myMetro | 5 tahun penuh gemilang:
PENUH ISTIADAT...Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong (gambar kecil) diiringi seekor gajah dan ‘hulubalang’ menuju KLIA semalam.
SALAM PERPISAHAN...Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan Ahli Parlimen.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong ke-13 Tuanku Mizan Zainal Abidin berangkat pulang ke Terengganu semalam, meninggalkan tempoh lima tahun pemerintahan negara yang gilang-gemilang dan keprihatinan yang tinggi terhadap kesejahteraan negara dan rakyat.
Sepanjang lima tahun pemerintahan Seri Paduka, pelbagai pencapaian yang membanggakan dicatatkan melalui lawatan negara dan acara sukan yang bertaraf antarabangsa.
Seri Paduka telah mengadakan lawatan negara ke Indonesia, Korea Selatan, Qatar, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Arab Saudi, Chile, Uruguay, Vietnam, Thailand, Kuwait, China, Laos, Kemboja dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Terakhir Seri Paduka berangkat ke Benua Antartika, yang mencatat sejarah tersendiri kunjungan seorang raja ke benua paling sejuk itu.
Pelbagai lawatan negara itu telah memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin bukan saja dari segi sosial, ekonomi dan politik, tetapi juga kebudayaan.
Seri Paduka juga berkenan menerima kunjungan hormat pelbagai pemimpin dunia.
Keprihatinan Tuanku Mizan menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-13 itu menangani beberapa isu, termasuk demonstrasi jalanan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendesak campur tangan Seri Paduka dalam isu pilihan raya.
Serentak ancaman demonstrasi besar-besaran itu, Seri Paduka bertitah supaya dalam keghairahan segelintir rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi, hendaklah dipastikan bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.
Seri Paduka turut bertitah, tidak mahu melihat masyarakat majmuk negara ini yang hidup aman damai sejak sekian lama, tiba-tiba berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan sekali pun.
Atas kedudukan Seri Paduka sebagai Ketua Agama pula, Tuanku Mizan sentiasa memberi perhatian berat atas perkembangan Islam dan menyeru ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.
Diputerakan pada 22 Januari 1962, di Kuala Terengganu, Tuanku Mizan mendirikan rumahtangga dengan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dan dikurniakan empat cahaya mata, iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra.
Tuanku Mizan dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 oleh Raja-Raja Melayu pada mesyuarat khas Majlis Raja-Raja ke-208 di Istana Negara pada 3 November 2006.
Pemilihan baginda adalah bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail yang tamat tempoh lima tahun baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12 pada 12 Disember 2006.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan raja-raja Melayu untuk tempoh lima tahun. Sistem ini merupakan satu-satunya sistem seumpama itu yang diamalkan di dunia.
Tuanku Mizan juga dekat di hati rakyat bukan saja melalui acara kenegaraan, tetapi juga sikap terpuji Seri Paduka yang sering mendekati rakyat termasuk menunaikan solat Jumaat di banyak masjid, terutama sekitar ibu negara yang membolehkan rakyat beramah mesra dengan Seri Paduka.
Dalam acara sukan, Tuanku Mizan amat menggemari sukan berkuda dan pernah menyertai beberapa siri Kejohanan Kuda Lasak bertaraf antarabangsa dan juga mengemari sukan golf, tenis, menyelam ‘scuba’ dan bola sepak.
Baginda juga pernah ke Munich, Jerman bagi menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar.
Tuanku Mizan yang juga Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang pertama, dimasyhurkan sebagai Sultan Terengganu ke-16 pada 15 Mei 1998 selepas kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Mahmud.
Tuanku Mizan yang dikenali sebagai seorang Raja Berjiwa Rakyat bukan saja untuk negeri kelahiran Seri Paduka, tetapi juga untuk seluruh rakyat Malaysia, pada 13 Disember ini menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.
Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, yang menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, kini menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14. Menjunjung kasih, Tuanku. - Bernama