Pages

Saturday, February 12, 2011

Laungan 'berambus Mubarak' bergema seluruh Mesir




Sebahagian kecil daripada ratusan ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di Dataran Tahrir di Kaherah bersorak gembira ketika meraikan berita peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak yang diumumkan oleh Naib Presiden, Omar Suleiman, malam tadi - REUTERS


KAHERAH 11 Feb. - Ilhal Mubarak! Ilhal Mubarak! Laungan yang bermakna 'Berambus, Mubarak, Barambus!' bergema bermula daripada kami memasuki pusat bandar raya sebelum meletak kereta kira-kira satu kilometer dari Dataran Tahrir, senja semalam.
Di laluan yang sama, puluhan orang lagi berduyun-duyun menghala ke satu destinasi sambil membawa bendera merah, putih dan hitam Mesir. Rata-ratanya golongan muda. Terdapat juga pasangan yang membawa anak-anak. Nampaknya potensi untuk bersesak di Dataran Tahrir, bukan penghalang.
Waktu hampir 8 malam dan momentum ketika itu ialah Presiden Hosni Mubarak akan meletak jawatan.
Di Dataran Tahrir tersebut, ratusan ribu sudah memenuhi kawasan sekitarnya. Laungan Ilhal, Ilhal lagi kuat, lagi nyaring. Sesekali pembesar suara memainkan lagu patriotik dan apabila tiba pada korus, hampir semua melaungkan 'Ya Mosr' (sebutan Arab untuk Mesir).
Jika hendak dibandingkan, pengalaman memasuki Dataran Tahrir ibarat memasuki stadium antara pasukan 'rakyat' dan 'Hosni Mubarak'. Ini kerana orang ramai yang sama-sama berjalan ke situ menyanyi lagu patriotik sambil mengibar bendera negara (bukan parti politik seperti yang kita biasa lihat di Malaysia) dan ada yang melukis bendera pada dahi atau pipi mereka.
''Malam ini dia undur. Malam ini dia berambus!" kata seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Muhamad. Desas-desus mengenai pengumuman tersebut telah bernyala sejak petang, mendorong orang ramai berduyun-duyun menuju ke Dataran Tahrir.
Malah, seorang diplomat yang Utusan Malaysia temui semalam turut memberitahu terdapat spekulasi mengatakan Mubarak akan berundur dan pergi ke Jerman atas alasan menjalani rawatan kesihatan. Ada juga lebih percaya beliau yang telah memerintah Mesir selama 30 tahun akan mendapatkan perlindungan di Emiriah Arab Bersatu.
Pos kawalan pertama yang dilalui adalah pagar tentera tetapi pengawal peribadi yang diupah berkata, sesuatu yang menyaksikan saya dan dua lagi wakil media Malaysia dibenar masuk tanpa perlu diperiksa pasport atau beg.
Namun, kawalan kedua ialah kumpulan penunjuk perasaan. Mereka hendak memastikan tiada polis atau sesiapa yang disyaki pengacau memasuki kawasan dataran.
Melihat wajah saya yang mirip Chow Yuen Fatt, soalan pertama ditanya ''You, Chinese?''. ''No. Malaysia," saya jawab sambil menunjukkan pasport. ''Muslimin?'' soalnya lagi dan saya angguk kepala. ''Welcome!," kata pengawal yang menyuruh saya ke belakang untuk diperiksa badan pula.
Lagi sekali soalan sama ditanya. Keseluruhannya tiga pos kawalan penunjuk perasaan perlu dilalui sebelum betul-betul memasuki dataran. Secara umumnya, mereka yang menjadi pengawal adalah berdisiplin dan teratur. Untuk wanita, sekumpulan pemeriksa muslimah bersedia di sebelah.
Di satu sudut kelihatan gerai menyediakan stok-stok perubatan. Stok yang ada di situ mencukupi untuk rawatan puluhan orang. Jelas penunjuk perasaan di situ telah menyusun strategi dan persediaan secukupnya menghadapi kemungkinan berkampung di situ untuk tempoh yang panjang.
Apatah lagi pada mulanya momentum penunjuk perasaan disangka menurun beberapa hari lalu, telah meningkat kembali pada Selasa lalu dengan kemunculan seorang aktivis di khalayak setelah ditahan polis selama 10 hari.
Malam semalam ekoran desas-desus pengunduran Mubarak, dataran itu dipenuhi oleh segenap lapisan rakyat Mesir. Daripada kanak-kanak kepada golongan muda sehingga yang berpakaian imam Al-Azhar berkumpul di Dataran Tahrir tatkala suhu malam semakin sejuk.
Semuanya menanti pengumuman rasmi Mubarak yang dijangka dibuat pada pukul 11 malam tetapi beliau tampil pada kira-kira 10.45 malam dengan siaran televisyen dipancarkan ke paparan besar di dataran dan suara dipasang pada sistem audio di sekeliling dataran.
Secara tiba-tiba suasana di dataran menjadi tenang, dengan beberapa orang menyuruh semua diam, supaya dapat mendengar lebih jelas ucapan Mubarak. Sebenarnya, ucapan tersebut bukan saja ditunggu-tunggu oleh penunjuk perasaan di Dataran Tahrir tetapi juga di seluruh negara.
Anggota tentera yang berkawal di pintu-pintu masuk juga memasang telinga, ada yang membuka radio kecil dengan lima enam orang mengerumuni bagi mendengarnya.
Setelah jelas, Mubarak menegaskan dirinya tidak akan berundur, wajah orang ramai mula berubah daripada awal tadi yang penuh pengharapan menjadi masam. Ada yang menangis, ramai yang melepaskan kemarahan dengan sekali lagi melaung-laungkan cemuhan terhadap Mubarak.
''Dia tidak ada perasaan. Dia tidak sedar dirinya ditolak rakyat. Mesir akan kacau-bilau," kata seorang yang mengenalkan dirinya sebagai Sharif Askar.
Beberapa orang menanggalkan kasut dan menghayunkan ke imej Mubarak di paparan, suatu bentuk penghinaan pada bangsa Arab.
Pada ketika ini, pengawal peribadi menasihatkan kami keluar dari dataran kerana bimbang kumpulan tegar akan bertindak ganas dengan perkembangan tersebut.
Namun akhirnya impian kesemua penunjuk perasaan itu menjadi kenyataan apabila Mubarak mengumumkan peletakan jawatannya kira- kira pukul 6 petang ini (12 tengah malam waktu Malaysia).
Pengumuman oleh Naib Presiden, Omar Suleiman itu disambut dengan teriakan gembira dan penuh kesyukuran oleh mereka yang berhimpun di dataran tersebut. - Utusan
Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Ikhwanul Muslim kagum perjuangan rakyat Mesir



12/02/2011 3:20am

KAHERAH 12 Feb. - Kumpulan pembangkang paling berpengaruh, Ikhwanul Muslim menyambut baik perletakkan jawatan oleh presiden Hosni Mubarak dan mengucapkan terima kasih kepada tentera yang telah menunaikan janji mereka.
“Kami sangat kagum dan menghormati perjuangan rakyat Mesir serta pihak tentera yang memenuhi janji mereka,” kata Essam el-Erian, pemimpin kanan Ikhwanul Muslim.
Tokoh pembangkang terkemuka Mesir, Mohammed ElBaradei ketika ditemuramah oleh stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata, perletakan jawatan oleh Mubarak telah mengembalikan semula kehidupan rakyat Mesir.
Menteri luar Turki, Iran dan pemimpin Hezbollah Lebanon mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir kerana berjaya menjatuhkan Mubarak dan berharap akan muncul sistem baru untuk rakyat negara itu.
Turut mengalu-alukan pengunduran Mubarak adalah pemimpin Hamas dan penduduk Palestin yang sama meraikan kejayaan rakyat Mesir di seluruh Gaza City. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Mubarak lari ke Sharm el-Sheikh




JUTAAN rakyat Mesir menyertai demonstrasi besar-besaran di Dataran Tahrir, Kaherah sehingga membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak, semalam. Tunjuk perasaan turut juga merebak ke bandar raya utama lain termasuk Suez dan Iskandariah. – AFP


KAHERAH 11 Feb. – Presiden Hosni Mubarak dilapor meninggalkan Kaherah bersama keluarganya hari ini dan berada di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah, kata jurucakap parti pemerintah, Parti Demokratik, Mohammed Abdellah.
“Mubarak telah meninggalkan Kaherah bersama ahli keluarganya. Beliau berada di Sharm el-Sheikh,” katanya kepada AFP.
Mubarak meninggalkan Kaherah pada hari ke-18 protes besar-besaran di seluruh negara yang menuntut beliau meletak jawatan.
Perhimpunan hari ini merupakan yang terbesar sejak protes tersebut berlangsung tetapi ia dilancarkan selepas solat Jumaat tanpa sebarang unsur keganasan.
Pemergian ke Sharm el-Sheikh kira-kira 570 kilometer dari Kaherah itu bagaimanapun langsung tidak meredakan tunjuk perasaan tersebut.
Mubarak dalam ucapannya kepada rakyat pagi ini berkata, beliau menyerahkan hak istimewa Presiden kepada Naib Presiden, Omar Suleiman tetapi tidak akan berundur dari jawatan tersebut.
Diktator itu berkata, beliau akan kekal sebagai Presiden hanya pada nama sehingga September ini iaitu apabila Pilihan Raya Presiden diadakan.
“Saya mengambil keputusan untuk menyerahkan kuasa kepada Naib Presiden berdasarkan Perlembagaan.
“Saya sedar akan bahaya dalam keadaan ini dan ia menyebabkan kita terpaksa memilih kepentingan negara berbanding perkara lain,’’ katanya.
Bagaimanapun sikap keras kepala beliau berakhir apabila terpaksa tunduk pada tekanan rakyat dengan mengumumkan peletakan jawatan kira-kira pukul 6 petang (12 tengah malam waktu Malaysia).
Pengumuman itu dibuat oleh Naib Presidennya yang turut menegaskan bahawa pemerintahan Mesir akan dilaksanakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera negara itu. – AFP
Utusan Malaysia Online - Berita Utama

Switzerland beku aset Mubarak


2011/02/12

ZURICH: Switzerland sudah membekukan aset yang menjadi milik Hosni Mubarak yang semalam meletakkan jawatan sebagai Presiden Mesir selepas 30 tahun memerintah Mesir, kata Kementerian Luar Switzerland, hari ini.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Switzerland sudah membekukan harta yang menjadi milik bekas presiden itu berkuatkuasa serta-merta," kata jurucakap kementerian itu, Lars Knuchel sebaik Mubarak mengumumkan pengundurannya bagi mengakhiri tunjuk perasaan besar-besaran rakyat selama 18 hari.
"Berikutan tindakan ini, setiap aset akan dibekukan selama tiga tahun," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah wang yang terbabit atau di mana ia disimpan.

Aset yang dimiliki pemimpin yang menyokong Mubarak juga dibekukan iaitu dilarang daripada dijual atau dilupuskan sebarang hartanah atau aset kekal lain. - Reuters

Peletakan jawatan Mubarak: Reaksi pemimpin dunia


PENUNJUK perasaan Mesir merayakan peletakan jawatan Presiden Hosni Mubarak di Medan Tahrir di Kaherah sebaik saja diumumkan Naib Presiden, Omar Suleiman.- Foto Reuters

2011/02/12

KAHERAH: Berikut reaksi pemimpin dunia sebaik peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai presiden Mesir, sekali gus mengakhiri demonstrasi besar-besaran rakyat negara itu selama 18 hari.

Amerika Syarikat
"Rakyat sudah menyatakan hasrat mereka...suara rakyat Mesir adalah jelas semestinya demokrasi perlu dilaksanakan mulai sekarang," kata Presiden Barack Obama. "Masih banyak kesulitan yang akan berlaku dan masih banyak persoalan belum terjawab. "Namun pihak tentera sudah menjalankan tugasnya dengan cukup patriotik dan bertanggungjawab sebagai pemerintahan sementara dan kini perlu memastikan peralihan kuasa dilakukan dengan berwibawa demi kehendak rakyat Mesir," katanya.


Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon mahu proses peralihan kuasa di Mesir harus dilakukan dengan 'telus, lancar dan aman'. Beliau juga mahu melihat negara itu menjalankan proses pilihan raya yang 'bebas, adil dan berwibawa'.

Iran
"Saya mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir atas kemenangan mereka dan kami di Iran berkongsi kegembiraan," kata Menteri Luarnya, Ali Akbar Salehi. "Kami berharap pergerakan rakyat di Mesir akan berakhir dengan kejayaan menerusi semangat yang jitu agar mereka mencapai tuntutan dan harapan yang diingini."

Russia
"Kami berharap dengan perkembangan terkini ini, ia boleh mengembalikan semula keamanan dan kestabilan dengan kerjaaan Mesir kembali berfungsi. Kami juga berharap bukan saja kerajaan tetapi parti pembangkang menunjukkan keikhlasan untuk menstabilkan keadaan," kata Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov. - Reuters

Mubarak tunduk selepas 18 hari





2011/02/12

PENUNJUK perasaan penuh sesak di Dataran Tahrir bagi meneruskan protes buat hari ke-18. Gambar kecil, penunjuk perasaan gembira Mubarak letak jawatan.
PENUNJUK perasaan penuh sesak di Dataran Tahrir bagi meneruskan protes buat hari ke-18. Gambar kecil, penunjuk perasaan gembira Mubarak letak jawatan.
Lebih sejuta penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Mesir gembira peletakan jawatan

KAHERAH: Lebih sejuta penunjuk perasaan berarak di kota Kaherah, Iskandariah, Suez dan Delta Nil semalam dan menunjukkan kegembiraan selepas Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan, semalam.

Mereka awalnya marah dengan kenyataan tentera menyokong pelan pemimpin mereka terus memegang kuasa hingga pilihan raya bermula September depan.
Mereka berarak ke istana presiden dan melakukan hadangan di depan stesen televisyen rasmi sebagai menunjukkan bantahan terhadap lambang rejim pemerintahan Mubarak.
Penunjuk perasaan menyambut gembira kenyataan Majlis Tertinggi Tentera dianggotai jeneral kanan awal semalam menjamin tuntutan rakyat Mesir akan dipenuhi yang ditafsirkan sebagai tindakan mengambil alih pemerintahan
Tetapi, kenyataan terbaru badan itu mencetuskan kemarahan ramai penunjuk perasaan, lebih-lebih lagi selepas Mubarak masih enggan meletak jawatan meskipun memberi kuasa kepada Naib Presiden, Omar Suleiman.

“Apa yang kamu tunggu lagi?” jerit seorang penunjuk perasaan kepada seorang askar di luar istana utama, Oruba, utara Kaherah dalam bantahan yang disertai 1,000 orang.

Tidak diketahui sama ada Mubarak ada di dalam. Istana itu dikawal empat kereta kebal dan kawat berduri tetapi askar tidak menghalang orang ramai berhimpun bagi membuat bantahan.
Dataran Tahrir pula penuh sesak dengan penunjuk perasaan yang meneruskan protes buat hari ke-18.

Di Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir, lebih 100,000 orang berkumpul di dataran utamanya dan mula berarak ke kediaman utama Mubaral di bandar itu di Istana Ras el-Tin.

Penunjuk perasaan berkata mereka semakin bersemangat untuk menamatkan pemerintahan Mubarak dan akan cuba mendapatkan sokongan tentera dengan menjerit ‘rakyat dan tentera adalah satu tangan.’

Tukang baca khutbah solat Jumaat di Dataran Tahrir juga menggesa penunjuk perasaan meneruskan usaha mereka.

“Kita sudah bertahun-tahun hidup tanpa bersuara. Hari ini, kita suruh rejim sekarang berundur. Kita berdoa setiap Jumaat di sini pada minggu akan datang dan mempertahankan maruah kita.”

Kenyataan kedua tentera digelar ‘Perisytiharan Nombor 2’ menyokong rancangan Mubarak memberi sebahagian kuasanya kepada Suleiman selain berjanji memastikan Presiden dan timbalannya memenuhi janji mereka.

Kemarahan penunjuk perasaan kepada kenyataan tentera juga meletus di kota Suez dan bandar Tanta di Delta Nil dengan beribu-ribu penduduk menyertai perarakan anti-Mubarak.

Harapan bahawa Mubarak akan meletak jawatan meningkat kelmarin selepas majlis tentera mengeluarkan ‘Perisytiharan Nombor 1’ menyatakan ia campur tangan untuk menyelamatkan negara dan seorang panglima kanan memberitahu penunjuk perasaan bahawa semua tuntutan mereka akan dipenuhi.

Tetapi, beribu-ribu penunjuk perasaan kembali marah selepas dikejutkan dengan ucapan Mubarak mengatakan beliau tidak akan meletak jawatan, beberapa jam kemudian. – AP

Mubarak tumbang





2011/02/12

PENUNJUK perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah menunjuk kasut kerana marah Mubarak enggan letak jawatan, semalam.
PENUNJUK perasaan di Dataran Tahrir, Kaherah menunjuk kasut kerana marah Mubarak enggan letak jawatan, semalam.
Akur kehendak rakyat lepaskan jawatan; Tentera ambil alih pentadbiran kerajaan; Bekas Presiden lari ke Sharm el-Sheikh bersama keluarga

KAHERAH: Selepas 18 hari tunjuk perasaan besar-besaran rakyat menuntut Presiden Mesir, Hosni Mubarak berundur, beliau akhirnya akur dan melepaskan jawatannya, malam tadi.

Beliau menyerahkan urusan negara ke tangan tentera selepas melarikan diri bersama keluarga ke Sharm el-Sheikh ketika protes rakyat memuncak selepas solat Jumaat semalam dengan sejuta penduduk melakukan bantahan di depan istana presiden dan jabatan kerajaan.
Pengumuman yang dibuat oleh Naib Presiden, Omar Suleiman di televisyen secara langsung disambut dengan gegak-gempita suara dan laungan gembira penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan seluruh Mesir.
Penunjuk perasaan mengibarkan bendera, bersorak dan berpelukan selain ada yang menitiskan air mata di Dataran Tahrir serta melaungkan ‘Allahu Akbar’ sebaik mendengar pengumuman itu.

Ramai juga yang melaungkan ‘rakyat menumbangkan rejim (Mubarak).’

Pengumuman itu menyusuli laporan bahawa Setiausaha Agung Parti Demokratik Kebangsaan (NDP), Hossam Badrawi, meletakkan jawatan selepas hanya enam hari memegang jawatan itu.

Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Pertahanan, Mohamed Hussein Tantawi mengetuai Majlis Tertinggi Tentera yang mengambil alih pentadbiran Mesir selepas peletakan jawatan Mubarak.
Terdahulu, stesen televisyen Al Arabiya melaporkan Mubarak dan keluarga meninggalkan Kaherah menaiki pesawat di pangkalan tentera di pinggir ibu negara untuk menuju ke Sharm el-Sheikh.

Ribuan penunjuk perasaan memenuhi Medan Tahrir selepas solat Jumaat semalam dalam perhimpunan terbesar sejak tunjuk perasaan tercetus di negara itu.

Berita Harian dimaklumkan tunjuk perasaan turut diadakan di Iskandariah, Mansurah, Damanhur, Suez, Dumyat, Mahala, Tanta, Ismailia dan Kafr Sheikh.

Yaumul Rahil pada Jumaat kedua yang diadakan untuk menuntut Mubarak meletak jawatan itu, diadakan selepas pemimpin Mesir selama 30 tahun terbabit menegaskan untuk tidak berundur, sebaliknya hanya menyerahkan kuasa kepada Sulaiman.

Ekoran itu, penunjuk perasaan yang berhimpun sejak awal pagi semalam, mengadakan tunjuk perasaan dengan mendesak kedua-dua Mubarak dan Omar meletakkan jawatan.

Malah, penunjuk perasaan juga berhimpun di depan Istana Ittihadiya dengan hanya kawat berduri memisahkan mereka dengan tentera yang mengawal Istana Presiden.

Sebelum ini, ribuan penunjuk perasaan yang marah keengganan Mubarak berundur mengangkat kasut masing-masing depan skrin besar sebagai tanda bantahan.

Mubarak letak jawatan


WARGA Mesir menunjukkan laporan muka depan akhbar Sabtu "Shorouk" bertulis 'Kemenangan rakyat. Kami mahu bina regim baru' ketika berarak meraikan peletakan jawatan Presiden Mesir, Hosni Mubarak di tengah bandar Kaherah, hari ini. - Foto AP

2011/02/12

KAHERAH: Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada pihak tentera, kata Naib Presiden, Omar Suleiman dalam kenyataan ringkas yang disiarkan menerusi televisyen.

“Mengambil kira keadaan sukar yang dihadapi negara, Presiden Mohammed Hosni Mubarak membuat keputusan untuk melepaskan jawatan presiden republik dan menugaskan Majlis Agung Angkatan Bersenjata untuk mentadbir hal ehwal negara,' kata Suleiman. - AFP"

Pindah zirafah guna rakit besar

Kosmo! Online -



EMPAT ekor zirafah dipindahkan dengan menaiki rakit besar di Tasik Baringo, Kenya baru-baru ini.


TASIK BARINGO, Kenya - Lapan ekor zirafah dipindahkan dari Tasik Baringo, Kenya ke habitat asal mereka iaitu Taman Pemuliharaan Ruko Game baru-baru ini dengan menaiki sebuah rakit besar, lapor sebuah akhbar semalam.
Taman pemuliharaan itu terdiri daripada kawasan seluas 7,689 hektar yang terletak di bahagian timur Tasik Baringo. Zirafah-zirafah itu kelihatan seperti itik di dalam air apabila lehernya yang panjang itu mengintai di sebalik kandang untuk melihat apa yang berlaku di sekelilingnya.
Ini merupakan kali pertama haiwan tersebut dipindahkan melalui jalan air dalam sejarah Kenya.
Dua buah bot yang membawa beberapa pakar pemuliharaan turut mengiringi rakit besar itu bagi memastikan ia bergerak dengan stabil. - Agensi

Chef wanita bogel di Hong Kong

Kosmo! Online -





HONG KONG - Seorang chef wanita, Flora Cheung (gambar) akan mengendalikan program masakan di televisyen dalam keadaan berbogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Flora yang berusia 26 tahun akan menjadi hos program yang disiarkan dalam rangkaian televisyen untuk orang dewasa.
"Ramai lelaki tidak mahu memasak tetapi saya mahu menjadikan mereka meminati bidang masakan," katanya kepada akhbar South China Morning Post.
Dalam program itu, jurukamera akan mengikuti Flora berjalan di pasar basah di Hong Kong.
Selepas dia membeli beberapa barang untuk dimasak, dia akan pergi ke dapur untuk memasak.
Wanita itu kemudian akan berbogel dengan hanya memakai apron lut sinar yang boleh menampakkan susuk tubuhnya.
Walaupun Flora bukannya seorang chef yang profesional, penerbit program itu, Jesse Au berkata, wanita tersebut akan mampu menarik minat ramai orang untuk menontonnya.
Setiap episod akan berlangsung dalam tempoh 30 minit. - Agensi

Bieber beli kondo RM5.2 juta

Kosmo! Online -



RUANG di dalam kondominium Justin Bieber di Los Angeles.


LOS ANGELES - Dalam usia baru mencecah 16 tahun, penyanyi terkenal, Justin Bieber dilaporkan telah membeli satu unit kondominium berharga AS$1.7 juta (RM5.2 juta) di Los Angeles, lapor lamanReal Estalker.com di Internet semalam.
Kondominium penyanyi pop itu dikatakan memiliki tiga buah bilik, terletak di kawasan Westwood, bersaiz 222.967 meter persegi dengan hiasan dalaman yang moden.
Keseluruhan kondominium itu dilengkapi jubin lantai berkilat, dinding berwarna putih dilengkapi perabot mewah dan cermin dari lantai hingga ke siling.
Kondominium itu turut menyediakan kemudahan lain seperti pusat kesihatan, tempat letak kenderaan dan bilik parti. - Agensi

Nenek dedah punca dia tumpaskan enam perompak




GAMBAR yang dirakamkan seorang jurugambar menunjukkan Ann Timson (dalam bulatan) memukul seorang perompak di depan sebuah kedai barang kemas di Norhampton, Britain pada Isnin lalu.


NORTHAMPTON - Seorang nenek di Britain, Ann Timson yang menumpaskan enam penjenayah yang mahu merompak sebuah kedai barang kemas dengan menggunakan beg tangannya, menafikan dia merupakan seorang wirawati, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Mungkin sesuatu yang bodoh buat saya kerana terlibat dalam kejadian itu tetapi seseorang perlu melakukan sesuatu," katanya selepas kejadian itu berlaku pada Isnin lalu.
Menurut jiran-jirannya, dia kerap memeriksan penduduk yang terdedah pada jenayah di kawasan perumahannya.
Dalam kejadian pada Isnin lalu, nenek berusia 71 tahun itu memukul kesemua penjenayah itu dengan beg tangannya apabila dia melihat mereka cuba melarikan barang kemas dari sebuah kedai di sini.
"Saya sedang berdiri dan berbual dengan seorang wanita apabila saya terdengar bunyi bising dan melihat enam lelaki menaiki beberapa skuter di seberang jalan.
"Mereka sedang memukul seorang lelaki dan saya cuba masuk campur untuk membantu lelaki itu. Apa yang merisaukan saya ialah orang ramai hanya berhenti untuk melihat tetapi tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan perbuatan tersebut.
"Apabila saya berada dekat dengan mereka baru saya sedar bahawa kejadian itu adalah satu rompakan dan saya bertambah marah kerana mereka (kumpulan perompak) fikir mereka bebas melakukan jenayah di tempat terbuka pada siang hari," katanya.
Menurutnya, dia kemudian memukul seorang perompak itu dengan menggunakan beg tangannya tetapi lelaki itu melarikan diri manakala rakan-rakannya cuba memecahkan cermin untuk mencuri barangan kemas.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku seterusnya tetapi saya terus menghayunkan beg saya. Saya memukul seorang perompak yang berada di atas skuter sehingga dia terjatuh. Dia mengangkat sebatang tukul besi untuk memukul saya, jadi, saya terus memukul sambil menjerit meminta pertolongan," jelas nenek itu.
Nasib warga emas itu baik, kerana orang ramai yang berada di sekitar kawasan itu datang untuk menolongnya.
Kejadian tersebut dirakamkan oleh seorang jurugambar yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Salah seorang perompak itu ditangkap oleh orang awam.
Selepas perompak itu disoal siasat, polis telah memberkas tiga lagi rakannya yang lain dan bakinya kini diburu pihak berkuasa. - Agensi! Online - Dunia

16 pegawai tentera sertai penunjuk perasaan

Kosmo! Online - Dunia: "
KAHERAH - Seorang pegawai tentera, Mejar Ahmed Ali Shouman memberitahu, 15 lagi pegawai tentera menyertai kumpulan penentang Hosni Mubarak yang mendesak beliau meletakkan jawatan.

'Perpaduan antara tentera dengan rakyat telah bermula,' kata Ahmed menerusi telefon.

Kelmarin, Ahmed memberitahu para penyokong di Dataran Tahrir, Kaherah bahawa beliau telah menyertai para penunjuk perasaan pro-Hosni.

'Kita-kira 15 pegawai telah menyertai revolusi rakyat,' katanya.

Menurutnya, pegawai tentera yang menyertai tunjuk perasaan itu terdiri daripada mereka yang berpangkat kapten sehingga leftenan. - Agensi"

Hosni Mubarak letak jawatan Presiden




SEJUMLAH besar penunjuk perasaan bersolat Jumaat di Dataran Tahrir di Kaherah semalam.


KAHERAH - CAIRO (AP) - Presiden Mesir, Hosni Mubarak meletakkan jawatan semalam selepas beliau meninggalkan Istana Presiden di sini.
Pengumuman beliau meletakkan jawatan diumumkan oleh Naib Presiden, Omar Suleiman menerusi televisyen semalam.
"Dalam situasi yang sukar ini, Presiden Hosni Mubarak memutuskan untuk meninggalkan kedudukannya sebagai presiden," kata Omar.
Omar turut mengumumkan bahawa satu majlis ketenteraan akan mengendalikan hal ehwal negara tersebut.
Hosni telah memerintah Mesir hampir 30 tahun. Sebelum ini, stesen televisyen Al-Arabiya semalam melaporkan Hosni Mubarak, 82, dan semua ahli keluarganya telah meninggalkan Istana Presiden di sini ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Presiden.
Hosni dan keluarganya itu menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah.
Menurut saksi-saksi, sekurang-kurangnya dua buah helikopter dilihat berlepas dari istana tersebut.
Stesen televisyen Al-Arabiya mengesahkan ketibaan keluarga tersebut di Sharm el-Sheikh.
Berita itu timbul ketika penunjuk perasaan bergerak ke istana tersebut yang terletak di kawasan pinggir bandar Kaherah, Heliopolis.
Pergerakan penunjuk perasaan itu dibuat pertama kali sejak tunjuk perasaan berlangsung pada 25 Januari lalu.
Penunjuk perasaan berkumpul di tepi kawat duri yang mengelilingi istana.

Penunjuk perasaan bersorak sebaik sahaja mengetahui Hosni Mubarak meletak jawatan sebagai Presiden Mesir di Kaherah semalam.


Sementara itu, kereta-kereta kebal dan tentera elit yang bertanggungjawab ke atas keselamatan presiden berkawal di sekeliling istana.
"Tentera Penjaga Republik mengawal Istana Presiden," jelas satu sumber pasukan bersenjata.
Hosni sering menghabiskan masa di Sharm el-Sheikh yang merupakan destinasi pelancongan terkenal di Laut Merah dan bertemu dengan tetamu-tetamunya di sana.
Kelmarin, para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir kecewa dan marah terhadap Hosni kerana beliau masih enggan meletakkan jawatan.
- Agensi! Online - Dunia

Ancaman musang ganas

Kosmo! Online - Negara: "
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK
shahrulanoor.ishak@kosmo.com.my

ABDUL HAMID menunjukkan musang yang ditangkap Perhilitan yang menjadi punca kematian lebih 20 ekor kucing peliharaan penduduk di Mentakab semalam.

TEMERLOH – Misteri kematian lebih 20 ekor kucing peliharaan dengan kesan gigitan di leher sejak dua minggu lalu di sekitar Taman Bukit Bendera, Mentakab dekat sini akhirnya terjawab.

Rupa-rupanya ia angkara sekawan musang yang ganas menyerang dan membunuh binatang peliharaan itu dan kejadian itu disaksikan sendiri oleh beberapa penduduk di kawasan itu baru-baru ini.

Seorang daripada mereka, Abdul Hamid Khan Ibrahim, 42, berkata, sekurang-kurangnya enam ekor musang dilihat menyerang seekor kucing sehingga menyebabkan kucing milik penduduk itu akhirnya mati.

“Hampir setiap hari, mesti ada kucing yang mati. Kadang-kadang lebih daripada tiga ekor kucing dijumpai mati di tepi jalan dengan kesan luka besar akibat gigitan di leher"

Ikan paus 4 tan metrik terdampar di pantai

Kosmo! Online - Negara: "

Kehadiran bangkai ikan paus menarik perhatian tiga kanak-kanak di pantai Pulau Sayak, Sungai Petani di Kedah semalam.

SUNGAI PETANI - Bangkai seekor ikan paus dipercayai daripada spesies Bryde seberat 4,000 kilogram (kg) ditemui terdampar di kawasan pantai Pulau Sayak, Kota Kuala Muda di sini semalam.

Penemuan bangkai ikan paus sepanjang kira-kira 12 meter itu menarik perhatian ratusan penduduk kampung yang ingin melihatnya dari jarak dekat.

Berdasarkan keadaannya yang mula reput dan berbau busuk, haiwan itu dipercayai telah mati lebih tiga hari lalu sebelum dihanyutkan ke kawasan pantai.

Jabatan Perikanan negeri percaya ikan paus itu adalah daripada spesies Bryde yang tergolong dalam spesies haiwan marin terancam di negara ini.

Pegawai jabatan berkenaan juga telah mengambil sampel darah ikan paus tersebut untuk dihantar ke Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) di Rantau Abang, Terengganu."