Gambar bertarikh 12 Oktober lalu, menunjukkan beberapa penduduk Rohingya Islam berjalan di dalam kawasan Aung Mingalar yang dikelilingi pagar berduri di Sittwe, Rakhine, barat Myanmar. - AFP |
Kehidupan golongan minoriti beragama Islam yang terdiri daripada berpuluh-puluh keluarga itu kini tidak ubah seperti berada dalam 'penjara' di sebuah kawasan penempatan seluas 0.5 kilometer persegi yang dipagari buluh serta pagar berduri.
Sesetengah penduduk yang ingin keluar dari kawasan penempatan berpagar yang terletak di Aung Mingalar itu, bertindak menutup wajah mereka agar tidak dikenali, namun kebanyakan mereka terkurung di kawasan tersebut selama kira-kira empat bulan.
"Pagar buluh itu ibarat sekatan psikologi, melambangkan ketakutan yang memisahkan dua dunia," kata ketua Projek Arakan yang memperjuangkan hak Rohingya Islam, Chris Lewa.
Sambil menyamakan sekatan itu dengan dasar Apartheid di Afrika Selatan sekitar 1980-an, beliau mendakwa keadaan di Aung Mingalar lebih teruk daripada itu kerana penduduknya tidak boleh keluar dari kediaman mereka.
Selain terkurung, penduduk di situ juga sukar mendapatkan keperluan asas berikutan kedai-kedai yang beroperasi di situ ditutup sejak konflik itu meletus.
Bekalan makanan terutama beras, hanya diperoleh melalui bantuan pihak berkuasa dan penduduk Buddha tempatan yang bersimpati, namun masih belum mencukupi.
Beberapa pihak turut mendesak agar kawasan penempatan itu dipindahkan.
Pemimpin pertubuhan sami Buddha, Nya Na berkata, sekiranya penempatan itu masih kekal di tengah bandar Sittwe, masalah akan menjadi semakin runcing.
"Saya tidak mahu melihat kedua-dua komuniti bergaduh, namun seandainya minoriti Rohingya Islam terus tinggal di situ, risiko tetap akan berlarutan," katanya.
Seorang pemuda Rohingya, Mohamed Said menggambarkan kehidupan di padang pasir Sahara jauh lebih baik daripada situasi yang berlaku di kawasan tempat tinggalnya.
"Kami tidak mampu bertahan lagi. Kami hilang segala-galanya termasuk kehidupan. Kami juga manusia," katanya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_02/Etnik-Rohingya-terkurung-di-Rakhine#ixzz29uHHN6OI
© Utusan Melayu (M) Bhd