Pages

Saturday, November 8, 2014

Jutawan Korea kutip sampah di Bahrain



YOUTUBE - Yo melakukan kerja-kerja pembersihan di Bahrain sejak 11 tahun yang lalu.


MANAMA, Bahrain –Seorang jutawan pelaburan dari Korea Selatan yang menetap di negara ini sanggup bangun seawal pukul 5 pagi hanya untuk mengutip sampah dan menyusun barangan kitar semula, lapor kelmarin.
Jutawan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Yo atau ‘The Boss of Cleaning’ berkata, dia menjalankan tugasnya itu untuk penduduk negara tersebut sejak 11 tahun yang lalu.
“Terdapat banyak sampah dan ini akan menyebabkan orang ramai sakit. Sampah boleh menimbulkan masalah,” katanya kepada seorang pengguna YouTube, Omar Varov yang merakamkan aktiviti jutawan itu.
Menurut akhbar Gulf Daily News, Yo amat komited menjaga kebersihan di Bahrain memandangkan negara Teluk itu menghasilkan banyak sampah berbanding negara-negara perindustrian yang lain.
Pada 2011, Menteri Hal Ehwal Perbandaran dan Perancangan Bandar Bahrain, Juma Ahmed Al Kaabi berkata, negara itu menghasilkan kira-kira 2,200 tan sampah di bandar, tujuh tan sampah daripada sektor penjagaan kesihatan dan 380 tan sampah sisa kilang setiap hari.
Omar yang mempunyai ribuan pengikut dalam YouTube berkata, pihaknya telah dihubungi oleh seorang wartawan untuk merakamkan aksi jutawan itu yang dianggap sebagai satu keadaan luar biasa yang jarang dilakukan oleh golongan jutawan.
“Dia merupakan contoh kepada sikap kesederhanaan, kesopanan dan budi pekerti yang mulia. Anda merupakan contoh kepada belia,” kata Omar kepada Yo ketika merakamkan video itu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3IQaLj2L2 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki menangis gagal beli iPhone 6 dapat S$14,446



YOUTUBE - PHAM menangis selepas diminta membayar caj tambahan sebagai pakej jaminan bagi pembelian iPhone 6.


SINGAPURA – Seorang pekerja kilang terkejut selepas sebuah kedai telefon bimbit mengenakan caj tambahan sebanyak S$1,445 (RM3,700) semasa dia membeli telefon pintar iPhone 6, lapor kelmarin.
Warga Vietnam, Pham Van Thoai, 28, sebelum itu telah membayar wang sebanyak S$949 (RM2,436) untuk harga iPhone 6 kepada sebuah kedai menjual telefon bimbit di Sim Lim Square di sini.
Bagaimanapun, dia terkejut selepas seorang pekerja kedai itu memberitahu, dia tidak boleh pulang sehingga dia membayar wang tambahan sebanyak S$1,507 (RM3,861) untuk pakej jaminan.
Pham yang tidak mampu membayar caj tambahan itu kemudian meminta supaya wangnya dipulangkan semula tetapi penjual berkenaan enggan memulangkan wang berkenaan.
Keadaan Pham yang merayu sambil menangis serta melutut agar wang tersebut dikembalikan turut menyebabkan dia diketawakan.
Katanya, dia menyimpan wang sebanyak S$169 (RM434) setiap sebulan sejak beberapa bulan lalu untuk membeli iPhone 6 sebagai hadiah hari jadi untuk kekasihnya.
Aksi Pham itu dirakam oleh seorang pelanggan di kedai berkenaan menyebabkan video tersebut kini menjadi popular di internet.
Ekoran keprihatinan orang ramai, lelaki malang itu berjaya menerima sumbangan S$14,446 (RM37,000) dari seluruh negara.
Seorang warga Singapura yang mengambil inisiatif itu, Gabriel Kang berkata, dia berbuat demikian kerana mahu membuktikan negara itu bukan pencuri atau penipu.
Kedai berkenaan sememangnya mempunyai reputasi buruk dengan 18 aduan diterima oleh pihak berkuasa selain pernah memulangkan wang pelanggan dalam bentuk syiling sebanyak S$1,651 (RM4,233). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3IQa3nY9V 
Hakcipta terpelihara 

Penempatan di bulan bakal jadi kenyataan

Ilustrasi menunjukkan kediaman cadangan ESA yang dihasilkan daripada
Ilustrasi menunjukkan kediaman cadangan ESA yang dihasilkan daripada robot pencetak 3D dan akan dilengkapi dengan bilik untuk empat orang. – AGENSI
LONDON 7 Nov. – Tinggal di bulan mungkin tidak lagi mustahil selepas Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) mendedahkan rancangan membangunkan penempatan manusia pertama di planet itu dengan menggunakan robot pencetak tiga dimensi (3D) dalam tempoh 40 tahun lagi.
Kediaman itu akan diperbuat daripada tanah di bulan sebelum diproses oleh robot pencetak kepada bentuk gelembung untuk memastikan struktur bangunan berkenaan selamat.
Mail Online melaporkan, kediaman berkenaan akan dilengkapi dengan bilik untuk empat orang.
Struktur itu pula boleh melindungi penghuninya daripada jatuhan meteor dan sinaran gamma.
Bagi membangunkan projek tersebut, ESA akan bekerjasama dengan firma arkitek, Foster + Partners untuk memastikan kehadiran manusia di bulan secara tetap yang merupakan satelit semula jadi bagi Bumi.
Pasukan penerbangan angkasa manusia ESA, Scott Hovland berkata, pencetak 3D menawarkan satu potensi yang memudahkan penempatan di bulan dengan mengurangkan pengangkutan dari bumi.
“Mengikut teori, sebanyak 90 peratus daripada material yang diperlukan untuk membangunkan struktur itu telah pun wujud di bulan. Oleh itu, hanya robot dan bahagian-bahagian yang ringan seperti gelembung dan penyambung pejal serta kemasukan segmen yang perlu dibawa dari Bumi,’’ katanya.
Sementara itu, wakil Foster + Partners, Xavier De Kestelier berkata, sebagai latihan, mereka membiasakan diri dengan keadaan iklim ekstrem di Bumi dan mengeksploitasi manfaat alam sekitar dengan menggunakan bahan-bahan tempatan yang kukuh.
“Penempatan di bulan akan mengikut logik yang sama seperti di Bumi,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/penempatan-di-bulan-bakal-jadi-kenyataan-1.21951#sthash.f9HrfmS2.dpuf

Presiden termiskin dunia ditawar AS$1 juta

JOSE MUJICA hanya menaiki kereta klasik Volkswagen Beetle 1987
JOSE MUJICA hanya menaiki kereta klasik Volkswagen Beetle 1987 ketika mengundi dalam pilihan raya Presiden pada 26 Oktober lalu. – AGENSI
MONTEVIDEO 7 Nov. - Presiden Uruguay, Jose Mujica mengakui beliau menerima tawaran sebanyak AS$1 juta (RM3.26 juta) daripada seorang jutawan Arab yang mahu membeli kereta antik Volkswagen Beetle 1978 yang menjadi simbol kehidupan sederhananya.
Mujica, 79, yang disenaraikan sebagai presiden termiskin di dunia memberitahu majalah mingguan, Busqueda baru-baru ini tentang hasrat jutawan Arab yang tidak dinamakan itu untuk membeli keretanya yang berusia 27 tahun.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah untuk menjual kereta tersebut kerana tidak berminat mengumpul kereta antik, tetapi tidak mengambil serius tentang tawaran itu.
“Jika saya mendapat wang sebanyak itu, saya akan menggunakan wang tersebut untuk program pembinaan rumah bagi gelandangan atau membeli trak atas kegunaan pejabat kesihatan awam Uruguay atau pekerja kempen.
“Sudah menjadi sifat manusia untuk memiliki minat terhadap sesuatu objek termasuk mengumpul kereta klasik,” kata Mujica apabila ditanya tentang sebab jutawan Arab yang sanggup berbelanja besar untuk membeli kereta tersebut.
Mujica telah menggunakan kereta berkenaan sejak bertahun-tahun termasuk selepas menjadi Presiden Uruguay pada 2010 selain dikenali sebagai pemimpin yang mengamalkan hidup bersederhana.
Beliau menyerahkan 90 peratus daripada AS$11,000 (RM36,718) duit gajinya sebagai Presiden pada setiap bulan kepada pusat kebajikan selain tinggal di sebuah rumah kecil terletak di pinggir ibu negara, Montevideo.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/presiden-termiskin-dunia-ditawar-as-1-juta-1.21947#sthash.khDNhiSa.dpuf