Pages

Wednesday, March 6, 2013

Guru paling kenit di dunia


Guru paling kenit di dunia
Masalah hormon pelik yang berlaku pada anggota badan Azad membuatkan tumbesarannya terbantut sejak berusia lima tahun.
SEWAKTU berumur 18 tahun, beliau pernah dilabelkan sebagai peserta sarkas pelik, namun lelaki kenit Azad Singh yang berketinggian hanya 91 sentimeter (sm) berjaya menutup mulut masyarakat setempat apabila menjadi guru paling kecil di dunia.

Azad, 22, disahkan menghidap sejenis penyakit gangguan genetik luar biasa yang menghentikan tumbesarannya ketika berumur lima tahun, sekali gus kekal sehingga ke hari ini.

Anak muda yang amat kecil itu, bertanggungjawab mengajar mata pelajaran kemahiran komputer di sebuah sekolah rendah perempuan dalam Haryana, India.

"Kesemua pelajar saya lebih tinggi daripada saya," katanya sambil ketawa.

Bagaimanapun, Azad mempunyai sedikit masalah untuk mengajar, beliau terpaksa berdiri di atas meja guru untuk membolehkannya menulis di papan putih.

Pelajar turut menggelar Azad sebagai 'Chotu' atau 'Cikgu kecil' berikutan memiliki ketinggian 91 sm serta berat 18 kilogram (kg).

"Sejak bekerja sebagai guru, saya memiliki pendapatan sendiri iaitu setiap bulan saya menerima 10,000 rupees (RM563.70)," katanya.

Azad terpaksa akur dengan fizikalnya di mana beliau terpaksa memakai pakaian kanak-kanak walaupun usianya telah mencecah golongan dewasa.

Beliau berkata, walaupun tubuh badannya kenit dan tidak akan membesar seperti lelaki normal, beliau amat berbangga kerana mampu mencapai impian yang diidamkan iaitu menjadi seorang guru.

"Masyarakat sememangnya melayan saya sebagai lelaki normal kerana kini saya sudah bekerja dan pekerjaan saya ini amat dihormati orang ramai.

"Pernah sekali ketika saya berusia 18 tahun, saya telah disalah tafsir sebagai bayi oleh seorang pengawal kereta api.

"Sewaktu di sekolah pula saya juga pernah dibuli kerana masalah saiz badan saya dan berasa amat takut dengan ancaman yang saya berkemungkinan akan diculik oleh pengurus sarkas," katanya.

Bagaimanapun, Azad berkata cemuhan yang dilemparkan kepadanya sewaktu di zaman kanak-kanak menjadi pemangkin kepada beliau untuk membina karakter, sekali gus mematangkannya sehari demi sehari.

"Si pembuli itu berjaya membuatkan saya berusaha keras mencapai matlamat dan mereka tidak akan dapat berkata apa-apa lagi sekarang ini," katanya.  - MailOnline

Biola ditemui di Bulgaria mungkin bernilai RM5.58 juta




GAMBAR yang dikeluarkan pada 28 Februari lalu menunjukkan seorang pegawai polis Bulgaria memegang biola yang dipercayai dicuri di London pada tahun 2010.-REUTERS


SOFIA - Sebuah biola yang berharga AS$1.8 juta (RM5.58 juta) dan dicuri di London, England sebelum ini mungkin telah ditemui di Bulgaria.
Para detektif Britain kini menyiasat sama ada biola tersebut yang berusia 300 tahun merupakan biola yang dicuri dari sebuah stesen tren di London dua tahun lalu.
Biola itu ditinggalkan oleh seorang anggota Orkestra Filharmonik Diraja di sebuah restoran di stesen tersebut untuk membeli sandwic pada November 2010.
Ketika kejadian, dia meletakkan biola itu di atas lantai dan berbual dengan kekasih lelakinya.
Seorang pengembara Ireland, John Maughan telah didapati bersalah kerana menjual biola tersebut.
Maughan dihukum penjara empat tahun enam bulan oleh hakim sebuah mahkamah pada tahun 2011 kerana perbuatannya itu.
Biola itu kemudian ditemui dalam satu operasi polis di Bulgaria.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Bulgaria, biola itu mempunyai tanda nama Antonio Stradivarius yang merupakan pencipta alat permainan muzik itu.
Stradivarius dari Itali turut mencipta beberapa peralatan muzik lain seperti gitar dan hap. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm#ixzz2MlgRhO2G 
Hakcipta terpelihara 

Lamborghini Veneno dijual pada harga RM14.10 juta




BENTUK depan kereta itu.-AFP


GENEVA - Kereta baharu Lamborghini Veneno dipamerkan sehari sebelum Pertunjukan Kereta Geneva di sini berlangsung.
Ketua Pegawai Eksekutif Lamborghini S.p.A., Stephan Winkelmann menunjukkan kereta tersebut kepada para tetamu dan wartawan kelmarin.
Bagaimanapun, hanya tiga buah kereta berkenaan yang akan dikeluarkan.
Ketiga-tiga kereta tersebut sudah pun mempunyai pembeli.
Ia dikeluarkan bagi meraikan ulang tahun ke-50 syarikat pengeluar kereta dari Itali itu.
Kereta sport itu boleh mencecah kelajuan sehingga 354 kilometer sejam.
Harga setiap sebuah Lamborghini Veneno itu ialah £3 juta (RM14.10 juta).
Kereta dua tempat duduk itu dijana dengan enjin petrol 12 silinder yang mempunyai 750 kuasa kuda. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm#ixzz2Mlg6Pjlm 
Hakcipta terpelihara 

Slim masih kekal manusia terkaya di dunia



NEW YORK - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim yang merupakan taikun telekomunikasi America Movil dan pemilik kumpulan Grupo Carso mengekalkan kedudukan individu terkaya untuk tahun keempat berturut-turut dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$73 bilion (RM226.48 bilion).
Kekayaannya meningkat AS$4 bilion (RM12.4 bilion) berbanding pada tahun lepas.
Pengasas Microsoft Corporation, Bill Gates dari Amerika Syarikat menduduki tempat kedua diikuti pemilik rangkaian pakaian jenama Zara, Amancio Ortega dari Sepanyol.
Senarai kekayaan itu dikeluarkan majalah Forbes kelmarin.
Gates yang menduduki tempat kedua mempunyai anggaran kekayaan sebanyak AS$67 bilion (RM207.8 bilion) iaitu meningkat sebanyak AS$6 bilion (RM18.6 bilion) berbanding tahun 2012.
Ortega pula berjaya melonjak ke tempat ketiga dengan anggaran kekayaan sebanyak AS$57 bilion (RM176.8 bilion).
Slim and Gates mengekalkan kedudukan nombor satu dan dua sebagai individu terkaya di dunia sama seperti pada tahun lepas.
Senarai individu terkaya di dunia kini meningkat kepada 1,426 orang termasuk 210 muka baharu.
Terdapat juga peningkatan ketara jumlah bilionair wanita yang kini berjumlah seramai 138 orang berbanding tahun lepas yang mencatatkan jumlah 104 orang.
Individu terkaya di Asia masih milik Li Ka-shing dari Hong Kong dengan jumlah kekayaan dianggarkan bernilai AS$31 bilion (RM96.1 bilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2Mlf54TKQ 
Hakcipta terpelihara