Pages

Sunday, July 28, 2013

70 penyokong Mursi ditembak mati

Foto
Foto
PENYOKONG yang cedera diberikan rawatan oleh petugas perubatan Ikhwan.
Foto
SEORANG lelaki yang cedera dibawa dengan motosikal untuk mendapatkan rawatan.
Foto
PENYOKONG Mursi bertempiaran lari apabila anggota polis melepaskan tembakan dengan dibantu penentang bekas pemimpin itu yang melontar batu di timur Kaherah, semalam.
Kaherah: Pasukan keselamatan Mesir semalam menembak mati sekurang-kurangnya 70 orang penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi awal semalam, sekali gus memburukkan lagi kekacauan yang mencengkam Mesir sejak beberapa minggu lalu.

Rangkaian televisyen Al Jazeera melaporkan 120 orang mati dan 4,500 cedera dalam serangan ke atas penyokong Ikhwan yang berkumpul berhampiran sebuah masjid di Kaherah.


Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tentera mula menembak sebelum solat Subuh.

“Mereka menembak bukan untuk mencederakan, tetapi sengaja untuk membunuh. Kepala dan dada menjadi sasaran,” katanya.


Seorang wartawan berkata, dia melihat 20 mayat di selimut kain putih yang berlumuran darah di kawasan lapang yang dijadikan pusat rawatan sementara oleh anggota Ikhwan di Masjid Rabaa al-Adawiya, sebuah masjid di timur laut Kaherah.


Mangsa lain dibawa ke hospital berlainan.



Penyokong dan penentang Mursi mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara semalam, menghimpunkan ratusan ribu di jalan raya serta memburukkan lagi perpecahan di kalangan rakyat negara paling ramai penduduk itu.


Lebih 200 orang terbunuh dalam keganasan yang meletus sejak penggulingan Mursi, termasuk sembilan kelmarin, kebanyakannya penyokong Ikhwan.



Ketua Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang memainkan peranan utama menggulingkan Mursi selepas tunjuk perasaan menentang pemerintahannya, menggesa rakyat Mesir mengadakan perhimpunan untuk memberikannya mandat bagi menangani keganasan.


Ratusan ribu menyahut gesaannya, tetapi penyokong Ikhwan tetap dengan tunjuk perasaan mereka, menuntut pelantikan semula Mursi yang semalam menghadapi tuduhan jenayah, termasuk membunuh.


Gehad berkata, polis mula menembak gas pemedih mata selepas jam 3 pagi (6 pagi waktu Malaysia), menyasarkan penunjuk perasaan.


“Ketika asap menyelubungi kawasan itu, peluru pula mula terbang,” katanya.


Beliau berkata, selain polis beruniform serba hitam, tembakan juga dilepaskan daripada anggota bersenjata yang menguasai bumbung bangunan di universiti kawasan berkenaan dan sebuah jambatan berhampiran.


Agensi berita rasmi Mesir yang anti-Mursi memetik sumber keselamatan sebagai berkata, hanya gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Tidak ada senjata digunakan.


Gehad berkata, penyokong Mursi terpaksa mengguna batu untuk mempertahan diri mereka. Di atas pentas masjid Rabaa, seorang penceramah menggesa orang ramai berundur selepas polis melepaskan tembakan. Bagaimanapun, penyokong lelaki enggan berundur kerana melindungi wanita dan kanak-kanak yang berada di dalam masjid itu.


Ini kali kedua pembunuhan beramai-ramai dilakukan polis dan tentera Mesir terhadap penyokong Mursi. Pada 8 Julai lalu, 53 orang mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai selepas solat Subuh berhampiran perkarangan pejabat tentera di Kaherah.


“Kejadian hari ini (semalam) lebih ganas. Tembakan dilepaskan secara rambang,” kata Gehad. - Agensi

Penggodam komputer terkenal meninggal dunia



BARNABY JACK


BOSTON - Seorang penggodam komputer terkenal yang berjaya membuatkan mesin pengeluaran wang ATM mengeluarkan wang tunai, Barnaby Jack ditemui mati di sebuah pangsapuri di San Francisco seminggu sebelum dia dijadual menyampaikan ceramah pada satu persidangan penggodaman komputer.
Pejabat Pemeriksaan Perubatan San Francisco menyatakan pihaknya sedang menjalankan autopsi untuk mengenal pasti punca kematian Jack.
Jack, 35, yang dilahirkan di New Zealand merupakan penggodam 'white hat' paling popular. Penggodam 'white hat' ialah mereka yang menggunakan kepakaran untuk mencari kelemahan sistem keselamatan komputer sebelum penjenayah mengekspoitasinya.
Kepakaran Jack adalah mencari kelemahan sistem komputer yang dipasang pada peralatan perubatan dan mesin pengeluaran wang tunai.
Jack dijadual membuat demonstrasi menggodam alat perentak dan defibrilator jantung pada persidangan penggodam Black Hat di Last Vegas Khamis depan.
Dia menjadi penggodam paling popular di dunia selepas melakukan demonstrasi Jackpotting pada tahun 2010 yang membuatkan mesin wang ATM mengeluarkan wang tunai. Klip video persembahannya telah ditonton sebanyak 2.6 juta kali di laman YouTube. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2aIgKHwaz 
Hakcipta terpelihara