MARAK...gudang Sony di utara London terbakar ekoran rusuhan malam semalam. |
Cameron menyifatkan pemandangan bangunan terbakar di London dan beberapa bandar lain negara itu sebagai ‘menyakitkan’ tetapi mengelak daripada mengambil tindakan drastik seperti meminta bantuan tentera untuk membantu polis.
Sebaliknya, beliau berkata, 16,000 anggota polis akan dikerah meronda jalan raya di London, hampir tiga kali ganda berbanding jumlah malam kelmarin.
“Kami akan melakukan apa saja untuk mengembalikan keamanan di jalan raya Britain dan mewujudkan suasana aman bagi penduduk yang mematuhi undang-undang,” kata Cameron kepada wartawan selepas mengadakan mesyuarat dengan jawatan kuasa krisis kerajaan.
Menurutnya, Parlimen akan mula bersidang esok.
Rusuhan, penjarahan dan perbuatan membakar bangunan oleh kumpulan remaja bertopeng melanda sebahagian besar London serta merebak ke bandar lain sejak tiga hari lalu.
Rusuhan itu meragut nyawa mangsa pertama semalam apabila seorang lelaki ditembak dalam sebuah kereta.
Dia mati di hospital, kata polis.
Ahli politik dan polis menyalahkan penjenayah dan penjahat yang mengambil peluang bertanggungjawab terhadap rusuhan berkenaan, yang paling buruk sejak puluhan tahun di Britain.
Bagaimanapun, penduduk di kawasan terbabit dan beberapa pemerhati berkata, kekacauan itu berkait dengan ketegangan tempatan dan rasa marah terhadap masalah ekonomi di kawasan bandar yang jurang antara golongan berada dengan tidak berada semakin luas.
“Kami tidak mempunyai pekerjaan. Kami dengar orang lain memperoleh sesuatu secara percuma. Mengapa tidak kami,” tanya E Nan, pemuda yang berasal dari Hackney, kawasan kediaman pelbagai etnik.
Rusuhan itu mendedahkan keburukan London kepada dunia, kurang setahun sebelum ia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012, acara yang penganjur berharap dapat mempamerkannya sebagai bandar raya dinamik, makmur dan kosmopolitan.
“Ini bukan mengenai kaum, kepercayaan dan kelas semata-mata,” kata Pengarah Eksekutif Institut Kepaduan Masyarakat, Profesor Mike Hardy.
“Ia berkait dengan mereka yang dipinggirkan,” katanya. Polis berkata, mereka menahan 334 orang di London, 100 di Birmingham dan kawasan tengah Britain. - Reuters, bharian
No comments:
Post a Comment