KIEV - UKRAINE. Pencipta dari Ukraine, Vladimir Tatarenko menyediakan lakaran konsep menarik mengenai sebuah kabin pesawat yang mampu berpisah dari badan utama pesawat.
Idea asas Vladimir merujuk kepada keadaan-keadaan kecemasan apabila pesawat hampir ditimpa kemalangan dan kabin tersebut akan dipisahkan secara manual.
Menurut laporan CNN, lakaran konsep menunjukkan kabin tersebut dilengkapi payung terjun yang akan mengembang apabila kabin tersebut dipisahkan.
Namun berdasarkan video yang dimuatnaik oleh Vladimir, hanya penumpang akan terselamat, manakala kapten pesawat 'tidak berapa bernasib baik'.
Vladimir juga menyatakan terdapat mekanisma pengapungan berupa pelampung tiub (inflatable tubes) untuk kabin mendarat di permukaan air dengan selamat.
Bagaimanapun, ini bermakna kos untuk mewujudkan sebuah kabin mudah alih tersebut berkemungkinan lebih mahal daripada kos membina sebuah pesawat.
Ini kerana kabin tersebut perlu dilengkapi pelampung, peralatan elektronik untuk pelbagai mekanisma (payung terjun, pelampung tiub) malah kerusi penumpang yang lebih kuat daripada yang sedia ada.
Untuk ramalan, kos menyediakan pesawat bersama kabin berkenaan mungkin mencecah AS$350 juta (RM1,47 bilion) dan ianya tidak termasuk kos penyelenggaraan.
Berdasarkan laporan persatuan penerbangan antarabangsa IATA, terdapat 641 kes kemalangan maut dari sejumlah 3.3 bilion penumpang pada 2014.
Kata IATA, statistik tersebut menunjukkan teknologi kabin mudah alih 'masih belum diperlukan'.
Malahan, terdapat sesetengah pihak mendakwa kabin mudah alih akan melemahkan rangka pesawat secara keseluruhan kerana terdapat sambungan.
Bagaimana pula jika kabin tersebut melanggar gunung atau bangunan ketika mendarat?
Tanpa juruterbang untuk mengemudi kabin tersebut, tiada siapa pun pasti tentang lokasi sebenar ia akan mendarat
.