Pages

Saturday, January 7, 2012

Pemisah Islam serang kem polis

NARATHIWAT: Lebih 30 suspek pemisah Islam menyerang kem polis di selatan Thailand semalam.

Dua pegawai polis mati dalam kejadian itu menjadikan enam orang setakat ini yang terkorban dalam keganasan di wilayah itu, dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Tiga pegawai lagi turut tercedera.

Dalam serangan awal pagi itu, mereka menyerbu asrama sewaktu pegawai polis sedang tidur di wilayah Narathiwat dan mencuri lima senjata berat dan peluru.

“Serangan dirancang dengan baik, sebagai tindak balas kepada serbuan kami memusnahkan dua gudang senjata mereka, Disember lalu,” kata Ketua Polis, Kolonel Satanpah Wamasingha.- Bangkok PostmyMetro | Pemisah Islam serang kem polis:

'via Blog this'

Desak Hosni digantung

KAHERAH: Pendakwa raya dalam kes perbicaraan Hosni Mubarak, semalam merayu mahkamah supaya menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas presiden itu kerana kesalahan membunuh penunjuk perasaan ketika pemberontakan yang menggulingkannya.

Dalam penggulungan hujah penuh emosi pada perbicaraan itu, pendakwa raya berkata, Hosni, yang terlantar di atas pengusung dalam kandang tertuduh, perlu menjalani hukuman mati kerana mengarahkan pembunuhan penunjuk perasaan.


“Undang-undang memperuntukkan hukuman mati terhadap kesalahan dalam kes pembunuhan yang dirancang,” kata Mustafa Khater kepada hakim, Ahmed Refaat.

“Roh mereka yang terbunuh bertanya, di manakah hakim di dunia, hakim yang adil yang akan mendengar aduan kami, yang akan menghukum mereka yang menindas. “Pendakwa dan masyarakat Mesir mengharapkan kebenaran, menyedari bahawa semua orang adalah sama dari segi undang-undang dan darah rakyat Mesir tidak lagi murah,” kata Khater dalam penggulungan itu.


Tuntutan rasmi hukuman mati terhadap Hosni, yang ditahan di sebuah hospital tentera kerana menjalani rawatan sakit jantung dan tujuh ketua keselamatannya yang dibicarakan bersama-samanya, mengakhiri kes pendakwa raya.


Peguam bela dan peguam yang mewakili mangsa, akan memberi hujah balas mereka mulai Isnin ini.

Ketua Pendakwa Raya, Mustafa Suleiman memberitahu mahkamah, Hosni, 83, sudah pasti mengarahkan polis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan sepanjang 18 hari pemberontakan itu yang mengakhiri pemerintahannya selama lebih 30 tahun, menyebabkan lebih 850 orang mati. - AFPmyMetro | Desak Hosni digantung:

'via Blog this'

Maut dituduh amal sihir

LONDON: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diseksa dan dilemaskan dalam air pada Hari Krismas selepas saudara-maranya menuduh dia mengamalkan ilmu sihir, mahkamah Britain diberitahu, semalam.

Kristy Bamu mengalami sebanyak 101 kecederaan akibat diserang dengan pahat, tukul besi dan besi. Dia dilaporkan mengalami kesakitan yang amat sangat hingga merayu agar dia mati saja, kata pendakwa raya kepada mahkamah Old Bailey di sini.


Mangsa dan dua adik lelaki serta dua adik perempuan nya berkunjung ke bandar raya ini dari Paris, di mana mereka tinggal bersama ibu bapa mereka untuk menginap di flet kakak mereka, Magalie di Newham, di timur London.

Pendakwa raya berkata, teman lelaki Magalie, Eric Bikubi adalah dalang yang memulakan angkara, menuduh Bamu dan dua adik perempuannya mengamalkan sihir. Bikubi kemudian melancarkan kempen untuk menyeksa mereka.


Kakak Bamu terpaksa bersekongkol dalam serangan itu ketika lima adiknya menginap selama empat hari di situ. Mereka ditempatkan dalam tab mandi dan dipancut dengan air sejuk pada 25 Disember 2010.


Anggota paramedik dipanggil selepas Bamu jatuh pengsan, tetapi dia kemudian diumumkan mati. Laporan bedah siasat mendapati dia mati akibat dibelasah dan dilemaskan dalam air.

“Bamu menjadi mangsa keganasan dan serangan kejam yang berlanjutan,” kata pendakwa raya Brian Altman.


Beberapa panggilan dibuat kepada ibu bapa kanak-kanak berkenaan di ibu negara Perancis itu tetapi bapa mereka tidak tahu apa yang berlaku. - AFPmyMetro | Maut dituduh amal sihir:

'via Blog this'

6,000 lagi kad kredit warga Israel digodam

BAITULMAQDIS: Sekumpulan penggodam Arab Saudi yang menggelar diri mereka ‘group-xp mendedahkan butir lebih 6,000 kad kredit warga Israel di atas talian, perbuatan kedua seumpamanya dalam masa tiga hari.

Radio Tentera Israel melaporkan semalam, butir mengenai kejadian terbaru itu didedahkan semalam dalam Internet oleh seorang penggodam yang menggunakan nama ‘OxOmar,’ daripada group-xp yang berkata dia sudah mendedahkan maklumat 11,000 kad.


Bagaimanapun, tiga syarikat utama kad kredit Israel berkata jumlah kad yang terjejas hanya 6,050. - ReutersmyMetro | 6,000 lagi kad kredit warga Israel digodam:

'via Blog this'

Gempa bumi gegar Ternate, Maluku Utara


07/01/2012 5:02pm

JAKARTA - Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ternate, Maluku Utara pukul 2.31 petang tadi, waktu Indonesia Barat.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia, pusat gempa terletak di kawasan laut iaitu 100 kilometer barat laut Ternate, Maluku Utara dan 234 kilometer timur laut Bitung, Sulawesi Utara.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak berpotensi mengakibatkan tsunami. - BERNAMA

Kosmo! Online - Terkini:

'via Blog this'

Pengsan selepas dirasuk orang minyak


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 7, 2012
Pengsan dirasuk orang minyak

SELANGOR – Serangan orang minyak di Kampung Laksamana semakin menjadi-jadi dan kali ini sasarannya adalah sebuah rumah di Jalan 10.

Pada kejadian jam 1 pagi semalam, penghuni rumah itu terkejut selepas terdengar bunyi dentuman dan orang berjalan di atas bumbung.

Pemilik rumah, Hafiz Zainudin, 22, berkata, dia yang masih belum tidur ketika itu terkejut apabila terdengar jeritan adiknya sebelum mendengar bunyi orang berjalan di atas bumbung.

Menurutnya, bunyi yang didengari cukup jelas dan dia tidak berani keluar rumah kerana terlalu takut.

“Saya memeriksa bumbung rumah selepas itu dan mendapati atap bahagian luar rumah pecah.

“Sebelum ini atap rumah berada di dalam keadaan elok, tetapi selepas kejadian terdapat kerosakan yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu adiknya, Shahria Zainudin, 15, berkata, ketika kejadian dia sedang menggosok baju sekolahnya.

Jelasnya, bunyi dentuman itu sangat kuat membuatkan dia panik terutama selepas kampung ini kecoh dengan cerita orang minyak.

“Kejadian tersebut pertama kali berlaku sejak 10 tahun kami tinggal di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, pada malam yang sama beberapa petunjuk lain turut diperoleh bagi mengesan mereka yang bertanggungjawab terhadap gangguan yang berlaku di kampung sejak dua minggu lalu.

Sinar Harian ke sebuah lagi rumah di Jalan Nakhoda Kanan bagi menemui seorang wanita Roshani Muda, 38, yang dirasuk oleh orang minyak terbabit.

Wanita itu memberitahu orang minyak tersebut tinggal di kediaman bertingkat di kawasan sama.

Dalam pada itu, beberapa penduduk cuba mengesan kedudukan rumah yang digambarkan wanita dan siasatan mengenainya kini dilakukan untuk memberkas individu berkenaan.


Dakwa hantu raya

GOMBAK - Pengamal perubatan alternatif, Pak Yob, 55, menegaskan makhluk yang mengganggu penduduk Kampung Laksamana sejak lebih dua minggu adalah hantu raya bukannya orang minyak.

Menurutnya, orang minyak lazimnya tidak memasuki tubuh sesiapa sebaliknya perkara itu hanya boleh dilakukan oleh hantu raya.

“Hantu raya ini adalah belaan manusia, apa yang perlu dibuat sekarang ialah kena kesan siapa yang membelanya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pak Yob berkata, berdasarkan pengalamannya, hantu raya boleh menghuru-harakan kawasan setempat sekiranya makhluk itu diarah berbuat demikian ataupun dia sudah tidak mempunyai tuan.

“Kalau hantu itu tidak mempunyai tuan, dia akan merayau-rayau di seluruh kampung,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan gambaran, hantu raya itu berwarna hitam dan berbulu lebat.

Sementara itu, seorang warga emas mendakwa dia ternampak kelibat hitam di belakang rumahnya ketika sedang berjaga di luar rumah Isnin lalu.

Shamsudin Kassim, 63, berkata, dia terkejut selepas terdengar zink rumahnya berbunyi sebelum ternampak seperti kelibat hitam di celah pokok pisangnya.

“Ketika itu saya dan dua orang lagi rakan sedang berjaga dan kelibat itu ghaib dengan pantas,” katanya.

Menurutnya, dia hanya sempat melihat pelepah pisang bergoyang dengan ketara selama beberapa saat seolah-olahnya ia sengaja dibuat.

Pengsan selepas dirasuk orang minyak - Selangor & KL - Sinar Harian:

'via Blog this'

Nombor ekor pada ayat Quran


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 7, 2012
Nombor ekor pada ayat Quran

BALIK PULAU – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Cawangan Barat Daya menggesa pihak berwajib untuk menyiasat cetakan keputusan nombor ramalan di sebalik kertas yang mengandungi ayat suci al–Quran.

Yang Dipertuanya, Mohd Faiz Mohamed Rafeek berkata, tindakan tidak bertanggungjawab syarikat nombor ramalan di pekan Kongsi itu dikesan oleh rakannya pada 1 Januari lalu kira–kira jam 8 malam.

“Saya memintanya untuk mendapatkan kertas tersebut dan alangkah terkejutnya apabila keputusan nombor ramalan itu sememangnya mengandungi ayat al–Quran.

“Tindakan syarikat itu secara tidak langsung menyentuh sensitiviti umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, tidak sepatutnya kertas yang bercetak ayat al–Quran digunakan sebagai catatan keputusan nombor ramalan, walaupun kertas tersebut dikitar semula dan laporan sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kelmarin.

“Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Mainpp) perlu memainkan peranan untuk membongkar isu yang berlaku di Balik Pulau,” katanya.

Mohd Faiz berkata, beliau turut mendapat sokongan rakan–rakan laman sosial yang bersetuju akan tindakan yang diambil.

“Bukan itu sahaja, saya turut mengajak mereka yang berminat untuk menyerahkan memorandum kepada Mainpp pada minggu hadapan bagi menyatakan kekesalan umat Islam akan kejadian itu.

“Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim juga perlu tampil dan membantu memberi penjelasan agar isu tersebut dapat diselesaikan dengan lebih efektif,” katanya.

Nombor ekor pada ayat Quran - Utara - Sinar Harian:

'via Blog this'

9 warga Indonesia terlepas hukum mati

Kedutaan di Arab Saudi sediakan penterjemah, peguam bantu rakyat bersalah kes jenayah

JAKARTA: Kedutaan Indonesia di Arab Saudi berkata ia berjaya menyelamatkan sembilan daripada 15 warganya yang dihukum mati di negara Islam itu.
“Daripada 15 kes rakyat Indonesia yang menerima hukuman mati, sembilan daripadanya berjaya diselamatkan kedutaan Indonesia di Riyadh pada 2011,” kata agensi berita Antara memetik satu kenyataan kedutaan yang diterimanya dari Riyadh, kelmarin.
Kenyataan itu berkata proses perbicaraan untuk enam lain masih belum berakhir dan kedutaan menawarkan bantuan berterusan, termasuk menyediakan penterjemah dan peguam.

Kenyataan itu menyebut sebahagian daripada sembilan orang yang menerima pembatalan hukuman sudah pulang ke tanah air. Mereka termasuk Darsem Daud Tawar, yang dituduh membunuh anak lelaki majikannya, tetapi sudah mendapatkan pengampunan dari keluarga itu dan kembali ke Indonesia Julai lalu.

Bayanah Banhawi, yang didapati bersalah membunuh anak majikannya berusia empat tahun, mendapat penukaran hukuman mati kepada penjara kerana cuai sehingga mengakibatkan kematian. Dia sejak itu dibebaskan dan kembali ke Indonesia Disember lalu.

Neneng Sunengsih Mamih, yang juga didapati bersalah membunuh bayi majikannya, kemudian dilepas dan dibebaskan. Neneng masih berada di bangunan kedutaan di Riyadh, menunggu kepulangannya ke Indonesia hujung bulan ini.
Darmanti Kusandi Harjum Karim dan Junaesih Oman Diyar, kedua-duanya menanti hukuman mati kerana didakwa menggunakan sihir, kemudian mendapat pertukaran kepada hukuman penjara.

Sumartini Manaungi Galisung dan Warnah Warta Niing yang turut dihukum mati kerana menggunakan sihir juga ditukar kepada hukuman penjara.

Dua lagi amah Indonesia, Milan Nuryani dan Yumanaha Nagabiyu, dijatuhi hukuman mati dengan rejam kerana berzina namun ditukar kepada hukuman penjara.

Kenyataan kedutaan berkata untuk menyediakan bantuan perundangan kepada warga Indonesia bermasalah dengan undang-undang di Arab Saudi, kedutaan di Riyadh dan konsulat besar di Jeddah bekerjasama dengan peguam tempatan.

Pada 13 Disember lalu, kedutaan menandatangani satu kontrak dengan seorang peguam tempatan, Abdullah Abdurrahman Al Muhaemeed, sementara konsulat besar di Jeddah dijangka menandatangani satu kontrak tidak lama lagi dengan peguam tempatan, Khuddran Mufsir Al Zahrani.

Kedutaan berkata, ia juga secara kerap menerbitkan Warta Indonesia, majalah yang membantu menyebarkan maklumat di kalangan warganya yang tinggal dan bekerja di Arab Saudi mengenai risiko perundangan yang dihadapi mereka jika terbabit dalam jenayah atau pelanggaran undang-undang di negara itu. – Agensi
Berita Harian Online | 9 warga Indonesia terlepas hukum mati:

'via Blog this'

5,000 artifak Titanic dilelong

MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
MATA wang dolar dan sekeping syiling emas yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic adalah antara barangan yang akan dilelong 11 April ini. Gambar kecil jam poket kepunyaan penumpang kelas tiga kapal Titanic dikenali William Hanry Allen dipamerkan pada pra tonton di New York kelmarin.
Jualan dijangka raih RM595 juta

NEW YORK: Lima ribu artifak yang ditemui dari kapal Titanic yang terkubur di Lautan Atlantik termasuk kepingan badan kapal itu seberat 17 tan, hingga pinggan mangkuk yang pernah digunakan untuk penumpang kelas pertama, akan dilelong di sini 100 tahun selepas kapal itu karam.
Koleksi tidak pernah dikumpul sebelum ini akan dilelong dalam satu sesi jualan oleh firma lelongan Guernsey’s Auctioneers pada 11 April ini, genap 100 tahun selepas pelayaran pertama Titanic ke bandaraya ini yang menjadi destinasi sebenar kapal itu apabila ia tenggelam selepas terlanggar bongkah ais di luar Newfoundland.
Guernsey’s menyifatkan lelongan itu sebagai “bersejarah” dan berkata ia adalah “pertama dan satu-satunya objek lelongan yang diselamatkan dari tapak kapal karam Titanic sedalam empat kilometer di dasar laut.”

Pelelong menganggarkan barangan itu akan dijual dengan harga AS$189 juta (RM594.59 juta).

Barangan itu, beberapa yang dipamerkan kelmarin, mengingatkan kembali kisah mengerikan membabitkan1,500 penumpang yang maut apabila kapal White Star yang sepatutnya tidak boleh tenggelam, belayar keluar dari Southampton, England, karam.

Presiden Guernsey’s, Arlen Ettinger, berkata koleksi itu perlu kekal sebagai satu lot tunggal untuk “menggambarkan memori kapal hebat” dan “supaya generasi akan datang sentiasa mempunyai peluang melihatnya.”
Pusat lelongan berkata jualan itu “bergantung kepada perjanjian dan syarat tertentu bagi memastikan koleksi itu akan dikekalkan dengan baik dan boleh dipamerkan kepada orang awam.”

Ia termasuk kit bercukur hinggalah mainan kanak-kanak, paip tembakau dan butang tembaga pada seragam biru laut tentera dipakai Kapten Edward Smith dan pegawainya.

Gambaran kehidupan glamor di atas kapal terserlah dengan adanya barangan seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lampu hiasan yang pecah dari A la Carte Restaurant, pinggan mangkuk perak dan tembikar biru emas.

Tinggalan bahagian kapal yang masih berfungsi juga berada dalam blok lelongan. Kompas dipantau pegawai pemerhati bilik kawalan turut dijual bersama lampu, tiga wisel gangsa dari saluran dan sebuah loceng.

Antara objek paling menarik perhatian adalah megafon yang dijaga dengan baik. Pelelong berkata ia mungkin yang digunakan kapten ketika beliau mengarahkan pengosongan ke dalam bot penyelamat dan memberi arahan terakhirnya:
“Tinggalkan kapal.”

Naib presiden Koleksi Titanic dan seorang pengumpul, Alex Klingelhofer berkata Titanic melangkaui imaginasi dunia sebagai sebagai sebuah “bandar terapung” dan kapal “impian dan harapan.” Kapal yang boleh memuatkan 2,200 penumpang, ia adalah objek bergerak terbesar pernah dibina ketika itu.

Apabila kapal itu karam, “ ia menjadi insiden paling tragik dalam abad ke-20 dan terus diingati hingga sekarang,” katanya.

Barangan itu ditemui dalam beberapa siri ekspedisi sejak 1987 oleh sebuah syarikat digelar RMS Titanic, anak syarikat Premier Exhibitions, yang menubuhkan muzium dan pameran lain.

Ketua syarikat penyelidikan dasar laut, Paul-Henry Nargeolet, , mengingati penemuan itu pada 1987. Apabila pasukan dalam kapal selam khas menyaksikan bangkai kapal: “Kami tidak terpegun selama 10 minit.”

Mereka melihat “bahagian paling cantik kapal itu, ia mudah untuk membayangkan penumpang yang tinggal di dalamnya.”

Premier Exhibitions berkata ia berhasrat untuk menyalurkan bahagian hasil jualan dijana lelongan itu kepada Tabung Amanah Pemuliharaan Titanic, sebuah dana kebajikan diwujudkan syarikat untuk pemuliharaan akan datang dan penyelenggaraan artifak dikeluarkan dari bangkai kapal. – AFP
Berita Harian Online | 5,000 artifak Titanic dilelong:

'via Blog this'

Virus serang 45,000 akaun Facebook

Virus serang 45,000 akaun Facebook - Global - Sinar Harian: "Virus serang 45,000 akaun Facebook
WARTAWAN SINAR HARIAN
January 7, 2012
MENLO PARK - Sebanyak 45,000 akaun pengguna laman sosial, Facebook di Eropah telah diserang virus ramni sehingga menyebabkan mereka terpaksa menukar kata laluan secara serta-merta.

Sementara itu, agensi keselamatan siber, vendorSeculert melaporkan puluhan ribu akaun pengguna Facebook di Perancis dan Britain telah digodam pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan nama dan kata laluan mereka.

Ini kerana hasil siasatan mereka mendapati kebanyakan pengguna menggunakan kata laluan yang sama untuk perkhidmatan dalam talian lain dan ia telah menjadi antara sebab penjenayah mahu mendapatkan maklumat dengan mudah melalui serangan virus itu.

Jurucakap Facebook menyatakan pengguna boleh melindungi akaun dengan tidak menekan mana-mana pautan asing dan mencurigakan yang muncul secara tiba-tiba pada halaman mereka."

'via Blog this'

Wanita lahir anak dalam penerbangan


BEIJING 6 Jan. - Seorang wanita China berusia 23 tahun yang sarat mengandung mengalami pengecutan rahim pada 50 minit pertama penerbangan sebelum melahirkan anak ketika menaiki pesawat wilayah Sichuan ke Wuhan, semalam.

Akhbar Shanghai Daily yang memetik kenyataan pegawai lapangan terbang berkata, wanita itu, Feng Yu berbadan kurus dan memakai baju besar menyebabkan dia tidak kelihatan seperti sedang sarat mengandung.

Prosedur penerbangan menetapkan wanita mengandung melebihi tujuh bulan dinasihati tidak menaiki pesawat.

Yu bernasib baik kerana empat krew pesawat yang terlatih berjaya menyambut kelahiran bayinya itu.

Seorang daripada krew penerbangan, Zuo Lei berkata, dia berasa cemas apabila badan bayi tersebut mula tersangkut walaupun kepalanya sudah keluar.

"Saya cuba menenangkan diri dan memegang erat tangan wanita itu serta berusaha sedaya-upaya mengingat kembali latihan kecemasan yang telah dipelajari," katanya.

Sebaik sahaja bayi yang dinamakan Angel itu selamat dilahirkan, penumpang pesawat tersebut memberi tepukan gemuruh dan bersorak.

Pesawat itu kemudiannya mendarat tujuh minit kemudian dan pasukan perubatan membawa Yu ke hospital.

Yu bukan ibu pertama yang melahirkan anak pada ketinggian 4,000 kaki di udara.

Pada September 2010, Aida Alamillo melahirkan bayinya ketika dalam penerbangan dari Manila ke San Francisco.

Seminggu sebelum itu, seorang wanita Perancis melahirkan anak ketika dalam penerbangan ke Paris. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Berjalan kaki ke Mekah



JEKSON Gomes memulakan perjalanan dari Masjid Nurul Anhar, Padang Barat, Padang, Sumatera Barat.


PADANG – Seorang pendakwah di Kota Padang, Sumatera Barat nekad untuk ke Arab Saudi dengan berjalan kaki selepas dua tahun mengimpikan mahu menunaikan haji.

Dengan hanya bermodalkan peta dan sedikit wang, Jekson Gomes alias Muhammad Alif menetapkan sasaran untuk tiba di tanah suci Mekah dalam tempoh 10 bulan.

Lelaki berusia 38 tahun itu, yang merupakan pendakwah dari masjid ke masjid, mengaku sudah membuat persiapan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, antara persiapannya ialah mempelajari peta-peta negara yang bakal dilaluinya selain rutin bersenam.

Perjalanannya dimulakan pada Jumaat lalu dari Masjid Nurul Anhar, Padang Barat, Padang.

“Saya menetapkan sasaran untuk berjalan sejauh lapan kilometer dalam tempoh satu jam dan hanya berehat selama dua jam dalam sehari,” kata. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bekas ketua tentera Turki dituduh cuba gulingkan Erdogan



Tayyip Erdogan bersama Ilker Basbug di Ankara dalam gambar fail 1 Ogos 2010. Basbug dituduh berkomplot mahu gulingkan Erdogan. - AFP


ISTANBUL 6 Jan. - Bekas ketua tentera Turki, Jeneral Ilker Basbug ditahan hari ini berhubung tuduhan cuba menggulingkan kerajaan, lapor agensi berita Anatolia.

Peguam kepada Basbug, Ilkay Sezer berkata, anak guamnya itu telah ditempatkan di penjara Silivri di sini, pusat tahanan yang dikhaskan untuk kumpulan pengganas dan mereka yang cuba menggulingkan kerajaan.

Berpuluh-puluh tentera dipenjara dalam tempoh beberapa tahun ini sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung komplot menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan.

Namun ini adalah pertama kali dalam sejarah di republik ini seorang bekas ketua tentera ditahan.

Basbug yang bersara pada 2010, merupakan pegawai berjawatan tertinggi yang terlibat dengan siasatan besar-besaran ke atas rangkaian yang digelar Ergenekon, kumpulan yang dituduh berkomplot menggulingkan parti pemerintah, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Penangkapan dibuat beberapa jam selepas testimoni Basbug sebagai suspek di mahkamah Istanbul semalam, sebahagian daripada siasatan atas dakwaan berkempen di Internet untuk menggulingkan kerajaan.

Antara tuduhan yang dihadapi oleh Busbug ialah menubuhkan laman web yang menyebarkan propaganda antikerajaan.

Tentera Turki yang menganggap diri mereka sebagai penjaga sekularisme sebelum ini pernah melancarkan rampasan kuasa pada 1960, 1971 dan 1980. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Barangan mangsa kapal Titanic dilelong April ini



Antara barangan yang ditemui dalam bangkai kapal Titanic di dasar laut iaitu jam, teropong dan rantai emas yang akan dilelong di New York, April ini. – AFP


NEW YORK 6 Jan. – Sebanyak 5,000 barangan berharga yang ditemui dari kapal penumpang kelas pertama Titanic yang tenggelam di Lautan Atlantik sejak seabad lalu, akan dilelong di New York pada April ini.

Koleksi barangan itu akan dilelong dalam satu lot oleh firma lelong Guernsey pada 11 April ini, sempena ulang tahun ke-100 kapal Titanic melakukan pelayaran pertama sebelum tenggelam di Newfoundland setelah terlanggar bongkah ais besar.

Presiden firma Guernsey, Arlen Ettinger menyifatkan acara lelong itu sebagai ‘detik bersejarah’ dan ‘ia merupakan satu-satunya jualan barangan bernilai dari bangkai kapal Titanic yang berada empat kilometer di dasar laut’.

Firma lelongan menganggarkan jualan kesemua barangan itu mencecah sehingga AS$189 juta (RM594 juta).

Barangan tersebut yang ditayangkan kepada umum semalam, merupakan kenangan pahit yang menyaksikan kira-kira 1,500 orang terbunuh apabila kapal itu tenggelam selepas belayar dari Southampton, England.

Ettinger berkata, kesemua barangan itu perlu dijual dalam satu lot untuk ‘mengabadikan memori kapal yang hebat itu’ dan ‘berharap generasi akan datang berpeluang melihatnya.’

Katanya, jualan itu ‘tertakluk kepada perjanjian dan syarat tertentu untuk memastikan barangan tersebut sentiasa dijaga dengan baik menjadi tontonan orang ramai’.

Antara barangan tersebut, termasuk set mencukur, permainan kanak-kanak, paip tembakau, dan butang tembaga yang dipakai oleh Kapten Edward Smith dan pegawai-pegawainya.

Terdapat juga barangan mewah yang akan dilelong seperti botol kristal dari kabin kelas pertama, lilin dari Restoran A la Carte, pinggan perak serta porselin biru dan emas.

Sisa-sisa bahagian kapal itu turut dilelong seperti kompas yang digunakan oleh pegawai pemerhati, lampu, wisel perak dan loceng. – AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Serangan bom gegar ibu negara Syria


DAMSYIK 6 Jan. - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan bom berani mati di Damsyik hari ini, yang didakwa dilakukan oleh 'pengganas', serangan kedua di ibu negara Syria dalam tempoh dua minggu ini.

Menurut stesen televisyen tempatan, letupan bom yang kuat itu berlaku di kawasan Midan di tengah-tengah ibu negara.

Serangan itu yang berlaku di sebuah kawasan kejiranan berhampiran sebuah sekolah mengorbankan sekurang-kurangnya 25 orang dan mencederakan 45 lagi.

Katanya, kebanyakan mangsa itu adalah orang awam dan beberapa anggota keselamatan.

Stesen televisyen itu turut menunjukkan rakaman video yang memaparkan beberapa anggota keselamatan mengangkat mayat-mayat di tepi jalan dan memasukkan mereka ke dalam beg plastik sampah.

Turut dipaparkan beberapa penduduk yang berada di tempat kejadian menjerit dan mengecam serangan itu sebagai kerja pengganas.

Serangan itu berlaku dua minggu selepas dua letupan yang disasarkan di bangunan keselamatan Damsyik sehingga membunuh 44 orang. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pemberontak Thai serang kem polis Narathiwat



ANGGOTA polis Thailand bersedia mengangkat mayat rakan mereka yang dibunuh oleh pemberontak yang menyerang kem polis di Narathiwat, semalam. - AFP


NARATHIWAT 6 Jan. - Lebih 30 penyerang disyaki anggota pemberontak menyerang sebuah kem polis pagi ini di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, dan menembak mati dua anggota polis.

Pemberontak menyerbu masuk ke sebuah bilik asrama polis kira-kira pukul 2.45 pagi waktu tempatan, melepaskan tembakan ke arah mangsa, sebelum mencuri senjata berat serta peluru dan melarikan diri.

Mangsa maut di tempat kejadian, sementara tiga yang lain cedera parah terkena tembakan.

"Mereka merancang serangan ini dengan teratur sebagai membalas serbuan kami yang memusnahkan dua gudang senjata pemberontak bulan lalu," kata ketua polis tempatan, Kolonel Satanpah Wamasingha.

Dalam kejadian berasingan pagi ini, sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang lelaki, sementara isterinya seorang guru cedera ketika mereka menaiki trak pikap di pekan Sungai Golok.

Di wilayah Pattani pula, dua lelaki maut manakala seorang yang lain cedera dalam dua kejadian tembakan pada waktu tengah hari.

Lewat malam tadi di Yala, seorang penduduk kampung ditembak mati ketika dalam perjalanan ke rumah dari kebun getah.

Pemberontakan pemisah di tiga wilayah di selatan Thailand tercetus pada 2004 dan wilayah-wilayah itu menyaksikan kejadian pengeboman dan tembakan hampir setiap hari sejak itu.

Masyarakat Islam merupakan penduduk majoriti wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat yang bersempadan dengan Malaysia. Thailand merupakan negara yang didominasi penganut Buddha.

Selasa lalu, dua tentera maut dalam satu letupan di Pattani, dalam satu kejadian dipercayai didalangi pemberontak yang menanam bom di tengah-tengah jalan. - REUTERS/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

DC Avanti supercar pertama India


BENTUK kereta DC Avanti yang dipamerkan pada Ekspo Motor Delhi di New Delhi kelmarin.


NEW DELHI - Firma reka bentuk, DC Design memperkenalkan jentera supercar pertama India yang diberi nama DC Avanti.

Jentera tersebut dilancarkan oleh pelakon terkenal Bollywood, Amitabh Bachchan pada Ekspo Motor Delhi 2012 kelmarin.

Kereta itu dikuasakan oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 240 kuasa kuda.

Menurut laman kenderaan RushLane di Internet semalam, enjin daripada Ford Ecoboost yang ditala khas untuk menjana lebih kuasa tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam kelajuan.

Dipasang dengan rim aloi bersaiz 19 inci, kelajuan maksimum yang dihadkan secara mampu dicapai oleh DC Avanti ialah 250 kilometer sejam (km/j).

Jentera itu akan mula dijual pada tahun 2013 di semua pengedar DC di seluruh India.

Bakal diproduksi pada tahun 2013, ia merupakan ciptaan pereka Dilip Chhabria.

Kereta itu dijual pada harga kira-kira AS$70,000 (RM220,219).

"Kami sangat teruja untuk memperkenalkan DC Avanti pada hari ini. DC Avanti bukan sekadar menjadi manifestasi kepada minat yang mendalam terhadap kereta sport.

"Malah ia membuktikan kemampuan kami yang kini sudah bergerak daripada penggayaan kepada penghasilan prototaip penuh," katanya.

DC dilihat mengikut langkah banyak firma reka bentuk Itali misalnya Bertone, Ghia, Pininfarina dan Stola yang turut menghasilkan kereta edisi terhad masing-masing untuk dijual kepada pasaran umum.

Tempahan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat akan dibuka sebaik sahaja ekspo itu berakhir. Penghantarannya dijadual bermula suku terakhir 2013. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'