Pages

Saturday, September 7, 2013

Gempa bumi magnitud 6.0 landa Filipina


MANILA 7 Sept. - Gempa bumi kuat pada magnitud 6.0 melanda utara Filipina hari ini, namun tiada sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan.
Institut Volcanology dan Seismologi Filipina berkata, gempa bumi itu dicatatkan berlaku pada 7.33 malam (8.33 malam waktu tempatan) dengan pusat gempa kira-kira 42 kilometer selatan bandar Uyugan di Kepulauan Batan.
Geological Survey Amerika Syarikat pula melaporkan gempa bumi tersebut mempunyai kedalaman 178 kilometer. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130907/lu_11/Gempa-bumi-magnitud-60-landa-Filipina#ixzz2eGXVbSVV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Berebut air mata ikan duyung


BANGKA, Sumatera - Penduduk Kampung Penyak, mukim Koba di daerah ini digemparkan dengan berita penangkapan dua ekor ikan duyung oleh seorang nelayan tempatan, Rabu lalu.
Penemuan itu membuatkan penduduk teruja dan pergi ke tepi pantai bagi melihat sekali gus mengabadikan peristiwa tersebut pada telefon bimbit masing-masing.
Malah, kebanyakan di antara mereka tidak melepaskan peluang sehingga sanggup berebut untuk mengambil air mata ikan duyung kerana mempercayai ia mempunyai 'khasiat' tersendiri.
Menurut maklumat yang diperoleh Bangkapos.com, dua ekor haiwan itu ditangkap nelayan bernama Nizar di pulau Bebuar dan pulau Penyak.
Kira-kira pukul 5 petang sewaktu Nizar mahu mengangkat jaringnya, dia mendapati, terdapat tiga ekor ikan duyung tersangkut di dalamnya.
Namun sewaktu cuba menaikkan ikan itu ke dalam bot, seekor daripada ikan itu terlepas, manakala dua ekor lagi iaitu masing-masing seekor dewasa dan anak berjaya ditangkap dan dibawa pulang.
Malangnya, kedua-dua ekor ikan itu mati sewaktu ia sedang dibawa ke rumah Nizar.
Ketua Kampung Penyak, Rustam ketika ditemui mengesahkan penangkapan ikan yang masing-masing mempunyai berat 300 dan 20 kilogram.
''Ikan dewasa itu kemudiannya dibawa ke pasar untuk dijual,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130907/lu_09/Berebut-air-mata-ikan-duyung#ixzz2eGUqgsO7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Orang mati berpeluang dengar muzik

Foto
KERANDA Sistem Bunyi CataCombo.
Stockholm: Sebuah syarikat Sweden, Pause Ljud & Bild menawarkan keranda lengkap dengan speaker dua hala dan akaun dengan khidmat muzik Spotify untuk membolehkan muzik terus berkumandang dalam kubur.
Syarikat berkenaan berkata, keranda Sistem Bunyi CataCombo itu berharga AS$30,000 (RM99,000). Pembeli juga akan diberi batu nesan dengan permukaan digital yang akan mempamerkan kepada pelawat nama lagu yang sedang dimainkan di dalam keranda itu. 
Rakan dan anggota keluarga si mati juga boleh memilih lagu untuk dimainkan dengan mengguna Spotify yang kemudian akan berkumandang ke luar dari speaker keranda itu menerusi hubungan Internet 4G yang dipasang pada batu nesan.

Menurut Pause Ljud & Bild, pelanggan pertamanya Fredrik Hjelmquist, ketua pegawai sebuah syarikat, berikrar mahu ditanam dengan keranda itu dan membenarkan pengunjung menambah senarai lagu yang sudah dipilihnya.


Setakat ini, senarai ‘Pause 4-ever’nya, mengandungi lagu seperti Atmosphere oleh Joy Division, Teardrop (Massive Attack), Cemetery Gates (The Smiths), Dancing On My Own (Robyn) dan I’ll Sleep When I’m Dead oleh Bon Jovi.

Tetapi dengan hanya 931 terkandung dalam senarai itu, Hjelmquist berharap ia akan berulang secara berterusan. - Agensi

Berjuta cengkerik serang Oklahoma

DINDING sebuah restoran makanan segera 
di Oklahoma yang dipenuhi cengkerik.


BANDAR RAYA OKLAHOMA - Berjuta-juta cengkerik membanjiri beberapa kawasan di negeri Oklahoma dengan mengeluarkan bunyi bising dan bau busuk, lapor akhbar Daily Mail semalam.
Menurut penduduk tempatan, serangga itu berkeliaran di setiap ruang termasuk jalan raya, laluan pejalan kaki dan dinding bangunan.
Tindakan membunuhnya juga dilaporkan tidak berkesan. Ini kerana bangkai cengkerik akan menarik kehadiran lebih banyak serangga itu untuk memakannya.
Penduduk juga tidak dapat mengelak daripada memijak serangga berbau busuk itu ketika mereka keluar ke bandar.
Dalam pada itu, beberapa pakar berkata, musim hujan mungkin menjadi faktor penyebab ledakan dalam bilangan serangga tersebut.
"Bilangan cengkerik meningkat dengan banyak selepas cuaca kering berakhir yang diikuti hujan lebat pada bulan Julai dan Ogos," kata Pengarah Makmal Penyakit Tumbuhan dan Diagnostik Serangga Universiti Oklahoma, Rick Grantham.
"Rekahan tanah yang meluas juga boleh menjadi faktor penting," tambahnya.
Serangga itu bersarang di dalam tanah.
Grantham turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh mengurangkan jumlah cengkerik seperti membuang timbunan batu bata, kayu atau serpihan lain di sekitar rumah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2eABOqKTj 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki lakar 50 pagar sesat

GAMBAR pada 2013 yang disiarkan oleh Ladang Idle-Hour menunjukkan pagar sesat bertemakan Safari Afrika yang dihasilkan oleh Day di Troy, Ohio.


CAROLINA UTARA - Sejak beberapa bulan lalu, seorang lelaki, Timothy Day telah menghasilkan lebih 50 pagar sesat di ladang-ladang jagung di seluruh negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat (AS).
"Saya membina pagar sesat ini dengan membuat laluan-laluan di ladang jagung menggunakan jentera pembajak," kata Day.
Pagar sesat itu dihasilkan sempena sambutan perayaan Halloween di AS pada bulan depan.
Namun, musim membina pagar sesat tersebut telah bermula sejak Jun lalu.
Dia dan beberapa krunya diupah untuk menghasilkan pagar sesat dari Kanada hingga ke negeri Florida di AS.
Bagi mengelakkan dia sendiri tersesat, Day menggunakan sebuah komputer yang dilengkapi sistem pengesanan global dan pelan pagar sesat berkenaan.
Kebanyakan pagar sesat yang dibinanya berkeluasan antara 2 hingga 3 hektar tetapi Day pernah membina beberapa pagar sesat seluas 5 hektar. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0907&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2eAAoNPMH 
Hakcipta terpelihara