Pages

Friday, January 24, 2014

Rezeki daging biawak


Jakarta: Aroma rempah ratus yang terbit daripada daging panggang memenuhi ruang udara di sebuah warung tepi jalan di perkampungan Jajag, kira-kira 40 kilometer dari Banyuwangi, Jawa Timur.

Namun ada sesuatu yang agak berbeza dalam makanan dihidangkan pemiliknya yang menghidangkan daging pelbagai jenis reptilia khususnya biawak.


Pemilik warung itu, Rudi, 29, membuka gerainya sekitar waktu maghrib setiap hari sehingga lewat malam bersama isterinya Ratih, 25.



Setiap hari, Rudi dan Ratih menyiapkan daging biawak untuk dimasak selepas membeli haiwan itu daripada pemburu dengan harga Rp10,000 (RM2.80) seekor.


Sebanyak 15 biawak seberat tiga kilogram (kg) disembelih setiap hari - proses yang banyak kali menyebabkannya digigit atau dicakar haiwan berkenaan.


“Biawak sukar diperoleh pada musim kering kerana ketika itu haiwan berkenaan jarang meninggalkan sarangnya.

Foto
RUDI meraih keuntungan menjual daging biawak yang dimasak dengan pelbagai cara.
Foto
ISTERI Rudi, Ratih membakar sate biawak.

“Ia lebih mudah ditangkap ketika musim hujan,” katanya.


Kepala, usus dan anggota badan biawak dijadikan bahan makanan ikan keli manakala daging, hati dan tulang haiwan itu dimasak dengan cara berbeza yang dijual dengan harga kira-kira Rp25,000 (RM7) bagi setiap hidangan.

Kulit haiwan itu dibakar menjadi keropok, namun bahagian lain lebih berharga.


Hempedu reptilia yang dikeringkan dipercayai berguna untuk perubatan tradisional terutama bagi merawat darah tinggi dan kencing manis, malah mampu meraih keuntungan sehingga Rp900,000 (RM249) sekilogram.


Kulit biawak juga dipercayai mampu mengubati penyakit berkenaan selain elok untuk merawat penyakit kulit.


Pelanggan setianya Haryati, 49, mendakwa hidangan daging biawak berkenaan membantu mengawal penyakit kencing manis dihidapinya.


“Saya datang makan di sini dua kali seminggu bersama keluarga untuk makan sate selain mendapatkan hempedu kering,” katanya ketika ditemui.


Seorang lagi pelanggan, Nasir berkata, penyakit kulitnya semakin sembuh selepas mula memakan daging biawak.


“Seorang rakan yang mengajak saya makan di sini dan kini saya datang seminggu sekali.


“Alahan saya terhadap telur dan susu berkurangan selepas mengamalkan makan daging ini,” katanya.


Pelanggannya datang dari dekat dan jauh, termasuk Jakarta, Semarang malah ada juga dari Bali. Ada antara mereka datang sebulan sekali untuk menikmati daging biawak itu.


Sementara itu, Rudi berkata dia akan teruskan perniagaannya selagi biawak boleh diperoleh.


“Lagipun itu saja cara saya boleh meraih pendapatan untuk menyara keluarga saya,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Tawar RM433j untuk kahwini anak lesbian

Hong Kong: Seorang jutawan tempatan menggandakan jumlah tawaran wang kepada mana-mana lelaki yang berjaya menambat hati anak perempuannya yang lesbian untuk berkahwin.
Tawarannya sebanyak HK$500 juta (RM215 juta) yang dibuat tahun lalu sudah menarik minat 20,000 calon dua tahun lalu.

Cecil Chao, 77, mengikut laporan The Edge Malaysia, menggandakan tawaran itu kepada RM433.1 juta kepada lelaki yang berjaya menawan hati anaknya, Gigi.
“Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi kehidupan anak saya. Saya cuma mahu dia berkahwin dengan baik dan mendapat anak yang bakal mewarisi perniagaan saya,” kata Chao Tetapi tindakan Chao membuat tawaran untuk mencari jodoh buat anaknya menyebabkan Gigi dan “pasangannya” Sean Eav kecewa.

“Saya tidak yakin tawaran itu akan menemukan saya dengan lelaki idaman saya,” kata Gigi kepada sebuah media tempatan.

“Saya lebih gembira dan berbaik dengan lelaki yang sanggup menderma kepada badan kebajikan saya dan yang penting, mereka tidak kisah saya sudah mempunyai ‘isteri’. “Terakhir sekali, terima kasih ayah, saya sayang ayah juga,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Foto
CHAO dan anaknya, Gigi dalam gambar yang dirakam beberapa tahun lalu.
Gigi dilaporkan hampir mengahwini Eav - pasangannya selama sembilan tahun - dalam satu majlis di Perancis pada awal 2012, kerana perkahwinan sesama jantina tidak diiktiraf di Hong Kong.

Tawaran Chao yang mendapat perhatian seluruh dunia sebelum ini gagal mengubah pendirian Gigi mengenai cara hidupnya.
Gigi memberitahu media, tindakan ayahnya itu melambangkan betapa besar kasih sayang ayahnya terhadapnya.

Pengarah filem dari Britain, Sacha Baron dilaporkan sedang menyiapkan sebuah filem berdasarkan kisah Chao dan Gigi. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

Keluarga berjalan kaki sejauh 72 kilometer untuk ke hospital terdekat


Sebuah keluarga terpaksa melalui perjalanan sukar semata-mata mahu melahirkan anak di Ladakh, India Utara, sebelum kembali mengharungi laluan sama untuk pulang sambil membawa bayi baru lahir (gambar kecil) di dalam bakul. - Agensi
LADAKH, India 23 Jan. - Seorang wanita di sini terpaksa melalui perjalanan sejauh 72 kilometer dalam keadaan suhu 35 darjah Celcius di bawah paras beku, semata-mata untuk ke hospital terdekat bagi melahirkan anak.
Untuk ke sebuah hospital di Lingshed, wanita tersebut bersama keluarganya yang menetap di sini, perlu berjalan kaki selama sembilan hari mengharungi laluan sukar antaranya kawasan pergunungan bersalji tebal selain jalan sempit serta Sungai Chadar yang membeku.
Bukan setakat itu, keluarga tersebut adakalanya terpaksa menyeberangi sungai yang dingin serta melalui kawasan cenuram berbahaya.
Menurut laporan Daily Mail semalam, kepayahan dilalui keluarga tersebut berjaya dirakam seorang jurugambar Tim Vollmer, yang kebetulan sedang menyertai satu ekspedisi bersama rakan-rakannya di Sungai Chadar.
Menurut Vollmer, keluarga itu sedang dalam perjalanan untuk pulang ke rumah sambil membawa bersama bayi yang baru lahir di dalam sebuah bakul.
"Saya berasa kagum dengan tindakan mereka yang sanggup mengharungi cabaran bagi melahirkan seorang anak.
"Bagi saya kesungguhan ditunjukkan mereka sangat menakjubkan," ujarnya lagi.
Jelas Vollmer, keluarga itu turut membawa seorang lagi anak mereka bersama kelengkapan yang diperlukan sepanjang perjalanan.
"Menurut keluarga itu, mereka berjalan selama lapan jam sehari dan hanya berehat di dalam gua. Sehingga hari ini, saya masih kagum dengan mereka," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140124/lu_10/Keluarga-berjalan-kaki-sejauh-72-kilometer-untuk-ke-hospital-terdekat#ixzz2rGLZW4na
© Utusan Melayu (M) Bhd