Pages

Tuesday, June 28, 2011

kisah benar :Isteri terlanjur tak tahan dihina suami

KALAU ditakdirkan waktu dapat diundur kembali, tentu Farisha Natasha Ashman (bukan nama sebenar) tidak membuat kesilapan besar dalam hidupnya.

Dia kesal dipertemukan dengan Hazmil Ahmad (bukan nama sebenar) yang juga suami orang kerana pertemuan itu hanya membawa dirinya ke lembah kecurangan.

Segalanya bermula apabila dia terlalu kecewa dengan rumah tangga yang dibina bersama Azlan Hanapiah (bukan nama sebenar) ketika dia mula menghidu kenakalan suaminya yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain sehingga membosankannya.


Memiliki saiz badan agak gempal, Farisha akur dia tidak punya daya tarikan sehebat gadis yang bertakhta di hati suaminya apatah lagi dalam meniti usia 40-an.


"Tetapi suatu ketika dulu saya juga memiliki bentuk badan menarik. Dia yang tergila-gilakan saya, ketika itu saya sudah ada kekasih lain tetapi dia beria-ia hendak memperisterikan saya. Setelah bergelar isteri, dia mengabaikan saya.


"Saya rasa tidak adil apabila diperlakukan sedemikian. Pedih hati saya bila sering terjumpa gambar wanita cantik dalam pelbagai gaya seksi dalam telefon bimbit suami. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang saya menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali hendak bercakap dengan suami.


"Mulanya saya menganggap ia permainan gadis sekarang yang nakal, tetapi saya pernah terbaca pesanan ringkas (SMS) meluahkan rasa sayang, dan rindu dalam telefonnya. Saya memang kecewa tetapi apabila diajukan pada suami, dia mula memaki-hamun dan menuduh saya yang bukan-bukan," katanya yang sudah hampir 20 tahun mendirikan mahligai bersama suami tercinta.


Tidak dinafikan suaminya yang agak tinggi mempunyai paras rupa agak menarik, sekali gus menjadi tarikan ramai wanita. Namun, dia sering berfikiran positif kerana dia sendiri memiliki kerjaya yang baik dan bertaraf profesional, tiada masa untuknya memikirkan perkara bukan-bukan.


Keadaan rumah tangganya mula kucar-kacir apabila suaminya bertemu dengan gadis jelita dan menjalin hubungan dengan wanita berkenaan.


"Paling memilukan apabila pernah terserempak suami dan wanita lain di sebuah pasar raya. Ketika itu saya bertanyakan suami tetapi dia menyatakan wanita itu setiausahanya. Saya tidak tahan dengan pembohongannya dan saya siasat hingga ke pejabat tetapi saya temui setiausahanya yang sebenar, bukan wanita itu.


"Sejak itu hubungan saya dan suami semakin renggang, dia pula semakin mengabaikan nafkah zahir dan batin

"Bahkan, dia menghina dan mengatakan tidak berselera, mengutuk saiz badan saya malah langsung tidak lagi tidur dengan saya. "Hampir setahun memendam perasaan sehingga saya bertemu Hazmil (bekas rakan sekolah) dan menceritakan segala kepedihan dialami. Bagi saya, dia sajalah tempat saya mencurah segala suka duka," katanya.


Menurut Farisha, kisah suaminya tidak berhenti di situ kerana pencariannya memikat gadis terus berlangsung sehingga pelbagai cerita mengenai kecurangan suaminya itu sampai ke pengetahuannya.


"Paling menyedihkan bila suatu pagi saya dikejutkan dengan panggilan daripada suami supaya datang ke balai polis kerana dia terpaksa bermalam di lokap gara-gara ditangkap khalwat. "Sebagai isteri, saya ke sana dan menjaminnya tetapi sepanjang jalan pulang, saya lebih banyak mendiamkan diri dan dia langsung tidak menunjukkan rasa bersalah.


"Sejak itu saya terus menyimpan perasaan kerana satu demi satu bukti saya temui dia masih ada ramai kekasih lain. Dia selalu bercuti, menghabiskan duit untuk wanita lain yang 'dipancing' demi kepuasannya. Apabila mendapati banyak wang daripada akaunnya dikeluarkan tanpa pengetahuan saya, saya terus menyimpan segala bukti.


"Paling memilukan bila saya ajak suami bersemuka dan berbual dari hati ke hati, dia kemudian mengatakan hatinya sudah tiada untuk saya. "Dia mengaku meniduri beberapa wanita dan tidak dapat melupakan kekasihnya itu yang dianggap lebih hebat berbanding saya.


"Walaupun sedih dengan kenyataan yang saya anggap penghinaan itu, saya tetap bertenang. Jauh di sudut hati saya menyimpan rasa terkilan, dendam dan kelukaan yang amat dalam hingga pernah saya rasa hendak mati saja. "Sejak itu, saya rasa hilang arah dan bermurung kerana merasakan hidup ini sudah tidak berguna lagi. Apabila diajukan perkataan cerai, suami memarahi hingga membuatkan saya bungkam," katanya.


Disebabkan rasa sedih itu, dia kemudian sekali lagi bertemu dengan lelaki yang menjadi pendengar setia untuk meluahkan segala luka di hati. Semakin lama lelaki itu bukan hanya menunjukkan rasa simpati sebaliknya turut memberi harapan dan kasih sayang kepadanya, mungkin atas dasar simpati.


"Mungkin kerana terlalu marah, saya dan lelaki itu akhirnya terlanjur. Terus-terang saya katakan, apa yang saya lakukan semata-mata ingin tahu sama ada saya sudah tidak memberangsangkan atau sebaliknya, selain rasa marah yang masih bersisa pada sikap suami.


"Saya tahu, saya berdosa besar kepada suami atas kecurangan yang saya lakukan.


"Saya mengerjakan umrah dua tahun lalu dan bertaubat nasuha serta mengharapkan Allah mengampunkan dosa besar yang dilakukan itu. "Walaupun tahu saya perlu sujud pada suami mengenai perbuatan terkutuk itu, saya merasakan semuanya berpunca daripada suami yang menyebabkan saya jadi begitu. "Kini, saya sudah tidak berhubungan lagi dengan teman lelaki saya itu kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lalu," katanya yang mengakui insaf dengan perbuatannya enam tahun lalu. Kini dia menjalani hidup seolah-olah bahagia walaupun hakikatnya dia hanya 'berlakon' dalam rumah tangganya demi menjaga hati banyak pihak.

dipetik :Harian Metro
MakNgohSelamoh: kisah benar :Isteri terlanjur tak tahan dihina suami

KISAH BENAR : AYAHKU GAY

Ini kisah benar. Semoga menjadi pengalaman hidup kita.

"Selama ini aku sering mempertahankan ayahku. Tohmahan dan tuduhan orang lain aku sangkal. Malah aku mula bermusuh dengan mereka yang menghina ayahku. Aku tidak rela orang mengata ayahku seorang gay. Simpang malaikat 44. Aku akan terus membela ayahku, selagi hayat dikandung badan. Ayahku akan tetap menjadi pujaanku.

"Ayahku seorang yang baik dan pandai memasak. Kami berdua amat gemar dengan masakannya. Ibuku sudah lama berpisah dengan ayah. Tetapi mereka berkawan baik. Malah ayahku tetap menyayangi bekas isterinya. Sebagai tanda kasih, ayahku membelikan kondominium berdekatan dengan kondo kami untuk ibuku. Kami saling kunjung mengunjungi. Kasih sayang tetap terpahat. Bercerai tetapi berkawan.

"Bagiku, penceraian ayah dan ibu adalah satu takdir. Satu suratan. Siapa yang mahu bercerai. Malah penceraian itu adalah satu yang dihalalkan dalam Islam tetapi dibenci oleh tuhan. Pelbagai perkara boleh berlaku jika seseorang itu bercerai. Nasib anak-anak. Nama baik keluarga dan seribu macam lagi.
"Aku tinggal bersama ayahku. Tetapi adikku tinggal bersama kawannya. Beliau sedih selepas penceraian ayah ibu kami. Tetapi dia sering balik untuk makan bersama keluarga. Adikku seorang yang suka berdikari Beliau tidak suka bergantung kepada orang lain. Beliau mahu membuktikan bahawa beliau mampu hidup bersendirian.

"Pada satu hari, beliau bertanya kepadaku sama ada ayah itu seorang lelaku tulen atau gay. Aku tersentak. Lantas aku menafikan perkara itu. Aku terangkan kepadanya bahawa ayah kami tidak seperti yang dituduh oleh orang lain. Mungkin orang lain dengki dengan kejayaan ayah dan keluarga kami. Adikku terdiam dan sejak itu beliau tidak menimbulkan perkara itu. Tetapi aku tahu hatinya sentiasa tidak tenteram berikutan tohmahan dan tuduhan orang lain. Yang mengguriskan hatinya ialah apabila ada beberapa kawan rapatnya dikatakan turut memperkatakan mengenai perkara itu.

"Namunnya semua berubah satu hari. Aku ternampak ayah berpelukan dengan seorang lelaki. Pautan ayah dan lelaki itu bukan seperti kawan biasa tetapi lebih daripada itu. Aku malu untuk menceritakannya. Sahlah apa yang diperkatakan oleh orang. Aku tidak boleh menyangkal lagi. Aku terus menjerit di khalayak ramai meminta ayahku memberhentikan tingkah lakunya. Sungguh mengaibkan. Aku malu."

"Tetapi ayah tetap ayahku."
DUNIATIGER: KISAH BENAR : AYAHKU GAY

KISAH BENAR SEORANG TAN SRI....


Dalam sebuah majlis, seorang usahawan berbangsa Cina yang juga bergelar Tan Sri sedang ditemuramah oleh seorang wartawan. Duduk berdekatannya adalah 2 orang jurutera, anak beranak berketurunan India yang bekerja dengan syarikat Tan Sri tersebut. Berikut adalah perbualan mereka,




Tan Sri:
Kerajaan perlu bertindak adil dalam pengagihan kek ekonomi negara. Tidak boleh ada diskriminasi terhadap kaum bukan Melayu. Kontrak antara orang Melayu dan bukan Melayu mesti diberikan sama rata demi keadilan. Lagipun bangsa kami banyak menyumbang kepada kemajuan negara walaupun kami digelar sebagai kaum pendatang. Setelah bersusah payah semenjak sebelum merdeka, maka wajarkah kami dinafikan hak sebagai warganegara.. Orang Melayu perlu lebih berkompromi dengan kaum lain untuk maju. Liberalisasi perlu dilaksanakan dengan meluas dalam semua sektor demi mencapai kesamarataan antara kaum.


Wartawan:
Tan Sri, boleh saya tahu sudah berapa lama 2 orang jurutera ini bekerja dengan Tan Sri?


Tan Sri:
Oh...sudah lama. Praba ni dah bekerja dengan saya hampir 30 tahun sejak syarikat ni ditubuhkan lagi. Malah anaknya pun sekarang bekerja dengan saya lebih 10 tahun. Mereka ini adalah pekerja saya yang paling berdedikasi dan banyak menyumbang kepada kemajuan syarikat.


Wartawan:
Kalau begitu, apa kata Tan Sri berikan sebahagian saham syarikat ni kepada mereka berdua. Lagipun mereka sudah lama bekerja dengan Tan Sri, malah banyak menyumbang kepada syarikat sepertimana kata Tan Sri tadi.


Tan Sri:
Eh..mana boleh! Ini syarikat saya. Lagipun saya dah bayar gaji yang mahal kepada mereka berdua dan saya tak pernah halang pun jika mereka nak kumpul harta. Mana boleh senang-senang saya nak bagi saham syarikat saya pada mereka.


Wartawan:
Macam tu jugalah perasaan Melayu. Tanah ini asalnya milik orang Melayu. Milik raja-raja Melayu. Lepas tu orang bukan Melayu macam Tan Sri pulak nak mintak hak sama rata dengan alasan kerana telah banyak menyumbang.. Tan Sri rasa wajar atau tidak permintaan tu?


Tan Sri:....????...(:




............ ......... ......... ........ .........


nota:
Kisah di atas merupakan sedutan daripada kisah benar yang berlaku dalam sebuah majlis perasmian kilang di Gemas, Negeri Sembilan.
adakah keadaan ini terjadi ataupun seakan terjadi di tempat anda atau kenalan anda........renung-renungkan......


Pendapat anda?
Ihsan dari http://hamiza-nky.blogspot.com/
abghalim:Dari Sudut Hati: KISAH BENAR SEORANG TAN SRI....

Empat pemimpin utama Khmer Rouge dibicarakan


EMPAT YANG TERTUDUH: (Dari kiri): Mantan ketua negara rejim Khmer Rouge, Khieu Samphan; mantan menteri luar, Ieng Sary; mantan menteri ehwal sosial, Ieng Thirith; dan 'Abang Nombor Dua', Nuon Chea, dibicarakan semalam. -- Foto REUTERS

Mahkamah jenayah perang dengar tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan kekejaman lain semasa perintah Kemboja dalam 1970-an
PHNOM PENH: Empat pemimpin utama Khmer Rouge dibicarakan di sebuah mahkamah jenayah perang Kemboja yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam, atas dakwaan pembunuhan beramai- ramai dan beberapa kekejaman lain semasa pemerintahan rejim komunis berhaluan tegar itu di Kemboja pada 1970-an.
Kes tersebut, yang disifatkan paling rumit sejak perbicaraan kumpulan Nazi selepas Perang Dunia Kedua, memang lama dinantikan oleh mangsa gerakan itu, yang membunuh hampir seperempat penduduk Kemboja.Keempat-empat tertuduh menghadapi dakwaan pembunuhan beramai-ramai, jenayah kemanusiaan dan jenayah perang berhubung kematian sehingga dua juta orang akibat kelaparan, kerja berlebihan, penderaan atau hukuman mati semasa pemerintahan Khmer Rouge yang zalim antara 1975 dengan 1979.Kesemua empat suspek menafikan dakwaan-dakwaan itu termasuk pembunuhan beramai-ramai, khususnya pembunuhan rakyat Vietnam dan puak etnik Islam Cham.Nuon Chea, orang kanan mendiang pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, meninggalkan perbicaraan itu selepas hanya setengah jam untuk memprotes pengendalian siasatan dan proses perundangannya.'Saya tidak senang dengan perbicaraan ini,' kata Nuon Chea, 84 tahun, sebelum pulang ke pusat tahanannya.Pihak defenden dibenarkan tidak hadir jika mereka enggan bekerjasama.Mantan Menteri Ehwal Sosial Kemboja, Ieng Thirith, dan suaminya, mantan menteri luar, Ieng Sary, kemudian diizin tidak hadir atas sebab-sebab kesihatan, meninggalkan mantan ketua negara, Khieu Samphan, di dok tertuduh semasa perbicaraan.Kesemua tertuduh yang kini dalam lingkungan usia antara 70-an dengan 80-an tahun menghadapi pelbagai penyakit dan terdapat kebimbangan tidak semua daripada mereka mungkin masih hidup untuk menghadapi keputusan mahkamah.Prosiding rumit itu, yang dijangka memakan beberapa tahun, dilihat penting untuk memulihkan luka dalam negara yang menghadapi trauma itu.'Perbicaraan ini amat penting untuk mendapatkan keadilan bagi mereka yang mati dan mangsa yang selamat,' kata Cik Khem Nareth, 56 tahun, yang kehilangan emak dan saudara lelakinya akibat kekejaman rejim itu.Di akhir hari pertama perbicaraan, mangsa-mangsa meluahkan rasa puas mereka.'Kami puas hati dengan prosiding mahkamah hari ini (semalam). Kami amat gembira,' kata Encik Chum Mey, 80 tahun, salah seorang daripada mereka yang terselamat daripada penderaan zalim yang dijalanin di penjara Khmer Rouge. -- AFP.


FAKTA KES
Rejim terbabit:
  • Rejim komunis Khmer Rouge menguasai Kemboja pada April 1975 dan segera merubah masyarakat moden negara itu kepada sebuah negara 'ideal pertanian'.



  • Sehingga dua juta rakyat Kemboja mati kelaparan, didera dengan kerja berat dan dihukum mati di bawah rejim tersebut.



  • Khmer Rouge digulingkan oleh askar Vietnam dan bekas anggota rejim itu, termasuk Encik Hun Sen, yang kini Perdana Menteri Kemboja.



  • Di bawah pimpinan Encik Hun Sen, pemerintah Kemboja melawan Khmer Rouge sehingga gerakan itu runtuh pada lewat 1990-an.Tribunal:



  • Kemboja dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menandatangani perjanjian pada 2003 untuk mengadakan tribunal yang digelar 'Dewan Luar Biasa di Mahkamah Kemboja'.



  • Ia mahkamah yang menggabungkan unsur undang-undang antarabangsa dan tempatan.



  • Ia mandat untuk mendakwa pemimpin kanan dan 'mereka yang paling bertanggungjawab' atas jenayah yang dilakukan antara 1975 dengan 1979, yang boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.



  • Tribunal itu dibiaya oleh negara-negara asing, dengan Jepun menjadi penderma terbesar daripada kos pembentukannya sebanyak AS$110 juta ($136 juta) sejauh ini.



  • Ia sudah mengadakan satu perbicaraan sebelum ini dan mempunyai dua lagi perbicaraan terhadap lima suspek Khmer Rouge.Mereka yang dibicarakan kali ini



  • Kes membabitkan 'Abang Nombor Dua', Nuon Chea; mantan ketua negara, Khieu Samphan; mantan menteri luar, Ieng Sary; dan isterinya yang juga mantan menteri ehwal sosial, Ieng Thirith.



  • Mereka menghadapi dakwaan pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan, penderaan dan pendakwaan agama.



  • Bekas ketua penjara Khmer Rouge, Kaing Guek Eav, yang terkenal dengan gelaran 'Duch', dihukum penjara selama 30 tahun pada Julai tahun lalu kerana menyelia pembunuhan 15,000 orang. Kes itu sedang dirayu dan keputusannya dijangka dibuat dalam beberapa minggu ini.Antara mereka yang terlepas dibicara



  • 'Abang Nombor Satu', Pol Pot, mati pada 1998 pada usia 73 tahun ketika berada dalam tahanan di rumahnya oleh pemberontak Khmer Rouge.



  • Komander tentera, Ta Mok, yang amat ditakuti dan digelar 'Tukang Penyembelih'. Dia ditangkap dan mati ketika menunggu dibicarakan pada usia 80 tahun pada 2008.Sumber: AFP.



  • Cyberita Online Luar Negara

    WikiLeaks dedah duta AS ragui penjelasan KL

    KES ENJIN JET DICURI
    KUALA LUMPUR: Duta Amerika Syarikat ke Malaysia memaklumkan kepada pemerintahnya awal tahun lalu bahawa pegawai-pegawai kedutaan meragui penjelasan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kecurian enjin jet pejuang F-5 milik TUDM pada 2008, demikian menurut maklumat yang didedahkan oleh WikiLeaks.

    Dokumen yang ditandatangani oleh Duta James Keith itu berkata kedutaannya berkongsi 'kesangsian' yang diluahkan oleh satu siri komen media dalam talian mengenai pendirian Putrajaya bahawa enjin jet itu dicuri oleh dua individu berpangkat rendah dan pihak di peringkat tinggi tidak terlibat sama sekali.
    'Kami berkongsi beberapa kesangsian yang dilahirkan oleh blog-blog mengenai kes kerajaan dan penjelasan siapa di sebalik kecurian enjin,' kata dokumen tersebut.'Dalam (proses) penyelarasan dengan pihak Washington, Post terus menekankan untuk mendapatkan laporan lengkap bagaimana kecurian itu berlaku dan penempatan muktamad enjin-enjin (jet pejuang), serta untuk mengingatkan GOM (kerajaan Malaysia) tentang keseriusan isu itu dan keperluan mengambil tindakan pembetulan,' kata kabel yang disiarkan oleh laman blog Malaysia Today, semalam, dan ditukil oleh laman berita The Malaysian Insider pada hari yang sama.Difahamkan, 'Post' merujuk kepada seorang pegawai politik Amerika yang mempunyai pejabat di kedutaan di Kuala Lumpur.Mahkamah Sesyen sedang mendengar kes Sarjan N. Tharmendran dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan ahli perniagaan, K. Rajandran Prasad, yang menghadapi pertuduhan bersubahat mencuri dan melupuskan enjin pesawat milik TUDM itu.Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran, 42 tahun, tidak mengaku salah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed Matra 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, di sini, pada 30 April 2008.Rajandran, 38 tahun, pengarah sebuah syarikat pembekalan, pula tidak mengaku salah terhadap tuduhan dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.Kededua enjin itu dibeli pada 1972 dengan harga RM303,570 ($123,644), dan bukannya RM50 juta seperti dilaporkan pada awalnya.Cyberita Online Luar Negara

    Presiden Yaman sudah pulih, dijangka buat siaran media

    RIYADH/SANAA: Presiden Yaman yang cedera, Encik Ali Abdullah Saleh, yang tidak dilihat sejak satu serangan ke atas istananya pada awal bulan ini, sudah cukup pulih untuk pulang ke tanah airnya dan akan membuat satu siaran media dalam masa beberapa hari lagi.

    Spekulasi mengenai kesihatan Encik Saleh dan kemungkinan kepulangan beliau ke Yaman tersebar sejak beliau tercedera dalam satu serangan bom pada 3 Jun lalu di sebuah masjid di istana presidennya.

    Beliau dibawa ke Arab Saudi untuk mendapatkan rawatan, meninggalkan negaranya di ambang perang saudara.

    Presiden Yaman itu tidak dilihat di khalayak ramai sejak kejadian letupan itu, yang membunuh beberapa orang dan mencederakan perdana menterinya, dua timbalan perdana menterinya dan speaker di kededua Dewan Parlimen Yaman.

    Tidak jelas sama ada Encik Saleh, yang menghadapi tekanan semakin hebat untuk meletak jawatan, akan terus memerintah Yaman.

    'Beliau akan muncul dalam masa 48 jam walaupun kebimbangan kami ialah bahawa kelecuran pada wajah dan beberapa bahagian badannya akan menjadi halangan, memandangkan keadaannya mungkin tidak sebagaimana yang dijangkakan pihak media,' kata Encik Ahmed al-Sufi, setiausaha media presiden itu.

    Yaman digegarkan protes berbulan-bulan lamanya terhadap pemerintahan Encik Saleh selama tiga dekad itu.

    Sebelum itu, beliau menghadapi pemberontakan dan keganasan kumpulan pemisah di utara dan selatan Yaman, serta ancaman cabang Al-Qaeda di negara itu.

    Encik Sufi berkata Encik Saleh sihat dan masih mengarahkan ehwal Yaman dari luar negara.

    Timbalan beliau, Encik Abd-Rabbu Mansour Hadi, mengambil alih pucuk pimpinan sedang Encik Saleh menjalani proses pemulihan. -- Reuters.

    Cyberita Online Luar Negara

    Pasangan suami isteri Taliban letup balai polis

    MIRANSHAH 27 Jun - Taliban Pakistan hari ini mengaku pasangan suami isteri yang melakukan serangan pengeboman berani mati di sebuah balai polis di barat laut Pakistan pada minggu lalu merupakan anggota mereka dan mengugut akan melakukan serangan serupa tidak lama lagi.

    Pengakuan itu merupakan yang pertama melibatkan wanita dan ia adalah kali kedua polis Pakistan mengesahkan wanita meletupkan diri di negara ini yang mempunyai senjata nuklear.

    Seramai 10 anggota polis terbunuh dalam serangan pengebom berani mati yang terdiri daripada sekumpulan militan yang memakai burqa pada Sabtu lalu di barat laut Pakistan, berdekatan Waziristan Selatan.

    Jurucakap Taliban, Ehsanullah Ehsan berkata, kali ini mereka memilih untuk menghantar pasangan suami isteri warga Uzbekistan untuk menjadi pengebom berani mati.

    "Kami ada beberapa pasangan suami isteri yang sanggup mengadai nyawa dan akan terus menyerang pasukan keselamatan Afghanistan dan Pakistan sehingga penindasan dihentikan," katanya.

    Menurut pegawai polis Pakistan, kumpulan militan tersebut yang menyamar dengan memakai burqa mengepung dan menyerang sebuah balai polis menggunakan senjata api serta bom tangan bagi menyelamatkan beberapa orang tahanan di balai itu.

    "Berdasarkan mayat dua orang pengebom berani mati yang kami temui itu menunjukkan mereka bukan rakyat Pakistan," lapor pegawai polis, Imtiaz Shah.

    Sejak tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh Osama bin Laden di Pakistan pada 2 Mei lalu, militan Taliban mengaku melakukan kesemua serangan demi menuntut bela atas kematian Osama. - AFP

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara

    100 hari Libya diserang NATO



    WANITA Libya yang juga penyokong Muammar Gaddafi memakai pakaian tentera dan senjata api semasa menghadiri forum wanita di Tripoli, Sabtu lalu. - AFP


    BENGHAZI 27 Jun - Operasi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Libya yang masuk hari ke-100 hari ini menyaksikan serangan udara semakin reda di bandar-bandar yang dikuasai pemberontak, namun pemimpinnya, Muammar Gaddafi masih kekal berkuasa.

    Tiga bulan selepas jet-jet pejuang Perancis melancarkan misi pertamanya di timur negara ini, NATO masih terus melancarkan bedilan di seluruh Libya dalam satu peperangan melibatkan banyak pihak, namun tidak menyaksikan kemenangan yang jelas kepada sesiapa.

    Ketika 'Operasi Penyatuan Pelindung' mendekati angka 5,000 serangan udara, NATO masih melancarkan kira-kira 50 serangan sehari kebanyakannya di Tripoli dan Misrata di barat Libya; Brega di timur negara; serta Pergunungan Nafusa di selatan ibu negara.

    Namun, kejayaan awal tentera bersekutu dalam mendesak pengunduran tentera Gaddafi dari Benghazi dan Misrata nampaknya tidak memberikan kelebihan kepada pemberontak.

    Ia sebaliknya diselubungi satu kebuntuan dengan pemberontak diminta terus mengukuhkan kedudukan di Misrata dan Ajdabiyah berhampiran Brega, walaupun bedilan roket atau mortar sering dilancarkan sehingga mengakibatkan kematian.

    "Situasi hari ini agak tenang. Tentera kami masih berada di kedudukan masing-masing," kata pemberontak, Musa Maghrebi di Ajdabiyah semalam.

    Di pergunungan Nafusa, pemberontak dilapor terus mara ke Tripoli.

    Di sebalik 'kejayaan' NATO yang masih samar-samar dalam melemahkan tentera Gaddafi, kebanyakan rakyat Libya di bahagian timur negara terus yakin dengan misi tentera bersekutu.

    Perkara itu dinyatakan Musa Mbarak Al-Okaili, 46, yang percaya NATO telah menghalang pembunuhan beramai-ramai di Libya walaupun abangnya, Mohammed maut 100 hari lalu selepas jet pejuang MiG-23 dipandunya ditembak jatuh tentera Gaddafi semasa satu pertempuran di Benghazi.

    "Mereka membantu kami. Tanpa bantuan NATO, tentera Gaddafi mungkin telah menguasai Benghazi," katanya. - AFP

    Utusan Malaysia Online - Luar Negara

    Mangsa nyaris maut kena tetak



    Nazalina Nawawi menunjukan parut pada tangan semasa diragut di depan rumahnya di Taman Melewar, Gombak, semalam.


    KUALA LUMPUR 27 Jun – Seorang guru wanita mengalami kerugian kira-kira RM8,800 selepas dirompak oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di hadapan rumahnya di Jalan Amzil, Taman Melewar tengah hari ini.

    Mangsa, Nazalina Nawawi, 36, yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lelaki Methodist Sentul itu juga nyaris maut ditetak oleh kumpulan perompak itu apabila mereka turut mengacukan parang ke arahnya.

    Kejadian itu berjaya dirakamkan menerusi kamera litar tertutup milik jirannya, yang menunjukkan empat lelaki yang menunggang dua buah motosikal melakukan jenayah tersebut.

    Menurut Nazalina, dia bergelut dengan seorang daripada penjenayah tersebut apabila lelaki itu merentap gelang tangannya sebelum menyelak tudungnya untuk menyamun rantai leher.

    “Disebabkan saya tidak pakai rantai, perompak itu kemudian bertindak merampas beg tangan saya yang mengandungi wang tunai RM6,500 hasil perolehan perniagaan kedai buku milik suami dan sebuah telefon bimbit.

    “Kumpulan lelaki itu juga memberi amaran supaya tidak menjerit, namun saya jerit dengan sekuat hati menyebabkan perompak itu marah lalu mengugut untuk menikam saya sebelum mengheret saya keluar kereta,” katanya.

    Sementara itu, bapa mertua mangsa, Abu Bakar Ahmad, 67, bergegas keluar rumah setelah mendengar jeritan menantunya itu dan bertindak membaling batu ke arah perompak tersebut.

    “Saya yang terkejut melihat pergelutan tersebut cuba membaling batu ke arah perompak itu tetapi saya diugut bunuh sekiranya saya bertindak merapati mereka. Mereka kemudian terus melarikan diri,” jelasnya.

    Antara barangan yang turut diambil ialah kad pengenalan, lesen memandu, kad bank dan kunci kereta.

    Mangsa yang trauma dengan kejadian itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Setapak.

    Utusan Malaysia Online - Kota

    Tangisan 3 beradik

    BUKTI...Rayapan memegang laporan polis berhubung kehilangan anak dan menantunya.
    BUKTI...Rayapan memegang laporan polis berhubung kehilangan anak dan menantunya.
    IPOH: Tiga beradik lelaki masing-masing berusia 12, sembilan dan lima tahun hanya mampu menangis sepanjang masa apabila ibu dan bapa mereka tiba-tiba hilang sejak enam hari lalu.
    Difahamkan, ibu dan bapa tiga beradik itu diculik empat lelaki yang menyamar sebagai polis berdasarkan maklumat diberikan jiran mangsa yang mendakwa pernah melihat kedua-dua mangsa dibawa sekumpulan lelaki berkenaan.

    Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi Khamis lalu di Medan Dataran Sentosa, Rapat Baru, P Gohbinathan, 42, dan isterinya, S Ahnismala, 33, hilang dan gagal dikesan sehingga kini, dipercayai diculik sekumpulan lelaki.

    Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia melihat pasangan itu dibawa keluar empat lelaki bersenjatakan pistol.


    “Mereka dibawa keluar kumpulan lelaki itu dengan tangan bergari. Saya ingatkan mereka (pasangan) dibawa polis memandangkan lagak keempat-empat lelaki itu seperti anggota polis,” katanya.


    Sementara itu, ibu Ahnismala, V Rayapan@Thailammah, 56, ketika ditemui semalam berkata, ketiga-tiga cucunya, G Vimal Pillai, 12, G Piravin Pillai, 9 dan G Eviandran, 5, kini dijaga keluarga menantunya.

    Beliau berkata, ketika kejadian, dia cuba menghubungi Ahnismala beberapa kali, namun panggilan tidak berjawab.

    “Saya tiba di rumahnya kira-kira jam 8.30 pagi dan mendapati anak serta menantu tiada di rumah sebaliknya hanya Piravin yang berada di dalam bilik kerana demam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat Jumaat lalu serta satu laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada hari sama.

    Rayapan berkata, dua hari sebelum kejadian anaknya pernah memaklumkan terserempak sekumpulan lelaki menaiki Proton Waja berlegar-legar di depan rumah.

    Menurutnya, dia sudah menghubungi saudara terdekat namun anak dan menantunya gagal dikesan.

    “Kami sekeluarga sudah dimaklumkan polis bahawa mereka tidak membuat sebarang tangkapan terhadap anak dan menantu saya,” katanya.

    Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan akan menyiasat lanjut kes kehilangan pasangan suami isteri itu.
    myMetro | Tangisan 3 beradik

    'Saya sudah mati'

    BUKTI...Saharuddin menjununjukkan salinan slip pembayaran kepada along terbabit yang diserahkan anak mangsa (kiri).
    BUKTI...Saharuddin menjununjukkan salinan slip pembayaran kepada along terbabit yang diserahkan anak mangsa (kiri).
    KUALA LUMPUR: “Saya tak sanggup lagi hidup begini, tapi saya terpaksa kerana ini saja cara untuk saya melepaskan diri daripada mereka,” kata seorang peniaga wanita yang berpakat dengan keluarga mengisytiharkan kononnya dirinya sudah mati semata-mata untuk mengelak daripada gangguan ceti haram atau along.
    Wanita berusia 59 tahun itu yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah berkata, untuk meyakinkan pelbagai pihak mengenai ‘kematiannya’ satu majlis kenduri tahlil diadakan dengan dihadiri saudara-mara, jiran dan rakan.

    “Semua mereka menyangka saya sudah mati, hanya beberapa anggota keluarga yang tahu kisah sebenar. Bukan saya berniat menipu mereka, tapi saya lakukan ini kerana terpaksa.

    “Saya amat rindukan kehidupan seperti dulu, gembira bersama keluarga dan menguruskan perniagaan seperti biasa yang kini hanya tinggal kenangan,” katanya.


    Halimah ditemui Harian Metro ketika membuat aduan dan meminta khidmat nasihat daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai masalahnya itu, baru-baru ini.


    Wanita itu berkata, dia terpaksa mengisytiharkan kematian palsu apabila keluarganya tidak tahan diancam along termasuk menerima ugutan menerusi SMS yang menyatakan rumahnya akan dipecah masuk dan semua barangan akan diambil.

    Katanya, masalah bermula apabila dia membuat pinjaman RM10,000 daripada seorang along untuk menampung kos perniagaannya dan membayar gaji pekerja serta kos lain September tahun lalu.

    “Pinjaman RM10,000 itu sudah saya bayar dalam masa ditetapkan. Namun, selepas itu, saya menerima panggilan daripada along menyatakan sejumlah wang sudah dimasukkan ke dalam akaun saya dan perlu membuat bayaran dalam masa 10 hari.

    “Sebaik selesai bayaran berkenaan, saya dihubungi lagi, kali ini individu lain pula yang mendakwa sejumlah wang dimasukkan ke dalam akaun tanpa saya minta dan mereka mendesak saya membuat bayaran dalam tempoh tertentu.

    “Sejak itu, hidup saya dihimpit masalah kerana terus menerima wang RM3,000 hingga RM7,000 pada satu-satu masa yang dimasukkan terus ke dalam akaun beberapa kali menyebabkan saya berurusan dengan 14 along serentak,” katanya.

    Halimah berkata, setakat ini dia sudah membuat bayaran RM140,000 kepada 14 along terbabit, namun jumlah itu dikatakan belum mencukupi menyebabkan dia diganggu dan keselamatan keluarganya diancam.

    Berikutan itu, Halimah menyembunyikan diri di beberapa kawasan di Pahang, Terengganu dan Melaka bagi mengelak diapa-apakan kumpulan terbabit yang menunggu di hadapan rumahnya setiap hari.

    “Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, anak saya memberitahu along terbabit saya sudah mati sedangkan saya masih hidup. Saya kasihankan anak kerana terpaksa berdepan along dan pada masa sama, menguruskan perniagaan kami yang terjejas akibat kejadian ini,” katanya.

    Sementara itu, Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Saharuddin Abu Bakar, berkata pihaknya menerima aduan terbabit dan berusaha mencari jalan bagi membantu Halimah.

    Katanya, seperti kes lain, PPIM akan bertindak sebagai orang tengah dengan mengaturkan perbincangan dengan along terbabit dan menetapkan satu kadar munasabah yang perlu dijelaskan.

    “Kami dapati aktiviti ‘along berantai’ ini dijalankan oleh individu sama, malah modus operandi yang digunakan juga serupa iaitu memasukkan wang ke dalam akaun mangsa hanya selepas bayaran pinjaman terdahulu dilunaskan.

    “Justeru, kami meminta orang ramai berhati-hati apabila berurusan dengan orang lain terutama yang membabitkan wang ringgit bagi mengelakkan ditipu,” katanya.

    myMetro | 'Saya sudah mati'

    Jatuh apartmen telefon kekasih

    KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia awal 30-an patah kaki kanan, leher dan tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Plaza Idaman, Setapak, di sini, semalam.

    Difahamkan, lelaki terbabit terjatuh ketika leka berbual di telefon dengan teman wanitanya.


    Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa mencangkung di tembok tempat letak kereta apartmen berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh.

    Menurut sumber, seorang wanita berusia awal 20-an yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Balai Polis Setapak, di sini.


    “Wanita terbabit baru pulang dari kerja sebelum melihat seorang lelaki terjatuh dari kawasan itu ketika dia mahu meletakkan kenderaannya di tingkat sama.


    “Sepasukan anggota polis dan ambulans dikejarkan ke tempat kejadian. Ketika pasukan perubatan tiba kira-kira 10 minit kemudian, mangsa yang parah dilaporkan tidak sedarkan diri,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu tiada unsur jenayah dalam insiden itu.

    myMetro | Jatuh apartmen telefon kekasih

    Bayi dua bulan diberi salah ubat maut

    KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas menerima rawatan lebih empat jam di Hospital Ampang, di sini, kelmarin.

    Difahamkan, kanak-kanak terbabit muntah teruk dipercayai kerana diberikan ubat salah oleh ibunya berusia lewat 20-an.


    Malah, ketika dihantar ke hospital oleh ibunya, bayi terbabit dilaporkan tidak sedarkan diri.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di sebuah rumah di Taman Halaman, Ampang, di sini, suri rumah terbabit memberikan anak lelakinya itu ubat kerana demam.


    Menurut sumber, selepas lima minit kemudian, bayi terbabit muntah.


    “Tersentak dengan keadaan itu, ibunya bergegas membawa mangsa ke hospital. “Pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kepada bayi terbabit. Selepas rawatan pernafasan, bayi terbabit memuntahkan air dengan jumlah banyak,” katanya.

    Sumber berkata, selepas lebih empat jam diberikan rawatan, bayi terbabit meninggal dunia. Difahamkan, bedah siasat pertama sudah siap, namun pihak berkuasa masih menunggu laporan bedah siasat kedua untuk mengklasifikasikan kes berkenaan.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.

    myMetro | Bayi dua bulan diberi salah ubat maut

    Pilihan rakyat

    TRIPOLI: Kerajaan Libya semalam sekali lagi menawarkan untuk mengadakan pilihan raya untuk menentukan sama ada Muammar Gaddafi wajar terus berkuasa atau melepaskan jawatan sebagai pemimpin negara itu.

    Walaupun cadangan itu dijangka tidak mendapat sambutan daripada Nato, sebaliknya ia mungkin melebarkan lagi jurang perbezaan pendapat di kalangan anggota pertubuhan berkenaan.


    Sesetengah pihak semakin kuat mendesak supaya konflik di Libya diselesaikan secara politik selepas perang di negara itu memaksa anggota Nato membelanjakan berbilion ringgit.

    Pada masa sama, semakin ramai orang awam terbunuh akibat serangan udara pertubuhan berkenaan.


    Jurucakap kerajaan Gaddafi, Mussa Ibrahim, berkata Tripoli mencadangkan satu tempoh diberi bagi membolehkan dialog diadakan.


    Ia diikuti pemilihan dipantau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Afrika.

    “Jika rakyat Libya memutuskan Gaddafi perlu berundur, dia akan berundur. Jika rakyat berpendapat Gaddafi perlu kekal, dia akan kekal,” katanya.


    Namun, walau apa pun keputusan undian itu, kata Mussa, Gaddafi tidak akan mendapatkan perlindungan di luar negara.

    “Gaddafi tidak akan ke mana-mana, sebaliknya dia akan kekal dalam Libya,” katanya.


    Idea mengadakan undian itu mula-mula dibangkitkan anak Gaddafi, Saif al-Islam, awal bulan ini.


    Saranan itu kehilangan momentum apabila Perdana Menteri Libya, Al-Baghdadi Mahmudi, tampil menolaknya. - Reuters

    myMetro | Pilihan rakyat

    Iran uji peluru berpandu jarak jauh, sederhana

    TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran mula menjalani latihan misil selama 10 hari bagi “mengekalkan tahap bersiap sedia menghadapi serangan musuh”, merujuk kepada Amerika Syarikat dan Israel, lapor media tempatan.

    Memetik kenyataan ketua unit angkasa tentera elit itu, Amir Ali Hajizadeh, akhbar Sharq melaporkan, latihan “Rasul Teragung 6” itu membabitkan peluru berpandu jarak jauh dan sederhana.


    Kata Amir, latihan tentera itu diadakan di darat dan udara.

    “Ia bukan ancaman kepada mana-mana pihak, sebaliknya adalah mesej Iran mengenai keamanan dan persaudaraan kepada negara di rantau Teluk,” katanya. - Reuters

    myMetro | Iran uji peluru berpandu jarak jauh, sederhana

    Ferrari bilionair dilari pencuri

    SYDNEY: Beberapa pencuri melarikan kereta Ferrari istimewa milik seorang daripada lelaki paling kaya di Australia, Nathan Tinkler, lapor media semalam.

    Newcastle Herald melaporkan, Tinkler, 35, sedang tidur di rumah pinggir pantainya di utara Sydney apabila sekumpulan pencuri menceroboh Sabtu lalu.


    Selain melarikan jam tangan, komputer riba dan kamera digital, pencuri terbabit turut membawa bersama mereka kereta Ferrari California hitam Tinkler bernilai RM1.6 juta. Ketika ini, dipercayai hanya ada lima kereta seumpama itu di Australia.

    Tinkler ialah pemilik dan pengarah syarikat Tinkler Group yang terbabit dalam industri perlombongan arang batu.


    Pada 2006, Tinkler membuat pinjaman RM1.6 juta untuk membeli sebuah lombong arang batu sebelum menjualnya kepada syarikat lain pada harga RM876 juta. - AFP

    myMetro | Ferrari bilionair dilari pencuri

    Pemuda bunuh, minum darah remaja dihukum penjara seumur hidup

    GOETTINGEN (Jerman): Mahkamah semalam menjatuhi hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang lelaki berusia 26 tahun yang membunuh memakan dan meminum darah remaja pada November tahun lalu.

    Jan O diarah menjalani rawatan psikiatrik dan tidak berpeluang dibebaskan kerana terlalu bahaya.


    Dalam perbicaraan, defendan mengaku mencekik Nina, 14, sebelum meminum darah dan mengunyah sebahagian daging leher mangsa bagi “memuaskan nafsu.” Lima hari kemudian, dia mencekik mati remaja lelaki, Tobias, 13, apabila mangsa terjumpa mayat Nina di kawasan semak.

    Pada peringkat awal, defendan menyangka Tobias perempuan kerana remaja terbabit berambut panjang. - AFP

    myMetro | Pemuda bunuh, minum darah remaja dihukum penjara seumur hidup

    Simpan telefon bimbit dalam tin biskut elak diintip

    BERLIN: Sebuah syarikat kimia Jerman berkata semalam, pengurusnya sudah mula menyimpan telefon bimbit dalam tin biskut ketika mesyuarat sebagai usaha mengawal pengintipan perindustrian.

    “Kami diberitahu oleh pakar bahawa telefon bimbit semakin digunakan secara meluas oleh pengintip untuk mencuri dengar perbincangan, meskipun ketika ia dimatikan,” kata jurucakap syarikat Evonik, Alexandra Boy.

    Dia berkata, langkah itu diambil apabila isu sensitif dibincangkan.

    Menurut Boy, tin biskut mempunyai apa yang dipanggil kesan Farraday yang menyekat radiasi elektro- magnet.


    Ini menyebabkan ia mengalang usaha menggodam telefon bimbit, bukan setakat panggilan, tetapi juga e-mel. - AFP

    myMetro | Simpan telefon bimbit dalam tin biskut elak diintip

    Datuk cipta kereta Batman

    WORCHESTER: Seorang datuk, Brian Vann kini bergerak menggunakan skuter yang diubah suai menjadi kenderaan Batman.

    Dia mencipta kereta elektrik yang berkelajuan 12.8 kilometer sejam selama beberapa minggu untuk membolehkannya dilihat seperti kereta Batman.


    Kini Vann, 74, dikerumuni peminat apabila dia berpakaian seperti superhero itu dan memandu kereta berkenaan ke kedai dari rumahnya.

    Rakannya, Alan Holden pula bertindak sebagai ‘Robin’ yang akan mengekorinya dengan menunggang skuter dengan pelekat berbunyi ‘Beri Laluan Kepada kereta Batman.’ Brian dari Evesham, Worchester memulakan projek itu selepas isterinya, Mary, mati sembilan bulan lalu.


    Pesara pekerja binaan itu juga tidak boleh berjalan jauh.


    “Kaki saya tidak sekuat dulu dan skuter ini membantu. “Namun rekaan asalnya tidak menarik. “Sambutan terhadap kereta Batman diluar dugaan. Orang ramai memberhentikan kenderaan mereka untuk mengambil gambar. Dia kini berusaha membina skuter kapal angkasa Thunderbirds. - Agensi

    myMetro | Datuk cipta kereta Batman

    Tiga sahabat culik gadis dihukum mati



     TERTUDUH  dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas dijatuhi hukuman mati, semalam.
    TERTUDUH dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas dijatuhi hukuman mati, semalam.

    Dua rakan tertuduh masih juvana dipenjara

    JOHOR BAHRU: Tiga sahabat dijatuhi hukuman mati, manakala dua rakan mereka yang masih juvana dipenjarakan sehingga perkenan Sultan Johor oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah menculik seorang pelajar perempuan tiga tahun lalu.
    Tertuduh P Steven, 27; P Vicknes, 29, dan R Ravikumar, 22, bersama dua lagi tertuduh, M Saravanen dan D Ragesh, ketika itu masing-masing berusia 19 tahun, disabitkan kesalahan menculik P Shalini, ketika kejadian berusia 13 tahun.
    Mereka berdepan tuduhan menculik mangsa yang ketika itu berjalan kaki bersama dua rakannya ke sekolah di Jalan Datuk Abdul Hamid, Tampoi, dengan niat mendapatkan wang tebusan RM500,000 daripada keluarga mangsa, jam 11.20 pagi pada 28 April 2008.

    Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

    Namun, dua tertuduh terselamat daripada hukuman mati kerana faktor juvana ketika melakukan kesalahan itu, dipenjara sehingga tempoh perkenan Sultan Johor mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.

    Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, manakala Steven, Saravanen, Ragesh dan Ravikumar diwakili peguam bela, Mohd Haijan Omar, sementara Vicknes diwakili peguam bela, S Vijayaretnam @ Veizay.
    Dalam rayuannya sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd Haijan merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan kerana itu kesalahan pertama mereka.
    Berita Harian Online | Tiga sahabat culik gadis dihukum mati

    Janda dera anak didenda RM34,000

    KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didenda RM34,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan mendera anak lelakinya berusia lapan tahun termasuk meletakkan tangan kanak-kanak itu di atas api dapur, November tahun lalu.

    Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Sok Phing, 37, dan turut memerintahkannya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun serentak jika gagal membayar jumlah denda berkenaan berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 27 November 2010.
    Bagi tuduhan pertama, Sok Phing didenda RM15,000 atau penjara satu tahun bagi kesalahan mendera dengan merotan kedua-dua paha anak kandungnya, Tham Ming Tong sebanyak enam kali di bilik rumahnya di Nombor 18A, Jalan Gelang Off, Jalan Sungai Besi di sini, jam 10.30 malam, 27 November tahun lalu.
    Bagi tuduhan kedua, dia didenda RM15,000 atau satu tahun penjara kerana mendera Ming Tong dengan meletakkan kedua-dua tangan anaknya itu di atas api dapur pada masa, tarikh dan tempat sama.

    Bagi kedua-dua kesalahan itu, Sok Phing didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

    Sok Phing yang bekerja sebagai promoter jualan didenda RM4,000 atau satu tahun penjara atas tuduhan ketiga iaitu membiarkan kanak-kanak terbabit tanpa pengawasan, antara jam 10 pagi hingga 10.30 malam, pada tarikh dan tempat yang sama.

    Bagi tuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
    Terdahulu, pada prosiding sebelah pagi, Sok Phing mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan berkenaan sebelum Zaki Asyraf menetapkan jaminan sebanyak RM45,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala Sok Phing diwakili peguam, Wan Azmir Wan Majid.
    Berita Harian Online | Janda dera anak didenda RM34,000

    'Tak sangka lihat mayat adik'




    Allahyarham Mohd Nazri Ali
    Allahyarham Mohd Nazri Ali

    Remaja 18 tahun maut terjatuh dari tingkat 10 rumah pangsa

    KUALA LUMPUR: “Saya langsung tidak menyangka apabila turun ke tingkat bawah dan melihat mayat lelaki berlumuran darah yang dikatakan terjatuh dari tingkat 10 flet kami adalah adik kandung saya,” kata Muhammat Sobbri Ali, 24, mengenai adiknya, Mohd Nazri, 18, yang mati terjatuh di tingkat bawah Flet Angsana, Taman Subang Mewah, USJ 1 di sini, awal pagi semalam.
    Sobbri yang tinggal di tingkat 1 flet itu bergegas turun dari rumahnya kira-kira jam 3 pagi sebaik dimaklumkan jirannya mengenai ada lelaki yang jatuh bangunan.
    “Saya terkejut apabila melihat lelaki itu adalah adik saya. Saya sangat sedih melihat keadaannya yang amat parah, apatah lagi apabila melihat dia menghembuskan nafas terakhir sebelum sempat dibawa ke hospital.

    “Orang ramai yang berkumpul di situ memberitahu dia terjatuh dari tingkat 10. Kami tinggal bersama di Tingkat 1... saya tidak tahu apa yang dia buat di tingkat 10 ketika itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, semalam.

    Sobbri berkata, kali terakhir beliau berjumpa adiknya adalah kira-kira jam 11 malam kelmarin.

    “Ketika itu, arwah beritahu hendak keluar untuk bertemu dengan beberapa rakannya,” katanya.
    Arwah adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik.

    Seorang lagi abang mangsa, Muhammad Hasbi, 20, berkata beliau amat sedih dengan kehilangan Nazri kerana hubungan mereka berdua amat rapat memandangkan jarak umur mereka yang amat dekat.

    “Kami berdua amat rapat kerana saya anak keenam dan arwah anak ketujuh. Hubungan kami lebih seperti rakan karib dan sekiranya dia ada masalah, dia akan bercerita dengan saya.

    “Setahu saya, arwah tidak mempunyai musuh dan amat disenangi oleh rakan-rakannya. Arwah juga ada beritahu yang dia hendak cari kerja selepas kad pengenalan barunya siap kerana sebelum ini kad pengenalannya hilang,” kata Hasbi.

    Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas Asar di kampung halaman mereka di Tanah Perkuburan Kampung Kuantan, Batang Kali.

    Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

    Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia awal 30-an patah kaki kanan, leher dan tangan kiri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah apartmen di Plaza Idaman, Setapak di sini, semalam ketika leka berbual melalui telefon dengan teman wanitanya.

    Ketika kejadian jam 3 pagi itu, mangsa dikatakan duduk mencangkung di tembok tempat letak kereta apartmen berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh.
    Berita Harian Online | 'Tak sangka lihat mayat adik'

    Jaket Jacko RM5.4j


    JAKET   yang pernah dipakai  Michael Jackson dalam video ‘Thriller’   dilelong dengan harga AS$1.8 juta.
    JAKET yang pernah dipakai Michael Jackson dalam video ‘Thriller’ dilelong dengan harga AS$1.8 juta.



    Baju pencetus kegilaan fesyen pada 1980

    LOS ANGELES: Satu jaket kulit merah dan hitam yang pernah dipakai Raja Pop, Michael Jackson dalam video Thriller dilaporkan dilelong dengan harga AS$1.8 juta (RM5.4 juta) semalam, sehari selepas peminatnya menyambut ulang tahun kedua kematian ikon seni terbabit.
    Jaket itu yang dibeli pada harga beberapa kali lebih tinggi daripada nilai yang dianggarkan antara AS$200,000 (RM600,000) dan AS$400,000 (RM1.2 juta) mempunyai tulisan ‘Love Michael Jackson” di lengannya dan didedikasikan kepada pereka kostum.
    Maklumat mengenai pembelinya tidak didedahkan selepas tawaran bidaan yang dimenangi itu dikirimkan melalui halaman web rumah lelongan Julien, Beverly Hills.

    Pelelong menyifatkan jaket itu sebagai antara yang paling diingati dan terkenal pada abad ke 20, mencetuskan kegilaan fesyen pada 1980 apabila ia ditiru dan dijual kepada peminat Jackson atau Jacko di seluruh dunia.

    “Jaket hitam dan merah menjadi identiti Jakcson apabila beliau terus menggunakan jaket dengan reka bentuk yang sama ketika mempersembahkan lagu ‘Thriller’ sepanjang karier beliau, katanya.

    Jaket itu adalah satu daripada dua yang pernah digunakan Jackson ketika video ikon beliau manakala yang lain dipamerkan di muzium Rock and Roll Hall of Fame di Cleveland, Ohio.
    Sebahagian daripada jualan itu akan diserahkan kepada Shambala Preserve di California, tempat Jackson mempunyai dua harimau Benggala bernama Thriller dan Sabu yang berada di situ sejak 2006 apabila penyanyi berkenaan meninggalkan Neverland Ranch, katanya.

    Pada Sabtu lalu, peminatnya di seluruh dunia meraikan ulang tahun kedua kematian Jackson yang berusia 50 tahun.

    Beliau meninggal dunia akibat pengambilan ubat bius melebihi dos ketika sibuk membuat persiapan siri konsert kemunculan semula beliau di London.

    Doktor peribadinya, Conrad Murray, dijangka akan menjalani perbicaraan atas dakwaan membunuh tanpa niat di Los Angeles pada September ini. – AFP Berita Harian Online | Jaket Jacko RM5.4j

    Belerang mancis jadi makanan kegemaran budak

    PEMALANG (Jawa Tengah): Seorang budak perempuan berusia 29 bulan dari Pemalang, Jawa Tengah dilaporkan mempunyai tabiat pelik memakan mancis. Malah budak terbabit dilaporkan boleh menghabiskan sehingga dua kotak batang mancis dalam masa dua hari.

    Tiara Handayani, anak bongsu pasangan Bejo, 34, dan Sri Handayani, 28, dilaporkan mula mengamalkan tabiat pelik itu ketika berusia setahun.
    Ibu bayi terbabit mendapati anaknya itu mengunyah bahagian belerang mancis itu dan membuang batangnya.
    “Kami terkejut apabila mendapati Tiara memakan sekotak penuh mancis tetapi kami lega kerana dia tidak mengadu sakit perut atau sakit kepala kerana memakannya,” kata Sri Handayani, ibu Tiara kepada agensi berita Antara.

    Ibu bapa Tiara cuba menghentikan tabiat buruk anaknya itu tetapi budak berkenaan mempunyai cara sendiri untuk memastikan tabiatnya itu dapat dipenuhi. – Agensi
    Berita Harian Online | Belerang mancis jadi makanan kegemaran budak

    Demam scarlet landa Hong Kong


    PEKERJA membersihkan kerusi di sebuah sekolah di Hong Kong selepas  seorang pelajarnya mati akibat demam scarlet.
    PEKERJA membersihkan kerusi di sebuah sekolah di Hong Kong selepas seorang pelajarnya mati akibat demam scarlet.


    HONG KONG: Hong Kong kini dilanda bakteria tahan ubat yang tiada sejak menyerang banyak negara maju beberapa abad lalu iaitu demam scarlet menyebabkan dua kanak-kanak maut setakat ini, seorang daripadanya di China, dengan bilangan kes mencapai 500.

    Virus bakteria penyebab demam scarlet juga disyaki sudah berubah atau melalui proses mutasi. Kemungkinan besar mutasi virus berlaku dan boleh berjangkit menyebabkan pegawai kesihatan pulau selatan China itu mengeluarkan amaran supaya tujuh juta penduduknya lebih sensitif terhadap apa jua penyakit berjangkit.
    Pakar memberi amaran virus utama bakteria itu mudah berjangkit. Ia juga memiliki daya tahan ubat sehingga 60 peratus khususnya dua ubat yang biasa diberi kepada pesakit selain paras ketahanan sehingga 10 hingga 30 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.
    Penyakit itu menyebabkan kanak-kanak demam, sakit tekak, lidah menjadi merah terang dan adanya ruam kecil.

    Penisilin masih boleh mengubatinya tetapi doktor bimbang kuman itu mampu bertahan dan berubah menjadi lebih kuat daripada antibiotik sebelum vaksin ditemui.

    “Ini punca banyak mimpi ngeri,” Dr Edward Kaplan yang mengetuai pusat penyelidikan kuman ‘strep’ (streptococcus) yang menyebabkan demam scarlet Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

    Kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang mati bulan lalu menjadi mangsa pertama yang direkodkan akibat demam scarlet di Hong Kong dalam tempoh 10 tahun, sementara kanak-kanak lelaki berusia lima tahun menemui ajal Selasa lalu.
    Kedua-dua mangsa menjadi kritikal dengan cepat di hospital dan kematian berpunca daripada sindrom kejutan toksik akibat jangkitan. – AP Berita Harian Online | Demam scarlet landa Hong Kong

    Negara Palestin boleh cetus perang: Mofaz

    TEL AVIV: Usaha Palestin meminta sokongan dunia bagi membentuk negara pada September ini boleh membawa kepada perang dengan Israel selain menjejaskan rantau itu.

    Pada satu temu bual, Shaul Mofaz yang mengetuai Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Asing berkata, beliau akan menggesa Perancis tidak menyokong usaha itu apabila melawat Paris mulai semalam.
    “Kemungkinan perisytiharan sebelah pihak boleh membawa penduduk Palestin keluar membantah di jalanan dan ia mungkin membawa konflik,” kata Mofaz, bekas menteri pertahanan yang juga Ahli Parlimen parti pembangkang, Kadima.
    “Amat sukar untuk meramalkan apa akan berlaku. Dalam situasi ini, konflik Israel-Palestin boleh membawa kepada realiti teruk,” katanya.

    Mofaz, 62, yang juga bekas ketua staf tentera ketika kebangkitan kedua Palestin tercetus pada 2000 dan berkhidmat sebagai menteri pertahanan di bawah Ariel Sharon, mengetuai delegasi lima ahli jawatankuasa Parlimen Israel melawat Perancis dan Jerman tiga hari.

    “Di Perancis, saya akan maklumkan kepada mereka kami menentang proses sebelah pihak di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menentang sokongan bagi proses unilateral ini,” kata Mofaz yang akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Perancis, Alain Juppe dan rakan sejawatnya di Perhimpunan Kebangsaan dan Senat.

    Palestin merancang untuk mendapatkan pengesahan di Perhimpunan Agung PBB September ini bagi negara dalam sempadan yang wujud sebelum Perang Enam Hari pada 1967. Perancis mungkin mengiktiraf negeri bebas Palestin jika rundingan damai tidak berlangsung semula sehingga September.
    Jerman seperti Amerika Syarikat menentang usaha sebelah pihak dan menerima pendirian Israel bahawa semuanya perlu dibuat melalui rundingan.

    Walaupun Mofaz berkongsi pendirian kerajaan Israel terhadap usaha September itu, beliau mengkritik Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kerana tidak membentangkan sebarang alternatif.

    “Sebagai pembangkang saya sedih kerana kerajaan Israel tidak mempunyai rancangan lain untuk diletakkan di meja dan mengatakan ‘ini adalah inisiatif kami’,” katanya. – AFP
    Berita Harian Online | Negara Palestin boleh cetus perang: Mofaz

    Hakim ICC arah tangkap Gaddafi

    THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, anak lelakinya dan ketua perisikannya semalam, atas tuduhan melakukan jenayah kemanusiaan.

    Hakim mengumumkan Gaddafi dikehendaki kerana merancang pembunuhan, kecederaan dan menahan ratusan orang awam ketika bantahan meletus 12 hari pertama untuk menggulingkannya daripada kuasa selepas lebih empat dekad dan cuba melindungi jenayahnya.
    Hakim yang mempengerusikan sesi itu, Sanji Monageng dari Botswana berkata, ada alasan munasabah bahawa Gaddafi dan anak lelakinya bertanggungjawab melakukan jenayah bersama kerana membunuh dan menghukum orang awam. – AP
    Berita Harian Online | Hakim ICC arah tangkap Gaddafi

    Lelaki dakwa dari Malaya mahu pulang

    DHAKA: Seorang lelaki yatim piatu berusia 76 tahun yang mendakwa dirinya berasal dari Malaya ketika era perang Dunia Kedua dan menghabiskan sepanjang hidupnya di Bangladesh, menyuarakan harapan untuk kembali ke tanah air asalnya.

    Pegawai kanan Palang Merah di Singapura dan Malaysia dilaporkan cuba menjejaki ahli keluarga Shahadat Hossain Ana yang masih ada dengan membawa gambar beliau bagi mencari mereka yang masih mengenalinya.
    “Saya sudah uzur dan akan mati bila-bila masa. Tetapi, saya mahu mati di negara asal saya. Saya juga mahu membawa bersama anak-anak kembali ke Malaya,” kata Shahadat.
    Pada usia lapan tahun, Shahadat ditemui oleh tentera British, berkemungkinan di tanah jajahan British Malaya atau Singapura pada masa kini dan diserahkan kepada seorang pemandu Bangladesh, Abdul Latif, yang bekerja dengan Tentera Bersekutu ketika itu. – AFP
    Berita Harian Online | Lelaki dakwa dari Malaya mahu pulang

    Air kencing ada bahan radioaktif

    Pencemaran radiasi ditemui di kalangan penduduk Fukushima

    TOKYO: Seramai 15 penduduk Fukushima daripada kawasan luar dan bandar Kawamata didapati mempunyai lebih 3 milisievert radiasi dalam air kencing 15 penduduk yang mengesahkan pendedahan radiasi dalaman, lapor agensi berita Kyodo, kelmarin.
    Kedua-dua kawasan terbabit terletak kira-kira 30 hingga 40 kilometer dari loji kuasa nuklear Fukushima No.1 yang melepaskan bahan radioaktif ke udara sejak kejadian 11 Mac lalu apabila gempa bumi disusuli tsunami menyebabkan teras utama kemudahan berkenaan lebur.
    “Ini bukan menjadi masalah jika mereka tidak memakan sayur atau produk lain yang tercemar. Tetapi, ini menandakan mereka semakin bermasalah jika meneruskan kehidupan di kawasan ini,” kata Nanao Kamada, profesor madya biologi radiasi di Universiti Hiroshima.

    Kamada bersama sepasukan doktor termasuk Osamu Saito dari Hospital Watari di bandaraya Fukushima menjalankan dua pusingan ujian terhadap setiap penduduk pada awal dan akhir Mei, menggunakan sampel air kencing daripada 15 penduduk berusia antara 4 dan 77 tahun.

    Kesan radioaktif ditemui pada kedua-dua ujian yang dijalankan kepada setiap penduduk. Iodin radioaktif setinggi 3.2 milisiervert dalam enam penduduk wujud dalam kajian pertama tetapi tiada dalam ujian kedua.

    Data itu menunjukkan pendedahan dalaman terkumpul adalah antara 4.9 hingga 13.5 milisieverts, menjadikan jumlah besar adalah antara 4.9 hingga 14.2 milisievert sepanjang dua bulan terbabit, kata mereka. – Agensi
    Berita Harian Online | Air kencing ada bahan radioaktif