Pages

Saturday, June 18, 2011

Kisah Benar – Sedar Setelah Koma..Hasil doa 50 orang ikhlas.

Roshaizad berusia 38 tahun mempunyai seorang isteri berusia 32 tahun yang cantik dan baik hati… Suri rumahtangga sepenuhnya. Dikurniakan dua orang anak lelaki berusia 8 dan 6 tahun. Beliau berkerja di sebuah syarikat antarabangsa sebagai maintenance engineer di samping memegang jawatan sebagai penyelia Emergency Responce Team (ERT) di kilangnya.
Tugasnya agak sibuk dan adakalanya berkerja sehinga lewat malam dan juga di hujung minggu.
Januari 2009, beliau telah terlibat di dalam kemalangan jalan raya sewaktu ke tempat kerja pada kira-kira jam 7.30 pagi.Kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah van kilang sewaktu dia cuba memotong sebuah van kilang yang lain di sebuah selekoh di Gurun, Kedah.
Beliau telah koma selama 3 hari dan dirawat di sebuah hospital pakar selama 47 hari lagi.
Cerita Ketika Beliau Koma. Saya di antara orang yang awal sampai di hospital selepas mendapat panggilan daripada isterinya. Saya juga di antara orang yang pertama dilihatnya selepas beliau sedar daripada koma selepas isteri dan doktor yang merawatnya.
Sewaktu Beliau Koma
Beliau telah didatangi oleh seorang malaikat dan mengatakan padanya usia beliau hanya tinggal 1 jam saja iaitu pada hari Ahad, jam 1.45 petang.
Walaubagaimanapun Allah akan menangguhkan kematiannya sekiranya ada 50 orang yang mendoakan secara ikhlas akan panjang usianya. Beliau agak kebingungan ketika itu.Beliau bertanyakan sudah ada berapa orangkah yang mendoakannya secara ikhlas sehingga kini. Jawab malaikat itu hanya baru 3 orang. Malaikat menunjukkan sesiapakah orang-orang itu. Dilihatnya insan itu ialah isteri beliau yang bercucuran airmata sejak hari pertama lagi beliau di hospital itu dan juga kedua anak beliau yang sedang tidur tergolek di kerusi menunggu pesakit di luar wad.
Malaikat itu juga telah memperlihatkan akan mereka yang mendoakannya iaitu kawan-kawannya termasuk saya, ahli kariah masjid yang membacakan surah yasin untuknya. Ibu bapanya, ibu bapa isterinya, adik beradik, sahabat handai dan rakan sepejabat. Kesemua di antara mereka telah melawatnya dan mendoakannya tetapi tidak diterima oleh Allah. Beliau bertanya kepada malaikat itu, mengapa doa mereka tidak diterima. Malaikat menjawab, tiada keikhlasan 100% di hati mereka.
Masa kian suntuk. Dia pun tidak tahu mengapa malaikat memperuntukkan masa yang begitu singkat kepadanya untuk hidup di dunia ini. Apa yang terjadi padanya kini. Dia pun kurang pasti. Malaikat terus menunggu dan melihat waktu yang kian menghampiri jam 1.45 petang.Hanya tinggal 10 minit lagi. Adalah mustahil untuk mencari 47 orang yang ikhlas mendoakan panjang usianya dalam masa sesingkat itu. Dia bertanyakan malaikat itu, adakah tuan akan mencabut nyawa sekiranya saya gagal mendapat 47 orang berkenaan, Jawab Malaikat “Ya”
Kurang dari 1 minit, malaikat menghampirinya dan berkata, Allah mengkabulkan doa mereka yang mendoakan panjang usia anda. Anda berjaya
mendapat 50 orang ikhlas yang berbuat demikian. Roshaizad bertanya, siapakah orang-orang itu. Malaikat menunjukkan mereka itu. Mereka adalah jemaah anak yatim yang baru saja menunaikan solat dzohor sebentar tadi dan berdoa untuk anda. Anda pernah pergi ke rumah anak-anak yatim berkenaan pada bulan Ramadhan yang lalu dan pernah menghulurkan bantuan kewangan. Mereka telah terbaca di dalam akhbar harian berkenaan kemalangan anda dan dzhor tadi mereka telah bersolat dan berdoa untuk anda. Doa ikhlas mereka diterima Allah swt. Malaikat itu kemudiannya ghaib dan tepat 1.45 petang Roshaizad tersedar dari komanya dan meraung kesedihan.
Isteri beliau yang ada di sisinya turut menanggis dan juga saya. Saya sebenarnya tidak tahu pada ketika itu apa yang berlaku padanya di dalam komanya dan mengapa beliau menanggis selepas sedar dari komanya.
Setelah beberapa ketika barulah cerita di atas ini diceritakan pada saya untuk tatapan anda sekelian.
Pengakuan dan pengajaran :
1.Beliau telah mengabaikan masa santai bersama isteri dan anaknya kerana mengejar duit dan tanggungjawab kerja. Sedangkan isteri dan anak-anaknya amat sayang padanya dan doanya amat ikhlas.
2.Dia telah mengabaikan tanggungjawab sosial dengan jiran dan masyarakat sekeliling dan ini menyebabkan mereka tidak ada rasa kasih pada saya kalaupun saya mati
3.Dia telah mengabaikan dan tidak menepati janji-janji pada kawan-kawan sehingga kawan-kawannya marah padanya dan sehingga doanya tidak ikhlas.. termasuk dengan saya.
4.Beliau jarang pergi masjid kecuali pada hari Jumaat dan ini menyebabkan jemaah masjid kurang mengenalinya dan menyebabkan doanya tiada keikhlasan
5.Beliau jarang memberi sedekah dan amal jariah. Nasiblah sumbangan ke rumah anak yatim yang diberikan tempoh hari atas desakan isteri beliau.
6.Beliau jarang bertolak ansur dengan kakitangannya walaupun hal-hal yang remeh. Ini menyebabkan kakitangannya membencinya dan doa mereka juga tiada keikhlasan.
7.Beliau jarang berkunjung ke rumah adik beradik dan takut adik beradik meminjam wang dengannya. Ini menyebabkan juga tiada keikhlasan dari mereka.
8.Beliau banyak kali menyakiti hati hati ke dua ibubapanya kerana tidak menunaikan janji untuk balik ke kampung pada hari-hari tertentu lantaran kerja beliau. Ini menyebabkan ibubapanya marah. Kes ini hanya Allah yang tahu.
9.Beliau gagal menunaikan solat pada waktunya lantaran kerja beliau atau adakalanya tertinggal terus terutamanya solat Asar
10.Beliau tidak menunaikan zakat walaupun beliau memang layak berbuat demikian.
Sahabat:
Allah masih sayang pada sahabat saya ini ataupun ianya untuk memberi pengajaran pada kita melalui tulisan ini. Ambillah ikhtibar dari cerita ini.Sahabat saya ini masih gagal untuk mendapatkan perlindungan takaful disebabkan oleh kemalangan dan kecederaannya.
Dirikan solat tepat pada waktunya, keluarkanlah zakat. Luangkan masa bersama keluarga.Imarahkan masjid selalu. Baliklah selalu lihat wajah ibubapa kerana Allah akan memberikan pahala ke atas perbuatan kita itu. Berbaiklah dengan jiran dan kenalilah mereka.Bertolak ansurlah dengan mereka yang memerlukan.
Ingat! kita akan dapat apa yang kita telah beri. Selalulah memberi.
Tulisan asal oleh
Azahari Bin Mohd
Engineering (Piping)
♥♥from here to eternity♥♥*_*hadanisyahadah*_*: Kisah Benar – Sedar Setelah Koma..Hasil doa 50 orang ikhlas.

Rugi RM100,000 bantu ‘kekasih’


KESAN...Govinden menunjukkan lakaran gambar badan suspek yang menyembunyikan dadah.
KESAN...Govinden menunjukkan lakaran gambar badan suspek yang menyembunyikan dadah.





BUKTI...dadah yang dirampas daripada suspek.
BUKTI...dadah yang dirampas daripada suspek.


SEPANG: Gara-gara mahu membantu ‘kekasih’ melepaskan diri daripada ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), seorang wanita berusia lewat 20-an kerugian RM100,000 selepas memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun individu terbabit yang dipercayai ahli sindiket penipuan wang menggunakan telefon.
Pengarah Kastam KLIA, Datuk M Govinden, berkata wanita terbabit terpedaya selepas menerima panggilan daripada individu yang dipercayai menyamar pegawai JKDM dan memintanya memasukkan wang sekiranya mahu melepaskan ‘kekasihnya’ yang dikenali ketika belajar di United Kingdom (UK).

“Suspek memberitahu wanita itu ‘kekasihnya’ yang berkunjung ke negara ini ditahan dan meminta dia membantu untuk melepaskannya.

“Kes ini berlaku pada bulan lalu dan terbaru seorang wanita berusia 50-an yang berasal dari Bangi, Selangor, menerima nasib sama selepas ditipu RM10,000 daripada seorang lelaki yang dikenali menerusi Internet.

“Wanita itu memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun suspek selepas menerima panggilan daripada seseorang yang menyamar pegawai JKDM,” katanya pada sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Kompleks Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.


Govinden berkata, suspek mendakwa lelaki terbabit ditahan selepas membawa wang �200,000 (RM980,074) sebelum meminta bantuan wanita terbabit untuk melepaskannya.

“Berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 33 kes membabitkan penipuan telefon yang dilakukan suspek dan sepanjang enam bulan pertama tahun ini sebanyak 15 kes sudah dikesan.

“Justeru, kami ingin menasihati orang awam supaya tidak mudah tertipu dan membuat aduan di talian 03-87768055 sekiranya mendapat panggilan seumpama itu,” katanya.

Sementara itu, pada Rabu lalu, JKDM menahan seorang lelaki warga India berusia 30-an di Balai Ketibaan, KLIA, selepas membawa empat bungkus serbuk putih yang disyaki dadah jenis ketamine.

“Pegawai kastam yang menjalankan pemeriksaan menjumpai dua bungkus dadah diselit pada badannya dan dua bungkus lagi diletakkan pada kaki.


“Berat kasar bagi semua serbuk putih itu berjumlah 2.8 kilogram dan dianggarkan bernilai RM56,000,” katanya.

myMetro | Rugi RM100,000 bantu ‘kekasih’

Pengaruh Bakar tidak terjejas


JAKARTA: Hukuman penjara dikenakan kepada ulama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir atas dakwaan keganasan tidak akan menjejaskan pengaruhnya ke atas golongan militan kecuali dia dikawal rapi di penjara, kata penganalisis politik, semalam.
Mahkamah Indonesia memenjarakan pendakwah bertubuh kurus itu selama 15 tahun, kelmarin selepas perbicaraan empat bulan atas dakwaan menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas yang merancang serangan terhadap warga asing dan pemimpin politik negara itu. Kebanyakan orang menjangka dia akan mati di penjara tetapi penganalisis Kumpulan Krisis Antarabangsa, Sidney Jones berkata ia bukan penamat kisah Abu Bakar. “Saya rasa kerajaan perlu memastikan dia tidak kerap mengimamkan sesi solat di dalam penjara,” katanya.

“Dia patut dilayan sebagai individu yang berisiko tinggi dan bukan sebagai selebriti. Cabarannya adalah untuk menjauhkan dia daripada rakan penjara lain yang boleh terpengaruh dengan dakwahnya,” tambahnya. Menurut pegawai kanan polis, ia adalah cabaran yang tidak dihiraukan Indonesia sebelum ini yang mengatakan program menghapus radikalisme di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam itu benar-benar gagal. - AFP

myMetro | Pengaruh Bakar tidak terjejas

Empat askar Thai ditembak mati di pasar Pattani


PATTANI: Kumpulan pemisah Islam disyaki membunuh empat anggota tentera dalam satu serbuan di pasar yang sesak di wilayah selatan Pattani sebelum melarikan diri menaiki trak pikap bersama raifal M-16 yang dirampas daripada mangsa, kata polis, semalam.
Polis berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu menjejaki anggota tentera berkenaan dan menembak mereka dengan pistol pada jarak dekat ketika mereka melakukan rondaan mengawal keselamatan di pasar itu. Seorang wanita Islam turut cedera di kaki terkena peluru sesat.

Etnik Melayu Islam mewakili majoriti populasi di Pattani dan Yala serta Narathiwat, tiga wilayah di selatan Thailand yang didominasi penduduk beragama Buddha. - Reuters

myMetro | Empat askar Thai ditembak mati di pasar Pattani

Amerika Syarikat buru Ayman sama seperti Osama


WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata, pemimpin baru al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri, boleh menjangkakan nasibnya akan sama seperti dialami Osama bin Laden.
Sambil merendah-rendahkan kemampuan Ayman kerana tidak memiliki pengalaman berperang, pegawai kanan tentera AS, Mike Mullen, berkata negara itu akan melakukan tindakan sama ke atas doktor warga Mesir itu.

Katanya, Ayman, 59, tidak lebih daripada sekadar jeneral yang tidak berdaya berbuat apa-apa.

“Kami pasti akan bertindak sama seperti Osama - memburu untuk menangkap dan akhirnya berjaya membunuhnya,” katanya.

Menurut Mullen, Ayman juga kurang berkarisma berbanding Osama dan pelantikannya bakal memecah-belahkan al-Qaeda pada masa depan.


Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates, berkata pengumuman pelantikan Ayman boleh dianggap sebagai ancaman berterusan daripada al-Qaeda.

“Walaupun mengalami kehilangan besar, al-Qaeda tetap komited meneruskan agenda ditetapkan Osama ke atas mereka sebelum ini,” katanya. - AFP
myMetro | Amerika Syarikat buru Ayman sama seperti Osama

Gaddafi mula berunding

TRIPOLI: Seorang diplomat Russia semalam berkata, Muammar Gaddafi kini mengadakan rundingan langsung dengan pemberontak Libya.
Diplomat terbabit, Mikhail Margelov, berada di Tripoli sehari untuk bertemu Perdana Menteri Libya, Baghdadi al-Mahmudi, selepas dia melawat kubu kuat pemberontak di Benghazi pada minggu lalu.

Kata Margelov, dia diberi jaminan bahawa hubungan secara langsung di antara Tripoli dengan Benghazi kini berlangsung.
“Perhubungan itu disempurnakan di Paris semalam (kelmarin),” katanya.

Menurut Margelov, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dimaklumkan mengenai hasil perhubungan kedua-dua pihak bertelingkah itu.

Bagaimanapun, diplomat Russia itu tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai rundingan berkenaan.
Ia juga tidak disahkan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang dibentuk pemberontak Libya.

Jurucakap NTC pula berkata, pendirian pemberontak masih tetap tidak berubah, iaitu Gaddafi mesti berundur daripada kekuasaan.
“NTC akan mengeluarkan waran tangkap ke atas mana-mana pemberontak yang berunding tanpa menuntut pengunduran Gaddafi,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas anak lelaki Gaddafi, Seif al-Islam, kelmarin berkata konflik politik di Libya sejak beberapa bulan lalu boleh diatasi dengan mengadakan pilihan raya di negara berkenaan. - AFP
myMetro | Gaddafi mula berunding

Banduan ditangkap selepas tersilap ketuk pintu kabin


SEATTLE: Seorang banduan yang melarikan diri daripada penjaranya, ditangkap semula keesokan harinya selepas dia tersalah ketuk pintu kabin.
Menurut polis, kabin yang diketuknya itu sebenarnya didiami seorang pengawal penjara di mana banduan itu meloloskan diri. Pengawal itu bercuti pada hari berkenaan.

Pihak berkuasa berkata, James Edward Russell, 39, melarikan diri dari pusat tahanan negeri Washington, pada pagi Selasa lalu. Keesokan paginya, Russel - yang masih memakai uniform penjara - pergi ke sebuah kabin untuk meminta menggunakan telefon. Jurucakap Jabatan Pemulihan, Chad Lewis, berkata selepas berlaku pergelutan, Russel melarikan diri sekali lagi. Pengawal penjara itu melaporkan insiden berkenaan dan Russel ditangkap beberapa jam kemudian.
myMetro | Banduan ditangkap selepas tersilap ketuk pintu kabin

Pencuri gagal larikan sumbu badak di muzium

BRUSSELS: Tindakan pantas polis berjaya menumpaskan cubaan dua lelaki mencuri sumbu badak dari muzium, lapor agensi berita Belga, semalam.
Cubaan mencuri itu disedari apabila pengawal Muzium Sains Semula Jadi Liege terdengar bunyi mencurigakan sejurus sebelum ia ditutup.

Belga melaporkan, seorang lelaki mencabut sumbu dari kepala badak itu dan menyembur gas pemedih mata ke arah pengawal sebelum membawanya menaiki kereta yang menunggu di luar.
Polis kemudian membuat sekatan jalan raya di sekitar kawasan berkenaan dan berjaya menahan perompak terbabit - kedua-duanya lelaki Poland.

Badak diburu bagi mendapatkan tanduknya yang dipercayai mempunyai pelbagai khasiat perubatan. - AFP
myMetro | Pencuri gagal larikan sumbu badak di muzium

Pengguna laman sesawang sosial lebih mahir berkawan, celik politik


WASHINGTON: Berbeza daripada tanggapan umum bahawa keasyikan berkawan melalui Facebook akan mengancam kemampuan seseorang bersosial di dunia nyata, penyelidik mendapati, kebolehan pengguna laman sesawang sosial itu meningkat lebih tinggi daripada biasa.
Keputusan kaji selidik Pusat Penyelidikan Pew menunjukkan, pengguna Facebook lebih dipercayai, memiliki lebih ramai kawan karib dan lebih celik politik.

Ketua penyelidik, Keith Hampton, berkata sebelum ini banyak spekulasi dibuat mengenai kesan laman sesawang sosial ke atas orang ramai.

Katanya, kebanyakan orang percaya pengguna laman sesawang sosial terasing daripada dunia nyata.

“Kajian kami menunjukkan sebaliknya - pengguna laman sesawang seperti Facebook memiliki lebih ramai kawan karib dan terbuka untuk terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan dan politik,” katanya.


Keputusan kajian itu diterbitkan kepada umum semalam. Baru-baru ini, pengkaji menyelidik kecenderungan 2,255 orang dewasa menggunakan Facebook, MySpace, LinkedIn dan Twitter.

Kajian mendapati, pengguna Facebook yang mendaftar masuk ke laman sesawang itu beberapa kali sehari 43 peratus lebih dipercayai berbanding pengguna Internet lain. - Reuters
myMetro | Pengguna laman sesawang sosial lebih mahir berkawan, celik politik

China rugi RM360 bilion kerana rasuah

BEIJING: Pegawai China yang rasuah menyalurkan lebih AS$120 bilion (RM360 bilion) ke luar negara dalam tempoh hampir dua dekad, menurut tinjauan Bank Pusat.

Antara 16,000 dan 18,000 pegawai kerajaan dan eksekutif firma milik negara itu lari keluar negara atau lenyap bersama lebih 8,000 bilion yuan (RM377 bilion) daripada pendapatan haram, kata kajian itu.

Pegawai lebih berjawatan tinggi membawa lebih banyak wang kebanyakan melarikan diri ke negara maju seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Australia manakala yang lain cenderung memilih Russia dan Thailand.
Sebilangan mereka yang melakukan kesalahan menggunakan Hong Kong sebagai batu loncatan ke negara Komanwel manakala yang lain bersembunyi di negara kecil seperti Afrika, Amerika Latin dan Eropah Timur sebelum mereka mendapat dokumen diperlukan untuk ke Barat.

Presiden Hu Jiantao dan pemimpin tertinggi lain menyifatkan wabak rasuah di China sebagai satu ancaman kepada parti Komunis dan berikrar untuk mengikis sikap itu. – AFP
Berita Harian Online | China rugi RM360 bilion kerana rasuah

Macam-macam: Wanita jatuh tingkap ketika mabuk asmara

DUBAI: Seorang wanita Russia berdepan hukuman penjara setahun selepas jatuh dari tingkap kediamannya di tingkat pertama ketika cuba melakukan seks dengan seorang lelaki Maghribi.

Mahkamah memenjarakan wanita berusia 29 tahun dikenali sebagai SB tanpa kehadirannya Rabu lalu, kerana melakukan seks secara sukarela dengan lelaki Maghribi berusia 40 tahun, dikenali sebagai MS.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tambahan sebulan kerana kesalahan minum arak. Kedua-duanya juga boleh diusir pulang.
SB bertemu MS di bar hotel lima bintang di sepanjang Jalan Shaikh Zayed. SB berkata, MS menaiki teksi bersamanya selepas dia meninggalkan bar itu. – Agensi
Berita Harian Online | Macam-macam: Wanita jatuh tingkap ketika mabuk asmara

Kapal terdampar akibat tsunami cuba dipindah ke laut



KAPAL yang  terdampar di Kesennuma  akibat dibawa  tsunami yang melanda     wilayah Miyagi, timur laut Jepun   sejak  tiga bulan lalu.
KAPAL yang terdampar di Kesennuma akibat dibawa tsunami yang melanda wilayah Miyagi, timur laut Jepun sejak tiga bulan lalu.

KESENNUMA (Jepun): Usaha bermula untuk menghantar lebih sedozen kapal yang terdampar dekat kediaman penduduk di bandar Kesennuma selepas dihanyutkan tsunami Jepun pada Mac lalu dengan kipas dan bahagian perutnya jelas dilihat, kembali berlabuh di laut.

Tugas yang sukar dan kos yang tinggi untuk memindahkan kapal terbabit selain sisa peninggalan tsunami itu menjadikan ia terdampar di Kesennuma lebih tiga bulan.
Beberapa pemilik cuba berunding harga kos dengan syarikat logistik untuk memindahkan kapal terbabit dalam satu perjanjian membabitkan syarikat insurans yang bersetuju melindunginya.

Berita Harian Online | Kapal terdampar akibat tsunami cuba dipindah ke laut

Presiden Yaman tak akan pulang

Sanaa terus dakwa Ali Abdullah Saleh semakin sihat dan bakal kembali

RIYADH: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh, yang kini dirawat akibat cedera terkena serpihan bom di sini, tidak akan kembali ke negara asalnya, kata seorang pegawai atasan Arab Saudi semalam, bercanggah dengan dakwaan Sanaa beliau akan kembali tidak lama lagi.

“Presiden Yaman itu tidak akan kembali ke Yaman. Belum diputuskan di mana beliau akan tinggal,” kata pegawai itu lagi, jelas memberi bayangan bahawa Saleh mungkin akan meninggalkan Arab Saudi ke negara lain.
Pegawai itu tidak menyatakan secara khusus sama ada keputusan untuk tidak kembali ke tanah airnya diambil oleh Saleh sendiri.

Pemimpin veteran itu diterbangkan ke sini 4 Jun lalu menaiki pesawat perubatan Arab Saudi, sehari selepas beliau cedera dalam satu letupan bom di dalam masjid dalam perkarangan kediaman presidennya di Sanaa dan tidak muncul di khalayak ramai sejak itu.

Laporan berhubung keadaan kesihatan Saleh agak samar-samar, namun Raja Bahrain, Hamad dilaporkan menelefonnya kelmarin, dua hari selepas Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, berbual dengannya menerusi telefon.

Sejak ketiadaan Saleh, timbalannya, Abdrabuh Mansur Hadi ditekan hebat pihak tempatan dan antarabangsa supaya mendengar tuntutan penunjuk perasaan menubuhkan majlis pemerintahan sementara, langkah yang akan menghalang Saleh berkuasa semula.
Rabu lalu, Hadi bertemu wakil belia yang menuntut penggulingan Saleh sejak Januari lalu. Mereka mendesaknya memberi pendirian jelas berhubung tuntutan mereka dan memberinya tempoh dua minggu untuk memberi jawapan.

Pertemuan itu diikuti rundingan antara Hadi dan pembangkang Parlimen apabila mereka bersetuju menenangkan keadaan sebagai langkah pertama ke arah memulihkan proses politik.

Washington mengalu-alukan rundingan Hadi dengan pembangkang Saleh, yang menjadi sekutu utama Amerika Syarikat dalam perang ke atas al-Qaeda.

“Kami gembira dengan perkembangan bahawa Hadi sudah memulakan dialog dengan pembangkang dan mengadakan beberapa rundingan,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Victoria Nuland.

“Seperti anda tahu, kami percaya tiada masa perlu dibazirkan untuk bergerak ke arah masa depan demokratik yang berhak dinikmati Yaman.”

Isnin lalu, penunjuk perasaan memberi Hadi tempoh 24 jam untuk mengisytiharkan pendiriannya berhubung gesaan mereka supaya beliau menyertai majlis dicadangkan bagi mengetuai negara itu secara maksimum sembilan bulan. – AFP
Berita Harian Online | Presiden Yaman tak akan pulang

Bomoh Siam lolos ke Thailand

KUALA TERENGGANU – Seorang bomoh wanita Siam yang dicari bagi membantu siasatan mengenai seorang pemuda yang meninggal dunia selepas mendapatkan rawatan pelik daripadanya disyaki berjaya meloloskan diri ke Thailand.
Menurut sumber, wanita yang dikenali sebagai Kak Yah, 43, bertindak pantas apabila sempat menghubungi seseorang dipercayai suaminya, seorang lelaki tempatan dari Rantau Panjang sebaik ahli keluarga mangsa bergegas menghantar pemuda itu ke hospital.
“Berdasarkan risikan, wanita itu telah melarikan diri ke Thailand dengan menaiki sejenis kenderaan yang dipandu suaminya ke Thailand. Kita turut memeriksa rumah suaminya di Rantau Panjang tetapi lelaki tersebut juga telah melarikan diri.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negara jiran itu untuk mengesan suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pemuda, Faizal Harun, 26, yang didakwa mengalami penyakit ganjil menemui ajal dalam keadaan tragis apabila dipaksa menjalani beberapa ritual selama empat jam dalam keadaan berbaring dengan mulut disuruh menggigit sebilah pisau.
Kosmo! Online - Negara

Perhilitan selamatkan tapir terjatuh dalam parit


PASUKAN penyelamat dan penduduk cuba menarik keluar tapir jantan yang terjatuh ke dalam parit di Kempadang Perdana, Kuantan awal pagi semalam.


KUANTAN - Seekor tapir jantan berusia 15 tahun berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas haiwan liar itu terjatuh ke dalam parit simen di perumahan Kempadang Perdana, Jalan Pantai Sepat di sini semalam.
Pengarah Perhilitan, Khairiah Mohd. Shariff memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, seramai lima kakitangannya telah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan orang ramai.
Menurut beliau, turut membantu dalam usaha menyelamat haiwan yang dianggarkan seberat 350 kilogram itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat termasuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk setempat.
"Tapir itu gagal dikeluarkan kerana keadaan gelap. Di samping itu, saiz parit simen yang dalam dan lebar serta kelakuan haiwan tersebut yang agresif pada waktu malam menyukarkan usaha memindahkannya.
"Bagaimanapun, kita berjaya mengeluarkan haiwan terbabit dari parit itu selepas usaha memujuknya menggunakan umpan daun senduduk berjaya dilakukan kira-kira pukul 8.30 pagi," katanya ketika dihubungi semalam.
Kosmo! Online - Negara

Pergaduhan di acara berprestij


SEORANG lelaki memegang botol arak (kiri) dalam detik-detik cemas pergaduhan yang berlaku dalam majlis Royal Ascot di bandar Ascot, Britain kelmarin.


LONDON - Selama 300 tahun, acara perlumbaan kuda paling berprestij di Britain, Royal Ascot di bandar Ascot, Berkshire, Britain berlangsung dengan aman kecuali tahun ini apabila ia dicemari pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki bertatu dan seorang wanita selebriti, lapor sebuah akhbar semalam.
Banyak kerusi rosak dan serpihan kaca bertaburan di lokasi kejadian di sini dengan seorang lelaki dilihat cuba untuk memukul lelaki lain dengan sebotol arak.
Insiden itu berlaku selepas sekumpulan lapan lelaki memulakan pergaduhan tersebut di laman berhampiran sebuah bar di trek lumba kuda berkenaan.
Para penonton yang ketakutan bergegas melarikan diri untuk mengelak daripada terkena pukulan.
Lelaki-lelaki berkenaan yang mabuk dan disokong teman wanita masing-masing, mengambil kerusi dan botol arak untuk dijadikan senjata.
Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, majlis itu sepatutnya dipenuhi dengan kelakuan yang penuh bersopan santun kerana ia berlangsung pada Hari Wanita.
Pada hari tersebut, golongan lelaki perlu menunjukkan kelakuan yang budiman di depan wanita.
Punca pergaduhan masih tidak dapat dipastikan tetapi dua orang ditahan pihak berkuasa kerana terbabit dalam kekacauan itu.
Royal Ascot merupakan pertandingan lumba kuda kegemaran ketua negara Britain, Ratu Elizabeth II tetapi acara berkenaan yang sebelum kini dihadiri lelaki-lelaki budiman, kini dicemari dengan pergaduhan.
Ia merupakan acara yang dihadiri dengan lelaki berpakaian sut manakala wanita memperagakan pebagai jenis fesyen yang tidak menjolok mata.
Namun, sejak akhir-akhir ini, standard tinggi tetamu perlumbaan itu mula dikritik seperti yang pernah dinyatakan oleh pengulas perlumbaan, Sir Peter O'Sullevan.
Dia menyatakan bahawa kadangkala tetamu-tetamu di ruang utama dilihat menunjukkan tatu pada tubuh mereka.
Menurutnya, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana ia tidak menghormati Ratu Elizabeth. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Rusa ganjil bakal ada tiga set tanduk




SEEKOR rusa milik seorang petani di Hongtu, Jilin, China kini mempunyai dua set tanduk dan satu lagi set tanduk bakal tumbuh di kepala haiwan itu.


BEIJING - Seekor rusa jantan milik seorang petani, Zhou Dianfu di Hongtu, Jilin, China bakal memiliki tiga set tanduk, lapor sebuah akhbar semalam.
Tiga set tanduk itu dianggap sesuatu yang amat luar biasa kerana rusa pada kebiasaan hanya mempunyai satu set tanduk sahaja.
Rusa tersebut sudah mempunyai dua set tanduk manakala kini terdapat tanda-tanda bahawa tanduk ketiga akan muncul di kepala haiwan itu.
Menurut Dianfu, rusa peliharaannya itu mengalami kerosakan pada set tanduk yang pertama semasa ia berlawan dengan rusa jantan lain.
Dia berkata, ekoran kerosakan itu, satu set tanduk yang kedua tumbuh semasa set tanduk yang pertama patah.
Haiwan itu bergaduh kerana ia merupakan salah satu cara untuk memikat rusa betina.
Rusa betina akan memilih pasangan berdasarkan kekuatan rusa jantan semasa berlawan.
Dianfu berkata, beberapa saintis turut melakukan kajian terhadap haiwan peliharaannya itu ekoran keganjilan pada tanduk rusa tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bekas tunang pengasas Playboy dedah cerita

LOS ANGELES - Gadis berambut perang yang berusia 25 tahun, Crystal Harris mendedahkan gaya hidup pengasas majalah Playboy, Hugh Hefner sebagai punca mereka putus tunang, lapor sebuah akhbar semalam.
Crystal sepatutnya berkahwin dengan Hefner yang berusia 85 tahun dalam satu majlis perkahwinan pada hari ini jika pertunangan tersebut tidak diputuskan pada Selasa lalu.
Gadis itu membuat pengakuan mengenai punca pertunangannya dengan Hefner putus dalam temu ramah yang disiarkan menerusi program televisyen America's Entertainment Tonight baru-baru ini.
"Saya bukan satu-satunya wanita dalam kehidupan Hefner. Saya tidak berasa selesa dalam hati bahawa saya mengetahui mengenai perkara itu dan akan berkahwin dengannya (Hefner)," kata Crystal.
Hefner memang dikenali sebagai seorang lelaki yang mempunyai ramai teman wanita.
Gadis itu juga menyalahkan tekanan kerana terpaksa menemui peguam-peguam bagi membincangkan perjanjian sebelum perkahwinan berlangsung sebagai punca dia membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan dengan Hefner.
"Kami terpaksa berurusan dengan peguam. Saya tidak pernah mempunyai seorang peguam untuk sebarang perkara," katanya.
Di negara-negara Barat, kontrak perjanjian itu penting sebagai persediaan untuk menghadapi perceraian. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia