Pages

Saturday, June 23, 2012

Botak demi RM50,000

BERI SOKONGAN...rambut Ras Adiba dipotong Winnie.
BERI SOKONGAN...rambut Ras Adiba dipotong Winnie.
KUALA LUMPUR: Bukan mudah bagi seorang wanita yang sudah sebati berambut panjang membotakkan kepalanya secara tiba-tiba, tetapi itulah yang dilakukan personaliti televisyen, Ras Adiba Mohd Radzi.
Menurutnya, beliau mengambil keputusan drastik itu bukan untuk menarik perhatian mana-mana pihak, sebaliknya demi menyatakan sokongan dan keprihatinannya terhadap penghidap kanser.

Malah, keberaniannya yang mencukur habis rambut panjang mengurai dan meninggalkan hanya sedikit sisa, memperlihatkan jiwa kentalnya sebagai personaliti wanita pertama berbuat demikian.
“Saya mendapat jemputan daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) untuk terbabit dalam kempen Jom Botak ini sebagai menyatakan sokongan kami kepada pesakit kanser khususnya kanak-kanak.

“Kalau bercakap berdasarkan pengalaman sendiri, saya memiliki ahli keluarga yang juga penghidap kanser. Ayah tiri saya meninggal dunia kerana barah kolon manakala pak cik dan beberapa rakan menjalani rawatan atas sakit dihadapi.

“Mereka orang terdekat dengan saya dan saya melihat mereka sangat tabah dan kuat. Bayangkan bagaimana mereka melalui hari-hari mereka dan saya berasa cukup hormatkan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ras Adiba membotakkan kepalanya di salun A Cut Above, di sini dan rambutnya dipotong pemilik salun itu sendiri, Winnie Loo.

Beliau berkata, dia tidak kisah jika kerjayanya terjejas kerana beliau percaya kepada niat yang baik membantu mereka yang menderita dan dalam kesusahan.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha saya tapi apalah sangat jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang pesakit hadapi khususnya kanak-kanak.

“Jadi saya berharap lebih ramai masyarakat menunjukkan rasa prihatin mereka dan bersama-sama kami nyatakan sokongan terhadap pesakit kanser. Saya berharap dapat mengumpul sumbangan peribadi RM50,000 untuk tabung Makna.

Sementara itu, Ketua Projek Kempen Jom Botak, Datuk Dr Arunan Selvaraj berkata, kempen itu bermula sejak sebulan lalu dan baru-baru ini, pihaknya menjayakan rakaman klip video bagi meraih sokongan masyarakat.

Orang ramai boleh melayari www.jombotak.makna.my untuk maklumat lanjut.

Raja Pervez dipilih PM Pakistan

Raja Pervez Ashraf
Raja Pervez Ashraf dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan yang baru.
ISLAMABAD - Calon parti yang memerintah dipilih sebagai Perdana Menteri Pakistan yang baru - tiga hari selepas Mahkamah Agung melucutkan Yousuf Raza Gilani dari memegang jawatan awam termasuk mengetuai kerajaan.
Raja Pervez Ashraf memperoleh 211 daripada 342 undi di Parlimen, semalam.
Beliau merupakan calon minit-minit terakhir selepas pemimpin yang dinamakan kelmarin berhadapan dengan tindakan ditahan pihak berkuasa. Mahkamah mengarahkan beliau ditahan.
Laporan media menyebut Raja Pervez mewarisi hubungan dingin antara kerajaan awam, kehakiman dan tentera yang berpengaruh.

981 pelarian Rakhine kembali ke rumah

YANGON 22 Jun - Kira-kira 981 penduduk yang melarikan diri akibat keganasan etnik dan agama di negeri Rakhine, barat Myanmar sejak 8 Jun lalu, mula kembali ke kampung halaman mereka di pekan Maungtaw minggu ini.
Media rasmi kerajaan hari ini melaporkan, pelarian yang terdiri daripada 213 keluarga itu kembali ke kampung halaman masing-masing selepas pihak berkuasa berjaya mengembalikan keamanan dan kestabilan di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa turut memberi jaminan keselamatan kepada mereka yang pulang, menurut agensi berita Xinhua yang memetik laporan New Light of Myanmar.
Menurut laporan sebelum ini, sejumlah 37 khemah pelarian dibuka bagi menempatkan sebanyak 31,884 keluarga yang melarikan diri daripada keganasan etnik dan agama di Rakhine.
Bagaimanapun, situasi di negeri itu kini secara keseluruhannya kembali pulih selepas perintah darurat dan berkurung dikuatkuasakan di enam kampung, termasuk Maungtaw dan ibu negeri Sittwe sejak 10 Jun lalu.
Menurut pendedahan terbaru kerajaan, sejumlah 62 orang terbunuh dalam keganasan di negeri itu sejak 28 Mei lalu hingga semalam.
Jumlah itu termasuk 12 orang yang maut dalam rusuhan terbaru di kampung Yadae Taung, walaupun selepas perintah darurat dan berkurung dikuatkuasakan. - BERNAMA

Juruterbang Syria belot

JDAMSYIK 22 Jun - Seorang juruterbang tentera udara Syria berpangkat Kolonel yang belot dan melarikan diri menggunakan pesawat MiG ke Jordan semalam, diberi perlindungan suaka politik oleh negara jiran terbabit.
Juruterbang tersebut, Kolonel Hassan Merei al-Hamade, merupakan pegawai kanan pertama yang belot daripada unit paling penting pasukan keselamatan Syria dan berjaya mendaratkan pesawatnya dengan selamat di Jordan tanpa dikesan oleh radar.
Tindakan Hassan itu berlaku ketika kumpulan pemerhati hak asasi melaporkan sekurang-kurangnya 168 orang terbunuh dalam pertempuran di Syria semalam, satu daripada hari paling berdarah sejak pemberontakan bermula Mac tahun lalu.
"Majlis Menteri memutuskan untuk memberikan perlindungan suaka politik kepada Kolonel Hassan Merei al-Hamade," kata Menteri Penerangan Jordan, Samih Maaytah kepada AFP.
Sebelum itu, laporan awal menyebut, sebuah pesawat MiG-21 buatan Rusia melakukan pendaratan cemas di pangkalan udara Mafraq dekat sempadan Syria-Jordan.
Laporan stesen televisyen Syria berkata, pesawat itu terbang menghampiri kawasan sempadan sebelum terputus hubungan.
Jurucakap kumpulan pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria, George Sabra berkata, pesawat pejuang itu berlepas dari pangkalan tentera antara Daraa dan Seida di selatan negara ini sebelum terbang pada paras rendah dengan kelajuan tinggi untuk mengelakkan dikesan radar.
Katanya, juruterbang itu berasal dari Deir Ezzor, timur Syria dan ahli keluarganya turut terlibat dengan penentangan terhadap rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kementerian Pertahanan Syria dalam kenyataan yang disiarkan televisyen tempatan, mengutuk tindakan Hassan sebagai pemberontak dan pembelot kepada negara dan pasukan tentera.
Kementerian itu turut menghubungi Jordan untuk mengatur penghantaran pulang pesawat terbabit. - AFP

Anak saudara Saddam Hussein mohon suaka Austria

VIENNA 23 Jun - Anak saudara lelaki kepada pemimpin diktator Saddam Hussein, memohon suaka politik di Austria selepas ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah, lapor Menteri Dalam Negeri.
Lelaki berusia 42 tahun itu dikenali sebagai Bashar N. dikehendaki oleh pihak berkuasa Iraq sejak tahun 2006.
Akhbar Tabloid Austria Kronen Zeitung berkata, dia ditahan semalam semasa kawalan rutin dan mendapati tidak mempunyai pasport dan akan dikenakan tindakan sebagai pengganas . - DPA

40 terbunuh di Daarat Azza

BEIRUT 23 Jun - Sekurang-kurangnya 40 terbunuh di Syria semalam, termasuk 26 kumpulan bersenjata pro kerajaan.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berkata, militan yang dikenali dengan Shabihaa itu terbunuh di utara Aleppo iaitu kawasan yang menjadi sasaran tentera kerajaan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Laporan media tempatan berkata, kumpulan bersenjata itu telah menculik dan membunuh 25 penduduk di Daarat Azza yang terletak di wilayah utara Aleppo.
Sementara itu, 24 orang awam terbunuh kerana tentera Syria mengebom kubu kuat pemberontak di wilayah Homs, Daraa dan Idlib yang berdekatan dengan sempadan Turki. - DPA

Indonesia catat bilangan tinggi buruh kanak-kanak

JAKARTA: Kajian terbaru menunjukkan Indonesia kekal sebagai negara yang mempunyai bilangan tinggi buruh kanak-kanak walaupun rekodnya mencatat pengurangan pembabitan kanak-kanak di pasaran buruh.
Kajian bertajuk “Understanding Children’s Work and Youth Employment in Indonesia” mendapati buruh kanak-kanak adalah perkara biasa, khususnya di bahagian timur negara itu. “Hampir tujuh peratus kanak-kanak berusia antara tujuh dan 14 tahun atau 2.3 juta kanak-kanak diambil bekerja pada 2009. Hampir 600,000 kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun juga sudah bekerja pada tahun itu,” lapor penyelidikan itu.

Kajian daripada agensi projek penyelidikan Understanding Children’s Work yang menulis laporan itu, Scott Lyon berkata, buruh kanak-kanak dinafikan hak mereka untuk pendidikan, keselamatan fizikal, perlindungan dan rekreasi. - JP

AS, Israel hantar virus

DUBAI: Iran mengesan satu rancangan serangan siber besar-besaran terhadap kemudahan nuklearnya, lapor televisyen negara itu semalam.
Laporan itu disiarkan ketika rundingan Teheran dengan kuasa besar dunia gagal menyelesaikan pertikaian aktiviti nuklear Iran. Menteri Perisikan Iran, Heydar Moslehi, berkata Amerika Syarikat dan Israel bersama Britain merancang serangan berkenaan. “Berdasarkan maklumat diperoleh, AS dan rejim Zionis bersama MI6 merancang operasi melancarkan serangan siber besar-besaran ekoran kegagalan rundingan Iran dengan kumpulan negara P5+1 di Moscow,” katanya dan dilapor Press TV.

Menurut Heydar, rancangan itu masih diusahakan tetapi Iran mengambil langkah perlu bagi menghadapinya. Pakar keselamatan bulan lalu berkata, satu virus komputer amat canggih - di gelar Flame - menjangkiti komputer di Iran dan negara lain di Timur Tengah.
Ia didakwa mampu mencuri data serta mengintip pengguna komputer.

Pegawai Iran kemudian segera mendakwa virus itu berjaya diatasi.

Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan dibuat Heydar semalam merujuk kepada Flame atau sebarang virus baru. Program nuklear Iran pernah diserang virus Stuxnet pada 2010 dan ia menjejaskan operasi di loji nuklear negara itu.
Teheran mendakwa AS dan rejim Zionis bekerjasama menghasilkan Stuxnet.

Awal bulan ini, pegawai AS berkata, pentadbiran George W Bush memulakan penciptaan Stuxnet dalam usaha mereka cuba menghalang Teheran menyiapkan senjata nuklear tanpa menggunakan serangan tentera. Menurut pegawai terbabit, Presiden Barack Obama meningkatkan usaha itu selepas mengambil alih Rumah Putih menggantikan Bush. - Reuters

2 pejuang Hamas terkorban dalam terowong

GAZA CITY: Dua mayat pejuang Palestin ditemui dalam terowong yang musnah diserang jet tentera udara Israel di Gaza, semalam, menjadikan korban keganasan rejim Zionis itu menjadi 10 orang sejak Isnin lalu.
Menurut Hamas, Thaer Mohammed al-Bik, 30, dan Mohammed Zuhair al-Khaldi, 26, terkorban akibat terhidu gas beracun ketika menjalankan pemeriksaan di terowong yang musnah dibom tentera Israel pada Selasa.

Serangan roket merentasi sempadan ke Israel pula diteruskan sehingga semalam tetapi kekerapannya turun mendadak berbanding kelmarin. Menjelang tengah hari, sembilan roket dilancarkan dan mendarat di selatan Israel tanpa menyebabkan sebarang kecederaan.
Pada Rabu, polis mencatatkan sebanyak 58 roket dan mortar dilancarkan dari Gaza. - AFP

Nyawa tahanan Palestin mogok lapar terancam

BAITULMAQDIS: Sebuah kumpulan hak asasi Israel berkata, nyawa seorang tahanan warga Palestin yang meneruskan mogok lapar pada hari ke-71 semalam berada dalam keadaan bahaya dan haknya mendapat rawatan doktor bebas dinafikan.
Menurut Doktor Untuk Hak Asasi Manusia - Israel (PHR-Israel), Akram Rikhawi mula menolak makanan sejak 12 April dan kali terakhir doktornya memeriksa kesihatan tahanan itu adalah pada 6 Jun.

Ketika itu, kata pertubuhan berkenaan, berat badan Akram 49 kilogram. “Selepas 16 hari, PHR-Israel mendapati Akram berdepan kematian akibat mogok lapar dan keadaan kesihatannya yang memang terganggu sebelum ini, termasuk masalah asma dan diabetes,” katanya. Sementara itu, jurucakap penjara berkata, Akram mendapat rawatan sewajarnya dalam tahanan. “Dia dibawa ke hospital beberapa kali dan doktor memutuskan dia dihantar ke penjara semula,” katanya. - AFP

Lelaki berjaga 11 malam demi Euro 2012 mati

BEIJING: Gara-gara menonton perlawanan bola sepak Euro 2012 secara melampau, seorang lelaki mati selepas berjaga berterusan selama 11 malam, lapor media semalam.
Penyokong England dan Perancis, Jiang Xiaoshan, menahan dirinya daripada terlelap bagi mengelak terlepas aksi setiap perlawanan bola sepak yang berlangsung ketika ini. Menurut media, Jiang mati akibat letih melampau. Disebabkan perbezaan masa, Jiang dilaporkan berjaga setiap malam bersama rakan-rakan sebelum pergi bekerja keesokan hari.

Selepas perlawanan Ireland menentang Itali, Sina.com melaporkan, Jiang pulang ke rumahnya di Changsha kira-kira jam 5 pagi. “Dia kemudian mandi, tertidur dan tidak membuka matanya langsung selepas itu,” lapor Sina.com.
Rakan Jiang berkata, kematian itu mengejutkan kerana setahu mereka, Jiang “agak sihat” dan aktif bermain bola sepak mewakili universitinya beberapa tahun lalu. Namun, sumber lain berkata, kesan pengambilan alkohol dan rokok, bercampur faktor keletihan kerana berjaga menyebabkan sistem imunisasi Jiang lemah. - TS

Kemaruk lihat rakan berbogel

BAILGA menutup mukanya ketika dia meninggalkan mahkamah Leeds selepas hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya, semalam.
BAILGA menutup mukanya ketika dia meninggalkan mahkamah Leeds selepas hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya, semalam.
LONDON: Seorang doktor yang merakamkan secara rahsia imej teman sekerjanya berbogel didapati bersalah atas tiga tuduhan di mahkamah dan dibatalkan pendaftaran amalannya, lapor media semalam.
Pakar kardiologi, Vivek Baliga, berdepan tuduhan menggunakan kamera video untuk mengintip dua wanita teman sekerjanya.

Menurut pertuduhan, Baliga, 33, mempelawa seorang doktor wanita dan teman lelakinya datang ke rumah ketika itu dia menetap di Leeds. Ketika menggunakan bilik mandi di situ, wanita terbabit berasa curiga apabila melihat beberapa kotak menghadap tingkap yang ada di situ.
Selepas memeriksanya, doktor wanita itu mendapati ada peralatan perakam disembunyikan dalam kotak berkenaan.

Dia kemudian membuat aduan kepada polis dan selepas diperiksa, lebih banyak imej ditemui tersimpan dalam komputer Baliga. Antara imej yang ada, doktor wanita sama mandi di rumahnya sendiri, serta seorang lagi doktor wanita yang sedang menggunakan tandas juga di rumahnya.

Baliga yang ketika itu melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah dalam kajian kardiologi, dihukum menjalani khidmat komuniti selama tiga tahun.
Dia juga diarah mengambil bahagian dalam program rawatan pesalah seks. Hakim Scott Wolstenholme berkata, tingkah laku Baliga sebagai “menjijikkan dan keji.” Panel Perkhidmatan Tribunal Pengamal Perubatan berkata, mereka mendapati perbuatan Baliga tidak melayakkannya terus menjadi doktor. “Kesalahan yang disabitkan ke atas kamu serius dan dibuat untuk kepuasan seksual sendiri. “Ia dilakukan secara terancang, berulang dan dalam tempoh lama,” katanya. Justeru, kata panel itu, ia tidak dapat diterima sebagai perbuatan seorang pengamal perubatan. - DM

Thailand guna polis ajar murid

Thailand guna polis ajar murid


2012/06/23


Hindar pergaduhan di sekolah vokasional

BANGKOK: Kementerian Pendidikan Thailand merancang untuk menggunakan khidmat pegawai polis mengendalikan beberapa kelas di sekolah vokasional dalam usaha untuk menghalang pergaduhan di kalangan pelajar.
“Satu inisiatif seperti ini membuktikan kejayaan di Taiwan,” kata Menteri Pendidikan, Suchart Tadathamrongvej selepas satu mesyuarat bersama ketua polis Thailand, Jeneral Priewpan Damapong.
Mungkin kita akan mendapatkan polis kawalan sempadan dari Naresuan Camp atau polis komando untuk mengajar pelajar terbabit mengenai disiplin, etika dan subjek berguna lain. - Jeneral Priewpan Damapong, ketua polis Thailand “Mungkin kita akan mendapatkan polis kawalan sempadan dari Naresuan Camp atau polis komando untuk mengajar pelajar terbabit mengenai disiplin,
etika dan subjek berguna lain,” kata Priewpan.

Menurutnya, pegawai polis biasanya terbabit di sekolah vokasional untuk mengetuai operasi mencari senjata yang disembunyikan di kalangan pelajar.

“Tetapi kementerian pelajaran percaya bahawa kita juga perlu mendapatkan khidmat anggota polis supaya turut mengajar di sekolah berkenaan,” katanya sambil menambah bahawa pergaduhan di kalangan pelajar vokasional adalah satu masalah sosial.
Sementara itu, Suchart berkata pergaduhan di kalangan pelajar vokasional merebak ke wilayah berhampiran Bangkok.

“Ia menjejaskan sebanyak 36 sekolah vokasional, kebanyakan adalah di Samut Prakan dan Bang Kapi, Bang Khae serta daerah Don Muang di Bangkok,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 130 pelajar didapati sering kali terbabit dalam keganasan.

“Saya akan mengkaji maklumat sejak tiga tahun lepas untuk mencari penyelesaiannya,” katanya.

Suchart menambah bahawa sebelum ini guru-guru di sekolah vokasional melayan pelajar seperti kanak-kanak, bertindak selaras dengan Akta Perlindungan Kanak-Kanak.

“Jadi pelajar yang tidak memakai pakaian seragam mereka sering kali disifatkan sebagai mendatangkan masalah,” katanya. – Agensi

Majlis Tentera Mesir beri alasan ambil alih kuasa

KAHERAH: Majlis Tentera Mesir bertegas bahawa keputusan pihaknya untuk mengambil alih kuasa adalah perlu meneruskan pemerintahan negara.

Pada masa sama ia menyalahkan Ikhwanul Muslimin kerana meningkatkan ketegangan dengan mengumumkan keputusan pilihan raya presiden lebih awal dan mendakwa kemenangannya.
Kenyataan tentera itu dibuat ketika berpuluh ribu penduduk berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah untuk menyokong calon presiden Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi. Penunjuk perasaan juga mengutuk apa yang disifatkan mereka sebagai tindakan menghalang kuasa pemimpin.
Majlis Tentera minggu lalu mengeluarkan satu perisytiharan mengambil alih pemerintahan yang sekali gus mengurangkan kuasa presiden baru dilantik. Ia diikuti dengan kritikan antarabangsa terhadap dokumen itu yang juga mempersoalkan masa perisytiharan.

Ikhwanul Muslimin mengisytiharkan Morsi sebagai pemenang beberapa jam selepas undian ditutup minggu ini. Dakwaan itu disangkal pesaing Morsi, Ahmed Shafiq yang juga perdana menteri di bawah pemerintahan Hosni Mubarak.

“Mengumumkan keputusan pilihan raya presiden terlalu awal sebelum kenyataan rasmi adalah tidak adil dan menjadi satu sebab erpecahan dan kekeliruan dalam politik,” kata kenyataan yang dibacakan melalui televisyen tempatan tanpa merujuk Ikhwanul Muslimin secara khusus.

Keputusan rasmi sepatutnya diumumkan Khamis tetapi pihak berkuasa menangguhkannya, menyebabkan dakwaan manipulasi semua pihak termasuk tentera memerintah.
Majlis tentera menolak gesaan mengesahkan semula parlimen diketuai Ikhwanul Muslimin yang dibubarkan berikutan satu keputusan mahkamah minggu lalu. Tentera berkata keputusan mahkamah berkenaan perlu dihormati. – AP

20 maut serangan hotel di Kabul

Foto
ANGGOTA pasukan keselamatan Afghanistan memeriksa mayat dan keadaan Hotel Spozhmai di Kabul dalam serangan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh.




Foto
SEORANG lelaki yang dijadikan tebusan militan dipeluk rakannya di luar Hotel Spozhmai selepas dibebaskan.



Polis elit Afghanistan, tentera NATO akhiri drama tebusan militan Taliban

KABUL: Polis elit Afghanistan dan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjaya menamatkan drama tebusan 12 jam di sebuah hotel di Kabul yang menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh selepas sekumpulan anggota Taliban menyerang bangunan di tepi tasik dan menahan beberapa penghuninya.
Jurucakap kementerian dalam negeri Afghanistan Sediq Sediqqi berkata sekurang-kurangnya 12 hingga 15 orang awam, dua pengawal hotel dan seorang anggota polis terbunuh dalam pertempuran senjata di Hotel Spozhmai yang menghadap Tasik Qargha. Turut terbunuh, lima anggota Taliban.
Serangan Taliban bermula kira-kira 11.30 malam kelmarin, apabila penyerang bunuh diri bersenjatakan pelancar roket dan rifel Kalashnikov menyerang hotel terbabit. - Mohammad Zahir, Ketua Jabatan Siasatan . Jenayah Polis Kabul Serangan ala komando menyasarkan Kabul, wilayah paling dilindungi di negara yang dilanda perang itu, mengambil masa beberapa jam untuk berakhir dan mencetuskan ketakutan orang ramai.

Hotel Spozhmai menjadi tumpuan golongan elit dan kaya di Kabul dan pada malam Khamis yang juga permulaan hujung minggu di Afghanistan biasanya dipenuhi dengan golongan berkeluarga bercampur antara lelaki dan wanita.

“Serangan Taliban bermula kira-kira 11.30 malam kelmarin, apabila penyerang bunuh diri bersenjatakan pelancar roket dan rifel Kalashnikov menyerang hotel terbabit,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah polis Kabul, Mohammad Zahir.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya seorang penyerang meletupkan bahan letupan yang disembunyikan dalam jaket yang dipakai mereka, kata Zahir.
Taliban yang mengetuai pemberontakan berdarah menentang kerajaan Karzai yang disokong Barat itu mendakwa bertanggungjawab.

Jurucakap Zabihullah Mujahid memberitahu AFP bahawa diplomat asing dan ahli misi NATO diketuai Amerika Syarikat serta kerajaan Kabul berhimpun di hotel berkenaan setiap Khamis untuk mengadakan parti liar, mabuk dan melanggan pelacur.

Tasik Qargha, kira-kira 10 kilometer dari tengah Kabul menjadi tumpuan berkelah popular. Tasik berkenaan dikelilingi hotel, restoran dan dewan perkahwinan.

Sediqqi berkata sekurang-kurangnya 40 tahanan orang awam yang ditawan dibebaskan sebelum kejadian itu berakhir.

Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) NATO mengesahkan bahawa tenteranya dan pasukan keselamatan Afghanistan memberi maklum balas terhadap serangan itu.

NATO bercadang mengundurkan sejumlah 130,000 tenteranya dari Afghanistan menjelang akhir 2014, menamatkan perang sejak beberapa dekad yang membunuh berpuluh ribu orang awam Afghanistan dan lebih 3,050 tentera asing.

Presiden Hamid Karzai memberi amaran bahawa serangan terhadap polis dan askar Afghanistan semakin meningkat dengan purata 20 hingga 25 anggota dibunuh setiap hari.

Beliau mengakui kerajaannya dan sekutu Barat gagal membawa keamanan ke Afghanistan yang mengalami konflik sejak tiga dekad lalu, mengatakan bahawa ‘tanah kita tidak selamat, rumah kita, rakyat kita juga tidak selamat.”

Pada Rabu satu serangan bunuh diri mensasarkan pasukan rondaan bersama tentera Afghanistan-NATO di bandar timur, Khost, berhampiran dengan sempadan Pakistan, membunuh 21 orang termasuk tiga tentera Amerika Syarikat. – Reuters/AFP

Pesawat solar rentas padang pasir



PESAWAT Solar Impulse yang dikendalikan oleh Andre Borschberg berlepas dari Rabat, Maghribi kelmarin.


RABAT, Maghribi - Sebuah pesawat yang menggunakan tenaga solar berjaya menamatkan penerbangan merentasi padang pasir di Maghribi semalam selepas berlepas dari Rabat kelmarin.
Pesawat buatan Switzerland, Solar Impulse yang dikendalikan seorang juruterbang, Andre Borschberg selamat mendarat di Ouarzazate, Maghribi 26 minit selepas tengah malam.
Ia merupakan pengembaraan peringkat akhir Borschberg, 59, yang bermula dari negara asalnya, Switzerland sebelum terbang ke Sepanyol dan berakhir di Maghribi.
"Pengembaraan kami menunjukkan terdapat cara lain untuk menjimatkan tenaga, menyelamatkan alam sekitar serta planet," katanya.
Saiz sayap pesawat berteknologi tinggi itu menyamai panjang pesawat komersial Airbus A340. Namun, ia ringan seperti sebuah kereta.
Pesawat yang berada lebih 17 jam di udara itu dipacu empat motor elektrik yang dijana oleh 12,000 sel solar pada kedua-dua sayapnya. - AFP

Bunga mayat mekar selepas sembilan tahun


BEBERAPA pengunjung melihat Titan Arum atau bunga mayat mekar semalam.


COPENHAGEN, Denmark - Sejumlah pelawat yang mengunjungi Taman Botani di sini semalam dikejutkan dengan bau mayat mereput.
Bau busuk itu sebenarnya berpunca daripada tumbuhan Titan arum atau nama saintifiknya, Amorphophallus Titanum.
Spesies tersebut turut dikenali sebagai bunga mayat kerana mengeluarkan bau busuk apabila mekar.
Bunga tersebut berkembang sekali sejak sembilan tahun lalu. - Agensi

Taliban serbu hotel, 18 terbunuh


PEMANDANGAN perkarangan Hotel Spozhmai di pinggir Kabul selepas serangan kumpulan Taliban berakhir semalam.


KABUL - Sekumpulan empat orang militan Taliban bersenjata api dan pelancar roket menyerang sebuah hotel tepi tasik di sini dan menjadikan berpuluh-puluh orang termasuk wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan nekad tersebut.
Pemerintah mengambil masa 12 jam untuk mengisytiharkan serangan ke atas Hotel Spozhmai yang berakhir dengan kesemua empat militan itu dibunuh.
Terdahulu, pasukan keselamatan berjaya membebaskan sejumlah tebusan di hotel sama.
Komander Amerika Syarikat (AS) yang mengetuai pasukan tentera Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (NATO) di Afghanistan berkata, rangkaian Haqqani yang merupakan cabang kumpulan Taliban, bertanggungjawab melancarkan serangan ganas ala komando itu.
Rangkaian Haqqani dipercayai mempunyai hubungan dengan pergerakan Al-Qaaeda.
Kejadian yang bermula malam kelmarin itu merupakan serangan terbaharu ke atas hotel dan beberapa kepentingan pemerintah serta Barat di sini.
Spozhmai menjadi lokasi tumpuan golongan elit di sini dengan hotel berkenaan dipenuhi pengunjung termasuk sejumlah keluarga kelmarin, menjelang cuti hujung minggu pada keesokan harinya di Afghanistan.
Kumpulan militan tersebut menyerbu masuk ketika para pengunjung berkumpul untuk makan malam di hotel berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kabul, Mohammad Zahir berkata, sekurang-kurangnya seorang militan meletupkan jaket berisi bom yang dipakainya.
Seorang saksi, Sharifullah, 30, memberitahu, dia pergi ke hotel berkenaan untuk makan malam dengan seorang rakan.
"Saya melihat tiga lelaki bersenjata memasuki kawasan di mana orang ramai dan keluarga berkumpul. Sejurus selepas itu, tembakan dilepaskan dengan para pengunjung panik dan mula menjerit," katanya.
"Saya terjun ke dalam sebatang parit dan melihat peluru mengenai seorang bapa, anak lelaki dan isterinya yang duduk di sekeliling meja berhampiran. Saya tidak pasti sama ada mereka selamat," tambahnya.
Kementerian Dalam Negeri Afghanistan menyatakan serangan tersebut berakhir pada pukul 11 pagi semalam apabila penyerang keempat dibunuh. - AFP