Pages

Saturday, September 1, 2012

AS tak mahu disalahkan




         
BAITULMAQDIS: Israel berdepan dengan tekanan yang semakin meningkat daripada masyarakata antarabangsa supaya ia tidak menyerang Iran.

Amerika Syarikat khususnya secara jelas membantah keras sebarang serangan seumpama itu.


Retorik pemimpin Israel baru-baru ini yang mendakwa masa semakin suntuk untuk menyekat Iran daripada memperoleh senjata nuklear mencetuskan kebimbangan bahawa tindakan ketenteraan mungkin tidak boleh dielakkan meskipun terdapat gesaan pihak luar supaya ia memberi peluang kepada tindakan sekatan ekonomi dan diplomasi memberikan kesan kepada Iran.

Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Amerika Syarikat, Jeneral Martin Dempsey sering mengingatkan Israel supaya tidak melancarkan serangan.


Dia meningkatkan amarannya minggu ini dengan berkata, Washington tidak mahu disalahkan untuk sebarang tindakan Israel.


“Saya tidak mahu terbabit jika Israel memilih untuk menyerang,” kata Dempsey seperti yang dipetik oleh akhbar Britain, Guardian, semalam.

Ia membayangkan beliau akan melihat langkah Israel itu sebagai tindakan yang patut dikeji atau haram.


Beliau sekali lagi berkata, serangan Israel hanya boleh melewatkan projek nuklear Iran tetapi tidak akan dapat memusnahkannya.

Israel dan Barat percaya Iran merancang menghasilkan senjata atom menerusi program nuklearnya tetapi Teheran menafikannya.


Israel, satu-satunya negara di Asia Barat yang memiliki senjata nuklear melihat kewujudannya terancam jika Iran memiliki senjata seumpama itu.


Sementara itu, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) semalam mendakwa Iran menambah pengempar pengayaan uranium di kubu bawah tanahnya, membayangkan hasrat untuk meluaskan aktiviti nuklearnya. - Reuters

Kucing 2 wajah

LUAR BIASA...Venus
LUAR BIASA...Venus

RALEIGH: Seekor kucing yang mempunyai dua warna berbeza pada mukanya mengejutkan pengguna Internet di seluruh dunia dan membolehkan kucing berkenaan, Venus, menjadi sensasi di atas talian dalam masa yang singkat.
Ribuan pengunjung melawati laman Facebook kucing aneh itu yang setakat ini sudah menerima 40,000 ‘like,’ sementara video mengenai kucing yang comel itu di YouTube ditonton hampir sejuta kali dalam masa beberapa hari saja.
Bulu muka kucing itu yang terbahagi secara simetri dengan warna hitam dan perang kemerah-merahan disamakan dengan versi lebih comel karektor komik, musuh Batman paling terkenal, Two-Face.

Venus mungkin kelihatan seperti ia datang dari planet lain tetapi penampilannya yang menyerlah dan warna mata yang berbeza mungkin dapat menerangkan dengan lebih mudah - perubahan genetik.


“Kami menerima pelbagai komen dari teknik Photoshop hingga kepada dakwaan kami mewarnakan sebahagian mukanya.”

“Dia dilahirkan sedemikian. Kami memiliki seekor kucing belang dan seekor hitam. Apabila saya melihat Venus kali pertama, saya berkata: ‘Oh. Ia kelihatan kombinasi kedua-dua kucing kami itu,’” kata pemilik kucing itu, Christina, dari Carolina Utara kepada rancangan Today Show.

“Ketika itu kami tidak melihat matanya. Reaksi pertama teman saya ialah: ‘Kita tidak perlukan haiwan lain lagi untuk dipelihara.

“Tetapi apabila kami lihat matanya dari jarak dekat, kami jatuh hati dengannya. dan saya berkata: ‘Kita perlu memiliki kucing ini!’

“Anda adalah bintang, Venus! Menarik!!!,” tulis seorang pengunjung dalam laman Facebook rasminya.

Seorang lagi menulis: “Kucing yang sungguh cantik. Saya begitu gembira Venus menemui kediaman yang baik dengan ibu bapa yang penyayang.”

Kini, populariti menanti Venus. Selepas muncul dalam rancangan Today Show, kucing yang berwajah luar biasa dikatakan akan membintangi video akan datang Lady Gaga. - DM

Dua wanita dibunuh desak bebaskan Pussy Riot




ATAS: Ahli kumpulan punk Pussy Riot, dari kiri: Yekaterina Samutsevich, Maria Alyokhina dan Nadezhda Tolokonnikova duduk di dalam kandang mahkamah yang dilindungi oleh kaca ketika dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun.
KIRI: Tulisan "Bebaskan Pussy Riot" yang dikatakan ditulis menggunakan darah dua orang wanita terpampang pada dinding sebuah pangsapuri di bandar Kazan, dekat Moscow, Rusia.


MOSCOW - Dua orang wanita ditemui mati akibat ditikam di dalam sebuah pangsapuri di sini pada Khamis, bersama tulisan "Bebaskan Pussy Riot" ditulis di dinding dipercayai menggunakan darah.
Kumpulan punk wanita, Pussy Riot mencetuskan ketegangan di Rusia apabila dikenakan hukuman penjara selama dua tahun kerana mengadakan satu protes terhadap presiden Rusia, Vladimir Putin di dalam sebuah gereja utama di sini.
Peguam anggota kumpulan Pussy Riot, Nikolai Polozov menegaskan bahawa anak guamnya dan penyokong mereka tidak terlibat dalam jenayah tersebut. Plozov juga menyatakan tulisan itu bertujuan menimbulkan provokasi dan memburukkan nama Pussy Riot.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Persekutuan Rusia, pesara berusia 76 tahun dan anak perempuannya, 38, itu mati akibat luka ditikam dengan pisau.
Rakaman stesen televisyen Rossiya menunjukkan ayat itu ditulis dengan huruf besar pada dinding dapur. Setakat ini, tiada sebarang hubungan jelas di antara mangsa dan Pussy Riot.
Pada Jumaat, pasukan penyiasat telah menahan seorang lelaki yang mengaku membunuh dua orang wanita dan cuba mengelirukan siasatan dengan menulis mesej mendesak pembebasan ahli kumpulan Pussy Riot. - Reuters

Hotel dan terminal runtuh dalam beberapa saat



REUTERS
ORANG RAMAI menyaksikan operasi meletupkan Hotel Three Gorges (kiri) dan terminal Pelabuhan Chongqing (kanan) di bandar raya Chongqing, barat daya China kelmarin.


CHONGQING - Selama bertahun-tahun Hotel Three Gorges dan sebuah terminal penumpang setinggi 32 tingkat menjadi mercu tanda bandar raya ini, barat daya China.
Namun, kedua-dua bangunan tinggi itu menyembah bumi serentak dalam masa cuma beberapa saat dalam satu letupan terkawal kelmarin.
Akhbar MailOnline melaporkan bahawa hotel dan terminal berkenaan diletupkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan sebuah hab pengangkutan, pelancongan dan perdagangan.
Orang ramai menyaksikan perubahan landskap yang berlaku di depan mata mereka itu dari jauh. - Agensi

Sage Stalllone mati akibat sakit jantung





LOS ANGELES - Pegawai koroner mengesahkan bahawa anak Sylvester Stallone yang berusia 36 tahun meninggal dunia akibat masalah jantung.
Sage Stallone (gambar) dilaporkan meninggal dunia pada 13 Julai lalu disebabkan saluran arteri tersumbat dan bukannya atas faktor-faktor lain. Mayat Sage ditemui di rumahnya oleh seorang pekerja dan saudaranya.
Tiada perbuatan khianat dikesan, malah keputusan toksikologi menunjukkan jumlah hydrocodone yang minimum ada dalam sistem badannya.
Sage Moonblood Stallone merupakan anak sulung pelakon Sylvester Stallone dan pernah membintangi dua filem bersama bapanya.
Dia juga bergiat aktif sebagai pembikin filem dengan dengan menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Vic yang kemudiannya ditayangkan pada Festival Filem Palm Springs. - AP

Pelajar botakkan kepala kerana protes




BEBERAPA pelajar wanita berkepala botak memegang 
sepanduk di Pusat Yirenping Beijing di Beijing kelmarin.


BEIJING - Sekumpulan pelajar perempuan membotakkan kepala mereka dalam satu tunjuk perasaan di ibu kota China, di sini.
Tindakan itu dibuat bagi membantah diskriminasi gender yang didakwa berlaku dalam peperiksaan kemasukan ke pusat pengajian tinggi di China.
Menurut mereka, markah lulus bagi pelajar wanita untuk peperiksaan tersebut iaitu gaokao, di bandar raya Guangzhou, dalam wilayah Guangdong telah diubah untuk lebih memihak kepada pelajar lelaki.
Tindakan itu didakwa dilakukan bagi meningkatkan bilangan pelajar lelaki di pusat-pusat pengajian tinggi di bandar raya berkenaan. - AFP

Petani bina replika Lamborghini Reventon




REUTERS
KERETA sport Wang Jian menjadi tumpuan pengguna jalan raya lain.


SUQIAN - Ekoran tidak mampu membeli sebuah Lamborghini Reventon berharga sekitar AS$1.6 juta (RM4.9 juta), seorang petani di China bertindak membina sendiri kereta sport berkenaan.
Petani tersebut, Wang Jian membina kereta itu daripada beberapa bahagian badan dua kereta terpakai jenama Nissan dan Santana.
Dia yang menetap di sini, pernah bekerja di sebuah bengkel kenderaan selama lebih 10 tahun.
Media China melaporkan replika Lamborghini Reventon itu menelan kos 60,000 yuan (RM29,526) untuk dibina.
Kereta sport buatan sendiri itu boleh mencapai kelajuan 256 kilometer/sejam. - Reuters

Tablet Kindle Fire habis dijual




DIANGGARKAN sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire berjaya dijual di Amerika Syarikat (AS) sejak ia mula dipasarkan pada November 2011.


NEW YORK - Amazon.com Inc. menyatakan bahawa telah menjual habis komputer tablet keluarannya ketika jangkaan model baharu bakal diperkenalkan pada musim cuti tidak lama lagi.
Peruncit Internet itu dijadual mengadakan sidang media pada Khamis depan di Santa Monica, California. Pengumuman model sedia ada sudah habis dijual menunjukkan Amazon telah memberhentikan produksi Kindle Fire untuk membangunkan model baharu.
Amazon melancarkan Kindle Fire pada harga AS$199 (RM618) seunit pada November 2011. Ia merupakan Kindle Fire pertama yang dilengkapi skrin warna dan mampu memainkan aplikasi pihak ketiga.
Tidak menyatakan berapa banyak Kindle fire berjaya dijual, Amazon bagaimanapun memberitahu, ia menguasai 22 peratus jualan komputer tablet di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sembilan bulan.
Angka itu menjadikannya tablet kedua paling popular selepas iPad. Tom Mainelli dari firma penyelidikan IDC menegaskan, peratusan itu selari dengan jangkaannya bahawa sebanyak 6.7 juta unit Kindle Fire sudah terjual. - AP

Bendera Malaysia dinaikkan di selatan Thai



SEKUMPULAN anggota polis memeriksa kawasan sekeliling sebuah hentian bas yang dipasang dengan bendera Malaysia di wilayah Narathiwat, semalam. - AFP


PATTANI, Thailand - Kumpulan pemberontak disyaki membakar beberapa helai bendera Thailand dan menaikkan bendera Malaysia di sini dalam satu operasi pengeboman terancang yang amat jarang berlaku di kawasan selatan negara ini semalam.
Menurut polis, alat seperti bom ditemui di sekurang-kurangnya 60 lokasi di Narathiwat dan Pattani, wilayah yang majoritinya terdiri daripada penganut Islam. Kebanyakan alat itu adalah palsu, tetapi hampir 12 unit daripadanya meletup dan mencederakan enam orang tentera.
Pegawai Operasi Keselamatan Dalaman Selatan, Pramote Prom-in memberitahu tindakan memasang bendera Malaysia dengan bahan letupan itu bertujuan menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Thailand dan mencipta ketegangan dengan Malaysia.
Beliau meminta supaya kerajaan bertindak tegas sambil menyatakan serangan tersebut tidak memberi kesan terhadap hubungan di antara Bangkok dan Kuala Lumpur.
Masih tidak jelas kenapa bendera Malaysia dinaikkan oleh kumpulan pemberontak itu. Bendera tersebut dipasang di sepanjang jalan, tiang elektrik, pokok dan laluan pejalan kaki di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla.
Para penganalisis menyatakan militan mahukan sebuah negara yang merdeka, tetapi tidak pernah menunjukkan minat mahu menjadi sebahagian daripada Malaysia.
Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New York, Sunai Phasuk mengakui bahawa motif pemberontak menaikkan bendera Malaysia masih misteri.
Kumpulan pemisah dikatakan mula muncul sejak Januari 2004. Sejak itu, seramai 5,206 terbunuh dan 9,137 lagi cedera dalam banyak siri serangan. - Agensi