Pages

Wednesday, August 10, 2011

Sindiket curi telefon awam tumpas

SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket curi pondok telefon awam membabitkan kerugian hampir RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah premis kedai barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Rawang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam serbuan pada jam 6.05 petang pada 26 Julai lalu, pihaknya menahan lima suspek berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan di premis itu polis merampas 14 unit pondok telefon awam, 112 unit penutup peti telefon awam, 14 penutup peti hadapan telefon awam, 50 gagang telefon awam berwarna merah, sebuah lori diesel dan sebuah Proton Satria.

“Siasatan mendapati taktik sindiket dipercayai mencuri pondok telefon awam, kemudian mengambil duit di dalam peti telefon sebelum bahagian pondok telefon awam dan peti berkenaan dileraikan untuk dijual.

“Kes kecurian yang dilaporkan di sekitar Selangor ialah di Bangi, Serdang, Balakong dan Rawang manakala negeri lain yang terbabit Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

“Nilai kerugian dicatatkan RM960,000. Lima suspek direman sehingga 10 Ogos ini (hari ini),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Dalam kes berasingan, katanya, pada 2 Ogos lalu, polis menerima laporan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kebakaran pencawang milik syarikat utiliti itu di tiga lokasi iaitu Bukit Sentosa, Sungai Choh dan Bukit Beruntung di Rawang.

“Sebanyak 12 pencawang milik TNB dibakar pihak tertentu yang mahu mengambil tembaga pada pencawang terbabit. “Pada 4 Ogos lalu, kita berjaya menahan dua lelaki yang kedua-duanya berusia 22 tahun kerana dipercayai ada kaitan dengan kes itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mengetahui sebarang kejadian berkaitan kecurian pencawang TNB diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-hmetro

No comments: