Pages

Monday, January 14, 2013

Cacat, tapi dapat lesen dengan sekali ujian

Dave Watson yang kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan
kanannya berjaya mendapat lesen memandu dengan
 hanya sekali ujian. - AGENSI
LANCASHIRE 13 Jan. - Seorang bekas askar Britain yang kehilangan kedua-dua belah kaki dan tangan kanannya ketika berkhidmat di Afghanistan, berjaya mendapatkan lesen memandu dengan hanya sekali ujian sahaja.
Dave Watson, 26, kehilangan ketiga-tiga anggota badan berkenaan selepas terpijak bahan letupan yang diubah suai ketika sedang melakukan rondaan rutin di Afghanistan.
Namun, kecacatan yang dialaminya tidak menghalang Watson untuk mendapatkan lesen L selepas lulus dalam ujian pemanduan dan hanya melakukan tiga kesilapan kecil sahaja.
Lelaki yang berasal dari Walton-le-Dale, Lancashire, berkata, dia telah menjalani sebanyak 38 kali kelas pembelajaran memandu selama tiga bulan dengan menggunakan kereta Range Rover Sport miliknya yang telah diubah suai mengikut kemampuan fizikalnya.
“Dengan lesen yang saya perolehi ini, saya boleh pergi ke mana-mana yang saya suka, sekali gus menjadikan diri saya lebih bebas bergerak," katanya.
Kereta Watson yang diubah suai itu mempunyai kotak khas di bahagian pintu pemandu, membolehkan dia meletakkan tangan kanannya yang kudung tersebut.
Kotak berkenaan mempunyai fungsi brek dan pedal minyak yang boleh dikawal menggunakan tangan kanannya itu.
Satu tombol kecil juga dipasang pada stereng untuk memudahkan tangan kanannya memegang pengawal tayar itu, yang turut dilengkapi butang penunjuk arah, pengelap cermin dan lampu.
“Saya dapat mempelajari cara memandu dengan cepat walaupun fizikal saya tidak sempurna.
“Saya tidak akan hanya duduk diam dan membaca buku, sebaliknya saya akan berusaha untuk mempraktikkan apa yang saya pelajari," jelasnya.
Ekoran kejayaan Watson memperoleh lesen memandu berkenaan, dia kini merancang untuk belajar menunggang motosikal dan mengambil lesen motosikal pula. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130114/lu_05/Cacat-tapi-dapat-lesen-dengan-sekali-ujian#ixzz2HxkSxyUN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita tertua meninggal pada usia 115 tahun

Okubo
Okubo
TOKYO - Koto Okubo dari Jepun diisytiharkan sebagai wanita tertua di dunia meninggal dunia semalam, pada usia 115 tahun.

Agensi berita Kyodo melaporkan, Okubo meninggal di Rumah Kejururawatan Kawasaki, Timur Jepun kelmarin dan punca kematiannya tidak didedahkan.

Okubo dilahirkan pada 24 Disember, 1897, hanya dua bulan selepas wanita tertua di dunia Dina Manfredini di Amerika Syarikat meninggal juga pada usia yang sama.

Berita kematian itu turut disahkan oleh Datuk Bandar Tokyo dan beliau merasakan pemergian Okubo sebagai kehilangan besar buat negara.

“Beliau menghabiskan masa bersama anak perempuannya yang juga tinggal di rumah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, ketika hayat mendiang, Okubo menjadi tarikan orang ramai untuk melawatnya selepas dinobatkan sebagai wanita tertua di dunia. -AFP

Kanak-kanak didakwa diculik 1994 tinggal bersama datuk

Michael LandersMichael Landers yang dikesan semula baru-baru ini. Foto kecil wajah Michael ketika dia hilang pada tahun 1994. - Foto ihsan
BROWERVILLE - Seorang ibu tunggal Indiana yang mendakwa anaknya diculik hampir 20 tahun lalu menemui semula anaknya baru-baru ini.

Bagaimanapun kanak-kanak itu 'dilarikan' oleh datuk dan nenek sebelah bapanya selepas ibu bapanya bercerai sehingga tidak disedari oleh mereka.

Ekoran dakwaan ia diculik, pihak berkuasa terpaksa mencari kanak-kanak berusia lima tahun itu yang dikenali sebagai Richard Wayne Landers Jr selama bertahun-tahun, tetapi kes itu senyap begitu saja.

Mereka akhirnya mendapati kanak-kanak itu tinggal bersama datuk dan nenek sebelah bapanya di bandar kecil Minnesota, Browerville dan telah menukar namanya pada tahun 2006 kepada Michael Jeff Landers.

Lisa Harter dan bapa kanak-kanak itu, Richard Wayne Landers Sr mendakwa kehilangan anaknya pada tahun 1994.

Lisa dan Richard kemudian bercerai, dan datuk dan neneknya mendapat hak penjagaan anak mereka selepas memfailkan tuntutan penjagaan cucu mereka.

Selepas Lisa berpindah ke sebuah apartmen dan mendapat jagaan anaknya pada hujung minggu. Dia memfailkan petisyen untuk mendapatkan hak jagaan penuh apabila dia berkahwin.

Pegawai Richard Muntz kemudian memberitahu pihak media bahawa hakim memberi hak penjagaan sementara kepada ibunya sebelum anaknya dibawa lari oleh datuk dan neneknya sendiri.
Pegawai polis, Sherif Peter Mikkelson berkata, siasatan sedang dijalankan untuk kes itu yang bakal dikemukakan kepada pihak berkuasa persekutuan membabitkan kes penculikan.

Michael Landers pula seperti memahami keadaannya dan rela tinggal dengan datuk dan neneknya.

749 orang sertai cabaran buru ular sawa



SEEKOR ular sawa Burma dipamerkan sebelum cabaran menangkap haiwan itu bermula di Taman Negara Everglades Florida di selatan Florida pada Sabtu lalu. -AFP


MIAMI, Florida – Seramai 749 orang menyertai cabaran memburu ular sawa Burma selama sebulan yang bermula kelmarin di Taman Negara Everglades Florida, Amerika Syarikat.
Pihak berkuasa hidupan liar negeri Florida menawarkan wang tunai sebanyak AS$1,000 (RM3,020) kepada para peserta yang berjaya membunuh ular sawa yang paling panjang.
Wang tunai sebanyak AS$1,500 (RM4,530) ditawarkan kepada peserta yang berjaya membawa ular yang paling banyak.
Ramai peserta itu menghadiri latihan tentang cara untuk mengendalikan haiwan tersebut yang diadakan pada waktu pagi di Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Fort Lauderdale, Universiti Florida di Davie, dekat sini sebelum cabaran tersebut bermula.
Seorang peserta, Dan Keenan yang juga bertugas sebagai jurutera membawa pisau dan pistol sebagai persediaan untuk menangkap ular sawa Burma.
Ular itu boleh membesar sehingga enam meter panjang.
Pihak berkuasa hidupan liar tersebut berharap, bilangan ular sawa itu akan berkurangan bagi memulihara ekosistem di selatan Florida.
Beberapa saintis berkata, ular sawa itu hampir membunuh semua haiwan kecil seperti rakun di taman tersebut.
Lebih 1,800 ular gergasi telah ditangkap dan dibunuh di kawasan itu sejak tahun 2001 hingga 2011. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2HwInQEFW 
Hakcipta terpelihara