Pages

Sunday, January 13, 2013

Bakal pengantin disyarat buat akuan sumpah



 
New Delhi: Pasangan yang mahu mendaftarkan perkahwinan di barat daya New Delhi akan diminta membuat akuan bersumpah bahawa mereka tidak akan melakukan ujian mengenal pasti jantina anak di dalam kandungan, bermula bulan ini.

Inisiatif ini dikemukakan jawatankuasa penasihat daerah dalam usaha menghalang pengguguran janin perempuan.
Pada mesyuarat yang dipengerusikan timbalan pesuruhjaya Vikas Anand minggu lalu, jawatankuasa itu juga memutuskan untuk mewajibkan semua wanita hamil memberikan alamat dan salinan kad pengenalan ketika mendaftar di hospital bagi memastikan kelahiran direkodkan dengan tepat.

Nisbah tak seimbang

Setakat ini kawasan barat daya New Delhi mempunyai nisbah jantina paling rendah iaitu 836 perempuan berbanding 1,000 lelaki ketika bancian 2011 dijalankan.

Aktivis Pusat Penyelidikan Sosial (CSR) Ranjana Kumari, berkata realiti masyarakat sudah berubah dan ibu bapa perlu faham bahawa anak perempuan kini menanggung keluarga, berkerjaya dan diberi taraf sama di dalam keluarga.

“Jika mereka tidak diletakkan pada tempat yang betul, keganasan rumah tangga akan meningkat,” katanya. - Agensi

100 planet di Bima Sakti



 
Sebahagian planet yang terdapat di galaksi Bima Sakti.
Sebahagian planet yang terdapat di galaksi Bima Sakti.
Kajian saintis dedahkan keajaiban sistem solar

New York: Saintis berkata, anggaran mereka mengenai 100 bilion planet adalah konservatif kerana ia tidak mengambil kira planet yang mungkin mengorbit jauh atau planet yang mengelilingi bintang lain.
Menurut saintis, lima planet Kepler-32 yang dikesan oleh teleskop angkasa lepas Kepler, sama dengan saiz Bumi. Ia juga sama dengan planet lain yang ditemui sekitar bintang ‘M dwarfs.’

Ia mengelilingi amat hampir dengan bintang, tidak lebih dari satu pertiga jarak planet Utarid mengelilingi matahari, kata pakar astronomi di Caltech dan penulis bersama kajian, John Johnson.

Walaupun planet mempunyai persamaan saiz Bumi, sistem Kepler-32 berbeza dengan sistem solar. Bintang lebih sejuk berbanding matahari, cuma mempunyai lima peratus daripada kecerahan dan cuma separuh saiz.

“Ada sekurang-kurangnya 100 bilion planet di galaksi kita. Itu sukar dibayangkan,” katanya.

Johnson berkata, tajuk pilihan bagi penemuan itu adalah bagaimana peliknya sistem solar berbanding dengan majoriti sistem di galaksi.
Lokasi cecair

Namun, sistem bintang Kepler-32 mempunyai apa yang digelar zon penempatan, lokasi cecair mungkin wujud.

Dalam sistem Kepler-32, cuma planet paling luar berada dalam zon itu, tetapi Johnson berkata, ia menyerupai planet Neptun dan berkemungkinan tidak menyokong kehidupan.

Disebabkan orientasi itu, Kepler-32 memperlihatkan dirinya sebagai peluang besar mengkaji semua orbit planet yang terdapat dalam pesawat dan boleh dilihat kerana ia menghalang cahaya daripada bintang.

Perubahan kecil dalam cahaya membolehkan saintis menentukan ciri planet seperti saiz dan kelajuan orbit. - Agensi

Wanita Yaman tembak, racun suami



 
Wanita Yaman  memakai pakaian tradisi   untuk majlis perkahwinan.
Wanita Yaman memakai pakaian tradisi untuk majlis perkahwinan.
Keluarga bantu, rancang akibat masalah perkahwinan, cemburu

Sanaa: Sekurang-kurangnya 50 wanita di Yaman didapati bersalah membunuh suami mereka di beberapa wilayah tahun lalu, lapor Kementerian Dalam Negeri.
Pembunuhan berlaku di ibu negara selain wilayah Mahweet, Hajja dan Taiz, menurut data kementerian.
Mereka sepatutnya mengambil langkah dari segi undang-undang termasuk bercerai atau pulang menemui keluarga yang dapat membantu mereka dari segi psikologi” Dr Mujib Abdul Bari, Pakar psikiatri dan masalah saraf

Wanita terbabit dibantu oleh ahli keluarga sendiri. Motif pembunuhan termasuk perbezaan taraf, keganasan domestik, cemburu, wanita rasa rendah diri selain tekanan ekonomi.

Kebanyakan wanita yang melakukan pembunuhan dengan menembak, meracun atau memukul suami hingga mati.

Tetapi, apa yang sukar difahami ialah ramai orang asing masih mencari jodoh di Yaman meskipun begitu banyak keganasan domestik berlaku pada 2012.

Perangkaan Jabatan Kewarganegaraan dan Imigresen di Kementerian Dalam Negeri menunjukkan 746 orang asing diberi kebenaran berkahwin dengan wanita tempatan.
Pakar psikiatri dan masalah saraf, Dr Mujib Abdul Bari, memberitahu media di sini bahawa penderaan fizikal dan psikologi boleh mengubah seseorang dengan drastik.

Jika didera setiap hari, seorang wanita akan rasa kecewa dengan keadaannya dan mereka boleh lupa dengan identiti diri hingga membunuh pasangan, katanya.

Bunuh suami, dua anak

Katanya, jenayah paling diingati di Yaman berlaku pada 7 Ogos 2012 di sebuah perkampungan daerah Marib apabila seorang wanita berusia 40 tahun membunuh suami dan dua anak mereka selepas bergaduh.

Bari berkata, kerajaan Yaman tidak sepatutnya hanya menyiarkan perangkaan jenayah seperti itu saja tetapi juga melancarkan program kesedaran bagi membantu wanita negara berkenaan.

“Mereka sepatutnya mengambil langkah dari segi undang-undang termasuk bercerai atau pulang menemui keluarga yang dapat membantu mereka dari segi psikologi,” katanya lagi. - Agensi

Struktur terbesar alam semesta ditemui




KELOMPOK kuasar LQG yang merupakan struktur terbesar di cakerawala.


LONDON - Ahli-ahli astronomi menemui struktur terbesar di alam semesta yang terdiri daripada beberapa kuasar amat besar sehingga masa empat bilion tahun diperlukan untuk merentasinya pada kelajuan cahaya.
Penemuan yang dibuat oleh ahli-ahli akademik Universiti Lancashire Pusat, Britain itu disiarkan dalam jurnal Notices of the Royal Astronomical Society dan dilaporkan dalam laman web persatuan berkenaan kelmarin.
Kuasar merupakan objek paling terang dan bersinar di alam semesta dengan cahayanya terpancar dari pusat sejumlah galaksi sejak awal kewujudan cakerawala. Cahaya kuasar dapat dilihat dari jarak beberapa bilion tahun cahaya.
"Sejak tahun 1982 ahli-ahli sains mendapati kuasar cenderung terbentuk secara berkelompok sekali gus membentuk struktur besar yang terdiri daripada gugusan kuasar besar atau LQG," kata persatuan itu.
Menurutnya, gugusan kuasar yang baru ditemui itu memiliki dimensi 500 megaparsek dengan setiap megaparsek bersamaan jarak 3.3 juta tahun cahaya.
Berikutan LQG berbentuk memanjang, dimensi paling panjang gugusan kuasar itu berukuran 1,200 megaparsek atau empat bilion tahun cahaya.
Saiz tersebut adalah 1,600 kali ganda jarak dari Galaksi Bima Sakti ke galaksi paling hampir, Andromeda.
Bumi terkandung dalam Galaksi Bima Sakti. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Ho9uIlkG 
Hakcipta terpelihara