MOTIVASI paling mujarab dalam kita menempuh hidup yang penuh pancaroba ini. Setidak-tidaknya, ia membuka akal dan minda kita untuk melihat setiap ujian Allah SWT itu sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya, bukan sebaliknya atau Allah SWT bertindak tidak adil terhadap segelintir umat-Nya, terutamanya yang dibebani dengan ujian kesusahan dan kesempitan.
Bertitik-tolak daripada ayat di atas inilah, sebagai hamba Allah kita kena yakin dengan jaminan Allah bahawa akan ada kesenangan selepas menempuh segala kepayahan dan cabaran-Nya. Maka untuk berjaya menempuhinya, ia perlu kepada kesabaran. Barulah, datangnya kemanisan iman.
Pada 17 Syawal lalu sebagai kesinambungan kepada program Feed The Fasting atauBantulah Mereka Berbuka Puasa oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) dengan kerjasama pengurusan Sudara Beach Resort, yang terletak di Tok Bali, Bachok, Kelantan telah berjaya mengagih dan menyerahkan pek makanan kepada 200 buah keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim serta insan Orang Kurang Upaya (OKU).
Majlis istimewa itu telah melibatkan penerima manfaat daripada penduduk di sekitar jajahan Bachok, Kelantan. Di mana pengurusan Sudara Beach Resort bertanggungjawab memilih senarai penerima.
Pengurus Kewangan dan Operasi IRM, Farouq Zauji berkata, ia merupakan tahun ke tiga kerjasama yang dibuat bersama Sudara Beach Resort acapkali tibanya Syawal.
"Menerusi kempen ini, setiap sumbangan RM50 yang diperoleh daripada orang ramai akan dibeli barangan keperluanm asas. Kalau kita congak perbelanjaan kita satu hari, boleh dikatakan lebih daripada itu. Pun begitu, pemberian anda sebanyak itu, bukan sahaja membawa makna besar dalam aspek kemanusiaan tetapi turut menjadi saham akhirat. Insya-Allah.
"Wang sumbangan orang ramai itu, akan digunakan untuk membeli keperluan harian berupa; beras, gula, garam, susu, tepung, minyak masak, sardin dan sebagainya.
"Setiap satu pek makanan ini adalah untuk satu keluarga dan ia diharapkan akan dapat membantu meringankan beban keluarga tersebut selama dua hingga tiga minggu," katanya yang menghargai kerjasama yang terbina terutamanya kepada Pengarah Urusan Sudara Beach Resort, Maimun Mohd. Hussain yang tidak dapat turut serta meraikan program hari itu kerana masalah kesihatan.
Tambah Farouq, sumbangan yang disalurkan melibatkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi penyediaan bungkusan makanan dan barangan keperluan harian untuk meringankan bebanan perbelanjaan harian mereka.
Semua kos bagi penyelengaraan program itu adalah hasil sumbangan orang ramai dari seluruh negara melalui kempen Bantuan Aidilfitri 2010 yang telah dilaksanakan IRM.
"Program ini adalah kesinambungan daripada program Bantulah Mereka Berbuka Puasa, yang dilaksanakan oleh Islamic Relief Worldwide yang telah berjaya mengagihkan pek makanan kepada lebih sejuta penerima di seluruh dunia termasuk 20,000 orang di Malaysia.
"Makanan yang diagihkan merupakan makanan tradisi penduduk sesebuah negara dan pengagihan di peringkat antarabangsa lebih fokus kepada golongan yang menghadapi krisis makanan disebabkan kemiskinan, bencana alam, konflik dan peperangan.
"Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, mereka boleh melayari laman web rasmi IRM iaitu www.irm.org.my," kata Farouq.
Sementara itu, Pengurus Besar Sudara Beach Resort, Sabari Mohd. Afffandi yang mewakili ibunya dalam ucapan perasmian program itu berkata, pihaknya berminat untuk melebarkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan seperti IRM pada tahun-tahun akan datang.
"Mungkin kalau sebelum-sebelum ini kerjasama yang terjalin hanya dalam penganjuran program Aidilfitri, mungkin pada lain kali kita akan cuba mencari program bentuk kebajikan yang lain.
"Tiga tahun berturut-turut ini, membuktikan keprihatinan pihak pengurusan Sudara Beach Resort dan IRM, sekali gus memastikan mereka yang tidak bernasib baik di jajahan ini terbela nasibnya," kata Sabari.-utusan