Pages

Wednesday, October 19, 2011

Warga asing jual air zamzam palsu kepada bakal haji

myMetro | Warga asing jual air zamzam palsu kepada bakal haji:
MAKKAH: Pejabat Datuk Bandar Makkah berjaya menumpaskan percubaan untuk menjual air tercemar kepada jemaah haji, menurut laporan akhbar Al-Hayat, semalam.
Pegawai pemeriksa Majlis Perbandaran Shawqiya telah merampas air ketika ia cuba di tuang dari tong besar yang ‘tidak bersih’ ke dalam tong air zamzam yang digunakan untuk Projek Air Zamzam di dua Masjid Besar.
Ketua Majlis, Jurutera Muhad Obada berkata, jawatankuasa pemeriksa merampas kira-kira 2,000 bekas air zamzam kosong yang akan diisi dengan air tercemar daripada pekerja haram.

Dia juga hairan bagaimana pekerja haram boleh mendapat tong itu. Pekerja haram itu telah diberkas dan diserahkan kepada polis. Tong yang dirampas telah dimusnahkan, katanya.


Dia merayu kepada penduduk supaya memerhatikan aktiviti seperti itu dan segera melaporkan kepada Pejabat Datuk Bandar melalui nombor telefon yang telah diedarkan. - SG
'via Blog this'

Pemilik rumah tembak mati perompak Afrika

myMetro | Pemilik rumah tembak mati perompak Afrika:
MAKKAH: Seorang warga Arab Saudi berusia dalam 50-an, menembak mati seorang penduduk haram yang memecah masuk ke apartmennya di daerah Al-Rusaifah, menurut polis, semalam.
Jurucakap polis Makkah, Leftenan Kolonel Abdul Mohsen Al-Maiman, berkata, lelaki itu mendengar bunyi di rumahnya yang terletak di tingkat satu dalam bangunan empat tingkat itu.
Dia pergi menyiasat sambil membawa pistol. Apabila mendapati ada seorang warga Afrika telah memecah masuk ke rumahnya, dia terus melepaskan tembakan.

“Lelaki itu terus melepaskan tembakan sehingga perompak itu mati,” katanya.


Kata Abdul Mohsen, lelaki itu terus memanggil polis.


“Apabila anggota polis tiba, mereka dapati perompak itu terbaring, sudah mati sambil memegang alat elektronik,” katanya.

Katanya, mayat perompak itu telah dibedah siasat oleh doktor forensik dan kini mayatnya disimpan di Hospital Besar Raja Faisal di Makkah.

Lelaki Arab Saudi itu telah ditahan dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pendakwaan dan Siasatan untuk siasatan lanjut.

Katanya lagi, hakim akan menentukan sama ada lelaki itu menembak kerana mempertahankan dirinya atau tidak.

Seorang peguam, Muhammad Nihar berkata, sesiapa saja yang bertindak cuba melindungi dirinya dan keluarga akan dianggap bertindak kerana mempertahankan diri.

Peguam itu berkata, ia bergantung kepada hakim sam ada untuk menjatuhkan hukuman atas tuduhan membunuh atau mempertahankan diri.

Katanya polis akan mengambil bukti untuk pihak suruhanjaya dan mengumpul semua bukti untuk diserahkan kepada mahkamah.

'via Blog this'

Iran tidak akan siasat tuduhan AS: Mahmoud

myMetro | Iran tidak akan siasat tuduhan AS: Mahmoud: "


TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad berkata, kerajaannya tidak akan menyiasat dakwaan Amerika Syarikat (AS) mengenai dua rakyat negara itu merancang membunuh duta Arab Saudi ke Washington.

“Mengapa perlu kita menyiasat,” kata Mahmoud dalam temuramah dengan televisyen Al Jazeera International, semalam.


“Amerika Syarikat melancarkan tuduhan baru terhadap Iran setiap hari. Tindakan itu salah. Mereka silap jika menyangka dengan mengenakan tekanan mereka akan peroleh hasil.

“Kami dengan rasmi menolak tuduhan itu. Mengapa perlu kami pergi ke Amerika Syarikat untuk membunuh seorang duta negara sahabat.


“Mereka yang mendengar tuduhan itu akan ketawa,” katanya.


Pemimpin Iran itu juga berkata, AS berhasrat untuk memecahkan hubungan antara Arab Saudi dengan Iran. - AFP"

'via Blog this'

35 tentera NTC cedera, dua terbunuh di Sirte

myMetro | 35 tentera NTC cedera, dua terbunuh di Sirte: "


SIRTE: Pertempuran sengit di jalan raya meletus antara tentera rejim baru dengan saki baki penyokong Muammar Gaddafi di Sirte, kubu terakhir bekas pemimpin Libya itu, semalam.

Puluhan tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) cedera dan sekurang-kurangnya dua mati dalam masa 40 minit pertama pertempuran pagi semalam.


Ratusan mereka dilihat berlari di jalan raya di Dollar dan Number Two, dua kawasan kejiranan yang masih dikuasai penyokong Gaddafi.

Pikap digunakan untuk mengangkut mereka yang cedera ke hospital terbuka yang didirikan di pinggir bandar itu.


Menurut wartawan AFP, sekurang-kurangnya 35 orang tentera NTC cedera.


Mayat dua rakan mereka yang terkena tembakan mortar, dibawa ke hospital itu dengan dibalut selimut dan masih berasap. - AP"

'via Blog this'

Zionis enggan kendur kepungan

myMetro | Zionis enggan kendur kepungan: "


RAMALLAH: Tentera Israel tidak akan mengendurkan kepungan terhadap Semenanjung Gaza walaupun selepas pembebasan anggota tenteranya, Gilad Shalit sebagai pertukaran kepada pembebasan 1,027 tahanan Palestin.

Radio Tentera Israel memetik pegawai rejim berkenaan sebagai perkata, kepungan tetap diteruskan untuk menghalang penyeludupan senjata ke Semenanjung Gaza.


Menurut laporan itu, isu kepungan tidak dibangkitkan ketika perbincangan Kabinet untuk meluluskan perjanjian berkenaan.

Rejim Zionis itu berkata demikian sehari selepas Presiden Mahmod Abbas menggesa Israel menarik balik kepungan itu. - Agensi"

'via Blog this'

Jerung bermata satu ditemui di Teluk California

myMetro | Jerung bermata satu ditemui di Teluk California:
CALIFORNIA: Seorang nelayan menemui seekor jerung bermata satu di tengah-tengah muka haiwan itu.
Janin anak jerung yang bersifat albino itu dikeluarkan dari perut ibu jerung yang ditangkap di Teluk California pada musim panas lalu. Jerung bermata satu itu semakin terkenal sejak Pisces Fleet Sportfishing menerbitkan gambarnya Julai lalu, meningkatkan khabar angin mendakwa mungkin ia adalah palsu.

Bagaimanapun menurut laporan MSNBC, penyelidik yang memeriksa haiwan itu berkata ia adalah asli walaupun sukar baginya untuk terus hidup selepas dilahirkan. Pakar ikan jerung, Felipe Galvan Magana dari Centro Interdisciplinario de Ciencias del Mar di Mexico berkata: “Spesies itu memang jarang ditemui. Setakat yang saya tahu, kurang daripada 50 contoh spesies tidak normal seperti itu sudah direkodkan.”

'via Blog this'

Bayi mungkin dikorban untuk selamat nyawa kembar

myMetro | Bayi mungkin dikorban untuk selamat nyawa kembar:
HANOI: Seorang ibu yang melahirkan anak kembar siam perempuan mungkin terpaksa mengorbankan bayi yang lebih lemah bagi menyelamatkan kembarnya.
Kembar siam itu berkongsi tubuh dengan dua kaki, dua jantung, dua perut dan dua tulang belakang.

Mereka dilahirkan secara pembedahan Caesarean Rabu minggu lalu dan doktor di Vietnam berkata, seorang daripada pasangan kembar itu mungkin terpaksa dikorbankan bagi menyelamatkan kembarnya.

Dua beradik kembar itu dikatakan mengalami bentuk kembar siam yang jarang berlaku iaitu dicephalic parapagus.

Ia bermakna hanya satu tubuh yang membesar di dalam rahim dan disebabkan kedua-duanya berkongsi tubuh yang sama, mereka tidak dapat dipisahkan dengan sempurna.


Ibu kembar siam itu yang berusia 35 tahun diberitahu dia akan mempunyai anak kembar kerana terdapat dua degupan jantung selepas melakukan imbasan ketika kehamilannya.

Pakar sakit puan, Dr Dao Trung Hieu berkata, organ dalaman dua kembar siam itu perlu diperiksa sebelum pakar membuat keputusan akhir mengenai masa depan mereka.

“Kembar siam itu dalam keadaan sihat. Ini adalah kes kembar dicephalic parapagus kerana mereka mempunyai dua kepala, dua leher dan berkongsi tubuh mulai dari bahagian dada.

“Selain daripada mempunyai dua kaki, dua lengan, dengan salah satu tangan mempunyai enam jari, lengannya juga tidak sempurna dari belakang.

“Organ dalaman kembar itu agak rumit. Selepas pemeriksaan selama dua jam, kami dapati mereka mempunyai jantung yang bersambung dan berkongsi dinding antara dua ruang di atasnya. Kedua-duanya mempunyai kecacatan kardiovaskular tetapi keadaan kembar di sebelah kanan lebih serius,” katanya.

'via Blog this'

Drebar teksi jadi mumia

myMetro | Drebar teksi jadi mumia:

MAYAT Billis yang sudah diawet menjadi mumia.
MAYAT Billis yang sudah diawet menjadi mumia.


LONDON: Seorang memerintah kerajaan yang besar dari istananya di tebing Sungai Nil. Manakala, seorang lagi menguasai jalan raya sebagai pemandu teksi di Torquay.
Walaupun kehidupan dua individu berkenaan berbeza dan dipisahkan oleh jarak ribuan tahun, namun Raja Tutankhamun dan Alan Billis mempunyai persamaan dalam satu perkara utama. Billis yang sudah meninggal dunia adalah lelaki pertama yang diawet menjadi mumia mengikut cara penduduk Mesir kira-kira 3,000 tahun lalu. Menggunakan teknik yang mengawet mayat Tutankhamun selepas kematiannya pada 1323 SM, saintis mengawet lelaki berusia 61 tahun terbabit ekoran kematiannya akibat kanser paru-paru.

Billis yang gemar menonton dokumentari bersetuju supaya tubuhnya diawet selepas menyaksikan iklan syarikat televisyen yang berhasrat merakam proses pengawetan itu. Isterinya, Janet, 68, memberitahu suaminya berkata: “Saya baru menghubungi seseorang mengenai proses pengawetan mayat. “Saya terkejut kerana ia sesuatu yang dijangka akan dilakukan oleh Billis,” katanya.

Bagaimanapun, Janet dan tiga anak mereka merestui keputusan Billis dan hasilnya: - Proses Mumia Alan: Rahsia Terakhir Mesir - dijangka ditayangkan pada Saluran 4, Isnin ini.

Billis yang digelar Tutankhamun Torquay menjelaskan keputusan luar biasanya itu dalam dokumentari berkenaan sambil berkata: “Manusia menyerahkan tubuh mereka kepada sains sejak bertahun-tahun lamanya dan jika mereka tidak menawarkan diri untuk kajian tiada penemuan dapat diperoleh,” katanya. Sejak beberapa bulan ekoran kematiannya Januari lalu, organ dalaman Billis diambil dan disimpan di dalam balang kecuali otak dan jantungnya. Kulitnya dilumur dengan campuran minyak serta resin dan dimandikan dengan natron, sejenis garam ditemui di dasar sungai kering di Mesir.


Selepas sebulan berada dalam tangki kaca di Pusat Perubatan di Sheffield yang menempatkan rumah mayat di bandar raya itu, mayatnya dikeluarkan, diletakkan di kamar kering serta dibalut dengan kain.

Dr Stephen Buckley dari Universiti York yang membantu melakukan penyelidikan mengenai teknik pengawetan mumia sebelum program itu berkata, mayat Billis kini dapat bertahan hingga beberapa milenium lagi.

'via Blog this'

TV tak sesuai untuk budak

Berita Harian Online | TV tak sesuai untuk budak:




2011/10/19

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.
Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.
Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran. - AFP


'via Blog this'

Anak Mubarak ada RM1.07b di bank Swiss

Berita Harian Online | Anak Mubarak ada RM1.07b di bank Swiss: "


2011/10/19

KAHERAH: Dua anak lelaki presiden disingkir Hosni Mubarak mempunyai anggaran wang tunai bernilai AS$340 juta (RM1.07 bilion) dalam akaun bank Swiss, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kehakiman Mesir, kelmarin.

Assem Al-Gohary berkata, pihak berkuasa Swiss sedang menyiasat sama ada seorang daripada anak lelakinya, Alaa, terbabit dalam pembersihan wang haram bersama individu lain bekas rejim itu.
Di tanah airnya, Mubarak dan anak lelakinya didakwa atas tuduhan rasuah dan ketiga-tiganya ditahan.
Mubarak juga dituduh bersubahat dalam pembunuhan kira-kira 850 penunjuk perasaan ketika pemberontakan 25 Januari hingga 11 Februari lalu.

Khabar angin berlegar ketika pemberontakan bahawa Mubarak dan anak lelakinya mengumpul puluhan bilion dolar dalam amalan rasuah, membantu memacu kemarahan yang berjaya menggulingkannya.

Switzerland membekukan aset keluarga Mubarak dan individu lain bekas rejim dianggarkan Al-Gohary berjumlah hampir AS$450 juta (RM1.41 bilion). AP "

'via Blog this'

Tentera Libya perluas jajahan

Berita Harian Online | Tentera Libya perluas jajahan:




2011/10/19

TRIPOLI: Pasukan tentera kerajaan baru Libya berjaya menawan hampir keseluruhan Bani Walid, antara kubu kuat bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi, tetapi masih mendapat tentangan ketika cuba menamatkan ketegangan yang sudah berlanjutan selama berminggu-minggu, kata pegawai.

Tentangan hebat di Bani Walid dan kampung halaman Gaddafi, Sirte, menghalang pemimpin baru Libya daripada mengisytiharkan kemenangan dan menetapkan tarikh mengadakan pilihan raya, lebih dua bulan berlalu sejak bekas pemberontak berjaya mengawal keseluruhan negara Afrika Utara yang kaya minyak itu.
Dalam langkah mengembalikan keadaan seperti biasa, kepemimpinan Majlis Peralihan Nasional (NTC) kelmarin mengesahkan ia menandatangani perjanjian dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang secara menarik balik zon larangan terbang yang dikenakan Mac lalu ke atas negara itu, membolehkan penyambungan penerbangan tanpa memerlukan kelulusan NATO.
Sekatan sebagai sebahagian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan serangan udara dilancarkan bagi melindungi penduduk awam daripada rejim Gaddafi.

Menteri Pengangkutan dan Komunikasi, Anwar Elfeitori, berkata perjanjian ditandatangani Khamis lalu di Malta akan memudahkan usaha memindahkan anggota yang cedera untuk dapatkan rawatan.

Penarikan sekatan udara itu membantu memindahkan mangsa cedera, yang menjadi keutamaan masa ini selain memudahkan pergerakan orang ramai antara Libya dan dunia lain, kata Elfeitori dalam satu temu bual. - AP


'via Blog this'

Kepulangan tahanan Palestin meriah

Berita Harian Online | Kepulangan tahanan Palestin meriah:

2011/10/19

SEORANG tahanan Palestin yang dibebaskan diarak oleh ahli keluarga dan rakan setibanya di Ramallah, semalam.
SEORANG tahanan Palestin yang dibebaskan diarak oleh ahli keluarga dan rakan setibanya di Ramallah, semalam.
Hamas adakan majlis keraian, tunjuk semangat perpaduan kumpulan pejuang terbabit

BANDAR RAYA GAZA: Berpuluh ribu penduduk Palestin mengibarkan bendera sambil bersorak kegembiraan, ketika menyambut kepulangan beratus-ratus warganya yang dibebaskan dari penjara Israel selepas perjanjian pertukaran antara tahanan dengan seorang askar Israel, Gilad Schalit.

Di Gaza, pergerakan Hamas mengadakan satu majlis khas bagi meraikan kepulangan tahanan berkenaan, sekali gus untuk menunjukkan kekuatan dan semangat perpaduan kumpulan pejuang itu yang berjaya menguasai Gaza daripada Presiden Mahmoud Abbas, lebih empat tahun lalu.

Persetujuan Israel yang terpaksa tunduk dengan syarat Hamas dan selain tekanan berterusan rakyatnya sendiri, disifatkan satu kemenangan besar kepada perjuangan kumpulan itu.
Berpuluh ribu orang bersesak di sebuah kawasan lapang di mana sebuah pentas besar dibina dan dihiasi dengan gambar Schalit, yang ditangkap pada Jun 2006 di sebuah pangkalan tentera di sempadan Gaza.

Majoriti 477 tahanan dibebaskan sebagai pertukaran dengan Schalit semalam, adalah mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh rakyat Israel.

Pembebasan mereka dianggap mengingkari pendirian negara Yahudi itu sejak sekian lama untuk tidak membebaskan mereka yang pernah membunuh rakyat Israel.

Schalit ditahan lebih lima tahun lalu oleh pejuang Hamas manakala Mesir menjadi orang tengah dalam rundingan pembebasan dan pertukaran dengan tahanan Palestin.
Lebih 300 tahanan tiba di Gaza, manakala selebihnya pulang ke Tebing Barat. Perhimpunan dan sambutan besar-besaran diadakan di kedua-dua wilayah Palestin.

Salah seorang pemimpin Hamas yang dibebaskan, Yehiye Sinwar, menggesa kumpulan pejuang itu menculik lebih ramai askar Israel bagi membebaskan lebih ramai lagi tahanan Palestin. Kira-kira 6,000 rakyat Palestin masih dirahan di penjara Israel.

Kita perlu meneruskan usaha untuk membebaskan saudara-mara kita. Kita menggesa Briged al-Qassam (sayap tentera Hamas), agar menculik lebih ramai askar Israel dan ditukarkan dengan pembebasan mereka, katanya.

Sementara itu Schalit yang dibebaskan semalam dipindahkan ke Mesir untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berlepas pulang ke negaranya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan Schalit berkata dia berasa amat gembira selepas dibebaskan dan merindui rakan serta kelaurganya.

Sebenarnya saya takut saya akan terus ditahan untuk beberapa tahun lagi kerana mendapat tahu beberapa syarat yang tidak dipersetujui pada saat akhir mungkin menyebabkan perjanjian itu dibatalkan, katanya. - AP/AFP


'via Blog this'

Azam wakil rakyat mak nyah pertama di Poland

Kosmo! Online - Dunia:





WARSAW - Anna Grodzka (gambar) akan menjadi wakil rakyat pertama daripada kalangan mak nyah apabila dia mula menjalankan tugasnya bermula 8 November ini.
Dia mahu mengetengahkan rang undang-undang berhubung hak kesaksamaan termasuk juga menggunakan dana negara untuk melakukan pembedahan menukar jantina di negara yang dihuni majoriti masyarakat Kristian Katolik.
"Saya akan menjadi diri saya yang sebenar dan mahu membuktikan pandangan serong orang ramai terhadap saya adalah tidak adil," kata Grodzka.
Ahli politik yang kini berusia 57 tahun itu berkata, dia akan turut memperjuangkan mengenai kesatuan bagi golongan mak nyah, persenyawaan tabung uji dan lain-lain hak minoriti.
Dalam satu temu bual dengan laman portal Gadu-Gadu, Grodzka berkata dia juga mahu mengetengahkan rang undang-undang sama seperti di Australia yang menyediakan ruangan pilihan kategori jantina di pasport iaitu lelaki, wanita atau lain-lain.
Dilahirkan sebagai lelaki, Grodzka yang merupakan penerbit filem dokumentari selesai menjalani pembedahan penukaran jantina pada tahun lalu.
Dia merupakan calon parti Gerakan Palikot yang memenangi 10 peratus sokongan pada pilihan raya Parlimen pada 9 Oktober lalu. - Dpa

'via Blog this'

Pelatih kecergasan angkat motosikal seberat 120kg

Kosmo! Online - Dunia: "

RAHUL TIWARI mengangkat sebuah motosikal seberat 120 kilogram di Lucknow, India kelmarin.
RAHUL TIWARI mengangkat sebuah motosikal seberat 120 kilogram di Lucknow, India kelmarin.

LUCKNOW - Seorang pelatih kecergasan, Rahul Tiwari yang berusia 28 tahun mengangkat sebuah motosikal seberat 120 kilogram (kg) dalam satu latihan kecergasan di bandar ini kelmarin.

Tiwari bertindak mengangkat motosikal itu selepas mendapat ilham daripada seorang aktor Bollywood, John Abraham.

Pada bulan lalu, Abraham mengangkat sebuah motosikal seberat 115kg. - Reuters"

'via Blog this'

Kekasih ditangkap kerana tak bayar bil makan

Kosmo! Online - Dunia:


VERO BEACH , Amerika Syarikat (AS) - Komplot sepasang remaja untuk makan percuma gagal apabila mereka ditangkap polis negeri Florida selepas melarikan diri dari sebuah restoran T.G.I. Friday baru-baru ini, lapor laman gawker.com.

Pihak berkuasa berkata, Devin Norling, 18, dan teman wanitanya, Sydney Sanders, 19, merancang komplot 'makan dan lari' untuk mengelak membayar bil makanan sebanyak AS$25.16 (RM78.42) di restoran T.G.I. Friday di pusat beli-belah Indian River Mall di sini.

Dalam aduannya kepada polis, pengurus restoran berkenaan berkata, selepas mereka selesai makan, Sanders dilihat berjalan menuju ke pasar raya Macy's.

Menurutnya, Norling bertanya lokasi tandas.

Selepas meninggalkan tandas, Norling berjalan kembali ke sebuah bilik belakang dan cuba untuk meninggalkan restoran dengan menggunakan laluan kecemasan ketika kebakaran.

Satu bunyi amaran kebakaran kemudian berbunyi dan pengurus restoran tersebut mengarahkan Norling ke laman dalam bangunan.

Menurut pengurus itu, seorang pelayan kemudian menyerahkan bil kepada Norling.

Norling, katanya, mengeluarkan dompetnya dan tidak mengeluarkan sebarang wang sebaliknya memasukkan semula dompetnya ke dalam poketnya.

Dia kemudian berlari keluar dari restoran itu dan melompat pagar restoran dan menuju ke pasar raya Macy's.

Menyedari mereka telah ditipu, pengurus restoran berkenaan menghubungi polis yang kemudian menahan pasangan remaja tersebut.

Semasa disoal siasat, Norling mengaku dia tidak mempunyai tempat tinggal dan tidak makan selama beberapa hari.

Kedua-dua remaja tersebut didakwa kerana menipu untuk mendapatkan makanan. - Agensi


'via Blog this'

Lelaki tangkap 13,000 burung liar dipenjara

Kosmo! Online - Dunia:



SEJUMLAh burung dan ayam yang dikurung di dalam reban ayam di rumah Pierre Johansson di Hudiksvall, Sweden.


STOCKHOLM - Seorang lelaki Sweden yang menangkap 13,000 burung liar dan mengurung hampir ratusan haiwan itu di dalam sebuah rumah telah disabitkan atas kesalahan menyeksa haiwan dan pemburuan haram.

Mahkamah Daerah Hudiksvall kelmarin menjatuhkan hukuman penjara satu tahun enam bulan terhadap lelaki berkenaan, Pierre Johansson, 39, kerana menggunakan jaring dan perangkap yang menyalahi undang-undang untuk menangkap burung-burung tersebut.

Antara burung yang ditangkap ialah burung hantu, helang, pipit, ayam, dan belatuk.

Selepas merakamkan aktiviti penangkapan tersebut, dia telah membebaskan beberapa ekor burung tersebut tetapi masih bersalah atas kesalahan mengurung ratusan burung lagi di dalam sangkar dan dikunci termasuk sebuah reban ayam di garaj rumahnya.

Johansson mengaku tidak bersalah dengan menyatakan perbuatannya itu adalah untuk memberi perlindungan kepada burung-burung tersebut pada musim sejuk dan tidak berniat untuk menyeksa haiwan itu. - Agensi


'via Blog this'

Video Beyoncesebelum hamil

Kosmo! Online - Dunia:



AKSI Beyonce dalam muzik video Love On Top di laman YouTube. - YouTube


LOS ANGELES - Penyanyi terkenal, Beyonce menunjukkan aksinya yang ligat dalam video muziknya yang terbaharu, Love On Top.

Dia yang kini hamil memakai jaket dan seluar tetapi hampir mendedahkan payu daranya. Beyonce juga menari dengan ligat dengan lima penyanyi sokongan dalam video tersebut.

Penyanyi tersebut juga memakai pelbagai jenis pakaian dalam persembahannya di dalam video berkenaan.

Sebelum ini, Beyonce yang sudah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Jay Z mencetuskan kontroversi mengenai kehamilannya.

Menurut beberapa laporan akhbar, dia dikatakan memakai kostum palsu untuk menunjukkannya sedang hamil. Spekulasi itu dibuat selepas perutnya itu kelihatan seperti palsu dalam program Sunday Night HD.

Namun seorang jurucakap Beyonce menafikan spekulasi itu dengan menyatakan ia dakwaan bodoh, mengarut dan salah.

Spekulasi itu tersebar selepas Beyonce mahu duduk dalam set program televisyen, Sunday Night HD.

Perutnya itu kelihatan mahu terjatuh semasa dia duduk. Terdapat juga spekulasi bahawa dia mungkin menyewa seorang ibu tumpang.

Dia memberitahu pengacara dalam program Sunday Night HD bahawa dia mungkin melahirkan anak pada Februari 2012 .- Agensi


'via Blog this'

Obama guna bas untuk kempen

Kosmo! Online - Dunia:



SEBUAH bas yang membawa Barack Obama terletak dekat dengan pesawat rasmi Presiden Amerika Syarikat itu di Lapangan Terbang Asheville, Carolina Utara kelmarin. - Reuters


MILLERS CREEK, Carolina Utara - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memulakan kempen mengenai usaha memulihkan ekonomi dengan menggunakan sebuah bas melalui Carolina Utara dan Virginia selama tiga hari.

Rombongan Obama itu bermula semasa rang undang-undang pekerjaan bernilai AS$447 bilion (RM1.39 bilion) yang dianggap White House sebagai cara terbaik untuk menurunkan kadar pengangguran dibantah para wakil rakyat parti Republik yang menjadi pembangkang. Obama turut menyalahkan parti Republikan ekoran kesuraman ekonomi AS.

Para wakil rakyat Republikan telah menghalang satu undian terhadap rang undang-undang tersebut.

"Mungkin mereka (anggota-anggota Parti Republikan) tidak mengkaji undang-undang tersebut," kata Obama kepada orang ramai di sebuah sekolah tinggi di bandar ini.

"Mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka tentang undian itu," tambah Obama.

Menurutnya, wakil-wakil rakyat Parti Republikan itu akan diberikan peluang sekali lagi untuk mengkaji undang-undang berkenaan.

Pada satu perhimpunan di Asheville, Carolina Utara, Obama menyatakan satu tinjauan pendapat menunjukkan 63 peratus rakyat AS menyokong rang undang-undang tersebut. - AFP


'via Blog this'

Lapangan terbang angkasa pertama dunia dibuka

Kosmo! Online - Dunia:


KAPAL induk White Knight TWO yang membawa kapal angkasa SpaceShipTwo dipamerkan di hangar Lapangan Terbang Spaceport di New Mexico kelmarin.


UPHAM, Amerika Syarikat (AS) - Bilionair Britain, Richard Branson (gambar kecil) dan Gabenor New Mexico, Susana Martinez mengalu-alukan kehadiran beratus-ratus orang semasa perasmian Lapangan Terbang Angkasa Lepas pertama di AS dikenali sebagai Spaceport America kelmarin.

Pada majlis tersebut, orang ramai berpeluang menyaksikan penerbangan pesawat utama, White Knight TWO yang akan membawa pelancong mengelilingi orbit di angkasa lepas.

Ibu Branson, Eve turut hadir pada majlis tersebut.

Wanita itu berkata, dia sebelum ini tidak pernah terfikir bahawa orang awam akan dapat berkunjung ke angkasa lepas.

Mennurutnya, dia merancang untuk menaiki penerbangan White Knight TWO.

Syarikat penerbangan angkasa lepas milik Branson, Virgin Galactic dijadual memulakan penerbangan komersial angkasa lepas dari terminal ini yang dibina di sebuah gurun di Sierra.

Spaceport America akan menempatkan kapal angkasa lepas Virgin Galactic, pusat kawalan dan tempat persediaan untuk pelancong-pelancong angkasa lepas yang menempah penerbangan ke orbit bumi. - Agensi


'via Blog this'

Kanak-kanak cedera dilanggar tidak dihirau

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



SEDUTAN video dari kamera litar tertutup bertarikh 13 Oktober 2011 menunjukkan kejadian langgar lari ke atas kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang tidak dihiraukan oleh orang ramai. - AGENSI


BEIJING 17 Okt. - Rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun di China yang dilanggar sebuah van dan kemudian tidak dihiraukan oleh pejalan kaki, menggemparkan negara ini dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana ia menggambarkan keadaan kurang bermoral dalam masyarakat moden di republik ini.

Video dari kamera litar tertutup bertarikh 13 Oktober lalu itu dan disiarkan oleh sebuah stesen televisyen tempatan merakamkan seorang kanak-kanak perempuan dilanggar sebuah van dan kanak-kanak itu ditinggalkan dalam keadaan berdarah di sebuah jalan raya di bandar Foshan, wilayah Guandong.

Media rasmi hari ini melaporkan lebih 12 orang yang melalui jalan itu sama ada pejalan kaki atau menaiki basikal, tidak mempedulikan kanak-kanak itu sehinggalah dia dilanggar buat kali kedua oleh sebuah lori.

Seorang wanita kemudian menarik kanak-kanak berkenaan ke tepi jalan sebelum ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang pekerja asing di bandar itu tiba di tempat kejadian.

Akhbar China Daily melaporkan kanak-kanak itu yang kini dirawat di sebuah hospital, diisytihar 'mati otak'.

Agensi berita Xinhua melaporkan dua pemandu kenderaan yang melanggarnya telah ditahan polis. - Reuters


'via Blog this'

Ayatollah beri amaran kepada AS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



PELAJAR wanita Universiti Razi memegang gambar Ayatollah Ali Khamenei dan Allahyarham Ayatollah Ruhollah Khomeini semasa menyertai perhimpunan yang dihadiri Khamenei di bandar Kermanshah, Iran, kelmarin. - AFP


TEHERAN 17 Okt. - Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa Iran akan mengambil tindakan tegas jika AS bertindak 'menyerang' negara ini.

Ini berikutan ikrar AS yang mahu mengenakan sekatan termasuk memujuk masyarakat antarabangsa supaya memulaukan Iran berhubung dakwaan penglibatan Iran dalam komplot membunuh Duta Arab Saudi di Washington, Adel al-Jubeir, baru-baru ini.

''Jika para pegawai AS melakukan penipuan, mereka seharusnya tahu bahawa apa jua tindakan yang dikenakan sama ada secara politik atau keselamatan, segalanya akan menerima tindakan tegas daripada Iran,'' kata Khamenei.

Jelas beliau, tuduhan AS terhadap Iran berhubung komplot pembunuhan itu hanyalah untuk mengalih perhatian mengenai masalah ekonomi yang sedang dihadapi AS termasuk protes daripada Occupy Wall Street.

''Dengan dakwaan yang tidak berasas itu, mereka cuba mengaitkan atau menggambarkan kita (Iran) menyokong keganasan.

''Tetapi, konspirasi itu tidak akan berjaya,'' tegasnya.

Sementara itu, Presiden Mahmoud Ahmadinejad menegaskan bahawa dakwaan AS itu hanyalah sesuatu yang direka-reka.

''Budaya keganasan hanyalah milik kamu (AS),'' jelasnya.

Dalam pada itu, Iran memohon untuk mendapatkan lawatan konsular terhadap Manssor Arbabsiar, 56, yang kini ditahan di AS berhubung dakwaan terlibat dalam komplot membunuh Adel. - AGENSI


'via Blog this'