Pages

Tuesday, January 10, 2012

Israel bakal hilang taring


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 10, 2012
Israel bakal hilang taring

TUNIS - Perdana menteri kerajaan Hamas, Ismail Haniyeh, kelmarin berikrar bahawa Israel tidak lagi akan dapat bermaharajalela dan bakal berhadapan hari yang sukar tidak lama lagi atas kezaliman mereka terhadap penduduk Palestin selama ini, dalam satu ucapan di hadapan penyokong parti Islam, Ennahda di Tunisia.

Beliau mengeluarkan kenyataan tegas itu di sebuah stadium di Tunis yang turut dihadiri penyokong revolusi untuk membebaskan penduduk Palestin dari cengkaman Israel.

“Israel tidak lagi mempunyai sekutu kuat di Mesir dan Tunisia. Masa telah berubah mengikut gelombang revolusi kebangkitan rakyat yang sehingga kini gigih berjuang mempertahankan hak dan maruah mereka daripada terus ditindas,” menurutnya.

Dalam satu kenyataan, Haniyeh turut menggesa seluruh rakyat Tunisia berganding bahu membina semula keamanan dan kestabilan di Timur Tengah serta tidak mengiktiraf Israel.

Sementara itu, perdana menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang dilihat seperti takut dengan kebangkitan Palestin telah mengumumkan kerajaan akan menambah 3 bilion shekel (RM2.5 bilion) dalam bajet pertahanan yang dicadangkan Oktober lalu, kononnya selepas menilai tahap ancaman dari negara luar terutamanya Iran.Israel bakal hilang taring - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Beli telefon bimbit, dapat ibu lesung


WARTAWAN SINAR HARIAN
January 10, 2012
Beli

JOHOR BAHRU – Seorang pekerja swasta kecewa apabila tiga unit telefon bimbit bernilai RM3,250 di Internet namun yang diterima hanyalah sebiji ibu lesung, sehari selepas menjelaskan bayaran.

Mangsa, Mohd Ha­i-z­rul Hisham Muhammad Hashim, 30, berkata, dia membuat pembelian selepas melayari sebuah laman web selain tertarik dengan tawaran telefon bimbit jenis Samsung Galaxy S berharga RM1,100 berbanding harga pasaran semasa, RM1,900.
“Saya beli tiga telefon bimbit pada 6 Disember lalu dan buat bayaran ke akaun milik seorang lelaki.
“Tetapi sehari selepas itu, saya terkejut apabila barang dalam bungkusan yang dihantar sebenarnya adalah ibu lesung,” katanya ketika perbicaraan di Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), di sini, semalam.
Mohd Faizrul berkata, dia tidak berpuas hati selepas cuba menghubungi pemilik nombor telefon itu tetapi enggan dijawab dan mendapati syarikat itu tidak wujud.
Presiden TTPM, Quaik Ching Yu dalam penghakimannya menegaskan pihak menuntut perlu memfailkan kes hanya terhadap satu pihak selepas dapati ada masalah pada peringkat penguatkuasaan jika perintah dikeluarkan.
“Penuntut perlu pilih satu pihak untuk fail tuntutan kerana invois dikeluarkan syarikat, manakala duit dimasukkan ke akaun peribadi individu, mereka akan saling menolak,” katanya.
Mohd Haizrul bersetuju menggugurkan tuntutan ke atas syarikat itu dan meneruskan tuntutan terhadap pemilik akaun yang terima pembayaran.
Ching Yu mengarahkan lelaki yang terima bayaran itu memulangkan semula RM3,250 kepada Mohd Haizrul.Beli telefon bimbit, dapat ibu lesung - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gara-gara tak bayar hutang

LELAKI yang terdesak mengancam mengelar tebusannya.
LELAKI yang terdesak mengancam mengelar tebusannya.

BANGKOK: Seorang lelaki mengancam untuk membunuh tebusannya dalam dalam satu kejadian yang berkait dengan kegagalan mangsa membayar hutang.

Kerana kecewa, lelaki bernama Peak itu menahan tebusan terbabit dan meletakkan parang pada lehernya di pinggir Bangkok.


Peak yang menghidap sakit buah pinggang, begitu terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar rawatan atau untuk membeli ubat apabila dia melakukan tindakan drastik itu.

Polis menghabiskan masa 30 minit memujuk lelaki berkenaan yang mendakwa tebusannya tidak membayar wang yang dipinjamkannya dan dia memerlukan wang itu untuk rawatan.


Selepas berjaya mententeramkannya, polis membawa Peak ke balai polis untuk mendakwanya.


Tebusan itu dibebaskan tanpa mengalami kecederaan. - Bangkok PostmyMetro | Gara-gara tak bayar hutang:

'via Blog this'

Lieberman mahu lucut hak Arab Israel

BAITULMAQDIS: Menteri Luar Israel berkata, sesetengah penduduk keturunan Arab di negara itu patut dilucutkan kewarganegaraan dan diletak di bawah Palestin sebagai sebahagian daripada perjanjian akhir damai yang akan dipersetujui.

Avigdor Lieberman membuat kenyataan itu menjelang pertemuan perunding damai Israel dan Palestin di Jordan hari ini.


Bercakap kepada media, Lieberman menegaskan pendiriannya bahawa, konflik dengan Palestin mesti membabitkan aspek persempadanan semula.

Dia juga mahu komuniti Arab ditadbir Palestin dan sebagai ganti, Israel mendapat wilayah Tebing Barat.


“Inilah masanya untuk menyatakan isu ini dengan jelas,” katanya. - APmyMetro | Lieberman mahu lucut hak Arab Israel:

'via Blog this'

Hamas takkan letak senjata: Ismail

TUNIS: Perdana Menteri Hamas di Gaza berkata, militan anti-Israel tidak akan meletak senjata, menyerahkan wilayahnya atau menggugurkan tuntutan ke atas Baitulmaqdis bagi pihak Palestin.

Menurut Ismail Haniyeh, dia menjangkakan Israel berdepan kesukaran untuk bertindak balas terhadap negara Arab yang mengalami kebangkitan rakyat sejak setahun lalu.


Ismail berucap di depan 5,000 penonton dalam perhimpunan anjuran parti an-Nahda yang baru memenangi pilihan raya Tunisia.

Di pintu masuk, orang ramai berjalan dan memijak bendera Israel dan kebanyakannya turut melaungkan slogan antinegara itu. Bagaimanapun, tiada kedengaran jeritan “Bunuh Yahudi” yang menjadi slogan kumpulan konservatif ketika menyambut kedatangan Ismail tiga hari lalu. - APmyMetro | Hamas takkan letak senjata: Ismail:

'via Blog this'

AS gertak Teheran

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan bertindak jika Iran cuba menutup laluan strategik Selat Hormuz di pintu masuk Teluk Parsi, kata Setiausaha Pertahanan negara itu, Leon Panetta, semalam.

Menganggap tindakan Iran itu sebagai “melampaui batas,” Panetta berkata AS tidak bertolak-ansur terhadap cubaan menutup laluan penting berkenaan.


“Itu satu lagi batasan penting dan AS akan bertindak balas,” katanya kepada stesen televisyen CBS, semalam.

Kenyataan itu disokong Ketua Tentera AS, Jeneral Martin Dempsey, yang mendakwa Iran berhajat menutup laluan yang mengangkut 20 peratus dagangan minyak dunia.


“Kami akan bertindak dan membuka semula selat itu,” katanya.


Panetta dan Dempsey dijemput menjadi tetamu program Face the Nation di stesen berkenaan.

Komen itu dibuat ekoran ancaman Teheran menutup laluan berkenaan jika Kesatuan Eropah mengenakan sekatan baru ke atas minyak Iran dalam usaha kempen Barat menekan negara terbabit menghentikan program nuklearnya.


Ketegangan kedua-dua negara menyebabkan harga minyak dunia meningkat lebih AS$100 setong awal minggu ini - sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

Isu tindakan ke atas Iran juga ditimbulkan dalam kempen pemilihan calon Presiden AS, dengan kebanyakan ahli politik Republikan mendakwa Barack Obama terlalu berlembut dengan Teheran.


Kata Panetta, AS tidak yakin Iran aktif membangunkan senjata nuklear dan menegaskan kecenderungan Washington menyelesaikan isu itu secara diplomatik dan tekanan ekonomi.


Namun, dia tetap memberi amaran keras kepada Teheran.


“Saya fikir, Teheran perlu tahu bahawa jika mereka membangunkan senjata nuklear, mereka akan dihentikan,” katanya. - ReutersmyMetro | AS gertak Teheran:

'via Blog this'

Hampir 20,000 warga Indonesia di Arab Saudi dihantar pulang

JAKARTA: Ketua Konsulat Republik Indonesia di Jeddah, menghantar pulang sejumlah 18,675 rakyat Indonesia dari Arab Saudi kerana tinggal melebihi tempoh, tahun lalu.

Kebanyakan warga Indonesia datang ke Arab Saudi menggunakan permit kerja atau umrah, tetapi apabila tempoh visa luput, mereka tidak memohon untuk memanjangkannya di pejabat imigresen, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh konsulat, semalam.

Hampir semua (18,630) warga Indonesia dihantar pulang menggunakan dokumen perjalanan sebagai ganti pasport (SPLP) yang dikeluarkan oleh kosulat, manakala 45 lagi menggunakan pasport mereka.

Mereka yang dihantar pulang menggunakan SPLP merupakan 13,063 pekerja asing, 3,922 jemaah umrah dan 1,645 kanak-kanak.


Mereka tidak dibenarkan masuk ke Arab Saudi selama lima tahun kerana melanggar peraturan imigresen. - Jakarta PostmyMetro | Hampir 20,000 warga Indonesia di Arab Saudi dihantar pulang:

'via Blog this'

17 pendatang Afghanistan bolos dari pejabat imigresen Karawang

JAKARTA: Sejumlah 17 pendatang tanpa izin warga Afghanistan melarikan diri dari pejabat imigresen Karawang di Jawa Barat, semalam.

Eksekutif Pejabat Imigresen, Herjansjah Wiradinata berkata, sebahagian mereka melarikan diri melalui bilik air mereka.

Dia mengaku, mereka berjaya melarikan diri kerana sistem keselamatan yang longgar.

Mereka adalah sebahagian daripada 77 pendatang tanpa izin warga Afghanistan yang ditahan polis unit perdagangan orang dan diserahkan ke pejabat Imigresen.


Selain daripada 60 warga Afghanistan, pejabat imigresen itu turut menempatkan 11 pendatang tanpa izin dari Iran, lima dari Iraq dan tiga dari Syria. - Kompas.commyMetro | 17 pendatang Afghanistan bolos dari pejabat imigresen Karawang:

'via Blog this'

Penumpang separuh bogel serbu kereta api

LONDON: Sekumpulan penumpang nakal memeranjatkan penumpang kereta api di bandar raya ini semalam apabila mereka menanggalkan seluar masing-masing dalam satu gurauan yang diadakan di seluruh dunia.

Beratus-ratus penumpang separuh bogel memenuhi kereta api bawah tanah London untuk acara tahunan Naiki Kereta Api Tanpa Seluar.


Ia adalah sebahagian daripada Hari Tanpa Seluar yang diadakan di luar negara apabila kereta api bawah tanah diambil alih oleh penumpang separuh bogel.

Acara itu dianjurkan oleh kumpulan Improv Everywhere dan bermula dengan Naiki Kereta Api Tanpa Seluar di New York 11 tahun lalu.


Ia kini merebak ke 60 bandar di 27 negara, termasukWashington, Mexico City, Toronto, Madrid dan Tel Aviv.


Improv Everywhere menggunakan Facebook untuk mempelawa orang ramai mengambil bahagian dan lebih 16,000 orang mendaftar untuk menyertainya di seluruh dunia.

Kumpulan itu kemudian melakukan aksi ala-rusuhan di seluruh dunia, memeranjatkan orang sekeliling apabila mereka menanggalkan seluar dalam kenderaan awam.


Penganjur, Dan Becherano berkata: “Matlamatnya ialah untuk berseronok dan menghiburkan orang ramai. - ReutersmyMetro | Penumpang separuh bogel serbu kereta api:

'via Blog this'

Chef selebriti mengaku mencuri

LONDON: Chef selebriti, Antony Worall Thompson semalam memohon maaf kerana ‘tindakan bodoh dan tidak bertanggungjawab’ yang mengecewakan keluarganya selepas ditangkap mencuri keju dan wain dari sebuah pasar raya Tesco.

Bintang rancangan Ready Steady Cook, berusia 60 tahun itu ditangkap mencuri lima kali dalam masa 16 hari di pasar raya berkenaan di Henley-on-Thames, Oxfordshire.

Worrall Thompson berkata, dia ‘kecewa’ dan akan berusaha mendapatkan rawatan yang amat diperlukannya ekoran perbuatannya itu.

Dia juga secara terbuka memohon maaf kepada Tesco dan kakitangannya di cawangan itu.


Perbuatan Worrall Thompson dirakam kamera dalam pasar raya itu.


Dia gagal mengimbas kod bar beberapa barangan dan memasukkannya ke dalam beg sebelum cuba keluar dari pasar raya berkenaan.

Pasukan keselamatan kemudian menahan bapa empat anak itu dan memeriksa begnya sebelum memanggil polis.

“Saya memohon maaf kerana perbuatan bodoh dan tidak bertanggungjawab saya baru-baru ini.

“Saya sudah pasti kecewa kerana memalukan keluarga dan rakan. Saya akan mendapatkan rawatan yang amat saya perlukan.

“Saya bukan orang pertama dan sudah pasti bukan orang yang terakhir yang melakukan perbuatan seperti itu.

“Sudah tentu saya juga memohon maaf secara ikhlas kepada Tesco dan kakitangannya di cawangan Henley.

“Ramai di kalangan mereka yang saya kenal sejak beberapa tahun lalu kerana saya sudah mempunyai hubungan kerja dengan pasar raya itu sejak sekian lama.

“Sekali lagi saya memohon maaf dan berharap akan mengubah tabiat buruk saya pada masa depan,” kata Worall Thompson.

Satu sumber berkata: “Dia memesan keju di kaunter, mengambil beberapa botol wain, kemudian meletakkan beberapa barang di mesin pengimbas sebelum berjalan dengan beberapa barangan lain.”

Bekas bintang siri ‘I'm A Celebrity... Get Me Out Of Here! itu ditangkap kerana disyaki mencuri dan diberi amaran. - Daily MailmyMetro | Chef selebriti mengaku mencuri:

'via Blog this'

9 maut pertempuran di Chechnya




2012/01/10

ROSTOV-ON-DON (Russia): Empat anggota polis terbunuh manakala 16 yang lain cedera selepas diserang hendap kumpulan militan di kawasan pergunungan selatan Chechnya, semalam.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pertempuran itu turut mengorbankan lima militan serta mencederakan dua yang lain selepas pasukan polis bertindak membalas serangan tersebut.
Awal pagi kelmarin, sepasukan tentera bersama polis tempatan yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan terpijak periuk api yang ditanam militan. - REUTERS Berita Harian Online | 9 maut pertempuran di Chechnya:

'via Blog this'

Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang pernah menyaman anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya hampir dua tahun lalu, semalam mengemukakan empat tuntutan baru terhadap anak sulungnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, berikutan kegagalan defendan membayar nafkah dipersetujui sebelum ini.

Mustafa Ismail, 66, membuat tuntutan terhadap Nasrun Mustafa, 39, supaya membayar tunggakan nafkah penjagaan dua a anak defendan, sejak dia menjaga dua beradik berkenaan lapan tahun lalu sebanyak RM18,866 iaitu RM9,309 bagi anak lelaki defendan kini berusia 17 tahun dan RM9,556 bagi anak perempuan, kini 15 tahun.
Dalam tuntutan yang difailkan melalui peguam, Fazru Anuar Yusoff, Mustafa yang juga pesara sebuah syarikat cari gali turut memfailkan tuntutan duit raya sebanyak RM1,000 setahun.
Selain itu, plaintif mengemukakan tuntutan supaya defendan kembali taat dengan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa dan dua anaknya selain menuntut defendan memohon ampun kepadanya dan isteri, Che Meriam Abdullah, 58.

Warga emas itu juga memfailkan permohonan menuntut defendan yang berkhidmat sebagai pengurus syarikat cari gali minyak di Kuala Lumpur dengan pendapatan RM17,000 sebulan membayar RM400 sebulan kepadanya dan isteri sebagai saraan hidup.

Hakim Rushdi Harun menetapkan 16 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan dua anak defendan dipanggil untuk memberi keterangan.

Akhbar pada Julai 2010 melaporkan bapa memfailkan tuntutan terhadap anak lelakinya untuk memberi nafkah kepada dua cucunya yang diabaikan defendan sejak ditinggalkan bersama plaintif tujuh tahun sebelum itu.
Dalam tuntutan itu, plaintif berkata, defendan meninggalkan seorang anak perempuan berusia enam tahun dan anak lelaki berusia sembilan tahun kepadanya selepas bercerai dengan isteri pertama. Berita Harian Online | Lelaki saman anak kali kedua tuntut nafkah cucu:

'via Blog this'

Hotel 30 tingkat siap 15 hari



Bangunan Hotel Ark setinggi 30 tingkat yang mencipta rekod berjaya disiapkan dalam masa 15 hari. - AGENSI


BEIJING 9 Jan. - Sebuah syarikat pembinaan China, sekali lagi mencatat rekod dunia apabila berjaya menyiapkan pembinaan bangunan hotel setinggi 30 tingkat hanya dalam tempoh 15 hari atau 360 jam.

Hotel Ark, seluas 17,000 meter persegi yang dibina oleh Broad Group, syarikat pakar seni bina, siap dalam 15 hari selepas sebelum ini mencipta rekod membina bangunan hotel setinggi 15 tingkat juga dalam tempoh 15 hari.

Apa yang lebih menarik, bangunan itu berjaya disiapkan tanpa sebarang kecederaan di kalangan pekerja dan ia mampu bertahan dalam gempa bumi sekuat 9 pada skala Richter.

Semua bahan yang digunakan adalah daripada jenis pasang siap di mana bahan-bahan binaan terlebih dahulu diproses di kilang dan pekerja hanya perlu menyambungkan komponen-komponen tersebut untuk menjadikannya satu bangunan.

Untuk menyiapkan struktur komponen utama, ia hanya mengambil masa 46 jam dan tempoh 90 jam lagi digunakan untuk menyiapkan bahagian luaran.

Struktur bangunan itu juga kalis bunyi dan mampu menebat arus udara panas, selain mempunyai pemantau kualiti udara di setiap bilik hotel. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Syria: Misi pemantau diterus


KAHERAH 9 Jan. - Menteri-menteri Arab, memberi lampu hijau untuk meneruskan misi pemantau di Syria yang mendapat kritikan meluas serta menambah bilangan pemerhati ketika keganasan di negara itu semalam meragut lebih banyak nyawa.

Pertemuan jawatankuasa menteri-menteri Arab berhubung isu Syria, 'memutuskan untuk memberi pemerhati Liga Arab lebih masa bagi meneruskan misi mereka mengikut protokol', merujuk kepada tempoh sebulan misi yang dipersetujui sebelum ini.

Menteri-menteri itu turut bersetuju menambah bilangan pemerhati, selain bakal mendapatkan bantuan teknikal dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mereka bertemu di Kaherah semalam bagi mengkaji semula rekod pemerhati misi, di sebalik gesaan meminta blok menyerahkan peranan utama bagi menghentikan pertumpahan darah selama 10 bulan di Syria kepada PBB.

Jawatankuasa itu turut mengulangi desakan ke atas Syria supaya 'segera melaksanakan komitmennya secara menyeluruh' di bawah pelan Liga Arab, menggesa semua pihak agar 'menghentikan semua bentuk keganasan'.

Menteri-menteri itu berkata, ketua misi itu, Jeneral Mohammed Ahmed Mustafa al-Dabi akan mengemukakan satu laporan kepada Liga Arab pada 19 Januari ini berhubung pematuhan Syria terhadap pelan tersebut.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad bin Jassem al-Thani yang mempengerusikan pertemuan itu semalam, turut mendesak Syria 'mengambil satu langkah bersejarah'.

"Kami berharap akan ada langkah-langkah tegas diambil kerajaan Syria bagi menghentikan pertumpahan darah," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.

Katanya, satu laporan oleh pemerhati yang dibincangkan dalam pertemuan tersebut menunjukkan, pembunuhan telah berkurangan, tetapi satu pembunuhan juga disifatkan sebagai 'sangat keterlaluan'. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

China nafi ceroboh perairan Filipina



Gambar pemandangan dari udara salah sebuah pulau di Kepulauan Spratly yang didakwa oleh Filipina menjadi miliknya. - AGENSI


BEIJING 9 Jan. - China hari ini menafikan kapalnya menceroboh perairan Filipina pada bulan lepas dalam insiden terbaru, yang meningkatkan ketegangan dalam pertikaian maritim di Laut China Selatan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Liu Weimin berkata, dakwaan Manila itu tidak berasas kerana China mempunyai kedaulatan yang tidak boleh dipersoalkan di kawasan tersebut.

"Semua dakwaan itu tidak berasas. Saya berharap Filipina tidak cuba membangkitkan masalah dan membuat kacau," katanya pada satu taklimat ringkas mingguan di kementeriannya, di sini hari ini.

Filipina semalam mengemukakan bantahan kepada Beijing berhubung pencerobohan itu serta menyuarakan 'kebimbangan mendalam' kepada Kedutaan China di Manila selepas tiga kapal termasuk sebuah kapal tentera laut China, dilihat berhampiran Beting Sabina di Laut China Selatan pada 11 dan 12 Disember lalu.

Komander tentera wilayah, Leftenan Jeneral Juancho Sabban berkata, sebuah kapal peronda tentera laut Filipina dan sebuah pesawat tentera utara memantau dari jauh sehingga kapal-kapal China meninggalkan perairan negara itu.

Ketiga-tiga kapal China itu dipercayai datang dari arah Terumbu Mischief di Kepulauan Spratly, sebelum memasuki perairan Filipina dalam perjalanan pulang ke China sebagai sebahagian penggantian rutin angkatan bersenjata, kata Sabban.

Setiausaha Luar Filipina, Alberto del Rosa rio berkata, pencerobohan terbaru kapal-kapal China itu mencabul perjanjian 2002 antara Beijing dengan ASEAN yang melarang negara-negara yang mempunyai tuntutan terhadap Kepulauan Spratly daripada mengambil langkah agresif yang boleh mencetuskan ketegangan atau konfrontasi.

China, Filipina, Brunei, Malaysia, Vietnam dan Taiwan masing-masing menuntut seluruh atau sebahagian wilayah di Kepulauan Spratly, yang dipercayai memiliki sumber asli minyak dan gas di Laut China Selatan. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Latihan untuk pengawal peribadi wanita



Reuters SEBATANG kayu diangkat oleh para pelatih pengawal peribadi wanita di Sanya kelmarin.


SANYA, China - Seramai 20 wanita yang kebanyakannya lulusan kolej menyertai sesi latihan untuk pengawal peribadi wanita.

Latihan itu dianjurkan oleh firma Tianjiao Special Guard/Security Consultant Ltd. Co. di Sanya.

Firma itu menganjurkan latihan untuk para pengawal peribadi wanita buat kali pertama.

Semua pelatih perlu menjalani latihan selama lapan hingga sepuluh bulan untuk meningkatkan kemahiran yang diperlukan untuk keperluan pelanggan mereka.

Firma itu menawarkan seorang pelatih yang terbaik peluang untuk menghadiri pengajian lanjutan di Akademi Keselamatan di Israel. - ReutersKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Wanita terjatuhke sarang buaya



LUKA yang dialami oleh Erin Langworthy.


SYDNEY - Seorang wanita Australia, Erin Langworthy terselamat selepas terjatuh ke dalam Sungai Zambezi yang dipenuhi buaya setelah tali yang mengikat kakinya putus semasa dia melakukan terjun bungee pada ketinggian 111 meter dari atas Jambatan Jeram Victoria di Zambia, Afrika.

Menurut akhbar Australia, Sydney Morning Herald, wanita berkenaan Erin Langworthy cuma mengalami luka kecil dan sedikit calar dalam kemalangan pada petang menjelang Tahun Baru.

Jambatan tersebut terletak di sempadan Zambia dengan Zimbabwe.

"Saya merasakan seperti seluruh badan saya telah ditampar," kata wanita berusia 22 tahun itu yang berasal dari Perth dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Channel Nine.

Rakaman video menunjukkan tali yang mengikat kakinya putus pada akhir terjunan tersebut dengan menyebabkan dia terjatuh ke dalam sungai.

"Saya terpaksa menyelam dan membuka tali yang mengikat kaki saya sebelum dapat berenang ke permukaan sungai," kata Langworthy.

"Ya, saya yakin satu keajaiban berlaku kerana saya terselamat dalam kemalangan ini," tambahnya.

Langworthy dirawat di sebuah klinik berdekatan sebelum dibawa keluar ke Afrika Selatan. - ReutersKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Hawking minta manusia takluk planet lain



AFP GAMBAR fail menunjukkan Stephen Hawking di pejabatnya di Universiti Cambridge pada 14 Disember tahun lalu.


CAMBRIDGE, England - Ahli fizik tersohor, Stephen Hawking jatuh sakit dan terlalu lemah untuk menghadiri persidangan bagi meraikan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-70 kelmarin tetapi dalam satu rakaman mesej, beliau mengulangi gesaan agar manusia menjelajah dan menakluki planet lain.

Naib Canselor Universiti Cambridge, Leszek Borysiewicz memberitahu hadirin bahawa Hawking yang hampir lumpuh sepenuhnya kerana menghidap penyakit saraf Lou Gehrig, telah dibenarkan keluar dari sebuah hospital kerana menghidap penyakit yang tidak didedahkan.

Namun, dalam ucapan beliau yang dirakam, Hawking merayu agar manusia menjelajah planet lain kerana percaya mereka berdepan masa depan yang suram di Bumi.

"Saya tidak fikir kita (manusia sejagat) akan dapat terus hidup untuk 1,000 tahun akan datang tanpa menjelajah keluar dari planet Bumi yang rapuh ini," katanya.

Ucapan beliau mempesonakan para pelajar dan saintis yang berhimpun di Dewan Lady Mitchell, Universiti Cambridge di sini.

Rakan-rakan saintis yang berada di dewan berkenaan termasuk pemenang Hadiah Nobel, Saul Perlmutter dan ahli astronomi terkenal Martin Rees menyifatkan Hawking sebagai antara ahli fizik paling utama selepas mendiang Albert Einstein.

"Hawking mengubah pemahaman kita tentang ruang dana masa, lubang hitam dan asal-usul cakerawala," kata Borysiewicz.

Buku A Brief History of Time tentang teori astrofizik yang ditulis oleh Hawking dan diterbitkan pada 1988 telah dijual berjuta-juta naskhah setakat ini. - AgensiKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'