Pages

Tuesday, April 26, 2011

Teratak Santai: Sejarah Terciptanya Rokok


Sejarah Terciptanya Rokok

Rasulullah SAW pernah bersabda (maksudnya) : “Kelak akan datang kaum-kaum di akhir zaman, mereka suka menyedut asap tembakau dan mereka berkata: Kami adalah umat Muhammad padahal mereka bukan umat ku dan aku juga tidak menganggap mereka sebagai umat ku, bahkan mereka adalah orang yang celaka”


Abu Hurairah R.A yang mendengar sabda tersebut bertanya: “Bagaimana sejarah tembakau itu tumbuh wahai Rasulullah?” Sabda Rasulullah SAW : “ Sesungguhnya setelah Allah menciptakan Adam dan memerintahkan para malaikat untuk sujud (tanda penghormatan) kepada Adam, seluruh malaikat kemudian sujud kepadanya kecuali iblis. Dia enggan, sombong dan termasuk orang-orang yang kafir.


Allah bertanya kepada iblis : Wahai iblis apa yang menyebabkan kamu tidak mahu sujud ketika Aku memerintahkan mu? Kata iblis : Aku lebih baik darinya, aku tercipta dari api sedangkan ia dari tanah. Allah berfirman: Keluarlah engkau dari syurga, sesungguhnya engkau terkutuk dan engkau dilaknat hingga akhir.


Iblis keluar dalam ketakutan hingga terkencing-kencing. Dari titisan kencing iblis itulah tumbuh sejenis tumbuhan yang dinamakan pokok tembakau.” Nabi bersabda lagi : “Allah memasukkan mereka ke dalam neraka dan sesungguhnya tembakau adalah tanaman yang keji” (Saya petik keseluruhan maksud hadis ini dari buku ‘HARAM MEROKOK’ oleh Adil Akhyar muka surat 12) Kepada rakan2 ku yang merokok, moga kita tidak rasa tersinggung hati dengan hadis ini.
Teratak Santai: Sejarah Terciptanya Rokok

Russia bantah resolusi tingkat campur tangan di Libya: Lavrov

MOSCOW: Russia tidak akan menyokong resolusi baru Majlis Keselamatan PBB ke atas Libya jika ia menggesa peningkatan campur tangan asing, kata Meteri Luar, Sergei Lavrov.
Dalam ulasan kepada agensi berita Interfax, Lavrov menyatakan resolusi baru berhubung konflik itu tidak dibincangkan tetapi "jika ia menjurus kepada peningkatan perang saudara menerusi kaedah tertentu, termasuk campur tangan asing, kami tidak akan menyokongnya".
Katanya, Russia akan menyokong usaha baru PBB jika "ia menggesa penamatan segera segala keganasan, pertumpahan darah, penggunaan kekerasan dan tindakan ketenteraan serta semua puak bertelagah duduk di meja runding".
Russia berkecuali dalam undian resolusi Majlis Keselamatan PBB berhubung zon larangan terbang di Libya pada Mac lalu dan tidak menggunakan kuasa veto untuk membatalkannya, tindakan yang dipuji Barat.

Namun, Russia sejak itu menyatakan kekesalan bahawa Barat kian ditarik masuk ke dalam konflik itu yang mungkin melarat dengan penghantaran tentera darat. - AFP 

AS arah keluarga kakitangan kedutaan tinggalkan Syria

WASHINGTON: Amerika Syarikat mengarahkan anggota keluarga kakitangan kedutaan dan sebilangan kakitangan bukan kritikal meninggalkan Syria berikutan "ketidaktentuan dan ketidakstabilan" tindak balas terhadap penunjuk perasaan.
Jabatan Negara mengeluarkan arahan pulang itu bersama amaran perjalanan kepada rakyat AS supaya meninggalkan Syria berikutan serangan terhadap penunjuk perasaan oleh pasukan keselamatan Syria.
“Jabatan Negara mengarahkan semua anggota keluarga kakitangan kerajaan AS yang layak serta kakitangan bukan kritikal tertentu untuk meninggalkan Syria," menurut kenyataan itu.
Kira-kira 390 orang terbunuh dalam operasi pasukan keselamatan sejak tunjuk perasaan meletus di Syria. - AFP 

Timur Tripoli dibedil lagi

TRIPOLI: Lima letupan kuat kedengaran di bahagian timur Tripoli, ibu negara Libya lewat malam tadi namun setakat ini kawasan sebenar sasaran belum dikenal pasti.
“Kami dengar tiga letupan kuat dan dapat lihat api dan asap tebal berhampiran kawasan kami," kata saksi, Ain Zara yang tinggal di timur Tripoli.
Dua lagi letupan juga menggegarkan kawasan sama beberapa minit kemudian, kata seorang lagi saksi.
Susulan itu, stesen televisyen Al-Jamahiriya berkata, serangan udara NATO itu mensasarkan kawasan penempatan awam dan tentera di Daerah Ain Zara di Bir Al-Ghanam, kira-kira 50 kilometer di barat daya Tripoli.

Pejabat Presiden Libya, Muammar Gaddafi diserang NATO awal semalam dan sehingga awal hari ini pesawat pengebom tentera Bersekutu dilihat masih berlegar-legar di ruang udara Tripoli. - AFP 

Petua Untuk Mengelak Rumahtangga Bercerai

by ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA
Petua 1: Berkomunikasi

Biasakan diri untuk saling berkomunikasi bersama pasangan, baik ketika berada di rumah mahupun ketika sedang berjauhan. Jika ada masalah, sebaiknya dibincangkan ketika anda atau pasangan sedang santai. Ketidakharmonian rumahtangga biasanya bermula dari kurangnya komunikasi dua arah antara suami dan isteri. Masing-masing saling menyimpan masalah seolah-olah bersendirian meskipun berada di bawah satu bumbung.

Petua 2: Bincang Jika Ada Masalah Seks
Masalah seks ternyata antara penyebab berlakunya penceraian. Mungkin ramai yang lupa bahawa fungsi hubungan seksual selain untuk mendapatkan zuriat keturunan, ia juga  untuk rekreasi dan ekspresi cinta. Ramai pasangan mengakui hubungan seksual dilakukan untuk menghilangkan tekanan setelah seharian bekerja. Bagi mengelakkan kebosanan, tiada salahnya anda lebih kreatif dalam aspek kehidupan seksual. Lokasi, teknik atau posisi yang baru adalah antara cara yang boleh dilakukan. Namun perlu diingatkan, apa yang anda inginkan dalam hubungan seks harus dikomunikasikan dengan pasangan anda.

Petua 3: Terimalah Pasangan Seadanya

Ketika seorang lelaki dan wanita berumahtangga dan hidup sebumbung maka sifat sebenar masing-masing akan terserlah. Sikap itu mungkin tidak sama seperti anda berdua di alam percintaan. Yang ada ketika itu hanyalah dua insan yang harus saling menyesuaikan diri.
Inilah kehidupan perkahwinan yang sebenarnya. Anda dan pasangan belajar mengenali perbezaan masing-masing. Dalam tempoh mengenali ini, anda akan berhadapan dengan beberapa perkara yang boleh menimbulkan konflik. Antaranya ialah perbezaan persepsi, wawasan, nilai, latar belakang dan keperibadian. Namun, perbezaan itu sebenarnya boleh diatasi jika masing-masing saling berusaha memahami dan menilai diri.

Petua 4: Jangan Biasakan Berbohong

Bagi suami, anda pasti tidak sanggup berterus-terang denga pertemuan bersama klien wanita yang cantik dan bijak hingga berlarutan ke lewat malam. Agar isteri tidak banyak bertanya dan anda sendiri enggan mencetuskan pertengkaran maka anda mengatakan perkara yang berbeza. Anda berbohong dengan alasan untuk kebaikan. Perkara ini sebenarnya akan berlanjutan dan lama kelamaan anda akan menganggap berbohong pada pasangan adalah perkara biasa. Supaya semua ini tidak terjadi maka sebaiknya anda ceritakan saja pada pasangan bahawa apa yang anda lakukan adalah untuk urusan pekerjaan semata-mata.

Petua 5: Jangan Cemburu Berlebihan

Ramai orang berkata cemburu itu tandanya sayang. Walaupun ada benarnya cemburu tandanya sayang, itu bukan bermakna anda atau pasangan boleh cemburu buta. Memang banyak perselisihan suami isteri yang berpunca daripada faktor ini. Lazimnya ia bermula dari salah tafsir dan sikap terbuka. Misalnya seorang rakan telah melihat suami keluar berdua dengan rakan sekerja wanitanya dan tanpa bertanya anda menyerang suami dan menuduhnya bukan-bukan, sedangkan dia keluar atas urusan kerja. Inilah yang disebut cemburu tidak bertempat atau cemburu buta.

Petua 6: Jangan Curang

Curang dengan pasangan selalunya terjadi kerana masing-masing tidak mahu saling terbuka atau mendengarkan apa yang dirasai atau dikeluhkan oleh pasangan. Contohnya, suami merasa jengkel kerana setiap kali pulang, isterinya tiada di rumah. Tetapi keluhan itu tidak disampaikan oleh suami ataupun sudah disampaikan, tetapi tidak didengari.
Kecurangan juga berlaku kerana pasangn kesepian, tidak merasakan kepuasan seksual atau godaan dari luar seperti tempat hiburan dengan erotis, wanita perayu dan lain-lain. Bagi menyelesaikan masalah ini, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mencari punca permasalahannya, kemudian berusaha untuk dihindari atau disingkirkan.

Petua 7: Cari Orang Tengah

Sekiranya masalah yang berlaku antara suami isteri tidak dapat diselesaikan setelah puas berusaha, maka carilah bantuan orang ketiga sebagai orang tengah. Orang ketiga itu haruslah seorang yang dihormati oleh suami isteri, seperti mentua, bapa saudara mahupun sahabat yang sudah lama dikenali. Cara ini lebih baik berbanding anda bercerita dan mengadu kepada jiran, rakan atau teman sepejabat.

Petua 8: Tetap Mesra

Agar hubungan anda dan pasangan tetap mesra, buanglah jauh-jauh persepsi bahawa kemesraan itu hanya dikecapi ketika bercinta saja. Pada dasarnya, kemesraan itu boleh dikecapi asalkan anda berusaha.

Petua 9: Pasrah Kepada Yang Esa

Berhadapan dengan permasalahan rumahtangga, perasaan emosi memang membuak-buak. Namun, jangan terbelenggu dengannya. Berdoa dan pasrahkan diri kepada yang Maha Pencipta agar emosi tidak mempengaruhi tindakan dan permasalahan dapat diselesaikan dengan segera.

Share

Kemboja dakwa kuil purba terkena bedilan Thailand


ASKAR Kemboja di hadapan kuil Ta Krebey di daerah Samrong, Oddar Meanchey, utara Kemboja dalam gambar video kelmarin. - REUTERS


PHENOM PENH 25 April - Kemboja menuduh Thailand merosakkan dua kuil purba dalam pertempuran selama tiga hari di sempadan kedua-dua negara itu yang mengakibatkan kematian 12 orang.
Tahap kerosakan yang didakwa berlaku di kuil Ta Moan dan Ta Krebey berusia hampir 1,000 tahun dan dibina ketika empayar Khmer masih tidak diketahui.
Cubaan mendapatkan kenyataan daripada pihak berkuasa Thai gagal.
Dalam pada itu, sempadan Thai-Kemboja, hari ini dilaporkan 'sunyi' selepas tiga hari pertempuran antara tentera kedua-dua negara.
Namun, harapan bagi mencari penyelesaian diplomatik terhadap insiden itu menjadi 'hambar' selepas pertemuan utusan khas ASEAN dengan kedua-dua negera bertelagah itu dibatalkan.
Pegawai kerajaan Thai dan Kemboja berkata, lawatan Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa yang sepatutnya ke Thailand dan Kemboja untuk mengadakan pertemuan hari ini telah dibatalkan.
Natalegawa pernah mempengerusikan proses perjanjian damai Thai-Kemboja yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 Februari lalu untuk menempatkan pemantau tentera dari Indonesia di sempadan Thai-Kemboja, namun ia dibantah oleh Thailand.
Jurucakap kerajaan Thai, Panitan Wattayagorn berkata, lawatan itu dibatalkan selepas Thailand dan Kemboja masih belum menyelesaikan urusan berhubung terma dan syarat untuk menempatkan pasukan pemantau dari Indonesia.
Kemboja mahu rundingan damai diadakan dengan penglibatan ASEAN sebagai 'orang tengah' dan menyatakan Thailand perlu menghormati perjanjian yang dibuat pada Februari lalu untuk mengerah pemerhati tentera dari Indonesia.
''Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa ia perlu dilakukan. Tanpa pemerhati, kami akan saling menuduh siapa yang melancarkan serangan dahulu,'' kata jurucakap Kementerian Luar Kemboja, Koy Kuong. - Reuters
Pertempuran terbaru pada hujung minggu lalu melanggar perjanjian damai yang dipersetujui selepas 11 askar dan sejumlah orang awam cedera dalam pertempuran dari 4 hingga 7 Februari berdekatan kuil berusia 900 tahun, Preah Vihear, kawasan yang dituntut oleh kedua-dua negara itu.

SBY digelar taghut



JAKARTA: Suspek pengganas, Abu Bakar Basyir (gambar) semalam menyifatkan semua presiden Indonesia sebagai taghut kerana tidak mahu menerapkan hukum Islam dalam sistem pemerintahan.
“Sukarno taghut, begitu juga Susilo Bambang Yudhonyono kerana mereka mengaku Islam tetapi tidak mahu memerintah negara mengikut hukum Allah,” kata Abu Bakar dengan nada suara tinggi ketika memberi keterangan dalam perbicaraannya di mahkamah di Jakarta Selatan.


Kenyataan itu turut dulanginya ketika dia ditanya oleh pendakwa raya maksud taghut yang dilemparkan kepada Sukarno dan Susilo.


“Saudara boleh buktikan sekiranya Sukarno dan Susilo menolak hukum Islam? Saya boleh buktikan mereka menolak, jadi saya yakin mereka adalah taghut,” kata pemimpin Jamaah Anshorud Tauhid (JAT) itu. Penjelasan Abu Bakar itu kemudian disambut laungan takbir oleh puluhan penyokongnya yang memenuhi mahkamah.


Ketua Hakim, Herry Swantoro kesal dengan tindakan itu.


“Anda hanya mengganggu perbicaraan. Keterangan tertuduh ini penting,” kata Herry. Pendakwa raya kemudian meminta pendapat Abu Bakar sama ada dia bersetuju dengan Negara Islam Indonesia (NII). Abu Bakar lalu menjawab, “Wajib kerana jika saudara orang Islam dan tidak setuju dengan negara Islam maka saudara murtad. Setiap negara wajib diperintah dengan hukum Islam.” Abu Bakar dibicarakan atas tuduhan membiayai keganasan, kesalahan yang boleh menyebabkan dia dihukum mati. - Agensi, mymetro

Taliban gali terowong bebas rakan






ASKAR Afghanistan bersenjata senapang mengawal penjara utama di Kandahar yang dilaporkan dibolosi Taliban.
ASKAR Afghanistan bersenjata senapang mengawal penjara utama di Kandahar yang dilaporkan dibolosi Taliban.

POLIS Afghanistan melihat lubang masuk trowong bawah tanah yang digali tahanan Taliban di penjara utama di Kandahar, Afghanistan, semalam. 475 tahanan berjaya meloloskan diri menerusi terowong sepanjang 320 meter itu.- Foto AP, bharian




475 tahanan militan berjaya lolos dari penjara utama wilayah Kandahar 




KANDAHAR: Lebih 475 tahanan Taliban di penjara utama di Kandahar melarikan diri melalui terowong bawah tanah sepanjang 320 meter (1,050 kaki) yang digali rakan mereka, semalam.
Kejadian itu menandakan kelemahan berterusan pentadbiran kerajaan di bahagian selatan Afghanistan, walaupun bilangan askar sudah ditambah.
Penyelia penjara Sarposa, Ghulam Dastagir Mayar berkata, seramai 475 tahanan itu meloloskan diri menerusi terowong digali antara penjara dan bahagian luar, sebelum lari ke Kandahar.


Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, berkata sekumpulan pejuang yang berada di luar penjara menggali terowong bawah tanah sepanjang 320 meter sejak lima bulan lalu dan berjaya melintasi pusat pemeriksaan kerajaan dan beberapa jalan utama tanpa dikesan.


“Terowong itu akhirnya sampai di penjara malam semalam dan tahanan dibawa keluar oleh tiga penghuni lain yang sudah dimaklumkan mengenai rancangan itu lebih awal,” katanya.


Beliau berkata, lebih 500 tahanan dibebaskan dengan 100 daripadanya anggota kanan pergerakan Taliban.
Seorang daripada tahanan yang membantu pesalah lain melarikan diri dikatakan berjaya mendapatkan kunci pendua penjara itu lebih awal.


“Ada empat atau lima orang daripada mereka mengetahui kerja menggali terowong dari luar penjara,” kata Mohammad Abdullah, yang sudah berada di penjara Sarposa sejak dua tahun lalu selepas ditahan pihak berkuasa di daerah Zhari bersama sejumlah senjata.


Dia memberitahu, beberapa rakannya membantu menyediakan kunci dan apabila malam tiba mereka berjaya membuka pintu bilik penjara lain.


“Kami mengejutkan tahanan sehingga empat atau lima orang pada satu masa bagi membolehkan mereka meloloskan diri dengan senyap,” katanya menerusi telefon.


Seorang lagi jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi, berkata empat daripada tahanan yang berjaya melarikan diri itu adalah panglima Taliban peringkat wilayah.


Ada pihak menyatakan, tahanan Taliban berprofil tinggi berkemungkinan besar tidak akan ditahan di penjara Sarposa.


Tentera Amerika menahan pesalah yang dianggap memberi ancaman di sebuah kompleks di luar pangkalan udara di Bagram, timur Afghanistan, manakala tahanan penting Taliban ditempatkan di penjara Kabul yang dikawal ketat. – AP 

Askar Jepun cari 12,000 mangsa bencana



Foto
TENTERA Jepun mencari mangsa bencana gempa dan tsunami di dalam terusan di Minami Soma, semalam.
Operasi kesan korban tsunami dikategorikan sebagai orang hilang, terbunuh


TOKYO: Hampir 25,000 askar Jepun menggunakan bot, helikopter dan pesawat mula melaksanakan gerakan besar-besaran mencari hampir 12,000 mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang dikategorikan sebagai orang hilang dan dikhuatiri terbunuh.Gerakan intensif ketenteraan terbaru untuk mencari mayat itu bermula semalam, kali ketiga dilakukan sejak bencana alam melanda pada 11 Mac lalu yang memusnahkan bangunan, pekan dan membunuh 26,000 penduduk di kawasan timur laut Jepun.
Pegawai berharap kumpulan yang turut disertai polis, pengawal pantai dan askar Amerika berjaya menghasilkan kemajuan dalam operasi dua hari itu.

“Lebih sebulan sejak gempa bumi dan tsunami besar melanda, namun ramai yang masih hilang. Kami mahu mencari mereka dan mengembalikan mereka kepada keluarga,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Norikazu Muratani.

Sejumlah 24,800 askar yang dibantu 90 helikopter serta pesawat dihantar ke tempat timbunan bangunan sementara 50 bot dan 100 penyelam tentera akan mencari di kawasan 20 kilometer dari pantai untuk mencari mereka yang dihanyutkan.

Dua robot disediakan oleh badan bukan berasaskan keuntungan Institut Sistem Penyelamat Antarabangsa turut menjalankan pencarian selama lima hari di kawasan perairan di tiga pekan yang dilanda tsunami sejak minggu lalu. 
“Robot itu menjumpai kereta, rumah dan banyak lagi bangunan dalam laut, tetapi belum menemui mayat,” kata pegawai institut itu, Mika Murata.

Selain itu, pegawai pertanian turut dihantar ke kawasan zon pengosongan di kawasan loji yang terjejas teruk bagi memeriksa ratusan ribu lembu, babi dan ayam yang ditinggalkan, dipercayai mati akibat kelaparan atau terbiar. 

Petani di kawasan berkenaan meninggalkan 3,000 lembu, 130,000 babi dan 680,000 ayam ketika bergegas meninggalkan kawasan yang dilanda krisis nuklear itu.

Disebabkan kekurangan masa menanam bangkai ternakan itu, pegawai veterinar hanya menyiram bangkai dengan pembunuh kuman bagi mengelakkan penyakit bawaan haiwan merebak. – AP 

Askar Syria bedil dua bandar kubu pemberontak

DAMSYIK: Beribu-ribu tentera Syria yang dibantu kereta kebal, membedil bertubi-tubi sebelum memasuki bandar Daraa dan Douma. Mayat dilihat bergelimpangan di jalan raya bandar itu, semalam.
Aktivis hak asasi melaporkan, pasukan keselamatan juga menyerbu bandar Al-Muadamiyah berhampiran Damsyik, manakala Amman berkata, Syria sudah menutup sempadannya dengan Jordan.
Aktivis yang dihubungi melalui telefon berkata mereka tidak dapat menganggarkan jumlah penduduk yang terbunuh atau cedera, kerana penembak curi yang bersembunyi di bumbung bangunan, menghalang sesiapa saja keluar.
Bagaimanapun, seorang saksi berkata, sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh di Daraa.

Saksi itu menambah beliau berada di atas bumbung rumahnya ketika bunyi tembakan terus kedengaran di bandar yang bersempadan dengan Jordan itu.

“Bilal masjid melaungkan seruan merayu pertolongan ketika askar memasuki setiap rumah. Perintah berkurung dikuatkuasakan dan askar menembak sesiapa saja meninggalkan kediaman. Mereka juga menembak tangki air bagi menghalang penduduk mendapatkan bekalan air,” katanya. – AFP 

NATO cuba lagi bunuh Gaddafi



Foto
SEORANG lelaki berdiri di depan bangunan pejabat Gaddafi yang rosak teruk dibedil pesawat NATO.
Foto
PEMBERONTAK anti-Gaddafi bergerak di bandar Misrata yang terus dibedil askar.



3 maut, 45 cedera serangan ke atas bangunan pejabat pemimpin Libya


TRIPOLI: Serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menyebabkan pejabat pemimpin Libya Muammar Gaddafi rosak teruk disifatkan hanya boleh menakutkan kanak-kanak ketika pertempuran terus berlangsung antara pemberontak dan tentera kerajaan di Misrata, semalam.“Ia adalah satu cubaan untuk membunuh Gaddafi,” kata seorang pegawai Libya yang tidak pasti jika ada mangsa terperangkap di celah bangunan yang runtuh.Seorang daripada anak Gaddafi, Seif Al-Islam pula menyifatkan serangan bom terbabit sebagai tindakan pengecut.

“Serangan pengecut ke atas pejabat Muammar Gaddafi mungkin menakutkan dan mencemaskan kanak-kanak tetapi kami tidak akan meninggalkan medan perang dan kami juga tidak takut,” katanya yang mendakwa NATO sudah ‘tewas lebih awal’.

Sekurang-kurangnya tiga maut, 45 cedera, 15 daripadanya parah selepas letupan kuat menggegar bahagian tengah Tripoli sejurus tengah malam disusuli bunyi pesawat melintasi ruang udara ibu negara Libya itu.

Seorang pegawai Libya yang mengiringi wartawan di kawasan kediaman Gaddafi mendedahkan angka kecederaan dan kemusnahan.
Sebuah bilik mesyuarat yang menghadap pejabat Gaddafi rosak teruk terkena bom NATO, katanya. Sehingga kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, asap kelihatan terus berkepul dari bahagian yang terkena serangan bom, sambil disaksikan beratus-ratus penduduk sekitar.

Pesawat perang NATO sejak lewat Jumaat lalu sudah menyasarkan serangan ke atas daerah Bab Al-Aziziya yang menempatkan kompleks pejabat Gaddafi.

Sementara itu di Misrata, 215 kilometer ke timur Tripoli, pemberontak Libya mencapai kejayaan di beberapa jalan utama sejak pertempuran bermula 50 hari lalu, manakala penduduknya terus hidup dalam ketakutan.

Mereka juga berjaya menahan atau membunuh penembak curi, sekali gus membolehkan penduduk keluar membeli barang keperluan selepas terperangkap di dalam rumah. – AFP , bharian

Nyaris maut terkena 'hujan asid'




WAN KOMSAH WAN AHMAD mengelap tubuh suaminya, Mohd. Riza yang cedera selepas menjadi mangsa kebocoran asid ketika bekerja di sebuah kilang kimia di Kemaman pada 17 Mac lalu.



MARANG - Seorang kakitangan sebuah syarikat penyelenggaraan nyaris maut selepas terkena 'hujan asid' menyebabkan jaket, baju serta seluar dalam yang dipakainya hancur dalam kejadian di sebuah kilang baru-baru ini.
Insiden berlaku apabila paip asid untuk pemprosesan produk di kilang tersebut bocor ketika kerja-kerja menguji ketahanan paip berkenaan dilakukan oleh Mohd. Riza Jaafar, 35, bersama dua lagi rakannya.
Menurut Mohd. Riza, kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi pada 17 Mac itu berlaku ketika dia baru hendak memulakan kerja di sebuah kilang bahan kimia di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman.
Katanya, secara tiba-tiba paip saluran asid di situ pecah dan terus mengenainya menyebabkan dia segera menyelamatkan diri.
"Apabila saya sampai bawah saya dapati saya sudah berbogel sebab semua pakaian saya sudah hancur dan yang tinggal hanya topi keselamatan, cermin mata dan kasut.
"Selepas itu saya terus mencari paip air dan mandi sebab tidak tahan sakit," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung dekat sini semalam.

Misteri 10 jari dikerat 'cantik'


SEBAHAGIAN daripada 10 jari Mispara yang ditemui semalam.



GOMBAK - Kejam! Perbuatan penjenayah terhadap mangsanya semakin sukar dijangka dengan kes terbaru polis menemui 10 batang jari seorang lelaki yang dikerat 'cantik' dibuang atas landasan kereta api berhampiran Taman Sri Putra Emas, Kuang di sini semalam.
Kesemua jari yang dibungkus di dalam beg plastik berwarna putih itu ditemui pada pukul 9.55 pagi oleh pejalan kaki sebelum memaklumkannya kepada kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Difahamkan, jari tersebut telah dilemparkan dari atas Jambatan Jintan tepat ke atas landasan iaitu di Kilometer 363 dari Butterworth ke pekan Kuang.
Siasatan awal polis mendapati, kesemua jari berkulit gelap tersebut diikat menggunakan pita pelekat sebelum dikerat serentak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, ketika itu pekerja KTMB terbabit hanya menyedari lima batang jari di dalam beg plastik tersebut.
Bagaimanapun katanya, selepas diperiksa, polis mendapati terdapat lima lagi jari yang disyaki dikerat dari dua belah tangan milik seorang lelaki.
"Kita turut menemui sehelai baju T berwarna hitam berbelang putih dengan kesan darah dan sehelai seluar slack," katanya ketika dihubungi di sini semalam.-kosmo

Gambar didakwa kuntilanak berjaya dirakam



GAMBAR kuntilanak (dalam bulatan) dirakamkan oleh seorang penduduk di Talang Ubi, Sumatera Selatan pada bulan lalu.


PALEMBANG - Seorang penduduk mendakwa berjaya merakamkan gambar hantu kuntilanak di atas dahan sebatang pokok nangka di Talang Ubi, Muaraenim, Sumatera Selatan, lapor laman Berita8semalam.
Dalam gambar itu, kuntilanak tersebut tidak menampakkan wajahnya tetapi rambut yang panjang mengurai.
Di Indonesia, hantu kuntilanak dipercayai berasal daripada wanita hamil yang meninggal dunia.
Gambar itu dirakamkan oleh seorang penduduk di Talang Ubi Timur yang hanya dikenali sebagai Edi pada bulan lalu. - Agensi, kosmo

Kecoh penyanyi protes separuh bogel




LEE MI duduk dengan memegang poster di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di Taipei semalam.

TAIPEI - Seorang penyanyi, Lee Mi mencetuskan kekecohan kerana dia melakukan protes separuh bogel di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di sini semalam.
Tindakan itu dibuat kerana dia mahu membangkitkan kesedaran mengenai kempen keselamatan nuklear.
Dalam protes itu, dia duduk sambil memegang poster yang menutup payu daranya manakala beberapa orang lagi memakai baju berwarna putih.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis datang dan menghampiri penyanyi berkenaan.
Tubuh badan penyanyi itu yang separuh bogel kemudian ditutup dengan sehelai kain oleh anggota-anggota polis wanita.
Tunjuk perasaan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 krisis Chernobyl, Ukraine yang berlaku pada 26 April 1986.
Isu keselamatan nuklear semakin mendapat perhatian masyarakat dunia ekoran kejadian yang berlaku di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang bocor akibat dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu.
Sehingga kini loji itu gagal dibaiki menyebabkan berlaku kebocoran radioaktif. - Agensi, kosmo

Syria perhebat patah kebangkitan rakyat



BEIRUT - Pemerintah Syria semalam memperhebatkan kempen untuk mematahkan kebangkitan rakyatnya sejak lima minggu lalu.
Bagi tujuan tersebut, pasukan tentera yang dibantu sejumlah kereta kebal, penembak tepat dan anggota keselamatan bersenjatakan pisau dikerahkan ke bandar Daraa tempat protes itu bermula di selatan negara berkenaan.
Beberapa saksi dan aktivis berkata, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh manakala berpuluh-puluh yang lain ditangkap pihak berkuasa.
Operasi pihak berkuasa di bandar Daraa merupakan yang paling serius dalam usaha pemerintah mematahkan kebangkitan rakyat Syria.
Ia juga merupakan sebahagian strategi baru dengan melancarkan serangan berbentuk pencegahan terhadap para penentang rejim Presiden Syria, Bashar Al Assad berbanding bertindak selepas tunjuk perasaan dan bantahan berlaku.
Lebih 300 orang telah terbunuh di seluruh negara itu sejak penentangan rakyat terhadap kepimpinan Bashar bermula. Namun, penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan hanya menguatkan tekad mereka untuk menumbangkan presiden tersebut.
"Kami perlu campur tangan antarabangsa. Kami memerlukan negara-negara luar untuk membantu kami," kata seorang saksi di Daraa yang menyatakan, dia melihat lima mayat selepas pihak berkuasa membedil sebuah kereta.
Operasi ketenteraan di Daraa yang didiami sekitar 300,000 orang dan terletak berhampiran sempadan Jordan, bertujuan mematahkan kebangkitan penentang di kubu kuat mereka pada Mac lalu. - AP

Cubaan NATO bunuh Gaddafi





PEJABAT Muammar Gaddafi dibom oleh jet tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara 
di Tripoli awal semalam.



TRIPOLI - Bom-bom yang digugurkan jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) memusnahkan pejabat Muammar Gaddafi (gambar kecil) di kediaman pemimpin Libya itu di sini semalam selepas tentera pemberontak terus mara untuk menggempur tentera Gaddafi di bandar Misrata.
Beberapa letupan kuat menggegarkan bandar raya ini sejurus selepas tengah malam apabila pesawat-pesawat NATO terbang melintasi ibu kota Libya itu.
Seorang pegawai Libya yang mengiringi sekumpulan wartawan di halaman kediaman pejabat Gaddafi menyatakan, 45 orang cedera dengan 15 parah dalam serangan tersebut.
Pegawai berkenaan berkata, beliau tidak tahu sama ada terdapat mangsa yang maut atau cedera di bawah timbunan runtuhan berkenaan.
"Serangan itu satu percubaan untuk membunuh Gaddafi," katanya.
Anak lelaki pemimpin Libya itu, Saif Al-Islam menyifatkan pengeboman oleh NATO tersebut sebagai perbuatan pengecut.
"Serangan pengecut ini ke atas pejabat Gaddafi mungkin menakutkan kanak-kanak tetapi kami tidak akan meninggalkan medan perang ini dan kami tidak takut," katanya.
Terdahulu pada petang Jumaat lepas, jet-jet NATO telah menyerang daerah Al-Aziziyah yang menempatkan pekarangan istana Gaddafi.
Sementara itu di Misrata yang terletak 215 kilometer ke timur bandar ini, askar-askar pemberontak mencatat kemenangan besar dalam pertempuran sengit di sebatang jalan utama di bandar berkenaan kelmarin.
Kemenangan pemberontak dicapai selepas 50 hari penduduk Misrata menjadi sasaran serangan meriam dan peluru penembak tepat Gaddafi.
"Saya dan keluarga terpaksa bersembunyi selama 50 hari untuk mengelakkan diri daripada tembakan penembak tepat," kata seorang penduduk Misrata, Muftah Emeitiq, 45, yang gembira dengan kemaraan pemberontak di bandar itu.
Pergolakan di Libya bermula sejak 15 Februari lalu apabila penduduk bandar Benghazi berhimpun menuntut lebih banyak kebebasan hak asasi.
Namun, tunjuk perasaan itu bertukar menjadi pertempuran melibatkan kumpulan pemberontak dengan tentera Gaddafi.
Tentera Barat diketuai Amerika Syarikat kemudian melakukan serangan bagi menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya selepas dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Serangan itu kemudian diambil alih oleh NATO bagi mengelak tentera Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam. - Agensi, kosmo