan ‘memburukkan lagi keadaan’, lapor agensi berita Xinhua. 

“Pihak terbabit perlu bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu, sebaliknya berusaha membawa mereka ke meja rundingan,” katanya yang dipetik agensi itu. 

Sementara iti keadaan di semenanjung Korea terus tegang selepas serangan meriam ke atas pulau Yeonpyeong minggu lalu yang mengorbankan empat orang. 

China berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar mengambil tindakan tegas menghalang Korea Utara daripada terus melancarkan serangan ke atas Korea Selatan. 
Beijing setakat ini masih enggan menyertai masyarakat antarabangsa yang mengkritik sekutunya, Pyongyang. 

Sebaliknya Ahad lalu, negara itu mencadangkan agar pertemuan perwakilan enam negara untuk mengadakan perbincangan tergempar mengenai pelucutan senjata nuklear Korea Utara pada awal Disember di Bejing. 

“China membuat keputusan berdasarkan kepentingan setiap kes dan tidak berhasrat melindungi mana-mana pihak,” katanya. 

Yang berkata perbincangan perlu diadakan kerana ia “akan dapat membantu mengurangkan ketegangan dan mewujudkan ruang untuk mengembalikan semula perwakilan enam negara ke meja rundingan”. 

Bagaimanapun, Jepun, Amerika dan Korea Selatan memberi sambutan dingin kepada gesaan itu. – Reuters/AFP

Jepun, AS mula latihan tentera terbesar esok





2010/12/02

TOKYO: Jepun akan mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran dengan Amerika Syarikat (AS) selang beberapa hari selepas AS dan Korea Selatan menunjukkan kekuatan ketika ketegangan di Semenanjung Korea meningkat. 

Latihan “Keen Sword” yang dirancang dan diumumkan sebelum Korea Utara membedil ke atas pulau Korea Selatan minggu lalu, akan bermula esok hingga Jumaat depan.
Kira-kira 34,000 anggota Pasukan Pertahanan Jepun dengan 40 kapal perang dan 250 pesawat akan menyertai lebih 10,000 askar AS dengan 20 kapal perang dan 150 pesawat dalam latihan itu.
Latihan ketenteraan AS-Jepun yang terbesar sejak 2007 itu akan diadakan di perairan kepulauan selatan Jepun, berhampiran pantai selatan Korea Selatan. 

Latihan bersama itu lebih besar daripada latihan tentera laut yang diadakan AS dan Korea Selatan minggu ini selepas Korea Utara mengejutkan dunia dengan membedil pulau milik Seoul di sempadan. - AFP

Doktor' kena tahan selepas sambut bayi



Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my
2010/12/02

Lelaki diburu berikutan cabul pembantu klinik 

KAPAR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor sejak 2008 dan diburu kerana mencabul seorang pembantu klinik wanita, ditahan selepas menyambut kelahiran seorang bayi di sebuah klinik swasta di Klang Utama di sini.
Bayi terbabit adalah yang ke-10 disambut kelahirannya oleh suspek yang bertugas di klinik swasta terbabit sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata suspek berusia 41 tahun pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam satu kes cabul seorang pembantu klinik di klinik swasta terbabit. 

“Pembantu klinik yang berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu mendakwa dirinya dicabul suspek yang berkahwin dengan dua wanita dan mempunyai sembilan anak itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke klinik swasta itu untuk menahannya tetapi gagal kerana suspek dikatakan pulang bercuti di kampung sempena Aidiladha. 

“Polis sekali lagi pergi ke klinik swasta terbabit untuk menahan suspek kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 November lalu. 
“Ketika itu suspek sedang membantu menyambut kelahiran seorang bayi di klinik berkenaan dan selepas tugasnya selesai, polis terus menahannya untuk siasatan,” katanya. 

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan susulan mendapati lelaki terbabit bukan doktor seperti didakwanya, sebaliknya hanya bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka. 

“Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga mengesahkan lelaki terbabit bukan seorang doktor. Siasatan men-dapati suspek hanya memiliki Diploma Pembantu Perubatan daripada Kolej Pembantu Perubatan, Seremban,” katanya. 

Katanya, siasatan juga mendapati, suspek pernah terbabit dalam penipuan sama di Rawang dan Batang Berjuntai. 

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar,” katanya.

Lelaki simbah asid kena penjara



Oleh Abdul Halim Yusoff
halem@bharian.com.my
2010/12/02


  • Foto
    Dahyatul bersama ibunya, Che ku Zaimah, semalam.
  • Foto
    MANGSA simbah asid, Dahyatul (kiri), isteri Mat Haizan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang (dua dari kiri) serta Irfan (kanan) yang dipangku neneknya, Minah Omar di luar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.
  • Foto
    Mat Haizan Mat Yasin
Foto
MANGSA simbah asid, Dahyatul (kiri), isteri Mat Haizan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang (dua dari kiri) serta Irfan (kanan) yang dipangku neneknya, Minah Omar di luar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam.



Tertuduh mengaku bersalah cederakan dua anak turut dihukum dua sebatan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kepada seorang lelaki kerana mendatangkan cedera parah terhadap anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, dengan simbahan asid.
Bagi pertuduhan kedua iaitu mendatangkan cedera pada anak bongsunya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, tertuduh, Mat Haizan Mat Yasin, 32, dihukum penjara dua tahun dan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula tarikh ditangkap pada 16 Ogos lalu.
Hakim M Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu selepas menimbangkan pengakuan bersalah Mat Haizan serta mengambil kira sokongan keluarga itu yang masih melawat mangsa di Penjara Marang walaupun menjadi mangsa perbuatan kejam tertuduh.

M Bakri dalam penghakimannya berkata, penjara dalam tempoh panjang tidak boleh memberi jaminan seseorang akan berubah tetapi kasih sayang keluarga dapat memberi peluang pesalah memulakan hidup baru.

"Dalam kes ini, tertuduh bernasib baik kerana keluarga masih sudi melawatnya di penjara tetapi terpulang kepada isterinya sama ada mahu menerimanya semula atau tidak.

"Saya ingin mengingatkan orang yang kuat bukan kerana berjaya mengalahkan berpuluh musuh tetapi mereka yang boleh mengawal nafsu marahnya,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Mat Haizan yang menganggur didakwa sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Nurul Dahyatul Fazlinda dengan menggunakan benda melecur iaitu asid, pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu, di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Irfan Firdaus pada tarikh, masa dan tempat sama.

Pada 16 Ogos lalu, media melaporkan empat beranak iaitu isteri, dua anak dan ibu mentua Mat Haizan cedera akibat terkena asid dilempar tertuduh yang berang dengan tindakan isterinya meminta cerai.

Dia dikatakan memecah masuk rumah ibu mentuanya, Minah Omar, 56, dengan membawa sebungkus plastik cecair mengandungi asid yang kemudian disimbah kepada mereka.

Dalam prosiding semalam, tertuduh diwakili peguam Faezahnoor Hassan, manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan yang dijatuhkan mahkamah sama pada 25 Ogos lalu, selepas mengaku salah menyimbah asid ke atas isterinya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28.