Pages

Monday, May 28, 2012

Remaja genius rungkai teori fizik sukar


DRESDEN, Jerman 27 Mei - Seorang pelajar sekolah berusia 16 tahun berjaya merungkai pengiraan sukar yang dicipta oleh saintis terulung, Isaac Newton, setelah ia gagal diselesaikan pakar selama lebih 350 tahun.
Shouryya Ray (gambar), dari sebuah sekolah di sini, berjaya menemui dua teori asas dinamik partikel yang hanya boleh dihitung ahli fizik sebelum ini menggunakan komputer berkeupayaan tinggi.
Penyelesaiannya itu bermakna, para saintis kini boleh mengira arah laluan bola yang sedang dilempar dan meramal bagaimana ia akan menghentam dinding serta melantun kembali.
Remaja itu menyelesaikan masalah rumit berkenaan semasa dia menyertai lawatan sekolahnya ke Universiti Dresden apabila para profesor di situ mendakwa mereka berdepan jalan buntu.
“Saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa tidak boleh. Saya percaya ia mesti ada penyelesaian," katanya yang berasal dari Kolkata, India.
Pelajar pintar yang merendah diri itu dikatakan mula menyelesaikan soalan pengiraan sukar ketika berusia enam tahun, namun enggan mengaku dia seorang yang genius.
Ketika kecil, bapa Ray, seorang jurutera mula menguji kepintarannya dengan memberinya menyelesaikan masalah aritmetik.
“Masih terdapat banyak perkara yang saya tidak mampu lakukan. Contohnya bermain bola sepak dan aktif dalam sukan," katanya.
Ray tiba di Jerman empat tahun lalu dan pelajar tersebut langsung tidak boleh berbahasa tempatan, namun kini dia sudah menguasainya.
Kebijaksanaannya terserlah dalam kelas dan dengan pencapaiannya itu, dia ‘melompat’ dua kelas berbanding yang sepatutnya. - AGENSI

Pembunuhan di Syria dikutuk


Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Shaam News Network, menunjukkan mayat seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki diletak di atas sebuah kenderaan pemantau PBB di bandar Houla, kelmarin. - AFP
KUWAIT CITY 27 Mei - Menteri-Menteri Luar Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar berhubung pembunuhan beramai-ramai seramai 92 rakyat Syria termasuk 32 kanak-kanak oleh tentera rejim yang disahkan pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Presiden semasa blok itu, Kuwait hari ini.
"Kuwait akan menghubungi anggota Liga Arab untuk mengadakan satu mesyuarat tergempar bagi mengkaji situasi dan mengambil langkah-langkah bagi menamatkan penindasan ke atas rakyat Syria,'' kata kementerian luar Liga dalam satu kenyataan yang dipetik agensi beritaKUNA.
Pada masa sama, Kuwait turut mendekati peringkat serantau dan antarabangsa 'bagi mendesak masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab untuk menghentikan pertumpahan darah' di Syria.
Semalam, PBB mengesahkan dakwaan aktivis hak asasi Syria bahawa seramai 92 orang termasuk 32 kanak-kanak terbunuh dalam serangan ke atas bandar Houla, dipercayai dilakukan tentera kerajaan.
Ketua pemerhati PBB di Syria, Robert Mood menyifatkan peristiwa itu sebagai 'tragedi kejam' selepas anggota pertubuhan melawat bandar berkenaan bagi menilai sendiri situasi di situ.
Lawatan itu dibuat selepas laporan aktivis mendakwa lebih 100 orang terbunuh sewaktu tentera kerajaan menyerang hebat kawasan tersebut pada Jumaat malam lalu.
Menurut aktivis Syria, insiden letupan dan tembakan kedengaran di Houla, 200 kilometer dari utara Damsyik sejurus pasukan pemerhati tiba di bandar itu.
Pembunuhan beramai-ramai itu merupakan satu daripada kejadian terburuk berlaku di Syria selepas 15 bulan kebangkitan rakyat negara tersebut menentang kerajaan.
Tentera Pembebasan Syria (FSA) dalam pada itu menggesa PBB melaksanakan tanggungjawabnya dan menghentikan keganasan di Syria kerana jika tidak, pertubuhan itu akan gagal melaksanakan gencatan senjata yang dianjurkan Duta PBB-Liga Arab, Kofi Annan.
Annan dan Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dalam kenyataan berasingan dari Geneva dan New York turut mengutuk pembunuhan itu.
"Jenayah yang mengerikan dan kejam melibatkan penggunaan tentera secara sembarangan dan tidak seimbang ini adalah melanggari undang-undang antarabangsa secara terang-terangan serta komitmen kerajaan Syria untuk tidak menggunakan senjata berat di penempatan penduduk dan melakukan keganasan dalam sebarang bentuk.
"Mereka yang melakukan jenayah ini perlu bertanggungjawab,'' kata kedua-dua pemimpin itu sambil menyeru Presiden Bashar al-Assad supaya menghentikan penggunaan senjata berat dan keganasan di seluruh negara. - AFP/DPA

Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar

Misteri lembaga wanita dalam kereta Sinar - Utara - Sinar Harian:

misteri lembaga
Kelihatan imej lembaga berkenaan yang tertera di cermin belakang kereta.
Imej lembaga wanita dari jarak dekat.
Imej lembaga wanita dari jarak dekat.
KULIM - “Cepat, baca surah Yasin!, ada benda sebelah aku ni,” jerit seorang rakan yang berada dalam kereta Perodua Kancil Sinar Harian cemas apabila merasakan ada lembaga wanita duduk di sebelahnya di bahagian tempat duduk kerusi belakang.

Kejadian itu berlaku Khamis lalu apabila wartawan Sinar Harian bersama seorang anggota polis berpangkat koperal dan seorang rakan melalui jalan Bukit Lengkok kira-kira jam 4 pagi, Khamis lalu.

Ketika melalui di satu selekoh dalam keadaan hujan lebat, semua mereka ternampak batu nisan setinggi setengah meter di tepi jalan tetapi masing-masing hanya diam dan tidak mengendahkannya.

Keadaan mula cemas apabila rakan mereka itu menjerit meminta membaca surah Yasin dengan segera.

Bagaimanapun, anggota polis cuba menenangkannya dan membaca beberapa potong ayat al-Quran barulah rakannya itu tenang dan perjalanan pun diteruskan.

Setelah melepasi jalan Sungai Lengkok mereka kemudiannya berhenti di tepi Jalan Air Merah dan mula membuka cerita mengenai batu nisan tadi. Ternyata, mereka semua mengaku ternampak imej batu nisan yang dimaksudkan.

Bagaimanapun misteri terbabit tidak berhenti di situ saja apabila kelmarin kira-kira jam 12.30 pagi, seorang rakan wartawan terbabit telah merakam gambar kereta Kancil berkenaan dan mendapati ada imej lembaga wanita berambut panjang di dalamnya dan dipercayai lembaga itu hilang selepas azan Subuh berkumandang.

Sementara itu. seorang pemandu van kilang yang tinggal di Taman Selasih dan tidak mahu dikenali berkata, kejadian seumpama itu sering berlaku di Jalan Bukit Lengkok.

Menurutnya, beberapa tahun lalu polis ada menemui mayat seorang wanita dipercayai dibunuh dan mayatnya dibuang ke dalam gaung berhampiran.

“Ramai pengguna jalan itu menjadi mangsa gangguan lembaga berkenaan. Lembaga itu pernah duduk di belakang penunggang motosikal, saya juga pernah nampak lembaga itu berada di atas bumbung kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Sememangnya jalan itu tidak dilalui oleh kenderaan pada lewat pagi terutama ketika hujan renyai atau lebat,” katanya.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim juga tidak menafikan kewujudan lembaga itu yang sering mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan Bukit Lengkok menjelang lewat pagi.

“Jalan itu tidak sesuai digunakan pada waktu Subuh terutama ketika hujan. Ini kerana terlalu banyak kejadian kemalangan berlaku di sekitar kawasan itu disebabkan keadaan jalan di situ sempit dan bengkang-bengkok.

"Saya menasihatkan pengguna supaya menggunakan lebuh raya Butterworth Kulim Express (BKE) untuk pergi ke Pekan Kulim dan jangan mengunakan jalan Bukit Lengkok sebagai jalan pintas walaupun ia lebih dekat,” katanya.

Konflik Syria: 32 kanak-kanak antara 90 maut

Konflik Syria: 32 kanak-kanak antara 90 maut
Sebahagian jenazah 90 orang termasuk 32 kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan, dipercayai dilakukan oleh tentera kerajaan Syria kelmarin. – Foto ihsan CNN
DAMSYIK - Pasukan pemantau Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan sekurang-kurangya 90 orang terbunuh termasuk 32 kanak-kanak dalam serangan pasukan keselamatan Syria ke atas bandar Houla kelmarin.

Ketua misi PBB, Mejar Jeneral Robert Mood menyifatkan insiden itu sebagai tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Ia disifatkan sebagai serangan paling buruk dalam satu-satu kawasan sejak kebangkitan rakyat ke atas Presiden Syria Bashar al-Assad pada Mac 2011.

Utusan Khas PBB dan Liga Arab, Kofi Annan juga mengecam kejadian itu.

"Sesiapa yang memulakan tindakan ini, sesiapa yang bertanggungjawab dan sesiapa sahaja yang mengambil bahagian dalam tindakan ganas ini harus dipertanggungjawabkan," kata Mood dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam.

Kenyataan itu berkata 32 kanak-kanak yang terbunuh berusia bawah 10 tahun.

Keadaan yang membawa kepada tragedi itu masih belum jelas.

Pemimpin-pemimpin kumpulan yang menentang kepimpinan Bashar mendakwa pelan damai yang diusahakan oleh PBB dan Liga Arab telah gagal.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton juga mengecam pembunuhan di Houla.

Lt Bassim al-Khaled, jurucakap Gerakan Syria Bebas berkata, lebih banyak kejadian seumpama itu akan menyusul.

Katanya, kerajaan Bashar menggunakan gencatan senjata dan pelan damai untuk membunuh lebih ramai orang dan mematikan kebangkitan rakyat.

"Jadi, satu bahasa yang rejim ini boleh faham ialah menerusi penggunaan senjata. Tunggu dan lihat, kami akan memastikan mereka akan bayar bagi setiap titik darah," kata Bassim dipetik CNN.

Iran akan bina loji nuklear baru

TEHERAN: Iran akan membina loji nuklear baru di sebelah satu-satunya logi yang dimiliki di bandar Bushehr, di selatan negara itu, seawal 2014.
“Iran akan membina loji tenaga nuklear 1,000 megawatt di Busher tahun depan,” lapor televisyen negara itu, memetik kata-kata Ketua Agensi Tenaga Atomnya, Fereydoon Abbasi Davani.

Beliau merujuk kepada kalendar tahunan Iran yang bermula pada Mac 2013 hingga Mac 2014.
Loji nuklear yang ada sekarang dibina oleh jurutera Jerman pada 1970-an, sebelum revolusi Islam dan diselesaikan oleh Russia yang masih membantu loji berkenaan berfungsi selain membekalkan bahan pembakar untuknya.

Iran juga memiliki sebuah pusat kajian reaktor di Teheran yang digunakan untuk menghasilkan isotop perubatan bagi pesakit yang menghidap barah dan penyakit lain.

Loji baru di Bushehr itu akan meningkatkan pengeluaran elektrik di Iran, antara negara paling banyak simpanan minyak di dunia.
Televisyen Iran mengumumkan rancangan berkenaan selepas rundingan antara negara itu dengan kuasa besar dunia di Baghdad pada Rabu dan Khamis lalu yang memberikan tumpuan terhadap program kontroversi nuklear Teheran.

Rundingan itu hampir gagal kerana perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak. Bagaimanapun, perjanjian akhirnyua dicapai untuk mengadakan rundingan selanjutnya pada 18 hingga 19 Jun di Moscow.
Iran menegaskan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan dan mengeluarkan tenaga serta isotop perubatan.

Kuasa dunia - Britain, China, Perancis, Russia, Amerika Styarikat serta Jerman mendakwa program Iran juga mempunyai rancangan untuk mengeluarkan senjata nuklear dan menyokong ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menggesa Iran mengehadkan aktiviti pengayaan uraniumnya. - AFP

Lelaki bogel kunyah muka

MIAMI: Seorang anggota polis Miami menembak mati lelaki bogel yang mengunyah muka seorang lelaki lain di jalan susur keluar jalan tambak di bandar itu, kata polis dan saksi.
Akhbar Miami Herald melaporkan, bunyi tembakan didengar kira-kira jam 2 petang di susur keluar tambak MacArthur, dekat dengan pejabat akhbar itu. 
Saksi berkata, seorang wanita terlihat dua lelaki bergaduh lalu menahan seorang pegawai polis yang tiba di tempat kejadian ketika lelaki bogel itu menyerang seorang lagi lelaki.

Akhbar itu memetik saksi berkata, pegawai polis mengarahkan lelaki bogel itu berundur tetapi tidak diendahkan lalu pegawai polis melepaskan tembakan.

Saksi berkata, lelaki bogel terus menyerang lelaki itu walaupun ditembak sekali dan pegawai polis itu melepaskan beberapa tembakan lagi.

Polis berkata, lelaki yang diserang itu dibawa ke Pusat Trauma Hospital Memorial Ryder. - AP 

Bekas pegawai Parti Komunis dituduh perkosa 10 remaja

BEIJING: Polis menahan bekas pegawai Parti Komunis kerana disyaki memperkosa sekurang-kurangnya 10 gadis bawah umur, kata pihak berkuasa dalam satu kes yang menyebabkan kemarahan di Internet.
Kenyataan pihak berkuasa berkata, bekas Timbalan Pengarah Jawatankuasa parti itu di bandar Yongcheng, wilayah Henan, Li Xingong, ditahan atas serangan seksual terhadap gadis bawah umur 18 tahun. 
Katanya, “Kes itu akan disiasat dengan serius tanpa kelonggaran dan mengikut undang-undang. Siasatan sedang dijalankan dan pengumuman akan dibuat sebaik saja ada kemajuan.”

Berita itu menyebabkan pengguna web China marah dan semakin ramai berani menyuarakan kemarahan mereka atas salah laku dibuat oleh pegawai parti pemerintah, Parti Komunis. - AFP

Polis disangka pencuri dibelasah sampai mati

LA PAZ (Bolivia): Sekumpulan penduduk di kawasan miskin di Bolivia yang marah, tersalah anggap seorang anggota polis mabuk sebagai pencuri dan memukulnya hingga mati.
Rosmery Guarachi, adik kepada anggota polis Rolando Guarachi, 33 memberitahu stesen televisyen ATB, semalam, “Orang ramai tersalah anggap dia sebagai penyeluk saku sebelum mengelilinginya. Mereka membunuhnya dan saya mahukan keadilan.” 
Rosmery berkata, Guarachi, seorang anggota polis kastam berpangkat sarjan, berpakaian preman, mabuk apabila tersalah masuk ke sekolah yang disangka rumahnya, dan menyebabkan pengawal awam mengeluarkan amaran kepada penduduk, ada pencuri di kawasan mereka.

Katanya, dia dipukul selama dua jam di dataran awam di kawasan Achacicala.

Polis menahan empat suspek. - AFP

Lapan tahun dilayan seperti haiwan

SARAJEVO: Polis menangkap sepasang warga Bosnia kerana didakwa menjadikan seorang gadis Jerman berusia 19 tahun sebagai hamba dan mengurungnya sejak lapan tahun lalu.
Pasangan berkenaan ditahan minggu lalu berikutan laporan bahawa gadis itu dikurung, didera dan diasingkan daripada orang ramai selama beberapa tahun.

“Mereka mengurungnya, tidak membenarkan dia berhubung dengan orang lain atau membenarkannya ke sekolah. Mangsa dilayani di luar peri kemanusiaan,” kata jurucakap polis, Admir Arnautovic kepada televisyen FTV.
Pasangan berkenaan, Milenko dan Slavojka Marinkovic ditangkap di kediaman mereka di Karavlasi, barat laut Tuzla.

Seorang jiran, Sead Makalic berkata, dia pernah melihat pasangan itu mendera gadis Jerman berkenaan seperti haiwan, memaksanya memakan makanan babi dan menarik kereta kuda ketika kedua-duanya duduk di atas.

Gadis itu yang kini mendapat perlindungan di pusat mangsa keganasan rumah tangga di Tuzla dikatakan tiba di Bosnia dari Jerman lapan tahun lalu bersama-sama ibunya yang hanya dikenali sebagai Kristina.
Kristina berada di situ untuk berkahwin dengan Milenko Marinkovic bagi membantunya mendapatkan permit pemastautin di Jerman.

Menurut laporan media, si ibu berada di kampung berkenaan ketika pasangan terbabit ditangkap Beberapa akhbar tempatan turut melaporkan dakwaan beberapa rakan dan keluarga yang melawat rumah pasangan itu mengenai pencabulan seks. Mereka mendakwa mendengar gadis itu menjerit dan menangis. - AFP

Priscilla wanita genius

PRISCILLA dan Zuckerberg pada hari perkahwinan mereka, baru-baru ini.
PRISCILLA dan Zuckerberg pada hari perkahwinan mereka, baru-baru ini.
PALO ALTO: Ketika Priscilla Chan melangsungkan perkahwinannya dengan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg minggu lalu, dia kelihatan seperti pengantin perempuan dalam cerita pari-pari.
Dengan memakai gaun panjang putih, Priscilla, 27, tersenyum ketika bertukar ikrar dengan Zuckerberg, 28, yang bernilai RM60 bilion, dalam satu majlis yang diadakan secara mengejut.

Transformasinya kepada isteri bilionair paling muda dunia, bagaimanapun lebih menakjubkan daripada yang boleh dilihat memandangkan Priscilla ialah anak kepada lelaki keturunan Cina-Vietnam yang tiba di Amerika Syarikat bersama keluarganya pada 70-an selepas menghabiskan masa di sebuah kem pelarian.
   
  • FotoGAMBAR Priscilla (kiri) dari majalah Sekolah Menengah Quincy, Boston.
  • FotoRESTORAN keluarga Priscilla di Boston dikenali sebagai Taste of Asia, kini Pho & I.
Bapanya, Dennis Chan, 47, kemudian mengumpul wang secukupnya untuk membuka sebuah restoran makanan Cina dan bekerja keras selama 18 jam sehari untuk mencapai cita-cita melihat anak sulungnya itu menjalani kehidupan yang menjadi impian setiap warga Amerika.

Priscilla dibesarkan oleh neneknya kerana ibunya, Yvonne juga menghabiskan masa yang panjang setiap hari dengan bekerja di restoran Taste of Asia di Boston.

Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Quincy, Priscilla terserlah sebagai pelajar pintar dan yakin untuk pergi lebih jauh.
Guru sainsnya, Peter Swanson, 66, yang juga jurulatih tenisnya berkata: “Dia datang kepada saya pada tahun pertamanya, ketika dia berusia 13 tahun dan bertanya: ‘Apa yang perlu saya lakukan untuk memasuki Universiti Harvard?’” “Saya terkejut.

Sepanjang hidup saya mengajar, tidak pernah ada pelajar 13 tahun bertanya soalan seperti itu.
“Dia tahu apa yang diinginkannya.

Saya menggalakkan dia menyertai pasukan tenis kerana saya tahu Harvard memerlukan dia memiliki resume yang bersifat menyeluruh.

“Dia dibesarkan oleh neneknya berbangsa Cina yang langsung tidak tahu berbahasa Inggeris. Dia wanita yang mempunyai perwatakan terhormat dan mempengaruhi kehidupan Priscilla.

“Neneknya memberi sokongan emosi. Ibu bapanya bekerja 18 jam sehari di restoran itu.

“Kerana kesungguhannya belajar, Priscilla menduduki tempat teratas dalam kelas pada tahun akhir persekolahannya. Dia memberikan saya baucar makan percuma di restoran keluarganya.

“Adalah jelas mereka datang dari keluarga miskin tetapi bersedia untuk bekerja sepanjang hari bagi mencapai sesuatu dalam kehidupan mereka di Amerika.

“Priscilla mempunyai ciri-ciri itu dalam dirinya.

Dia melakukan apa saja untuk memperoleh resume yang baik dan menarik untuk memasuki Harvard.

“Dan dia menyertai kelab tenis. Walaupun bukan atlit semula jadi, dia bekerja keras.

Apabila berjaya diterima ke Harvard, dia berlari ke arah saya dengan senyuman yang lebar dan berkata: “Saya sudah memberitahu anda saya akan ke Harvard!” Swanson mengunjungi Priscilla dan Zuckerberg di kediaman mereka berharga RM17.5 juta di Palo Alto, California tahun lalu.

“Zuckerberg berada di meja dapur dengan komputernya.

Priscilla memperkenalkan kami dan Zuckerberg berkata: ‘Di belakang lelaki yang hebat ialah wanita yang hebat.’ “Orang ramai bercakap mengenai betapa beruntungnya Priscilla dapat mengahwini Zuckerberg.

Tetapi bagi Zuckerberg, dia tahu dia yang bernasib baik.

Menurut biografi rasmi Priscilla, dia belajar di Sekolah Menengah Quincy sebelum belajar biologi di Harvard.

Dia berkenalan dengan Zuckerberg ketika mereka beratur untuk ke tandas ketika satu majlis pada 2003.

Zuckerberg bagaimanapun gagal menamatkan pengajiannya selepas mengasaskan Facebook dalam bilik asramanya. - DM

Bukti kukuh dakwa cucu Suharto

JAKARTA: Polis berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh terhadap ahli perniagaan, Ari Sigit, cucu kepada bekas Presiden Suharto yang dituduh melakukan penyelewengan dan penipuan berjumlah Rp 2.5 bilion (RM810,000). 

Ari, yang nama sebenarnya Ari Haryo Wibowo Hardjojudanto, disoal siasat Rabu lalu sebagai suspek yang dikaitkan dengan projek cari gali yang gagal di Cilegon, Banten, seliaan Krakatau Wajatama, anak syarikat Krakatau Steel.
Syarikat yang disertai Ari sebagai pesuruhjaya, Dinamika Daya Andalan (DDA), terbabit dalam projek berkenaan sebagai subkontraktor tetapi kerja tidak pernah dijalankan di sebalik bayaran pendahuluan sebanyak Rp 2.5 bilion yang diberikan oleh kontraktor utama, Rido Adi Sentosa (RAS).
“Kami ada saksi mendakwa Ari Sigit mendapat keuntungan daripada wang itu,” kata pengarah jenayah Polis Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Toni Hermanto. 

Toni berkata, polis memperoleh gambar yang diambil apabila bayaran diberikan kepada DDA. 

“Lima orang dalam gambar berkenaan dinamakan sebagai suspek dan semuanya ketika wang bertukar tangan,” katanya. 

Ari dinamakan suspek bersama-sama beberapa pesuruhjaya DDA lain iaitu Basaruddin, Sunarno Hadi, Asrullah Arief dan Sir John. 
Peguam Ari, Bontor Tobing, berkata hujah tertumpu kepada laporan polis oleh pengarah RAS, Sutrisno. 

“Tiada bukti Ari Sigit menerima sebarang duit dibayar oleh Sutrisno kepada Sunarno Hadi,” katanya. 

Beliau berkata, DDA diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Komersil Jakarta Tengah sebelum RAS melaporkannya kepada polis. Disebabkan itu, kata Bontor, RAS sepatutnya meminta wang itu dikembalikan menerusi perbincangan dengan kurator DDA dan tidak memfailkan aduan jenayah. 

Kurator, Paulis Pase, berkata sebagai pesuruhjaya syarikat, Ari tidak perlu mengetahui semua projek yang dijalankan syarikat. – Agensi

Desakan kira semula undi

KAHERAH: Calon pilihan raya Presiden Mesir yang menduduki tempat ketiga Hamdeen Sabahi, 58, mendesak pengiraan semula sebahagian undi, sambil mendakwa wujud salah laku yang menyebabkan keputusan berubah. 

Pengurus kempen pilihan raya Sabahi, Hossam Mounis berkata pihaknya menerima klip video yang dikirim penyokong, menunjukkan wujud salah laku dalam pengundian pada 23 dan 24 Mei lalu.
Sabahi, yang dianggap wira golongan miskin, berada di tempat ketiga dengan kelebihan 700,000 undian, menyebabkan beliau terkeluar daripada undian pusingan kedua yang akan diadakan pada 16 dan 17 Jun ini.
“Kami sedang menunggu keputusan rasmi. Kami akan berusaha untuk bertanding pada pusingan kedua untuk memenuhi matlamat yang ingin dicapai,” katanya kepada kira-kira 3,000 penyokong beliau yang berhimpun di luar ibu pejabat partinya di Giza. 

Sabahi memperoleh 21.5 peratus undian, diikuti Abolfotoh, tokoh sederhana Islam yang berpisah dengan Ikhwanl Muslimin. 

Ramai rakyat Mesir kecewa dengan keputusan awal, yang memperlihatkan pilihan raya seolah-olah seperti kembali kepada era bekas Presiden Hosni Mubarak iaitu pertembungan antara tokoh berakar umbi tentera menjanjikan kekuatan untuk memastikan kestabilan dan tokoh Islam yang ditindas ketika rejim lama tetapi menjadi parti politik berpengaruh selepas revolusi Mesir. 

Setiap calon mempunyai penyokong kuat tetapi juga dibenci oleh sebahagian rakyat lain. 
Dua calon yang menang dalam pusingan pertama pilihan raya presiden Mesir Ahmad Shafiq dan Mohammed Morsi bagaimanapun sudah memulakan kempen merayu sokongan pengundi yang menolak mereka ketika berdepan cabaran baru daripada calon ketiga yang mencabar keputusan awal. 

Shafiq, kelmarin berikrar tidak akan menghidupkan semula rejim kuku besi lama ketika berusaha mengikis imejnya sebagai tokoh antirevolusi manakala calon Ikhwanul Muslimin, Morsi, mendekati kalangan yang bimbang dengan pemerintahan Islam dan kebangkitan negara beragama. 

Banyak undi boleh diperoleh tetapi kedua-dua calon perlu bersaing hebat mengambil hati pengundi kelas pertengahan di tengah desakan aktivis supaya memulaukan undian yang memecah belahkan rakyat. – AP

Kebakaran hutan AS merebak

ASAP berkepul di kawasan kebakaran di Hutan Gila di New Mexico. Kebakaran hutan kini melanda enam negeri di Amerika Syarikat.

ASAP berkepul di kawasan kebakaran di Hutan Gila di New Mexico. Kebakaran hutan kini melanda enam negeri di Amerika Syarikat.
SANTA FE: Kebakaran hutan melanda enam negeri di Amerika Syarikat sejak empat hari lalu, sudah memusnahkan kawasan seluas lebih 520 kilometer persegi dengan keadaan di wilayah pergunungan di barat daya New Mexico dilaporkan semakin tidak terkawal.

Usaha mencegah kebakaran daripada terus merebak di kawasan yang tidak ramai penduduk di Arizona, Colorado, Michigan, Nevada, New Mexico dan Utah terjejas akibat angin kencang dan keadaan kering lewat musim bunga.
Beberapa bandar kecil termasuk bandar perlombongan bersejarah Wild West di Mogollan, kini sunyi sepi, apabila beratus-ratus penduduk diarahkan berpindah apabila kebakaran semakin merebak.
Kebakaran Kompleks Whitewater-Baldy New Mexico, yang bermula akibat dipanah petir 10 hari lalu, merebak ke seluruh kawasan seluas 33,286 hektar hingga Jumaat lalu dan pihak berkuasa berkata kawasan yang terjejas mungkin lebih besar daripada yang dianggarkan.

“Kita tahu keadaan semakin serius sejak semalam malangnya kami tidak memiliki angka sebenar,” kata Pegawai Maklumat Kebakaran, Dan Ware. 
Beliau berkata, lebih 580 anggota bomba dan kakitangan sokongan kini bertungkus-lumus memadam kebakaran.

“Ini adalah kebakaran terbesar dari segi saiz setakat ini, jadi kami boleh mendapat semua bentuk bantuan yang diperlukan, malangnya kami tidak pasti sama ada dapat memadamkan kebakaran menggunakan kapal terbang,” katanya.
Beliau berkata anggota bomba sukar untuk sampai ke lokasi kebakaran berikutan ia berlaku di kawasan yang sangat curam, berbatu dan tidak dapat dilalui, selain tidak dapat mencari jalan pintas.

“Kebakaran yang berlaku sangat besar, sehingga menyebabkan kami terpaksa mengundurkan pasukan bomba. Kami menjangka satu lagi hari seperti hari ini. 

“Dengan angin kencang dan kelembapan rendah ada potensi besar untuk kebakaran menjadi semakin tidak terkawal,” katanya.

Asap daripada kebakaran di New Mexico merebak ke utara ke kawasan metropolitan Denver kelmarin, ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran berasingan di sempadan Utah-Colorado.

“Kebakaran seluas 1,133 hektar berlaku di kawasan terpencil berhampiran Paradox, Colorado, manakala di utara Michigan, hutan yang terbakar sudah mencapai 4,600 hektar, ” kata jurucakap Perkhidmatan Hutan Amerika, Steve Segin.

Katanya hanya ada beberapa ladang terpencil di kawasan itu dan tiada struktur yang hilang setakat ini, walaupun kebakaran akibat angin amat besar, 
Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan menyatakan kebanyakan kawasan di barat Colorado diletakkan di bawah amaran ‘bendera merah’ untuk kebakaran hutan akibat suhu panas, kelembapan rendah dan angin kencang. – Reuters

Konsert Lady Gaga di Indonesia dibatal



PENUNJUK perasaan berarak memprotes konsert Lady Gaga di Jakarta pada Jumaat lalu.


JAKARTA - Konsert Lady Gaga di Indonesia dibatalkan semalam atas sebab keselamatan selepas beberapa kumpulan Islam memberi amaran akan menghuru-harakan keadaan jika bintang pop tersebut memasuki negara Islam berkenaan.
"Keputusan ini dibuat pihak pengurusan Lady Gaga pada saat-saat akhir," kata Minola Sebayang yang merupakan peguam untuk promoter konsert tersebut di Indonesia, Big Daddy.
"Kami membuat keputusan ini selepas mengambil beberapa faktor lain termasuk keselamatan peminat yang akan menonton persembahan Lady Gaga," tambahnya.
Pada awal bulan ini, polis Jakarta enggan meluluskan permit konsert Lady Gaga selepas Barisan Pembela Islam mengancam keganasan akan berlaku jika konsert Lady Gaga diadakan di sini.
Terdahulu, promoter tersebut memberitahu, satu persetujuan diusahakan dengan pihak berkuasa supaya penyanyi lagu Poker Face itu tidak beraksi terlalu seksi ketika beraksi di pentas.
Namun, pihak pengurusan Lady Gaga, 26, atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta enggan melayan permintaan tersebut.
Mengulas keputusan tersebut, Presiden Bid Daddy, Michael Rusli berkata, beliau kesal kerana konsert Lady Gaga yang dijadualkan pada 3 Jun depan di sini terpaksa dibatalkan.
"Sejak beberapa hari lalu, kami berbincang dengan pemerintah dan pihak Lady Gaga. Pembatalan ini sebenarnya tiada kaitan dengan isu permit kerana konsert ini telah diluluskan," kata Rusli.
"Pembatalan ini sebenarnya atas sebab ancaman keselamatan," tambahnya.
Lebih 50,000 tiket telah dijual untuk acara tersebut yang merupakan sebahagian konsert jelajah Born This Way Ball.
Sebelum ini, konsert Lady Gaga berdepan bantahan daripada beberapa kumpulan Kristian di Filipina dan Korea Selatan kerana dianggap tidak bermoral.
Lady Gaga akan mengadakan tiga buah konsert di Singapura pada minggu ini.
Dia dijadual mengadakan persembahan berikutnya di sini sebelum berlepas ke New Zealand dan Australia dan seterusnya Eropah. - AFP

Memorabilia jubli intan laris di Britain



PEMBUAT model, Giorgio Pastero bersama model lego Istana Buckingham yang dibina di taman tema Legoland di London, Khamis lalu.


LONDON - Pasaran cenderahati di Britain kini dipenuhi pelbagai barangan memorabilia sempena sambutan Jubli Intan pemerintahan Ratu Elizabeth II pada 2 hingga 5 Jun depan.
Ratu berkenaan telah menaiki takhta selama 60 tahun.
Pelbagai cenderahati termasuk tin biskut, bekas habuk rokok, cerek dan skaf yang tertera wajah Elizabeth II, 86, dijual kepada orang ramai.
Pengarah peruncitan Koleksi Diraja, Nuala McGourty memberitahu, lebih 30,000 tuala, 15,000 kole logam dan 14,000 kotak simpanan pil telah disambar oleh pembeli menerusi jualan dalam talian.
"Kami menjual sejumlah besar barangan memorabilia ini kepada pelanggan dari Amerika Utara dan Negara-Negara Komanwel," katanya.
Koleksi Diraja merupakan pengeluar rasmi barangan memorabilia bagi sambutan tersebut.
Pusat Penyelidikan Peruncitan Britain meramalkan pengguna akan membelanjakan £307 juta untuk membeli barangan cenderahati sambutan tersebut dan temasya Olimpik di Britain pada musim panas ini.
Sementara itu, taman tema Legoland di sini turut meraikan Jubli Intan Ratu Elizabeth II dengan membina model Istana Buckingham lengkap dengan anggota keluarga diraja Britain serta mahkota bertatah berlian sebenar. - Agensi

Pesta tahunan tangkap kuda liar



SEORANG pemuda cuba menangkap seekor anak kuda liar kelmarin.


DUELMEN, Jerman - Setahun sekali, penduduk di sini mengadakan acara menangkap sejumlah anak kuda liar jantan untuk dijual di pasaran antarabangsa.
Kuda betina pula akan dibiarkan hidup dalam kawanan bagi memastikan kesinambungan hidup spesies berkenaan yang kini terancam.
Adalah dipercayai, kawanan kuda liar terakhir di Eropah hidup di kawasan hutan simpan seluas 350 hektar di sini, barat Jerman.
Sehingga kini, terdapat lebih 350 ekor mamalia tersebut hidup di kawasan berkenaan. - Agensi

Calon dakwa penipuan dalam pilihan raya Mesir



CALON pilihan raya Presiden, Hamdeen Sabahi berucap pada satu sidang media di Kaherah kelmarin.


KAHERAH, Mesir – Tiga calon utama dalam persaingan untuk jawatan Presiden Mesir membuat aduan kepada suruhan jaya pilihan raya kerana mendakwa berlaku penipuan dalam pusingan pertama pilihan raya Presiden di negara berkenaan.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan calon pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin, Mohammed Morsi akan berdepan dengan bekas Perdana Menteri Ahmed Shafiq dalam pusingan penentu pilihan raya tersebut.
Keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Presiden Mesir dijangka diketahui hari ini.
Shafiq yang berada di tempat kedua selepas Morsi mendakwa, undi untuk dirinya di sebuah wilayah tidak dikira pada pilihan raya minggu lalu.
Calon ketiga, Hamdeen Sabahi pula meminta pengiraan semula undi dilakukan selepas beliau berada di kedudukan dengan perbezaan 700,000 undi.
Aduan tersebut difailkan oleh seorang lagi calon pilihan raya Presiden Mesir, Abdel-Moneim Abolfotoh kelmarin.
Abdel-Moneim menduduki tempat keempat dalam pilihan raya berkenaan.
Peguamnya menyatakan, beliau memiliki bukti bahawa undian orang yang telah mati turut dikira dalam pilihan raya itu.
Tarikh akhir untuk aduan difailkan adalah semalam sebelum pusingan penentu diadakan pada 16 dan 17 Jun depan.
Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Presiden Hosni Mubarak pada awal tahun lalu.
Sekitar 50 peratus daripada 50 juta pengundi berdaftar keluar mengundi untuk memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing pada pusingan pertama pilihan raya tersebut. – Agensi

Lebih 13,000 terbunuh di Syria


MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di Houla diletakkan di sebuah hospital sebelum dikebumikan kelmarin.


DAMSYIK - Lebih 13,000 orang terbunuh di Syria sejak kebangkitan menentang pemerintahan Presiden Bashar Al-Assad bermula pada Mac 2011, kata seorang pegawai pertubuhan Pemantauan Rakyat Syria untuk Hak Asasi, Rami Abdel Rahman semalam.
"Secara keseluruhan 13,004 orang terbunuh dengan 9,183 mangsa ialah orang awam," katanya.
Menurutnya, 3,072 yang lain merupakan askar pemerintah manakala 749 terdiri daripada pembelot dalam tentera Syria.
Keganasan di Syria kini semakin memuncak walaupun satu persetujuan gencatan senjata yang diusahakan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkuat kuasa pada 12 April lalu.
"Sejak gencatan senjata dikuatkuasakan, seramai 1,881 telah terbunuh," ujar Abdel Rahman.
Beliau merujuk kepada siri pertempuran yang tercetus antara pemberontak dan tentera Syria serta beberapa serangan bom.
Angka kematian tersebut disiarkan sehari selepas 109 orang, satu pertiga daripada mereka kanak-kanak dibunuh di Houla, dalam wilayah Homs yang menjadi medan pertempuran antara tentera Bashar dan pemberontak.
Tegas Abdel Rahman, masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan konkrit berhubung peningkatan keganasan di Syria.
Ujarnya, pelan damai PBB di bawah kelolaan bekas Setiasuaha Agung badan dunia itu, Kofi Annan adalah terlambat buat penduduk Houla.
"Mengapa pemerhati PBB tidak bergegas ke Houla sebaik sahaja serangan tidak berperikemanusiaan ini diumumkan?" soal Abdel Rahman.
"Jika dunia tidak bertindak selepas pembunuhan beramai-ramai di Houla massacre, ini ternyata satu bencana," tambahnya.
Sementara itu, pihak berkuasa Syria semalam menafikan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Houla kelmarin.
"Wanita, kanak-kanak dan warga tua telah ditembak mati. Kekejaman ini bukan dilakukan oleh tentera Syria," kata jurucakap Kementerian Luar, Jihad Makdesi dalam satu kenyataan di sini.
Menurut PBB, seramai 32 kanak-kanak bawah usia 10 tahun merupakan antara mangsa kekejaman tersebut.
"Kami menafikan sebarang pembabitan tentera Syria dalam pembunuhan kejam ini," tambahnya. - Agensi