Pages

Sunday, April 24, 2011

Presiden Ali Abdullah Akan Letak Jawatan



SANAA: Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh telah bersetuju untuk meletakkan jawatannya dalam tempoh sebulan selepas imunitinya tamat.
Keputusan tersebut menjadikan beliau merupakan pemimpin Arab ketiga yang digulingkan akibat krisis kepimpinan pada tahun ini.
Penujuk perasaan yang telah berdemonstrasi di jalanan sejak beberapa bulan yang lalu bertegas tidak akan berundur daripada tindakan mereka hinggalah pemimpin yang telah 33 tahun memerintah Yaman itu meletakkan jawatannya.
Mereka tersebut terdiri daripada golongan muda di Yaman yang telah mendapat ilham daripada kebangkitan rakyat di utara Afrika serta timur tengah yang akhirnya menyebabkan kejatuhan pemipin Tunisia dan Mesir.
Penunjuk perasaan tersebut turut menggesa Saleh bertanggungjawab terhadap kematian ratusan penunjuk perasaan yang dibunuh itu.
"Masih ada tempoh sebulan sebelum presiden meletakkan jawatan dan kami menjangkakan beliau akan mengubah fikiran.
"Kami tidak akan berhenti mengadakan demonstrasi hingga Saleh pergi dan kami berjaya menubuhkan sebuah kerajaan Persekutuan," kata seorang aktivis , Mohammed Sharafi.
Aktivis Pembangkang dari kota Ibb, Ibrahim al-Ba'adani, berkata mereka 'terkejut' dengan prinsip imuniti yang diberikan kepada Saleh.
"Kami akan terus berdemonstrasi hingga presiden meletakkan jawatan," katanya.
Yaman merupakan sebuah negara yang mempunyai 23 juta penduduk.
Ia merupakan salah sebuah negara termiskin di benua Arab dan penunjuk perasaan menuduh Saleh bertanggungjawab terhadap masalah rasuah dan urus tadbir yang tidak baik ketika era pemerintahannya.
Saleh mengambil alih pemerintahan Yaman Utara pada 1978 dan menjadi pengerusi yang menyatukan semula, Yaman Selatan pada tahun 1990.
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) enam negara mencadangkan pembentukan sebuah kerajaan perpaduan kebangsaan di Yaman dan Saleh akan menyerahkan kuasanya kepada naib presiden yang mana seterusnya menamatkan tunjuk perasaan berdarah sehingga memusnahkan negara berkenaan.
Di bawah inisiatif GCC, presiden akan menyerahkan peletakan jawatannya kepada parlimen dalam tempoh 30 hari, di mana undi presiden akan dilakukan dalam tempoh dua bulan. - AFP, mstar

NATO lancar serangan berhampiran kediaman Gaddafi



TRIPOLI 23 April - Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan udara di ibu negara Libya hari ini, ketika kerajaan Muammar Gaddafi menyatakan kesediaan berundur dari Misrata dan membiarkan pemimpin puak menangani pemberontak di sana.
Serangan udara berkenaan dilancarkan ke sebuah kawasan berhadapan rumah milik Gaddafi di Bab al-Aziziya di tengah Tripoli dan apa yang kelihatan seperti tempat simpanan senjata.
Sekurang-kurangnya 10 dilaporkan maut, sementara lebih 50 yang lain cedera dalam serangan itu.
Serangan itu dilancarkan selepas Timbalan Menteri Luar, Khales Kaim menyatakan tentera Libya diberi kata dua untuk menghentikan pemberontakan di Misrata dari Tropoli.
"Kata dua telah dikemukakan iaitu jika mereka (tentera Gaddafi) tidak boleh menyelesaikan masalah di Misrata, penduduk dari bandar berdekatan termasuk Zliten, Tarhuna, Bani Walid dan Tawargha akan memasuki Misrata untuk berbincang dengan pemberontak.
"Jika mereka tidak menyerah diri, mereka akan diserang,'' kata Kaim.
Pengumuman tersebut dilihat sebagai rancangan rejim Gaddafi untuk menyulitkan tugas NATO menangani tentera pro-Gaddafi tanpa mencederakan orang awam.
Bagaimanapun, ia dijangka tidak membawa sebarang perubahan kepada barisan hadapan ketika puak-puak berkenaan telah menyertai pertempuran sebagai pemberontak atau sukarelawan tentera Libya.
Misrata sejak beberapa minggu lalu menjadi medan pertempuran antara pemberontak dan tentera yang setia kepada Gaddafi. - AFP

Barat kecam tindakan Syria tembak penunjuk perasaan



DAMSYIK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyokong pemimpin Barat yang mengecam kerajaan Syria selepas pasukan tentera negara itu menembak sekurang-kurangnya 75 orang awam dalam insiden tunjuk perasaan, kelmarin.
Tentera di bawah pimpinan Presiden Bashir al-Assad menggunakan peluru hidup dan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan di di Latakia, Homs, Hama, Damsyik dan desa Izra’a, kata kumpulan aktivis. Insiden berdarah itu tercetus apabila beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya di beberapa bandar di seluruh negara bagi menuntut kebebasan sehari selepas Bashir membatalkan pemerintahan undang-undang darurat.


Kumpulan hak asasi kemanusiaan mendakwa angka kematian adalah lebih ramai daripada yang dinyatakan.


“Pasukan keselamatan Syria menggunakan kekerasan dan membunuh penunjuk perasaan di beberapa bandar di negara itu, kelmarin. Setakat ini, 72 orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi cedera,” lapor Jawatankuasa Hak Asasi Kemanusiaan Syria yang berpangkalan di London dalam satu kenyataan. - AFP

Galaksi besar tak akan terbentuk lagi


 GAMBAR Hubble (kiri)  menunjukkan sekumpulan galaksi pusaran diberi nama Arp 273, manakala gambar  kanan, sekumpulan galaksi bercahaya di tengah foto menunjukkannya dilitupi kegelapan menyebabkan graviti memantulkan cahaya.
GAMBAR Hubble (kiri) menunjukkan sekumpulan galaksi pusaran diberi nama Arp 273, manakala gambar kanan, sekumpulan galaksi bercahaya di tengah foto menunjukkannya dilitupi kegelapan menyebabkan graviti memantulkan cahaya.

Pakar astronomi menemui bukti proses pembentukan berhenti 7 bilion tahun lalu 


LIANDUDNO (Wales): Pakar astronomi menemui bukti baru bahawa galaksi besar berhenti membesar ketika alam semesta separuh usianya sekarang tetapi ada juga teori mengatakan proses pembentukannya masih berjalan, bagaimanapun ia berlaku secara lebih perlahan.Penemuan itu menimbulkan persoalan baru kepada pakar astronomi yang berhimpun pada Mesyuarat Persatuan Astronomi Kebangsaan di sini, baru-baru ini.
Penemuan itu berdasarkan kajian Claire Burke dan Profesor Chris Collins dari Universiti John Moores, Liverpool dan Dr John Scott dari Universiti Durham. 


Mereka mencapai kesimpulan itu selepas meneliti data arkib Teleskop Angkasa Lepas Hubble mengenai kumpulan galaksi bersinar (BCG) iaitu satu gabungan galaksi bercahaya 100 trilion kali ganda besarnya daripada matahari dan terletak di tengah galaksi berkenaan. 


“Teori pembentukan galaksi adalah prinsip hierarki iaitu gabungan antara galaksi besar dan kecil, jadi galaksi lebih besar sepatutnya terus terbentuk. 


“Sebaliknya, mereka mendapati BCG berhenti membesar tujuh bilion tahun lalu selepas mengukur saiz dan objek alam pada masa ini dengan galaksi terbaru seperti M87 ketika ini,” lapor Astronomy Now. 
Teori hiraki menyatakan, dalam tempoh itu, sepatutnya BCG bertambah besar tiga kali ganda tetapi hasil penemuan dalam penyelidikan berkenaan tidak menemui sebarang bukti pembesaran itu. 


Ia menyebabkan mereka tertanya-tanya sama ada pembesaran BCG terlalu pantas pada awal permulaan alam semesta dan kecepatannya semakin perlahan selepas tempoh tertentu berlalu menyebabkan teori hiraki tidak sesuai dipakai lagi. 


“Banyak pihak masih percaya BCG masih terbentuk menerusi penggabungan dengan galaksi lain tetapi membabitkan kumpulan lebih kecil menyebabkan penyelidik menganggap pembentukannya terhenti tujuh bilion tahun lalu. 


“Stott dan Burke percaya, satu lagi cara BCG terus terbentuk ialah melalui fenomena penyerapan sejuk iaitu gas hidrogen menyelimuti himpunan kecil galaksi,” kata Astronomy Now. 


Pada masa sama, jika suhu gas itu menjadi panas berjuta-juta darjah Celcius, ia juga boleh menyekat pembesaran galaksi. 


Berikutan itu, penemuan terbaru pakar berkenaan menunjukkan pembentukan galaksi bergantung kepada faktor alam sekitar yang menentukan saiz dan kepantasan sesuatu pembentukan struktur besar alam semesta. – Agensi 

Israel tetap serang flotila masuk Gaza


BEBERAPA pekerja  mengisi bekalan makanan ke dalam  kapal Irwak yang bakal menyertai misi flotila Gaza kedua di pelabuhan Istanbul, Turki, kelmarin.
BEBERAPA pekerja mengisi bekalan makanan ke dalam kapal Irwak yang bakal menyertai misi flotila Gaza kedua di pelabuhan Istanbul, Turki, kelmarin.

Tel Aviv tuduh aktivis mahu mati syahid ada hubungan dengan Hamas, pertubuhan pengganas 


NEW YORK: Israel memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan membenarkan flotila kedua masuk ke Gaza dengan menuduh penganjurnya ada hubungan dengan Hamas dan organisasi pengganas yang lain.
Armada kapal pengangkut bantuan baru dirancang masuk ke Gaza pada Mei depan, setahun selepas komando Israel menyerbu kapal Turki, Mavi Marmara, menyebabkan beberapa aktivis maut.
Flotila baru yang dirancang masuk ke Gaza dijangka lebih besar dengan 15 kapal yang membawa 1,000 orang bagi merempuh sekatan laut Israel di wilayah Palestin. 


Ahli lembaga IHH, Huseyin Oruc memberitahu agensi berita bahawa ketika ini aktivis dari lebih 20 negara berminat menyertai flotila itu. 


Beliau berkata, aktivis yang berminat menyertai misi itu adalah dari Sepanyol, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Norway, Sweden, Ireland, Malaysia dan beberapa negara Teluk yang lain. 


Ketika bercakap kepada PBB, Duta Israel ke PBB, Meron Reuben berkata: “Ramai peserta yang terbabit dengan rancangan flotila ini membuat kenyataan yang menyusahkan dengan meluahkan kerelaan mereka untuk mati syahid dalam usaha ini,” dakwa Reuben. 


Beliau juga menuduh penganjur flotila melakukan provokasi politik dan menghantar bantuan kemanusiaan bukan isu sebenar. 


Oleh itu, katanya, Israel bertekad untuk menguatkuasa sekatan laut bagi Gaza dan ‘menghentikan lebih ramai pengganas daripada memasuki kawasan itu’. 


Amerika Syarikat menyokong kenyataan Reuben dengan Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice berkata: 


“Ada cara lain untuk menghantar bantuan ke Gaza dan tiada justifikasi untuk berlayar terus ke Gaza,” katanya. 


Duta Jerman, Peter Witting menyatakan sentimen serupa pada mesyuarat itu dan memberi amaran kemasukan flotila itu akan membuka peluang menaikkan ketegangan di Gaza. 


“Kita minta organisasi terbabit mencari jalan lain untuk menghantar bantuan kepada penduduk Gaza,” kata Witing. – Agensi 

Sisa tsunami paksa kapal ubah haluan



    Foto
    SEBUAH rumah terapung di laut dekat daerah Ofunato, wilayah Iwate yang musnah dilanda tsunami.

    Foto
    SEKAWAN burung ‘lepak’ di bumbung kereta di sungai daerah Kesennuma, wilayah Miyagi yang teruk dilanda tsunami.

    TOKYO: Sisa kemusnahan yang banyak akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu di Jepun yang terapung di laut memaksa kebanyakan kapal mengubah laluan perjalanan mereka.
    Sebanyak lapan peratus kapal Jepun bagi pengangkutan domestik perlu mengubah haluan dengan melalui Laut Jepun dan bukan lagi Lautan Pasifik berikutan sisa kemusnahan atau sampah tsunami yang banyak terapung yang amat berbahaya kepada kapal kecil.
    Ia merujuk kepada kapal yang membawa muatan kurang daripada 499 tan, kata seorang pegawai Persekutuan Persatuan Perkapalan Laut Jepun. Sebanyak 5,600 kapal di Jepun digunakan untuk pengangkutan domestik dan 4,500 adalah kapal kecil kurang 499 tan.




    Kapal lebih besar daripada kategori itu juga mengelak daripada menggunakan Lautan Pasifik atas sebab keselamatan, menunjukkan bahawa majoriti kapal Jepun menggunakan laluan alternatif selepas gempa bumi 11 Mac, kata pegawai berkenaan.


    “Sisa itu banyak dekat perairan kawasan Sanriku (berhampiran pusat gempa di wilayah Miyagi) dan menuju Hawaii,” kata pegawai terbabit sambil menambah bahawa sisa kemusnahan yang terapung mengundang risiko pelanggaran dan kerosakan kerana ia boleh terperangkap dengan mudah dalam kipas kapal.


    Ada pemilik kapal juga bimbang ancaman dari kebocoran radiasi loji nuklear Fukushima Daicihi. Kapal menggunakan air laut bagi tujuan penyejukan dan ada kebimbangan pencemaran radioaktif yang boleh menjejaskan kesihatan anak kapal dan juga menjejaskan kapal itu sendiri.
    Kapal yang belayar dari Hokkaido melalui Laut Jepun ke pelabuhan Chiba di teluk Tokyo misalnya terpaksa menggunakan dua kali ganda minyak berikutan jarak lebih jauh yang dilalui, katanya.


    Pemilik kapal juga boleh menuntut pampasan kewangan daripada kerajaan. Forum Pemulihan Jepun 311, membabitkan pakar bukan kerajaan mewujudkan sebuah kumpulan kerja untuk mengkaji kerugian kewangan berpunca daripada kerosakan loji nuklear Fukushima Daiichi.


    Kapal dari Russia ke Jepun juga menggunakan laluan yang lebih jauh melalui Laut Jepun berbanding Lautan Pasifik.


    Dalam kes membabitkan kargo dari Russia kos meningkat berikutan laluan yang lebih jauh, kata seorang peniaga Tokyo, yang menganggarkan kos meningkat dari Vladivostok Russia ke pelabuhan Yokohama di Jepun melalui laluan Laut Jepun adalah sebanyak AS$1 (RM3) satu paun bagi setiap kontena kargo kapal pelbagai saiz. – Agensi


      Tipu hamil kerana projek sekolah



      GABY RODRIGUEZ membuang bantal pada perutnya selepas berpura-pura hamil selama enam bulan.


      YAKIMA, Washington - Setelah mengharungi kehidupan sebagai pelajar sebuah sekolah tinggi dengan kandungan yang semakin membesar, Gaby Rodriguez akhirnya membuat pengakuan mengejutkan - dia sebenarnya tidak pernah hamil.
      Rodriguez, 17, membuat pendedahan itu minggu ini semasa menghadiri perhimpunan pagi Sekolah Tinggi Toppenish di sini selepas guru dan rakan sekolahnya menyangka dia telah enam bulan mengandungkan anak luar nikah.
      Pelajar berkenaan yang mendapat semua A dalam mata pelajarannya sebaliknya memberitahu, dia berpura-pura hamil untuk menyiapkan projek tahun akhirnya yang bertajuk:Stereotaip, Khabar Angin dan Statistik.
      Sebagai bukti dia berkata benar, Rodriguez mengeluarkan bantal yang diikat dengan menggunakan wayar pada perutnya di hadapan para pelajar lain.
      Seterusnya, dia memberitahu, kajian sosial itu dirahsiakan dan hanya diketahui oleh seorang rakannya, ibunya, teman lelakinya dan pengetua sekolah berkenaan serta segelintir yang lain.
      "Saya mahu membuang bantal ini dan tidak mahu lagi meneruskannya," katanya kepada akhbarYakima Herald-Republic selepas mendedahkan berita tersebut.
      Selepas Rodriguez membuang 'perut palsunya', ramai antara 700 pelajar sekolah itu, pada mulanya terkejut, namun mereka lantas bangun memberikan tepukan gemuruh kepadanya.
      Mengulas mengenai tindakan pelajarnya itu, pengetua sekolah berkenaan, Trevor Green berkata, Rodriguez patut dipuji kerana komitmennya meneruskan projek tersebut.
      "Dia mengorbankan tahun akhirnya semata-mata untuk mengetahui bagaimana perasaannya menjadi seorang ibu pada usia remaja. Saya mengagumi keberaniannya," kata pengetua tersebut.
      Kisah pelajar berkenaan mendapat liputan meluas di AS dengan Rodriguez diundang ke rancangan bicara pagi popular, Today kelmarin untuk menceritakan pengalamannya. - Agensi

      Lindsay Lohan dipenjara 120 hari





      LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Tidak cukup dia dihukum penjara 120 hari kerana melanggar perintah parol, aktres Hollywood, Lindsay Lohan, 24, (gambar) turut dimarahi hakim yang membicarakan kesnya, lapor sebuah akhbar semalam.
      Aktres itu yang meraih pendapatan jutaan dolar menerusi beberapa filem popular seperti The Parent Trap dan Mean Girlsdibicarakan di sebuah mahkamah di sini kelmarin kerana dituduh mencuri seutas kalung berharga AS$2,500 (RM7,500) dari sebuah gedung barangan kemas pada Januari lalu.
      "Adakah seorang yang berotak akan memakai kalung dan berjalan keluar begitu sahaja. Adakah ia satu tindakan yang nekad atau bodoh? Saya pun tidak tahu," kata hakim berkenaan, Stephanie Sautner.
      Sautner, bagaimanapun, memilih untuk menjatuhkan hukuman lebih ringan iaitu penjara 120 hari ke atas Lohan kerana melanggar perintah parol yang dikenakan terhadapnya pada 2007 kerana melakukan jenayah mencuri.
      Selain itu, beliau memerintahkan Lohan melakukan kerja amal selama 120 jam di rumah mayat daerah Los Angeles dan 360 jam lagi di sebuah rumah perlindungan wanita.
      Aktres itu yang sebelum ini dicemari pelbagai skandal termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol dan bercinta sesama jenis berada di dalam lokap selama lima jam sebelum dia dibebaskan dengan ikat jamin AS$75,000 (RM225,412) sementara menunggu rayuan kes tersebut. - Agensi

      Pemberontak makin kukuh di Libya, Syria terus kacau


      ASKAR-ASKAR pemberontak berdiri di atas sebuah kereta kebal tentera Muammar Gaddafi yang ditawan di Misrata kelmarin.


      BEIRUT - Seorang jurucakap pihak pemberontak menyatakan bandar Misrata bebas daripada tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi semalam setelah bandar ketiga terbesar di Libya itu dikepung selama hampir dua bulan.
      Beberapa askar Gaddafi yang ditawan pemberontak di Misrata berkata, mereka diarah supaya berundur manakala pemerintah Libya terdahulu memberitahu, tugas memerangi pemberontak telah diambil alih oleh puak-puak tempatan.
      "Misrata kini bebas, pemberontak telah menang. Sebahagian tentera Gaddafi berundur dan ramai yang dibunuh," kata jurucakap pemberontak, Gemal Salem, dalam wawancara telefon dengan agensi beritaReuters dari bandar itu.
      Misrata merupakan satu-satunya bandar di barat Libya yang jatuh ke tangan pemberontak.
      Terdahulu, pada hari yang sama, jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) membedil kedudukan tentera Gaddafi di ibu kota Libya, Tripoli dan turut memusnahkan beberapa belas buah trak dan kenderaan membawa askar pemimpin Libya itu berhampiran bandar Adabiyah.
      Sementara itu di Syria, berpuluh-puluh ribu orang berhimpun di ibu kotanya, Damsyik semalam untuk mendesak agar Presiden Bashar Al-Assad meletak jawatan.
      Para penunjuk perasaan kembali berarak di jalan-jalan raya selepas pasukan keselamatan menembak mati sekurang-kurangnya 88 orang bagi menyuraikan protes besar-besaran di negara itu kelmarin.
      Beberapa aktivis berkata, kematian berlaku di serata tempat di Syria termasuk bandar pelabuhan Latakia, Homs, Hama, Damsyik dan perkampungan Izra'a.
      Tindakan keras pihak berkuasa Syria terhadap para penunjuk perasaan itu dikecam ramai pemimpin antarabangsa termasuk Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
      Di sebuah lagi negara Asia Barat, Yemen, hampir semua kedai, pasar dan sekolah di bandar Aden ditutup semalam sebagai tanda protes terhadap Presiden Ali Abdullah Salleh.
      Tinjauan agensi berita Reuters mendapati bandar pelabuhan di selatan Yemen itu lengang dengan hampir tiada kenderaan dilihat di jalan-jalan raya.
      Pergolakan di tiga negara berkenaan bermula selepas kejatuhan Presiden Tunisia, Zine El Abidine ben Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak pada awal tahun ini susulan gelombang kebangkitan rakyat.
      Penduduk di Asia Barat kini bangkit menentang pemerintah mereka kerana menuntut pembaharuan politik, ekonomi dan kebebasan bersuara. - Agensi