REKA BENTUK, fungsi dan warna menawan menjadi tarikan kepada penggemar kamera kompak digital.
SETIAP rakaman detik indah dalam kehidupan sudah tentu ingin dikongsi bersama keluarga dan sahabat handai untuk dijadikan kenangan selama-lamanya.
Peluang perkongsian momen itu dapat dipermudahkan lagi apabila gambar-gambar tersebut dapat dimuat naik ke dalam rangkaian laman sosial seperti Facebook, Flickr atau blog. Bagaimanapun, tidak semua kamera digital memberi kemudahan proses muat naik imej dengan mudah dan pantas.
Menyedari kepentingan itu, Eastman Kodak Company melancarkan edisi terkini dalam siri kamera digital EASYSHARE keluarannya iaitu Kodak M530.
Kamera digital itu memiliki ciri khas yang membolehkan proses perkongsian gambar dan video dilakukan dengan hanya menekan satu butang.
Dengan hanya menekan butang perkongsian Kodak (Kodak Share Button), gajet ideal itu memproses kehendak pemiliknya sekali gus membawa kegembiraan menerusi paparan gambar dan video.
Proses muat naik gambar ke laman sosial seperti Facebook, YouTube dan Flickr bukan lagi satu masalah. Gambar-gambar itu juga boleh terus dipindahkan ke Galeri Kodak atau dihantar melalui e-mel.
Dalam pada itu, Kodak M530 turut memberi pilihan kepada pengguna membolehkan perkongsian gambar dilakukan mengikut cita rasa pengguna. Ini termasuklah penggunaan tag.
PENGGUNA boleh meletakkan tag pada gambar yang telah dirakam bagi tujuan penghantaran e-mel.
Butang perkongsian yang didatangkan Kodak M530 kini membolehkan pengguna meletakkan tag terus pada kamera bagi memudahkan lagi proses memuat naik gambar ke dalam laman web perkongsian popular.
Pengguna juga boleh meletakkan tag pada gambar yang telah dirakam bagi tujuan menghantar e-mel ataupun dimuat turun dalam bingkai gambar digital Kodak Pulse.
Penggunaan tag itu juga amat berguna untuk memudahkan pengguna mencari gambar tertentu apabila terdapat banyak gambar dalam kad memori.
Selain daripada itu, kamera digital terbaru tersebut turut dilengkapi ciri Rakaman Pintar Kodak (Kodak Smart Capture) bagi meningkatkan kualiti gambar yang dirakam.
Ia akan bertindak mengenal pasti latar belakang dan persekitaran secara automatik untuk memastikan imej menjadi cantik dan berkualiti.
Kodak M530 tampil dengan resolusi 12 megapiksel, lensa 3X Optikal Zoom dan skrin diod pemancar cahaya (LED) 2.7 inci untuk memberi kepuasan kepada penggemar dunia fotografi.
PROSES muat naik imej dari kamera ke komputer kini lebih pantas. |
Naib Presiden Pemasaran Wilayah Asia Pasifik dan Pengarah Urusan Kumpulan Pengimejan Digital Konsumer Asia Tenggara Kodak (Malaysia), Cristina Fernandez berkata, Kodak M530 menangani tiga kerumitan utama yang sebelum ini dialami pengguna.
“Perkongsian Pintar Kodak (Kodak Smart Share) mengatasi kesukaran untuk berkongsi dan memuat naik gambar.
“Bagi membantu mengatasi masalah kesukaran mencari gambar yang dikehendaki, ciri Pencarian Pintar (Smart Finder) dengan fungsi tag, menjadikan proses mencari gambar lebih mudah berbanding sebelumnya,” kata Cristina.
Kamera Digital Kodak M530 boleh diperoleh dalam lima warna pilihan iaitu merah, hijau, biru, jingga dan karbon. Ia dijual pada harga RM599 dan kini sudah berada di pasaran seluruh negara.
kredit : kosmo.com.my