Pages

Friday, February 8, 2013

Kanak-kanak 9 tahun lahirkan anak


Baby crying
Zapopan (Mexico): Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dilapor melahirkan anak.

Pihak berkuasa Mexico berkata semalam, kanak-kanak itu melahirkan bayi perempuan seberat 2.6 kilogram pada 27 Januari lalu di Hospital Zoquipan, di negeri Jalisco, barat negara itu. Ibu kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Dafne memberitahu pihak berkuasa tempatan: “Anak saya sangat gemuk ketika hamil. Bapa bayi itu ialah remaja berusia 17 tahun, tetapi kami belum lagi bertemunya kerana dia melarikan diri.” Jorge Villasenor dari pejabat pendakwa raya berkata: “Kami masih memburu remaja lelaki itu untuk mendapatkan maklumat daripadanya kerana kanak-kanak perempuan terbabit tidak faham apa yang berlaku.


“Ini adalah kes pemerkosaan atau penderaan seks kanak-kanak,” katanya. Kanak-kanak itu dan anaknya yang dalam keadaan sihat keluar dari hospital hujung minggu lalu. - Agensi

Bayar RM600 supaya henti guna Facebook



Boston: Seorang bapa dari Wellesley, Massachusetts membayar anak perempuannya berusia 14 tahun sebanyak AS$200 (RM600) agar berhenti menggunakan Facebook selama lima bulan.

Paul Baier dilaporkan memutuskan untuk membayar anak perempuannya, Rachel agar berhenti menggunakan Facebook dan remaja terbabit diminta menandatangani kontrak itu.
Rachel menutup akaun Facebook dan memberitahu kata laluan miliknya kepada bapanya selepas menerima wang itu.

Ini bukan kali pertama seorang pegguna Facebook memutuskan untuk berehat panjang daripada menggunakan perkhidmatan itu.


Akhbar The Guardian melaporkan bahawa dua pertiga pengguna Facebook secara sukarela berehat kerana ‘khabar angin keterlaluan daripada kawan mereka’ dan ‘bimbang mengenai privasi’ masing-masing.


“Menurut kaji selidik terbaru diterbitkan Pusat Penyelidikan Pew AS, hanya empat peratus pengguna Facebook memilih hak privasi, dengan satu peratus mengatakan mereka tidak suka berkongsi kehidupan mereka di Facebook. Hanya dua peratus berkata, mereka memilih untuk berkomunikasi secara bersemuka,” lapor The Guardian. - Agensi

Mohon terus dipenjara untuk makan percuma



 
Banda Aceh: Sidang hakim di bandar ini kebingungan apabila seorang pesalah memohon dikenakan hukuman penjara lebih lama dengan alasan dapat makan percuma di dalam tahanan.

Pesalah yang hanya dikenali sebagai Supriyadi, 20, ditangkap dan ditahan di Lembaga Permasyarakatan (Lapas) sejak tiga bulan lalu, mendakwa dia berasa lebih seronok tinggal di penjara berbanding kehidupan bebas.
Dia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, tetapi tempoh itu dianggap amat singkat.

“Sebelum dipenjara saya sering berpindah-randah dan mendapat upah paling banyak Rp35,000 (RM11.20) seminggu. Di penjara makan diberi secara percuma,” katanya.

Tukang cuci pakaian

Supriyadi juga berkata, di penjara beliau mendapat pekerjaan sebagai tukang cuci pakaian tahanan lain dan menyimpan upahnya untuk menyara hidup.

“Saya mencuci pakaian tahanan lain dan diupah Rp1,000 (RM0.30) sepasang. Jika dibebaskan dari penjara, apa yang akan saya lakukan dan mahu tinggal di mana?” katanya.
Supriyadi ditahan kerana memecah masuk ke rumah jirannya akhir tahun lalu menerusi tingkap. Bagaimanapun jirannya yang sedang tidur tersedar dan berjaya menangkapnya sebelum beliau diserahkan ke balai polis.

Beliau dihukum lapan bulan penjara selepas didapati salah cuba mencuri.
Namun Supriyadi mahu hukumannya ditambah.

“Sebenarnya hidup di dalam penjara lebih seronok daripada hidup di luar,” katanya. - Agensi

Ahli sihir mati dibogel, dibakar




SEJUMLAH orang menyaksikan seorang wanita dibakar bersama timbunan sampah dan tayar di Mount Hagen, Papua New Guinea pada Rabu lalu.


SYDNEY - Seorang wanita muda, Kepari Leniata dibogelkan sebelum dibakar hidup-hidup di depan sejumlah orang di Papua New Guinea, menurut laporan semalam.
Wanita itu diikat dan didera sebelum tubuhnya dicurahkan minyak serta dibakar bersama timbunan sampah dan tayar pada Rabu lalu.
Menurut akhbar Post-Courier, wanita berkenaan dibakar kerana dia didakwa membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun menerusi ilmu hitam.
Kejadian itu berlaku di bandar Mount Hagen di pulau tersebut.
Sebuah jentera bomba datang ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, beberapa orang mengejar jentera tersebut yang kemudian meninggalkan tempat kejadian.
Wanita itu mati di tempat kejadian.
Menurut laporan, wanita berkenaan mengaku membunuh budak itu yang mati selepas dimasukkan ke sebuah hospital dengan sakit di bahagian perut dan dada pada Selasa lalu.
Menurut polis, pihaknya melakukan persediaan untuk mendakwa orang yang bertanggungjawab membakar wanita berkenaan.
Polis berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai pembunuhan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2KG7jqruf 
Hakcipta terpelihara