Pages

Tuesday, August 27, 2013

20 tahun diperkosa bapa tiri, lahir 10 anak


Buenos Aires: Seorang lelaki dituduh mengurung dan merogol anak tirinya sepanjang 20 tahun lalu hingga mangsa melahirkan 10 anak.

Mangsa yang kini berusia 35 tahun memberitahu mahkamah di Santiago Del Estero, dia mula diperkosa bapa tirinya ketika berusia 14 tahun.


“Dia mula merogol saya ketika saya berusia 14 tahun. Saya membantunya di bengkelnya tetapi dia merogol saya. Saya melahirkan anak pertama pada usia itu juga,” kata mangsa.

Wanita itu juga memberitahu, dia sering dipukul sebelum dirogol. “Dia merogol saya tidak kira tempat. Di ladang, di bengkel, dalam semak,” katanya Lelaki berkenaan yang dinamakan mahkamah sebagai ‘Orang Tua’ ditangkap baru-baru ini.


Hakim Maria Rosa Falco mengarah kes itu disiasat, termasuk menjalankan ujian DNA bagi mengesahkan bapa kanak-kanak berkenaan.


Dalam keterangannya kepada mahkamah, mangsa turut memberitahu bahawa ibunya tahu segala-galanya mengenai kejadian itu.

“Saya menceritakan apa yang berlaku. Tetapi dia tidak bertindak. Dia takut dipukul oleh lelaki itu,” kata mangsa.


Ibu dan seorang adiknya turut hadir di mahkamah.

Menurut wanita itu, dua daripada anaknya mati dan dikebumikan berhampiran rumah mereka. - Agensi

Tandas jadi tempat tinggal


Shenyang: Berdepan dengan harga dan sewa rumah yang tinggi, sebuah keluarga menemui jalan aneh untuk mengatasi masalah kekurangan kediaman di sebuah daripada bandar raya terbesar China dengan mengubah suai tandas lelaki untuk dijadikan tempat tinggal.

Ketika Zeng Lingjun berpindah ke Shenyang untuk mencari pekerjaan, lelaki berusia 33 tahun itu mengambil keputusan, daripada mencari rumah di bandar raya berkenaan yang dia yakin tidak mampu membeli atau membayar sewanya, adalah lebih baik dia menyewa tandas hotel yang tidak digunakan.


Zeng yang bekerja sebagai tukang kasut berpindah ke tandas itu yang seluas 20 meter persegi pada 2006. Apabila berkahwin dengan Wang Zhixia pada 2010, isterinya juga berpindah ke situ. Begitu juga dengan anak mereka, Devi yang kini berusia dua tahun.

Meskipun ganjil, dengan tandas buang air kecil masih melekat di dinding, Zeng menyifatkan rumahnya itu sebagai ‘kecil tetapi lengkap’ dengan berkata, mereka sudah biasa dengan bau hancing dan busuk.


Dia begitu berpuas hati dengan keadaan rumahnya itu hingga menamakan anaknya ‘Devi’ yang bermakna memenuhi kepuasan seseorang.


Sebaik berpindah ke tandas itu, Zeng membuat pengubasuaian, memaku papan di atas satu daripada tandas untuk membuat katil yang menghadap sebuah televisyen kecil. Televisyen berkenaan diletakkan di atas meja antara dua tempat buang air kecil.

Foto
ZHENG anggap rumahnya ‘kecil tetapi lengkap.’

Foto
ZHENG, isteri dan anak mereka menonton televisyen yang terletak di tengah dua tempat buang air kecil.
Dua ruang lagi dijadikan tempat almari baju.


“Saya berpuas hati dengan apa yang saya ada sekarang. Hidup saya kini lebih baik jika hendak dibandingkan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara dengan Englishnews.cn.

Di luar ‘kamar tidur’ mereka, yang sebelum ini menempatkan sinki membasuh, dijadikan dapur dan bengkel Zeng.


“Ia tidak sesuai untuk memasak tetapi saya sudah biasa,” kata Wang, bekas tukang cuci.


Zeng membayar kira-kira 8,000 yuan (RM4,000) setahun untuk menyewa tandas itu daripada hotel berkenaan. Dia diberikan ruang percuma di depan bangunan, tempat dia bekerja mengilat kasut pelanggan.


Secara purata, dia memperoleh pendapatan kira-kira 2,000 yuan sebulan dengan mengilat dan membetulkan kasut, lebih separuh daripada gaji maksimum yang ditetapkan pihak berkuasa Shenyang. - Agensi

Cerut orang kanan Hitler dilelong


CERUT Hermann Goering dilelong pada harga RM6,695 di England.


LINCOLN - Beberapa batang cerut yang telah dibawa keluar dari rumah pemimpin kanan Parti Nazi, Hermann Goering pada akhir Perang Dunia Kedua dilelong pada harga £1,300 (RM6,695) di Britain, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Cerut yang ditempah khas untuk Goering itu telah di bawa keluar dari sebuah bilik bawah tanah rumahnya di Brandenburg di Jerman.
Seorang penjual persendirian kemudian mewarisi cerut tersebut dari saudara-maranya.
John Leatt yang merupakan pelelong daripada firma lelongan Golding Young and Mawer berkata, ia adalah barangan yang luar biasa dan masih belum disentuh.
"Cerut itu dibeli oleh pembida luar negara melalui internet dan harganya melebihi anggaran sebelum ini iaitu antara £800 hingga £1,200 (RM4,128-RM6,192)," katanya.
Menurut Leatt, pada kotak cerut tertera perkataan Sondernfertigung Reichsmarschall Hermann Goering, yang bermaksud 'Dibuat Khas Untuk Marsyal Hermann Goering'.
Tandatangan pemimpin kanan Hitler itu dan nama syarikat pembekal cerut tersebut, Gildemann Ltd turut dicetak di kotak berkenaan.
Goering membunuh diri pada malam sebelum dia dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 15 Oktober 1946 kerana melakukan jenayah kemanusiaan semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0827&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2d7EqNBVI 
Hakcipta terpelihara