Pages

Tuesday, July 12, 2011

Isyarat ketika nazak


REMUK...keadaan kereta mangsa selepas bertembung van dalam kemalangan di Kampung Tunjong, semalam. Gambar kecil, Junaidah Mohd Nor.
REMUK...keadaan kereta mangsa selepas bertembung van dalam kemalangan di Kampung Tunjong, semalam. Gambar kecil, Junaidah Mohd Nor.

KOTA BHARU: Kasih seorang ibu tiada tandingannya apabila seorang guru yang dalam keadaan tersepit dan nazak dalam sebuah kereta sempat menggunakan sisa kudrat yang ada bagi memberi isyarat kepada empat anaknya supaya keluar dari kereta, sebelum dia meninggal dunia dalam kemalangan, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, di Kampung Tunjong di sini, Junaidah Mohd Nor, 44, yang dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera bagi menghantar empat anaknya ke sekolah, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Seorang anak mangsa Natasha Juliana Mohd Nawi, 10, patah kaki dan tangan manakala tiga lagi, Nurul Julia Mohd Nawi, 17; Nabila Jasmi, 15 dan Nur Jaihan Afilin, 13, cedera ringan.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu bertembung dengan van yang gagal dikawal akibat cuba memotong kenderaan lain.

Sebelum bertembung dengan kereta mangsa, van itu berlanggar dengan sebuah Perodua Kancil dan dua motosikal. myMetro | Isyarat ketika nazak

Terjun tasik 10 meter


MALANG...anggota polis mengangkat mayat  Amirul Amrie  yang ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting.
MALANG...anggota polis mengangkat mayat Amirul Amrie yang ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting.

LANGKAWI: “Sejak sebulan lalu, arwah tidak pernah tinggal solat lima waktu. Malah, segera menunaikannya sebaik mendengar azan,” kata Suzana Mat Saad, 37, ibu kepada remaja lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU), Mohamad Amirul Amrie Ainsa, 13, yang ditemui lemas di Tasik Dayang Bunting, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa yang datang bersama enam ahli keluarganya dikatakan tiba-tiba terjun seorang diri ke dalam tasik sedalam kira-kira 10 meter itu sejurus tiba di situ sebelum hilang. Suzana berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu lumpuh kaki kanannya selepas terbabit kemalangan pada usia tujuh tahun. “Saya sedih sangat kerana baju raya tahun ini sudah siap dibeli dan dia juga sudah beberapa kali mencuba baju itu. Dia kata tidak sabar untuk memakainya pada pagi hari raya nanti,” katanya ketika ditemui di sini.

Abang mangsa, Mohamad Amirul Assuar, 17, berkata ketika kejadian dia baru meletakkan beg pakaian dan sedang berurusan menyewa jaket keselamatan daripada seorang operator di kaunter berdekatan untuk kegunaan ahli keluarganya.
“Dari jarak kira-kira 20 meter, saya lihat adik berjalan ke tepi ponton dan terjun ke dalam tasik seorang diri sebelum tenggelam dan hilang. Sejurus itu, suasana menjadi kecoh dan kelam-kabut.

“Tanpa berfikir panjang, saya berlari dan turut terjun ke dalam tasik itu untuk cuba menyelamatkan adik, malangnya tidak sempat memegang baju atau rambutnya,” katanya.

Mohamad Amirul Assuar berkata, kejadian yang berlaku pantas itu turut disaksikan beberapa pelancong asing yang kebetulan sedang mandi dan berenang dalam tasik berkenaan pada jarak 10 meter dari tempat adiknya terjun.
“Ekoran itu, seorang pelancong Eropah turut menyelam bersama saya ke dasar tasik bagi mencari mayat adik, namun usaha itu juga gagal kerana airnya dalam dan kami keletihan selepas beberapa minit menyelam.

“Selepas semua usaha berkenaan gagal, saya dan ahli keluarga mengambil keputusan menghubungi dan membuat aduan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi (IPD) dan bomba bagi meminta bantuan,” katanya.myMetro | Terjun tasik 10 meter

Padah kasih laki orang

KUALA LUMPUR: Akibat menjalin cinta terlarang dengan suami orang sejak Mac lalu akhirnya membawa padah kepada seorang kerani wanita berasal dari Pulau Pinang apabila mendakwa kerugian RM35,000 selepas ditipu lelaki berkenaan.
Mangsa berusia 25 tahun dan bekerja di Brickfields, di sini, mendakwa berkenalan dengan lelaki terbabit dikenali sebagai Izwan secara tidak sengaja ketika dia makan di sebuah restoran makanan segera berhampiran tempat kerjanya.

Menurutnya, dalam pertemuan awal dengan lelaki itu selama kira-kira 30 minit, Izwan yang berperwatakan menarik dan menepati ciri-ciri lelaki idamannya itu mengaku masih bujang, bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kawalan keselamatan dan tinggal bersama keluarganya di Bandar Tun Razak, Cheras.
“Sikapnya yang begitu baik menyebabkan saya begitu mempercayainya hinggakan kami pernah terlanjur dan merancang untuk bertunang hujung tahun ini. Keadaan itu menyebabkan saya tidak pernah menyesal menyulam cinta bersamanya,” katanya ketika ditemui, di sini. Katanya, satu hari ketika keluar membeli-belah, lelaki itu memberitahu kereta digunakannya milik abang iparnya dan abang iparnya meminta segera memulangkan kenderaan berkenaan.

“Dia memberitahu tidak mampu membeli kenderaan sendiri akibat mempunyai pinjaman kad kredit.

“Saya yang begitu mempercayainya menawarkan untuk membeli kereta baru menggunakan slip gaji saya dan dalam tempoh seminggu sudah memiliki Perodua Myvi baru,” katanya.
Bagaimanapun, seminggu kemudian, dia menerima kejutan apabila seorang wanita menelefonnya memperkenalkan diri sebagai isteri kepada Izwan dan sedang hamil.

“Wanita itu memberi amaran dan melarang saya meneruskan perhubungan dengan suaminya kerana tidak mahu bermadu selain memberi ingatan supaya tidak terlalu mempercayai suaminya yang disifatkan ‘buaya darat’.
“Pada mulanya, saya kurang percaya dengan tuduhan wanita berkenaan, sebaliknya meminta pengesahan sendiri daripada Izwan. Apabila diajukan soalan bertubi-tubi, Izwan akhirnya mengaku dengan statusnya sebagai suami orang.

“Ketika itu, saya cukup kecewa tetapi apabila Izwan berjanji meminta keizinan isterinya untuk bermadu, saya hanya berdiam diri, malah tetap mempercayainya.

“Perhubungan kami terus berjalan lancar hingga bulan lalu, malah dia juga sudah memakaikan saya sebentuk cincin sebagai tanda di depan ahli keluarganya di Bandar Tun Razak tanpa kehadiran isterinya yang ketika itu dikatakan masih tidak boleh menerima saya,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak kisah membayar wang ansuran bulanan kereta yang dibeli itu dan pada 25 Jun lalu, Izwan memaklumkan, syarikatnya menghantarnya berkursus di Taiwan hingga 1 Julai lalu dan dijangka pulang ke Malaysia pada 2 Julai.

Bagaimanapun, katanya, sehingga 5 Julai lalu, Izwan masih gagal dikesan, malah telefon bimbitnya juga dimatikan.

“Curiga dengan tindakannya, saya kemudian nekad pergi ke rumah keluarganya di Bandar Tun Razak, namun hampa apabila lelaki yang memperkenalkan diri sebagai abangnya mengaku yang dia hanya diminta berlakon di depan saya.

“Berdasarkan maklumat lelaki berkenaan, Izwan kini dipercayai sudah melarikan diri ke utara tanah air manakala isterinya berada di kampung kerana bersalin,” katanya.

Lebih mengecewakan, lelaki berkenaan memaklumkan kereta dibeli menggunakan namanya sudah dijual tanpa pengetahuan.

“Malah, saya gagal mengesan di mana kenderaan itu disembunyikan.

“Berikutan itu, saya sudah membuat aduan di Balai Polis Travers semalam (kelmarin) selepas menyedari tertipu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.
myMetro | Padah kasih laki orang

Jambatan Pulau Pinang sesak kabel TNB terbakar



ANGGOTA bomba turun ke lokasi kabel TNB yang terbakar di Kilometer 7.4, Jambatan Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN - Ratusan kenderaan terkandas hampir dua jam di laluan masuk dan keluar di Jambatan Pulau Pinang dan sekitar bandar itu apabila kabel elektrik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di bawah jambatan itu terbakar petang semalam.

Jurucakap Penang Bridge Sdn. Bhd. (PBSB) berkata, kesesakan itu menjadi serius ekoran kejadian kebakaran kabel itu berlaku pada waktu puncak iaitu pada pukul 5.30 petang.

Bagaimanapun keadaan jalan beransur pulih pada 7 malam setelah kerja-kerja pembaikan kabel dan memadam kebakaran selesai dijalankan.

Kosmo! Online - Negara

Nenek ditumbuk, ditendang peragut


AZHAM (kiri) bertanyakan sesuatu kepada Rahimah yang cedera parah selepas diragut di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kegembiraan seorang wanita yang baru seminggu bergelar nenek untuk melawat anak dan cucunya bertukar malang apabila dia cedera parah selepas terjatuh ditendang peragut yang meragut beg tangannya ketika menunggang motosikal di Lundang di sini kelmarin.
Akibat kejadian itu, pembantu taman asuhan kanak-kanak (Taska), Che Rahimah Dollah, 44, yang dalam perjalanan ke rumah anaknya di Telipot patah tangan kanan, patah sebatang gigi, cedera di kepala dan terpaksa menerima 10 jahitan.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di Jalan Yahya Petra berhampiran Kompleks Balai Islam di Lundang, Che Rahimah telah diragut oleh dua lelaki menunggang motosikal yang telah mengekorinya.
Sebaik terjatuh dari motosikal, mangsa terus pengsan sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kubang Kerian dipercayai telah diekori dua lelaki bermotosikal selepas suspek melihat beg tangan mangsa diletakkan dalam raga motosikal.
“Semasa suspek cuba merampas beg tangan dalam raga, mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu.
“Geram dengan tindakan mangsa yang tidak mahu melepaskan beg tangan itu, suspek yang membonceng motosikal itu kemudian menumbuk mangsa sebelum menendang pula motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan pengsan,” kata beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat mangsa di HRPZ II petang semalam.
Kosmo! Online - Negara

Tidak pernah minum kopi


Saad (tengah) diraikan sanak saudara di rumahnya di Kampung Paya Guring, Pauh, Arau, Perlis semalam.


ARAU - Seorang warga emas di sini yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 bukan sahaja masih kuat bekerja malah mampu berjalan kaki sejauh lima kilometer sehari mengalahkan orang muda.
Saad Jasin memiliki rahsia tersendiri untuk kekal sihat walaupun usia sudah lanjut iaitu dia tidak mengambil makanan bergoreng dan tidak minum kopi.
Kelmarin insan istimewa itu diraikan oleh anggota keluarganya seramai 76 orang di rumahnya di Kampung Paya Guring dekat sini.
Majlis berlangsung cukup meriah termasuk acara memotong kek dan pulut kuning oleh insan berkenaan.
"Saya tidak pernah makan makanan bergoreng dan minum kopi kerana ia melemahkan anggota badan dan tulang.
"Saya hanya makan nasi berlauk dan minum air kosong dan teh sahaja setiap hari.
"Bagi mengelak badan jadi bongkok, saya bangun pagi dengan duduk perlahan-lahan sebelum berjalan.
"Elak bangun dengan keadaan tergesa-gesa yang boleh mengejutkan tulang kita," katanya pada pemberita di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

50 mangsa bot karam Rusia ditemui


SEORANG penyelam menyelamatkan seorang mangsa bot karam di Sungai Volga, Rusia semalam


KAMSKOYE USTYE, Rusia - Pasukan penyelamat Rusia semalam menemui kira-kira 50 mayat dari sebuah bot yang sarat dengan penumpang dan karam di Sungai Volga berikutan ribut besar.
Bot itu dikatakan dinaiki oleh 208 orang penumpang. Cuma 80 orang berjaya diselamatkan sebaik sahaja kemalangan itu berlaku. Pencarian sehari suntuk semalam melibatkan berpuluh-puluh orang penyelam yang menaiki kapal sokongan dan helikopter bagaimanapun gagal menjumpai mangsa yang terselamat.
Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung dan menuntut rebiu menyeluruh mengenai sistem pengangkutan Rusia.
"Berdasarkan kepada maklumat yang diterima, bot itu berada dalam keadaan kurang memuaskan. Kami boleh katakan bahawa kemalangan ini tidak akan berlaku sekiranya aspek-aspek keselamatan dipatuhi," tegas Medvedev.
Dibina pada tahun 1955, bot yang diberi nama Bulgarian itu berusia hampir 60 tahun. Walaupun agak sukar diterima, namun ia menjadi pengangkutan biasa di sungai Rusia. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

Gimnas cacat mampu buat aksi akrobatik




STARR mahu kesungguhannya menjadi inspirasi kepada orang lain.


MINNESOTA, Amerika Syarikat (AS) - Seorang ahli gimnastik membuktikan dia masih boleh melakukan aksi akrobatik meskipun hanya mempunyai sebelah kaki.
Adam Starr, kehilangan kaki hingga ke paras lutut akibat kanser pada 2009, memuat naik video dia sedang melakukan aksi lompat kuang ke laman perkongsian video, YouTube yang bertajuk Adam's First Time Back At The Gym.
Lelaki berusia 21 tahun itu merakam aksi berkenaan ketika berada di kelab Gymnastik Northfield, Minnesota. Ini sekali gus membuktikan tiada halangan untuknya melakukan aksi yang pernah dilakukan sebelum dia kehilangan kaki kanannya.
"Saya berharap dapat memberi inspirasi kepada mereka yang turut kehilangan kaki seperti saya," katanya kepada MailOnline.
Adam berkecimpung dalam dunia gimnastik sejak berumur 11 tahun. Namun ini adalah pertama kali dia membuat lompatan balik kuang sejak kakinya dipotong.
"Perkara paling susah ialah ketika mendarat. Ia memerlukan keseimbangan," katanya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Jurujual kereta pecah rekod perjalanan udara




STUKER sering mendapat keistimewaan untuk terbang dengan penerbangan kelas pertama.


LOS ANGELES - Seorang jurujual kereta yang merupakan pengguna setia syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mencatat perjalanan udara sejauh 16 juta kilometer.
Thomas Stuker yang berasal dari Chicago menaiki pesawat hampir 6,000 kali selama 29 tahun untuk urusan jual beli kereta. Jarak yang dilaluinya juga dikatakan bersamaan dengan mengelilingi bumi sebanyak 400 kali.
Berikutan rekod itu, Stuker diibaratkan seperti Ryan Bingham, watak yang dilakonkan oleh George Clonney dalam filem Up In The Air pada tahun 2010.
"Saya mengambil masa selama 20 tahun untuk mendapatkan jarak sejauh 8.04 juta kilometer (km) pertama, sebelum menggandakan penerbangan bagi mendapatkan 16.09km dalam tempoh 10 tahun," katanya kepada ABC News.
Dia menghabiskan lebih banyak masanya di dalam pesawat berbanding berada di dalam kereta kerana menguruskan urusan jual-beli kereta di AS dan di seluruh dunia.
Kesetiaannya dan jumlah jarak penerbangan itu membolehkan dia memiliki akses ke lounge istimewa di hub syarikat penerbangan United di Chicago dan penerbangan kelas pertama. Malah, sebuah kapal terbang dinamakan sempena namanya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Edisi terakhir News of the World dibida pada harga RM141 senaskhah


SEORANG lelaki membaca naskhah akhir akhbar yang sudah berada di pasaran selama 168 tahun itu.


LONDON - Edisi terakhir tabloid nombor satu Britain, News of the World kelmarin dijual di laman lelongan ebay pada harga mencecah AS$47 (RM141) senaskhah, lapor sebuah akhbar semalam.
Edisi terakhir News of the World itu menjadi rebutan di laman web berkenaan selepas akhbar itu habis dijual dalam tempoh cuma beberapa jam berada di pasaran.
Lebih empat juta naskhah akhbar itu habis dijual kelmarin, sekali gus menjadikannya jualan akhbar paling laris di Britain dalam tempoh satu dekad.
Akhbar berkenaan yang dimiliki oleh taikun media Amerika Syarikat (AS), Rupert Murdoch ditutup bermula semalam kerana dikaitkan dengan skandal pengintipan perbualan telefon melibatkan lebih 4,000 mangsa.
"Orang ramai berebut untuk membeli edisi terakhir News of The World sebaik sahaja kedai dibuka," kata seorang peniaga tempatan yang memberitahu akhbar tersebut habis dijual seawal pukul 8 pagi.
Akhbar yang ditutup oleh pemiliknya, News International itu mengetengahkan tajuk: Thank You & Goodbye.- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Barat sekat dana tekan Palestin


RAMALLAH, Tebing Barat - Usaha unilateral Palestin untuk merdeka yang ditentang oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) berdepan halangan kewangan yang akan membebankan penduduk di wilayah berkenaan.

Situasi tersebut terjadi berikutan Barat yang diketuai AS, mungkin akan menyekat dana kewangan kepada Palestin sekiranya pemimpin mereka membawa pelan untuk mewujudkan sebuah negara Palestin merdeka ke persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan.

Sehingga kini, pentadbiran Palestin terutama di Tebing Barat yang ditakluki Israel, banyak bergantung kepada bantuan kewangan daripada Eropah, AS dan beberapa sekutu Arab untuk menguruskan wilayah mereka.

Namun sebahagian dana untuk bulan ini masih belum diterima. Seorang pegawai kanan Palestin menyatakan, perkembangan tersebut berpunca daripada keputusan pemimpin Palestin mahu membawa isu kemerdekaan wilayah itu ke Perhimpunan Agung PBB.

"Ia merupakan tekanan Barat supaya kami menukar pendirian," kata pembantu kanan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah.

Menurutnya, kakitangan Pihak Berkuasa Palestin Tebing Barat cuma menerima separuh gaji untuk bulan ini susulan tekanan Barat itu.

Majlis Keselamatan PBB dijadualkan bersidang pada 26 Julai ini untuk membincangkan sama ada Palestin akan dibenarkan menganggotai PBB.

Namun, rancangan kemerdekaan itu ditentang oleh AS yang mahu kemerdekaan Palestin dipersetujui terlebih dahulu oleh Israel. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia

Nahas kereta api ragut 80 nyawa


Reuters SEKUMPULAN pekerja penyelamat semalam mengeluarkan mayat mangsa dari keretapi penumpang yang tergelincir berhampiran bandar Fatehpur, negeri Uttar Pradesh.


FATEHPUR, India - Sebanyak 80 nyawa melayang, manakala lebih 350 lagi cedera semalam dalam kemalangan kereta api antara yang paling dahsyat di India.
Nahas berlaku kelmarin berdekatan bandar ini, negeri Uttar Pradesh di utara India selepas kereta api Kalka Mail yang menuju ke New Delhi, berhenti secara mengejut menyebabkan lebih 12 buah gerabak tergelincir, terbalik dan menindih antara satu sama lain.
Setakat semalam, pasukan penyelamat dan pihak tentera masih bergelut untuk mencari dan mengeluarkan mayat-mayat mangsa di sebalik timbunan gerabak.
"Ini merupakan antara kemalangan kereta api paling buruk di India," kata ketua pegawai perhubungan awam syarikat kereta api North Central Railway sambil menambah, satu siasatan akan dilakukan untuk mengenal pasti punca nahas.
Menurutnya, antara yang terkorban termasuk dua rakyat Sweden.
Rangkaian kereta api India yang dimonopoli kerajaan merupakan sistem pengangkutan utama kepada 1.2 bilion penduduk negara itu. Dianggarkan 18 juta orang menggunakan perkhidmatan berkenaan pada setiap hari.
India memiliki rekod keselamatan perjalanan kereta api yang buruk dengan 336 orang terbunuh dalam nahas kereta api di antara April 2010 hingga Januari 2011. - Reuters
Kosmo! Online - Dunia