HERAT - AFGHANISTAN.Seramai 11 lelaki Afghanistan terpaksa menanggung kecacatan kekal selepas jari telunjuk mereka dipotong kumpulan militan Taliban kerana didakwa mengabaikan amaran untuk memboikot Pilihan Raya Presiden yang diadakan 5 April lalu.

Menurut polis, serangan kejam berlaku di wilayah Herat dan Taliban menganggap ia sebagai hukuman kepada penduduk yang mengabaikan amaran daripada kumpulan itu.

Menteri Dalam Negeri Mohammad Umar Daudzai memberitahu, dalam beberapa siri serangan pada pungutan undi tersebut, lebih 100 orang termasuk 20 orang awam dan pegawai pilihan raya yang bertugas maut.

Sebelum ini, Taliban mengarahkan pengundi tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya antara Abdullah Abdullah dan Ghani Ahmadzai.

Sementara itu, pegawai pilihan raya memaklumkan, lebih tujuh juta daripada 12 juta penduduk di negara itu layak mengundi pada pusingan pertama dan keputusan akhir dijangka diumumkan pada 22 Julai ini menurut laporan Daily Mail.