Pages

Saturday, January 15, 2011

Warga Asing Hargai Seni Warisan Melayu



15/01/2011 20:55:02
Disebalik kerancakan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi, RLIR 2011, terselit perasaan bangga apabila ada warga asing yang menghargai seni warisan Melayu.

Itulah obses Christoph Swoboda dari Jerman, pemilik kapal layar pertama di dunia seratus peratus buatan Malaysia, dikenali sebagai Naga Pelangi Dua.

Bernilai RM2 juta kapal jenis perahu Pinas itu unik, dibuat tanpa menggunakan paku.

Berukuran 29 meter panjang dan 6.8 meter lebar Naga Pelangi Dua mengambil masa hampir enam tahun apabila mula dibina pada 2003 di Pulau Duyong, Terengganu.

Meskipun menggunakan layar ia turut dilengkapi enjin Volvo dengan 250 kuasa kuda.

Naga Pelangi Dua mempunyai empat bilik untuk anak kapal dan boleh memuatkan sehingga 30 penumpang.

Sebagai pencinta sukan perahu layar dan pembuat bot sejak berusia 13 tahun, kehalusan seni pertukangan di Malaysia membuat Christoph Swoboda,dari Jerman tertarik dan obses dengan perahu jenis Pinas.

Swoboda 57 tahun, berharap industri warisan Melayu itu, tidak luput ditelan zaman.

Dan kini Naga Pelangi Dua menawarkan kemudahan untuk disewa kepada pelancong yang ingin merasai pengalaman berlayar.

Melancong ke angkasa lepas 2013

MOSCOW 14 Jan. - Rusia akan mula menjual tiket perjalanan bernilai berjuta-juta dolar ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) pada 2013, selepas rancangan itu tertangguh selama empat tahun, lapor firma yang menganjurkan pelancongan berbayar tersebut semalam.

Syarikat Space Adventures yang beribu pejabat di Virginia tidak menjual sebarang tiket ke angkasa lepas sejak pengasas Cirque du Soleil dan jutawan Guy Laliberte merasai pengalaman graviti sifar tersebut pada Oktober 2009.

Jurucakap syarikat itu, Sergey Kostenko berkata, pihaknya akan menawarkan tiga perjalanan 10 hari setiap tahun ke ISS menaiki kapal angkasa Soyuz mengikut perjanjian dengan agensi angkasa lepas Rusia, Roskosmos dan pengeluar Soyuz, Energia.

Rusia bakal menambah bilangan penerbangan ke orbit daripada empat ke lima setahun pada 2013 bagi tujuan pelancongan angkasa lepas menerusi Soyuz yang boleh memuatkan tiga penumpang pada satu-satu masa untuk memaksimumkan penggunaan pesawat tersebut.

Sementara Laliberte tidak pernah mendedahkan jumlah yang dibayar bagi mengikuti perjalanan ke angkasa lepas, Kostenko berkata, pelanggan mungkin perlu membayar lebih AS$35 juta (RM110 juta) bagi pelancongan ke orbit seperti yang pernah dibayar jutawan perisian Amerika Syarikat (AS), Charles Simonyi pada 2007.

Katanya, Space Adventures juga telah mempunyai senarai nama pelanggan yang bakal mengikuti pengalaman hebat tersebut walaupun harga yang ditawarkan amat tinggi.

Selepas Laliberte merasai pengalaman graviti sifar itu, Soyuz hanya digunakan oleh angkasawan termasuk dari AS yang menjalankan misi ke angkasa lepas berikutan rancangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang mahu menamatkan khidmat program kapal angkasanya yang berusia 30 tahun, tahun ini.

NASA minggu ini berkata, pihaknya mahu menempah 12 kerusi tambahan Soyuz bagi mengangkut angkasawannya pergi dan balik ke ISS pada 2014-2016 dengan setiap kerusi dilapor berharga sekurang-kurangnya AS$55.8 juta (RM175 juta).

Agensi angkasa lepas AS itu tahun lalu menandatangani satu urus janji bernilai AS$335 juta (RM1.05 bilion) dengan Rusia bagi membeli enam kerusi Soyuz pada 2013 ketika ia bersedia mengakhiri program kapal angkasanya ekoran kos operasi yang tinggi dan untuk menumpukan perhatian kepada misi ke planet Marikh dan astreoid.

Kerajaan AS juga sedang giat membangunkan projek industri penerbangan angkasa lepas komersial dan berhasrat untuk bekerjasama dengan dua firma AS, Space Exploration Technologies dan Orbital Sciences Corp. bagi penghantaran kargo ke ISS. - REUTERS

Bapa dera anak 18 bulan ditahan



IPOH 14 Jan. - Ketika insiden seorang ibu memukul anak lelakinya berusia 10 bulan hingga patah tulang kening di Kajang, Isnin lalu masih dirasai, kejadian serupa dilaporkan berlaku di sini.
Kali ini seorang budak lelaki berusia 18 bulan menjadi mangsa apabila tulang paha kanannya patah akibat dipukul bapanya sendiri, Jumaat lalu.
Malah mangsa turut dihempas ke atas tilam dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Datuk Ahmad Said, Manjoi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh ibunya untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.
"Kita telah menahan lelaki berusia 54 tahun dan bekerja sendiri itu pada pukul 4 pagi ini selepas dia menyerah diri di Balai Polis Jelapang.
"Lelaki itu akan direman empat hari untuk siasatan lanjut dan akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Dzuraidi berkata, lelaki itu pulang ke rumah daripada berniaga dan dikatakan berselisih faham dengan isterinya sebelum masuk ke dalam bilik lalu memukul mangsa menggunakan tali pinggang.
Ibu mangsa yang berusia 38 tahun telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Cucu terlibat rompak, bunuh datuk





Rumah Mokhtar Yusoh yang maut ditetak sekumpulan remaja termasuk cucunya di Felda Palong Dua, Jempol, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 14 Jan. - Sudah tiada lagi rasa hormat seorang remaja apabila membawa tiga rakannya termasuk seorang remaja perempuan merompak dan menikam sehingga mati datuknya di rumah mangsa di Felda Palong Dua, dekat sini, malam semalam.
Lebih tidak berperikemanusiaan, mereka yang melarikan wang tunai dan barang kemas bernilai RM10,000 membiarkan sahaja warga emas itu yang ditikam empat kali, rebah berlumuran darah.
Neneknya pula dipukul dan diketuk dengan objek keras di tangan dan bahu menyebabkan dia terbaring kesakitan.
Mangsa, Mokhtar Yusoh, 71, meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak di salah sebuah bilik rumah satu setengah tingkat itu, di hadapan isterinya, Halimah Mad Yasin, 57, kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, cucu lelaki Mokhtar berusia 17 tahun bersama tiga lagi rakannya berusia 15 dan 18 tahun ditahan di sekitar kawasan berkenaan tidak lama selepas kejadian.
"Kesemua suspek dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Jempol untuk membantu siasatan berhubung kes berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pihaknya percaya berlaku pergelutan semasa kejadian itu sehingga salah seorang daripada suspek menikam Mokhtar sebelum mencederakan Halimah dengan objek keras.
"Mangsa meninggal dunia akibat ditikam oleh salah seorang suspek di belakang dan depan anggota badannya.
"Kita akan menyiasat secara terperinci kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
Sementara itu, Halimah yang ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Felda Palong Dua dekat sini memberitahu, dia bersama arwah suaminya baru sahaja pulang dari menghadiri majlis tahlil di rumah ibu mertuanya di Bukit Rokan dekat sini.
Dia yang masih trauma dengan kematian suaminya itu berkata, sebaik sahaja tiba di rumahnya pukul 9 malam, dia terkejut mendapati keadaan bilik utama berselerak.
"Kami mengesyaki ada pencuri di dalam rumah. Saya juga terkejut apabila menemui sebilah parang di dalam bilik berkenaan.
"Dalam ketakutan itu, saya dan arwah suami terdengar suara beberapa orang sedang berbual dalam bilik di bahagian atas dan alangkah terkejutnya apabila kami dapati salah seorang daripada mereka adalah cucu kami sendiri," katanya.
Halimah memberitahu, terdapat seorang remaja perempuan bersama cucunya dan dua lagi remaja lelaki.
"Arwah suami saya menjadi marah sejurus terlihat cucunya itu dalam bilik berkenaan dan ketika itulah dia meminta saya menghubungi pihak polis.
"Tanpa saya duga, seorang daripada remaja itu meluru ke arah arwah suami lalu menikamnya bertubi-tubi. Saya pula dicederakan dengan objek keras," katanya sebak.
Bagi Halimah, dia tidak mungkin dapat melupakan bagaimana suaminya yang rebah dengan darah penuh di badan sempat melihat kesemua remaja itu termasuk cucunya melarikan diri dengan membawa beg tangan berisi wang dan barang kemas bernilai RM10,000.
Jenazah Mokhtar dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Palong Satu, dekat sini.
Halimah pula sudah dibenarkan keluar dari Hospital Jempol selepas menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan.

Karavan dijual pada harga RM2.6 juta




KARAVAN yang kelihatan seperti calet terletak di tepi pantai Abersoch, Wales Utara.


ABERSOCH, Wales Utara - Sebuah karavan yang mempunyai tiga bilik tidur dijual pada harga lebih £550,000 (RM2.6 juta), lapor akhbar Mail Online semalam.
Karavan itu dijual kepada satu pasangan jutawan pada bulan lalu yang dianggap paling mahal pernah dijual dalam sejarah Britain.
Ia diletakkan di tepi pantai di sini yang mempunyai pemandangan yang indah menghadap laut.
Pemiliknya karavan itu berasal dari Warrington, Cheshire, Britain.
Namun, pasangan itu perlu membayar yuran tahunan yang melibatkan kos ribuan pound.
Walaupun kelihatan seperti calet tetapi ia dikategorikan sebagai karavan kerana mempunyai tayar kenderaan.
Karavan itu dilengkapi bilik mandi yang mengandungi jubin, jakuzi, sistem bunyi bersepadu, perabot yang direka di Milan, Itali dan alat kawalan suhu bilik yang boleh dikawal menerusi iPhone walaupun pemiliknya berada ratusan kilometer jauhnya. - Agensi

Sebulan tinggal dengan singa



JIM JABLON dijilat seekor singa di Pusat Pemulihan Hidupan Liar Daerah Hernando, Florida baru-baru ini.


MIAMI - Seorang pemilik sebuah pusat perlindungan haiwan liar di Amerika Syarikat (AS), Jim Jablon nekad tinggal di dalam sarang singa selama sebulan kerana ingin mengumpul dana, lapor sebuah akhbar semalam.
Jablon, 42, tidur dan makan bersama seekor singa betina berusia 18 bulan, Lea selain seekor singa jantan berusia 10 bulan sepanjang bulan ini yang bernama Ed.
Dia tinggal bersama haiwan itu di dalam kurungan seluas 278.7 meter persegi dan tinggi 3.6 meter di Pusat Pemulihan Hidupan Liar Daerah Hernando, milknya di negeri Florida, AS.
"Setiap kali saya tunduk, singa-singa itu akan menerkam punggung dan mengoyakkan seluar saya, setakat ini enam seluar saya telah koyak," katanya yang mahu mengumpul dana untuk pusat penjagaan tersebut. - Agensi

Limousin paling berat di dunia




RUANG dalam limousin yang diiktiraf sebagai yang terberat di dunia.


LOS ANGELES - Sebuah limousin di Amerika Syarikat (AS), Midnight Rider, mencatat nama dalamGuinness Book of Records sebagai yang paling berat di dunia dan berkemungkinan yang terbesar, lapor sebuah akhbar semalam.
Limousin itu boleh membawa 40 orang dan turut mempunyai ruang untuk aktiviti tarian tiang dan seberat 22.7 tan selain 22 buah tayar.
Ia sepanjang 21.3 meter, dilengkapi tiga ruang rehat, sebuah bar dan lima set televisyen, sistem bunyi dan penerima kabel satelit.
"Kenderaan ini merupakan limousin paling mewah dan unik di dunia dengan ruang keseluruhan seluas 42.7 meter persegi," kata pemiliknya, Pamela Bartholomew Machado, dari negeri California.
"Ia lebih menyerupai sebuah kelab malam bergerak walaupun dikategori sebagai limousin," tambahnya.
Kenderaan itu yang disewakan pada kadar AS$1,030 (RM3,146) untuk sejam, memerlukan penyewa memperuntukkan wang AS$713 (RM2,178) bagi mengisi minyak penuh. - Agensi

Ribuan tuntut Presiden Tunisia letak jawatan




RIBUAN penunjuk perasaan berarak di sebatang jalan raya menuntut Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali (gambar kecil) meletakkan jawatan di Tunis semalam.


TUNIS – Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan-jalan raya semalam selepas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali berikrar akan meletak jawatan pada 2014 dan mengarahkan supaya penggunaan kekerasan terhadap para penunjuk perasaan dihentikan.
Mereka menuntut supaya presiden itu meletak jawatan dengan segera.
Perhimpunan itu dibuat walaupun presiden berusia 74 tahun itu kelmarin berjanji bahawa beliau tidak akan bertanding semula pada pilihan raya akan datang dan menyatakan, pentadbirannya telah tersilap membaca ketidakpuasan yang sekian lama terbuku di hati rakyat.
Beliau juga berjanji akan menurunkan harga barangan keperluan asas seperti susu, roti dan gula di samping berikrar untuk membatalkan sekatan Internet.
Rakyat sebelum ini berang dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang tidak terkawal manakala laman web seperti YouTube dan Dailymotion turut disekat.
Namun, akses kepada laman-laman web itu dibuka semula kelmarin.
Selepas 23 tahun melaksanakan pemerintahan kuku besi, pengakuan Zine El Abidine mengenai kelemahan pentadbirannya telah menyebabkan musuh-musuhnya semakin berani selain tajuk-tajuk utama akhbar menyokong peletakan jawatannya.
“Saya faham akan anda (rakyat),” kata muka hadapan akhbar Alchourouk, yang memetik kata-kata presiden berkenaan manakala pesaingnya, akhbar Le Temps melaporkan: “Selepas darah dan kebinasaan kini muncul harapan.”
Menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia, sekurang-kurangnya 66 orang terbunuh sejak protes rakyat bermula selepas seorang graduan sebuah universiti di bandar Sidi Bouzid, tengah Tunisia membunuh diri dengan membakar dirinya. – Agensi