Pages

Friday, May 14, 2010

Rania antara 10 wanita tercantik





2010/05/14

Ratu Rania
Ratu Rania
Warga Arab tunggal disenarai paling jelita di dunia 

AMMAN: Ratu Rania dari Jordan menjadi warga Arab tunggal dalam senarai 10 wanita paling jelita dunia berdasarkan kadar liputan media terhadap selebriti antarabangsa.

Pil ajaib bantu hidup lebih 100 tahun

LONDON: Saintis kini mengkaji menghasilkan pil ajaib yang dapat membantu manusia hidup lebih 100 tahun dalam keadaan sihat dan cergas.
Penyelidik dilapor mengenal pasti gen yang dapat melanjutkan usia dan mencegah penyakit, termasuk Alzheimer, kencing manis dan barah.
Penyelidik pil ajaib, Profesor Nir Barzilai berkata, pil itu mungkin akan mula dijual dalam tempoh 18 bulan lagi.

Salah satu faktor utama manusia hidup melebihi usia 100 tahun didakwa kerana memiliki kadar kolesterol baik lipo-protein densiti tinggi (HDL) yang banyak.

Barzilai dari Kolej Perubatan Albert Einstein, New York mendapati kadar HDL tinggi melindungi mereka yang hidup lebih 100 tahun daripada Alzheimer. “Syarikat farmasi Merck and Roche kini menghasilkan ubat yang dapat meningkatkan kadar HDL,” katanya.

Pil ajaib itu digalakkan untuk dimakan mereka yang berusia 40-an atau 50-an tahun.

“Meskipun ada isu lain perlu dipertimbangkan, termasuk pencen dan perlindungan sosial tapi bagi perspektif perubatan, lebih baik kita sentiasa sihat,” katanya. - Agensi

Lombong garam terapi asma






LOMBONG garam lama di Pakistan menawarkan eksperimen terapi asma sehingga berjaya menarik ramai pesakit-pesakit dari seluruh dunia. Khewra yang disifatkan sebagai lombong garam kedua terbesar di dunia telah berkurun lamanya mengeluarkan mineral penting untuk dieksport Ia juga mempunyai masjid garam dan kereta api elektrik.
Hari ini lombong garam tersebut mengaut keuntungan melalui terapi garam yang membezakannya di antara lombong garam di Eropah Timur dan klinik sintetik di Britain.
Klinik-klinik mendakwa bahawa pesakit asma dan penghidap penyakit salur pernafasan mendapat faedah apabila menyedut partikel antibakteria garam dalam keadaan steril. Ia membantu membuang mukus dan membersihkan paru-paru.
"Kita tidak menggunakan sebarang ubat-ubatan kerana pesakit asma akan pulih melalui udara. Jadi kita menyediakan persekitaran di mana pernafasan boleh ditambah baik kepada mereka," kata Ketua Doktor Klinik Khewra, Akhlaq Bukhari.
Meskipun terdapat beberapa kajian klinikal mengatakan bahawa gua garam dilihat oleh segelintir pihak sebagai alternatif rawatan terapeutik kepada ubat-ubatan, gua garam semula jadi dan sintetik tumbuh bagaikan cendawan di seluruh dunia.

KLINIK asma di lombong garam yang menyerupai rumah tamu golongan atasan.


Ketika klinik-klinik lain menawarkan rawatan untuk bronkitis, fibrosis sista dan kadangkala jangkitan telinga, Shah berkata, klinik Khewra hanya merawat pesakit asma yang dicetuskan oleh alahan.
"Saya datang dari Kanada. Saya tidak sembuh melalui perubatan moden apabila berada di sana tetapi bertambah baik sejak mengunjungi tempat ini," kata jurutera awam dari Kanada, Naeem Shamsher.
Shamsher pernah mencuba ubat-ubatan yang diberikan oleh doktor di Kanada tetapi dia hanya merasa lega seketika dan tercungap-cungap apabila berjalan jauh, saudara maranya di Pakistan mencadangkan agar dia melawat lombong Khewra.
"Hari ini saya bukan saja boleh berlari malah bermain bola sepak selepas menghabiskan masa selama tiga hari di lombong ini," kata Shamsher yang sembuh 60 peratus selepas menjalani rawatan.
Lombong garam berkenaan terletak 160 kilometer (km) ke selatan ibu negara Pakistan, Islamabad. Ia ditemui pada tahun 320 Sebelum Masehi oleh askar-askar Alexander dan dibangunkan oleh pemerintah kolonial, Britain pada tahun 1872, kata pegawai lombong tersebut.
Klinik asma yang terletak di bawah tanah lombong berkenaan menyerupai rumah tamu golongan atasan. Ia dilengkapi 12 buah katil cadar putih dan selimut merah dalam enam kabin berasingan dengan batu garam serta dinyalakan lampu.
Terdapat juga kawasan menyambut tetamu yang dihiasi lampu garam dan ruang istirehat lengkap dengan air pancut, sofa dan set televisyen.
Dinding dan bumbung klinik berkenaan diperbuat daripada garam asli. Kipas turut digunakan untuk membantu mengekalkan suhu dan kelembapan sekali gus melegakan keadaan pesakit.

RAMAI pesakit asma yang mengakui lega selepas menjalani terapi garam walaupun tiada bukti saintifik.


Kursus selama sepuluh hari di pusat terapi lombong garam, Khewra menelan belanja 5,300 rupees (RM385). Pesakit akan menghabiskan masa selama 11 jam sehari di dalam gua, manakala waktu malam dihabiskan di hospital berdekatan.
Sejak dibuka tiga tahun lalu, klinik berkenaan merawat 500 pesakit. Shah mendakwa 60 peratus pesakit mengakui berasa lega daripada simptom yang mereka hadapi dan ada yang datang dari Britain dan Arab Saudi.
Tetapi Shahid Abbas, seorang doktor yang mengendalikan Pusat Asma dan Alergi di Islamabad berkata, walaupun penghidap asma atau alergi mengalami kelegaan sementara tetapi tidak ada penyembuhan cepat untuk penyakit ini.
"Tidak ada bukti saintifik mengatakan seseorang dapat sembuh daripada asma hanya dengan bernafas di dalam lombong garam atau persekitaran tertentu," katanya.
Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Mineral Pakistan (badan kerajaan yang memiliki lombong garam itu), Khaled Sajjad Khokhar, berkata, mereka akan menilai kejayaan klinik Khewra sebelum meluluskan perkembangannya kepada 100 buah katil.
Tetapi terdapat segelintir pesakit-pesakit kembali semula ke klinik tersebut dengan gembira walaupun kelegaan yang dinikmati hanya sementara.
"Hospital ini merupakan satu rahmat, ia memberikan saya kehidupan kedua. Saya tidak pernah menghadapi masalah bernafas selepas menghabiskan sepuluh hari di klinik tersebut pada tahun 2007," kata seorang pesakit Pakistan, Adnan Khan, yang mengunjungi klinik itu buat kali kedua. -AFP

Tenaga elektrik gunung berapi






KEDUDUKANNYA yang strategik di Lautan Atlantik memberi nilai tambah semula jadi kepada Iceland. Digelar negara kepulauan ke-18 terbesar di dunia, majoriti anatomi bumi di situ diliputi glasier ataupun sungai air batu yang terbentuk daripada salji yang bergerak perlahan dari gunung-ganang. Glasier turut memenuhi tasik-tasik yang besar.
Keadaan geografi Iceland seluas 103,000 kilometer (km) persegi yang terletak di pusat kepanasan bumi dan permatang Mid Atlantik membuatkan kepulauan itu penuh dengan gunung berapi yang aktif.
Antaranya gunung berapi Hekla, Eldgja, Heroubreio dan Eldfell. Fenomena letupan gunung berapi juga seringkali berlaku dengan kekerapan lima tahun sekali di negara itu.
Ekoran letusan itu, awan debu dan jerebu menyelubungi kebanyakan kawasan di Eropah, Afrika dan bertebaran sehingga ke benua Asia.
Letusan gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland baru-baru ini mengakibatkan ruang udara beberapa negara Eropah Utara terpaksa ditutup bagi tujuan keselamatan sehingga menjejaskan sektor penerbangan antarabangsa.
Sungguhpun begitu, struktur geografi tersebut memberi kelebihan kepada bumi ais itu muncul sebagai hab sumber tenaga diperbaharui dan salah satu destinasi pelancongan idaman ramai di seluruh dunia.
Pembangunan sumber tenaga diperbaharui di negara itu jauh lebih maju berbanding negara lain. Ini disebabkan kesedaran Iceland menggunakan sumber tersebut secara meluas.
Iceland menjana sekitar 81 peratus keperluan dan permintaan tenaga primer daripada sumber tenaga diperbaharui.
Bukan itu sahaja, pihak pemerintah juga bercita-cita mahu menjadi sebuah negara hijau dan bebas pencemaran.
Populasi

ICELAND kaya dengan geiser atau air pancut panas.


Menurut sumber Solusi Tenaga Nordik, 66 peratus permintaan tenaga diperoleh daripada tenaga geoterma manakala 15 peratus daripada tenaga kuasa hidro dan 19 peratus lagi daripada bahan api fosil.
Umumnya, penggunaan tenaga diperbaharui di Iceland lebih tertumpu kepada tenaga geoterma dan kuasa hidro.
Tenaga geoterma adalah sejenis tenaga yang menggunakan sumber tenaga haba yang amat besar di bawah permukaan bumi untuk menghasilkan kuasa elektrik.
Contohnya, tenaga daripada gunung berapi, geiser (air pancut panas) dan mata air panas. Kuasa hidro pula ialah elektrik yang dijana daripada air.
"Ada pihak yang mempertikaikan pencapaian Iceland dalam membangunkan sumber tenaga diperbaharui ini.
"Kritikan itu meletakkan isu populasi negara ini yang jauh lebih kecil daripada negara maju lain terutama Amerika Syarikat (AS), Jepun dan lain-lain.
"Oleh sebab populasinya kecil, mereka lebih mudah mengurus sumber itu secara efektif.
"Apa pun tohmahan yang diterima, Iceland terus maju sebagai negara yang menggunakan sumber tenaga yang bersih berbanding negara lain," kata penulis bebas dari Teknologi Hijau dan Pendidikan Pembangunan Saintifik (GTSDE), Jimmy Eriksson.
Sementara itu, sasaran negara tersebut yang ingin menjadi Negara Bebas Bergantung Kepada Tenaga 2050 hampir tercapai apabila Iceland banyak mencipta kemudahan-kemudahan baru selaras dengan hasrat itu.
Di ibu kota Reykjavik, sebanyak lima buah stesen kuasa geoterma dibina termasuk di Hellisheioi dan Nesjavellir.
ORANG ramai menyaksikan ais berhampiran air terjun Golfoss.


Sementara stesen hidroelektrik Karahnjukavirkjun digunakan untuk menjana tenaga bagi kegunaan kira-kira 323,000 penduduk, mengikut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Lebih menarik, kekayaan sumber semula jadi itu membuatkan majoriti bangunan dan kawasan perumahan di situ dipasang dengan kemudahan air panas iaitu sesuatu yang sukar didapati di negara lain kerana mereka terpaksa membayar kos yang tinggi untuk memasang kemudahan itu.
Dari kawasan bandar Reykjavik dan Akureyri sehingga kawasan luar bandar, semuanya mempunyai sistem saluran air panas yang dihasilkan daripada stesen geoterma.
Kegunaan sumber tenaga bersih yang lama secara tidak langsung membantu ruang atmosfera negara itu dipenuhi udara segar bersih tanpa sebarang pencemaran.
Selain itu, untuk menjadi negara mesra alam sepenuhnya, ia juga memperkenalkan kereta bergerak menggunakan kuasa hidrogen yang kurang mengeluarkan asap.
Kuasa hidrogen
Menurut Jimmy, Iceland juga mengorak langkah menggunakan kuasa hidrogen itu untuk mengoperasi kapal perikanan dan kenderaan di negara itu.
Dalam pada itu, laporan seorang pakar penulis blog, Lewis Perkins, menyebut setelah polisi menggunakan sumber tenaga diperbaharui dibentuk oleh Iceland pada tahun 1944, pelepasan gas karbon dioksida ke udara semakin berkurangan di negara itu.
Pembinaan stesen geoterma pula membawa keuntungan tahunan kira-kira AS$140 juta (RM453 juta) dan menjadi antara sumber kewangan penting kepada sektor ekonomi Iceland.
Pembangunan sumber tenaga diperbaharui yang efektif dan efisien itu tidak dapat direalisasikan tanpa kepimpinan yang utuh.
Apabila kerajaan Iceland menyedari potensi sumber tenaga alternatif itu, sekitar tahun 1960-an satu tabung sumber tenaga dibentuk untuk membangunkan penghasilan tenaga geoterma dalam skala yang kecil dan besar.
"Pembentukan tabung itu yang secara tidak langsung membantu Iceland bebas daripada belenggu kemelesetan ekonomi pada tahun 2008," katanya.
Negara yang berstatus republik dan mendapat kemerdekaan daripada Denmark pada tahun 1944 itu boleh dikatakan mencatat pembangunan ekonomi yang paling drastik sehingga menjadi negara berproduktif tinggi ketujuh di dunia pada tahun 2007.
Sungguhpun dikurniakan dengan kekayaan sumber tenaga geoterma dan elektrikhidro, aktiviti utama Iceland adalah perikanan yang masih menyumbang 40 peratus kepada pembangunan negara tersebut.
Aktiviti memburu ikan paus juga dilakukan di sini. Namun, aktiviti itu mendapat kritikan hebat gara-gara mamalia itu yang hampir pupus.

HASIL pertanian antara produk utama Iceland.


Kesan kegawatan ekonomi tahun 2008 telah memberi tamparan hebat kepada sektor perbankan yang sebelum itu dipegang aset luar negara yang sepuluh kali ganda lebih besar daripada sumber kewangan negara.
Pertumbuhan ekonomi semasa juga dikatakan menjadikan Iceland antara negara paling kaya dan membangun di dunia mengikut Indeks Pembangunan Manusia Kebangsaan PBB. Negara yang didiami oleh masyarakat nordik itu memiliki rakyat yang begitu menitikberatkan aktiviti mesra alam.
Dalam perkembangan lain, pakar geologi, Jabatan Geologi, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, kedudukan geografi yang diliputi gunung-ganang berapi dan sungai air batu boleh dikatakan anugerah Tuhan di sebalik bahaya letupannya.
Pembentukan gunung berapi itu secara semula jadi menghasilkan geoterma yang menjadi tenaga alternatif mesra alam.
Pengurusan sumber tenaga diperbaharui yang bertaraf tinggi Iceland sememangnya terbukti di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, ia juga sudah menjadi ikutan negara-negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina dan Thailand.


Indonesia misalnya telah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan untuk menggunakan sumber geoterma sepenuhnya pada tahun 2020.
"Sungguhpun kepakaran negara-negara Asia ini tidak setanding Iceland, usaha berterusan itu pasti akan menjayakan strategi mereka.
"Dengan ini, pada masa depan mereka tidak perlu bergantung sepenuhnya pada satu sumber sebaliknya boleh menjadikan tenaga geoterma sebagai pilihan alternatif negara-negara berkenaan," katanya kepada Kosmo!.
Pengurusan dan bekalan sumber tenaga diperbaharui yang optimum memberi kekuatan kepada Iceland untuk mencapai hasrat murni yang diletakkan menjadi Negara Bebas Tenaga 2050. - JAGATHESWARY NARAYANAN

Guru wanita belasah murid di sekolah




GAMBAR menunjukkan Sheri Davis bersedia untuk membelasah Isaiah Johnson.


HOUSTON - Seorang guru wanita Amerika Syarikat, Sheri Davis dipecat selepas rakaman video YouTube menunjukkan dia membelasah seorang murid lelaki, Isaiah Johnson, 13, di kelasnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Kejadian berlaku pada bulan lalu dan klip selama seminit yang disiarkan di laman perkongsian video itu dirakamkan menerusi telefon bimbit berkamera oleh seorang murid lain di Sekolah Jamie's House Charter di sini.
Guru besar sekolah di Texas itu, David Jones berkata, guru yang berusia 40 tahun dan berkhidmat selama tiga tahun itu sudah dipecat walaupun dia memohon maaf kepada ibu budak tersebut, Alesha Johnson.
Polis telah melakukan siasatan ekoran bantahan masyarakat tempatan selepas stesen televisyen Fox News menyiarkan rakaman berkenaan.
Menurut ibu murid itu, kejadian itu berlaku kerana guru tersebut tersilap sangka bahawa anaknya mahu memukul seorang murid lain.
Dia berkata, anaknya balik ke rumah dengan muka lebam sebelum menceritakan kejadian tersebut kepadanya. - Agensi

Mumia Korea 500 tahun dijumpai




GAMBAR menunjukkan mumia seorang wanita berusia 500 tahun yang ditemui di bandar Osan, Korea Selatan.


SEOUL - Mumia seorang wanita yang dipercayai berusia 500 tahun ditemui di sebuah tapak kompleks industri di bandar Osan, 35 kilometer dari ibu negara Korea Selatan, Seoul, lapor sebuah akhbar semalam.
Mumia tersebut ditemui di dalam sebuah keranda kayu bersama beberapa helai pakaian mewah, sejumlah barangan perhiasan dan sebuah beg tangan.
Beberapa penyelidik di Institut Penyelidikan Warisan Kebudayaan Seogyeong percaya wanita itu ialah isteri seorang pegawai kerajaan berpangkat tinggi yang meninggal dunia pada kurun ke-16 semasa pemerintahan Dinasti Joseon.
Dinasti berkenaan memerintah Semenanjung Korea dari tahun 1392 hingga 1910.
Sebelum dimakamkan, mayat golongan bangsawan terlebih dahulu diletakkan ke dalam keranda kayu tebal dan dilitupi dengan lapisan batu kapur bagi mengasingkan tubuh mayat daripada kelembapan dan udara. - Agensi

Mesin keluar kepingan emas




SEORANG lelaki mencuba mesin yang mengeluarkan kepingan emas di Hotel Emirates Palace, Abu Dhabi kelmarin.


DUBAI - Sebuah hotel mewah di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) memasang sebuah mesin yang mengeluarkan kepingan emas tulen.
Mesin itu diletakkan di bawah siling di Hotel Emirates Palace, Abu Dhabi yang merupakan tempat golongan diraja dan bilionair menginap.
KEPINGAN emas yang dikeluarkan mesin di Hotel Emirates Palace, Abu Dhabi.


"Sebab utama kami memilih hotel ini kerana ia sesuai dengan keadaan sekeliling hotel berkenaan," kata seorang usahawan Jerman, Thomas Geissler yang mencipta jenama emas Gold to Go untuk mesin berkenaan.
Bahagian luar mesin tersebut disalut dengan lapisan emas dan mesin itu menawarkan 320 barangan untuk pelanggan seperti kepingan emas seberat 10 gram dan syiling emas. - Reuters

Budak selamat kerana tercampak




LOKASI pesawat syarikat Afriqiyah Airways yang terhempas dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli, Libya kelmarin.


TRIPOLI, Libya - Seorang kanak-kanak berusia sepuluh tahun yang menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam nahas pesawat komersial di sini dipercayai tercampak sebelum pesawat malang tersebut meletup dan terhempas satu meter dari tepi landasan terbang, lapor sebuah akhbar semalam.
Kanak-kanak itu, Ruben van Assouw yang berasal dari Tilburg, selatan Belanda diselamatkan selepas ditemui oleh anggota-anggota penyelamat dalam nahas yang berlaku kelmarin.
Dia terpaksa menjalani pembedahan selama empat jam malam kelmarin.
Kakinya patah dan masih belum mampu menggerakkan beberapa bahagian badannya.
Semasa ditanya oleh doktor dari negara mana dia berasal, Ruben yang kehilangan kedua ibu bapanya dalam nahas sama menjawab: "Belanda, Belanda."
Dia merupakan individu ke-14 terselamat dalam sejarah nahas kapal terbang terhempas.

GAMBAR menunjukkan Ruben van Assouw yang mendapatkan rawatan di sebuah 
hospital di Tripoli, Libya kelmarin.


Pesawat Airbus 330-200 milik syarikat penerbangan Afriqiyah Airways yang dinaiki budak itu terhempas semasa bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dan mengorbankan 103 orang.
Pesawat yang berlepas dari Johannesburg, Afrika Selatan tersebut dalam penerbangan ke Brussels, Belgium.
Ia berhenti sebentar di Tripoli untuk mengisi minyak.
Juruterbang pesawat dilaporkan telah memberi amaran kepada pengawal trafik udara bahawa pesawatnya mengalami masalah ketika ia mendekati lapangan terbang tersebut.
Namun, siasatan untuk mencari punca kemalangan telah dimulakan semalam. - Agensi

Ibu tunggal terkejut lihat telekung 'bangun'



AZIZAH menunjukkan keadaan telekong yang duduk seperti orang bersolat di rumahnya di Bandar Sunggala, Port Dickson semalam.


PORT DICKSON - "Selepas memakai kain sarung saya terkejut melihat telekung yang sebelum ini dalam keadaan berlipat, telah duduk seperti orang sedang bersolat."
Demikian cerita seorang ibu tunggal, Azizah Jalil, 61, ketika hendak bersolat Asar di rumahnya di Bandar Sunggala di sini pada pukul 5 petang Selasa lalu.
Sebelum itu menurut Azizah, pada sebelah malamnya, dia bermimpi berada di sebuah tanah perkuburan Islam di Mekah sebelum menunaikan solat di Masjidil Haram.
"Sejak kejadian itu, saya tidak berani untuk mengusik atau mengalihkan telekong ini. Mungkin ini satu petunjuk daripada Allah dan saya tidak tahu kenapa saya dipilih untuk mengalaminya," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.