Pages

Tuesday, May 27, 2014

Prayuth dapat restu Raja Bhumibol


PRAYUTH (tengah) pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Tentera Diraja Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK - Pemimpin junta tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mengisytiharkan beliau mendapat perkenan Raja Bhumibol Adulyadej untuk memerintah Thailand.
Justeru, beliau memberi amaran akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kedudukannya.
Prayuth berkata, pilihan raya akan diadakan secepat mungkin tetapi beliau tidak menetapkan tempoh masa untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada 67 juta rakyat Thailand selepas merampas kuasa Khamis lalu.
"Junta tentera akan bertindak tegas bagi mengelakkan berulangnya protes dan keganasan politik yang telah berlarutan selama beberapa bulan," kata Prayuth.
Beliau mendesak para penunjuk perasaan menghentikan perhimpunan yang boleh membahayakan diri dan keluarga mereka kerana undang-undang tentera yang kini berkuat kuasa amat ketat.
Prayuth menyekat kebebasan awam dan media, melaksanakan perintah berkurung pada waktu malam dan memansuhkan sebahagian besar perlembagaan negara.
Beliau turut mengambil alih kuasa untuk menggubal undang-undang.
Dalam pada itu, junta tentera telah menahan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra bersama kira-kira 200 pemimpin kerajaan, tokoh politik, pengkritik dan ahli akademik susulan rampasan kuasa tersebut.
Seorang komander tentera semalam menyatakan bahawa Yingluck masih berada di bawah tahanan tentera tetapi enggan mendedahkan lokasinya.
"Kami menjaganya (Yingluck). Beliau sihat. Beliau boleh memilih untuk tinggal di mana sahaja (di Thailand)," kata komander tersebut, Leftenan Jeneral Thirachai Nakwanich.
Sebelum ini Prayuth melantik diri sendiri sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Rampasan kuasa kali ini berlaku selepas Yingluck dipecat oleh mahkamah negara ini pada pertengahan bulan ini kerana menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz32rl4qMSu 
Hakcipta terpelihara 

China larang kenderaan lama guna jalan raya



SEJUMLAH kenderaan menyeberangi Jambatan Guomao dalam cuaca berjerebu akibat pencemaran udara yang teruk di Beijing pada 29 Januari tahun lalu.


BEIJING - China merancang melarang lebih lima juta kenderaan lama daripada berada di jalan-jalan raya di seluruh negara itu tahun ini, kata pemerintah semalam.
Menurut pemerintah, larangan itu turut melibatkan 330,000 buah kereta di ibu kota China di sini.
Dasar baharu tersebut bertujuan untuk mengurangkan pencemaran udara, air dan tanah di negara itu yang semakin buruk.
Menurut dokumen mengenainya semalam, sebanyak 5.33 juta kenderaan 'label kuning' termasuk 330,000 buah kereta di sini dan 660,000 kereta di sekitar wilayah Hubei akan 'dimusnahkan' ekoran gagal memenuhi standard bahan api China.
Beberapa badan pemerhati alam sekitar tempatan berkata, asap kenderaan menyumbang sebanyak 31 peratus bilangan partikel berbahaya, PM2.5 yang mencemari udara di kota raya ini, manakala 22.4 peratus lagi berpunca daripada pembakaran arang batu.
Beijing merancang mengehadkan bilangan keseluruhan kereta di jalan-jalan raya di sini kepada 5.6 juta buah pada tahun ini dan cuma enam juta buah menjelang 2017.
- Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz32rkSo2TD 
Hakcipta terpelihara 

Rakyat Mesir mengundi pilih Presiden baharu


SEORANG lelaki mencium pipi bekas Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang membuang undi di sebuah pusat pengundian di Kaherah semalam.


KAHERAH - Berjuta-juta rakyat Mesir mula mengundi semalam untuk memilih Presiden baharu negara itu dalam pilihan raya yang dijangka dimenangi oleh bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi.
Pilihan raya yang berlangsung selama dua hari tersebut merupakan yang pertama sejak al-Sisi menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada 3 Julai tahun lalu.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin pimpinan Morsi tidak menyertai pilihan raya berkenaan dan beberapa kumpulan revolusi juga bimbang al-Sisi bakal menjadi diktator terbaharu Mesir.
Bagaimanapun, al-Sisi, 59, yang ditentang oleh seorang pemimpin berhaluan kiri, Hamdeen Sabbahi dijangka menang mudah dalam pilihan raya tersebut.
Seramai 53 juta pengundi mendaftar mula mengundi dalam pilihan raya tersebut yang bermula seawal pukul 6 pagi waktu tempatan.
"Seluruh dunia kini memerhati Mesir dan bagaimana kita menulis sejarah serta masa depan negara ini," kata al-Sisi selepas membuang undi di sebuah pusat pembuangan undi di sini semalam.
Jika memenangi pilihan raya Presiden, beliau akan menjadi Presiden terbaharu yang mempunyai latar belakang ketenteraan.
Pada 3 Julai tahun lalu, beliau mengetuai tentera untuk merampas kuasa ke atas Morsi yang merupakan orang awam pertama dipilih menerusi pilihan raya untuk menjadi ketua negara.
Morsi kini ditahan dan didakwa melakukan pengintipan dan menyebabkan keganasan berlaku di Mesir.
- AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz32rkAmxDC 
Hakcipta terpelihara 

Bela harimau di halaman rumah


JANICE Haley bermanja dengan dua ekor harimau Bengal peliharaannya di Florida, Amerika Syarikat. - AGENSI
FLORIDA 26 Mei - Penggemar haiwan biasanya memilih untuk mem­bela binatang peliharaan yang jinak.
Namun berbeza bagi seorang wanita dari Davenport, Florida, ke­rana dia memilih untuk memelihara dua ekor harimau Bengal dewasa di halaman rumahnya, malah turut memberi makan haiwan-haiwan itu dengan tangannya sendiri.
Bukan setakat itu, Janice Haley juga sering mengusap dan memeluk kucing besar tersebut yang mempunyai taring sepanjang 15 sentimeter dan berat 272 kilogram.
Seekor harimau berwarna putih peliharaannya juga akan tidur dan menghisap jari Haley.
Kehidupan Haley mula berubah 20 tahun lalu selepas dia mengambil kursus melatih harimau dan dua tahun selepas itu, dia menerima seekor anak harimau berusia dua bulan yang diberi nama Saber dan pada 2002, dia membeli seekor lagi harimau yang dinamakan Janda.
"Haiwan itu menganggap saya sebagai ibunya dan setakat yang saya tahu, mereka itu adalah anak-anak saya yang berkaki empat.
"Kami mempunyai satu ikatan yang amat istimewa. Kedua-dua harimau itu akan menggosok muka saya dan membiarkan saya mencium hidung mereka malah saya dan suami boleh memeluk dan membe­lai mereka," kata Haley sebagaimana lapor Mirror.co.uk.
Haley berkata, dia dan suaminya, David akan membelanjakan pendapatan mereka untuk membeli makanan Saber dan Janda yang akan diberi makan sebanyak tiga kali sehari, malah sangkar yang menempatkan harimau tersebut akan dibersihkan beberapa kali dalam sehari.
"Dalam tempoh seminggu, kami perlu mengembara selama satu jam ke kawasan utara Florida bagi mendapatkan daging kuda untuk Janda sebelum ke selatan untuk mendapatkan daging lembu buat Saber," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_10/Bela-harimau-di-halaman-rumah#ixzz32rfXAiav
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Nasib lelaki didera


LONDON 26 Mei - Satu kajian yang dijalankan oleh badan amal ManKind Initiative bagi mempromosikan kempen #ViolenceIsVioence di laman sosial Twitter mendapati, faktor jantina pelaku memainkan peranan penting dalam mempengaruhi reaksi masyarakat terhadap kes keganasan rumah tangga.
Laman web Mail Online melaporkan, keputusan itu diperolehi selepas badan amal tersebut, melakukan kaji selidik dengan melakonkan kes keganasan rumah tangga di tempat awam melibatkan dua orang individu yang menyamar sebagai pasangan kekasih.
Dalam kaji selidik yang pertama, pelakon lelaki terbabit bertindak menyerang pelakon wanita berkenaan dengan melakukan perbuatan agresif terhadapnya.
Seperti dijangka, mereka yang menyaksikan kejadian itu segera memberi reaksi membantu wanita tersebut, dengan ada seorang wanita berkata: "Jika kamu tidak menghentikan kelakuan ini, kami tidak akan teragak-agak untuk menghubungi pihak polis".
Kaji selidik seterusnya dilakukan de­ngan menggunakan pelakon yang sama, namun pelakon wanita pula yang bertindak agresif terhadap pelakon lelaki.
Reaksi yang dipamerkan oleh masyarakat begitu mengejutkan, tiada seorang pun pergi untuk membantu lelaki tersebut, sebaliknya mereka lebih gemar memerhatikan dan ketawa melihat kejadian itu.
Video tersebut dibuat selepas penyanyi rap terkenal, Jay-Z ditum­buk dan ditendang oleh adik isterinya iaitu Solange Knowles di New York baru-baru ini.
ManKind Initiative yang berpusat di Taunton, Somerset, England, ditubuhkan untuk memberi sokong­an kepada kaum lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Kajian yang dijalankan oleh ManKind Initiative mendapati, 38 peratus mangsa keganasan rumah tangga adalah lelaki


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_09/Nasib-lelaki-didera#ixzz32rfGJALv
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sejarah pengenalan pesawat Air Force One


PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (kiri) mendengar taklimat daripada pembantunya dalam pesawat Air Force One. - AGENSI
KEDATANGAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke Malaysia pada bulan lalu, menarik perhatian penduduk negara dan dunia.
Bagaimanapun, di sebalik polisi-polisi yang dibincangkan dengan kedatangan Obama ke negara ini, perkara yang turut menjadi perhatian adalah kenderaan yang digunakan oleh pemimpin dunia nombor satu itu terutama pesawatnya.
Pesawat yang dikenali sebagai Air Force One itu merupakan kenderaan tentera udara yang akan membawa Presiden AS ke mana-mana majlis atau acara rasmi.
Air Force One turut menjadi perhatian dan terkenal selepas menjadi tajuk dan plot utama dalam beberapa filem Hollywood.
Idea menyediakan pesawat khas untuk pemimpin dunia nombor satu itu timbul berdasarkan faktor keselamatan jika terus menaiki pesawat komersial pada 1943 oleh Tentera Udara AS.
Pada awalnya, sebuah pesawat C-87 Liberator Express diubah suai untuk kegunaan Presiden AS, namun ditolak oleh Perkhidmatan Rahsia ekoran rekod keselamatan kenderaan itu dan digantikan dengan pesawat C-54 Skymaster dan dikenali sebagai Sacred Cow.
Pesawat itu mula digunakan oleh Presiden, Franklin D. Roosevelt dan kemudian oleh Presiden, Harry S. Truman.
Tanda nama Air Force One mula digunakan selepas kejadian pada 1953 apabila pesawat membawa Presiden, Dwight D. Eisenhower memasuki ruang udara sama dengan pesawat komersial menggunakan tanda panggilan yang serupa.
Beberapa jenis pesawat lain telah digunakan sebagai Air Force One sejak kewujudannya termasuk dua pesawat Beoeing 707 pada 1960-an dan 1970-an.
Sejak 1990, armada pesawat khas Presiden terdiri daripada dua Boeing VC-25A dan Boeing 747-200B yang telah diubah suai.
Tentera Udara AS kini merancang untuk menggantikan dua pesawat VC-25A itu dengan tiga pesawat baharu menjelang 2017.
Franklin D. Roosevelt merupakan Presiden AS yang pertama menaiki pesawat ketika masih menyandang jawatan itu.
Pesawat khas pertama untuk penerbangan Presiden adalah pesawat amfibia Douglas Dolphin yang direka oleh tentera laut AS pada 1933 dan berpangkalan di pangkalan tentera laut Anacostia.
Douglas Dolphin diubah suai untuk membawa empat penumpang dan mempunyai ruang tidur kecil.
Bagaimanapun berdasarkan sejarah AS, Theodore Roosevelt merupakan pemimpin AS yang mula-mula menaiki pesawat, namun selepas beliau tidak lagi bergelar Presiden kerana digantikan oleh William Howard Taft.
Beliau menaiki pesawat dikenali sebagai Wright Flyer dalam satu karnival di Kinloch Field berdekatan St. Louis, Missouri pada 11 Oktober 1910.
Walaupun merupakan satu penerbangan pendek dan Roosevelt bukan lagi menyandang jawatan Presiden AS ketika itu, peristiwa tersebut menjadi permulaan untuk penerbangan pemimpin utama negara berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140527/lu_08/Sejarah-pengenalan-pesawat-Air-Force-One#ixzz32reeZgNg
© Utusan Melayu (M) Bhd