Pages

Thursday, September 26, 2013

327 mangsa gempa


Aaran (Pakistan): Petugas penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa gempa bumi yang meragut 327 nyawa dalam kejadian gempa bumi yang melanda barat daya negara itu, semalam.

Bencana itu turut meruntuhkan ribuan rumah dan membentuk sebuah pulau baru di pesisir pantai.


Gempa bumi 7.7 magnitud itu berlaku di daerah Awaran di Wilayah Baluchistan.

Pegawai berkata, 327 orang disahkan mati setakat ini, 208 di daerah Awaran.


Jumlah itu dijangka meningkat apabila pasukan penyelamat menghampiri lebih banyak kampung di kawasan pedalaman.


“Sejumlah enam daerah iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar dan lebih 300,000 penduduk terjejas akibat gempa bumi itu,” kata jurucakap Kerajaan Baluchistan Jan Muhammad Buledi.

Ketua agensi pengurusan bencana wilayah, Abdul Latif Kakar berkata, 30 mangsa disahkan terbunuh di daerah Kech.


Buledi berkata, pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mayat tetapi memberi keutamaan kepada mangsa cedera untuk dibawa ke hospital segera walaupun tugas yang sukar kerana kawasan terpencil dan tiada kemudahan.

“Kami tiada kemudahan perubatan dan tidak ada ruang untuk merawat mangsa yang cedera di hospital di sini.


“Kami berusaha menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital Karachi dengan menaiki helikopter dan pesakit lain ke daerah berdekatan,” katanya.


Pihak berkuasa Hospital Karachi Aga Khan berkata pihaknya sudah bersedia menerima pesakit, tetapi tiada seorang pun tiba setakat ini.


Tentera menghantar 100 kakitangan perubatan dan 1,000 anggota lain ke kawasan terbabit dan membina sebuah pusat perubatan di Tarteej, kawasan paling teruk dilanda bencana itu.


Pasukan tentera laut pula menghantar sebuah kapal membawa bekalan ke pelabuhan Gwadar dan pesawat untuk membawa mangsa cedera ke Karachi dan Ormara.


Seorang pegawai kanan di Awaran, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan petugas berusaha mencari mayat dan mangsa yang terkambus dalam lumpur.


“Kira-kira 90 peratus rumah di daerah berkenaan musnah. Hampir semua rumah yang dibina daripada lumpur di situ runtuh,” katanya, semalam. Gempa yang berlaku lewat malam kelmarin turut dirasakan sejauh New Delhi dan Dubai.


Penduduk bandar Ahmedabad di India yang bersempadan dengan Pakistan turut merasa gegaran. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

Hidung baru atas dahi

Foto
DOKTOR memeriksa hidung asal Xiaolian yang mengalami jangkitan.
Foto
HIDUNG baru Xiaolian.

Beijing: Seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Xiaolian mempunyai hidung baru yang tumbuh di dahinya.

Xiaolian, 22, menjalani rawatan bagi menggantikan hidung asalnya yang cacat selepas dijangkiti virus di sebuah hospital di Fuzhou, wilayah Fujian.


Xiaolian, mengalami kecacatan di bahagian hidungnya akibat kemalangan jalan raya pada Ogos tahun lalu dan doktor yang merawatnya gagal memulihkan hidungnya.

Ekoran nahas yang dialaminya, hidung Xiaolian mengalami jangkitan dan tulang hidungnya terjejas.


Doktor tidak mempunyai pilihan lain tetapi terpaksa menjalankan prosedur yang membolehkan hidung barunya tumbuh di dahi bagi menggantikan hidung asalnya.


Hidung itu direka dengan menanam tisu kulit ke dahi Xiaolian.


Ia dipotong mengikut bentuk hidung dan disokong oleh tulang rawan yang diambil daripada rusuk Xiaolian.


Pakar bedah berkata, hidung baru itu tumbuh dengan baik dan pembedahan transplan akan dijalankan dengan secepat mungkin. - Agensi

Berlian merah jambu sebesar biji plum akan dilelong



SEORANG model menunjukkan berlian seberat 59.6 karat di Geneva, Switzerland semalam.- afp


GENEVA - Sebutir berlian merah jambu seberat 59.60 karat yang dikenali sebagai Pink Star akan dilelong oleh firma Sotheby pada November depan pada harga tawaran AS$60 juta (RM196.8 juta).
Harga tersebut adalah yang paling mahal untuk sebutir batu permata.
"Sebutir berlian merah jambu seberat 5 karat adalah sukar untuk ditemui, bayangkan permata ini mempunyai berat 59.60 karat," kata pengerusi divisyen barang kemas Sotheby's, David Bennett.
Menurutnya, batu berlian itu dilombong oleh firma De Beers di Afrika pada 1999 tanpa mendedahkan nama negara berkenaan.
"Berlian merah jambu yang sebesar buah plum kering itu dahulunya seberat 132.5 karat sebelum dicanai," ujar Bennet. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2fwGWnqC2 
Hakcipta terpelihara 

Kediaman di pulau dijual RM12.8 juta



KEDIAMAN tujuh bilik di Pulau Belden, dalam negeri Connecticut, Amerika Syarikat yang berusia lebih 100 tahun.- Agensi


HARTFORD, Connecticut - Sebuah pulau persendirian bersama kediaman di perairan negeri Connecticut akan dijual dan bakal menjadi milik anda pada harga AS$4 juta (RM12.8 juta), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Selain itu, pembeli juga berpeluang untuk menemui sebuah peti harta karun berisi emas yang tertanam di pulau berkenaan menurut legenda tempatan.
Pulau Belden itu dilengkapi tujuh bilik yang dibina pada tahun 1912 dan masih berada dalam keadaan baik.
Premis berusia lebih 100 tahun ini mempunyai reka bentuk kolonial British di samping pemandangan laut yang indah.
Pemiliknya, Cristine Svenningsen membayar sebanyak AS$2.66 juta (RM8.5 juta) untuk Pulau Belden pada tahun 2006.
Sementara itu, mereka yang mahu membeli Pulau Belden perlu maklum bahawa pengangkutan pergi dan balik dari lokasi tersebut tidak disediakan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2fwEz1Cqd 
Hakcipta terpelihara 

Bekas lelaki paling gemuk ada kekasih



PAUL MASON memegang sekeping gambar kekasihnya, Rebecca Mountain di London kelmarin.- Agensi


LONDON - Bekas lelaki paling gemuk di dunia, Paul Mason yang berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 292 kilogram (kg) kini telah mempunyai seorang teman wanita, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Lelaki yang pernah memiliki berat badan 444 kg itu berkata, dia menemui wanita berkenaan, Rebecca Mountain selepas hilang separuh berat badannya.
"Saya jauh hati pada Rebecca selepas wanita berkenaan menghubungi saya di laman sosial Facebook," kata lelaki berusia 52 tahun itu.
Menurut Mason, wanita itu berminat untuk berkenalan dengannya selepas melihat dia muncul di kaca televisyen.
Rebecca, 40, tinggal di Amerika Syarikat yang terletak pada jarak 5,632 kilometer dari sini.
"Jarak yang jauh menyebabkan kami belum lagi bertentang mata," kata Mason yang kini mempunyai berat badan 152 kg.
"Namun, saya kini dilamun cinta, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini pada saya," tambahnya.
Menurut lelaki berkenaan, dia berharap dapat menemui Rebecca suatu hari nanti.
"Personaliti, semangat dan kesungguhannya serta senyumannya membuat saya jatuh cinta," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2fwEekL90 
Hakcipta terpelihara 

Gempa bumi di Pakistan lahirkan pulau kecil


SEBUAH rumah yang runtuh selepas gempa bumi menggegarkan bandar Awaran dalam wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan kelmarin.- REUTERS


QUETTA - Angka kematian akibat gempa bumi kuat di Pakistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 327 orang semalam selepas beratus-ratus buah rumah runtuh menimpa penghuninya di kawasan pedalaman dekat sempadan Iran, kata beberapa pegawai.
Gempa itu menggegarkan wilayah Baluchistan kelmarin dan turut dirasai di seluruh rantau Asia Selatan.
Bencana tersebut memusnahkan sejumlah kediaman dan menyebabkan daerah yang paling teruk terjejas, Awaran, terputus hubungan dengan dunia luar.
Gempa berkenaan amat kuat sehingga menyebabkan sebuah pulau kecil muncul di perairan Laut Arab.
"Kami mula menanam mangsa-mangsa yang meninggal dunia," kata Deputi Komisioner Awaran, Abdul Rasheed Gogazai semalam.
"Sebanyak 285 mayat telah ditemui di daerah Awaran setakat ini manakala 42 lagi dijumpai di daerah berdekatan, Kech," tambahnya.
Menurut Abdul Rasheed, lebih 373 orang turut cedera dalam bencana itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak tentera mengerahkan beberapa helikopter bersama beratu-ratus askar bagi membantu usaha menyelamat.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat memberitahu, gempa bumi itu berukuran 7.8 pada skala Richter.
Selepas gempa berlaku, penduduk di pesisir pantai dekat pelabuhan Gawdar berhimpun untuk melihat kemunculan pulau kecil tersebut.
Pulau batu dan pasir tersebut muncul selepas gempa bumi kuat itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0926&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2fwE02x7D 
Hakcipta terpelihara