Pages

Wednesday, July 28, 2010

100 angkasawan dunia dijemput ke perkahwinan Sheikh Muszaphar


KUALA LUMPUR 27 Julai – Seramai 100 angkasawan dari 35 negara dijemput menghadiri perkahwinan Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor bersama pasangannya, Dr. Halina Mohd. Yunos pada 10 Oktober ini.
Sheikh Muszaphar berkata, selain mereka, beliau juga akan menjemput para tetamu jemputan khas termasuk perdana menteri, keluarga diraja dari dalam dan luar negara untuk memeriahkan hari perkahwinannya.
Beliau berkata, perkahwinannya akan diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan Masjid Besi di Putrajaya dan akan dibuka untuk dihadiri oleh orang ramai.
“Setakat ini, persiapan telah mencecah 30 peratus dan kad-kad jemputan akan diedarkan mulai bulan depan,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkahwinannya yang turut ditemani tunangnya, Dr. Halina di sini hari ini.
Memilih tema perkahwinan ‘Pahlawan Melayu Di Istana Kayangan’ dengan sentuhan rona biru yang menggambarkan angkasa lepas, keemasan (warisan Melayu) dan perak (futuristik), beliau berkata, majlis pernikahannya akan ditujukan khas kepada rakyat Malaysia yang selama ini banyak memberi sokongan dan dorongan serta mendoakan kejayaannya dalam misi ke angkasa lepas.
Selain itu, katanya ia juga untuk memperlihatkan keindahan budaya, tradisi dan adat resam masyarakat Melayu kepada rakan-rakan angkasawan dari seluruh dunia yang dijangka hadir nanti.
Katanya, dijangkakan kira-kira 10,000 orang akan hadir pada majlis pernikahannya yang bakal dilangsungkan tepat pukul 10.10 pagi.
“Kalau ikutkan, saya mahukan sebuah majlis yang kecil-kecilan sahaja. Tetapi sebagai mengenang jasa mereka yang telah mendoakan kejayaan saya ke angkasa lepas tempoh hari, maka saya buat majlis pernikahan ini secara terbuka,” katanya.

MILF, komunis setuju berunding damai


MANILA 27 Julai - Kumpulan-kumpulan pemberontak utama Filipina hari ini menyatakan kesanggupan mereka untuk menyambung rundingan damai dengan kerajaan selepas tawaran tersebut dibuat Presiden Benigno Aquino III, namun impian menamatkan pemberontakan yang menyekat kemajuan masih belum dapat dipastikan.
Sejak lewat 1960-an, Filipina berhadapan dengan dua pemberontakan, satu daripada pemisah Islam dan juga pemberontak Mao yang menjejaskan pelaburan di negara yang kaya dengan sumber ini tetapi tersenarai sebagai antara negara miskin di Asia Tenggara.
Konflik yang dicetuskan oleh kedua-dua pihak itu telah meragut lebih 160,000 nyawa.
Semalam, Aquino berkata, rundingan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan pemisah terbesar Islam di negara ini akan disambung semula selepas bulan Ramadan yang bermula Ogos ini.
Beliau turut menyeru gencatan senjata dengan pemberontak Mao sebelum menyambung semula rundingan yang tertangguh.
Kumpulan pemberontak komunis dengan 4,000 anggota turut menyuarakan kesediaan berunding semula, namun menolak gencatan senjata sehinggalah kerajaan mengambil langkah pembaharuan politik dan ekonomi yang turut disertakan dengan pembahagian tanah dan memiliknegarakan industri.
Mereka turut mengulangi desakan agar beberapa banduan yang terlibat dengan rundingan yang tertangguh enam tahun lalu dibebaskan.
"Saya sejak dahulu lagi mengusulkan disambung semula dan mempercepat rundingan damai, terutama berhubung pembaharuan sosial dan ekonomi," kata pengasas parti Barisan Demokratik Kebangsaan (NDF), Jose Maria Sison yang tinggal dalam buangan di Belanda sejak lebih 20 tahun lalu.
Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal turut menyatakan kesanggupan menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan jika ia menjurus kepada perjanjian politik yang memberikan penduduk Islam pemerintahan sendiri di selatan negara majoriti Katolik ini.
"Kami lebih daripada bersedia untuk membincangkan penyelesaian politik dengan kerajaan. Kerajaan sedar akan pendirian kami untuk mendapatkan tanah air bagi penduduk Islam dan nilai pulangan lebih besar daripada sumber strategik seperti minyak, gas dan mineral. Tiada perubahan dalam pendirian ini," tegas Iqbal.
Katanya, MILF juga tidak bersetuju untuk menggantikan Malaysia dengan negara lain sebagai orang tengah ataupun memansuhkan perjanjian masa lalu dan memulakan yang baru.
Rundingan damai dengan MILF dan NDF sudah banyak kali tertangguh dan perjanjian yang dipersetujui masih kabur. - REUTERS

AS-Korea Selatan pamer kekuatan kepada Korea Utara


TENTERA Laut Korea Selatan dari kapal pemusnah Choi Young KDX-ii melepaskan torpedo anti-kapal selam semasa latihan bersama dengan tentera Amerika Syarikat di Laut Timur, Korea Selatan, semalam. Turut serta ialah kapal selam Amerika, USS Tuscon (gambar kecil). - AFP


SEOUL 27 Julai - Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) memperhebatkan latihan perang bersama yang masuk hari ketiga hari ini dengan mempamerkan pergerakan kapal-kapal perang, kapal selam, jet pejuang dan helikopter Korea Selatan-AS di perairan Laut Timur.
Jet-jet pejuang yang digunakan dalam latihan berprofil tinggi selama empat hari, yang dikecam Korea Utara itu, berlepas dari dek kapal pengangkut induk AS, USS George Washington yang boleh menempatkan sehingga 70 pesawat pejuang dan lebih 5,000 anak kapal serta juruterbang.
Latihan perang itu bertujuan menunjukkan kepada Korea Utara bahawa pihaknya diperhatikan.
Pegawai tentera berkata, di sebalik memberi pelbagai ancaman berhubung latihan itu, Korea Utara masih belum mengambil sebarang tindakan.
Washington dan Seoul berharap latihan perang yang berakhir esok serta kedudukan tentera laut AS yang paling kuat itu, bakal menghantar satu mesej kepada Korea Utara ekoran insiden kapal perang Korea Selatan karam pada Mac lalu, yang meragut 46 nyawa.
Satu siasatan antarabangsa mendapati kapal tersebut ditenggelamkan oleh torpedo kapal selam Korea Utara.
"Mereka menyedari dan mengetahui mesej itu. Tetapi kami berharap mereka akan menerimanya pada masa depan sebagai satu mesej penyelesaian. Kami harap ini akan menghentikan tindakan mereka," kata Laksamana Muda Daniel Cloyd.
Korea Utara yang menafikan penglibatan mereka dalam insiden kapal Cheonan karam itu, mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan berikutan latihan perang Korea Selatan-AS itu.
Ketika latihan berkenaan masuk hari ketiga hari ini, pihak tentera Korea Selatan berkata, masih tidak ada sebarang isyarat dari Korea Utara berhubung ancaman retoriknya.
Ketua skuadron helikopter anti-kapal selam di atas USS George Washington, Komander Ray Hesser berkata, kapal selam Korea Utara dilarang berada di perairan cetek. - AP

Sekutu AS marah fail sulit bocor


WASHINGTON 27 Julai - Kebocoran 90,000 fail sulit tentera Amerika Syarikat (AS) mencetuskan bantahan dari negara-negara sekutu yang berperang di Afghanistan semalam, ketika Pentagon berusaha mengenal pasti sumber yang mendedahkan maklumat tersebut.
"Pakar AS sedang berusaha untuk meneliti sama ada pendedahan maklumat sulit itu boleh membahayakan keselamatan tentera atau operasi keselamatan atau lebih serius boleh mengancam keselamatan negara.
"Kebimbangan utama kami adalah, sama ada maklumat itu boleh meletakkan nyawa tentera kami di Afganistan atau di mana-mana sahaja dalam keadaan bahaya," kata jurucakap Pentangon, Geoff Morrell kepada Fox News.
Kira-kira 92,000 dokumen bertarikh dari 2004 hingga 2009 didedahkan kepada akhbar The New York Times, The Guardian di Britain dan Der Spiegel di Jerman oleh laman web WikiLeaks, yang menyiarkannya semalam.
Dakwaan paling kontroversi menyebut bahawa Pakistan, sekutu utama AS di rantau bergolak itu, membenarkan pengintipnya bertemu secara terus dengan Taliban.
Menurut The Times, ejen Pakistan dan wakil Taliban sering bertemu dalam sesi strategi sulit untuk merancang rangkaian kumpulan militan yang memerangi tentera AS di Afghanistan, malah turut merancang komplot membunuh pemimpin-pemimpin Afghanistan.
Pendedahan menggemparkan itu mencetuskan kemarahan banyak pihak dengan seorang jeneral tertinggi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meminta semua pihak berjaga-jaga terhadap kebocoran seumpama itu ketika White House menyelarnya sebagai 'tidak bertanggungjawab'.
"Pakatan perlu berhati-hati kerana sebahagian dokumen mungkin boleh dibocorkan, tetapi ia membuatkan kita perlu bekerja dengan lebih teliti," kata Jeneral Egon Ramms, yang bertanggungjawab ke atas tentera NATO di Afghanistan.
Jurucakap White House, Robert Gibbs mengutuk kebocoran itu, memberi amaran kepada nama-nama kakitangan dan operasi tentera yang didedahkan, namun tidak menyatakan kesan politik dan strategik yang mungkin berlaku.
Britain yang mempunyai kira-kira 9,500 tentera di Afghanistan semalam berkata, pihaknya kesal dengan kebocoran tersebut, sementara Pakistan berkata, laporan itu 'palsu' dan tidak menggambarkan apa-apa yang berlaku di Afghanistan. - AFP

Pakatan membunuh nabi


DETIK-DETIK penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib merupakan satu sejarah yang menjadi ingatan umat Islam sepanjang zaman. Selepas lebih dari dua bulan berlakunya Perjanjian Aqabah Kedua, tidak ada lagi umat Islam yang tinggal di Mekah.
Hampir kesemua mereka berjaya membawa diri ke Yathrib secara senyap-senyap bagi memulakan satu kehidupan.
Tetapi ketika itu baginda Rasulullah bersama kaum keluarga, sahabat Abu Bakar As Siddiq dan menantu Ali bin Abi Talib masih berada di Mekah.
Ini sebagai mematuhi perancangan agar mereka menunggu masa yang benar-benar sesuai untuk berhijrah.
Tempoh itu baginda gunakan untuk menyiapkan segala kelengkapan dan hanya menanti wahyu dari Allah untuk memerintahkan baginda keluar dari Kota Mekah.
Tetapi bagi kaum musyrik Mekah, mereka tidak senang duduk apabila setiap kali mendengar berita orang Islam telah sampai ke Yathrib.
Ini kerana penghijrahan umat Islam itu adalah satu ancaman atau bahaya yang cukup besar kepada mereka terutamanya kedudukan agama penyembahan berhala, ekonomi dan politik kaum musyrik.
Lagi pula umat Islam bakal bersatu dengan penduduk Arab dari dua kabilah utama di Yathrib, Aus dan Khazraj yang bakal membentuk satu kelompok Arab yang sangat kuat dan boleh menjadi mengancam kedudukan Arab di Mekah.
Semua itu tidak mustahil kerana faktor pimpinan dan seluruh peribadi baginda sangat kuat pengaruhnya terhadap para pengikut lama dan baru.
Pengaruh baginda mampu membentuk satu kesetiaan jitu malah sanggup berkorban apa sahaja demi baginda dan agama Islam yang disebarkan oleh baginda itu.
Apatah lagi jika baginda disakiti, pengalaman-pengalaman sebelum ini menunjukkan ramai yang menerima padah akibat cuba berniat jahat terhadap baginda.
Dari aspek ekonomi pula, Yathrib itu sendiri mempunyai kedudukan geografi yang sangat strategik kepada rombongan perdagangan yang sering melalui kawasan persisiran Laut Merah dari Yaman ke Syam (Syria).
Mereka pasti akan melewati Yathrib terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Syam yang menjadi pusat perniagaan dan perdagangan utama ketika itu.
Ini bakal memberi peluang kepada penduduk Yathrib untuk memberi pelbagai tekanan dan menghilangkan kebebasan kepada para pedagang yang terdiri dari Musyrik Mekah itu sendiri untuk berdagang ke Syam.
Kaum musyrik Mekah bimbang mereka disekat atau dilarang untuk berdagang kerana akan dianggap sebagai pengintip yang bakal menimbulkan kekacauan bagi melemahkan kedudukan umat Islam.
Lantaran setelah dikaji semua itu, penghijrahan umat Islam itu benar-benar satu petaka. Hubungan umat Islam dengan penduduk Yathrib mesti disekat. Jika tidak ia dilihat bakal menghancurkan kaum musyrik Mekah.
Lalu pada 26 Safar tahun ke 14 kenabian bersamaan 12 September 622 Masihi maka berlakulah satu mesyuarat serius dan tegang. Ia dihadiri oleh hampir kesemua pemimpin kabilah-kabilah Arab musyrikin Mekah yang disifatkan seperti dalam satu sidang perwakilan (Darul Nadwah).
Abu Jahal bin Hisham yang mewakili Bani Makhzum, Jubair bin Mut'im dari Bani Nawfal, Shaybah, Utbah bin Rabiah, Abu Sufyan bin Harb dari Bani Abd Shams, Umayyah bin Khalaf dari Bani Jumah adalah antara para pemimpin Quraisy yang hadir dalam pertemuan itu. Mereka sepakat untuk mendapatkan apa juga cara yang boleh menyekat Islam dan umatnya dari terus berkembang.
Namun yang menariknya saat mereka hendak berkumpul untuk sama-sama berbincang maka datang seorang lelaki tidak dikenali yang sangat tua.
Lelaki itu sebenarnya iblis yang menyamar bagi menjalankan jarum jahatnya untuk menghancurkan Islam. Tetapi apabila ditanya siapakah dia kerana mereka tidak pernah nampak dan mengenali orang tua ini, lalu Iblis pun menjawab: "Saya merupakan seorang tua yang sangat dihormati dari Najd yang telah terdengar akan rancangan kamu untuk mengadakan pertemuan ini.
"Benarkanlah saya hadir bersama-sama dalam perbincangan ini untuk sama-sama mendengar apa yang kamu bincangkan agar kita sama-sama dapat mengambil pendapat dan nasihat yang bernas bagi menyelesaikan masalah ini."
Melihatkan perwatakannya seperti seorang yang sangat berpengalaman dan bijak lalu iblis itu dibenarkan turut serta dalam perbincangan.
Pertemuan tersebut menjurus kepada cadangan-cadangan terutama bagaimana mereka dapat menahan baginda daripada meluaskan pengaruhnya dan membina kekuatan dari luar kota Mekah bagi membolehkan pada suatu hari nanti Kota itu akan jatuh sepenuhnya ke tangan Islam.
Pelbagai cadangan dikemukakan yang kemudiannya diperhalusi namun kita akan mengetahui siapa yang memastikan cadangan-cadangan itu bernas mahupun tidak.

Arab Saudi import 5 juta lembu untuk Ramadan

RIYADH: Kementerian Pertanian Arab Saudi merangka pelan bersepadu bagi memenuhi permintaan daging yang meningkat sempena Ramadan ini.
Penolong Setiausaha kementerian itu, Jaber al-Shihri, berkata kerajaan mengimport lima juta lembu dan menubuhkan pasukan pemantau bagi memastikan ternakan itu selamat dimakan.
“Semua bekalan hanya dibawa masuk apabila ia disahkan selamat dimakan,” katanya. - Agensi

Penduduk Somalia diarah serah televisyen sebelum puasa

MOGADISHU: Kumpulan pemberontak Islam Somalia, al-Shahab, mengarahkan orang ramai di kawasan pentadbiran mereka supaya menyerahkan televisyen dan cakera satelit jika tidak mahu dianggap sebagai ejen musuh.
Pertubuhan yang menguatkuasakan undang-undang ketat syariah sebelum ini turut mengharamkan loceng di sekolah, nada dering telefon dan muzik di radio.
Mereka turut mengharamkan orang ramai menonton perlawanan bola sepak atau wayang.

Arahan terbaru itu dibuat menjelang kedatangan Ramadan bulan depan.

Penduduk Buula-barde, Abshir, berkata pertubuhan itu bimbang jika kemudahan berkenaan digunakan sebagai saluran peribadi atau berkomunikasi dengan pihak luar.

“Dulu kami tak boleh menonton sukan atau filem, kini mereka melarang pemilikan televisyen,” katanya. Seorang lagi penduduk di situ berkata, arahan itu dimaklumkan dalam perjumpaan awam Jumaat lalu.

“Kami tak suka menyerahkan barangan peribadi kepada orang lain,” katanya.

Amaran itu memang membimbangkan kerana al-Shahab pernah menjatuhi hukuman mati kepada berpuluh orang awam atas dakwaan menjadi pengintip kerajaan atau tentera asing.

Seorang wakil rakyat di bandar itu pula berkata, kumpulan radikal terbabit memberi perhatian kepada perkembangan Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Mereka memberi perhatian serius kerana tentera Afrika mungkin bertindak ke atas pertubuhan itu tidak lama lagi,” katanya. - Reuters

Iran dakwa AS perangi Asia Barat

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mendakwa Amerika Syarikat merancang untuk melancarkan dua peperangan di Asia Barat dalam usahanya menekan Iran, lapor stesen televisyen berbahasa Inggeris, Press TV semalam. 

Kami mempunyai maklumat tepat bahawa Amerika sedang membuat satu rancangan.Negara itu mahu menyerang sekurang-kurangnya dua negara di wilayah itu dalam tempoh tiga bulan akan datang, katanya dalam kenyataan disiarkan Press TV di laman webnya selepas satu temu ramah lewat kelmarin. Ahmadinejad berkata Amerika mempunyai dua matlamat daripada perang yang akan dilancarkannya.

Pertama, Amerika mahu menyekat kemajuan dan perkembangan Iran kerana ia menentang kejayaan kami dan kedua, Washington mahu menyelamatkan rejim Zionis kerana negara Yahudi itu sudah tiba ke penghujung dan Zionis percaya rejimnya boleh diselamatkan melalui tindakan ketenteraan. 

Ahmadinejad berulang kali mengecam Israel yang tidak menolak untuk melancarkan serangan tentera ke atas Iran untuk menghalang program nuklear negara itu. 

Pemimpin Iran itu juga menimbulkan kemarahan kuasa dunia apabila menafikan Holocaust dan menyifatkannya hanya sebagai dongeng, manakala Israel perlu dihapuskan dari peta dunia. 
Sementara itu, Iran berikrar meneruskan program nuklearnya ketika ia mengecam sekatan baru lebih ketat bagi memaksa negara itu kembali ke meja rundingan dengan kuasa besar dunia. 

Sekatan ini tidak akan dapat memaksa Teheran kembali ke meja rundingan dan tidak akan menjejaskan kesungguhan Iran untuk mempertahankan haknya. Sekatan ini tidak akan membantu rundingan, kata jurucakap kementerian luar, Ramin Mehmanparast yang dipetik agensi berita rasmi Iran IRNA. 

Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan baru ke atas sektor tenaga Iran tiga hari lalu dalam usaha menghalang negara itu meneruskan program nuklearnya. 
Antara sekatan termasuk larangan menjual peralatan, teknologi dan perkhidmatan kepada sektor tenaga Iran selain langkah untuk menjejaskan aktiviti penyulingan. AFP 

AS buru pembocor dokumen


Pendedahan WikiLeaks sukarkan strategi perang Pentagon di Afghanistan

WASHINGTON: Pentagon kelmarin melancarkan usaha mencari dalang yang membocorkan puluhan ribu dokumen rahsia rasmi mengenai peperangan di Afghanistan, salah satu pelanggaran undang-undang keselamatan terbesar dalam sejarah tentera di Amerika Syarikat. 

Pegawai pertahanan AS berkata, dalang di sebalik pengeluaran kira-kira 91,000 dokumen rahsia rasmi itu nampaknya mempunyai kebenaran rahsia dan capaian kepada dokumen sensitif mengenai peperangan Afghanistan.Lebih banyak kebocoran mungkin berlaku, kata pegawai.
Kami akan melakukan apa yang perlu dan cuba menentukan siapa bertanggungjawab bagi kebocoran maklumat ini, kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Geoff Morrell. 

Sehingga kami tahu siapa bertanggungjawab, anda boleh menjangka ada lagi maklumat yang masih belum dikeluarkan, katanya. 

Pentagon berkata kajiannya mengenai dokumen yang disebarkan oleh laman web WikiLeaks akan mengambil masa beberapa hari, mungkin beberapa minggu dan agak terlalu awal untuk menilai kesannya kepada keselamatan nasional. 

Namun, pegawai tentera AS cuba meredakan sebarang pendedahan dokumen itu setakat ini. 
Amaran pihak tentera mengenai kemungkinan misi mereka gagal tahun lalu mendorong Presiden Barack Obama membuat keputusan pada Disember untuk menempatkan 30,000 anggota tambahan di Afghanistan. 

Antara dokumen yang didedahkan mengandungi laporan bahawa pegawai AS di Afghanistan mengesyaki Pakistan memberi sokongan kepada Taliban secara rahsia dan pada masa sama menerima bantuan Amerika. Dokumen itu boleh menyebabkan strategi peperangan Obama di Kongres disangsi ketika meningkatnya angka kematian. 

Pentagon enggan menamakan suspek berhubung pembocoran itu tetapi juga enggan menolak kemungkinan pembabitan seorang pakar ketenteraan yang sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan membocorkan maklumat berkaitan peperangan Iraq kepada WikiLeaks. 

Pakar ketenteraan, Bradley Manning dituduh awal bulan ini berhubung video rahsia yang menunjukkan satu serangan helikopter pada 2007 mengorbankan berpuluh-puluh orang di Iraq, termasuk dua wartawan Reuters. Dia juga dituduh memuat turun kabel Jabatan Negara ke komputer peribadinya. 

Morrell berkata, beliau tidak tahu apa akan berlaku di sini. 

Kita sedang memasuki dunia baru iaitu sebuah pertubuhan yang tidak dimiliki oleh sesiapa, mendapat maklumat daripada orang lain di seluruh dunia dan kemudian menyiarkannya, katanya. Reuters 

Elak jemaah haji hilang




PENSYARAH Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Dr. Widad Ismail menunjukkan peralatan RFID di Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Bagi menangani masalah jemaah haji tersesat di Tanah Suci, Universiti Sains Malaysia (USM) akan memperkenalkan peralatan dengan frekuensi radio (RFID) kepada semua jemaah haji pada tahun ini.
Dengan hanya memakai peralatan RFID di pergelangan tangan, sebuah alat pengimbas khas mampu mengesan kedudukan dan pergerakan jemaah haji sekiranya mereka berada 40 meter di dalam bangunan dan 200 meter di luar bangunan.
Pengarah Kluster Penyelidikan Haji USM, Prof. Kamarulazizi Ibrahim berkata, pihaknya kini berbincang dengan kerajaan Arab Saudi menerusi sebuah universiti di negara itu, Universiti Ummu Al-Qura Mekah, bagi mendapatkan kelulusan penggunaan alat tersebut.
"Penggunaannya bagi jemaah haji Malaysia buat masa ini hanya akan membabitkan pengenalan bagasi dan ketika mereka menaiki bas.
"Bagaimanapun, kami bercadang memperluaskan penggunaannya kepada aspek kemasukan jemaah ke hotel-hotel bagi memudahkan pergerakan jemaah kita ketika berada di sana," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Seminar Amalan Haji Terbaik Dalam Mengerjakan Haji Dengan Menggunakan Teknologi dan Sains di sini semalam.

Paris Hilton nafi buat tabik Nazi




GAMBAR yang tersebar di Internet menunjukkan Paris sepertimembuat tabik hormat ala Adolf Hitler di atas sebuah kapal layar mewah baru-baru ini.




LOS ANGELES - Selebriti Paris Hilton menafikan dia membuat tabik hormat gaya Nazi semasa berparti di sebuah kapal layar mewah, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun bukan satu jenayah, masyarakat Barat menganggap perbuatan itu biadab kerana ia dikaitkan dengan rejim Nazi diketuai pemimpin Jerman, Adolf Hitler yang membunuh berjuta-juta orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.
Namun, seorang jurucakap selebriti berusia 29 tahun itu memberitahu akhbar MailOnline bahawa Paris sedang menari dan pada masa yang sama, menggaru mukanya ketika gambarnya dirakamkan di kawasan peranginan St Tropez, Perancis baru-baru ini.
"Dia gemar menari dengan tangannya ke udara dan semasa gambarnya dirakamkan dia sedang menggaru mukanya. Paris juga tidak memakai topi komunis ketika itu. Topi tersebut merupakan topi gaya tentera dari sebuah kelab malam," kata jurucakap berkenaan.
"Dia tidak mungkin melakukan perbuatan yang mencemar sensitiviti banyak pihak itu kerana Paris sendiri berketurunan Yahudi," tambahnya.
Tabik hormat Nazi dilakukan dengan mendepakan sebelah tangan ke hadapan sehingga ke paras muka.
Sebelum ini media selebriti di Barat melaporkan dia berada bersama jutawan Malaysia, Taek Jho Low dan adiknya Zhen Low di St. Tropez, Perancis dengan menghadiri sesi fotografi dan berpesta di kelab malam. - Agensi

Ular dalam mesin basuh



GAMBAR menunjukkan seekor ular dalam sebuah mesin basuh di rumah Wendy Foley.


EXETER - Seorang ibu di Britain terkejut apabila dia menemui seekor ular sepanjang 1.5 meter melingkar di dalam mesin basuh di rumahnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita berusia 51 tahun itu, Wendy Foley menemui reptilia tersebut berlingkar di atas timbunan pakaian ketika membuka pintu mesin basuhnya baru-baru ini.
"Saya membuka pintu kaca mesin basuh itu dan ternampak sesuatu. Saya menyangka ia ular mainan yang digunakan oleh kanak-kanak. Namun, ia menjelirkan lidahnya. Sangat menakutkan dan ular itu agak besar. Saya tidak berhenti menjerit," kata Foley.
Dia kemudian menghubungi pihak polis dan persatuan perlindungan haiwan malangnya dia diberitahu bahawa ular tersebut tidak boleh ditangkap kecuali pada keesokan harinya.
Jurucakap persatuan perlindungan haiwan, Jo Barr memberitahu ular itu tidak berbisa dan berbahaya. - Agensi

Pasangan pengantin baru tertua di Britain




LONDON - Seorang lelaki, Henry Kerr menamatkan zaman bujangnya sekali lagi pada usia 97 tahun dengan pasangannya yang berumur 87 tahun, Valerie Berkowitz, lapor sebuah akhbar semalam.
Kerr berusaha selama empat tahun untuk memenangi hati wanita tersebut dengan menulis puisi-puisi cinta selain menghabiskan masa selama berjam-jam untuk berkongsi pengalaman hidup dengannya.
"Saya mungkin sudah melamarnya sejak dahulu lagi jika saya tahu bahawa wanita yang cantik dan bijak berusia 87 tahun itu masih meminati lelaki tua seperti saya," kata Kerr.
Dia percaya kehidupan cintanya berakhir ekoran kematian isterinya, Glady pada tahun 2004.
Namun, perasaan cinta timbul semula apabila dia bertemu dengan Berkowitz di sebuah rumah penjagaan di utara London.
Pasangan itu berkahwin dalam satu majlis tradisional Yahudi yang dihadiri oleh 90 orang tetamu.
Mereka yang sudah mempunyai anak dan cucu itu akan pergi berbulan madu di sebuah lokasi rahsia. - Agensi

Pesawat kargo Jerman terbelah dua



GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat kargo Lufthansa terbelah dua selepas terbakar di sebuah lapangan terbang di Riyadh semalam.


RIYADH - Sebuah pesawat kargo milik syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa terbakar sebelum terbelah dua semasa melakukan pendaratan di ibu negara Arab Saudi, Riyadh semalam, kata seorang pegawai lapangan terbang, Fahd al-Hamoud.
Namun, juruterbang dan pembantunya, kedua-duanya ialah rakyat Jerman, dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan mereka dirawat di sebuah hospital tentera.
"Pesawat jenis MD-11 itu sudah menghampiri kawasan lapangan terbang apabila ia terbakar sebelum beberapa buah enjin kapal terbang itu tidak berfungsi sebelum terhempas dan terbelah dua," kata Fahd.
Anggota-anggota petugas pertahanan awam mengambil masa selama tiga jam untuk mengawal kebakaran manakala stesen televisyen satelit Al-Arabiya menyiarkan secara langsung visual pesawat yang membawa 90 tan kargo itu terbakar.
Seorang jurucakap bahagian kargo Lufthansa di Jerman, Michael Goentgens berkata, pesawat itu berlepas dari Frankfurt dan dikesan mengalami masalah semasa cuba mendarat di Riyadh namun dia enggan menyatakan punca sebenar kejadian. - AP

Fail bocor dedahkan kelibat Osama





WASHINGTON - Beberapa fail sulit tentera Amerika Syarikat (AS) mengenai perang di Afghanistan yang disiarkan di laman web WikiLeaks mendedahkan maklumat bahawa Ketua Al-Qaeda, Osama Bin Laden pernah bermesyuarat di beberapa buah kampung di antara Pakistan dan Afghanistan pada 2006.
Maklumat itu sekali gus bertentangan dengan kenyataan terbuka Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menegaskan tidak tahu lokasi persembunyian Osama.
Maklumat mengenai Osama itu merupakan antara 91,000 catatan tentera AS yang disiarkan di laman web WikiLeaks di Internet.
Jika pendedahan WikiLeaks itu benar, ia membayangkan Pengarah CIA, Leon Panetta mungkin berbohong apabila beliau menyatakan pada bulan lepas bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang petunjuk kukuh mengenai lokasi persembunyian Osama sejak awal tahun 2000.
Berdasarkan maklumat WikiLeaks itu, Osama kerap menghadiri mesyuarat di beberapa buah kampung di sempadan di antara Pakistan dan Afghanistan pada 2006.
"Dilaporkan, satu pertemuan peringkat tinggi diadakan dengan enam pengebom berani mati diberikan arahan untuk satu operasi di utara Afghanistan. Mesyuarat peringkat tinggi ini diadakan sekali pada setiap bulan," kata laporan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) yang disiarkan di laman tersebut.
Menurut akhbar Britain, Guardian yang memperoleh dokumen ISAF tersebut menyatakan:
"Empat orang yang hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua Taliban, Mullah Omar, Osama Bin Laden, Mullah Dadullah dan Mullah Baradar.'
Dokumen perang ISAF turut menunjukkan Osama mendalangi satu komplot untuk meracuni pasukan ISAF dengan memasukkan sejenis serbuk ke dalam makanan dan minuman askar-askar asing semasa mereka melintasi beberapa buah perkampungan.
Akhbar itu melaporkan seorang askar AS, Bradley Manning, 22, mungkin bertanggungjawab berhubung kebocoran banyak dokumen tentera yang mendedahkan pelbagai maklumat ngeri mengenai perang di Afghanistan dan kematian orang awam.
Menurut seorang penggodam komputer, Adrian Lemo, askar perisikan itu bertanggungjawab membocorkan fail-fail rahsia itu.
Katanya, sebelum ini, Manning dengan bangganya mengakui bahawa dia memuat turun beratus-ratus ribu dokumen sulit tentera AS.
Askar berkenaan tiba-tiba menghubungi Lamo dan mendakwa dia menyalin banyak fail tentera AS ke dalam beberapa cakera padat (CD) dan bersedia untuk diserahkan kepada pihak WikiLeaks.
Manning telah didakwa pada awal bulan ini kerana membocorkan maklumat berhubung rakaman video kokpit sebuah helikopter tentera.
Rakaman tersebut menunjukkan askar-askar AS ketawa semasa mereka menembak mati orang awam Afghanistan di Iraq dan dua wartawan dalam satu pertempuran di Baghdad pada 2007. Manning ditangkap di Iraq tempat dia bertugas.
Dia dipercayai dikurung di sebuah penjara tentera setelah dihantar ke Kuwait. Askar berkenaan akan dibicarakan di mahkamah tentera dan berdepan hukuman berat jika dia didapati bersalah.
Lamo percaya Manning tidak bekerja bersendirian.
Menurutnya, askar AS itu tidak memiliki kepakaran teknologi untuk melakukan kerja-kerja untuk membocorkan dokumen sulit tersebut.
Maklumat itu itu turut mendedahkan bahawa Taliban berjaya menembak jatuh helikopter Chinook di Afghanistan. - Agensi

Hidup dengan lauk kenduri



ku faridah (kanan) menangis sambil memeluk ahli keluarga selepas kembali ke pangkuan keluarga di Kampung Kuala Pueh, Hulu Terengganu semalam.


HULU TERENGGANU - "Setiap hari anak-anak akan tanya, ibu apa lauk kita hari ini dan saya jawab tak ada.
"Hidup kami susah. Anak-anak terpaksa cari rumah yang adakan kenduri. Mereka membawa pulang lauk untuk kami makan sama-sama," demikian kata Ku Faridah Ku Seman, 33, seorang lagi wanita Malaysia yang terpedaya dengan lelaki Lombok dan hanya dapat kembali ke tanah air selepas hampir 10 tahun menderita.
Ku Faridah, seorang janda, mengenali lelaki itu yang bernama Rosman, 35, pada tahun 2000 sewaktu menetap di rumah adiknya di Johor Bahru.
Rosman dikatakan lelaki yang pandai mengambil hati semata-mata kerana dia sering menolong Ku Faridah dan adiknya membayarkan sewa rumah serta membelikan mereka makanan.
Mereka kemudian bercinta dan akhirnya bernikah tanpa restu keluarga di sebuah masjid di Johor Bahru sebelum lari ke Lombok, sebuah wilayah di Mataram, Indonesia.
Pasangan itu pada mulanya hidup bahagia dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohd. Haikal Daniel, 9, Puteri Balqis, 4 dan Dewi Helen Fiona, 2.

JAMBATAN AIR DI ATAS SUNGAI


السلام عليكم اترككم مع الصور