Pages

Thursday, June 23, 2011

Kisah benar,adik beradik kongsi isteri

Amar dan Kundan Singh Pundir adalah adik beradik kandung. Amar bekerja sebagai pemecah batu, sedangkan Kundan, abangnya bekerja sebagi petani iaitu pekerjaan warisan orangtua mereka di Himachal Pradesh, India.



Mereka yang berusia dalam 40-an tinggal bersama. Mereka berkongsi apa saja, rumah, pekerjaan, bahkan berkongsi isteri. "Sudah menjadi tradisi kami sejak awal untuk memiliki keluarga dari lima atau 10 orang. Dua bersaudara dengan satu istri," kata Kundan.

Amalan seperti ini disebut fraternal polyandry, adik beradik dari satu keluarga berkahwin dengan perempuan yang sama. Biasanya, pernikahan seperti ini bermotif tradisi dan ekonomi.Bagi kebanyakan orang, cara seperti ini memang salah, namun tidak bagi dua ratus orang yang tinggal di desa tersebut. Kebanyakkan mereka mengamalkan tradisi ini termasuklah Kundan dan Amar.


Kampung ini terletak di sebuah bukit setinggi hampir 180 meter. Sebahagian besar penduduknya hidup bercucuk tanam. Di wilayah yang terpencil dan sempit ini membuat mereka sukar untuk keluar apalagi untuk mencari isteri dan membahagikan harta. Jadi, daripada mencari isteri dan membahagikan harta warisanlebih baik mereka menikah dengan perempuan yang sama. Dengan begitu, tanah warisan tidak terbahagi-bahagi lagi.

Indira Devi, mengaku hidup dengan dua suami bukan perkara mudah. "Kami sering bertengkar," katanya. Sama seperti keluarga lain, pertengkaran mereka biasanya kerana masalah hidup. "Biasanya memang masalah sehari-hari, seperti mengapa kamu tidak melakukan ini atau itu," katanya.

Hal yang membuat mereka selalu bersetuju bersama adalah punya anak. Dengan Kundan dan Amar, Indira memiliki tiga anak, dua laki-laki dan satu perempuan. Bagaimana dengan kehidupan seks mereka? "Kami membuat shift, bergilir setiap malam. Kalau tidak begitu, tak akan berjalan baik," kata Kundan.

"Agar kehidupan berkeluarga berjalan dengan baik, kami harus melakukannya.Kami boleh melakukan dengan baik supaya tidak ada yang berkecil hati"ujar Amar

Ketika ditanya ayah kandung setiap anak, Amar dan Kundan mengaku tidak tahu. Anak-anak mereka pun tidak peduli. "Sama saja kerana ibu dan ayah adalah dewa bagi saya," kata Sunita Singh Pundir, 17, anak perempuan keluarga itu.

Anak pertama dan ketiga Pundir yang lelaki ingin meneruskan tradisi tersebut. "Tentu saja," kata Sonha, anak tertua. Dia dan adik lelakinya mengatakan sudah membicarakan itu dan akan segera menikah dengan perempuan yang sama. Namun tidak demikian dengan Sunita. Dia menegaskan tak ingin meneruskan tradisi itu. "Saya ingin punya satu suami saja," sahutnya.

Hanya, ketika dihadapkan pada cinta dan tradisi, Sunita mengaku memilih tradisi. "Saya tak akan pernah meninggalkan tradisi meski harus mengabaikan cinta. Saya tak akan merendahkan martabat orangtua dan saudara lelaki saya," lanjut Sunita.

Biasanya, pernikahan seperti itu sudah diatur dan rata-rata para perempuan di desa itu juga memiliki dua suami. Bahkan ada yang punya tiga atau empat suami, bergantung pada jumlah adik beradik yang dimiliki keluarga suami mereka.

Fraternal polyandry sebenarnya tindakan yang melanggar hukum di India, walupun secara sosial dapat diterima bagi sebahagian masyarakat di sana. Tak ada satupun pejabat pemerintah yang terganggu dengan para penduduk yang melanggar hukum itu. "Sudah terjadi sejak lama. Saudari tiri saya juga punya dua suami, begitu juga dengan ibu tiri saya," kata Indira.

Read more: http://www.borakkosong.com/2010/10/kisah-benaradik-beradik-kongsi-isteri.html#ixzz1Q3q0mYYe
Kisah benar,adik beradik kongsi isteri | borak kosong

Wanita cantik yang berzina

Pada suatu senja yang lengang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaianya yang serba hitam menandakan bahawa ia berada dalam dukacita yang mencengkam. Kerudungnya menangkup rapat hampir seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menempel di tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan roman mukanya yang ayu, tidak dapat menghapus kesan kepedihan yang tengah meroyakkan hidupnya. Ia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s.

Diketuknya pintu pelan-pelan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam “Silakan masuk”. Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai tatkala ia berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”

“Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut.
“Saya takut mengatakannya.”jawab wanita cantik.
“Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.
Maka perempuan itupun terpatah bercerita, “Saya… telah berzina.”

Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak.

Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya pun…lantas hamil. Setelah anak itu lahir, langsung saya… cekik lehernya sampai… mati,” ucap wanita itu seraya menangis sejadi-jadinya.

Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, “Perempuan durjana, nyah kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!”… teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah surut. Dia keluar dari dalam rumah Nabi Musa. Ratap tangisnya amat memilukan.Dia tak tahu ke mana lagi hendak mengadu. Bahkan dia tak tahu mahu dibawa ke mana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi saja sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Dia tidak tahu bahawa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa.

Sang Ruhul Amin Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?”

Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari wanita penzina dan pembunuh itu?”

Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?”

“Ada!” jawab Jibril dengan tegas.

“Dosa apakah itu?” tanya Musa kian terharu.

“Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina” Mendengar penjelasan ini Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk menghadap kembali kepadanya. Ia mengangkat tangan dengan khusuk untuk memohonkan ampunan kepada Allah untuk perempuan tersebut.

Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Bererti ia seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.

Sedang orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahawa Allah itu berada di jalan ketaatan kepadaNya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.

(Dikutip dari buku 30 Kisah Teladan - KH Abdurrahman Ar-Roisy)

Wanita cantik yang berzina : suhaimy.org

Enggan bayar ganti rugi, bank hampir disita



UMMUL Habibah Mohd. Nasir (kiri) menerangkan cek yang diberi oleh pihak bank kepada Mat Saman atas arahan Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 22 Jun - Sebuah bank terkemuka di sini hampir disita hari ini berikutan kegagalannya membayar ganti rugi kepada seorang pelanggannya yang berjaya memenangi satu kes saman terhadap bank tersebut.

Perintah penyitaan tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen di sini, Rashid Mustafa.

Bagaimanapun bagi mengelak daripada disita, pihak bank telah bersetuju membayar ganti rugi tersebut melalui cek bernilai RM81,805,63 kepada Mat Saman, 54, setelah mengadakan perbincangan dengan peguam plaintif, Ummul Habibah Mohd. Nasir.

Jumlah tersebut merangkumi jumlah tuntutan baki pinjaman sebanyak RM46,215.99, ganti rugi teruk dan teladan RM20,000, ganti rugi am RM12,000 manakala bakinya untuk faedah jumlah ganti rugi pada kadar lapan peratus dari tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11 pagi ini, Ummul Habibah telah pergi ke bank tersebut untuk menjalankan perintah penyitaan namun mendapat bantahan daripada pihak bank terbabit.

Bertindak atas budi bicara pihak plaintif, pihak bank telah menghubungi ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan kemudian bersetuju membayar jumlah wang yang dituntut.

Dalam kes tersebut, Mat telah memfailkan tuntutan undang-undang terhadap bank berkenaan tiga tahun lalu ekoran kegagalan bank terbabit menjelaskan baki bayaran pinjaman yang telah diluluskan kepadanya.

Jelas plaintif, pada 2004, beliau telah mendapat kelulusan pinjaman rumah sebanyak RM100,000 daripada bank berkenaan di cawangan Tanah Merah.

''Selepas mendapat pinjaman RM50,000 pihak bank menyekat bakinya atas alasan saya telah disenaraikan sebagai bankrap dan tidak berkelayakan untuk mendapat pinjaman.

''Masalahnya saya sendiri tidak tahu disenaraikan bankrap dan sepatutnya pihak bank menyelidik latar belakang saya dahulu sebelum bersetuju memberi pinjaman tersebut,'' ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, dia telah membersihkan namanya daripada senarai bankrap dan memohon semula pihak bank menyerahkan baki pinjaman namun pihak bank enggan berbuat demikian.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Spratly: Amaran China pada AS



STRUKTUR bangunan yang dibina oleh China di sebuah terumbu di kepulauan Spratly. – REUTERS


BEIJING 22 Jun – China hari ini menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya membiarkan pertikaian wilayah di Laut China Selatan diselesaikan sendiri oleh negara-negara yang mempunyai tuntutan.

Dalam amaran paling berterus-terang kepada Washington, Beijing berkata, pembabitan AS dalam pertikaian itu boleh memburukkan lagi keadaan.

Ketegangan di Laut China Selatan meningkat sejak sebulan lalu disebabkan kebimbangan bahawa China semakin agresif dalam mengukuhkan tuntutannya terhadap perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.

Timbalan Menteri Luar China, Cui Tiankai berkata, AS tidak perlu campur tangan dalam pertikaian itu dan sekiranya AS tetap mahu memainkan peranan, Washington perlu menasihatkan negara-negara yang melakukan provokasi supaya bertindak secara lebih bertanggungjawab.

“AS bukan negara yang mempunyai tuntutan dalam pertikaian di Laut China Selatan, dengan itu adalah lebih baik jika AS membiarkan pertikaian diselesaikan antara negara-negara yang menuntut,” kata Tiankai hari ini pada taklimat sebelum rundingan pusingan pertama mengenai hal-ehwal Asia Pasifik di Hawaii pada Sabtu ini.

Katanya, China sangat bimbang dengan provokasi yang kerap dilakukan oleh negara lain di Laut China Selatan.

“Saya percaya negara-negara terlibat sebenarnya bermain api dan saya berharap api itu tidak akan merebak ke AS,” menurut menteri itu.

Sementara itu di Manila, pegawai Filipina berkata, tentera Amerika Syarikat (AS) berkewajipan membantu mempertahankan askar, kapal atau pesawat udara negara ini jika mereka diserang di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan.

Jabatan Luar Filipina dalam satu kertas dasarnya berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama 1951 menghendaki Washington membantu tentera Filipina jika mereka diserang di kepulauan tersebut.

Sebahagian perairan di Laut China Selatan turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Tuntutan China adalah yang paling besar, dengan kawasan perairan yang dituntut berbentuk U meliputi sebahagian besar daripada Laut China Selatan yang seluas 1.7 juta kilometer persegi, termasuk Kepulauan Spratly dan Paracel.

Di Washington kelmarin, anggota kanan Parti Republikan, Senator John McCain menggesa kerajaan AS meningkatkan sokongan ketenteraan dan politik kepada negara anggota ASEAN untuk menghadapi China dalam pertikaian semakin meningkat di Laut China Selatan.

Menurutnya, AS perlu membantu anggota ASEAN untuk membangunkan dan menempatkan sistem amaran awal serta bot peronda perairan pantai di kawasan yang menimbulkan pertikaian.

– Reuters/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

‘Saya tiada akaun bank rahsia’

KUCHING 22 Jun – Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menafikan tuduhan bahawa beliau mempunyai satu akaun bank rahsia, aset dan pelaburan di Switzerland.

Abdul Taib mengeluarkan kenyataan peribadi tersebut selepas sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Bangunan Baru Kompleks DUN Sarawak, di Petra Jaya, di sini, pagi ini.

“Ingin saya nyatakan dengan tegas di sini bahawa saya tidak mempunyai akaun rahsia di bank Switzerland mahupun aset-aset atau sebarang jenis pelaburan. Tidak ada apa-apa.

“Sesungguhnya, saya telah menyatakan dengan istilah yang jelas dalam sepucuk surat yang dikemukakan kepada Presiden Persekutuan Switzerland (Micheline Calmy-Rey) pada bulan lalu,” katanya.

Dalam surat berkenaan, Abdul Taib telah meminta secara spesifik supaya Micheline mengesahkan sama ada beliau mengarahkan sebarang siasatan berhubung segala dakwaan oleh Bruno Manser Foundation (BMF) itu kepada Lembaga Pengawasan Pasaran Kewangan Switzerland (Finma) atau menyediakan kepadanya satu salinan permohonan.

Katanya, ia bagi membolehkan beliau mempertahankan haknya bagi mendapatkan kebenaran serta penyelesaian dari sudut undang-undang.

“Saya juga berikrar untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Persekutuan Switzerland bagi mempercepatkan proses memperoleh kebenaran sekali gus menolak semua pembohongan yang berniat jahat ini.

“Biar saya ulangi dengan tegasnya di sini bahawa tuduhan-tuduhan oleh BMF adalah palsu serta nyata sekali bermotifkan politik,” ujarnya.

Abdul Taib menjelaskan, BMF mempunyai rekod melakukan tuduhan serta kecaman melampau mengenai kerajaan negeri ini sejak sekian lama.

Tuduhan berkenaan tegas beliau termasuk dakwaan penebangan hutan hujan sehingga 90 peratus sedangkan pakar perhutanan tempatan dan antarabangsa mengesahkan bahawa 70 peratus hutan Sarawak diuruskan secara mapan.

“Justeru itu, ia adalah sesuatu yang sesuai dan betul untuk saya membuat kenyataan peribadi di Dewan ini bersesuaian dengan Arahan Tetap 22 berhubung tuduhan-tuduhan oleh BMF atau mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing yang sama sekali tidak bertanggungjawab kepada rakyat di Sarawak,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat Abdul Taib atas dakwaan rasuah balak.

Pengesahan itu dibuat bagi menjawab pertanyaan sama ada SPRM akan mengambil tindakan seperti Agensi Anti-Rasuah Switzerland yang membekukan aset Abdul Taib atas dakwaan itu.

Menurut laporan berita asing, Micheline berkata, bahawa beliau menyedari dakwaan itu dan mengemukakan maklumat mengenai aset Abdul Taib di negaranya kepada badan kawalan, Finma untuk tujuan siasatan.

Utusan Malaysia Online - Parlimen

Gadis tiada wali angkara ibu murtad



Mohd. Taufik Kiyai Shamsuddin (kiri) mengunjungi Siti Nor Afida Ahmad di rumah keluarga angkatnya di Taman Aman, Kota Tinggi, kelmarin.


KOTA TINGGI 22 Jun - Seorang wanita muda berdepan kesukaran mendirikan rumah tangga gara-gara ibunya murtad selepas bapanya meninggal dunia 20 tahun lalu dan menyerahkan dia dan dua adiknya kepada keluarga angkat.

Siti Nor Afida Ahmad, 22, dan pasangannya, Mohd. Hamdani Abu Talib, 28, merancang melangkah ke jenjang pelamin namun masalah ketiadaan wali dan sumber kewangan mencukupi menghalang cita-cita mereka untuk diijabkabulkan.

Bagaimanapun masalah mereka mendapat perhatian Pentadbir Agama Daerah Kota Tinggi, Mohd. Taufik Kiyai Shamsuddin yang datang ke rumah keluarga angkat Siti Nor Afida di Taman Aman di sini untuk merealisasikan hasrat mereka.

"Hasrat yang baik tidak perlu ditangguhkan bagi menghindari perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai Allah. Namun mereka perlu mengikut prosedur yang diwajibkan seperti pasangan bakal pengantin lain," katanya yang ditemui di sini semalam.

Beliau diiringi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Mesran Tukiman yang turut menyampaikan sumbangan bantuan khas kepada keluarga angkat Siti Nor Afida, Zubaidah Rahmat.

Menurut Mesran, jika segalanya berjalan lancar, pernikahan Siti Nor Afida dan Mohd. Hamdani bakal diadakan di Masjid Jamek Kota Tinggi dalam masa terdekat dengan segala perbelanjaan ditanggung Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi.

Difahamkan Siti Nor Afida terpisah dengan dua adiknya, Siti Nor Faizah, 20, dan Mohd. Afiq, 19, sejak kecil kerana mereka turut diserahkan kepada keluarga angkat, masing-masing di Pontian dan Segamat.

Dia sebelum ini tinggal dengan keluarga angkat di Ulu Tiram, Johor Bahru namun pada 2004, dia mengambil keputusan tinggal bersama ibu angkatnya, Zubaidah Rahmat, 48, di Taman Aman, di sini sehingga sekarang.

Tiga beradik ini diserahkan kepada keluarga angkat setelah ibu mereka, Siti Noraniza Abdullah @ Chin Yoke Moi berkahwin lain dan kembali kepada agama asal selepas kematian suami, Ahmad Jamaludin, kira-kira 20 tahun lalu.

Utusan Malaysia Online - Johor

Laporan polis meningkat 838 kes


KUALA LUMPUR 22 Jun – Polis telah menerima sejumlah 838 laporan daripada pelbagai pihak yang membantah rancangan mengadakan perhimpunan haram oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 53 laporan polis diterima oleh Polis Selangor yang dibuat oleh orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemandu teksi yang menyuarakan ketidakpuasan hati perhimpunan haram itu dianjurkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, semua laporan itu diterima pihaknya sejak awal bulan ini.

“Saya nasihatkan penduduk Selangor atau mereka yang hendak melalui negeri ini supaya jangan pergi ke Kuala Lumpur pada hari berkenaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, Selangor, hari ini.

Di Hulu Langat, Persatuan Gabungan Komuniti Melayu Semenyih turut membuat laporan polis di IPD Kajang menerusi wakilnya, Datuk Azami Mohamed.

Di Perak, perhimpunan haram Bersih terus mendapat bantahan daripada orang ramai termasuk kalangan bekas pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri tersebut.

Sekumpulan bekas pemimpin dan ahli PKR diketuai bekas Pemangku Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri, Faizal Effendi Hashim membuat laporan di IPD Ipoh bagi membantah penganjuran perhimpunan itu.

Turut serta, bekas Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Suraya Sulaiman dan bekas Exco Pemuda PKR Parit, Fairul Azrim Ismail dan bekas-bekas pemimpin PKR dari Cabang Padang Rengas, Tanjung Malim dan Kampar.

Selain mereka, tiga NGO iaitu Pertubuhan Masyarakat Prihatin Perak, Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perak (Peka) dan Persatuan India Muslim Perak turut membuat laporan polis.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis cari bomoh wanita, suami



kak Yah @ Kak Mah dicari bagi membantu siasatan kes kematian seorang pemuda, baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU 22 Jun – Polis mengedarkan gambar seorang bomoh wanita warga Thailand dan suaminya yang disyaki terlibat dalam kes kematian seorang pemuda baru-baru ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, gambar kedua-dua mereka diedar bagi membantu orang ramai memberi kerjasama mengesan pasangan berkenaan yang kini menghilangkan diri selepas kematian pemuda itu yang dirawat secara pelik.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini, bomoh yang dikenali sebagai Kak Yah atau Kak Mah, 43, dan suaminya, Norhisham Mustapa, 33, masih berada di sekitar Rantau Panjang, Kelantan.

“Kita percaya jika dapat maklumat sekurang-kurangnya mengenai suaminya, maka bomoh wanita itu pasti akan dapat dikesan dan ditahan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada 16 Jun lalu, seorang pemuda, Faisal Harun, 26, dari Kampung Gong Beris, Marang dibawa keluarganya untuk mendapatkan rawatan daripada bomoh tersebut.

Mangsa dibawa ke rumah bomoh itu di Kampung Pulau Rusa, Mercang kerana mengalami masalah kesihatan setelah dikatakan terkena buatan orang.

Mangsa dipaksa minum air dalam kuantiti banyak termasuk melalui hos getah kononnya untuk mengeluarkan jin dalam badannya.

Bagaimanapun, pemuda itu tidak sedarkan diri kerana kelemasan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Mercang.

Jamshah dalam pada itu memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pasangan itu diminta menghubungi Asisten Supritendan Mohd. Adli Mat Daud dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di talian 013-4398633 atau 09-6182222.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

5 anggota Abu Sayyaf ditangkap

MANILA: Pasukan keselamatan Filipina semalam menahan lima anggota Abu Sayyaf, kumpulan militan yang didakwa mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Pemerintah pasukan khas tentera, Kolonel Alexander Macario berkata, kejayaan itu dicapai selepas tentera menyerbu tempat persembunyian kumpulan berkenaan di Pulau Basilan.


Nama kelima-lima militan yang ditangkap ketika tidur itu bagaimanapun tidak didedahkan.

Abu Sayyaf dituduh terbabit dalam kebanyakan serangan ganas di Filipina dan berada dalam senarai hitam pertubuhan pengganas luar negara Jabatan Negara Amerika Syarikat.


Macario berkata, kelima-lima suspek itu adalah sebahagian daripada unit yang mahir dalam kegiatan menculik untuk mengisi dana kumpulan terbabit.


Pihak tentera percaya kumpulan itu menahan tiga tebusan, semuanya ahli perniagaan tempatan atau penduduk Basilan.

Namun, tidak seorangpun mangsa culik itu ditemui dalam operasi berkenaan. - AFP

myMetro | 5 anggota Abu Sayyaf ditangkap

Arab Saudi mohon maaf

JAKARTA: Arab Saudi semalam memohon maaf mengenai kegagalannya memaklumkan kepada kerajaan Indonesia mengenai pelaksanaan hukuman pancung ke atas seorang pembantu rumah warga Indonesia Sabtu lalu.

Permohonan maaf itu dilakukan ketika pertemuan antara Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa dengan Duta Saudi di Jakarta, Abdurrahman bin Mohammed Al-Khayyat.


“Duta itu memohon maaf dan kesal mengenai kejadian yang berlaku dan berkata, ia tidak akan berulang lagi pada masa depan,” kata jurucakap Kementerian Luar, Michael Tene.

Marty juga menyerahkan kepada Abdurrahman surat bantahan yang ditujukan kepada Menteri Luar Saudi.


Indonesia sebelum ini memanggil pulang dutanya di Riyadh untuk berunding ketika anggota Parlimen mendesak kerajaan bertindak tegas terhadap kerajaan Saudi. Pembantu rumah, Ruyati binti Sapubi, 54, dipancung Sabtu lalu selepas didapati bersalah membunuh isteri majikannya, Khairiya binti Hamid Mijlid dengan pisau pemotong daging.


Amah itu bertindak demikian selepas permohonannya untuk pulang ke Indonesia ditolak, kata pegawai di Jakarta.

Kes Ruyati adalah kejadian terbaru membabitkan pembantu rumah Indonesia di Asia Barat hingga mendorong anggota Parlimen negara itu mendesak kerajaan menghentikan tindakan menghantar rakyatnya bekerja di seberang laut tanpa sebarang perjanjian jaminan hak asasi mereka.


Marty dan anggota kanan Kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang lain sering berdepan dengan gesaan supaya meletak jawatan berhubung penderaan yang dihadapi tenaga kerja negara itu di seberang laut. - AFP

myMetro | Arab Saudi mohon maaf

Kabinet Israel jalani latihan hadapi serangan nuklear

BAITULMAQDIS: Pemimpin Israel menyelamatkan diri dalam sebuah kubu bawah tanah baru dibina, semalam, dalam sebahagian daripada latihan tahunan menghadapi kemungkinan serangan peluru berpandu dari Iran, Syria, Lubnan dan gerila Palestin.

Menteri Pertahanan Negara, Matan Vilnai, berkata latihan itu adalah yang pertama kali membabitkan Kabinet keselamatan diketuai Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, menguji kubu yang terletak jauh di dalam kaki bukit di barat Baitulmaqdis sejak sedekad lalu.


Kubu itu digelar Terowong Kebangsaan oleh media tempatan.

Israel makin giat melakukan latihan pertahanan awam menyeluruh sejak berperang dengan Lubnan pada 2006 apabila gerila Hezbullah melancarkan ribuan roket jarak dekatnya ke utara negara itu.


Israel percaya, peperangan masa depan mungkin tidak lagi membabitkan serangan konvensional dari Syria dan Iran.


Vilnai berkata, mereka menjalani latihan menghadapi serangan paling ekstrem. Menurut sumber, menyediakan kubu rahsia untuk pemimpin Israel dapat mengurangkan ancaman serangan musuh ke atas negara itu. - Reuters

myMetro | Kabinet Israel jalani latihan hadapi serangan nuklear

Bahan binaan boleh masuk Gaza

BAITULMAQDIS: Israel membenarkan penghantaran bahan binaan untuk 1,200 rumah dan 18 sekolah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Gaza, kata pegawai pertahanan semalam.

Keputusan itu dibuat sejurus sebelum konvoi kemanusiaan antarabangsa dijadual berlepas untuk mencabar sekatan rejim Zionis ke atas Gaza.


Sebelum ini, pegawai Israel menafikan berlaku krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Guy Inbar, berkata bahan binaan itu akan diserahkan kepada Agensi Bantuan dan Kebajikan PBB (UNRWA) yang bertanggungjawab terhadap pelarian Palestin.


“Apa yang kami luluskan itu untuk projek lebih besar,” katanya.


Sementara itu, jurucakap UNRWA, Chris Gunness, berkata mereka menyambut baik kebenaran diberi Israel selepas kedua-dua pihak berunding.

“Kami berharap ia dapat memenuhi keperluan pelarian Palestin, terutama yang ada di selatan Gaza,” katanya. - AFP

myMetro | Bahan binaan boleh masuk Gaza

Helikopter tanpa juruterbang AS hilang

WASHINGTON: Sebuah helikopter tanpa juruterbang yang hilang dari radar Nato di ruang udara Libya awal pagi semalam adalah senjata terbaru Amerika Syarikat beroperasi di Libya, kata sumber pertahanan semalam.

Menurut pegawai terbabit, punca pesawat dikenali sebagai Fire Scout itu tidak dapat dikesan belum dapat dipastikan, sama ada ditembak, mengalami masalah mekanikal atau kesukaran komunikasi.


Katanya, pesawat dilengkapi kamera dan pengimbas itu menjalankan risikan bagi mendapatkan maklumat mengenai ancaman tentera kerajaan Libya.

“Ia adalah satu daripada dua Fire Scout dihantar ke Libya dari kapal pengangkut USS Halyburton,” katanya.


Kenyataan itu mendedahkan strategi terbaru AS menggunakan pesawat robotik bagi menjalankan misi di Libya.


Pesawat itu gagal dihubungi pusat kawalan Nato di Naples, Itali kira-kira jam 2.20 pagi semalam. ketika ia berada di kawasan pesisir pantai tengah Libya. - AFP

myMetro | Helikopter tanpa juruterbang AS hilang

Itali kritik misi di Libya

ROME: Itali semalam menggesa serangan ke atas Libya digantung, sekali gus menggambarkan perbezaan pendapat di kalangan Nato berhubung krisis di negara itu ketika jumlah kematian orang awam terus meningkat.

Dalam keadaan Muammar Gaddafi tidak menunjukkan sebarang tanda mahu berundur, Menteri Luar Itali, Franco Frattini, berkata penangguhan perlu untuk memberi ruang bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam.


“Kita melihat kesan krisis setakat ini, selain tindakan Nato tidak hanya terhad di kawasan timur dan barat daya Libya, sebaliknya turut membabitkan Tripoli,” katanya dalam mesyuarat jawatankuasa Parlimen, semalam.

Justeru, kata Frattini, serangan itu wajar digantung dan pada masa sama, rundingan lebih rasmi diteruskan bagi mencari penyelesaian.


“Saya berpendapat, ini aspek paling mendesak dan penting,” katanya.


Menurut Frattini, Itali juga berhak meminta diberikan maklumat lebih terperinci mengenai hasil serangan udara yang dijalankan Nato setakat ini.

Dalam keterangannya semalam, Frattini juga mengecam kesilapan dilakukan tentera Nato sehingga serangan disasarkan kepada tentera turut menyebabkan orang awam terbunuh.

“Menyerang orang awam bukanlah objektif misi Nato,” katanya.

Sementara itu, Perancis - kini mengetuai misi berkenaan - segera menolak kemungkinan menghentikan sementara operasi ke atas Libya.


Jurucakap Kementerian Luar Perancis, Bernard Valero, berkata anggota Nato yang bertemu di Abu Dhabi dua minggu lalu bersepakat meningkatkan tekanan kepada Gaddafi.


“Sebarang penangguhan operasi memberi ruang kepada Gaddafi bertangguh dan menyusun semula rejimnya sehingga membawa penderitaan kepada orang awam,” katanya. - AFP

myMetro | Itali kritik misi di Libya

Lambaian atas jalan


SAKIT...orang ramai cuba mententeramkan  Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.
SAKIT...orang ramai cuba mententeramkan Mohd Hakimi yang mengalami kecederaan parah sementara gambar bawah keadaan motosikal dinaiki dua beranak itu yang rosak teruk.


ALOR GAJAH: Lambaian serta tangisan pilu seorang pelajar sekolah rendah yang terbaring di atas jalan raya menyentuh perasaan orang ramai selepas motosikal ditunggang ibunya dirempuh sebuah kereta di Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, Mohd Hakimi Musazali, 10, bersama ibunya, Roziah Basah, 35, dari Kampung Tanjung Dahan, Kuala Linggi cedera parah selepas motosikal dinaiki dilanggar sebuah Produa Kancil dari belakang.

Pada masa sama, sebuah Produa Viva dipandu seorang wanita bersama anaknya dari arah Kuala Sungai Baru terbabas dan terbalik ketika cuba mengelak dua beranak itu yang terbaring di atas jalan.

Difahamkan, motosikal Yamaha Lagenda ditunggang Roziah berada di tengah jalan untuk membelok masuk ke rumahnya sebelum dirempuh dari belakang Perodua Kancil terbabit.

Berikutan rempuhan kuat itu, Roziah terpelanting kira-kira lima meter menyebabkannya cedera parah di kepala, perut dan kaki kiri manakala Mohd Hakimi yang juga pelajar tahun empat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) Yok Sin, Kuala Sungai Baru, di sini, pengsan serta cedera di kaki kanan.


Pemandu Perodua Viva itu, Munirah Mohd Nazir, 27, berkata, dia dalam perjalanan dari Taman Seri Aman, Masjid Tanah ke Kuala Linggi untuk berniaga apabila melihat sebuah Perodua Kancil mengekori belakang motosikal dua beranak itu. “Saya lihat kereta itu dipandu agak kelam-kabut dan laju manakala motosikal dinaiki mangsa ditunggang perlahan dan ketika tiba di satu simpang, pemandu kereta Kancil tiba-tiba merempuhnya dari belakang.

“Dua beranak itu terpelanting di atas jalan raya manakala Pemandu Kancil itu memecut laju ke arah Kuala Sungai Baru selepas merempuh motosikal itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Munirah berkata, dia gagal mengelak lalu terlanggar motosikal yang tercampak di tepi jalan menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali dan terbabas lalu terbalik.
“Ketika cuba elak daripada merempuh dua beranak itu, saya terpusing stereng kereta ke kiri lalu melanggar tembok rumah dan tiang elektrik.

“Kalau tidak mengelak pasti mereka akan dilanggar dan saya berharap dua beranak itu selamat,” katanya yang memberitahu dia bersama anaknya, Muhamad Qayyum Rozaidi Azizi yang berusia tiga tahun tidak cedera dalam kejadian itu. Roziah yang cedera parah di kepala, perut serta kaki kiri manakala anak sulungnya patah kaki kanan dihantar ke Hospital Melaka menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Jurucakap Hospital Melaka mengesahkan wanita itu ditempatkan di Zon Merah Unit Kecemasan hospital berkenaan berikutan kecederaan parah dialami memerlukan pembedahan segera.

“Mangsa kini kritikal kerana pendarahan di kepala dan berkemungkinan besar akan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut manakala pembedahan kaki kirinya yang patah akan dilakukan segera,” katanya.
myMetro | Lambaian atas jalan

Ibu, anak nyaris dibakar hidup-hidup

KUALA LUMPUR: Rumah sudah disimbah dengan petrol manakala pemetik api berada di tangan, namun kehadiran polis menyelamatkan dua beranak daripada dibakar hidup-hidup oleh seorang suami berusia lewat 20-an yang berang kerana mengesyaki isterinya curang.

Dalam kejadian jam 9 pagi di sebuah rumah di Taman Wahyu, kelmarin, ibu muda berusia 22 tahun dan anak perempuannya berusia tiga tahun diselamatkan, manakala suspek ditahan polis.

Menurut sumber polis, kejadian bermula apabila suspek yang pulang ke rumah dalam keadaan marah memukul isteri dan anaknya menggunakan topi keledar kerana mendakwa isterinya curang ketika dia meninggalkan rumah untuk bekerja sebagai pemandu lori.

“Biarpun isterinya merayu dan cuba menjelaskan apa yang berlaku, suspek tetap bertindak memukulnya.


“Lebih keji anak perempuan mereka yang cuba menghalang perbuatan itu turut dipukul,” katanya.

myMetro | Ibu, anak nyaris dibakar hidup-hidup

Anak dilari rakan sendiri

BUTTERWORTH: “Sejak bayi saya dilarikan rakan serumah hampir sebulan, hidup saya sangat tertekan. Kini, hanya sekeping gambarnya menjadi pengubat rindu kerana semua barangan bayi saya turut dibawa bersama,” kata Esah, 26, yang mendakwa rakan serumahnya membawa lari bayinya yang berusia dua bulan awal bulan ini.

Ibu muda itu berkata, bayi lelaki diberi nama Mohammad Fahrin Danial Abdullah itu ditinggalkan bersama rakan serumahnya yang juga pasangan suami isteri di sebuah flat di Perai pada 28 Mei lalu kerana dia ke Seremban, Negeri Sembilan, atas urusan peribadi.

“Saya tiada masalah dengan mereka malah sebelum meninggalkan bayi saya, tiada apa-apa berlaku. Ketika di Seremban, saya beberapa kali menghubunginya dan mereka memberitahu tidak perlu risau mengenai anak saya.

“Namun, selepas pulang pada 11 Jun lalu, saya terkejut apabila mendapati rumah sewa itu berkunci dan ketika menemui pemilik rumah, dia memberitahu rakan saya itu sudah keluar kerana tidak membayar sewa rumah,” katanya ditemui di sini, semalam.


Esah mendakwa, pasangan itu turut membawa semua barangan milik anaknya termasuk beberapa peralatan elektrik miliknya.

myMetro | Anak dilari rakan sendiri

Tanam RM1 juta belakang rumah

pix_middle

IPOH: Buruan polis ke atas sepasang suami isteri yang menjadi dalang kes penipuan kira-kira RM7 juta membawa kepada penemuan wang tunai lebih RM1 juta tertanam di belakang sebuah rumah selepas anak pasangan itu ditahan.
Wang itu disimpan dalam sebuah beg dan ditanam di belakang dapur sebuah rumah di Kuala Muda, Kedah, ditemui selepas anak lelaki pasangan terbabit yang berusia 21 tahun ditahan di rumah itu pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Shukri Dahlan, berkata lelaki terbabit ditahan hasil serbuan sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.

“Suspek dipercayai bersubahat dengan ibu bapanya dengan menyembunyikan sebahagian wang hasil jenayah penipuan mereka,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.


Menurutnya, suspek masih direman beberapa hari untuk siasatan lanjut dan gerakan memburu ibu bapanya, Song Siew Weng, 49, dan Chong Heoy Choo, 50, masih diteruskan.

myMetro | Tanam RM1 juta belakang rumah

Tersepit bawah bas


TERSEPIT...mangsa  terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.
TERSEPIT...mangsa terpaksa menahan kesakitan sebelum dikeluarkan anggota bomba.


PORT DICKSON: “Saya terdengar jeritan rakan ketika sedang mengecat belakang bas dan apabila memeriksanya, saya dapati dia tersepit di bawah bas,” kata Mohd Faizal Abdullah, 35, menceritakan kejadian bas bergerak sendiri hingga mencederakan seorang lelaki di Kampung Kayu Ara, Mambau, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, Suresh, 35, tersepit di bawah bas yang sedang dibaikinya dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) kerana cedera parah di anggota badan.

Menurut Mohd Faizal, Suresh yang juga penyelia di bengkel berkenaan berada di bawah bas untuk memeriksa kerosakan kenderaan itu.

“Ketika terdengar jeritan Suresh, saya nampak dia cuba menahan bas dengan tangan,” katanya, semalam.

Menurutnya, tindakan Suresh itu nyata membahayakan nyawanya kerana bas itu tidak berhenti sebaliknya terus bergerak dan merempuhnya menyebabkan dia tersepit di bawah kenderaan berkenaan.


Menurutnya, berkemungkinan brek bas gagal berfungsi dengan baik menyebabkan ia bergerak sendiri hingga merempuh bengkel di sebelah.

Seorang pemilik bengkel lain yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, 30-an, berkata, dia terkejut apabila melihat bas berkenaan bergerak menuju ke bengkelnya yang terletak bersebelahan tempat kejadian.

“Ketika kejadian saya dengar bunyi bising dan apabila menjenguk ke bengkel sebelah, terkejut melihat seorang lelaki yang tersepit di bawah bas, sedang menahan bas berkenaan,” katanya.
Menurut Kamal, keadaan kelam-kabut apabila usaha mengeluarkan mangsa yang tersepit gagal sehinggalah anggota bomba tiba.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan Balai Bomba Seremban 2 berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika itu, mangsa sedang mengerang kesakitan dan anggota bomba mengambil masa beberapa minit untuk mengeluarkannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke HTJS dengan ambulans untuk rawatan.
myMetro | Tersepit bawah bas

Kekasih maya Afrika perdaya wanita RM3,200

GEORGETOWN: Akibat terpedaya dengan janji manis seorang warga asing yang dikenali menerusi laman sosial sehingga menjalin cinta dengannya sejak April lalu, seorang suri rumah berusia 46 tahun dari Bayan Lepas di sini, kerugian RM3,200.

Mangsa yang 'gelap mata' apabila lelaki itu yang berjanji akan memberikannya 850,000 pound sterling bagi perbelanjaan perkahwinan mereka, sanggup memasukkan wangnya ke akaun bank milik seorang lelaki rakyat tempatan.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata wanita itu mula berkenalan lelaki Afrika dari United Kingdom sejak April lalu menerusi laman sosial Facebook.
Sepanjang perhubungan secara maya itu, suspek dikatakan ikhlas dan jujur sebelum menyatakan kesediaannya untuk menjadikan wanita berkenaan sebagai isteri.

Lelaki itu berjanji memberikan segala-gala kemewahan kepada wanita berkenaan termasuk akan memasukkan sebanyak 850,000 pound sterling ke dalam akaun mangsa bagi membeli rumah, kereta dan urusan perkahwinan mereka.

Lelaki terbabit menghubungi mangsa untuk menyatakan dia dalam perjalanan ke Malaysia.

Bagi mengaburi mata mangsa, lelaki itu menyuruh mangsa mencetak slip gajinya yang diemelkan untuk digunakan sebagai dokumen apabila membuat pengeluaran yang bakal dihantar.
Beberapa hari selepas itu, lelaki terbabit menghubungi wanita berkenaan dengan meminta memasukkan wang sebanyak RM2,500 ke satu akaun milik rakyat tempatan untuk proses pengeluaran wang yang akan dihantar kepada mangsa.

Wanita itu yang tidak menyedari dia ditipu, memasukkan wang berkenaan ke nombor akaun diberi, diikuti RM700 lagi beberapa hari kemudian.

Mangsa terkejut apabila menyemak akaunnya dan mendapati tiada wang 850,000 pound sterling seperti dijanjikan.

"Selepas mengesyaki ditipu, mangsa membuat laporan polis, Jumaat lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti pihak terbabit,” katanya.

Roslee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi sindiket warga asing dipercayai Nigeria dengan menggunakan akaun warga tempatan.
Berita Harian Online | Kekasih maya Afrika perdaya wanita RM3,200

Orang paling tua meninggal


Maria Gomes Valentim
Maria Gomes Valentim


SAO PAULO: Seorang wanita Brazil disenaraikan dalam Guinness World Records sebagai orang paling tua di dunia dilaporkan meninggal dunia semalam, beberapa minggu sebelum sambutan ulang tahun hari jadi beliau ke-115. Gelaran itu kini beralih kepada seorang wanita di Amerika Syarikat.

Maria Gomes Valentim mati berikutan masalah beberapa kegagalan organ, kata Helerson Lima seorang jurucakap rumah penjagaan di mana beliau tinggal. Valentim akan berusia 115 pada 9 Julai.
Guinness berkata, melalui laman webnya Valentim, wanita pertama Brazil memegang takhta itu meninggal dunia ketika berusia 114 tahun, 347 hari.
Pada 18 Mei, Guinness mendapati bahawa Valentim adalah 48 hari lebih tua daripada orang yang sebelum ini dinobatkan sebagai orang paling tua di dunia, Besse Cooper dari Monre, Georgia.

“Dengan kematian Maria, takhta Orang Hidup Paling Tua diserahkan semula kepada Besse Cooper, berusia 114 tahun 299 hari,” kata Guinness.

Anak lelaki wanita Georgia itu, Sid Cooper berkata ibunya dalam keadaan baik di Monroe.

“Beliau mengalami kenaikan berat badan, berselera makan,” kata Sid Cooper. “Ingatan beliau masih baik,” katanya. “Beliau mengingati perkara dari masa lalu dan mengenali orang.”

Guinness mengesahkan Valentim dilahirkan pada 9 Julai 1896 di Carangola, negeri timur laut Minas Gerais. Beliau tinggal di sana hampir seluruh hidupnya.

Bulan lalu, Guinness melalui laman webnya berkata, Valentim atau ‘Grandma Quita’ mengamalkan diet sihat, memakan sebuku roti setiap pagi bersama kopi, buah-buahan dan susu. – AP Berita Harian Online | Orang paling tua meninggal

Polis edar gambar bomoh Siam



JAMSHAH menunjukkan gambar Kak Yah (kanan) dan Norhisham pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Polis semalam mengedarkan gambar seorang bomoh bergelar Kak Yah atau Kak Moh yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki ketika melakukan rawatan tradisional konon untuk membuang makhluk asing yang mendiami badan mangsa minggu lalu.
Kak Yah, 30-an, yang sebelum ini menetap di Kampung Pulau Rusa, Merchang, Marang, dipercayai telah melarikan diri bersama suaminya, Norhisham Mustapha, 33, dengan menaiki sejenis kenderaan sebaik mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya pada 16 Jun lalu.
Kak Yah berasal dari Thailand manakala suaminya dari Rantau Panjang, Kelantan.
Difahamkan, polis menghadapi kesukaran untuk menjejaki Kak Yah kerana kekurangan maklumat mengenai dirinya dan Norhisham merupakan kunci bagi mencari wanita tersebut.
Jika sebelum ini, polis percaya bomoh tersebut telah melarikan diri ke Thailand namun semalam Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa memberitahu wanita berkenaan sedang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand.
"Kita sedang berusaha keras untuk menjejaki wanita tersebut dan telah meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi mencarinya.
"Dengan penyebaran gambar pasangan tersebut, kita harap orang ramai yang mengetahui di mana mereka berada supaya menghubungi polis dengan segera," katanya di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Simpan air dalam periuk, plastik


BEG plastik hitam yang biasanya digunakan untuk membungkus sampah bertukar fungsi menjadi bekas menyimpan bekalan air di Medan Selera Kelana Jaya, Petaling Jaya semalam.


KUALA LUMPUR – Sebahagian besar penduduk Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mula berjimat cermat menggunakan air sambil melakukan apa sahaja cara untuk menyimpan air berikutan gangguan bekalan selama tiga hari akibat kerja-kerja penyelenggaraan loji di Ijok, Hulu Selangor mula dilaksanakan semalam.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi yang terjejas mendapati ramai penduduk sudah menyimpan bekalan air untuk keperluan sehingga esok dengan menggunakan pelbagai peralatan daripada baldi, bekas plastik, karung sampah hingga periuk.

Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Bukit Mayang Mas, Petaling Jaya, Rosalind Adedeji, 45, mengakui kelam-kabut menyimpan air sejak malam kelmarin selepas mendapati tekanan air di rumahnya semakin rendah.

“Saya terpaksa menyimpan air pakai periuk dan besen, harap-harap cukup sampai Jumaat ini (esok),” katanya semasa ditemui semalam.

Muka depan Kosmo! semalam melaporkan hampir 800,000 pengguna di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya bakal mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari bermula semalam hingga pagi esok.

Antara kawasan yang terlibat adalah sebahagian daripada Kuala Lumpur termasuk keseluruhan Bukit Kiara, Hulu Selangor, Gombak dan Wilayah Petaling.

Gangguan tersebut berikutan penutupan operasi Loji Rawatan Air Syabas di Sungai Selangor, Ijok, Hulu Selangor untuk kerja-kerja penyelenggaraan bekalan.

Kosmo! Online - Negara

Bangkai haiwan misteri ditemui




BANGKAI haiwan misteri yang ditemui oleh seorang nelayan di pantai Guangdong, China baru-baru ini.


BEIJING - Satu bangkai haiwan misteri sepanjang 16.76 meter dan seberat 4.5 tan ditemui di tepi sebuah pantai di China, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang nelayan, Hwang yang berusia 66 tahun menemui bangkai haiwan itu yang sudah reput dan terdapat tali pada badan semasa ia dihanyutkan ombak ke tepi pantai di Guangdong.
Orang ramai mengerumuni pantai itu baru-baru ini untuk melihat haiwan tersebut tanpa menghiraukan bau busuk.
Beberapa orang menyatakan, haiwan itu mungkin ditangkap oleh nelayan lain sebelum ditinggalkan kerana ia terlalu berat untuk dibawa di atas bot.
Identiti haiwan itu sukar dikenal pasti disebabkan ia mengalami proses pereputan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kucing kebal selepas dihumban dari tingkat 12



KUCING betina yang masih hidup selepas jatuh dari tingkat 12 bangunan flat di Oldbury, Britain.


OLDBURY, Britain - Seekor kucing betina masih hidup walaupun dihumban dari tingkat 12 sebuah flat pada ketinggian lebih 36.57 meter, lapor sebuah akhbar semalam.

Kucing itu terbaring dengan mulut berdarah semasa anggota-anggota sebuah agensi perlindungan haiwan tiba untuk memberi rawatan selepas dihubungi seorang penduduk bagi memberitahu mengenai kejadian berkenaan .Beberapa penduduk di tingkat tiga dilaporkan mendengar bunyi haiwan itu jatuh.

Seorang pegawai agensi perlindungan haiwan itu, Susie Bailey berkata, dia percaya kucing tersebut jatuh dari tingkat 12 flat berkenaan pada 5 Jun lalu.

Namun, kucing berusia tujuh bulan itu semakin pulih tanpa mengalami sebarang kecederaan serius selepas ia jatuh sekali gus mengejutkan pegawai-pegawai agensi perlindungan haiwan.

Kucing itu dirawat di sebuah hospital haiwan di Birmingham.

Haiwan itu memakai kolar di leher yang menunjukkan ia mempunyai tuan. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Porsche 911 jadi sasaran latihan menembak


KERETA Porsche 911 dipenuhi dengan kesan tembakan di Jamaica Plain, Massachusetts baru-baru ini.


JAMAICA PLAIN, Massachusetts - Seorang pemilik kereta mewah Porsche 911 mengambil keputusan membiarkan keretanya yang berharga AS$80,615 (RM244,300) menjadi sasaran latihan menembak.
Beliau bertindak demikian kerana bosan dengan kerosakan enjin kereta tersebut yang kerap berlaku.
Kereta itu diberikan kepada sebuah persatuan yang dikenali sebagai Comm2A yang terletak di Jamaica Plain, Massachusetts, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Hasilnya, kereta yang berwarna perak itu menerima 10,000 tembakan peluru dari 140 pucuk senjata api.
Ia diletakkan di kawasan latihan menembak dan menjadi sasaran latihan oleh ahli persatuan terbabit.
Tembakan yang datang dari beberapa mesingan dan senjata automatik menyebabkan rupa sebenar bentuk Porsche tersebut sukar dikenali.
Sebelum ini, pemilik yang tidak mahu dikenali itu dikatakan telah membelanjakan beribu-ribu dolar untuk membaiki masalah enjin dan sistem penyejukan kereta tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Aishwarya Rai hamil



AISHWARYA RAI dan suaminya, Abhisek Bachchan.


MUMBAI - Bekas Ratu Cantik Dunia yang menjadi aktres, Aishwarya Rai kini hamil, dedah bapa mertuanya yang juga pelakon legenda Hollywood, Amitabh Bachchan kelmarin.

"Berita, Berita, Berita!!! Saya akan menjadi datuk... Aishwarya mengharapkan... Amat gembira dan teruja !!!" kata Bachchan yang menulis mesej itu di Twitter.

Rai, 37, berkahwin dengan anak Bachchan, Abhisek, 35, pada April 2007.

Pasangan itu mengharapkan anak pertama selepas mereka mendirikan rumah tangga.

Bachchan berkata, dia menerima 2,843 ucapan tahniah hanya dalam tempoh setengah jam.

Semasa menulis dalam laman blog bigb.bigadda.com,Bachchan berkata, kegembiraan dan keriangan menyelubungi keluarganya. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Korea Selatan timbang masa bekerja lebih awal



BEBERAPA pekerja berjalan dari pejabat mereka di sebatang jalan raya do Seoul, Korea Selatan kelmarin.


SEOUL - Korea Selatan kini menimbang untuk meminda masa bekerja dan cuti sekolah bagi menggalakkan rakyat negara ini lebih banyak berbelanja sekali gus meningkatkan ekonomi domestik.

Dalam satu mesyuarat, anggota-anggota Kabinet dan beberapa pegawai kanan mencadangkan beberapa cara untuk mengurangkan penggantungan eksport dengan meningkatkan perbelanjaan dalam negara sekali gus membantu perniagaan kecil serta golongan pendapatan rendah.

Salah satu idea itu adalah dengan mempercepatkan waktu bekerja iaitu pada pukul 8 pagi dan balik pada pukul 5 petang.

Ketika ini masa bekerja bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada 6 petang.

Cadangan tersebut untuk membolehkan mereka meluangkan lebih masa dan berbelanja bersama keluarga.

Turut dipertimbangkan adalah untuk memecahkan cuti sekolah panjang pada musim sejuk dengan mewujudkan cuti musim bunga dan musim luruh selain menggalakkan pekerja sektor awam mengambil lebih banyak cuti.

Kabinet Korea Selatan turut menimbang untuk melaksanakan cuti gantian pada hari bekerja jika cuti umum jatuh pada hujung minggu.

Para pegawai juga menimbang untuk mengawal waktu operasi pasar raya bagi membantu perniagaan kedai runcit dan pasar tradisional.

Dasar lebih terperinci mengenai perkara itu akan diumumkan pada hujung bulan ini. - AFP

Kosmo! Online - Dunia

Identiti penggodam didedahkan



RUMAH yang diduduki oleh Ryan Cleary bersama ibunya di Wickford, Britain.


WICKFORD, Britain - Identiti individu yang disyaki mengetuai ketua kumpulan penggodam komputer global, LulzSec didedahkan semalam sebagai pelajar pintar berusia 19 tahun, Ryan Cleary.

Sebuah akhbar melaporkan dia dipercayai mendalangi operasi pencerobohan siber tersebut dengan menggunakan dua buah komputer di bilik tidurnya di banglo milik ibunya di sini.

Ryan ditangkap dalam operasi bersama oleh polis Scotland Yard dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di kediaman ibunya, Rita, 45, yang berharga £330,000 (RM219,545) kelmarin.

"Kemungkinan besar bandar ini merupakan pusat pergerakan untuk menggodam rangkaian komputer milik kerajaan-kerajaan di dunia," kata seorang pakar komputer kelmarin

Pelajar itu kini direman di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Penipuan Britain di sebuah balai polis di pusat bandar London.

Ibunya yang merupakan seorang jururawat memberitahu, Ryan banyak menghabiskan masa di sisi komputernya.

Jelas Rita, anaknya mempunyai sejarah sakit mental dan menghidap agorafobia iaitu penyakit dihantui perasaan takut ketika berada di tempat terbuka tetapi dia seorang yang amat pintar.

Sumber-sumber polis berkata, sejumlah maklumat dan data dirampas daripada sebuah komputer miliknya.

Pihak berkuasa percaya Ryan merupakan 'orang penting' LulzSec, yang mendakwa bertanggungjawab mencuri nama, alamat, data bank dan kata laluan 77 juta pelanggan rangkaian permainan Internet, Sony Playstation.

Selain Sony dan satu lagi firma permainan video, Nintendo, LulzSec turut menceroboh rangkaian komputer Agensi Jenayah Berat Terancang Britain, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Senat Amerika Syarikat (AS).

LulzSec merupakan kumpulan serpihan geng penggodam Anonymous yang melancarkan serangan siber ke atas firma MasterCard dan PayPal pada tahun lalu.

- Agensi

Kosmo! Online - Dunia