Pages

Monday, December 12, 2011

Amerika dalang pemusnah dunia


Berita Harian Online | Amerika dalang pemusnah dunia:

NGO Barat cuba kuasai proses pilihan raya

APA agaknya reaksi penduduk Amerika Syarikat jika mendapati pusat pengundian dan parti politik tertentu keseluruhannya dipengaruhi wang pemerhati dan calon disokong China yang mempromosikan kepentingan negara itu dalam proses pemilihan Presiden?

Pasti banyak jawapan diterima. Mungkin ada orang akan dipenjarakan seumur hidup atau dihukum mati atas dakwaan mengkhianati negara. Malah perang antara kedua-dua negara juga mungkin berlaku.
Cubaan menggulingkan pemimpin negara asing atau masuk campur dalam pilihan raya adalah tindakan biasa dilakukan kerajaan Amerika menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) selama berdekad-dekad di seluruh dunia. Malah, kebangkitan dunia Arab dilaporkan turut didalangi pelbagai rangkaian NGO yang disokong Barat.
Akhbar New York Times dalam rencana bertajuk ‘Pergerakan Amerika Membantu Memupuk Kebangkitan Arab’ jelas menyatakan beberapa kumpulan dan individu secara langsung terbabit dalam kebangkitan dan pembaharuan yang melanda rantau itu termasuk Pergerakan Belia 6 April di Mesir, Pusat Hak Asasi Manusia Bahrain dan aktivis akar umbi seperti Entsar Qadhi, pemimpin belia di Yaman, menerima latihan dan dana daripada kumpulan seperti Institut Republikan Antarabangsa, Institut Demokratik Kebangsaan dan Dewan Kebebasan, pertubuhan hak asasi manusia tidak berasaskan keuntungan beribu pejabat di Washington.

Ia juga menunjukkan kedua-dua institut itu mempunyai hubungan dengan parti Republikan dan Demokratik. Ia dicetuskan Kongres dan dibiaya menerusi Pembiayaan Kebangsaan bagi Demokrasi, yang ditubuhkan pada tahun 1983 untuk menyalurkan geran bertujuan mempromosikan de-mokrasi di negara membangun.

Ia menerima AS$100 juta (RM314 juta) setahun daripada Kongres. Dewan Kebebasan turut menerima sejumlah wang daripada ke-rajaan Amerika, kebanyakannya daripada Jabatan Negara.

NGO sama juga memainkan peranannya di Myanmar, menghalang pembinaan empangan mega baru un-tuk memulakan pembangunan di kawasan pedalaman negara itu dan menyediakan bekalan elektrik bagi penggunaan eksport dan domestik, serta membantu mengairi tanah pertanian.
Ada bukti NGO ini cuba mengkucar-kacirkan kerajaan Malaysia dan mengembalikan kuasa kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di negara jiran Russia dan juga sekutunya, Belarus, NGO yang dibiayai Amerika cuba memulakan ‘Kebangkitan Belarus’ untuk menumbangkan pemimpin negara itu, Alexander Lukashenko, yang membantah keras kehadiran tentera NATO di sempadannya dan Russia. Kini, Russia sendiri sudah membongkar plot NGO yang cuba campur tangan dalam institusi politik negara itu, dalam cubaan menggulingkan dan menggantikan pemimpinnya.

Ini bukan kali pertama Russia berdepan dengan campur tangan luar. Selepas kejatuhan Soviet Union, ada usaha di kalangan rakyat asing memulakan usaha mencipta undang-undang sendiri di sebalik kekacauan itu.

Individu yang menerajuinya ialah hartawan Mikhail Khodorkovsky yang menjadi penaung Yayasan Russia Terbuka malah memiliki pakar kewangan korporat seperti Jacob Rothschild dan Henry Kissinger mempengerusikan lembaga pengarahnya.

'Pokok pisang bersaiz gergasi

Pokok pisang bersaiz gergasi - Utara - Sinar Harian:


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 12, 2011
pisang-gergasi
KUALA KETIL - Seorang pekebun di Kampung Belakang Malayawat dekat sini memiliki pokok pisang yang mencatat ketinggian luar biasa sehingga ada yang mencecah 10 meter.

Abu Hassan Jaafar, 56, berkata, pokok pisang yang ditanam 25 tahun lalu turut menghasilkan buah yang lebih besar iaitu mencecah sehingga 35 kilogram setandan.

Menurutnya, antara pokok pisang yang ditanamnya adalah jenis awak, emas dan nangka.

“Walaupun saya hanya menggunakan baja pokok, pokok pisang ini membesar dengan sempurna. Saiz batang pisang ini juga menyamai sebuah batang balak muda.

“Seorang peniaga goreng pisang pernah memberitahu saya dia boleh membelah sebiji buah pisang kepada lima. Ramai yang bertanya mengenai rahsia tanaman pisang ini, namun, saya tidak mempunyai sebarang rahsia kerana benih pisang dan cara penanamannya adalah biasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, saiz pokok pisangnya yang besar ini kemungkinan disebabkan tanah kebunnya yang merupakan bekas tempat pembuatan arang.

“Pada 1969, kawasan ini merupakan kawasan pembuatan arang, jadi tanah ini sesuai untuk bertani.

“Bukan sekadar pisang, tetapi pokok lain antara pokok keladi telur turut mempunyai saiz yang besar berbanding keladi biasa,” katanya.

Menurutnya, walaupun pisangnya mendapat sambutan menggalakkan, dia tidak menjadikan tanaman pisang sebagai pekerjaan utamanya.

“Tanaman pisang ini adalah kerja sambilan saya. Saya mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dilakukan.

“Sebagai pemimpin kampung, saya perlu mengutamakan keperluan masyarakat kampung,” katanya.

Abu Hassan berkata, kemungkinan dia akan memfokuskan kepada tanaman pisang ini selepas bersara sebagai seorang pemimpin.

“Sekiranya saya tidak mempunyai komitmen lain, saya akan memberikan fokus kepada tanaman pisang ini.

“Kemungkinan, saya akan mengeluarkan produk yang berasaskan pisang kerana itulah idaman saya dalam dunia pertanian ini,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat kepada pekebun baru yang ingin berkecimpung dalam tanaman pisang ini, Abu Hassan berkata, komunikasi dan hubungan pekebun dengan pegawai pertanian haruslah baik.

“Kita perlu rajin bertanya kepada pegawai pertanian kerana mereka turut mempunyai kelebihan tertentu dalam bidang bertani.

“Sekiranya kita mengikut nasihat selain pengalaman, kita akan berjaya dalam bidang pertanian,” katanya.

Gempa kuat gegarkan Mexico


BIMBANG SELEPAS GEMPA: Orang ramai bergegas keluar dari bangunan-bangunan dan berdiri di kawasan berumput di antara dua jalan raya di Mexico City, lewat kelmarin, selepas berlaku gempa bumi. -- Foto REUTERS


Dua maut dalam gempa sekuat 6.5 pada skala Richter


MEXICO CITY: Gempa bumi sekuat 6.5 pada skala Richter menggegarkan Mexico lewat kelmarin dan menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang terkorban.
Gempa bumi itu juga mengganggu bekalan elektrik di beberapa bahagian ibu kota negara itu menyebabkan ramai orang bergegas lari ke jalan-jalan raya.Bagaimanapun, tidak ada laporan segera mengenai kerosakan besar atau kecederaan di Mexico City tetapi agensi penyedia khidmat kecemasan berkata seorang lelaki berusia 18 tahun terbunuh apabila sebuah bumbung roboh di Iguala, sebuah bandar kecil antara ibu kota Mexico itu dengan bandar peranginan pelancongan Acapulco.Seorang lelaki berusia 25 tahun pula terbunuh apabila sebuah batu besar menghempap sebuah van kecil di lebuh raya Mexico City-Acapulco, kata seorang jurucakap bagi perkhidmatan kecemasan di wilayah Guerrero, di bahagian barat daya Mexico.'Saya amat takut. Saya ingat ia tidak akan berakhir,' kata Cik Laura Gonzalez, yang sedang minum di sebuah bar di Mexico City apabila gempa selama 40 saat itu berlaku.Satu gempa bumi kuat pada 1985 telah membunuh ribuan penduduk dan memusnahkan beberapa bahagian Mexico City. Sebahagian besar penduduk di situ bimbang kejadian tersebut berulang.'Saya berada di tingkat lima apabila saya terasa gegarannya. Ia satu gegaran amat kuat,' kata Cik Amor Lajud.'Anjing-anjing saya mula menyalak. Saya bergegas ke arah pintu keluar dan tanpa berlengah terus keluar,' kata Cik Lajud yang tinggal di sebuah apartmen di kawasan kejiranan mewah Condesa di Mexico City, yang pernah mengalami gempa pada 1985.Para pembeli di sebuah gedung beli-belah popular di Condesa bergegas keluar ke jalan raya dengan sesetengah daripada mereka menangis dan berteriak.Lampu-lampu trafik pula tergendala di beberapa persimpangan menyebabkan kesesakan trafik.Pusat gempa berlaku sekitar 45 kilometer dari Iguala di Guerrero dan pada kedalaman 64 kilometer, kata Pusat Tinjauan Geologi Amerika Syarikat.Gegaran gempa itu, yang pada awalnya dilaporkan sekuat 6.7 pada skala Richter, turut dirasakan di beberapa wilayah lain termasuk Michoacan, Puebla and Hidalgo, lapor media setempat.'Kerosakan paling besar adalah di Iguala kerana pusat gempa amat dekat ke sana,' kata jurucakap agensi perkhidmatan kecemasan Guerrero.Kejadian tanah runtuh menutupi beberapa lebuh raya di kawasan pantai Pasifik tetapi pegawai bomba yang bertugas di Acapulco berkata, sedang para penduduk berasakan gegaran gempa itu dan talian telefon tergendala, tidak ada laporan tentang berlakunya kerosakan besar. -- Reuters.Cyberita Online Luar Negara:

AS akur arahan Pakistan kosongkan pangkalan udara

Utusan Malaysia Online - Terkini:


12/12/2011 2:28am

ISLAMABAD 12 Dis. - Tentera Amerika Syarikat mengosongkan sebuah pangkalan tentera udara Pakistan selepas Islamabad mengarahkan berbuat demikian sehingga semalam sebagai tindak balas terhadap serangan udara NATO yang membunuh 24 askar negara Islam itu.
Seorang pegawai kanan tentera Pakistan berkata, askar Amerika telah mengosongkan pangkalan udara Shamsi yang kemudiannya dikawal oleh pasukan keselamatan negara ini.
Pangkalan udara tersebut yang terletak di barat daya wilayah Baluchistan dipercayai digunakan dalam operasi serangan Drone AS terhadap militan Taliban dan al-Qaeda. – AFP

Gempa 6.0 gegar kawasan South Sandwich Island

Utusan Malaysia Online - Terkini:


12/12/2011 2:03am

WASHINGTON 12 Dis. - Satu gempa bumi kuat berukuran 6.0 skala Richter menggegarkan kawasan dekat South Sandwich Island di selatan Lautan Atlantik, semalam.
Pusat kaji gempa Amerika Syarikat berkata, gempa tersebut berlaku pada pukul 7.54 pagi (6.54 petang waktu Malaysia) di kedalaman 121 kilometer.
Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa itu. - AFP

Adakah Libya berada di landasan betul?

Adakah Libya berada di landasan betul? - Global - Sinar Harian:

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 11, 2011
Adakah Libya berada di landasan betul?

Ada pihak mula mempersoalkan sama ada Libya kini berada di landasan yang betul selepas kerajaan mengumumkan pembentukan Kabinet baru di negara itu pada bulan lalu?

Beberapa pendapat menyatakan kerajaan baru Libya bakal berhadapan dengan cabaran yang sukar dalam masa beberapa bulan ini kerana kerajaan baru tersebut perlu memulihkan ketenteraman, menggubal perlembagaan dan harus bersedia untuk mengadakan pilihan raya berbentuk demokrasi di negara tersebut.

Bulan lalu, pemangku Perdana Menteri, Abdurrahim el-Keib mengumumkan puluhan senarai nama yang akan menyertai beliau dalam Lembaga Eksekutif Peralihan.

Beliau turut memberi jaminan mereka yang terpilih akan mewakili seluruh kawasan di Libya.

Harapan untuk melihat Libya bersatu pada masa hadapan mungkin sukar untuk diramal.

Adakah mereka yang terpilih sememangnya mewakili puak wilayah di seluruh negara?

Dan jika tidak, bagaimana mereka yang tersisih akan bertindak?

Beberapa penganalisis bertindak melontarkan pendapat mereka terhadap pembentukan Kabinet baru Libya yang telah mendapat kelulusan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), 22 November lalu.

Pengarah Kajian Timur Tengah di Universiti Exeter, Omar Ashour berkata, sebahagian besar ahli barisan kerajaan baru Libya terdiri daripada golongan teknokrat (individu yang mahir dalam bidang teknologi) dan bukannya orang politik.

“Pada masa ini juga, kumpulan pemberontak masih berkuasa di beberapa kawasan, yang mana konflik masih tercetus kerana wujud persaingan untuk merebut kuasa,” menurutnya.

Apa yang diharapkan oleh banyak pihak adalah kerajaan baru Libya akan berupaya menyatukan pemberontak, sekali gus boleh memberi peluang pekerjaan baru dalam bidang ketenteraan kepada mereka.

Dalam satu kenyataan lain, Pengerusi Jabatan Sains dan Geografi di Universitu Texas, San Antonio berkata, puak di timur Libya sudah menunjukkan tanda-tanda tidak berpuas hati dengan pembentukan kerajaan baru Libya itu.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan ahli Kabinet terdiri daripada individu mewakili bahagian barat Libya.

Mereka ini bakal memimpin kawasan timur, di mana ia sememangnya terkenal sebagai kawasan antiGaddafi yang telah mencetuskan pertempuran terbesar untuk menentang pasukan pertahanan pemimpin veteran tersebut termasuk di Benghazi dan Tobruk.

Penduduk di timur mungkin boleh lagi menerima Tripoli sebagai ibu negara Libya tetapi mereka masih mahu melihat lebih banyak kuasa dikongsi bersama di seluruh negara.

Kerajaan baru ini juga didakwa sudah menunjukkan tanda-tanda kronisme kerana beberapa jawatan disandang oleh mereka yang mempunyai kaitan dengan NTC dan perdana menteri.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramal jenis sistem kerajaan yang akan dilaksanakan, sudah jelas bahawa mereka mampu untuk bekerjasama dengan negara-negara Barat kerana kebanyakan ahli Kabinetnya adalah lulusan luar negara dan pernah menetap di sana.
Pada masa ini, Libya dilihat seperti mahu membina hubungan erat dengan negara Barat berbanding dengan negara jiran seperti Chad dan Niger.

“Jika dilihat pada sudut positif, mereka perlu menjalinkan hubungan tersebut bagi memulihkan semula ekonomi Libya ,” menurut Antonio.

Dalam masa sama, kerajaan baru itu juga mahu menghidupkan kembali sistem fahaman puak yang didakwa masih lagi tidak stabil di Libya.

David Pollock dari yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kanan Timur Tengah di Jabatan Negeri Amerika Syarikat pula menyokong pembentukan Kabinet baru tersebut kerana ia seakan memberi harapan baru di Libya walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Kerajaan sementara Libya di bawah Keib dilihat bersungguh-sungguh mahu membina semula negara itu walaupun wujud pelbagai kekangan tetapi mereka tetap cuba untuk bertoleransi dengan semua pihak,” menurutnya.

Beliau melihat Keib sebagai tokoh teknokrat kerana telah melantik pemimpin yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang.

“Barisan Jemaah Menteri juga menunjukkan keseimbangan kerana dibarisi individu yang telah lama menetap di Libya,” katanya.

Dalam masa yang sama, Pollock melihat keadaan di negara itu sudah semakin pulih dan pertempuran antara puak semakin terkawal berbanding beberapa bulan lalu.

“Dari segi praktikal, keadaan di Libya sudah semakin terkawal dan jika dilihat pada sudut ekonomi mereka kini sedang berusaha mulihkannya semula,” jelas Pallock lagi.

Dalam perkembangan terbaru, ketua NTC, Mustafa Abdel Jalil, kelmarin turut menyatakan kerajaan bersedia memberi pengampunan kepada pasukan barisan pertahanan Gaddafi yang telah berjuang menentang pemberontak semasa mereka cuba untuk menggulingkan rejim pemerintahan selama 42 tahun pemimpin veteran Libya tersebut.

“Libya adalah milik semua. Jadi, kita seharusnya mengamalkan sikap bertolak-ansur terhadap sesuatu perkara walaupun tentera Gaddafi pernah melakukan kekerasan di seluruh negara, kami tetap bersedia memaafkan mereka,” menurutnya semasa merasmikan sidang perdamaian anjuran NTC.

Sidang perdamaian itu adalah yang pertama kali diadakan sejak NTC mengisytiharkan pembebasan seluruh Libya pada 23 Oktober lalu, tiga hari selepas Gaddafi dibunuh pemberontak di Sirte.

Ia turut dihadiri wakil puak dan kumpulan etnik dari seluruh wilayah Libya serta delegasi Qatar dan Tunisia.

Dalam satu kenyataan, Kib menegaskan perdamaian kebangsaan adalah sebagai satu langkah penting untuk membina semula institusi perlembagaan negara.

“Keamanan di wilayah akan menjadi kunci kestabilan negara pada masa hadapan. Libya tidak boleh dibina semula jika ia berlandaskan perasaan dendam,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, kerajaan di bawah pimpinan pemangku perdana menteri tersebut turut berhadapan tekanan selepas beberapa pihak menggesa beliau untuk melucutkan senjata bekas pemberontak yang kini berterusan mengawal keselamatan di beberapa bandar.

Libya sudah mendahului negara lain di rantau Arab yang sedang bergolak dengan melakukan pembaharuan yang diharap dapat memuaskan hati semua pihak terutamanya penduduk di negara tersebut.

Masa depan Libya juga terletak di tangan Lembaga Eksekutif Peralihan.

Namun, persoalannya kini adakah mereka berjaya menerajui Libya lebih baik daripada pemerintahan Gaddafi atau sebaliknya?

Cubaan seludup 2 kilogram kokain dalam perut gagal

myMetro | Cubaan seludup 2 kilogram kokain dalam perut gagal:
GAMBAR sinar-X menunjukkan kapsul dadah dalam perut seorang lelaki Britain.
GAMBAR sinar-X menunjukkan kapsul dadah dalam perut seorang lelaki Britain.

SAO PAULO: Seorang lelaki Britain ditangkap kerana cuba menyeludup dua kilogram kokain dari Brazil, di dalam perutnya.

Lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Congonhas di Sao Paulo ketika cuba menaiki pesawat menuju ke Senegal.


Keputusan sinar-X terhadap perutnya menunjukkan 89 kapsul dadah kelas A yang berat setiap satu kurang sedikit daripada 30 gram.

Lelaki itu yang namanya belum didedahkan, ditangkap ketika mendaftar masuk apabila polis menyedari ada yang tidak kena dengan pasportnya.


Ketua Polis, Jose Alonso berkata, lelaki itu mempunyai pasport Britain dan Nigeria tetapi maklumat didalamnya tidak sama.


Kokain berkenaan dikeluarkan dari perutnya di hospital beberapa jam selepas dia ditahan.

Polis berkata, dadah yang bernilai �286,000 (RM1.4 juta) itu ialah untuk jualan di Eropah.


Lelaki itu berdepan dengan hukuman penjara 15 tahun atas tuduhan menyeludup dadah jika sabit kesalahan. - Agensi

803 mangsa godam NOTW

myMetro | 803 mangsa godam NOTW:

LONDON: Kira-kira 800 orang menjadi mangsa penggodaman telefon bimbit oleh akhbar tabloid News of the World (NOTW) yang kini sudah tidak beroperasi lagi, menurut pasukan penyiasat polis Britain, semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Metropolitan berkata, 2,037 orang telah dihubungi sepanjang siasatan setahun itu.

Sejumlah 803 dikatakan menjadi mangsa penggodam akhbar terlaris, yang merupakan satu daripada syarikat yang dimiliki oleh News Corp, kepunyaan Rupert Murdoch.

Ia adalah kali pertama, polis mengeluarkan kenyataan mengenai bilangan mangsa penggodaman telefon bimbit oleh News of the World.


“Kami yakin, kami telah menemubual semua mangsa ataupun mereka yang mung kin menjadi mangsa perbuatan itu,” kata Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Sue Akers dalam satu temubual dengan The Times yang dikeluarkan semalam.


Setakat ini, polis telah menahan 20 orang yang terlibat dalam kes ini.

Beberapa lagi yang disyaki melakukan penggodaman komputer dan merasuah anggota polis untuk maklumat, turut ditahan. - Reuters

Pakistan ancam tembak dron AS

myMetro | Pakistan ancam tembak dron AS:

ISLAMABAD: Berikutan ketegangan antara Amerik Syarikat dengan Pakistan, Islamabad semalam memberi amaran akan menembak dron pembunuh Amerika Syarikat yang menceroboh ruang angkasanya.
“Apa saja objek yang memasuki ruang angkasa kami, termasuk dron Amerika Syarikat, akan dianggap musuh dan ditembak jatuh,” kata seorang pegawai kanan tentera Pakistan ketika diwawancara rangkaian televisyen Amerika, NBC.

Perkembangan itu adalah susulan kepada serangan Nato yang diketuai Amerika Syarikat terhadap dua pos sempadan di barat laut Pakistan pada 26 November lalu dan menyebabkan 24 tentera Pakistan terbunuh.
Lanjutan daripada kejadian itu, Islamabad bertindak menutup pusat menyeberang sempadan Pakistan yang digunakan oleh pakatan tentera Barat untuk mengangkut minyak dan bekalan lain bagi pasukan tentera asing yang diketuai Amerika Syarikat di Afghanistan.

Pakistan turut menggesa Amerika meninggalkan Pangkalan Udara Shamsi di wilayah Baluchistan.

Tentera Pakistan mengambil alih penguasaan terhadap pangkalan berkenaan Sabtu lalu selepas kebanyakan anggota tentera Amerika meninggalkannya.

Suami cemburu upah samseng belasah peniaga

myMetro | Suami cemburu upah samseng belasah peniaga:

DI SINI...Mohammad menunjukkan longkang tempat dia  ditinggalkan selepas dibelasah.
DI SINI...Mohammad menunjukkan longkang tempat dia ditinggalkan selepas dibelasah.

KAJANG: Akibat cemburu buta, seorang peniaga menerima lapan jahitan di kepala selain lebam dan bengkak di seluruh badan selepas dibelasah lebih 20 lelaki di gerai makan miliknya sebelum ditinggalkan dalam longkang beberapa meter dari tempat kejadian di Taman Kajang Mewah, di sini, Ahad minggu lalu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Mohammad Hanapiah, 49, sedang berniaga bersama anak lelakinya berusia 24 tahun sebelum didatangi kumpulan suspek terbabit.


Mohammad ketika ditemui semalam berkata, dia tidak menyangka kumpulan lelaki berlagak seperti pelanggan itu tiba-tiba bangun dan mengejarnya selepas menerima isyarat tertentu sebelum membelasahnya.

“Ada antara penyerang itu membawa parang serta kapak dan menetak kepala saya tanpa belas kasihan walaupun sudah tersungkur atas tanah.


“Lebih menyedihkan, mereka menengking dan menuduh saya meniduri isteri seorang daripada mereka di depan pelanggan dan orang ramai,” katanya.


Menurutnya, salah faham itu berlaku selepas dia yang juga pengerusi Pertubuhan Pengusaha Kios Melayu (PPKM) Hulu Langat cuba membantu isteri lelaki berkenaan mengenai hal perniagaan sebulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengerusi pertubuhan itu dan tidak menjalin hubungan sulit dengan wanita terbabit.


“Saya tidak faham mengapa dia menuduh saya menjalin hubungan sulit dengan isterinya sedangkan dia tahu kami hanya berhubung atas dasar perniagaan.

“Sedangkan berjumpa berdua dengan isterinya saya tidak pernah, inikan pula menjalin hubungan sulit,” katanya.


Menurutnya, dia pernah menemui suspek dan isterinya sebulan lalu bagi meleraikan salah faham itu dan menyangka masalah itu sudah selesai selepas saling bermaafan ketika itu.


Mohammad berkata, tindakan suspek menghantar samseng memukul dan memalukannya di khalayak ramai seperti itu keterlaluan.


“Kumpulan samseng itu bukan saja membelasah saya hingga separuh mati, malah turut melarikan wang hasil perniagaan saya RM1,600 serta dua telefon bimbit dan dompet saya,” katanya.


Sementara itu, isteri suspek dikenali sebagai Miza, 34, ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah menjalin hubungan terlarang dengan mangsa.


“Hubungan antara kami hanya atas dasar pengerusi dan ahli pertubuhan, tidak lebih daripada itu. Mungkin berlaku salah faham antara suami saya dan mangsa, namun saya sangka semuanya selesai sebulan lalu,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Lelaki terbang kelas 1, curi barang kemudian jual di internet

myMetro | Lelaki terbang kelas 1, curi barang kemudian jual di internet:

SAINT-DENIS-DE-LA-REUNION (Perancis): Seorang lelaki yang menjual objek yang dicuri dari penerbangan kelas pertama, ditahan di sebuah lapangan terbang di Pulau Reunion, dalam jajahan Perancis, semalam.

Menurut polis, lelaki berusia 28 tahun, seorang jurugambar beribu pejabat di Kanada, akan duduk di kelas pertama Air France atau pesawat syarikat penerbangan lain dan mencuri napkin, gelas, pinggan, selimut atau apa saja yang difikirkan boleh dijual di internet.


Polis membuat siasatan setelah menerima aduan Air France, hingga tertangkapnya lelaki itu.

Dia mengaut untung sebanyak 10,000 euros (RM31,475) hasil barang yang dicuri daripada Air France, sejak tiga tahun lalu. - AFP

'African Scam' aktif tipu wang

Berita Harian Online | 'African Scam' aktif tipu wang:

MANTIN: Tindakan seorang pelajar kolej swasta warga Afrika terjun dari tingkat dua Kondominium Sri Palma Villa di sini, malam kelmarin, ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, membawa kepada penemuan markas sindiket 'African Scam' yang aktif melakukan penipuan melalui laman sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, suspek berusia dalam lingkungan 20-an yang panik dengan kehadiran penguat kuasa Jabatan Imigresen serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) nekad terjun untuk melarikan diri.
Lelaki itu kemudian ditemui terbaring kerana cedera pada kaki kiri dan pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal lebih masa.
Curiga dengan tindakan nekad sebelum itu, penguat kuasa memeriksa lanjut dan menemui kandungan SMS mencurigakan pada telefon bimbitnya, mendakwa dia menipu wang beberapa individu.

Dia kemudian membawa penguat kuasa ke rumahnya, namun tiga rakannya yang berada di dalam enggan membuka pintu, menyebabkan penguat kuasa terpaksa memecahkan mangga pintu jeriji terbabit.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya menemui tiga komputer riba yang masing-masing disembunyikan di atas siling bilik air, dalam sarung kusyen sofa dan laci kabinet TV.

Kita menemui pelbagai dokumen digital palsu di dalam komputer riba terbabit, antaranya salinan pasport individu tidak dikenali, salinan Mykad palsu dan surat tawaran daripada pelbagai kerajaan negara berbeza termasuk Malaysia untuk menerima sejumlah wang tidak dituntut.
Pemeriksaan turut menemui wang tunai RM1,650, 19 pek permulaan telefon bimbit dalam dan luar negara serta sembilan telefon bimbit mengandungi kandungan SMS meragukan, katanya di sini.

Katanya, tiga lelaki yang berada di dalam rumah terbabit diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut, manakala lelaki yang cedera ditahan pihaknya.

Selain itu, katanya, 300 pelajar Afrika diperiksa dalam operasi itu dengan 17 daripada mereka ditahan kerana kesalahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, semua pelajar yang ditahan belajar di kolej swasta luar dari kawasan ini dan pihaknya percaya mereka datang ke kondominium itu untuk melawat rakan senegara.

'Roslina pulanglah ayah sudah meninggal dunia'

Berita Harian Online | 'Roslina pulanglah ayah sudah meninggal dunia':
KUALA LUMPUR: Pulanglah Roslina... ayah sudah meninggal dunia tanpa sempat menatap wajah anak kesayangannya buat kali terakhir, kata Sabri Man, 38, suami kepada pegawai bank, Roslina Awang Kechik, 37, yang hilang sejak tujuh bulan lalu.

Bapa Roslina, Awang Kechik Wok, 75, meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru dan semput jam 2.30 petang di rumahnya di Bandar Pusat Jengka 12, Pahang, Jumaat lalu, namun anak kesayangan yang dinanti tidak pulang untuk sekurang-kurangnya menatap wajah bapanya buat kali terakhir.
Sabri berkata, bapa mentuanya sudah lama menghidap penyakit berkenaan, namun bertambah teruk sejak Roslina menghilangkan diri 22 April lalu, malah arwah juga rapat dengan isterinya dan sering menyebut nama anak kelima dari tujuh beradik itu sejak kehilangannya kerana terlalu merindui wanita berkenaan.
Sebagai menantu, saya kesal kerana gagal memenuhi hasrat bapa mentua yang ingin berjumpa Roslina sebelum menghembuskan nafas terakhir. Apa lagi saya pernah berjanji untuk membawa Roslina pulang, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Roslina dilaporkan hilang sejak 22 April lalu selepas keluar rumah menuju pejabatnya di Dataran Maybank, Bangsar. Mangsa dikatakan keluar ke tempat kerja menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) jam 7.30 pagi selepas menghantar anak ke sekolah.

Berita Harian sebelum ini melaporkan, beberapa minggu selepas kehilangan Roslina, suaminya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit isterinya yang meminta supaya tidak mengganggu hidupnya dan tidak mencarinya.

Pasangan berkenaan mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 13 tahun yang kini dijaga Sabri sendirian.
Sabri berkata, walaupun sudah tujuh bulan hilang tanpa khabar berita, beliau bersama ahli keluarga tidak berputus asa untuk terus mencari Roslina termasuk sehingga Medan dan Jakarta.

Saya sendiri tak tahu apa lagi perlu dilakukan, pelbagai ikhtiar sudah kami sekeluarga usahakan untuk menjejakinya tetapi sehingga kini tidak berhasil, katanya.

Tentera AS tinggalkan Pakistan

Berita Harian Online | Tentera AS tinggalkan Pakistan:
GAMBAR fail pada 2002 menunjukkan helikopter Amerika diletakkan di lapangan udara Shamsi di Quetta, Pakistan. - AP
GAMBAR fail pada 2002 menunjukkan helikopter Amerika diletakkan di lapangan udara Shamsi di Quetta, Pakistan. - AP
ISLAMABAD: Amerika Syarikat mengosongkan pangkalan udara Pakistan berikutan tarikh akhir yang diberikan Islamabad selepas serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) bulan lalu yang mengakibatkan 24 tentera terbunuh, kata pegawai.

Tentera Pakistan, dalam satu kenyataan menegaskan pesawat terakhir yang membawa pegawai tentera Amerika dan kelengkapan meninggalkan pangkalan udara Shamsi, di barat daya wilayah Baluchistan, menyempurnakan proses yang bermula minggu lalu.
Kawalan pangkalan itu kini diambil alih tentera, kata kenyataan itu.
Pangkalan dipercayai digunakan dalam serangan rahsia pesawat kawalan jauh Agensi Perisikan Amerika (CIA) menentang Taliban dan komander al Qaeda di barat laut kawasan puak Pakistan di sempadan Afghanistan.

Pegawai keselamatan kanan yang enggan namanya dikenali memberitahu AFP: Warga Amerika sudah mengosongkan pangkalan udara Shamsi dan menyerahkannya
kepada pasukan keselamatan Pakistan.

Seorang lagi pegawai di Baluchistan mengesahkan kumpulan terakhir pegawai Amerika meninggalkan pangkalan itu dengan dua pesawat semalam.
Hubungan tegang Islamabad dan Washington menjadi semakin serius berikutan 26 serangan NATO pada November di mana Pakistan menyifatkan ia sebagai serangan yang disengajakan.

Pakistan menutup dua sempadan ke Afghanistan bagi bekalan Amerika dan NATO serta memberikan pegawai Amerika sehingga semalam untuk meninggalkan pangkalan udara Shamsi.

Duta Amerika ke Islamabad Cameron Munter memberitahu stesen televisyen Pakistan minggu lalu, bahawa pihaknya mematuhi arahan yang diberikan.
Sementara itu, di PESHAWAR, jurucakap Taliban menafikan pengumuman sebelum ini yang timbalan ketua kumpulan itu mengadakan rundingan damai dengan kerajaan.

Dakwaan bercanggah itu menunjukkan petanda jelas perpecahan dalam pergerakan itu, yang mungkin menyebabkan lebih sukar untuk menamatkan pemberontakan di negara itu. AP/AFP

Menguap boleh berjangkit

Berita Harian Online | Menguap boleh berjangkit:
LONDON: Tabiat menguap mempunyai kesan negatif kerana ia boleh berjangkit kepada orang lain, lapor satu kajian.

Hasil kajian itu yang disiarkan jurnal Public Library of Science, menyatakan menguap adalah ikatan empati yang terjadi dalam sesuatu kelompok sosial.
Kami berusaha memahami faktor paling penting yang mempengaruhi penularan menguap kepada manusia dengan mengumpulkan data selama setahun dari beberapa negara berlainan di dunia, kata ketua pengkaji di Universiti Pisa Itali, Prof Elisabetta Palagi.
Beliau berkata pihaknya melakukan kajian ke atas 109 dewasa, 53 daripadanya lelaki di Eropah, Amerika Utara, Asia dan Afrika selama 12 bulan. Sebelum ini menguap sering kali dikaitkan dengan tanda keletihan, tekanan atau perasaan bosan.

Kami membahagikan mereka kepada dua kumpulan dengan kelompok pertama menjadi orang yang mula menguap dan satu kelompok adalah pihak yang menghadapi mereka yang menguap, katanya.

Prof Palagi berkata, sepanjang tempoh kajian, pihaknya mendapati ada 480 kes menguap dengan setiap seorang mula menguap dalam tempoh tiga minit.

Kajian menunjukkan hampir separuh daripada responden yang mudah terjangkit menguap adalah mereka yang kenal satu sama lain seperti keluarga, teman rapat dan orang asing atau baru dikenali.
Faktor paling penting yang menyebabkan seseorang itu boleh menularkan tabiat menguap bukanlah kaum, warna kulit, jantina atau usia, tetapi lebih kepada bentuk hubungan dan keakraban antara mereka, katanya. - Agensi

Janda rugi RM4.5 juta diperdaya 'Awang Hitam'

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:


KUALA LUMPUR 11 Dis. - Seorang janda berusia 56 tahun hanya mampu menangis apabila menyedari dia menjadi mangsa kasanova 'Awang Hitam' yang memperdayakannya melalui cinta siber menyebabkan dia kehilangan wang simpanan berjumlah RM4.5 juta dalam sekelip mata.

Seorang lelaki dipercayai warga Afrika mengambil kesempatan memikat mangsa yang merupakan seorang akauntan melalui laman sosial Facebook dengan menyamar sebagai jejaka Inggeris setelah mengetahui wanita itu janda dan kesunyian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, mangsa berkenalan dengan suspek Ogos lalu dan memperdayakan wanita itu setelah mendapat kepercayaannya.

Beliau berkata, mangsa yang jatuh cinta telah digula-gulakan suspek dengan kiriman bungkusan kononnya mengandungi hadiah sebagai tanda kasih sayang.

"Biarpun baru berkenalan, 'teman lelaki' yang berlagak budiman memaklumkan ada mengirim kiriman bungkusan kepada kekasihnya itu melalui seorang teman yang berada di Malaysia.

"Mangsa kemudian diminta menemui rakannya yang merupakan seorang lelaki warga Afrika di ibu negara dan ditunjukkan bungkusan kononnya berisi wang berjumlah AS$5 juta dolar (RM15.752 juta)," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana, di sini.

Syed Ismail berkata, mangsa yang percaya wang ditunjukkan tulen diminta supaya membuat pembayaran bagi pelepasan keselamatan diplomatik untuk membolehkannya membawa pulang wang tersebut.

Menurutnya, mangsa yang tidak menyedari dia sudah terperangkap dalam sindiket 'black money' diarahkan memasukkan wang tersebut ke dalam tiga akaun berlainan kononnya milik tiga syarikat berdaftar di negara ini.

Katanya, mangsa kemudian pulang untuk menyediakan wang bagi membolehkannya mendapatkan 'hadiah' dikirim oleh teman lelakinya itu dan tidak teragak-agak membuat tiga kali pembayaran berjumlah RM4.5 juta ke dalam tiga akaun yang diberikan sebelum itu.

"Dalam tempoh tiga bulan berkenalan, mangsa sudah menyerahkan wang RM4.5 juta kepada sindiket terbabit dan mangsa hanya menyedari ditipu apabila teman lelaki itu masih lagi menghubunginya meminta wang sedangkan bungkusan dijanjikan belum diterima," katanya.

Syed Ismail berkata, mangsa yang tersedar sudah dipermainkan akhirnya tampil membuat laporan polis pada November lalu dan polis yang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berusaha menjejaki kumpulan sindiket berkenaan.

Iran tidak akan pulangkan dron AS




GAMBAR yang disiarkan di laman web rasmi tentera Pengawal Revolusi pada Khamis lalu menunjukkan beberapa pegawai tentera Iran memeriksa pesawat yang didakwa dron RQ-170 Sentinel milik Amerika Syarikat.


TEHERAN, Iran - Kerajaan Iran menegaskan bahawa ia tidak akan memulangkan pesawat pengintip kawalan jauh Amerika Syarikat (AS) atau dron yang dirampas pasukan tenteranya, kata seorang pegawai kanan tentera Pengawal Revolusi Iran semalam.
Jeneral Hossein Salami dalam satu kenyataan yang disiar televisyen Iran menyatakan, pencerobohan ruang udara Iran oleh dron AS itu merupakan tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Dalam kenyataannya, Hossein memberi amaran tindak balas lebih serius akan diambil ke atas AS tanpa mengulas dengan lebih lanjut.
"Tiada orang akan mengembalikan objek yang menjadi simbol kekerasan kepada pihak yang mahu mengintip maklumat penting dan sulit berhubung keselamatan sesebuah negara (AS)," katanya.
Televisyen Iran menyiarkan satu klip video pada Khamis lalu yang menunjukkan beberapa pegawai tenteranya memeriksa dron altitud tinggi itu yang dikenal pas

Pemandu cekap letak kereta di ruang sempit

Kosmo! Online - Dunia:



SIRI urutan gambar di New York menunjukkan seorang pemandu meletak kereta sedan di ruang yang cuma boleh memuatkan sebuah kereta kompak. - YouTube


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu yang menunjukkan kecekapannya meletak kereta di ruang sempit menjadi sensasi di laman perkongsian video YouTube, lapor akhbar MailOnline.

Lelaki tidak dikenali itu meletak kereta sedan miliknya di ruang sempit yang cuma muat untuk sebuah kereta bersaiz kompak.

Malah, dia berjaya keluar dari ruang parkir sama tanpa mencalarkan bampar kenderaan di hadapan dan belakangnya.

Dia mengambil masa sekitar lima minit untuk meletakkan keretanya di ruang parkir berkenaan di sini baru-baru ini. - Agensi