Pages

Monday, April 4, 2011

15 perkara mendatangkan BALA



Daripada Ali bin Abi Thalib ra, RasulullahSAW bersabda:

"Apabila umatku telah membuat 15 perkara, maka BALA pasti akan turun

kepada mereka, iaitu :

1. Apabila harta negara hanya beredar dikalangan orang tertentu sahaja

2. Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

3. Zakat dijadikan hutang

4. Suami menurut kehendak isteri (dalam perkara bertentangan syariat)

5. Anak derhaka terhadap ibunya

6. Akan tetapi (anak tadi) sangat baik terhadap kawan-kawannya.

7. Ia (anak) suka menjauhkan diri daripada ayahnya

8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.

9. Yang menjadi ketua sesuatu kaum adalah orang yang paling hina di
antara mereka.

10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11. Arak sudah diminum secara berleluasa.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)

13. Para artis-artis disanjung-sanjung.

14. Muzik banyak dimainkan/didendangkan.

15. Generasi akhir umat ini akan melaknat generasi pertama (para sahabat
terdahulu). Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah
atau GEMPA BUMI ataupun mereka akan dirubah menjadi makhluk lain"

(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Gempa bumi kuat gegar selatan Jawa

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 pada skala Richter berlaku di Selatan Jawa, Indonesia, pada 4.07 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.


Pusat gempa itu terletak 334 kilometer ke selatan Bandung, Indonesia, dan 1,336 kilometer ke tenggara Johor Bharu, Johor.


Kejadian itu tidak memberi ancaman tsunami kepada Malaysia. - BERNAMA

Anak Gaddafi mahu bapa berundur: NYT



WASHINGTON: Sekurang-kurangnya dua anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, mencadangkan peralihan kepada demokrasi berperlembagaan yang akan membabitkan pengunduran bapa mereka, lapor akhbar The New York Times.


Merujuk taklimat diplomat yang tidak dinamakan dan pegawai Libya berhubung pelan berkenaan, akhbar berkenaan menyatakan peralihan itu akan diketuai seorang daripada anak Gaddafi, Seif al-Islam el-Kadhafi.


Namun, akhbar itu menyatakan tidak diketahui sama ada Gaddaffi sudah bersetuju dengan cadangan yang dikatakan disokong anak beliau, Seif dan Saadi el-Kadhafi.
Tetapi seorang individu yang rapat dengan kedua-dua beradik itu berkata bapa mereka sanggup berbuat demikian. - AFP

Cikgu ambil nyawa


ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.
ZIARAH... guru serta kenalan keluarga mengusung jenazah Saiful di Masjid Ar-Rahman di Jejawi Dalam, Kangar, petang semalam.


KANGAR: Hanya kerana wang RM7, Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, murid tahun satu sebuah sekolah agama persendirian di Arau, dekat sini, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pagi semalam, selepas koma sejak tiga hari lalu akibat parah dibelasah gurunya.
Difahamkan, mangsa dipukul dengan teruk kerana didakwa mencuri wang milik rakan sekelasnya.

Mangsa yang sudah kematian ibu, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 pagi selepas mengalami pendarahan dalaman di kepala dan komplikasi jantung berikutan kejadian di bilik asrama sekolah agama berkenaan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan perkara itu berkata, murid terbabit disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Kita akan menjalankan siasatan menyeluruh kejadian itu, apatah lagi ia menjadi bertambah serius kerana membabitkan kematian. Semua pihak berkaitan di sekolah agama itu akan dipanggil untuk siasatan.


“Perintah reman terhadap suspek berusia 26 tahun yang juga guru mangsa yang berakhir esok (hari ini), akan disambung untuk tujuan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut kes itu.

Metro Ahad semalam melaporkan Saiful Syazani dibelasah dengan kejam oleh gurunya yang juga warden asrama dalam keadaan kedua-dua tangannya terikat pada tingkap asrama sehingga menyebabkan mangsa koma dalam kejadian pada kira-kira jam 7 malam, Khamis lalu.

Mangsa dikatakan berjaya membuka ikatan tangannya untuk melarikan diri sehingga menimbulkan kemarahan guru terbabit yang kemudian memukulnya tanpa belas kasihan.

Selepas memukul kepala, suspek dikatakan `naik hantu' dan menggoncang badan mangsa serta menolaknya dengan kuat ke dinding yang dipercayai punca utama murid itu mengalami pendarahan dalam kepala dan komplikasi jantung.

Suspek yang mungkin menyedari kesalahannya dan menyesal dikatakan sempat bersolat hajat sejurus dimaklumkan doktor bahawa mangsa dalam keadaan kritikal sebelum bergegas ke Alor Setar dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan murid terbabit.


Guru terbabit menyerah diri di Balai Polis Arau, Jumaat lalu, selepas bapa mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, membuat laporan di Balai Polis Alor Setar, pada jam 8 malam hari kejadian.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat, ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan kes itu kepada pihak polis kerana sekolah itu milik persendirian dan bukannya di bawah seliaan jabatan berkenaan.


“Kita tidak mahu campur tangan dalam kes ini dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.


“Kami amat sedih dan dukacita di atas kejadian ini dan jika benar perbuatan guru memukul hingga menyebabkan kematian murdnya, ia di luar bidang kuasa guru dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.


Dalam pada itu, pengetua sekolah agama terbabit, Yaakub Abu Soman berkata, pihaknya tidak akan membuat sebarang ulasan berhubung kejadian itu yang membabitkan guru dan murid sekolahnya atas arahan polis.


“Kami akan mengadakan sidang akhbar selepas tempoh reman terhadap suspek tamat nanti,” katanya.


Bapa mangsa, Saiful Sopfidee berkata, jenazah anak tunggalnya hasil perkongsian hidup dengan arwah isterinya, Jahiyah Che Amat, dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka di sini, petang semalam. Dia juga berharap guru terbabit dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang kerana perbuatannya yang tidak
berperikemanusiaan itu.myMetro | Cikgu ambil nyawa

Nato tersilap bom


TAK SEPATUTNYA DISERANG...pejuang pemberontak berkawal berhampiran kenderaan mereka yang musnah dibom jet Nato di Brega, semalam.
TAK SEPATUTNYA DISERANG...pejuang pemberontak berkawal berhampiran kenderaan mereka yang musnah dibom jet Nato di Brega, semalam.


BREGA: Serangan udara tentera Nato yang sepatutnya disasarkan kepada tentera rejim Muammar Gaddafi bertukar menjadi bencana apabila ia tersalah lokasi, menyebabkan 13 pemberontak terbunuh, kata jurucakap mereka, semalam.
Menurut pejuang pemberontak, insiden itu berlaku pada malam Jumaat lalu ketika mereka bertempur dengan tentera kerajaan di Brega.

Beratus-ratus pejuang tidak berpengalaman dan masih muda dilihat bertempiaran lari dari timur Brega menuju Ajdabiyah selepas diserang dengan mortar dan mesingan.

Sebelum itu, satu pasukan lebih berpengalaman dan tersusun menguasai bandar strategik Brega, tetapi disebabkan wakil media terpaksa berlindung di timur, tidak dapat dipastikan sama ada kumpulan itu masih bertahan atau berundur ke padang pasir.

Wartawan yang melawat tempat serangan udara itu melihat sekurang-kurangnya empat kenderaan - termasuk sebuah ambulans - terbakar di pinggir jalan.


Kebanyakan pemberontak menyalahkan ejen Tripoli atas kesilapan serangan udara Nato itu.

Seorang daripada mereka, Mustafa Ali Omar, berkata ada ejen kerajaan menyusup masuk dan menyamar dalam kumpulan pejuang antikerajaan itu.

Katanya, ejen terbabit menggunakan senjata antipesawat untuk sengaja menembak ke udara.

“Tidak lama kemudian, jet Nato datang dan mengebom mereka,” katanya.

Namun, pemberontak lain berkata, mereka sendiri tersilap kerana melepaskan tembakan ke udara sehingga tentera Nato menyangka lokasi itu menjadi tempat pasukan keselamatan Libya berada.


“Sebenarnya kami yang bersalah,” katanya.


Selain 13 pemberontak maut, tujuh yang lain turut cedera.


Di sebalik kesilapan itu, pemberontak tetap mahu Nato terus menyerang kedudukan tentera rejim Gaddafi.


Jurucakap pemberontak, Mustafa Gheriani, berkata insiden itu perlu dilihat dalam konteks lebih luas.


“Memang kesilapan tidak dapat dielakkan dan dikesali, tetapi kini kami dalam usaha menyingkirkan Gaddafi daripada Libya.


“Dalam keadaan begitu memang akan ada yang terkorban dan ia pasti amat menyedihkan kami,” katanya. -
ReutersmyMetro | Nato tersilap bom

160 maut di Misrata



TUNIS: Kira-kira 160 orang maut di bandar Misrata sejak seminggu lalu akibat pertempuran sengit di antara pemberontak dan tentera kerajaan, kata seorang doktor semalam.


Misrata adalah kubu kuat pemberontak di barat Libya tetapi kini dikepung dan menjadi sasaran serangan tentera rejim Muammar Gaddafi. Akibat tekanan berterusan itu, tentera kerajaan dilihat berjaya melemahkan penguasaan pemberontak itu secara perlahan-lahan. - Reuters

Bekas menteri ketuai pasukan krisis

"BENGHAZI: Majlis pimpinan kumpulan anti-Muammar Gaddafi menubuhkan ‘pasukan krisis’ dengan melantik bekas Menteri Dalam Negeri Libya, Jeneral Abdel Fattah Younes al-Abidi, sebagai ketua.


Berpengalaman lama dalam pasukan tentera Gaddafi, Abdel Fattah berpaling tadah dengan menyebelahi pemberontak di awal kebangkitan rakyat Libya pertengahan Februari lalu.




Seorang lagi tokoh tentera di kalangan pemberontak, Omar Hariri, diberi tanggungjawab mengetuai jabatan ketenteraan pasukan pemberontak.


Bagaimanapun, kebanyakan pemberontak masih meragui keikhlasan Abdel Fattah berdasarkan rekod hubungan baiknya dengan Gaddafi.




Sementara itu, bekalan makanan di Misrata dilaporkan kritikal dan pemberontak berharap ada pertubuhan kemanusiaan menyalurkan bantuan.




Seorang pemberontak berkata, selepas dikepung satu setengah bulan, penduduk Misrata kini berdepan masalah kekurangan buah-buahan dan sayur-sayuran.


“Sebelum ini, bekalan itu datang dari wilayah selatan tetapi tempat itu kini dikuasai tentera kerajaan,” katanya. - Reuters

Tiada serangan tentera Barat

BREGA: Jet tentera Nato dilaporkan terbang di ruang udara Brega semalaman ketika pemberontak terus berperang dengan tentera yang setia kepada Muammar Gaddafi bagi mengyasai Brega.
Saksi berkata, beberapa letupan kuat dan tembakan mesingan kedengaran dari jauh.

Katanya, asap hitam dapat dilihat menjulang di barat Brega sambil ratusan kenderaan mengangkut pemberontak meninggalkan bandar itu.

“Tidak lama kemudian, beberapa roket meletup berhampiran sempadan bandar tetapi pejuang pemberontak masih bertahan,” katanya.

Sementara itu, pemberontak, Osama Abdullah, berkata tiada serangan udara dijalankan walaupun jet tentera berlegar-legar pada malam kelmarin.


“Ia mungkin disebabkan mereka menerima arahan daripada Nato, bukannya Perancis, Amerika Syarikat dan Britain seperti sebelum ini,” katanya.

Pemberontak juga mahu mereka dibekalkan senjata yang mampu berdepan dengan kereta kebal dan roket tentera.

Pertempuran di Brega berlanjutan sejak empat hari lalu dengan pemberontak terus bertahan selepas berundur dari bandar Sirte.

Pemimpin pemberontak cuba mengatasi kemelut itu dengan menghantar lebih banyak senjata berat dan pejuang terlatih ke garisan depan, manakala pejuang kurang mahir diarah berundur beberapa kilometer ke timur - ReutersmyMetro | Tiada serangan tentera Barat

Telatah bayi kembar di Youtube tarik perhatian

pasangan bayi kembar lelaki yang mencetuskan kontroversi di Youtube dirakam sedang bersembang sesama sendiri dikatakan menggunakan ‘bahasa rahsia’. – agensi







LOS ANGELES 3 April – Sebuah video di laman Youtube yang semakin meluas tersebar merakamkan sepasang bayi kembar berusia 17 bulan saling bersembang dan ketawa, menyebabkan ramai membuat spekulasi bayi itu sedang berbincang sesuatu.
ABC News melaporkan pasangan kembar itu bercakap menggunakan ‘bahasa rahsia’ yang hanya difahami mereka berdua.
Namun, pakar perkembangan bahasa, Virginia Valian menafikan kembar tersebut menggunakan bahasa rahsia dengan menyatakan bahawa seperti bayi-bayi lain, ia merupakan cara mereka belajar berkomunikasi.
“Kembar yang menawan hati ini menunjukkan dengan cara berlebih-lebihan bagaimana kelakuan kebanyakan kanak-kanak lain.
“Pengulangan percakapan yang tidak jelas, seperti ‘da da da’ adalah sesuatu yang amat biasa.
“Mendengarnya daripada mereka adalah sesuatu yang biasa, walaupun kebanyakannya tidak melakukannya secara keterlaluan begitu,” ujarnya.
Katanya, pasangan kembar itu tidak menyampaikan apa-apa maklumat sebenar menerusi bahasa rahsia mereka itu.
Mereka hanya meniru cara perbualan dengan lebih terperinci dan struktur perbualan mereka juga dilihat agak terkahadapan.
“Jika dilihat, perbualan mereka hampir tidak saling menyampuk, jarang berlaku pertindihan dalam giliran bercakap,” kata Valian.
Tambahnya, perbualan adik beradik lelaki ini yang menyerupai orang dewasa daripada segi irama, intonasi dan tekanan perkataan digelar prosodi dan bayi selalunya mempelajarinya daripada perbualan ibu bapa mereka sejak di dalam rahim lagi. – AGENSIUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Tentera Gaddafi serang bandar Misrata


kumpulan pemberontak lari menyelamatkan diri apabila tentera yang setia kepada gaddafi melancarkan serangan mortar ke arah mereka di pinggir bandar Brega di timur Libya Jumaat lalu. - REUTERS

TRIPOLI 3 April - Tentera yang setia kepada pemimpim Libya, Muammar Gaddafi menyerang sebuah bangunan yang dijadikan hospital di Misrata awal hari ini bagi mengundurkan pemberontak dari kubu terakhir mereka di barat negara ini.
Serangan bom ke atas bangunan yang digunakan untuk merawat mangsa cedera di Misrata itu mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa orang lagi cedera, kata seorang penduduk.
Dalam serangan besar-besaran itu, tentera Gaddafi berjaya merampas kembali kebanyakan lokasi di barat Libya dan mengepung Misrata yang kini mengalami kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan.
Di Benghazi, kubu pemberontak di timur Libya, majlis anti-Gaddafi menamakan satu 'pasukan krisis' termasuk bekas Menteri Dalam Negeri sebagai ketua turus pasukan bersenjata untuk menguruskan bandar-bandar yang dikuasai mereka.
Kepimpinan pemberontak juga meminta serangan udara pimpinan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas tentera Gaddafi diteruskan, walaupun 13 anggotanya terbunuh dalam satu serangan di Brega.
Seorang doktor yang berpangkalan di Britain dikenali sebagai Ramadan ketika dihubungi memberitahu Reuters antara 100 atau 140 orang dilaporkan terbunuh setiap hari di Misrata.
Seorang pemberontak yang berasal dari Benghazi berkata, bekalan makanan semakin berkurangan di Misrata dan meminta pertubuhan kemanusiaan membantu mereka.
Kejadian di Misrata tidak boleh disahkan kerana pihak berkuasa Libya tidak membenarkan wartawan melaporkan dari bandar berkenaan. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Gegaran 6.4 skala richter melanda Fiji

WELLINGTON 4 April - Satu gegaran kuat berukuran 6.4 skala richter melanda Fiji hari ini, menurut Agensi Geologi Amerika Syarikat (AS).


Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan akibat gempa kuat itu yang berlaku 321 kilometer sebelah barat Suva pada pukul 2.09 pagi waktu tempatan. - AFP

Lagi protes bantah insiden bakar al-Quran


Aktivis Jamiat Ulama e-Islam di Pakistan membakar bendera Amerika Syarikat semasa mengadakan tunjuk perasaan di Karachi sebagai membantah tindakan paderi Terry Jones membakar al-Quran. - AFP

KABUL 3 April - Seorang terbunuh dan 16 lagi cedera apabila beratus-ratus orang berhimpun dijalan-jalan di Kandahar hari ini untuk membantah tindakan pembakaran al-Quran di Amerika Syarikat (AS), sehari selepas 10 orang terbunuh ketika demonstrasi sama di selatan bandar itu.
Tunjuk perasaan yang diadakan bagi membantah pembakaran al-Quran oleh paderi Florida, Terry Jones di AS bertukar ganas, semalam selepas polis menyekat kemaraan mereka ke pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bangunan kerajaan di Kandahar.
Lebih 80 orang termasuk anggota keselamatan turut cedera, menurut pihak berkuasa.
Saksi berkata, hari ini beratus-ratus orang kebanyakannya golongan muda turun ke jalan-jalan di bandar Kandahar dan berteriak 'Mati AS' dan 'Mati Karzai'.
Seorang jurucakap kepada pentadbiran wilayah, Zalmai Ayoubi mengesahkan kejadian protes itu, tetapi memberitahu ia diadakan secara aman.
"Hari ini berlaku protes di tiga lokasi di bandar Kandahar dan di daerah Panjwayi," katanya merujuk kepada bandar berhampiran, kira-kira 10 kilometer ke barat daya Kandahar.
Di timur bandar Jalalabad pula, beratus-ratus pelajar menyekat lebuh raya utama menuju ke ibu negara Kabul, menurut jurucakap Menteri Dalam Negeri, Zemarai Bashary kepada AFP.
"Protes di Jalalabad tidak ganas tetapi mereka telah menyekat laluan utama antara Kabul-Jalalabad. Mereka membantah pembakaran al-Quran di AS," ujarnya.
Tunjuk perasaan yang tercetus akibat pembakaran al-Quran oleh paderi Florida, Terry Jones bermula di bandar-bandar besar di Afghanistan, Jumaat lalu.
Seramai tujuh kakitangan PBB terbunuh dalam serangan ke atas pejabat mereka oleh penunjuk perasaan di utara bandar Mazar-i-Sharif, tetapi misi PBB menegaskan hari ini, mereka akan terus berada di negara ini. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Gegaran 6.4 skala richter melanda Fiji

WELLINGTON 4 April - Satu gegaran kuat berukuran 6.4 skala richter melanda Fiji hari ini, menurut Agensi Geologi Amerika Syarikat (AS).


Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan akibat gempa kuat itu yang berlaku 321 kilometer sebelah barat Suva pada pukul 2.09 pagi waktu tempatan. - AFP"

Jumlah korban di Afghanistan meningkat

ISLAMABAD 4 April - Jumlah korban dalam kejadian dua letupan di sebuah kuil Sufi di sebelah timur Pakistan semalam meningkat kepada 41 orang.

“Kami telah mengesan 41 mayat dan 100 lagi mangsa cedera di hospital berasingan,” kata ketua pasukan penyelamat bandar Dera Ghazi, Natiq Hayat.

Pihak polis berkata, kejadian tersebut dipercayai disebabkan oleh bom. - Reuters"

18 pelatih masuk wad akibat virus

PORT DICKSON: Seramai 18 pelatih Kursus Asas Konstabel Polis Diraja Malaysia (PDRM) Siri 1/2011 yang menjalankan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, dimasukkan ke Hospital Port Dickson (HPD) sejak 26 Mac lalu dipercayai dijangkiti virus selepas demam panas berlarutan.
Sumber berkata, semua pelatih berusia antara 19 hingga 21 tahun itu deman panas selepas dipercayai dijangkiti virus Leptospirosis (kencing tikus), virus adeno, demam denggi dan ‘Influenza Like Illness’ ((ILI).
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri masih menjalankan siasatan terperinci bagaimana semua pelatih itu dijangkiti virus berkenaan.

“Sehingga semalam, 10 pelatih disahkan positif empat virus terbabit, namun hospital masih menjalankan diagnosis secara keseluruhan kerana mereka yang dimasukkan ke hospital mempunyai simptom berbeza.

“Semalam, empat lagi pelatih dimasukkan ke hospital sama selepas menunjukkan simptom dijangkiti empat virus berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Zailan Adnan ketika mengulas menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), mengesahkan lapan pelatih PUSASDA dimasukkan ke HPD berikutan tanda ILI.

Di SEGAMAT, Kementerian Kesihatan semalam mengisytiharkan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) bebas sepenuhnya daripada wabak Adenovirus yang mengorbankan tiga pelatih pusat itu, bulan lalu.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ia diputuskan selepas tiada sebarang jangkitan baru sejak 19 Mac lalu.

"Selepas pemantauan rapi dibuat kementerian di PULAPOL sejak tiga minggu lalu dan mengambil kira tiada sebarang kes jangkitan baru, maka saya mengisytiharkan pusat itu sudah pulih dan bebas sepenuhnya daripada wabak Adenovirus.

"Bagaimanapun, saya berharap PULAPOL sentiasa memastikan kebersihan menjadi aspek yang diutama serta dititikberatkan terutama dalam mewujudkan saluran pengudaraan lebih baik,” katanya selepas merasmikan bas Klinik Bergerak 1Malaysia di perkampungan Orang Asli, Kampung Kudung, Bekok dekat sini, semalam.

Sejak jangkitan Adenovirus dikesan di PULAPOL pada 4 Mac lalu, tiga pelatih meninggal dunia kerana jangkitan wabak berkenaan.
Berita Harian Online | 18 pelatih masuk wad akibat virus

Pusaran angin punca Medan bah



MEDAN: Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika (BMKG) Polonia, Medan berkata banjir yang melanda Kota Medan disebabkan berlaku gangguan pusaran angin di wilayah pesisir timur Sumatera.


Ketua Stesen BMKG Polonia, Albertus Kusbagyo, berkata keadaan itu adalah petanda awal tempoh pertama musim hujan di wilayah Sumatera Utara.


Berikutan itu, Waspada Online memetik beliau sebagai berkata pihak berkuasa Sumatera Utara harus lebih peka terhadap perubahan musim itu.
“Selain Medan, penduduk di beberapa kota lain yang berada di pesisir timur dan barat Sumatera Utara harus meningkatkan kewaspadaan.


Mereka harus bersiap sedia untuk berdepan kemuncak musim hujan yang akan berlangsung pada Mei,” kata kata Albertus, semalam.


Mengikut pemantauan Waspada Online, banjir yang melanda Kota Medan, selain jalan dan kediaman, turut menenggelamkan sejumlah sekolah.
Akibatnya, beribu-ribu pelajar diberi cuti.
Kampus Universitas Sumatera Utara (USU) di Jalan Dokter Mansyur juga ditenggelami air hingga mencapai paras 40 sentimeter. – Agensi

Patung seks Miley Cyrus laris dijual

Miley Cyrus
Miley Cyrus




LOS ANGELES: Pelakon dan penyanyi Miley Cyrus dilaporkan berang apabila mendapati ada pihak menjual patung seks yang mirip wajahnya.


Bintang remaja dilaporkan akan menyaman syarikat pengeluar patung perlu digelembung Finally Mylie itu.
Namun belum sempat Miley mengemukakan samannya, syarikat terbabit berkata produknya itu sudah habis dijual.
Kevin Johnson dari Pipedream Products, syarikat pengeluar patung berkata: “Ia habis dijual dalam tempoh 48 jam di pasaran.”
Bintang Disney itu berusia 18 tahun bukanlah selebriti pertama dieksploitasi sedemikian.


Patung seks Finally Miley itu dijual pada harga AS$27.49 (RM142) di kedai buku internet, Amazon.com. – Agensi Berita Harian Online | Patung seks Miley Cyrus laris dijual

Lembu keluar susu manusia


Saintis ubah ternakan secara genetik


LONDON: Saintis sudah mencipta ternakan yang diubah secara genetik yang menghasilkan susu 'manusia' dalam cubaan menjadikan susu lembu lebih berkhasiat.
Saintis memperkenalkan gen manusia ke dalam 300 lembu tenusu untuk menghasilkan susu dengan khasiat sama seperti susu ibu.
Susu ibu mengandungi kuantiti tinggi nutrisi penting yang membantu menaikkan sistem pertahanan badan bayi dan mengurangkan risiko jangkitan.


Saintis di balik penyelidikan itu percaya susu dari ternakan lembu yang diubah suai secara genetik mungkin menghasilkan satu alternatif terhadap susu ibu dan susu formula untuk bayi, yang sering dikritik sebagai bermutu rendah.


Mereka berharap produk tenusu diubah secara genetik dari ternakan lembu akan tidak lama lagi dijual di pasar raya.


Hasil kerja itu kemungkinan mencetuskan bantahan terhadap makanan berasaskan pengubahsuaian genetik (GM). Pengkritik teknologi itu dan kumpulan kebajikan haiwan memberi reaksi berang terhadap penyelidikan terbabit, mempersoalkan keselamatan susu daripada haiwan yang diubah suai secara genetik dan kesannya terhadap kesihatan ternakan.
Namun Profesor Ning Li, saintis yang mengetuai penyelidikan dan pengarah Makmal Utama Negeri untuk Bioteknologi Agro di Universiti Pertanian China menegaskan susu GM selamat seperti susu daripada lembu tenusu biasa.


Katanya: “Susu itu berperisa lebih kuat berbanding susu biasa.” – Agensi Berita Harian Online | Lembu keluar susu manusia

Banjir di Thailand ragut 40 nyawa


PENDUDUK menggunakan sampan di jalan raya di  Phunpin, wilayah Surat Thani yang dilanda banjir   sejak beberapa hari lalu.
PENDUDUK menggunakan sampan di jalan raya di Phunpin, wilayah Surat Thani yang dilanda banjir sejak beberapa hari lalu.


Beribu-ribu penduduk 10 wilayah terjejas

BANGKOK: Banjir yang melanda 10 wilayah di selatan Thailand sejak beberapa hari lalu setakat ini mengorbankan 40 orang dan beribu-ribu lagi terpaksa tinggal di tempat perlindungan sementara.
Hujan lebat lebih dari seminggu, yang biasa terjadi dalam bulan paling panas, mengakibatkan banjir di 10 daripada 77 wilayah Thailand.
Air banjir menenggelamkan kediaman, menyebabkan tanah runtuh dan menenggelamkan jalan, serta menghanyutkan jambatan.

"Sehingga semalam jumlah korban adalah 17 orang di wilayah Nakhon Si Thammarat, 10 orang di Surat Thani, 7 orang di Krabi dan masing-masing 3 orang di Phatthalung Chumphon dan Trang," kata jabatan pencegahan bencana.

Tanah runtuh melanda sekurang-kurangnya satu kampung di daerah Khao Phanom, wilayah Krabi.

Cuaca buruk menyebabkan beribu-ribu orang terkandas di pulau di Teluk Thailand dan Laut Andaman, yang memaksa pihak berkuasa menghantar kapal tentera laut untuk menolong mangsa di Koh Tao dan Koh Phangan yang berdepan dengan kekurangan makanan dan air minum.
Hubungan feri dan udara dibuka kembali semalam ke sebahagian daerah yang menjadi tumpuan pelancong.

Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva, semalam menyeru penduduk agar terus berhati-hati terhadap kejadian banjir atau tanah runtuh walaupun hujan sudah mulai reda.

"Penduduk harus bekerjasama dengan pihak berkuasa apabila ada peringatan. Jangan berfikir bencana tidak akan berulang," katanya dalam program mingguan televisyennya yang disiarkan secara langsung dari Surat Thani.

Kerajaan akan membincangkan pemberian bantuan kepada mangsa banjir pada mesyuarat Kabinet hari ini.- Agensi
Berita Harian Online | Banjir di Thailand ragut 40 nyawa

Safar diminta bentuk kerajaan baru


GADIS Syria melaungkan slogan menentang Presiden Bashar ketika demonstrasi  di depan kedutaan Syria, di Amman, kelmarin.
GADIS Syria melaungkan slogan menentang Presiden Bashar ketika demonstrasi di depan kedutaan Syria, di Amman, kelmarin.


DAMSYIK: Presiden Syria Bashar al-Assad meminta bekas Menteri Pertanian, Adel Safar untuk membentuk kerajaan baru, agensi berita rasmi SANA melaporkan semalam, ketika rangkaian komunikasi terputus dan penduduk di Douma bersiap sedia mengebumikan penunjuk perasaan yang maut.


Pelantikan Safar menyusul tindakan Assad memecat kabinetnya dalam cubaan untuk meredakan bantahan prodemokrasi, namun harapan bahawa pemerintahan darurat yang dikenakan sejak 50 tahun lalu akan ditarik balik tidak menjadi kenyataan.
Rangkaian telefon bimbit dan internet terputus semalam di seluruh Syria semalam ‘berikutan beban berlebihan,’ menurut seorang wakil pelanggan, sehari selepas pihak berkuasa menjalankan operasi penahanan aktivis.

Sementara itu, penduduk di Douma, di pinggir ibu kota yang masih terperanjat dengan tindakan keras pasukan keselamatan ke atas penunjuk perasaan.


“Kami akan mengadakan majlis pengebumian tengah hari ini untuk empat mangsa yang maut,” seorang penduduk – AFP. Berita Harian Online | Safar diminta bentuk kerajaan baru

Iran dikecam negara Teluk


Mesyuarat bincang tindakan Teheran


RIYADH: Menteri Luar negara Teluk mengadakan mesyuarat luar biasa di sini, semalam membincangkan campur tangan Iran dalam tunjuk perasaan yang meletus di beberapa negara Arab.
Mesyuarat berkenaan diadakan selepas Teheran memberi amaran kepada Arab Saudi bahawa ia ‘bermain api’ apabila menghantar pasukan tentera di negara jiran Bahrain yang mempunyai majoriti penduduk Syiah, manakala Kuwait mendakwa ia membongkar kumpulan pengintip Iran di negara Teluk itu.
Setiausaha agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdullatif al-Zayani mengecam tindakan Iran campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara Teluk, dengan menyatakan ‘ia mengancam keselamatan dan kestabilan negara di rantau itu.’

Khamis lalu, jawatankuasa hal ehwal luar dan keselamatan kebangsaan Parlimen Iran berkata: “Arab Saudi harus tahu agar tidak bermain api di rantau sensitif Teluk Parsi.”

Arab Saudi menyertai pasukan negara Teluk membantu Bahrain menangani tunjuk perasaan bulan lalu. Negara GCC lain yang turut menyertai pasukan itu ialah Kuwait, Oman, Qatar, dan Emiriah Arab Bersatu.

Penunjuk perasaan itu mendapat inspirasi bantahan di Tunisia dan Mesir yang berjaya menjatuhkan pemimpin kuku besi masing-masing. Tunjuk perasaan juga meletus di Oman.
Riyadh memberi amaran kepada Teheran Jumaat lalu agar tidak mencetuskan ketegangan di rantau itu dan mengecam Iran kerana gagal menghormati negara jiran.

Kuwait Khamis lalu berkata, ia akan mengusir diplomat Iran atas dakwaan terbabit dengan kumpulan pengintip yang didakwa berkerja untuk Teheran sejak pencerobohan Iraq pada 2003.

Menteri luar Emiriah Arab Bersatu, Abdullah bin Zayed Al-Nahayan, rakan sejawatnya dari Kuwait akan memberi taklimat kepada mesyuarat GCC itu berhubung dakwaan aktiviti pengintipan Iran.

“Sebarang tindakan terhadap Iran akan diambil secara bersama selepas kajian mendalam dan perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan dan kestabilan rantau GCC,” katanya. – AFP
Berita Harian Online | Iran dikecam negara Teluk

Tentera pemberontak terus asak anggota sokong Gaddafi

BREGA, Libya: Tentera pemberontak terus bertempur dengan tentera setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi di bandar minyak di timur ini semalam, ketika pesawat tempur Barat berlegar di ruang udara dan beberapa letupan kedengaran.
Perang saudara Libya yang tercetus lebih sebulan lalu berikutan bantahan rakyat yang mendesak persekitaran lebih demokratik, kini dijangka berlarutan lebih lama, walaupun serangan udara Barat banyak membantu pemberontak.
Kumpulan pemberontak semalam mengambil langkah untuk bertindak lebih berkesan dengan membentuk ‘pasukan krisis’ diketuai bekas menteri dalam negeri Libya yang dilantik panglima angkatan tentera pemberontak.

Di pinggir Brega, tahap disiplin di kalangan pasukan pemberontak jelas kelihatan berbanding pasukan sukarelawan yang dikerahkan beberapa kilometer di belakang barisan hadapan perang.

Pemberontak juga dilihat mengerah senjata berat di pinggir bandar minyak ini yang ditawan seketika oleh mereka kelmarin tetapi terpaksa berundur berikutan kehadiran penembak curi Gaddafi di tengah bandar.

“Kami kini dalam proses menyusun semula pasukan. Kami sudah membentuk briged pertama yang dianggotai oleh tentera Gaddafi yang berpaling tadah dan mereka yang sudah bersara,” kata bekas mejar tentera udara Jalid al-Libie.

Ditanya mengenai jumlah anggota briged itu beliau berkata ia tidak boleh didedahkan. “Apa yang lebih penting ialah mutu pasukan,” katanya.
Beliau berkata matlamat briged berkenaan ialah untuk mengukuhkan kedudukan dimenangi dan mendapat bantuan sukarelawan yang kurang terlatih untuk mempertahankan kedudukan berkenaan. – Reuters
Berita Harian Online | Tentera pemberontak terus asak anggota sokong Gaddafi

Jurutera gagal tutup rekahan loji

Foto
PEKERJA loji memakai sut perlindungan ketika menyembur cecair dalam usaha menutup kebocoran loji nuklear, semalam.
Foto
REKAHAN sepanjang 20 sentimeter merosakkan loji Fukushima Daii-chi, ditemui pekerja loji itu, kelmarin.

TOKYO: Jurutera semalam gagal menutup rekahan yang menyebabkan air tercemar radiasi mencurah ke dalam Lautan Pasifik dari loji jana kuasa nuklear yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu, namun pencarian di tapak itu tidak menemui kebocoran lain semalam.
Gambar diedarkan syarikat pengendali loji, Tokyo Electric Power Co (TEPCO), menunjukkan air memancut daripada dinding dan menyembur ke laut. Air tercemar itu segera larut dengan air laut, mungkin membahayakan kepada pekerja loji itu.
Lopak air di loji nuklear Fukushima Dai-ichi, yang dipercayai datangnya dari teras reaktor, berulang kali memaksa juruteknik berundur dan menangguhkan tugas.


Gempa bumi dan tsunami besar-besaran merosakkan loji jana kuasa itu pada 11 Mac lalu, menyebabkan sistem penyejukan gagal dan reaktor terlebih panas secara berbahaya sejak itu. Beberapa masalah timbul hampir setiap hari menyebabkan sejumlah besar radiasi bocor ke atmosfera, tanah dan laut dalam krisis nuklear terburuk sejak terbakarnya Chernobyl pada 1986 di negara bekas Kesatuan Soviet.


Bencana berganda yang melanda Jepun itu yang memusnahkan kawasan besar di pantai timur laut negara itu dipercayai menyebabkan 25,000 maut.


Semalam menandakan hari terakhir pencarian bersama tentera Amerika Syarikat dan Jepun untuk mayat mangsa di perairan. Usaha itu kemungkinan harapan terakhir mencari mangsa.
Setakat ini, 12,000 kematian disahkan, dan tambahan 15,400 masih hilang.


Kelmarin, pekerja menemui rekahan 20 sentimeter dalam lubang penyelenggaraan di loji Fukushima Daii-chi dipercayai disebabkan gempa bumi 9.0 magnitud yang melanda Jepun.


Air mengandungi paras iodin radioaktif jauh melebihi had selamat mencurah daripada loji itu ke dalam laut Pasifik, kata Hidehiko Nishiyama dari Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA).


Pekerja mengisi lubang itu dengan konkrit dalam usaha menutup rekahan namun gagal mengeringkannya. Mereka bercadang meletakkan polimer semalam, kemungkinan mencipta penutup jauh ke dalam sistem.


Sejak 10 hari lalu, lopak air tercemar ditemui di seluruh loji dan paras tinggi radioaktif diukur dalam laut, namun ini menandakan kali pertama pihak berkuasa mengatakan mereka menemui satu tempat di mana air mengalir ke dalam laut. – AP
Berita Harian Online | Jurutera gagal tutup rekahan loji

Jeritan pilu sebelum rentung



ABDUL RASHID (kiri) mengiringi jenazah anaknya ketika hendak dibawa ke hospital untuk bedah siasat dengan kenderaan polis.

BUKIT MERTAJAM - Pilu hati seorang ibu apabila tidak mampu berbuat apa-apa tatkala mendengar jeritan anaknya meminta tolong sebelum kanak-kanak itu ditemui rentung dalam rumahnya yang terbakar di Kampung Permatang Nibong, di sini semalam.
Kejadian pukul 11.55 pagi itu menyebabkan Mohamad Irfan Abd. Rashid, 5, rentung separuh badan dalam kebakaran tersebut. Ketika kejadian, anak kedua daripada tiga beradik itu sedang bermain seorang diri di dalam bilik di tingkat atas.
Menceritakan detik cemas itu, ibu mangsa, Nor Amalina Mat Ariffin, 25, memberitahu, ketika kejadian dia sedang memasak di dapur manakala dua lagi anaknya, Nor Atikah, 7, pergi ke sekolah dan anak bongsunya, Mohamad Ikmal, 3, bersama adik iparnya di rumah jiran.
Katanya, suaminya, Abdul Rashid Ismail, 31, pula keluar bekerja di sawah berdekatan.
"Ketika memasak, saya nampak api di tingkat atas rumah lalu memanggil Mohamad Irfan. Saya cuba naik untuk menyelamatkannya tetapi api sangat marak.
"Ekoran itu, Irfan terperangkap dan saya turut mendengar suaranya meminta tolong dan ia sangat memilukan," ceritanya di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Selepas 6 bulan nikah, baru tahu isteri ialah lelaki


JAKARTA - Setelah bernikah selama enam bulan, seorang lelaki, Umar baru mengetahui bahawa isterinya itu ialah seorang lelaki tulen, lapor akhbar Sumut Pos semalam.
Umar berkenalan dengan isterinya itu, Fransiska Anatasya Octaviany menerusi Facebook setelah tertarik dengan kecantikan wajahnya.
"Semasa mereka bertemu, lelaki yang mengaku wanita itu memakai tudung," kata seorang pegawai polis di Jatiasih, Bekasi, Darmawan Karosekali kelmarin.
Namun, setelah enam bulan bernikah, Umar melihat terdapat sesuatu yang mencurigakan pada tubuh isterinya itu kerana dia kelihatan tegap.
"Selepas diperiksa (oleh Umar), ternyata dia (Fransiska) memang laki-laki," kata Darmawan.
Umar yang berasa tertipu kemudian membuat laporan polis. "Buat masa ini, kita sudah tahan (lelaki yang menyamar wanita itu) dan kesnya sedang disiasat," kata Darmawan.
Pasangan itu berkahwin seminggu selepas Hari Raya Aidilfitri setelah jiran-jiran Umar mengadu dia tinggal bersama Fransiska selama seminggu. Perbuatan tersebut tidak elok dipandang masyarakat dan agama.
Jiran-jirannya itu meminta mereka berkahwin dan pasangan itu bersetuju.
Jelas Darmawan, Fransiska memalsukan kad pengenalan dirinya, manakala dua orang rakannya menyamar menjadi ibu bapanya semasa akad nikah.
Jika didapati bersalah, Fransiska akan dihukum penjara tujuh tahun kerana menyamar menjadi lelaki. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Sanggup beratur panjang kerana donut


KANAN: LEBIH 1,000 orang beratur di luar kedai donut Krispy Kreme di Cardiff, Wales baru-baru ini.KECIL: Bentuk donut Krispy Kreme.


CARDIFF, Wales - Lebih 1,000 orang beratur selama berjam-jam di luar kedai donut Krispy Kreme di sini hanya untuk menikmati donut percuma sempena pembukaan pertama cawangan kedai dari Amerika Syarikat itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Pihak pengurusan kedai itu menyediakan 12,000 donut dalam tempoh 12 minit untuk memenuhi permintaan pelanggan baru-baru ini.
Bilangan yang beratur itu dua kali ganda lebih ramai daripada orang ramai yang beratur untuk membeli komputer iPad di bandar raya ini pada minggu lalu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Facebook disaman lebih RM3 bilion

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Facebook, Mark Zuckerberg dan laman web berkenaan disaman lebih AS$1 billion (RM 3.3 bilion) kerana menyiarkan artikel anti-Yahudi, lapor sebuah akhbar semalam.
Saman terbabit difailkan oleh peguam yang juga seorang aktivis, Larry Klayman di sebuah mahkamah tinggi di sini pada Khamis lalu.
Dalam samannya, Klayman menuduh Facebook lewat menarik semula satu muka suratnya yang bertajuk 'Intifada Palestin Ketiga' bagi menentang Israel.
Menurutnya, Facebook sengaja membiarkan halaman tersebut kerana faktor komersial.
Halaman Facebook itu yang mengajak orang ramai bangkit menentang Israel, menyaksikan lebih 300,000 pengguna mengklik tanda 'suka' terhadap cadangan tersebut.
Intifada atau kebangkitan menentang Yahudi tersebut dirancang diadakan pada 15 Mei depan.
Muka surat itu cuma dipadam oleh Facebook pada 29 Mac lalu, beberapa hari selepas beberapa orang membuat aduan termasuk Menteri Diplomatik Awam Israel, Yuli Edelstein dan sebuah pertubuhan pro-Israel, Liga Anti-Defamasi.
Mengulas mengenai kes tersebut, seorang jurucakap Facebook berkata, dakwaan Klayman sama sekali tidak berasas.
"Kami akan menentang habis-habisan untuk membuktikan kami tidak bersalah," katanya.
Menurutnya, muka surat itu dikekalkan kerana ia bermula sebagai gesaan ke arah bantahan aman sebelum komen-komen di muka surat itu bertukar menjadi lebih ganas.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Kebocoran dijangka dapat dikawal beberapa bulan lagi


SEORANG pekerja memakai pakaian khas berjalan berhampiran pit yang musnah di reaktor No. 2 loji di nuklear Fukushima Dai-ichi.


TOKYO - Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear Jepun, Hidehiko Nishiyama menyatakan loji nuklear Fukushima Dai-ichi mungkin mengambil masa beberapa bulan lagi untuk dapat dikawal sepenuhnya.
Berita itu hadir ketika sekumpulan jurutera cuba mencari jalan bagi menghentikan kebocoran air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada terus memasuki Lautan Pasifik.
"Kita akan berdepan dengan situasi genting dalam tempoh beberapa bulan akan datang," kata Nishiyama. Bagi mengawal semua reaktor, loji itu memerlukan sistem penyejukan yang dipasang secara tetap demi mengelakkannya daripada mengalami masalah kepanasan melampau.
Pembantu kepada Perdana Menteri Jepun, Goshi Hosono menegaskan keutamaan kerajaan kini adalah untuk menghentikan kebocoran radiasi yang menimbulkan kebimbangan kepada rakyat.
"Kami tidak lari daripada krisis, namun keadaan semakin stabil. Berapa lama ia akan mengambil masa? Saya fikir mungkin beberapa bulan," kata Hosono.
Sabtu lalu, retakan sepanjang 20 sentimeter ditemui pada pit penyelenggaraan. Justeru, ia dikatakan sebagai punca kepada penemuan air laut yang mengandungi tahap radioaktif iodin yang tinggi sejak lebih seminggu lalu.
Sekeping gambar yang disiarkan oleh pengendali loji, Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) menunjukkan pancutan air keluar dari dinding dan memasuki laut. Jumlah air itu masih belum diketahui.
Sabtu lalu, para jurutera cuba untuk menampal keretakan itu menggunakan konkrit tetapi usaha tersebut gagal. Semalam, mereka memasukkan campuran serbuk kayu, cebisan surat khabar dan polimer yang boleh mengembang kepada 50 kali saiz asalnya apabila terkena air.
Campuran polimer itu bagaimanapun masih gagal untuk mengekang kebocoran. Namun mereka tidak berputus asa dan akan mengetahui keadaannya pada hari ini. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Muammar Gaddafi masih berada di Tripoli


SEBUTIR roket meletup di medan pertempuran dekat bandar Brega sambil diperhatikan oleh dua pejuang pemberontak semalam.


KAHERAH - Sumber-sumber pegawai peringkat tinggi Libya menafikan mereka mengetahui maklumat mengenai rundingan rahsia di antara para perwakilan rejim pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi dengan pihak pentadbiran negara-negara Barat, lapor akhbar Asharq Al Awsat semalam.
Bagaimanapun, sumber-sumber itu menegaskan bahawa Gaddafi masih berada di berek Bab al-Aziziyah di Tripoli, Libya selain menyatakan keluarga pemimpin berkenaan juga berada di negara tersebut.
Sumber itu menjelaskan maklumat itu dalam satu temu ramah dengan akhbar Asharq Al-Awsat bahawa Gaddafi mengadakan mesyuarat tertutup dengan para komander kanan tentera dan rejimen keselamatan negaranya tiga hari lalu.
Tujuan mesyuarat itu diadakan adalah untuk mengkaji keadaan di medan perang, sekali gus menunjukkan Gaddafi masih bekerja secara normal di Tripoli semasa negara-negara Barat diketuai Amerika Syarikat (AS) mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai pemimpin Libya.
Sumber itu mendedahkan bahawa Gaddafi mengecam Menteri Luar Libya, Mussa Kussa yang belot ke Britain pada minggu lalu.
Mussa sebelum ini mengumumkan bahawa beliau memutuskan hubungan dengan pentadbiran yang dipimpin Gaddafi.
Menurut sumber tersebut, Gaddafi memberitahu sejumlah individu yang rapat dengannya bahawa pihak perisikan asing menjadi dalang yang menyebabkan Mussa bertindak melarikan diri ke Britain.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa berlaku satu pemberontakan yang gagal di dalam kediaman Gaddafi pada Jumaat lalu.
Pemberontakan itu dilakukan sejumlah pegawai muda tentera Gaddafi.
Namun, tentera Gaddafi campur tangan dan mematahkan pemberontakan tersebut dengan segera.
Satu sumber di Tripoli bercakap menerusi telefon: "Kami mendapat maklumat bahawa satu pemberontakan kecil berlaku tetapi ia dapat dipatahkan dengan segera."
Bagaimanapun, satu lagi sumber memberitahu bahawa insiden tembakan yang didengari oleh penduduk dekat ibu pejabat Gaddafi di Bab al-Aziziyah, Tripoli adalah berpunca daripada tindakan beberapa pegawai pentadbiran yang mahu meninggalkan ibu pejabat tersebut tanpa memperoleh permit.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu selepas sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di Bandar Benghazi untuk memperjuangkan hak asasi manusia.
Tunjuk perasaan itu kemudian bertukar menjadi pertempuran melibatkan tentera Gaddafi selepas semakin ramai penduduk menuntut pemimpin tersebut meletakkan jawatan.
Pertempuran itu semakin rumit dengan penglibatan tentera bersekutu diketuai AS yang mahu menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya selepas ia diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sementara itu, satu serangan udara pakatan Barat membunuh 13 orang berhampiran pintu masuk timur bandar Brega pada Jumaat lalu.
Kepimpinan pemberontak menyifatkan pengeboman tersebut sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan dan menegaskan bahawa serangan udara Barat masih diperlukan bagi menewaskan tentera Gaddafi.
Beratus-ratus pemberontak bertempur dengan tentera Gaddafi di Brega yang masuk hari ketiga semalam.
Mereka turut dibantu serangan udara Barat yang diketuai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia