Pages

Friday, June 3, 2011

100 terbunuh sejak tentera kuasai wilayah


JUBA, Sudan 3 Jun - Hampir 100 orang awam terbunuh di wilayah Abyei sejak tentera menguasai wilayah itu pada 21 Mei lalu, kata seorang pegawai semalam.

Ketua pentadbiran wilayah itu, Deng Arop Kuol berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan nama mangsa namun jumlah kematian menghampiri 100 orang.
Khartoum menimbulkan bantahan antarabangsa apabila ia mengerahkan kereta kebal dan tenteranya ke bandar Abyei pada 21 Mei lalu. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Terkini

10 maut serangan di pejabat gabenor


BAGHDAD 3 Jun - Sekurang-kurangnya 10 penduduk Iraq maut dan 15 orang lagi cedera dalam tiga letupan bom berlaku di Ramadi, barat Baghdad semalam, kata pegawai keselamatan.

``Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 15 orang lagi cedera apabila tiga letupan bom yang berlaku pada waktu sama di kawasan pejabat gabenor di Ramadi kira-kira pukul 8.30 malam (1.30 pagi waktu Malaysia hari ini),’’ kata seorang pegawai polis berpangkat leftenan di Al-Anbar.
Pegawai polis itu berkata, jumlah mereka yang terbunuh merupakan maklumat awal dan kejadian itu mungkin berpunca daripada serangan berani mati yang mensasarkan anggota polis di kawasan itu. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Ibu tunggal cedera ditembak




Misleha Chesoh


KOTA BHARU 2 Jun - Seorang ibu tunggal yang mempunyai tujuh anak cedera selepas terkena tembakan senapang angin di rumahnya di Kampung Gual Periuk di Rantau Panjang dekat sini awal pagi ini.
Misleha Chesoh, 39, seorang warga Thailand dikatakan mengalami kecederaan di dada kiri berikutan kejadian itu. Dia bagaimanapun dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 pagi ketika mangsa yang juga seorang penoreh getah sedang tidur bersama tujuh anaknya dalam rumah mereka.
"Wanita itu kemudian dikejutkan dengan bunyi bising dari luar rumah, sebelum dia bangun dan membuka tingkap. Ketika itulah dia terkena tembakan di bahagian kiri dada.
"Kita percaya senjata yang digunakan dalam kejadian itu adalah senapang angin dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungiUtusan Malaysia di sini hari ini.
Selepas ditembak, kata Abdul Rahim, mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas sebelum dipindahkan ke HPRZ II untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Misleha ketika ditemui di Wad 28 hospital itu memberitahu, tembakan itu tepat mengenai dada kirinya sebaik sahaja dia membuka tingkap selepas dikejutkan dengan bunyi bising.
"Tiba-tiba dada saya terasa sakit dan melihat ada kesan darah pada bahagian kiri dada, kemudian saya mengejutkan salah seorang anak supaya meminta bantuan dari jiran yang tinggal berhampiran rumah.
"Dengan bantuan jiran, saya dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HRPZ II untuk rawatan lanjut kira-kira pukul 5 pagi ini," katanya.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Gajah gergasi spesies Masdoton di Thailand



Lakaran gajah gergasi menyerupai gajah Mastodon. – Agensi


BANGKOK 2 Jun – Penyelidikan terbaru ke atas fosil yang ditemui di timur laut Thailand menunjukkan gajah gergasi menyerupai gajah Masdoton itu mungkin telah mengembara ke negara ini kira-kira 10 juta tahun lepas, kata saintis Thailand, hari ini.

Institut Penyelidikan Timur Laut Thailand di Universiti Nakorn Ratchasima Rajabhat membuat rumusan bahawa tujuh sampel fosil gigi yang ditemui di wilayah itu 10 tahun lepas merupakan spesies baru yang hidup pada zaman Miosen.

“Ia mempunyai bentuk menyerupai gajah Asia tetapi lebih kecil,” kata timbalan pengarah institut, Chavalit Vidthayanon.

Institut tersebut membuat kesimpulan itu selepas bertahun-tahun melakukan perbandingan fosil yang ditemui dengan fosil spesies gajah purba yang lain.

Walaupun spesies baru itu mungkin mempunyai bentuk seperti gajah Asia, namun ia bukannya moyang kepada spesies gajah zaman moden, kata Chavalit.

“Ia sama seperti keturunan gajah Masdoton Amerika,” katanya.

Semua spesies gajah moden dipercayai berketurunan mamalia kecil yang menyerupai khinzir dari Afrika Utara.

Institut tersebut sedang menyiapkan penyelidikan tersebut untuk diterbitkan pada jurnal sains antarabangsa.

Jika diterima, spesies baru tersebut akan diberikan nama. – dpa

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tentera Syria tembak mati 41 orang


ANTALYA, Turki 2 Jun - Tentera Syria dilaporkan membunuh seramai 41 orang awam dalam usaha mematahkan protes prodemokrasi di negara ini, kelmarin.

Insiden itu berlaku sehari sebelum pemimpin pembangkang mengadakan pertemuan di bandar Antalya, Turki untuk berkomplot menjatuhkan Presiden Bashar al-Assad, semalam.
Peguam daripada kumpulan hak asasi manusia, Razan Zaitouna berkata, seramai 41 orang terbunuh di Rastan, termasuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ketika tentera kerajaan melepaskan tembakan di tengah bandar itu, kelmarin.
"Lima daripada mangsa yang terkorban itu dikebumikan di bandar itu, semalam," katanya kepada Reuters melalui panggilan telefon dari Damsyik, semalam.
Tentera Syria dilaporkan turut membunuh sembilan lagi penduduk awam di bandar Hirak kelmarin, menurut seorang pejuang hak asasi, Ammar Qurabi.
Sembilan mangsa itu termasuk tiga doktor, seorang doktor gigi dan seorang budak perempuan berusia 11 tahun akibat terkena tembakan penembak hendap ketika serbuan ke atas sebuah rumah oleh tentera.
Menurut kumpulan hak asasi manusia Syria, setakat ini kira-kira 1,000 penduduk awam telah terkorban sejak Presiden Assad berusaha mematahkan revolusi rakyat itu.
"Revolusi telah di umumkan di Syria. Rakyat mahu menggulingkan rejim dan mangsa yang terkorban hanya boleh dibayar dengan kemerdekaan," kata tokoh kanan kumpulan pembangkang Damascus Declaration, Abdelrazzaq Eid kepada satu persidangan di bandar Antalya, Turki.
Perhimpunan itu adalah mesyuarat rasmi pertama aktivis dan tokoh pembangkang yang hidup dalam buangan sejak protes tercetus di negara ini kira-kira 10 minggu lalu. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

500 militan Taliban gempur pos sempadan Pakistan







Tentera Pakistan melepaskan tembakan meriam ke arah tempat persembunyian militan di kawasan pergunungan yang dikuasai kabilah Mohamad Gat di daerah pergunungan Mohmand di Waziristan Utara, kelmarin. – AFP


PESHAWAR 2 Jun – Sekurang-kurangnya 500 militan Taliban menggempur sebuah pos sempadan Pakistan dekat Afghanistan masuk hari kedua hari ini, membunuh 23 anggota polis dan lima penduduk awam dalam pertempuran paling sengit sejak beberapa bulan lalu.
Lebih 20 anggota polis cedera, manakala 35 militan maut dalam pertempuran yang masih berlarutan itu.
Seorang pegawai kanan polis berkata, 500 militan terdiri daripada anggota Taliban Pakistan dan gerila Taliban Afghan yang menyeberangi sempadan menyertai serangan yang bermula sebelum subuh, semalam dan berlarutan lebih 24 jam kemudian.
Militan menyerang pos sempadan Shaltalu yang dikelilingi gunung-ganang dan hutan di daerah Upper Dir, barat laut Pakistan, kira-kira enam kilometer dari sempadan dengan wilayah Kunar di Afghanistan.
Tentera Pakistan menghantar askarnya ke pos sempadan polis itu, mengerahkan helikopter penggempur dalam usaha untuk mematahkan serangan di kawasan sempadan yang mudah dibolosi itu, di mana militan Taliban dan al-Qaeda berkubu.
“Kami menawan semula sebahagian besar kawasan tetapi pertempuran masih berlarutan di beberapa lokasi dekat pos sempadan yang diserang,” kata pegawai kanan polis, Qazi Jamil ur-Rehman.
Katanya, 28 orang terbunuh dalam serangan itu, terdiri daripada 23 anggota polis dan lima penduduk awam termasuk dua wanita yang maut apabila bom mortar yang dilancarkan oleh militan ke arah pos tersebut mengenai rumah-rumah penduduk berdekatan.
“Askar Kor Perbatasan (separa tentera), helikopter dan pasukan artileri tentera serta anggota polis menyertai operasi itu,” kata Rehman. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Ibu ratapi kematian anak maut nahas


IBU meratapi kematian anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari di tepi Lebuh Raya Kajang-Seremban menghala ke Semenyih di Hulu Langat, semalam. – Utusan/Muhamad Iqbal

HULU LANGAT 2 Jun – Seorang ibu tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat mayat anak lelakinya berusia 15 tahun terbujur kaku selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Kajang-Seremban berhampiran susur keluar Sungai Long menghala ke Semenyih di sini hari ini.
Tangisan wanita berusia awal 40-an itu mengundang simpati semua pengguna kenderaan apabila dia dilihat memeluk mayat anaknya, Mohd. Hafiz Mohd. Johari, yang maut dengan kecederaan parah di beberapa bahagian badan.
Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 4.30 petang apabila motosikal ditunggangi remaja itu dikatakan merempuh sebuah kereta Proton Wira.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Deputi Supritendan Zainuddin Mahadi berkata, mangsa yang berasal dari Sungai Jelok, Kajang dikatakan menunggang motosikal itu bersama seorang rakan.
“Bagaimanapun, selepas kemalangan itu, mangsa dibiarkan terbaring manakala rakannya pula menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, pihaknya masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku dan akan mengesan rakan mangsa bagi membantu siasatan.
Zainuddin memberitahu, mangsa berkemungkinan tidak memiliki lesen memandangkan berusia bawah 16 tahun.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Ganja bernilai lebih RM400,000 dirampas



ALOR SETAR 2 Jun - Polis Kedah berjaya merampas sejumlah 119 kilogram ganja bernilai lebih RM400,000 serta menahan dua lelaki di Merbok, Sungai Petani baru-baru ini.
Kedua-dua suspek yang berusia 45 dan 47 tahun merupakan sahabat karib, ditahan dalam serbuan berasingan pada pukul 5.30 petang dan pukul 6.15 petang Isnin lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang buruh berusia 47 tahun ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal dinaikinya, polis menemui satu bungkusan plastik dan dalam bungkusan itu terdapat tiga ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut, ganja yang dianggarkan seberat 3.15 kilogram itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM11,000.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bayi masih hidup dibuang dalam tong sampah




BAYI yang dibuang dalam tong sampah di Taman Pelangi, Rawang, semalam.


KUALA LUMPUR 2 Jun - Tidak sampai 24 jam insiden kejam seorang bayi lelaki ditemui mati dicampak dari sebuah pangsapuri di Sentul, seorang lagi bayi ditemui dibuang dalam tong sampah di Taman Pelangi, Rawang dekat sini hari ini.
Bayi lelaki tersebut ditemui masih bernyawa oleh seorang suri rumah kira-kira pukul 10 pagi ini sebelum segera memaklumkannya kepada pihak polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika ditemui, bayi malang itu berada dalam timbunan sampah tanpa balutan atau sebarang pakaian.
"Pemeriksaan awal mendapati, bayi itu baru dilahirkan kerana masih bertali pusat. Bayi itu kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Rawang dan disahkan dalam keadaan sihat tanpa mengalami kecederaan.
"Bayi yang dipercayai berbangsa Melayu itu kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui mati selepas dicampak dari tingkat tinggi Pangsapuri Sentul Utara dengan kesan cedera parah di kepala.
Dalam pada itu, menurut Abdul Rahim, penemuan bayi di Rawang ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kata beliau, polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu. Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu membuang bayi.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Curi kabel: Mayat lelaki separuh melecur atas siling rumah




ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ditemui mati terbakar dipercayai cuba mencuri kabel elektrik di atas siling rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah semalam.


SUNGAI PETANI 2 Jun - Seorang wanita melalui pengalaman yang menakutkan apabila menemui mayat seorang lelaki di atas siling rumahnya yang dikosongkan sejak dua tahun lalu di Taman Ria Jaya di sini hari ini.
Mangsa yang belum dikenal pasti identiti berusia lingkungan 20-an itu dipercayai mati terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri dawai elektrik di rumah teres di Lorong Serampang 12 itu.
Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan separuh melecur oleh polis kira-kira pukul 11 pagi.
Pemilik rumah yang mahu dikenali Salina, 40, berkata, dia datang untuk melihat keadaan rumahnya itu yang dikosongkan sejak berpindah ke rumah baru dua tahun lalu, kira-kira pukul 10.30 pagi.
"Apabila saya sampai, saya dapati ada cecair seperti darah mengalir turun dari siling. Saya kemudian memeriksa keadaan sekitar dan terhidu bau seperti objek terbakar, " katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Selepas mengesyaki sesuatu yang tidak kena, dia segera ke Pondok Polis Inisiatif Bandar Selamat (IBS) Taman Ria Jaya memaklumkan kejadian itu.
Katanya, anggota polis yang datang memeriksa siling rumahnya menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan melecur di atas siling rumah itu.
Mayat lelaki itu dikeluarkan oleh pihak polis bersama anggota Bomba dan Penyelamat Sungai Petani, kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Pihak berkuasa turut menemui beberapa gulung dawai elektrik yang telah dipotong," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Katanya, mayat lelaki tersebut dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Suami isteri dibunuh kejam




ANGGOTA-ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang mangsa bunuh di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Gebok, Pajam, Nilai, semalam.


SEREMBAN 2 Jun - Sepasang suami isteri dibunuh kejam dengan ditikam di leher, kepala dan perut menggunakan pisau oleh dua lelaki ketika meninjau ladang kelapa sawit mereka di Kampung Gebok, Pajam dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang lelaki warga Indonesia yang merupakan pekerja pasangan itu turut diikat, selain diacu dengan pisau oleh kedua-dua suspek ketika cuba membantu mangsa.
Pekerja itu yang berusia lingkungan 60-an bagaimanapun bernasib baik apabila hanya diikat sebelum ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, pasangan suami isteri itu, R. Muthu, 65, dan isterinya, S. Rukumani, 61, mati di tempat kejadian dengan kesen tikaman di leher, kepala serta perut.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika pasangan itu yang menaiki sebuah lori datang ke ladang berkenaan untuk meninjau tanaman kelapa sawit milik mereka.
"Sebaik sahaja tiba di ladang sawit itu, mereka dihampiri dua lelaki bersenjatakan objek tajam dipercayai pisau yang terus menyerang mereka.
"Suspek yang berusia lingkungan 20-an itu kemudiannya mengikat seorang pekerja mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mangsa mengenali suspek dan pihaknya menolak kemungkinan serangan itu bermotifkan samun.
"Kita sedang mengesan kedua-dua suspek ini yang masih bebas dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat," katanya.
Sementara itu, menurut pekerja yang terselamat dan hanya mahu dikenali sebagai Mateus, ketika kejadian dia sedang bekerja di ladang berkenaan sebelum terdengar bunyi orang menjerit.
Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi berkenaan dan ternampak pasangan suami isteri majikannya dalam keadaan berlumuran darah berhampiran lori milik mereka.
"Tiba-tiba, dua lelaki muncul sambil mengacukan pisau di perut saya. Mereka merampas telefon bimbit sebelum mengikat kaki dan tangan saya dan meninggalkan saya dalam sebuah pondok," katanya.
Tambah Mateus, selepas kedua-dua suspek melarikan diri, dia berusaha membuka ikatan sebelum meminta bantuan daripada penduduk kampung.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Beli rumah RM120j selesai masalah

INDAH...pemandangan Teluk San Francisco dari kediaman yang dibeli Ellison bernilai RM120 juta.

INDAH...pemandangan Teluk San Francisco dari kediaman yang dibeli Ellison bernilai RM120 juta.
ELLISON
ELLISON
SAN FRANCISCO: Bilionair, Larry Ellison akhirnya menamatkan sengketa yang berlaku sekian lama dengan jirannya, membabitkan deretan pokok yang tidak terurus apabila dia membeli kediaman jirannya itu dengan harga AS$40 juta (RM120 juta).
Ellison, pengasas Oracle, sebuah syarikat perisian komputer, bertelingkah dengan jirannya di ‘Billionaire’s Row,’ sebuah kawasan kediaman mewah, sejak beberapa tahun lalu mengenai pokok yang didakwanya menghalang pemandangan teluk San Francisco dari kediamannya. Ellison, individu kelima terkaya di dunia, mengadu dua pokok besar pohon kayu merah di bawah bukit dari kediaman mewah seluas 10,000 kaki persegi dan lima bilik tidur miliknya di Pacific Heights menghalang pemandangan indah Teluk San Francisco.

Dia cuba menyaman pasangan suami isteri yang memiliki pokok itu kerana membiarkan tanaman mereka menghalang dia menikmati pemandangan indah itu. Usahanya itu bagaimanapun gagal. Akhirnya Ellison terpaksa menggunakan kekayaannya untuk menyelesaikan isu itu.
Dia membeli kediaman jirannya itu dengan harga RM120 juta. Ellison dikatakan bersetuju membeli kediaman yang mempunyai 22 bilik tidur itu tetapi tidak mempunyai garaj kerana yang penting baginya dia dapat menikmati pemandangan Teluk San Francisco.

Ellison sebelum ini pernah dua kali menawar untuk membeli rumah itu dengan harga RM45 juta tetapi tawaran itu ditolak. - Agensi
myMetro | Beli rumah RM120j selesai masalah

Remaja jual buah pinggang demi iPad


BEIJING: Seorang remaja yang terdesak mahu mendapatkan iPad 2 nekad menjual satu daripada buah pinggangnya bagi mencapai apa yang diidamkan, lapor media semalam.
Dikenali hanya sebagai Zheng, dia dikatakan menjual organ penting itu pada harga kira-kira RM9,800.

Zheng, 17, berkata dia menjual buah pinggangnya selepas ternampak iklan dalam talian yang menawarkan wang kepada sesiapa yang mahu menjadi penderma organ.

“Saya mahu membeli iPad 2 tapi tak ada wang,” katanya kepada stesen televisyen Shenzhen.

Zheng berkata, melihat wang yang ditawarkan ejen dalam iklan itu, dia pun berunding dan pergi ke bandar Chenzhou di wilayah Hunan untuk menjalani pembedahan.


Dia kemudian dimasukkan ke hospital tempatan dan dibenarkan pulang tiga hari selepas menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, Zheng mengalami komplikasi dan keadaan kesihatannya yang terganggu itu menyebabkan ibunya menyedari ada yang tidak kena pada remaja terbabit.

Ibu Zheng, Liu, berkata dia terkejut apabila anaknya pulang bersama satu komputer riba serta telefon bimbit Apple.

Curiga dengan apa yang dilihatnya, Liu mendesak Zheng menceritakan apa yang berlaku.

“Akhirnya dia mengaku menjual buah pinggangnya,” katanya.


Liu kemudian pergi bersama Zheng ke Chenzhou dan membuat laporan polis. Bagaimanapun, polis gagal mengesan ejen terbabit kerana nombor telefon yang digunakan sebelum ini dimatikan. - Agensi

myMetro | Remaja jual buah pinggang demi iPad

Menteri Minyak paling tadah


BENGHAZI: Pemimpin pemberontak semalam mengalu-alukan tindakan bekas Menteri Minyak Libya, Shukri Ghanem, berpaling tadah menyokong kebangkitan rakyat negara itu.
Shukri adalah pemimpin penting dalam rejim Muammar Gaddafi.

Naib Presiden Majlis Peralihan Kebangsaan, Abdul Hafiz Ghoga, berkata mereka kagum dengan keberanian Shukri.

“Sejak beberapa minggu lalu, kami lihat ramai pemimpin berpaling tadah daripada rejim haram serta tiada masa depan,” katanya. - AFP
myMetro | Menteri Minyak paling tadah

Pemberontak Libya ‘lamar’ Israel


BAITULMAQDIS: Penulis Perancis, Bernard Henri Levy, berkata dia menyampaikan mesej daripada pemimpin pemberontak Libya kepada Perdana Menteri Israel, semalam.
Kata Levy, pemberontak Libya berhajat mahu menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu jika mereka berkuasa.

“Mesej lisan daripada Majlis Peralihan Kebangsaan itu disampaikan ketika saya bertemu dengan Benjamin Netanyahu selama 90 minit hari ini,” katanya.

Perkara utama yang ditekankan pemberontak, kata Levy, ialah pendekatan mereka yang sederhana dan antipengganas.

Katanya, pemberontak Libya juga akan bersikap prihatin kepada keadilan untuk Palestin dan keselamatan Israel.


Levy berkata, rejim Libya akan datang akan meneruskan hubungan biasa dengan semua negara demokratik, termasuk Israel.

“Netanyahu kelihatan tidak terkejut dengan mesej itu,” katanya. - AFP
myMetro | Pemberontak Libya ‘lamar’ Israel

3 militan maut kena serbu di tempat persembunyian

NARATHIWAT: Tiga suspek militan terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan selepas mereka enggan menyerah ketika dikepung, kata polis semalam.
Sumber berkata, 30 polis mengepung sebuah rumah dipercayai tempat persembunyian sehingga 10 militan Islam di Narathiwat.

Katanya, berlaku tembak-menembak selama 20 minit di situ dan tujuh daripada militan terbabit berjaya melarikan diri.

“Tiga lagi terbunuh,” katanya.

Polis turut menemui dua raifal M-16 dan satu pistol di rumah berkenaan.


Kelmarin, beberapa jerangkap samar ditanam militan di Yala meletup dan membunuh dua kakitangan kerajaan tempatan dan empat lagi cedera. Sementara itu, di Narathiwat dua pemberontak terbunuh apabila bom yang mereka sediakan meletup tiba-tiba. - Reuters
myMetro | 3 militan maut kena serbu di tempat persembunyian

Lady Gaga tak sedar dirinya muflis


HOLLYWOOD: Penyanyi Lady Gaga (gambar) dikhabarkan muflis selepas membelanjakan berjuta-juta dolar untuk pakaian konsert jelajah Monster’s Ball.
Gaga berhutang sebanyak AS$3 juta (RM9 juta) untuk konsert selama 18 bulan itu. Yang paling mengejutkan, dia tidak tahu bagaimana dia boleh muflis. Gaga berkata alasan utama dia tidak tahu mengenainya kerana wang tidak begitu penting baginya. Bercakap kepada Financial Times, Gaga berkata: “Barang paling mahal pernah saya beli ialah injap jantung untuk bapa saya dan kereta Rolls-Royce untuk hadiah ulang tahun perkahwinan ibu bapa saya.” “Itu pun kerana bapa saya mempunyai plet kereta Lady Gaga pada kereta lamanya dan ia menyakitkan hati saya apabila dia diekori ke mana saja dia pergi. Kerana itu saya belikannya kereta baru,” kata penyanyi itu. Bagaimanapun, Gaga tak perlu risau dengan keadaan kewangannya kerana konsertnya yang berakhir bulan lalu ditonton oleh 2.5 juta orang dan mengaut keuntungan berlipat kali ganda hingga mencecah AS$228 juta (RM684 juta). - Agensi
myMetro | Lady Gaga tak sedar dirinya muflis

Gantung diri kerana buku


HUBEI: Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mati selepas menggantung dirinya kerana kakak dan neneknya tidak mampu membelikan buku yang dimintanya.
Kanak-kanak itu ditemui tergantung pada dahan pokok di depan rumahnya, lapor akhbar China Daily, semalam.

Dia tinggal bersama kakak dan neneknya kerana ibu bapanya bercerai.

Menurut si kakak, adiknya meminta wang 36 yuan (RM16.75) untuk membeli buku itu. Neneknya berjanji memberi wang itu.

Keesokannya, kanak-kanak itu hanya menemui dua yuan di meja lalu bertindak menggantung dirinya ketika kakak dan neneknya tiada di rumah. - Agensi

myMetro | Gantung diri kerana buku

Lelaki mati terbakar atas siling


SUNGAI PETANI : Gara-gara mahu mencuri kabel elektrik, seorang lelaki berusia 20-an menerima padahnya apabila dia maut akibat renjatan elektrik sebelum mayatnya ditemui terbaring dengan kesan terbakar seluruh tubuh di atas siling sebuah rumah yang belum didiami di Taman Ria Jaya, semalam.
Sebelum itu, pemilik rumah berkenaan yang datang untuk melihat rumahnya pelik apabila melihat darah mengalir dari siling rumah kira-kira jam 10.30 pagi sebelum membuat laporan polis.

Jurucakap polis, berkata anggota polis yang tiba membuat pemeriksaan ternampak satu objek seperti kaki manusia sebelum menemui mayat lelaki terbaring dalam keadaan hitam legam kerana terbakar.

Katanya, lelaki terbabit dipercayai mati akibat terkena renjatan elektrik ketika memotong kabel elektrik yang terdapat di atas siling rumah berkenaan kerana ketika mayatnya ditemui terdapat alat pemotong kabel di tangannya.

“Ketika ditemui seluruh tubuhnya hitam kerana terbakar dan sudah berbau dipercayai mati sejak beberapa hari lalu. Polis juga tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada lelaki terbabit.


Mayat itu kemudian dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), untuk bedah siasat.

Pemilik rumah yang mahu dikenali Faridah, berkata dia ke rumah itu untuk melihat keadaannya, namun terkejut melihat ada darah mengalir dari atas dinding rumahnya itu.
myMetro | Lelaki mati terbakar atas siling

30 GRO istana maksiat dicekup polis


GRO warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, semalam.
GRO warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, semalam.


GEORGETOWN: Sebuah pusat hiburan mewah ala istana di Pulau Tikus di sini, yang melayan pelanggan seperti maharaja diserbu polis Bukit Aman, malam kelmarin, kerana menggaji wanita warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Dalam serbuan kira-kira 8 malam itu, 30 GRO warga China dan Vietnam berusia 19 hingga 32 tahun diberkas dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Peraturan Imigresen 1953 kerana menyalahgunakan permit lawatan.
Pemeriksaan premis itu mendapati kemudahan dan peralatan digunakan serba mewah seperti singki, pintu dan tombol berwarna emas dan hiasan eksklusif.
Hidangan minuman juga ala istana dan persekitaran dalaman yang pasti membuat mata pelanggan kagum. Ruang menari dan lobi mempunyai hiasan lampu warna emas yang berjuntai dan lantai berkilau keemasan.

“Siasatan mendapati pelanggan tetap akan dilayan seperti seorang maharaja dengan menggunakan kemudahan ala istana. Bayaran untuk mendapat layanan GRO ialah RM160 untuk dua jam,” kata Ketua Unit Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Asisten Superintendan Shahrul Nizam Jaafar.

Seramai 11 GRO yang cuba melarikan diri diberkas polis yang mengepung premis itu.

Tiga GRO juga memperdaya polis dengan memakai baju dibeli di tingkat bawah pusat beli-belah di situ.
Namun, polis berjaya memberkas mereka apabila mendapati wanita itu menyarung pakaian baru tanpa menanggalkan pakaian asal.

Pusat hiburan itu dibuka untuk pelanggan bukan Islam bagi mengelak dihidu pihak berkuasa. Berita Harian Online | 30 GRO istana maksiat dicekup polis

Wanita jumpa bayi dalam tong sampah


KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui masih hidup dalam tong sampah di Jalan Pelangi 9, Taman Pelangi, Rawang pagi semalam menjadikan kes ketiga pembuangan bayi dalam tempoh tiga hari, termasuk dua daripadanya meninggal dunia.


Bayi yang masih bertali pusat dan dalam keadaan bogel itu ditemui suri rumah yang dikenali Kavitha berusia 40-an ketika ke kawasan itu untuk membuang sampah kira-kira jam 10 pagi sebelum menyerahkan mangsa kepada unit peronda polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata bayi itu di temui dalam tong sampah di hadapan rumah teres dua tingkat di kawasan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati, bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam berdasarkan keadaan badannya dan masih bertali pusat.

“Ketika ditemui, bayi berkenaan diletakkan di atas bahan buangan dalam tong sampah dalam keadaan bogel dan terdapat kesan merah di badannya akibat gigitan serangga.

“Polis membawa bayi terbabit ke Klinik Kesihatan Rawang dan dilaporkan dalam keadaan sihat,” katanya ketika, semalam.

Abdul Rahim berkata, pihaknya kini mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi malang itu dan tidak menolak kemungkinan suspek tinggal di kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Orang ramai yang ada maklumat diminta membantu siasatan dan polis sudah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung bayi itu,” katanya.
Berita Harian Online | Wanita jumpa bayi dalam tong sampah

Badaian maut puting beliung



SAMBIL menitiskan air mata, wanita ini mencari barangan yang boleh diselamatkan di sebalik timbunan runtuhan rumahnya.


PUSAT Perubatan Daerah St. John, Joplin, Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada malam 21 Mei lalu seperti biasa dipenuhi dengan petugas dan pesakit. Namun, loceng amaran sistem bencana yang berbunyi tanpa henti membuatkan isi hospital berkenaan terkesima.
Mereka saling berpandangan. Meskipun ditegah oleh petugas hospital, seorang pesakit lelaki bersungguh-sungguh menjenguk ke luar jendela untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
Sejenak jendela dibuka, desiran angin kuat telah melibasnya hingga membuatkan lelaki itu terpelanting. Melihat keadaan itu, jeritan ketakutan semakin kuat didengari di setiap sudut bangunan sembilan tingkat itu.
Tingkap hospital satu persatu pecah. Pukulan langsung angin ribut itu juga telah menyebabkan hampir keseluruhan pintu tercabut. Bukan itu saja, semua kelengkapan seperti katil, kerusi mahu pun alatan perubatan melayang entah ke mana.
Doktor dan jururawat tidak berdaya berbuat apa-apa. Mereka juga terperangkap. Rantaian manusia yang cuba diusahakan terputus dek kerana angin puting beliung menderu dengan kadar yang sangat luar biasa.
Saksi kejadian yang juga seorang jururawat, Misty Hicks berkata, ketika itu keseluruhan bangunan bergegar.

SAMBIL menitiskan air mata, wanita ini mencari barangan yang boleh diselamatkan di sebalik timbunan runtuhan rumahnya.


"Secara tiba-tiba, bangunan menjadi gelap, semua berselerak di atas lantai, alatan kaca pecah dan menusuk tubuh kami," ujarnya.
Seorang lagi pekerja hospital, Robert Kuhn mengisahkan cerita yang begitu menyayat hati. Sambil menangis dia berkata kepada The New York Times: "Saya melihat seorang pesakit mati apabila jururawat gagal menyambung alat pernafasan kerana wayar itu sudah terputus."
Difahamkan, terdapat 183 pesakit kritikal sedang dirawat di pusat perubatan itu dengan enam daripadanya maut dek bencana itu.
Dalam situasi yang masih tidak keruan itu, pusat perubatan itu sesak dipenuhi waris keluarga.
"Adakah pihak hospital punya senarai pesakit yang terkorban?" jerit Kimberly Chain yang sedang mencari suaminya yang ditempatkan di tingkat lima hospital itu.
Kepada AFP, presiden dan ketua pegawai eksekutif pusat perubatan tersebut, Gary Pulsipher dengan sayu berkata: "Kami telah membuat latihan untuk menghadapi puting beliung sebelum ini. Tetapi kali ini, ia hadir dalam satu skala yang sememangnya sangat dahsyat, maafkan kami."
Terburuk dalam sejarah

SEORANG wanita mendukung bayinya di sebalik rumah mereka yang musnah.


Pukulan badai yang melanda Joplin yang diduduki hampir 50,000 penghuni disifatkan bencana puting beliung yang kelapan paling bahaya dicatatkan di negara Uncle Sam itu. Masakan tidak, ketika artikel ini ditulis, 142 nyawa dilaporkan terkorban.
Menurut laporan AFP, angka korban dijangka akan meningkat. Puting beliung yang telah mewujudkan laluan hampir 10 kilometer (km) panjang dan 1.2 meter (m) lebar, dianggap satu yang di luar jangkauan pakar.
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah AS, Thomas Schwein berkata, puting beliung di bandar itu adalah fenomena yang dikenali sebagai 'kepelbagaian putaran'.
"Puting beliung itu jarang berlaku, ia mengandungi dua atau lebih angin taufan dengan bukaan angin yang luas," terangnya.
Meskipun amaran dikeluarkan 24 minit sebelum puting beliung berlaku, itu dianggap lewat. Penduduk juga tidak cukup masa apatah lagi, untuk penyelamat melakukan sesuatu.
Dengan sekelip mata, lebih 8,000 infrastruktur termasuk pasar raya besar Walmart, pusat perniagaan, gereja, pusat perubatan, sekolah termasuk ratusan rumah kediaman musnah diterbangkan oleh angin selaju 316 km per jam.
Bandar Joplin umpama padang jarak, padang tekukur. Sesetengah berpendapat, keadaan di sana seperti mengulangi pemandangan sewaktu Perang Dunia kedua.
Reuters melaporkan, impak daripada itu, tiga perempat bandar Joplin lumpuh. Ribuan kediaman terputus bekalan elektrik selain saluran gas pecah sehingga memicu kebakaran. Lebih parah, talian komunikasi bermasalah apabila 17 menara telefon tumbang.
Para penyelamat termasuk 2,000 tentera mengerah kudrat selama 24 jam menghulurkan bantuan. Namun, mereka sendiri dilanda trauma tidak terhingga apabila seringkali menemui mayat dalam keadaan mengerikan.
Ada mayat yang putus beberapa anggota badan, ada yang berada di dalam kereta yang terbalik, di bawah timbunan besi dan tidak kurang dihempap dengan tin.
Sebenarnya, sejak April lalu, AS bermuram durja apabila negara itu teruk dipukul puting beliung. Sebelum Joplin menjadi sasaran, rangkaian angin kencang ribut petir terlebih dulu membinasakan Alabama, Louisiana, Kentucky, Georgia, Arkansas, Virginia, Tennessee dan Mississippi.
Dalam laporan The Guardian UK, lebih 450 nyawa rakyat di tujuh buah negari di AS melayang. Amukan alam itu disimpulkan sebagai yang paling bahaya direkodkan sejak tahun 1953 dan terburuk sejak tahun 1974.
AS rugi besar

BANDAR Joplin diisytihar darurat berikutan ribuan kediaman musnah akibat dibadai pusaran puting beliung.


Analisis firma penilaian risiko EQECAT yang berpangkalan di California mendedahkan, serangan puting beliung AS akan menyebabkan anggaran kerugian berinsurans sebanyak RM15 bilion.
EQECAT juga menyifatkan bencana itu merupakan kerosakan terbesar yang pernah dialami dalam sejarah AS. Kerajaan pimpinan Obama sendiri juga menganggarkan rantaian bencana itu menelan kerugian kira-kira RM18 bilion.
Buat pertama kalinya juga, Bandar Joplis diisytiharkan darurat oleh Gabenor Missouri, Jay Nixon.
Bagaimanapun Nixon menegaskan, ancaman puting beliung belum berakhir. Beliau menasihatkan agar semua penduduk sentiasa mengikuti laporan kaji cuaca terbaru serta mematuhi arahan pasukan kecemasan.
Malapetaka yang berlaku di AS sesungguhnya telah menghidupkan himpunan persepsi. Ada yang menginsafi tetapi, lebih ramai meluahkan kata-kata sindiran.
Sebuah akhbar di Timur Tengah secara terang-terangan berkata: "Kerajaan Amerika sibuk menyerang kami di Afghanistan, Libya dan Mesir, sekarang anda lihat mereka gelisah apabila diserang teruk oleh angin puting beliung."
Mengikut rekod Agensi Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan Amerika (NOAA), sebanyak 1,200 puting beliung telah melanda Amerika Syarikat (AS) setiap tahun.
Satu keganjilan berlaku apabila 875 daripadanya telah berlaku hanya pada bulan April lalu. Amukan pada kali ini juga dianggap pelik kerana ia tidak merosakkan ladang atau kebun sebaliknya membadai kawasan bandar.
Pengarah Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Wilayah Tengah, Thomas Schwein berkata, amaran bencana yang dikeluarkan berdasarkan radar, bukan penglihatan.
Kenyataannya tidak jelas. Schwein hanya menyatakan : "Dalam kes ini, amaran dikeluarkan berdasarkan radar. Tiada laporan puting beliung berlaku."
Sememangnya, amarah alam adakalanya tidak terduga oleh manusia. Namun masyarakat dunia kini musykil dengan AS. Bagaimana sebuah negara yang maju ke depan tidak mampu mencegah bencana itu? Apa sudah jadi dengan sistem amaran bencana yang dikatakan paling canggih di dunia?
Kosmo! Online - Rencana Utama

Pencuri mati direnjat elektrik




ANGGOTA bomba dan polis mengeluarkan mayat seorang lelaki yang ditemui mati di atas siling sebuah rumah di Sungai Petani semalam.


SUNGAI PETANI - Seorang wanita diselubungi perasaan seram apabila hajatnya untuk melihat rumah lamanya disambut dengan lelehan darah pada siling sebelum dia menemui mayat lelaki yang mati akibat terkena renjatan elektrik semalam.
Salina, 20-an, memberitahu, kejadian di Jalan Serampang 12, Taman Ria Jaya di sini itu disedari pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, rumah tersebut telah dikosongkan sejak dua tahun lalu kerana dia sekeluarga berpindah ke tempat lain.
"Meremang bulu tengkuk saya apabila ternampak cecair seperti darah mengalir. Untuk merungkaikan persoalan itu, saya terus memeriksa kawasan sekitar sebelum terhidu bau objek terbakar lalu menghubungi polis," ceritanya.
Tambahnya, anggota polis yang memeriksa sebahagian siling kemudian ternampak kaki manusia pada satu lubang di situ.
Menurut Salina, dia terkejut apabila dimaklumkan ada orang mati di atas siling rumahnya itu.
"Anggota bomba yang sampai pada pukul 12 tengah hari kemudian mengeluarkan mayat lelaki berkenaan dan menemui beberapa gulung dawai elektrik yang telah dipotong," katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali memberitahu, mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an.
"Kita percaya dia mati selepas terkena renjatan elektrik ketika hendak mencuri dawai di siling rumah tersebut," katanya yang memberitahu mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat.
Kosmo! Online - Negara

Janda ditembak depan tingkap



MISLEHA hanya mengalami kecederaan dan masih boleh berbual dengan kakaknya, Faridah (kanan).


RANTAU PANJANG - Seorang janda anak tujuh dari Thailand menggemparkan penduduk di Kampung Gual Periok, Jalan Padang Licin di sini apabila dia bukan sahaja hanya mengalami kecederaan malah masih boleh berbual selepas terkena dua das tembakan di dada kirinya semalam.
Kejadian ajaib itu berlaku pada pukul 3.15 pagi ketika Misleha Che Soh, 39, sedang tidur bersama anak-anaknya yang berusia di antara satu dan 17 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk Rahim Hanafi berkata, siasatan awal mendapati penyerang Misleha telah menggunakan senapang ringan buatan sendiri untuk mencederakan Misleha.
"Mangsa ditembak di dada kiri selepas dia membuka salah satu tingkap rumahnya untuk meninjau satu bunyi bising," katanya yang masih menyiasat motif kejadian.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
Sementara itu, Misleha memberitahu, sebaik membuka tingkap, lelaki yang tidak dikenalinya terus melepaskan dua das tembakan sebelum melarikan diri.
Kata penoreh getah itu, dada kirinya kemudian terasa sakit dan apabila dilihat, dia ternampak kesan darah di situ.
Kosmo! Online - Negara

Doktor hilang dikesan keluarkan wang di tiga lokasi berasingan






JITRA - Kehilangan seorang doktor pelatih Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar dekat sini yang masuk hari ke-17 dipercayai akibat dipukau mendapat petunjuk baharu apabila dia dikesan membuat empat transaksi pengeluaran wang melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) baru-baru ini.
Dr. Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, (gambar) dikesan mengeluarkan wang di ATM sebuah bank di Alor Malai, Alor Setar pada 19 Mei lalu diikuti 22 Mei di Kota Bharu, Kelantan dan seterusnya 27 dan 31 Mei di Kuala Terengganu.
Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, keempat-empat transaksi yang dilakukan dengan pengeluaran wang berjumlah RM2,100 itu menunjukkan anak sulungnya masih berada di negara ini dan selamat.
"Saya hairan bagaimana dia (Mohd. Noor Azam) boleh sampai ke Kuala Terengganu sedangkan dia tidak ada kawan di sana dan mungkin dia dalam keadaan separuh sedar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini semalam.
Menurut Natrah, dia dan keluarga amat merindui Mohd. Noor Azam yang hilang tanpa khabar berita sejak 16 Mei lalu dan berharap agar anaknya pulang bagi meneruskan karier sebagai seorang doktor.
Kosmo! Online - Negara

Kereta kebal ada televisyen, sistem muzik




PAUL HAYNES duduk di dalam kereta kebal miliknya.


LEAMINGTON - Seorang bekas askar Britain yang menjadi ahli perniagaan, Paul Haynes menghiasi sebuah kereta kebal yang dibelinya tiga tahun lalu dengan televisyen dan sistem bunyi, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Haynes yang juga bekas askar yang ditugaskan memandu kereta kebal turut memandu kenderaan berkenaan di jalan raya di sini.
"Orang ramai berhenti dan memandang kereta kebal ini sebelum merakamkan gambar, melambaikan tangan dan memberikan senyuman," katanya merujuk kepada kereta kebal tersebut.
Kereta kebal itu menggunakan enjin Rolls-Royce enam silinder dan dikeluarkan di sebuah kilang di Coventry sejak tahun 1966.
Ia kini dilelong di laman e-Bay dengan harganya bakal mencecah £12,000 (RM59,269).
Hasil wang lelongan itu akan disumbangkan kepada dana kebajikan untuk membantu kehidupan askar-askar Britain yang dikenali sebagai Help For Heroes. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Berjalan di atas wayar di cerun curam




ANDY LEWIS berjalan di atas seutas wayar di kawasan cerun curam di Flat Sand, Amerika Syarikat baru-baru ini.


FLAT SAND, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pelagak ngeri, Andy Lewis, 24, kelihatan tenang ketika dia berjalan merentasi seutas wayar sepanjang 13.7 meter (m) yang tergantung di atas cerun curam sedalam 30.48m tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia berjalan merentasi wayar halus itu di sebuah kawasan curam di sini baru-baru ini.
"Sekiranya saya hilang keseimbangan, saya akan terjatuh dari atas wayar ini atau terjunam ke bawah dan terbunuh," katanya selepas menyeberangi cerun curam itu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia