Pages

Friday, June 1, 2012

Pasangan bisu dinikah guna bahasa isyarat

Mohd. Zulkhairy Zulkifli bersama isterinya, Nor Akmar Nazirah Mohamad selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Kampung Berdang, Jeli, baru-baru ini.
JELI 31 Mei - Dilahirkan bisu tidak menjadi halangan kepada Mohd. Zulkhairy Zulkifli, 25, dan pasangannya, Nor Akmar Nazirah Mohamad, 24, untuk hidup bersama melalui ikatan perkahwinan.
Pasangan istimewa itu melangsungkan pernikahan di Masjid Kampung Berdang di sini kelmarin dengan Mohd. Zulkhairy melafazkan akad nikah menggunakan bahasa isyarat.
Majlis angkat nikah itu disempurnakan Imam Besar Masjid Kampung Berdang, Abdul Aziz Mohamad sambil disaksikan sanak saudara kedua-dua mempelai.
Pasangan terbabit berkenalan selepas mengikuti satu kursus motivasi di Setiu, Terengganu kira-kira 12 tahun lalu.
Mohd. Zulkhairy yang berasal dari Felda Rentam, Bera, memberitahu, dia tidak menyangka perkenalan dengan Nor Akmar ketika mengikuti kursus motivasi itu melahirkan perasaan untuk mengenalinya secara lebih dekat.

Penganggur dijel kerana menipu

SINGAPURA: Seorang penganggur semalam, dijatuhkan hukuman empat tahun enam bulan penjara atas kesalahan melakukan 151 kesalahan termasuk menipu 160 orang ramai dalam penipuan kereta sewa Hari Raya.
Pada Ogos 2011, sekurang-kurangnya 90 mangsa menelefon iklan dalam surat khabar yang menawarkan khidmat kereta sewa pada harga diskaun sempena Hari Raya. 
Mangsa membayar wang pendahuluan antara S$200 dan S$688 (RM500 dan RM1,700) bergantung kepada model kereta yang ingin mereka sewa dan tempoh sewaan.

Penipuan itu terbongkar apabila mangsa tiba di pejabat sewaan kereta yang terletak di Beach Road untuk mengambil kereta sewa dan mendapati pejabat itu tutup.

Akhbar Straits Times melaporkan, pendakwa raya memberitahu mahkamah, Ngiu, 39, melarikan diri bersama wang berjumlah S$37,500 (RM92,500).

Walaupun pejabat itu ditutup tetapi bangunan itu disewa ata nama Ngiu dan dia ditahan polis tidak lama selepas itu.

Pada April dan Mei 2011, Ngui juga menipu 18 kedai pajak gadai dengan menjual jam tangan Rolex palsu.
Jam tangan itu didapati di Malaysia dan dia menipu kedai pajak gadai antara S$3,500 (RM8,630) dan S$6,000 (RM14,793) untuk setiap jam.

Dua bulan kemudian, siasatan mendapati Ngui mencuri kad kredit penduduk daripada peti surat dan menggunakan kad itu untuk membeli barang kemas bernilai hingga S$28,000 (RM69,043)

Semua barang-barang itu itu bernilai S$155,000 (RM382,247), - Straits Times 

Mangkuk antik bernilai RM500,000 dicuri

HONG KONG: Mangkuk antik bernilai HK$1.35 (RM552,000) dicuri dari pameran antik antarabangsa di Hong Kong, kata polis, semalam.
Seorang peserta pameran memberitahu polis kelmarin pada hari terakhir, Pameran Antik Antarabangsa Hong Kong yang diadakan selama tiga hari di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong. 
Jurucakap polis berkata, “Mangkuk antik itu dicuri daripada kabinet pameran di situ. Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai kecurian.

“Kami masih menyiasat dan belum ada tangkapan dibuat setakat ini.”

Penganjur pameran, Chak’s Investment berkata, mereka tidak mempunyai maklumat mengenai jenayah itu.

Pameran tahunan itu menarik lebih 50 peserta dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Hong Kong terkenal sebagai satu daripada pusat lelongan terbesar selepas New York dan London berikutan ekonomi China yang memberangsangkan dan permintaan daripada pengumpul barang antik, terutama dari Tanah Besar China, yang menyebabkan harga seni China melambung. - AFP 

Drama ‘jiran’ buang ayah


UZUR...kakitangan Pusat Jagaan Nur Ehsan menyalin baju warga emas terbabit.
UZUR...kakitangan Pusat Jagaan Nur Ehsan menyalin baju
 warga emas terbabit.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 40-an tergamak menghantar bapa kandungnya berusia 70 tahun yang diserang angin ahmar ke Pusat Jagaan Nur Ehsan, Kempas, di sini, dan enggan mengaku dia anak warga emas itu, sebaliknya mendakwa dia hanya jiran yang prihatin terhadap nasib lelaki tua berkenaan.
Bagaimanapun, tembelang lelaki terbabit yang juga jurutera di sebuah syarikat swasta di bandar raya ini terbongkar apabila pengurusan pusat jagaan berkenaan membuat semakan dengan beberapa pihak.
Ketika mendedahkan perkara itu, Pengurus Pusat Jagaan Nur Ehsan, Norijah Bidin berkata, jurutera terbabit yang juga anak tunggal warga emas berkenaan menghubungi pihaknya dan bertanya mengenai kemudahan di pusat itu bermula bulan lalu.

“Lelaki terbabit mengaku jiran warga emas berkenaan dan dalam perbualan telefon, dia menyatakan simpati terhadap nasib lelaki tua itu.

“Lelaki itu turut mendakwa warga emas berkenaan hidup sebatang kara, justeru, dia berhasrat menghantarnya ke pusat jagaan kami.

“Pada masa sama, warga emas itu juga mengalami kesulitan untuk berkomunikasi selain nyanyuk dan gagal memberikan maklumat berkaitan warisnya,” katanya di sini, semalam.

Kereta terperosok belakang treler

TERBAKAR...anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran treler.
TERBAKAR...anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran treler.
REMBAU: “Sebaik keluar, saya terkejut melihat sebuah kereta terperosok di belakang treler dipandu manakala pemandunya keluar menyelamatkan diri.
“Tanpa berfikir panjang, saya segera berlari ke arah tempat memandu untuk mengambil gas pemadam api tetapi gagal berikutan api semakin marak,” kata pemandu treler, Razi Jaafar, 47, yang terbabit kemalangan dengan sebuah kereta hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu musnah terbakar di Kilometer 231.6, Lebuh raya Utara Selatan arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.04 pagi itu, treler berkenaan dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor menuju Pulau Indah, Selangor membawa muatan lima kepala lori jenis Volvo.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, Proton Wira dipandu seorang lelaki melanggar belakang treler itu menyebabkan berlaku kebakaran yang memusnahkan kedua-dua kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, kepala treler itu dapat diselamatkan selepas pemandunya meninggalkan badan treler itu.

Menceritakan detik cemas itu, Razi berkata, ketika kejadian, dia memandu di lorong paling kiri sebelum dikejutkan dengan dentuman kuat dari arah belakang.
“Bagi mendapatkan kepastian, saya segera memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan mendapati sebuah kereta sudah terperosok selain api yang turut marak.

“Saya cuba memadam kebakaran, namun gagal. Bimbang keadaan bertambah buruk, saya meninggalkan badan lori dan memandu kepala lori sejauh 20 meter dari tempat kejadian sebelum menghubungi Bomba dan Penyelamat untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Dia yang baru memandu lori setahun lalu berkata, ini kali pertama terbabit kemalangan dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian termasuk dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dan Alor Gajah, Melaka.

“Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 10 minit dan pemeriksaan mendapati pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Menggigil parang di dada

BEGINI...Sharifah Rodhiah (kiri) menunjukkan cara penjenayah meletakkan parang sambil diperhatikan Siti Norhasmida.
BEGINI...Sharifah Rodhiah (kiri) menunjukkan cara penjenayah meletakkan parang sambil diperhatikan Siti Norhasmida.
BUKIT BERUNTUNG: “Saya menggigil dan terpaksa menyerahkan barang kemas yang dipakai kepada penjenayah yang meletakkan parang panjang tajam pada dada,” kata Sharifah Rodhiah Syed Nong Chik, 47, menceritakan detik dia diragut ketika berjoging, awal pagi semalam.
Kejadian berlaku jam 7.10 pagi di Jalan Adenium 2G/4, Pusat Perniagaan Adenium, di sini, ketika mangsa bersama jirannya, Siti Norhasmida Abdullah, 64, berjoging di taman itu.

Katanya, enam lelaki berumur 20 hingga 30 tahun menunggang tiga motosikal memintas mereka.
“Mereka seperti mahu bertanya arah jalan, tetapi bertukar ganas dengan mengeluarkan parang dan tiga pisau rambo yang diletakkan pada dada saya sambil mengarahkan menyerah barang kemas dipakai.

“Saya panik dan amat takut ketika penjenayah mengarahkan saya tidak melawan kehendak mereka. Seorang daripada lelaki itu merentap gelang tangan dan rantai leher saya manakala rakannya mengepung saya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia berjaya memujuk kumpulan penjenayah itu supaya tidak merampas beg tangannya yang mengandungi dua telefon bimbit dan wang RM15.
Katanya, penjenayah mengambil masa kurang dua minit menyamun barang kemas yang berharga RM5,000 itu.

“Rakan saya berlari ke rumah jiran berhampiran meminta pertolongan, tetapi sudah terlambat.
“Saya tidak menyangka aktiviti berjoging sejak lebih sebulan lalu dalam taman ini diperhatikan penjenayah,” katanya.

Sharifah Rodhiah berkata, sambil berlari pulang ke rumah dia menangis sekuat hati kerana ketakutan.

Katanya, dia menelefon suami, Mohd Kamaruddin Sangit, 55, yang berniaga di Bukit Antarabangsa di Hulu Klang ketika itu memaklumkan kejadian itu.

Beliau berkata, suaminya tiba di rumah jam 9 pagi membantu menenangkannya. Mangsa ditemani jirannya membuat laporan di Balai Bukit Sentosa pada jam 2 petang.

Pekerja Islam syarikat pengangkutan dibenar pakai tudung

NEW YORK 31 Mei - Pekerja- pekerja syarikat pengangkutan New York beragama Islam dan Sikh dibenarkan memakai penutup kepala mengikut kepercayaan agama masing- masing, sebagai sebahagian daripada penyelesaian undang- undang yang difail di Mahkamah Persekutuan Brooklyn.
Penyelesaian itu menamatkan pertikaian antara plaintif yang mendakwa syarikat New York City Transit yang dikendalikan oleh Lembaga Pengangkutan Metropolitan (MTA) itu mengamalkan polisi 'double standard' berikutan kejadian serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini pada 11 September 2001.
Penyelesaian itu menyatakan, pekerja syarikat tersebut kini tidak lagi dipaksa memilih memakai penutup kepala yang memiliki logo syarikat terbabit atau bekerja di bahagian yang tidak perlu bertemu dengan khalayak awam
Pekerja beragama Islam dan Sikh syarikat itu kini dibenarkan memakai tudung kepala, serban atau apa sahaja penutup kepala mengikut agama masing-masing dengan syarat ia berwarna biru sama seperti uniform yang ditetapkan syarikat.
Keputusan tersebut menyelesaikan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada 2004 terhadap pihak berkuasa pengangkutan, di bawah Akta Hak Asasi Sivil 1964.
Wakil Pusat Hak Asasi Perlembagaan Manhattan, Shayana Kadidal menyifatkan sekatan tersebut merupakan percubaan dirancang untuk menyembunyikan pekerja yang kelihatan berimej Islam kerana mendakwa ia seakan-akan mengundang ketakutan kepada orang awam.
Seorang daripada plaintif beragama Sikh, Kevin Harrington, merupakan pengendali kereta api bawah tanah yang berjaya menyelamatkan 800 penumpang dalam kenderaan tersebut yang sedang bergerak berdekatan WTC ketika serangan berkenaan.
"MTA memberi penghormatan kepada saya kerana memandu kereta api dalam arah bertentangan daripada bangunan dan membawa penumpang ke tempat selamat," katanya sambil mendakwa dia tidak memakai logo korporat syarikat pada serbannya, ketika itu.
Dalam penyelesaian itu, MTA turut bersetuju membayar ganti rugi penyelesaian sekurang-kurangnya AS$184,500 (RM552,000) kepada lapan pekerja dan bekas pekerja beragama Islam serta Sikh yang mendakwa syarikat tersebut melakukan diskriminasi terhadap mereka. - AGENSI

Rakyat India bantah kenaikan harga petrol

Penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) melaungkan slogan antikerajaan sambil menyekat laluan trafik semasa satu protes membantah kenaikan harga petrol di New Delhi, semalam. - AFP
MUMBAI 31 Mei - Parti pembangkang India hari ini mengadakan demonstrasi di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga minyak yang diumumkan minggu lalu.
Demonstrasi berkenaan menyebabkan urusan perniagaan dan kehidupan harian terganggu di bandar-bandar utama termasuk Mumbai, Kolkata dan Lucknow.
Parti-parti politik dan kesatuan perniagaan juga merancang mengadakan perarakan antikerajaan, sekatan jalan raya dan tunjuk perasaan di luar bangunan pejabat bagi menyampaikan rasa marah terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Manmohan Singh.
"Kami mengadakan bantahan berhubung kenaikan harga petrol.
"Ramai orang marah dan membantah tindakan itu dan ini merupakan satu-satunya cara sah untuk melakukannya,'' kata jurucakap parti pembangkang utama Parti Bharatiya Janata (BJP), Prakash Javdekar.
Penyokong parti pembangkang di Mumbai meronda di kawasan perumahan bagi memastikan kedai-kedai ditutup dan berkumpul di stesen-stesen pengangkutan awam bagi memastikan perkhidmatan bas dihentikan.
Di Lucknow, penunjuk perasaan menyekat lalu lintas di jalan raya dan stesen kereta api, sementara kebanyakan penduduk juga memilih untuk tinggal di rumah kerana bimbang berlakunya keganasan.
Minggu lalu, firma minyak milik kerajaan meningkatkan harga minyak lebih 11 peratus, kenaikan tertinggi sejak satu dekad lalu. - AP/Agensi
AFP010774138.jpg

Zhang Ziyi tuntut permohonan maaf

BEIJING: Aktres terkenal China, Zhang Ziyi sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Apple Daily di Hong Kong kerana menuduh beliau dibayar jutaan yuan untuk melakukan hubungan seks dengan seorang ahli politik kanan. 

Zhang yang ketika ini menjalani penggambaran filem barunya di selatan China, berkata tuduhan itu tidak benar sama sekali dan tidak masuk akal.
“Laporan Apple Daily keterlaluan. Ia menimbulkan perasaan marah dan memberi kesan mendalam kepada kami,” kata pegawai publisiti aktres itu dalam satu kenyataan dalam talian.
Peguam Zhang juga mengutus surat kepada Apple Daily serta blog Weibo miliknya memaklumkan anak guamnya menuntut akhbar terbabit menyiarkan permohonan maaf dan menarik balik sepenuhnya dakwaan yang dibuat kelmarin. 

Zhang juga berkata, beliau akan mengambil tindakan ke atas Boxun.com dan media lain. 

“Rakan menasihatkan kami mengeluarkan kenyataan pendek dan tidak terlalu serius,” kata pegawai publisiti Zhang. 

“Lebih banyak anda pertikai, semakin ia dibangkitkan. Lebih baik tidak masuk campur sehingga orang ramai hilang minat dan pembohongan itu lenyap. Mereka yang tidak bersalah tidak perlu risau.” 
Dakwaan itu, berasaskan sumber tidak dikenali, berkata aktres itu sedang disiasat pihak berkuasa China berhubung dakwaan hubungan ranjang dengan Bo Xilai, 63, ketua Parti Komunis cawangan Chongqing yang disingkirkan Mac lalu dan disiasat atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. 

Kes Bo mencetuskan skandal politik terbesar China sejak bertahun lalu. Laporan itu menuduh bintang berusia 32 tahun yang pernah membintangi filem Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Memoirs of a Geisha mengadakan hubungan seks dengan Bo. 

Malah, mereka dituduh melakukannya sebanyak 10 kali antara 2007 dan tahun lalu dan Zhang dibayar 10 juta yuan (RM5 juta) sebagai ganjaran. 

Artikel itu diterbitkan pada Selasa lalu dan mengulangi dakwaan dibuat sebelumnya menerusi laporan dalam laman web berita Boxun.com di Amerika Syarikat. Kisah itu turut diterbitkan media bahasa China lain di tanah besar dan di Taiwan. 

Laporan media mengatakan, Zhang dan Bo diperkenalkan oleh Xu Ming, bilionair yang rapat dengan Bo dan turut disiasat kerana kaitannya dengan ahli politik itu. – Agensi

Nasib Mubarak diketahui esok

KAHERAH: Presiden Mesir yang disingkir, anak lelakinya dan beberapa pegawai kanan keselamatan akan menerima keputusan esok, sama ada mereka didapati bersalah atas tuduhan membunuh dan rasuah. 

Hosni Mubarak mula dibicarakan Ogos tahun lalu, enam bulan selepas disingkirkan oleh protes rakyat di seluruh negara.
Pengkritik pula bimbang bahawa keadilan mungkin sekali lagi tidak dicapai kerana kekurangan bukti kukuh terhadap bekas diktator itu.
Keputusan itu bakal dibuat ketika penduduk Mesir masih berbelah-bagi mengenai era pentadbiran sementara tentera. 

Sejak Mubarak dipenjarakan pada April 2011, negara itu melalui banyak perubahan termasuk pilihan raya pusingan pertama untuk memilih presiden baru minggu lalu yang menyaksikan pertandingan akhir antara calon Ikhwanul Muslimin dan perdana menteri terakhir era Mubarak. 

Pemimpin Ikhwanul Muslimin yang sebelum ini dilarang berpolitik atau dipenjarakan kini berada di barisan hadapan selepas menang besar dalam pilihan raya parlimen tetapi menyaksikan perpecahan akibat protes hingga membawa pertumpahan darah. 

Mubarak didakwa atas tuduhan rasuah dan membunuh penunjuk perasaan yang membawa kepada penggulingannya pada Februari 2011. 
Tuduhan membunuh turut dikenakan ke atas tujuh ketua keselamatan manakala dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal menghadapi dakwaan rasuah. 

Kira-kira 850 penunjuk perasaan terkorban ketika pemberontakan 18 hari yang memaksa Mubarak meletak jawatan. 

Pada masa sama, Mubarak tidak mustahil dibebaskan atau dibenarkan merayu jika didapati bersalah selepas hak asasi manusia dicabuli, ahli politik ditahan dan dasar penderaan ketika pemerintahannya berlaku selama beberapa dekad. 

Sepanjang 36 kali perbicaraan, ada saksi pendakwaan memberi keterangan bercanggah seolah-olah mahu melepaskan Mubarak dan ketua keselamatannya daripada tuduhan membunuh. 

Pendakwa raya mencadangkan hukuman mati ke atas Mubarak dan berhujah dalam rumusannya bahawa mereka ada cukup bukti untuk satu sabitan. Namun, saksi memberi keterangan berbeza. 

Seorang pegawai polis berkata, dia diarah melayan penunjuk perasaan sebagai saudara manakala yang lain mengatakan mereka diarah tidak membawa senjata ketika bantahan. 

Namun, seorang lagi saksi yang juga timbalan kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, defendan bersama Mubarak, berkata Adly mengeluarkan arahan hanya menggunakan gas pemedih mata dan meriam air pada 28 Januari 2011, kemuncak bantahan. 

“Saksi pendakwa seperti saksi pembela,” kata seorang peguam yang mewakili keluarga mangsa. 

Beberapa individu ternama seperti pemerintah tentera negara itu, Marsyal Lapangan Hussein Tantawi, memberi keterangan tertutup namun, peguam mangsa memberi keterangan tidak menunjukkan Mubarak bersalah. – AFP 

‘Saya dah tua, belum ada anak’

Umar Patek
Umar Patek



JAKARTA: Umar Patek memberi alasan sudah tua dan hukuman penjara terlalu kejam ketika merayu hakim tidak mengenakan tempoh lama ke atasnya di penjara atas tuduhan memainkan peranan utama dalam pengeboman Bali pada 2002.

Ketika memberi keterangan dengan nada emosi, dia juga berkata, serangan yang mengorbankan 202 orang itu bertentangan dengan suara hatinya.
Umar, 45, juga menegaskan dia hanya memegang peranan kecil dalam pengeboman itu dan sudah menyuarakan rasa kesal dengan memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Bagaimanapun, pendakwa raya mencadangkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Umar dengan menuduhnya pembuat bom utama dalam serangan ke atas dua kelab malam di pulau pelancongan Indonesia itu yang membunuh ramai pelancong asing.

“Saya hanya mencampurkan kurang 50 kilogram bahan kimia,” kata Umar yang membaca kenyataan panjang lebar dengan memetik ayat-ayat al-Quran. Dia berkata, orang lain yang mencampurkan baki 950 kilogram bahan letupan dalam serangan itu.

“Saya melakukannya separuh rela, hanya kerana orang yang mencampurkannya penat dan tertekan. Ia bukan dari hati nurani saya dan ia bertentangan dengan suara hati saya.

“Saya akan genap 46 tahun 50 hari lagi, usia yang dianggap tua jadi hukuman panjang di penjara terlalu kejam. Saya juga belum ada anak,” katanya di Mahkamah Daerah Jakarta Barat, 
“Saya harap hakim akan menimbang rayuan saya dan memberi hukuman paling ringan berdasarkan kebenaran dan keadilan.”

Dia juga menggesa panel lima hakim tidak dipengaruhi dengan stigma mengenai identitinya selain teori, pendapat dan spekulasi dalam media massa apabila membuat keputusan muktamad.

Umar juga mengkritik pendakwa kerana tidak mengambil kira fakta oleh saksi apabila menderaf cadangan hukuman.

“Semua fakta yang didedahkan dalam perbicaraan secara khusus daripada saksi dan kenyataan saya ditolak ke tepi. Pendakwaan dibentangkan begitu saja,” kata Patek sambil meninggikan suaranya.

Umar adalah sebahagian anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) dan ditahan tahun lalu di bandar Abbottabad, Pakistan, empat bulan sebelum komando Amerika Syarikat membunuh pengasas al-Qaeda, Osama bin Laden.

Pendakwa raya Indonesia, bagaimanapun, tidak mencadangkan hukuman mati minggu lalu dan merujuk kepada rasa kesalnya atas pembabitannya untuk megelak daripada menjalani hukuman oleh skuad penembak. Tiga pengebom Bali sudah dihukum mati.

Dalam perbicaraan yang bermula Februari lalu, tertuduh berulang kali menafikan pembabitannya secara mendalam. Dia juga mendakwa menukar fikiran dan cuba menghentikan serangan pada saat akhir.

Mahkamah dijangka mengumumkan keputusannya esok. Patek pernah menjadi suspek pengganas paling dikehendaki di Indonesia dan menghabiskan hampir sedekad sebagai orang buruan Amerika yang menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM3.14 juta) ke atasnya. – AFP

Tentera Hamas setanding Hezbollah: Israel

BAITULMAQDIS: Kumpulan pejuang Hamas Palestin yang memerintah Semenanjung Gaza mempunyai pasukan tentera setanding dengan musuh Israel di Lubnan, kumpulan Hezbollah, kata Ketua Perkhidmatan Keselamatan Shin Bet, semalam.
“Hamas mempunyai kemampuan ketenteraan seperti dimiliki sebuah negara,” kata jurucakap itu memetik kenyataan Yoram Cohen kepada jawatankuasa Parlimen mengenai hal ehwal luar negara dan pertahanan.

“Sesetengah kemampuan ketenteraannya, malah lebih baik daripada Hezbollah,” katanya. - AFP

Kerat, makan bibir isteri

STOCKHOLM: Seorang profesor yang percaya isteri mudanya ada hubungan sulit, dikatakan memotong bibir isterinya dan memakannya kerana cemburu.
Akhbar Sweden, Aftonbladet memetik sumber terdekat dalam kes itu sebagai berkata, “dia memotong bibir isterinya dan memakannya.” 
Kata sumber itu, “ Dia tidak menyesal dengan perbuatannya. Dia fikir isterinya itu yang menyakiti hatinya.”

Laporan itu berkata, lelaki itu, yang namanya tidak didedahkan, seorang profesor madya di Institut Karolinska yang terkenal, dilaporkan ditahan kerana disyaki cuba membunuh.

Peguam wanita itu, Ingela Ekman Hessius berkata, “Sudah tentu wanita itu tidak dalam keadaan baik sama ada secara psikologi ataupun fizikal.”

Peguam itu yang berada di mahkamah semalam, memberitahu akhbar itu kliennya mengalami “kecederaan parah. Doktor belum memberitahu sama ada mereka boleh memulihkannya atau tidak.”

Penyerangnya yang kini diarahkan melakukan ujian psikiatrik, dilaporkan mempunyai beberapa orang anak dengan isteri pertama tetapi perkahwinan mereka berakhir beberapa minggu sebelum dia mengahwini isteri keduanya yang jauh lebih muda.

Akhbar Aftonbladet berkata, baru-baru ini dia mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan dan dikatakan membuat keputusan untuk menghukumnya dengan mencacatkannya.

Sumber itu menerangkan mengapa lelaki itu memakan bibir isterinya, “Dia tidak mahu bibir isterinya dipulihkan.” - AFP 

Lelaki terbunuh pesawat buatan sendiri terhempas

KEADAAN pesawat Tackabury yang terhempas.
KEADAAN pesawat Tackabury yang terhempas.
WILAYAH MORGAN (Colorado): Seorang lelaki Colorado berusia 65 tahun terbunuh dan anak perempuannya cedera parah selepas pesawat buatan sendiri yang diterbangkan mereka terhempas di landasan berumput.
Menurut 9News, Richard M Tackabury dari Wiggins di wilayah Morgan membawa pesawat enjin berkembar Air Cam miliknya untuk penerbangan ketiga bersama anak perempuannya, Laura Jean Tackabury, 42, pada Isnin lalu.

Namun, dia hilang kawalan ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Fort Morgan dan ia terhempas di landasan berumput.
Tackabury maut serta-merta dan anak perempuannya dirawat ditempat kejadian oleh petugas paramedik dan anggota bomba Jabatan Bomba Fort Morgan sebelum diterbangkan ke Pusat Perubatan Colorado Utara di Greeley.

Dia kini dalam keadaan stabil di hospital itu.

Tackabury, seorang juruterbang berpengalaman membina pesawat Lockwood itu Disember lalu.
Saksi melihat pesawat itu cuba mendarat di landasan berumput selari dengan laluan Highway 52 dan berkata, juruterbangnya hilang kawalan. - DM

Pemuda gergasi ingin berteman

SAIN bersama keluarganya.
SAIN bersama keluarganya.
KAKI dan tangan Sain yang terus membesar menyukarkan dia bergerak.
KAKI dan tangan Sain yang terus membesar menyukarkan dia bergerak.
LAHORE: Seorang pemuda yang mengalami penyakit pelik apabila dia mempunyai kepala, kaki dan tangan gergasi terdesak untuk mencari penawar supaya dia boleh mendapat jodoh.
Sain Mumtaz, 22, mengalami kecacatan teruk akibat sindrom Proteus menyebabkan beberapa bahagian tubuhnya terus membesar. 
Dia sudah diterima oleh penduduk setempat di kawasan kejiranannya di pinggir bandar raya Lahore, di Pakistan tetapi penyakitnya menyebabkan dia perlu menerima rawatan secara berterusan dan menyukarkannya bergerak.

Sain dikatakan mengalami sindrom Proteus - yang turut menyerang “Lelaki Gajah” Joseph Merrick berikutan kecacatan simetri pada wajah dan tengkorak kepalanya.

Sain sebelum ini percaya nasib malangnya itu adalah laknat Tuhan, menyebabkan dia kecewa dan murung.

Namun, teman dan keluarga memberinya semangat dan dia kini berazam untuk terus hidup dengan baik.

Penduduk setempat merujuk kepadanya sebagai “kawan gergasi” mereka dan berazam untuk mencari penawar buat Sain yang mengimpikan akan bertemu dengan wanita idamannya.

Sain berkata: “Saya kelihatan seperti ini sejak lahir. Wajah, lengan dan kaki saya semuanya berbeza saiz dan orang menyangka saya tidak seperti manusia biasa yang lain.

“Tetapi akal saya sihat dan memahami semuanya. Saya menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun semua anggota keluarga saya termasuk ibu, bapa, abang dan kakak saya dilahirkan tidak dengan keadaan begini.

“Sebelum ini, orang melarikan diri daripada saya, tetapi kini mereka melayan saya secara normal dan duduk serta berbual dengan saya ketika saya berada di luar.

“Mereka memanggil saya kawan mereka. Satu hari kelak, saya harap dapat sembuh dan bertemu dengan wanita yang akan mencintai saya,” katanya.

Sain tidak pernah berjumpa doktor sejak dia kanak-kanak apabila diberitahu dia menghidap sindrom Proteus dan tiada apa dapat dilakukan untuk membantunya.

Sekiranya Proteus adalah diagnosis betul atas penyakit dialami mungkin tiada apa dapat dilakukan untuk mengurangkan berat kaki dan tangannya yang besar itu.

Namun, keluarganya masih berharap Sain menderita penyakit ketumbuhan lain dan jika ia benar mungkin ada rawatan yang dapat menyembuhkannya.

Bapanya, Wazir Ali berkata: “Kami mahu tahu apa yang tak kena dengannya dan sama ada terdapat sesuatu yang dapat dilakukan bagi memperbaiki kehidupan sehariannya.

“Dia menaruh harapan untuk masa depan, satu hari kelak dia akan menjalankan perniagaan beca dan mendapat isteri,” katanya. - DM

Anjing ada peguam, simpanan RM5,693



GAMBAR menunjukkan anjing bernama Blue di Albuquerque, New Mexico kelmarin.


ALBUQUERQUE, Amerika Syarikat (AS) - Seekor anjing tidak bertuan di negeri New Mexico, memiliki simpanan bank sebanyak AS$1,800 (RM5,693), laman Facebook dan sebuah kandang anjing berhawa dingin.
Sebuah akhbar AS melaporkan anjing jantan tersebut, Blue turut mempunyai seorang peguam yang berusaha supaya haiwan tersebut tidak diikat dan boleh terus berkeliaran di sebuah kawasan tasik di sini setelah ditinggalkan sedekad lalu.
Majlis Perbandaran Albuquerque dijadualkan bertemu para penyokong Blue pada 13 Jun depan bagi menentukan nasib anjing tersebut.
Pemilik bersama sebuah pasar raya di sini, Janice Conner berkata, kisah Blue bermula sekitar 10 tahun lalu.
Anjing tersebut yang ditinggalkan di sini katanya, telah dipelihara oleh seorang individu sehingga 'tuannya' meninggal dunia dua tahun lalu.
Selepas itu, Blue berkeliaran di pasar raya berkenaan dengan anjing tersebut diberi makan dan hidup bersama komuniti tempatan hingga musim bunga lalu apabila seorang wanita berusia 48 tahun dilaporkan mati digigit beberapa ekor anjing pitbull dekat pasar raya tersebut.
Menurut Connor, seorang wanita telah membuat aduan bahawa Blue pernah menderam terhadapnya selepas insiden tersebut.
Seorang peguam di sini Hilary Noskin, memberitahu, dia sedang berusaha supaya Blue dibenarkan tinggal berhampiran pasar raya tersebut tanpa diikat.
"Anjing ini ialah klien kesayangan saya, Blue seekor anjing yang baik dan tidak ganas," katanya.
Conner berkata, penduduk di sini mendermakan lebih AS$1,800 untuk kos perubatan dan perundangan Blue selain membina sebuah kandang lengkap dengan pendingin hawa dan alat pemanas untuk anjing tersebut.
Menurutnya, dia juga mengumpulkan lebih 1,100 tandatangan sokongan terhadap Blue di akaun Facebook Bluedog EB-Mascot untuk anjing berkenaan, - Agensi

Penduduk mogok harga petrol naik



PENUMPANG menunggu di sebuah terminal bas yang kosong di Bangalore semasa mogok besar-besaran diadakan di India semalam.


NEW DELHI - Bandar raya ini hampir lumpuh ekoran penduduknya mengadakan mogok untuk membantah kenaikan harga petrol di India.
Protes tersebut yang dianjurkan oleh parti pembangkang dan beberapa kesatuan sekerja menyebabkan banyak premis perniagaan ditutup dan sistem pengangkutan awam turut tergendala.
Jurucakap parti pembangkang, Parti Bharatiya Janata (BJP), Prakash Javdekar mendakwa mogok mereka telah berjaya apabila jutaan rakyat membantah kenaikan harga petrol.
"Harga petrol kini melambung tinggi. Pemerintah pula seperti sedang tidur tetapi hari ini kita akan mengejutkan mereka," kata seorang pemilik kedai runcit di sini Ravikant Sahai.
Harga petrol termasuk cukai naik AS$0.13 sen (RM0.41 sen) minggu lalu dengan bahan tersebut dijual pada harga sekitar 77.53 rupee (RM4.35) seliter di beberapa bandar raya utama di India.
Pemerintah sebelum ini menyatakan, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan ekoran penurunan nilai mata wang rupee. - AFP

14 juta hidangan untuk Sukan Olimpik London 2012



SUKAN Olimpik London 2012 bakal membawa rezeki melimpah ruah kepada peniaga makanan terutama di London.


LONDON - Pihak penganjur Sukan Olimpik kelmarin mengumumkan rancangan menyediakan sejumlah 14 juta hidangan makanan semasa Sukan Olimpik London 2012 sekali gus digelar operasi katering pada waktu aman terbesar di dunia.
Menurut jawatankuasa penganjuran, Jawatankuasa penganjuran Sukan Olimpik London (LOCOG), pilihan makanan itu mencerminkan warisan, kepelbagaian produk dan resipi masyarakat Britain. Selain itu, ia juga memastikan menu-menu yang disediakan beretika dan mesra alam.
Satu menu ringkas seperti pai dan kentang lenyek tradisional Britain serta sepinggan hidangan fish & chips masing-masing dijual pada harga AS$12.50 (RM39.78).
Minuman bir akan dijual pada harga AS$6.50 (RM20.68), sebotol air mineral ditetapkan pada harga AS$2.50 (RM7.96) dan sebotol Coca-cola berharga AS$3.60 (RM11.46).
Pihak penganjur menyatakan harga makanan dan minuman untuk sebuah keluarga yang terdiri daripada empat orang ditetapkan tidak lebih AS$62 (RM197).
"Kami sedaya upaya cuba mencari kualiti terbaik dan makanan yang enak bagi meraikan Britain.
"Kami percaya tawaran harga ini lebih berpatutan berbanding di temasya-temasya sukan besar lain," kata Ketua Eksekutif LOCOG, Paul Deighton.
Menurut LOCOG, pelbagai hidangan asli seluruh dunia seperti dari Asia, Afrika, kepulauan Caribbean dan kawasan laut Mediterranean juga akan ditawarkan.
Dalam pada itu, sejumlah 1.2 juta hidangan akan disediakan kepada para atlet di Perkampungan Olimpik. - Agensi

Kempen Romney malu besar salah eja America



APLIKASI 'With Mitt' untuk telefon pintar iPhone yang tersalah eja perkataan 'America' menjadi 'Amercia'.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - White House berharap calon presiden AS yang akan mewakili Parti Republikan, Mitt Romney lebih berhati-hati menggunakan slogan kempennya.
Ia ekoran satu aplikasi untuk telefon pintar iPhone, 'With Mitt' yang diperkenalkan oleh pasukan kempen Romney membuat kesalahan ejaan yang serius.
Masalah timbul apabila salah satu slogan itu mempunyai kesilapan bodoh dengan ucapan "A Better Amercia" dan bukannya "A Better America".
Kesalahan ejaan tersebut kemudian tersebar di laman sosial Twitter lewat Selasa lalu dan orang ramai mula mengejek dengan menunjukkan mesej 'Amercia'.
"Beberapa orang pereka aplikasi itu akan diikat di dalam sebuah sangkar, diletakkan di atas bumbung kereta dan diarak ke seluruh negara malam ini," kata seorang pengguna Twitter.
Aplikasi 'With Mitt' turut dipromosikan di laman web rasmi kempen Romney di mittromney.com.
"Kesilapan berlaku. Saya tidak fikir para pengundi peduli dengan kesalahan ejaan seperti itu," kata jurucakap kempen Romney, Andrea Saul kepada stesen televisyen MSNBC.
Tambahnya, versi kemaskini aplikasi itu telah dihantar kepada Apple Inc bagi membetulkan ejaan tersebut. - AFP

Lelaki bunuh 5 orang tembak diri sendiri


GAMBAR yang disiarkan pihak polis menunjukkan suspek kes tembakan rambang (kiri) memasuki sebuah kafe di Seattle kelmarin.

SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seorang lelaki bersenjata membunuh lima orang dalam satu insiden tembakan di bandar raya ini kelmarin.

Lelaki berkenaan menembak mati empat orang di sebuah kafe di sini, sementara seorang lagi mangsa dalam satu kejadian rampasan kereta. Dia kemudian menembak dirinya sendiri selepas dikepung oleh pasukan polis.

Seorang jurucakap hospital, Susan Gregg berkata, suspek meninggal dunia di Pusat Perubatan Harborview lewat kelmarin.

Polis yang melancarkan operasi memburu suspek di sekitar kafe berkenaan, dekat Universiti Washington, bergegas ke lokasi kejadian selepas mereka dikejutkan dengan satu lagi kejadian tembakan.

Polis berkata, seorang lelaki membunuh seorang wanita yang menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan merampas kereta mangsa.

Menurut polis, mereka percaya lelaki yang sama bertanggungjawab melakukan kedua-dua serangan kejam itu.

“Ketika itu, kami yakin akan dapat menangkap suspek,” kata Timbalan Ketua Polis Seattle, Nick Metz.

Menurutnya, suspek memandu SUV berkenaan ke bahagian barat Seattle, sebelum meninggalkan kenderaan tersebut.

Selepas polis menemui kenderaan curi itu, mereka mengadakan operasi besar-besaran untuk memburu suspek di sekitar lokasi berkenaan.

Suspek yang ditemui tidak lama kemudian bertindak mengacukan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan pada kepalanya.

Akhbar Seattle Times melaporkan bahawa suspek ialah penduduk tempatan yang dikenali sebagai Ian Lee Stawicki, 40, berdasarkan sumber pihak berkuasa.

Seorang lelaki, Andrew Stawicki, 29, memberitahu akhbar tempatan, Times bahawa penyerang tersebut ialah abangnya, Ian yang mengalami sakit mental.

“Saya tidak terkejut dengan kejadian ini. Kami sekeluarga sudah menjangka perkara seperti ini akan berlaku. Perkara tidak baik akan berlaku apabila diri anda penuh dengan kemarahan,” kata Andrew.

– Agensi