Pages

Wednesday, August 10, 2011

Syria terus terima tekanan


Imej yang diambil daripada video amatur yang disiarkan olehUgarit News dan diakses melalui Associated Press Television News, kelmarin merakamkan anggota tentera Syria berkawal di sebatang jalan di wilayah Idlib, utara Libya sambil memerhati mayat seorang lelaki yang berada di situ. - AP

DAMSYIK 9 Ogos - Tekanan terus dikenakan ke atas Syria, hari ini ketika lawatan Menteri Luar Turki untuk menyampaikan mesej bahawa Ankara 'sudah hilang sabar' dengan tindakan kekerasan negara itu, yang menyebabkan kematian terhadap penunjuk perasaan anti kerajaan.
Lawatan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu diadakan sehari selepas negara-negara Teluk yang lain, Kuwait dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing dari Damsyik, mengikut jejak langkah Arab Saudi, yang 'menggalakkan' dan 'menggembirakan' Amerika Syarikat (AS).
Presiden Syria, Bashar al-Assad, semalam menamakan Menteri Pertahanan yang baru, ketika beliau berhadapan pemulauan serantau selepas tiga daripada enam negara Majlis Kerjasama Teluk memanggil pulang duta masing-masing dan pemimpin tertinggi Sunah mendesak Syria menghentikan pertumpahan darah.
Lawatan Davutoglu ke Damsyik bertujuan menyampaikan mesej daripada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang 'sudah hilang sabar' dengan keganasan yang berlaku di Syria.
Kumpulan aktivis, semalam mendakwa, pihak keselamatan menembak mati sekurang-kurangnya lapan orang 'termasuk seorang ibu dan dua anaknya' di timur bandar Deir Ezzor, di mana 42 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera pada Ahad lalu.
Setiausaha AS, Hillary Clinton telah meminta Davutoglu memberi tekanan kepada Syria supaya 'memanggil semua tenteranya balik ke berek.'
Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain, tindakan kekerasan rejim terhadap kebangkitan kumpulan pro-demokrasi telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,059 orang terbunuh, termasuk hampir 400 anggota keselamatan.
Raja Abdullah dari Arab Saudi, yang memanggil pulang dutanya dari Syria, mendesak Damsyik 'menghentikan pembunuhan dan pertumpahan darah sebelum terlambat' dan menyeru ke arah 'pembaharuan segera dan menyeluruh'.
"Masa depan Syria bergantung kepada dua pilihan, sama ada Syria memilih untuk menghentikan krisis yang berlaku, atau berhadapan dengan keadaan huru-hara yang lebih dahsyat, Tuhan melarangnya," tegasnya.
Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk yang lain, Bahrain dan Kuwait turut memanggil pulang duta masing-masing dan Menteri Luar Kuwait, Sheikh Mohammed al-Sabah menggesa tentera Syria menghentikan tindakan kekerasan. - AFP
-utusan

No comments: