Pages

Wednesday, June 22, 2011

Khir pinjam RM3 juta




MOHAMAD Khir Toyo ditemani Zaharah Kechik pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 21 Jun – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan untuk bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini pada Mei 2007.
Bekas Pengurus Pusat Pelanggan Premier Bank HSBC Cawangan Petaling Jaya, Chuah Yew Tan berkata, jumlah itu diluluskan selepas hartanah tersebut ditaksirkan bernilai RM3.5 juta oleh seorang penilai hartanah daripada Rahim & Co.
“Selepas mendapat nilai hartanah tersebut, saya memproses permohonan pinjaman Mohamad Khir. Pinjaman sebanyak RM3 juta diluluskan pada bulan Mei 2007,’’ katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Dusuki Mokhtar.
Menurut saksi pendakwaan ke-14 itu, beliau menghubungi Mohamad Khir selepas Pengurus Kanan HSBC cawangan tersebut, Hamdan Ali memaklumkan bahawa bekas Menteri Besar Selangor yang merupakan pelanggan premier ingin membuat pinjaman bagi membeli hartanah bernilai antara RM3 juta dan RM3.5 juta.
Beliau kemudiannya menghubungi penilai hartanah, Choy Yue Kwong daripada Rahim & Co bagi menilai hartanah tersebut kerana pinjaman hanya akan diberikan sebanyak 90 peratus daripada nilai atau harga belian.
“Saya pergi melihat hartanah tersebut bersama seorang pegawai bank, Andriane Tan Hock Aun, penilai dan pemilik hartanah, Datuk Shamsuddin Hayroni. Saya nampak bangunan yang sedang diubah suai.
“Selepas mendapat surat taksiran nilai hartanah daripada Rahim & Co, saya hantar melalui faksimile surat itu kepada Mohamad Khir sebagaimana yang diminta oleh beliau,’’ jelasnya.
Pada prosiding hari ini, saksi turut menjelaskan bahawa pelanggan premier ialah mereka yang mempunyai simpanan tetap sebanyak RM200,000 di bank tersebut.
Sementara itu, bekas Setiausaha Kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Alias Abu Bakar pula mengesahkan bahawa Mohamad Khir mempengerusikan beberapa mesyuarat Ahli Jawatankuasa Penswastaan sepanjang tahun 2007 dan 2008.
Beliau yang menghadiri mesyuarat-mesyuarat tersebut turut bertanggungjawab mencatat serta menyediakan minit mesyuarat yang kesemuanya dikemukakan kepada mahkamah sebagai bahan bukti hari ini.
Terdahulu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menasihatkan para petugas media agar lebih berhati-hati pada masa hadapan dengan memastikan laporan yang dibuat adalah benar dan tepat.
Beliau berkata demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed memaklumkan terdapat laporan yang silap di sebuah laman web berhubung prosiding semalam.
Katanya, berita itu melaporkan Bekas Pengurus Besar PKNS, Datuk Harun Salim mengaku bahawa tindakan memberi pengecualian kepada syarikat milik Shamsuddin, Roniaga Sdn. Bhd. daripada bon pelaksanaan adalah sesuatu yang jarang dilakukan selepas ditanya oleh Hakim Mohtarudin.
Sedangkan soalan tersebut tidak ditanya dan jawapan tersebut tidak diberikan oleh saksi itu.
Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin, 53.
Hartanah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang masuk hari kelapan hari ini bersambung esok.
Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Bekas Presiden Tunisia dipenjara 35 tahun




Gambar fail bertarikh 11 Oktober 2009 merakamkan Zine El Abidine Ben Ali (kiri) dan Leila semasa menghadiri kempen pilihan raya Presiden Tunisia di Stadium Rades dekat Tunis. - AFP


TUNIS 21 Jun - Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun ke atas bekas Presiden Zine el-Abidine Ben Ali dalam satu perbicaraan tanpa kehadirannya semalam, enam bulan selepas dia digulingkan dalam satu revolusi kebangkitan rakyat.
Ben Ali yang kini hidup dalam buangan di Arab Saudi didapati bersalah selepas baru sehari perbicaraan dijalankan berhubung tuduhan mencuri wang rakyat dan memiliki barangan kemas serta sejumlah besar wang tunai secara haram.
Hukuman sama turut dikenakan terhadap isterinya, Leila Trabelsi yang merupakan bekas pendandan rambut yang mengamalkan gaya hidup mewah, selain menjadi simbol rasuah era pemerintahan Ben Ali di kalangan rakyat Tunisia.
Bekas Presiden itu dan isterinya melarikan diri ke Arab Saudi pada 14 Januari lalu selepas berlaku tunjuk perasaan besar-besaran menentang pemerintahannya selama 23 tahun.
Menurut kerajaan Tunisia pada Februari lalu, mereka telah meminta kerajaan Arab Saudi untuk mengekstradisinya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya awal semalam, Ben Ali menafikan semua tuduhan yang dihadapinya itu dan menyatakan dirinya menjadi mangsa komplot politik.
Menurut Ben Ali, dia telah diperdaya untuk meninggalkan negara ini.
Hakim Touhami Hafian yang membacakan keputusan itu di kompleks mahkamah di Tunis turut mengarahkan Ben Ali dan isterinya membayar sejumlah 91 juta dinar (RM199 juta).
Touhami berkata, perbicaraan berhubung tuduhan memiliki dadah dan senjata ke atas Ben Ali akan diadakan pada 30 Jun ini. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

28 warga Indonesia dihukum mati di Saudi



RIYADH 21 Jun - Indonesia sedang berusaha menyelamatkan 28 rakyatnya yang dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi kerana pelbagai kesalahan, kata jurucakap Kedutaan Indonesia di Riyadh, Wishnu Krishnamurthi semalam.
"Satu usaha sedang dilakukan bagi mencapai penyelesaian dalam semua kes baik di mahkamah atau melalui kerjasama dengan Arab Saudi supaya kes-kes boleh diselesaikan di luar mahkamah," katanya seperti yang dilaporkan Arab News.
Menurutnya, misi diplomatik Indonesia juga sedang berusaha mendapatkan pengampunan daripada keluarga mangsa dalam kes-kes tertentu.
"Kami sangat berharap kedutaan dan konsulat boleh mendapatkan pengampunan dengan cara rundingan atau membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa supaya rakyat kami boleh dibebaskan," katanya.
Krishnamurthi berkata, Indonesia telah berjaya menyelesaikan tiga daripada 31 kes di Arab Saudi.
"Tiga rakyat Indonesia itu telah dihantar pulang selepas diberi pengampunan oleh keluarga mangsa," jelasnya.
Keputusan tersebut diambil Indonesia selepas aktivis hak kemanusiaan menggesa kerajaan mengambil langkah agresif menyelamatkan rakyatnya daripada tindakan undang-undang Arab Saudi berikutan hukuman mati yang dijalani seorang pembantu rumahnya, Ruyati Sapubi kerana membunuh isteri majikannya.
Krishnamurthi turut memetik satu laporan yang menyatakan, seramai 316 rakyat republik itu kini terlibat dalam kes perundangan di Arab Saudi termasuk mereka yang telah dijatuhi hukuman mati.
Sementara itu, data Kementerian Luar Indonesia mendapati, seramai 233 rakyatnya berdepan hukuman mati di Malaysia di atas pelbagai kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli-Ahli Parlimen Indonesia hari ini menggesa kerajaan menghentikan penghantaran pekerja asing ke Asia Barat terutamanya Arab Saudi ekoran hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Ruyati. - Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

China-Vietnam ronda bersama di Teluk Tonkin



HANOI 21 Jun - Kapal tentera laut Vietnam dan China menjalankan rondaan bersama selama dua hari di Teluk Tonkin kelmarin dan semalam.
Perkembangan itu mungkin menandakan ketegangan berhubung sempadan maritim antara kedua-dua negara yang dipertikaikan semakin reda.
Hubungan antara dua negara seteru lama itu bertambah tegang sejak sebulan lalu selepas meletusnya perbalahan dalam isu berlarutan mengenai kedaulatan di Laut China Selatan, yang termasuk tuntutan ke atas Teluk Tonkin.
Dua kapal tentera laut Vietnam dan dua dari China melakukan rondaan bersama sejauh lebih 550 kilometer dari 19 hingga 20 Jun lalu di sepanjang sempadan perairan antara kedua-dua negara di Teluk itu, lapor akhbar rasmi, Vietnam News hari ini.
"Rondaan itu bertujuan menjaga keselamatan dan ketenteraman di laut, menyelia kegiatan bot nelayan dan memastikan perjanjian mengenai kerjasama perikanan dan perbatasan sempadan di perairan tersebut dipatuhi," katanya.
Akhbar Tentera Rakyat kendalian Kementerian Pertahanan Vietnam berkata, kedua-dua pihak juga menjalankan latihan komunikasi termasuk penghantaran isyarat bendera dan cahaya.
Kapal-kapal Vietnam itu dijadual singgah di pelabuhan China selepas latihan tersebut.
Menurut laporan, rondaan bersama itu adalah yang ke-11 di Teluk Tonkin sejak dimulakan lima tahun lalu.
Kedua-dua negara telah mencapai banyak kemajuan dalam menyelesaikan tuntutan bertindan di teluk itu.
Namun begitu, kedua-dua pihak sejak beberapa minggu lepas saling menuduh antara satu sama lain menceroboh kawasan perairan masing-masing di Laut China Selatan, yang menjadi laluan perkapalan utama dan dipercayai kaya dengan sumber minyak dan gas. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

NATO terus dituduh bunuh penduduk




Seorang ahli perubatan Libya memeriksa mayat dua kanak-kanak di sebuah hospital di bandar Sabratha, kelmarin. Mereka merupakan antara 15 penduduk awam yang terbunuh dalam serangan udara NATO di barat Tripoli. - AFP


SURMAN 21 Jun - Kerajaan Libya semalam mendedahkan 19 lagi orang awam terbunuh dalam satu lagi serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas kediaman seorang daripada pegawai kanan Muammar Gaddafi.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas NATO mengaku membunuh penduduk awam dalam beberapa serangan udara mereka di Tripoli.
Pegawai Libya membawa wartawan ke Surman, kira-kira 70 kilometer ke barat Tripoli, bagi menyaksikan sendiri tempat kejadian yang dikatakan kediaman Khouildi Hamidi, seorang daripada 12 anggota Majlis Pemerintah Revolusi diketuai Gaddafi.
Pasukan penyelamat bergelut mencari mangsa yang masih terselamat ketika wartawan tiba di tempat kejadian.
Wartawan kemudiannya dibawa ke sebuah hospital berhampiran di Sabrata untuk melihat sendiri sembilan mayat, termasuk dua kanak-kanak serta beberapa anggota badan manusia yang berkecai akibat serangan NATO itu.
Agensi berita kerajaan, Jana melaporkan dalam laman web mereka bahawa lapan kanak-kanak adalah antara 19 orang yang terbunuh dalam serangan tersebut, termasuk ahli keluarga Khouildi.
Kerajaan bagaimanapun berkata, Khouildi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, NATO menyatakan serangan udara tentera NATO semalam hanya menjadikan tentera di kawasan itu sebagai sasaran, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia turut menyebabkan kecederaan ke atas orang awam.
"Serangan ke atas Libya adalah bertujuan mematahkan keupayaan tentera rejim Gaddafi menyerang rakyat Libya," kata Komander Operasi NATO di Libya, Leftenan Jeneral Charles Bounchard.
Jika tuduhan kerajaan Libya ini disahkan, ia bakal menyukarkan lagi operasi tentera bersekutu di negara ini yang kini telah pun berpanjangan dan memakan kos yang tinggi.
Menurut pegawai Libya, tentera NATO telah membunuh lebih 700 orang awam, tetapi tidak memberikan sebarang bukti. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Pesawat terhempas, 44 maut



ST. PETERSBURG, Rusia 21 Jun - Seramai 44 maut, sementara lapan yang lain cedera parah apabila sebuah pesawat yang membawa 52 penumpang terhempas dalam keadaan kabus tebal di sebuah lebuh raya di barat laut Rusia, lewat malam tadi.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Oksana Semyonova memberitahu Associated Press, ketika kejadian, pesawat Tu-134 milik syarikat penerbangan RusAir itu dalam perjalanan dari Moscow ke bandar Petrozavodsk.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman web melaporkan, lapan yang cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan seorang pramugari yang kini dirawat di sebuah hospital di Petrozavodsk, kira-kira 640 kilometer dari barat laut Moscow.
Semyonova berkata, pesawat itu cuba mendarat di lapangan terbang di Petrozavodsk, tetapi berkecai dan meletup selepas terhempas di lebuh raya kira-kira dua kilometer dari landasan.
Jelas beliau, pihaknya masih belum pasti sama ada pesawat itu cuba mendarat di lebuh raya berkenaan.
Pihak berkuasa juga masih belum dapat mengeluarkan laporan penuh mengenai kejadian itu, tetapi agensi berita Interfax memetik Pengarah lapangan terbang, Alexei Kuzmitsky sebagai berkata, ‘kejadian berlaku dalam keadaan cuaca buruk’.
Timbalan Ketua Jawatankuasa Penerbangan Antara Negeri, Alexei Morozov memberitahu agensi berita ITAR-Tass, juruterbang dipercayai berhadapan kesukaran untuk mendaratkan pesawat itu kerana lampu kecemasan yang sepatutnya dipasang di landasan semasa penglihatan terhad tidak berfungsi.
Lamab web Kementerian Kecemasan turut menyiarkan gambar pesawat yang berkecai di jalan raya dengan latar belakang kabus tebal.
Agensi-agensi berita Rusia melaporkan, antara penumpang yang terbunuh ialah pengadil bola sepak Liga Perdana Rusia, Vladimir Pettay dan seorang rakyat Sweden.
Laporan agensi berita menyebut, kotak hitam pesawat itu telah ditemui. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Bashar tawar dialog untuk tamatkan kemelut


DAMSYIK: Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam menawarkan rundingan kepada kumpulan prodemokrasi bagi mengakhiri kemelut politik yang melanda negara itu sejak empat bulan lalu.
Menurutnya, rundingan itu akan membolehkan pembentukan perlembagaan baru dan menamatkan monopoli parti Baath yang diketuainya, seperti yang dituntut pembangkang. Bagaimanapun, beliau tidak akan melakukan pembaharuan ketika negara itu dalam keadaan huru-hara. Kenyataan Bashar dikecam oleh aktivis prodemokrasi yang menggesa revolusi yang masuk bulan keempat itu diteruskan.

Bashar, dalam ucapannya menerusi televisyen, mengaku Syria sudah tiba ke titik peralihan. “Kita boleh berkata bahawa dialog di peringkat kebangsaan adalah slogan untuk peringkat seterusnya. Dialog itu boleh membawa kepada pemindaan perlembagaan atau pembentukan perlembagaan baru,” katanya. Saksi dan aktivis propembangkang berkata, ucapan Assad itu diekori oleh tunjuk perasaan antikerajaan di kebanyakan tempat di Syria, termasuk Allepo di utara, Homs dan Hama di tengah dan juga di kawasan pinggir Damsyik. - AFP

myMetro | Bashar tawar dialog untuk tamatkan kemelut

8 kanak-kanak lagi maut


SURMAN: Kerajaan Libya semalam berkata, 19 orang awam terbunuh dalam serangan udara Nato terhadap rumah seorang pegawai kanan Muammar Gaddafi.
Kejadian berlaku sehari selepas Nato mengaku membunuh orang awam dalam serangan udara berasingan.

Pegawai Libya membawa wartawan ke Surman, 70 kilometer ke barat Tripoli, tempat terletaknya kediaman Khouildi Hamidi, anggota Majlis Pemerintah Revolusi yang diketuai Gaddafi.

Anggota penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat ketika wartawan tiba.

Mereka kemudian dibawa ke sebuah hospital di Sabrata, tidak jauh dari Surman, tempat sembilan mayat, termasuk dua kanak-kanak ditempatkan.


Agensi berita rasmi Libya, Jana kemudian melaporkan , lapan kanak-kanak adalah antara 19 orang yang terbunuh dalam serangan itu.

Turut terbunuh ialah anggota keluarga Khouildi. Bagaimanapun, pegawai kanan Gaddafi itu tidak cedera.

Nato mengaku mengebom kawasan berkenaan tetapi mendakwa, ia adalah kawasan tentera. “Serangan itu sudah pasti melemahkan tentera Gaddafi untuk melakukan serangan terhadap rakyat Libya,” kata Leftenan Jeneral Charles Bouchardm pemerintah Kanada bagi operasi Nato terhadap Libya.
Jika dakwaan kerajaan Libya mengenai kematian terbaru orang awam itu disahkan, ia akan merumitkan lagi operasi Nato.

Tanda-tanda kempen itu mengambil masa lebih lama dan menelan belanja lebih banyak daripada yang dirancang sudah mula dirasakan.

Kelmarin, Nato, buat kali pertama mengaku membunuh beberapa orang awam di Libya apabila serangan yang mensasarkan tempat simpanan peluru berpandu tersasar dan memusnahkan sebuah rumah di Tripoli.

Menurut pegawai Libya, sehingga ini, tentera Nato membunuh lebih 700 orang awam, termasuk seorang anak lelaki Gaddafi dan tiga cucunya. - AFP
myMetro | 8 kanak-kanak lagi maut

Bapa, anak didakwa kutip RM4j


SHAMSUDIN (kiri) dan anaknya Shafila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, semalam.
SHAMSUDIN (kiri) dan anaknya Shafila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI: Seorang pengarah syarikat dan anak perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 27 tuduhan melakukan pengubahan wang haram serta mengambil deposit tanpa lesen daripada orang ramai berjumlah lebih RM4 juta.

Tertuduh, Shamsudin Mahadi, 47, berdepan 21 tuduhan melakukan pengubahan wang haram serta tiga tuduhan mengambil deposit tanpa lesen, manakala anaknya, Shafila Shamsudin, 24, dituduh melakukan dua penggubahan wang haram serta satu tuduhan mengambil deposit tanpa lesen.
Mereka yang juga pengarah syarikat Dencomm Sales and Services Sdn Bhd beroperasi di Pusat Bandar Penawar, di sini, didakwa melakukan kesalahan itu antara 2002 hingga tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Shamsuddin dan Shafila masing-masing didakwa menggunakan wang daripada aktiviti haram itu bagi membayar secara berperingkat pembelian dua banglo setingkat di Taman Impian 2, Simpang Renggam bernilai RM660,000 sejak 2008.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) (a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-dua sekali jika disabitkan bagi setiap kesalahan.

Bagi kesalahan mengambil deposit daripada orang awam tanpa lesen sah mereka didakwa mengikut Seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang boleh didenda sehingga RM10 juta serta 10 tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Salawati turut menetapkan 21 September depan untuk sebutan semula kes. Dua beranak terbabit mengemukakan jaminan yang ditawarkan itu. Berita Harian Online | Bapa, anak didakwa kutip RM4j

Bapa serah polis siasat punca kematian bayi


AZRI mendukung jenazah anaknya selepas selesai proses bedah siasat di PPUKM, semalam.
AZRI mendukung jenazah anaknya selepas selesai proses bedah siasat di PPUKM, semalam.


KUALA LUMPUR: “Saya reda dan menyerahkan kepercayaan sepenuhnya pada pihak polis untuk menjalankan siasatan sama ada anak saya didera atau sebaliknya,” kata bapa bayi berusia 20 bulan, Nor Danish Haikal yang disahkan meninggal kelmarin akibat pendarahan usus selepas dua hari dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Difahamkan, ini kejadian kedua menimpa keluarga bayi terbabit kerana pada 2004, anak lelaki sulung mereka yang berusia dua tahun juga meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh namun pihak hospital mengesahkan ia akibat serangan sawan.
Bapa bayi terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Azri, 31, berkata ketika kejadian beliau bertugas di luar kawasan sejak beberapa bulan lalu dan hanya menerima berita itu kelmarin selepas dimaklumkan isterinya.
Ketika ditemui di PPUKM semalam, beliau yang bekerja di sebuah syarikat pembekal alat memadam kebakaran menyatakan perasan terkilan kerana tidak sempat bertemu anak bongsunya itu dan menganggap ia sebagai takdir dan tidak menyalahkan mana-mana pihak atas kejadian terbabit.

“Saya tidak menyangka anak saya akan meninggal dengan cara itu kerana selama ini dia seorang kanak-kanak yang aktif, saya tidak percaya dia didera namun saya serahkan pada pihak polis untuk jalankan siasatan,” katanya.

Azri yang tinggal di tingkat tujuh Pangsapuri Sri Penara berkata, beliau dan isterinya yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di sini menghantar mangsa serta seorang lagi abangnya untuk dijaga pengasuh yang tinggal pangsapuri sama sejak tiga bulan lalu sekiranya isterinya bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata pihaknya sudah menerima laporan bedah siasat dari pihak PPUKM yang mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan pada organ dalaman. Berita Harian Online | Bapa serah polis siasat punca kematian bayi

Pegawai SPRM dilibas parang



LOWRANCE kini menerima rawatan di Hospital Serdang.
LOWRANCE kini menerima rawatan di Hospital Serdang.

6 lelaki didakwa serang tanpa motif

PUTRAJAYA: Seorang pegawai penyiasat kanan Bahagian Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cedera di tangan kiri selepas diserang enam lelaki, sebahagiannya dipercayai bersenjatakan parang di depan rumahnya di Taman Sungai Besi Indah, Serdang, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 6.30 pagi ketika mangsa dikenali Moses Lowrance, 36, menutup pintu pagar rumahnya untuk pergi menghantar anaknya ke sekolah sebelum ke tempat kerjanya di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Bagaimanapun, tiba-tiba mangsa didatangi kira-kira enam lelaki sebahagiannya dipercayai bersenjata parang menaiki sebuah kereta yang diletakkan tidak jauh dari situ.
Lelaki terbabit dikatakan melibas mangsa dengan parang sehingga menyebabkan tangan kirinya cedera.

Kumpulan itu melarikan diri apabila melihat ramai jiran keluar melihat kejadian selepas mangsa membunyikan hon keretanya.

Mangsa dikejar ke Hospital Serdang oleh orang ramai yang melihat kejadian itu. Keadaannya stabil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Shukri Abdull, ketika ditemui di Hospital Serdang, berkata pihaknya menyerahkan siasatan kepada polis.
“Kita tidak boleh membuat andaian kerana tidak tahu motif kejadian. Pegawai SPRM berkenaan pun tidak tahu apa motif sebenar dia diserang. Polis sudah mengambil keterangannya sebentar tadi (semalam),” katanya.

Difahamkan, SPRM juga turut menjalankan siasatan dalaman dan akan merakam keterangan Moses untuk mengetahui motif sebenar serangan.

Berita Harian juga difahamkan, sehingga ini polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai samun tetapi tidak ada barang peribadi mangsa dilarikan ketika kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Berita Harian Online | Pegawai SPRM dilibas parang

Hantar karangan dapat kahwin percuma





WAN AHMAD FARID menunjukkan borang program My Idol, Raja Sehari 1Malaysia 1Pasangan pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Siapkan karangan bertajuk 'Kenapa saya layak dipilih...' tidak kurang daripada 300 patah perkataan dan majlis perkahwinan anda dan pasangan mungkin ditaja sepenuhnya.
Itu antara syarat yang ditetapkan pihak penganjur kepada semua bakal pengantin yang ingin menyertai program My Idol, Raja Sehari 1Malaysia, 1Pasangan anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu.
Ketuanya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, berdasarkan karangan itu kelak, pihaknya akan memilih 10 pasangan bertuah dan program itu terbuka kepada mana-mana pasangan yang belum pernah berkahwin serta mempunyai pendapatan tidak melebihi RM1,500 sebulan.
"Sebanyak 10 karangan terbaik akan dipilih mewakili 10 pasangan yang terdiri daripada lapan pasangan Melayu dan masing-masing satu pasangan berbangsa Cina dan India dalam program ini," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Wan Ahmad Farid lagi, salah seorang daripada pasangan itu nanti perlu berusia tidak kurang daripada 21 tahun dan bermastautin di Kuala Terengganu.
Borang untuk menyertai program itu boleh didapati di pejabat UMNO Bahagian Kuala Terengganu di Jalan Gong Kapas di sini dan karangan perlu dihantar selewat-lewatnya sebelum 17 Julai ini.
Majlis akad nikah untuk program itu akan diadakan pada 16 September ini di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam manakala jamuan rakyat yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said pula akan diadakan di Dataran Shahbandar di sini sehari kemudiannya.
Selain pejabat UMNO Kuala Terengganu, program yang sama turut mendapat kerjasama daripada Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negeri.
"Kita bukan sahaja menaja sepenuhnya perkahwinan kesemua pasangan itu nanti, tetapi mereka juga akan diberikan wang saku sekurang-kurangnya RM5,000.
"Setiap pasangan akan diberikan satu khemah khas dan mereka juga dibenarkan menghantar jemputan kepada 1,000 tetamu bagi memeriahkan majlis," katanya.
Kosmo! Online - Negara

Peniaga mati otak terbura1




Di hadapan rumah inilah, Chor Nim diserang oleh empat lelaki di Sungai Nibong Tebal, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Seorang peniaga maut selepas diserang sekumpulan lelaki tempatan menggunakan sebilah parang sehingga otak terburai di hadapan rumahnya di Sungai Nibong Tebal dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 2.45 pagi, mangsa Choong Chor Nim, 35, dikatakan baru sampai ke rumah bersama teman wanitanya yang berusia 19 tahun sebelum didatangi empat lelaki menaiki sebuah kereta.
Kesemua suspek terus menerpa dan menetak mangsa berkali-kali sehingga Chor Nim rebah berhampiran pintu pagar rumah teres dua tingkat miliknya itu.
Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah mengalami kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera di pangkal tangan kanan, bahu kanan, perut kanan, lutut kiri dan kanan, kepala, telinga serta pipi kanan manakala otaknya terburai.
Menurut beliau, polis sedang memburu keempat-empat suspek yang berjaya meloloskan diri sebaik melihat mangsa berlumuran darah.
"Kita masih menyiasat motif kejadian termasuk meneliti laporan yang dibuat pengadu iaitu wanita yang berada bersama suspek semasa kejadian tersebut berlaku," kata beliau.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kosmo! Online - Negara

Tersungkur di ladang Yazid Baba



ANGGOTA polis memeriksa mayat salah seorang daripada tiga penjenayah warga Indonesia yang mati ditembak di Kampung Pedas Tengah, Rembau semalam.


SEREMBAN – Cubaan sekumpulan empat penjenayah warga Indonesia untuk melarikan diri secara senyap selepas disalak anjing pemilik banglo yang mahu disamun mengundang padah apabila tiga daripadanya mati ditembak pada pukul 4.54 pagi semalam.
Kejadian di Ladang Kelapa Sawit Yazid Baba 1, Kampung Pedas Tengah, Rembau dekat sini itu berlaku apabila empat penjenayah terbabit cuba menyerang anggota polis dengan menggunakan parang.
Untuk mempertahankan diri, sepasukan polis berkenaan telah melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senapang menyebabkan tiga penjenayah mati di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera dan dapat melarikan diri.
Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, sebelum kejadian, keempat-empat suspek disyaki cuba memecah masuk banglo seorang penternak dan pekebun setengah jam sebelum itu.
Bagaimanapun katanya, hasrat mereka terbantut apabila mereka disalak anjing peliharaan mangsa hingga menyebabkan salah seorang penghuni terjaga dan terus menjerit sebaik ternampak kelibat suspek.
“Mereka kemudian cuba melarikan diri senyap-senyap sambil menolak tiga buah motosikal curi milik penduduk tempatan yang dinaiki ketika datang ke situ.
“Bagaimanapun, ketika hendak melarikan diri, mereka terserempak dengan sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di ladang kelapa sawit tersebut. Mereka bukan sahaja enggan menurut arahan supaya menyerah diri malah menyerang polis dengan menggunakan parang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kosmo! Online - Negara

Aktor 51 tahun kahwin gadis 16 tahun


DOUGH HUTCHISON dan isterinya, Courtney Alexis.


LAS VEGAS - Aktor Dough Hutchison yang berusia 51 tahun yang merupakan pelakon filem The Green Mile, siri drama Lost dan 24 telah berkahwin dengan penyanyi lagu berentak country, Courtney Alexis Stodden yang berumur 16 tahun pada 20 Mei lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun perbezaan umur pasangan itu terlalu jauh iaitu 35 tahun, perkahwinan mereka telah menarik perhatian orang ramai.
"Kami sedar perbezaan umur yang terlalu besar menjadi kontroversi. Namun, kami saling menyintai dan ingin menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa cinta sejati tidak mengira umur," kata pasangan itu kepada laman hiburan E! Online.
Menurut undang-undang negeri Nevada, seseorang yang mahu mendapatkan lesen perkahwinan perlu berusia 18 tahun ke atas.
Namun, keputusan Courtney yang berkahwin ketika berusia 16 tahun itu tidak menyalahi undang-undang negera tersebut kerana dia mendapat restu daripada ibunya.
"Kami memberi sokongan penuh kepada perkahwinan ini. Doug seorang lelaki yang baik dan kami menyukainya," akui ibu Courtney, Krista Stodden kepada laman hiburan RadarOnline.com.
"Mereka begitu saling menyintai dan kami memberi sokongan terhadap perkara ini.
"Courtney masih dara semasa dia berkahwin dengan Dough," katanya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Aktor maut kereta Porsche miliknya terbakar


BANGKAI kereta Porsche 911 milik Ryan Dunn yang hangus terbakar diangkut oleh sebuah trak penunda di pinggir Philadelphia pada Isnin lalu.



PHILADELPHIA, Amerika Syarikat (AS) - Ryan Dunn yang merupakan bintang siri gurauan televisyen popular di AS, Jackass, terbunuh kelmarin dalam satu kemalangan ngeri apabila kereta Porsche 911 GT3 yang dipandunya terbakar selepas terbabas ke tepi jalan raya di pinggir Philadelphia pada Isnin lalu.
Dunn, 34, popular kerana keberaniannya melakukan aksi bodoh dan berbahaya seperti menyelam dalam tangki kumbahan dan memasukkan sebuah kereta mainan ke dalam duburnya.
Dia sedang memandu kereta sport jenis Porshe 911 GT3 miliknya di sini pada hari kejadian apabila keretanya terbabas, terbalik dan merempuh beberapa batang pokok sebelum terbakar.
Polis berkata, seorang lagi penumpang kereta tersebut turut terbunuh manakala kemalangan itu dipercayai berpunca daripada memandu laju.
Rempuhan kuat menyebabkan kereta Dunn berkecai dengan kenderaan itu sukar dikenali melainkan sebuah pintu kenderaan berkenaan yang tercampak selepas terlerai dalam nahas itu.
Tubuh pelakon dan penumpang itu terbakar akibat kebakaran tersebut.
Polis memberitahu, mereka dapat mengecam Dunn berdasarkan tatu dan rambutnya.
Pihak berkuasa mengenal pasti penumpang terbabit lewat kelmarin sebagai Zachary Hartwell, 30.
Beberapa jam sebelum kemalangan berlaku pada pukul 3 pagi, Dunn menyiarkan gambar-gambarnya sedang minum arak bersama dua rakannya di laman jaringan sosial Twitter tetapi semua gambar itu kemudian ditarik balik. - AP
Kosmo! Online - Dunia

Indonesia digesa bekukan amah ke Arab Saudi

JAKARTA - Ahli-ahli Parlimen Indonesia semalam menggesa pemerintah supaya menghentikan penghantaran pekerja asing ke Asia Barat terutamanya Arab Saudi selepas seorang pembantu rumah negara ini dipancung kerana membunuh majikannya.
Menurut ahli-ahli Parlimen itu, negara kaya dengan minyak dan negara Teluk lain tidak sepatutnya mengeksploitasi buruh Indonesia yang murah.
"Kami sudah meminta pihak pemerintah untuk menggantung sementara penghantaran pekerja Indonesia ke luar negara terutamanya negara-negara yang enggan menandatangani perjanjian yang melindungi hak-hak pekerja kami," kata Timbalan Speaker, Priyo Budi Santoso.
Beberapa ahli parlimen menggesa Menteri Luar, Marty, Natalegawa dan beberapa anggota kabinet Presiden Susilo Bambang Yudhoyono meletakkan jawatan ekoran layanan buruk terhadap amah Indonesia di luar negara.
Baru-baru ini, seorang amah Indonesia Ruyati Sapubi telah disabitkan membunuh majikannya yang merupakan rakyat Arab Saudi, Khairiya Hamid Mijlid dengan menggunakan pisau pemotong daging selepas dia dinafikan kebenaran untuk meninggalkan negara ini. - AFP
Kosmo! Online - Dunia

44 terkorban pesawat Rusia terhempas



PELBAGAI serpihan pesawat Tu-134 bertaburan selepas terbakar di Petrozavodsk, Rusia semalam.




MOSCOW - Sebuah pesawat penumpang Rusia, Tu-134 meletup dan terbakar selepas terhempas di sebuah lebuh raya tidak jauh dari lapangan terbang sekali gus meragut 44 nyawa manakala lapan orang terselamat, kata seorang pegawai semalam.
Pesawat syarikat penerbangan RusAir Tupolev itu cuba mendarat di lapangan terbang Petrozavodsk yang terletak di rantau Karelia di barat laut Rusia.
Semasa nahas, cuaca kabus menyelubung kawasan tersebut manakala pihak berkuasa menyalahkan juruterbang sebagai punca nahas.
Namun, pesawat itu gagal mendarat dan terhempas kira-kira dua kilometer dari landasan.
Kesan pendaratan itu didapati telah mengakibatkan bahagian pesawat meletup dan mayat penumpang tercampak beberapa ratus meter dengan serpihan pesawat terbakar.
"Pesawat itu terhempas dua kilometer dari Petrozavodsk. Seramai 44 orang terbunuh dan lapan orang cedera," jelas Kementerian Kecemasan dalam kenyataan di laman web.
Tujuh daripada lapan mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Petrozavodsk dan masih berada dalam keadaan serius, kata Kementerian Kesihatan manakala pakar perubatan merancang untuk memindahkan enam pesakit yang cedera ke Moscow.
- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Remaja ketua penggodam ditangkap


MANGSA terkini kumpulan Lulz Security ialah laman web Agensi Jenayah Organisasi Serius yang digodam kelmarin.


WICKFORD, Britain - Polis menangkap seorang remaja di sini, England kerana disyaki menjadi ketua kumpulan penggodam antarabangsa, Lulz Security, yang bertanggungjawab melakukan serangan siber terhadap Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS) dan Scotland Yard, lapor sebuah akhbar semalam.
Remaja tempatan berusia 19 tahun itu ditangkap dalam satu operasi bersama melibatkan polis Britain dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) juga dari AS.
Suspek kini disoal siasat di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Akta Penipuan Britain di sebuah balai polis di pusat bandar London.
"Tangkapan ini susulan siasatan terhadap pencerobohan rangkaian komputer sebilangan organisasi perniagaan dan agensi perisikan oleh kumpulan penggodam sama (Lulz Security)," kata seorang jurucakap Scotland Yard.
Lulz Security mendakwa bertanggungjawab menceroboh sistem komputer beberapa organisasi utama termasuk Agensi Jenayah Berat Terancang Britain, Senat Amerika Syarikat (AS) dan CIA selain firma permainan video Nintendo dan Sony.
Dalam satu mesej di Internet pada Ahad lalu, kumpulan itu mengisytiharkan perang serta-merta dan berterusan terhadap kerajaan dan syarikat keselamatan komputer di serata dunia.
Lulz Security menggesa pengikutnya supaya menceroboh dan merosakkan laman web kerajaan dengan keutamaan untuk mencuri dan mendedahkan maklumat sulit kerajaan termasuk e-mel dan dokumen.
Sasaran utama kumpulan itu adalah bank dan organisasi utama yang lain.
Laman web Agensi Jenayah Organisasi Serius merupakan sasaran terkini kumpulan pengodam tersebut kelmarin. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

NATO pertahan serangan di Libya



BRUSSELS - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang turut dianggotai Amerika Syarikat semalam mempertahankan tindakannya melancarkan serangan udara di Libya.
NATO menegaskan ia berhati-hati untuk mengelakkan kematian orang awam selepas Itali memberi amaran kesilapan dalam serangan pada hujung minggu lalu berisiko mencemarkan kredibiliti pakatan Barat itu.
"Saya ingin menyatakan bahawa reputasi dan kredibiliti kami kini dipersoalkan," kata jurucakap misi ketenteraan NATO, Mike Bracken.
Menteri Luar Itali, Franco Frattini mengeluarkan amaran kredibiliti itu selepas NATO mengakui tersilap membunuh orang awam pada Ahad lalu apabila sebutir bom tersasar lalu mengenai sebuah kediaman di Tripoli.
Insiden itu memalukan kerana ia berlaku semasa NATO melancarkan misi untuk melindungi orang awam.
"Apa yang dipersoalkan sekarang adalah tindakan rejim pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menggunakan perisai manusia dan tindakan tenteranya melancarkan bedilan peluru berpandu dari masjid-masjid," kata Bracken dalam satu sidang media di ibu pejabat misi ketenteraan NATO di Naples, Itali.
Serangan hujung minggu lalu di Tripoli berlaku selepas NATO melahirkan kekesalan kerana tersilap membedil sebuah kenderaan tentera milik pemberontak di bandar Brega pada minggu lalu.
Pertubuhan tersebut melancarkan serangan itu bagi menguatkan zon larangan terbang yang dipersetuji Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelak tentera Gaddafi membunuh orang awam.
Pergolakan di Libya yang berlaku sejak Februari lalu belum berakhir apabila para pemberontak menentang tentera Gaddafi bagi menuntut pemimpin tersebut berundur selepas berkuasa sejak 1969. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Bapa rayu anak kembar dimatikan


SABA (kiri) dan Farah Shakeel.


PATNA, India - Tidak tahan melihat penderitaan anak kembar siamnya yang melekat di kepala, seorang bapa dari India memohon supaya membenarkan anaknya mati jika tiada bantuan kewangan untuk membolehkan mereka menjalani rawatan.
Saba dan Farah Shakeel, 15, menderita sakit kepala yang teruk, sakit sendi dan kesukaran untuk bertutur sepanjang mereka membesar.
Dua gadis itu sebelum ini pernah menerima bantuan hasil campur tangan daripada Putera Mahkota Abu Dhabi tetapi bapa mereka Mohammed yang bekerja di gerai teh di Patna kini tidak lagi mampu membiayai kos rawatan anaknya yang tinggi.
Pasukan pakar kembar siam yang diketuai oleh Benjamin Carson dari Amerika Syarikat mendapati kembar tersebut berkongsi saluran darah utama di otak dan mempunyai dua buah ginjal. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia